Sunday, March 14, 2010

Hati Seorang Warga Tua











Seorang tua pernah muda. Pernah melalui zaman suka duka. Hidupnya dulu pernah ceria dan gembira. Hiruk pikuk anak-anak yang membesar merangsang semangatnya untuk memberikan yang terbaik untuk mereka. Pada masa yang sama ia belajar menghadapi karenah mereka yang kadang-kadang memberikan keindahan menjadi bapa, merimas dan membimbangkan akan keselamatan dan kesejahteraan mereka. Namun di dalam hati dan kata-katanya, selalu penuh harapan, penuh doa, penuh syahdu bahawa anak-anak itulah harapannya pada masa akan datang.

Harapan yang selalu didambakan bahawa hidup masa tuanya tidak susah, tidak melarat, tidak disisih, tidak dipinggirkan, tidak diberi keutamaan. Tidak pernah terfikir bahawa ia harus mengemis harapan. Sewaktu kukitnya kering tanpa daging segar untuk diberi perhatian, di selaput kulitnya yang kering, yang hanya membalut tulang, sel-sel kulit yang lebih banyak mati dari yang hidup, ia lebih mati sebelum mati. Anak-anak selalu membunuh nafsunya untuk hidup, untuk meneruskan harapannya.


Semasa mudanya, semasa susah dan senangnya, semassa waktu sibuk dan waktu senggangnya, semasa berada dan waktu kesempitannya, waktu sihat dan waktu sakitnya, seluruh kehidupannya hanya untuk anak-anak. Darah daging, keturunan, warisan dan kelestarian keturunannya. Harapannya menggunung bahawa anak-anaknya akan berjaya memuncak gunung, menggapai awan, menjulang harapan.


Usia meningkat. Keadaan berubah. Anak-anak membesar dan mendewasa. Mereka bekerja, berumahtangga. Lalu mereka menjarak dan menjauh. Hilanglah mereka dari mata. Yang tinggal hanya kenangan dan wajah-wajah yang bermain di mata, yang dekat di hati.


Usia itu bertukar angka. Jumlahnya makin berganda. Lalu semuanya dimamah usia. Kenapa dalam perubahan musim dan usia ini, anak-anak tidak menoleh ke belakang. Melihat ibu bapa yang ditinggalkan. Melihat dua orang insan yang memungkinkannya lahir dan hidup. Yang telah berusaha untuk membesar dan memanusiakannya. Mengapa ibu bapa yang dulu dimanja, diharap segala, dinanti jasa, diminta bantu, tetapi sekarang bak tongkat, bila sampai di seberang dilempar jauh, dibuang ke tepi, dicampak bagai tidak akan berguna lagi?


Apakah restu mereka, akur mereka, redha mereka tidak ada nilai? Syurga seseorang laki, seorang suami d bawah tapak kaki ibunya. Apakah itu bukan rangsangan, bukan motivasi untuk mendapatkannya dari ibu bapa?


Dalam usia tuanya ibu bapa masih menggagahi diri mereka untuk hidup seperti insan biasa. Masih menggagahi dirinya untuk mengemas rumah, makan, minum, berjalan, membuat kerja ringan. Mereka tetap hidup walaupun pada hakikatnya jiwa mereka sudah patah, sudah berkecai, sudah pecah, sudah bersepai. Sedarlah ia bahawa dia sekarang sendirian, membawa dirinya untuk terus dimamah usia.

Hakikat usiagunakan sudah lama berlalu. Ia sudah tidak bernilai lagi. Sinaran hidupnya sudah pudar. Dalam usia tuanya dia harus hidup sendiri. Fahamlah ia bahawa anak-anak itu berharga dan bererti sewaktu dirinya dulu muda dan boleh diharap. Sekarang muda sudah tiada, guna juga sudah tiada.


Dia hanya mampu merenung jauh. Melihat pada matanya sendiri. Hanya bayang-bayang yang tinggal. Rupanya anak-anak sukar diharap lagi. Dulu dia mengerti ragam dan karenah anak-anak. Sekarang anak-anak tidak lagi boleh memahami ragam dan kerenahnya. Anak-anak membuat andaian yang mudah bahawa dia masih boleh hidup walaupun pada hakikatnya mengurus kehidupan itu sudah semakin sangat payah.


Ia hanya mampu merenung jauh, renungan kosong yang hanya mengimbau derasnya air mata, sayunya perasaan, sebaknya dada. Hanya jiwanya yang boleh merintih sayu.



Di manakah kau anak-anakku yang dulu kumanjakan dan kudambakan harapan?
Di manakah cucuku yang dulunya memeriahkan suasana?
Di mana sapamu?
Di mana hadirmu?
Siapakah yang mengerti kesunyianku?
Di mana harapanku dahulu?
Di mana, di mana dan di mana?


Dia merintih bertanyakan anak-anaknya. Dia mengemis kehadiran mereka. Sakit fizikalnya bertukar menjadi penyakit psikologi, penyakit kemurungan. Patah tulangnya hanya fizikal. Patah hatinya lebih bisa lagi. Apalah dayanya. Usia tuanya hanya sisa-sisa yang berbaki. Dia hanya mampu melihat di kejauhan, memandang pintu jika ada yang muncul menjengah. Menanti kelibat anak dan cucu yang tidak hadir beiring-iring. Di mana kau semua? Jangan biarkan aku di sini. Sendirian tanpa kehadiranmu. Ramaimu terlalu jauh untuk meriakan hati ini.


Suatu hari nanti akan sampai giliran. Anak-anak akan sampai usia tua dan kembali ke dalam pusingan orang tua yang terabai. Kita pula yang akan merintih mengemis simpati dan empati anak-nak. Untuk mengelakkannya, beri perhatian kepada ibu bapa kita. Pamerkan yang terbaik untuk mereka. Itulah didikan supaya anak-anak kita akan mengulanginya kepada kita.


Hentikan episod ini. Kita yang masih mampu, tukarlah senario ini. Mulakan sesuatu yang menjamin kehidupan ibu bapa kita sentiasa dalam kebajikan dan kesejahteraan. Selalulah berada di samping mereka. Sebuah hadith mafhumnya, memandang muka ibu bapa serupa pahalanya dengan memandang Kaabah. Kaabah itu ada di depan mata. Kaabah itu masih terpacak untuk dipeluk dan dicium sepuas hati. Kembalilah menziarahinya untuk mendapatkan redha dan restunya. Dambakanlah doa restunya. Sayangilah mereka supaya Allah mengasihimu.

Dia memang tua, tetapi dia mengharap kehadiranmu. Bukan wang ringgitmu, bukan hartamu, bukan senangmu. Ia memerlukan kehadiranmu. Kembalilah kepadanya. Ubatilah rindunya. Bahagiakanlah hatinya. Ia sudah tidak punya apa-apa. Hanya harapan, jika itu masih ada.

Ahlul Bait - Ziarah Keempat

Maaf. Pos ini sudah seminggu didraf. Masa tidak banyak terluang untuk menghabisnya. Bahagian awalnya telah siap. Tazkirah Habib Ali tak dapat disiapkan. Alhamdulillah hari ini, Isnain 15 Mac 2010, cuba saya siapkan.

Petang Isnin 8 Mac 2010 saya bertemu semula dengan Habib Ali. Ada 10 orang yang menziarahinya termasuk saya. Wakil orang Batu Pahat. Tiga orang dari Singapura. Dua orang dari Kuala Lumpur. Dua orang dari Johor Bahru. Seorang dari Yong Peng. Seorang lagi dari Kerala, India. Sebahagian dri kami sudah menunggu sejak pukul 5.15 petang. Saya sampai pada pukul 5.35 petang. Habib Ali keluar dari biliknya pada pukul 6.05 petang dan ia masuk semula pada pukul 6.33 petang. Akhi dari Yong Peng dan Saudaranya dari India sempat bertemu kira-kira 10 minit sahaja.


Yang paling hampir seorang akhi dari Kerala, India. Dua yang lain dari Kuala Lumpur.

Pertemuan yang hanya selama 10 minit untuk suatu perjalanan jauh yang penuh barakah dari India. Ya dari India. Begitulah orang yang mengerti. Akan mencari di mana beradanya ingtan permata yang bernilai di sisi Allah. Pencariannya bukan yang hanya di keliling kampungnya tetapi menjejaki yang dicari merentas benua dan lautan. Perjalanan yang jauh, yang memenatkan, yang tinggi ongkosnya, yang tidak menjanjikan apa-apa kecuali barakah Ahlul Bait - keturunan nabi Muhammad Rasulullah SAW, Nabi akhir zaman, Khatamun Nabiyyiin.
Di kanan saya seorang ustaz dari Kerala, India tetapi sekarang bekerja di Kuala Lumpur. Di kiri saya seorang warga tempatan dari Yong Peng. Bapanya berasal dai Kerala, Indaia.

Dari jauh mereka datang. Bukan sedikit jumlahnya. Pada hari minggu seperti ada kenduri di rumah Habib Ali. Ramainya bukan kepalang. Semuanya datang hanya untuk berjabat salam. Untuk menyentuh kulit seorang keturunan Nabi. Untuk mendengar tazkirahnya. Untuk mendengar nasihatnya. Untuk memandang wajahnya yang sudah dimamah usia. Untuk bersama kehadirannya. Untuk meraikannya. Untuk mendapat renungannya. Untuk mendamaikan hati. Untuk melegakan perasaan. Untuk menginsafi keadaan. Untuk mendambakan harapan keredhaan Allah.

Yang di hujung sana seorang warga tempatan dari Kuala Lumpur. Berasal dari Kerala India juga.

Tiga akhi ini dari Singapura. Yang di kanan dan di kira berasal dari Kerala India.



Di sini, di rumah ini, bersama tetamu dan musafir lain, waktu ini, detik ini, saya dapat lagi bertemu dengan insan ini, Ahlul Bait yang jalur keturunannya menyinggah pada batang tubuh Rasulullah. Darah daging Rasulullah. Yang mengalir pada tubuhnya nafas dan semangat Rasulullah. Darah yang mengalir dari Fatimah al-Zahrah, ahli syurga yang dijanjikan wanita pertama memasukinya. Allahu Akbar.

Walaupun hanya 28 minit, pertemuan dengan Habib Ali tidak pernah menghampakan. Ia akan mengulang tazkirah yang lalu. Tetapi setiap kali saya mengunjunginya pasti ada topik baru yang disampaikan. Yang segar, yang merangsang minda untuk berfikir. Untuk diinsafi akan kekerdilan diri. Yang mencari erti hidup. Yang ingin mengakhirinya dengan mencintai Allah dan RasulNya.

Sebelum memulakan tazkirah, Habib Ali mangajak semua yang hadir untuk beristigfar dan kemudiannya dia membaca doa memohon magfirah kerana kita semua sentiasa melakukan dosa terhadap Allah. Setiap perbuatan kita dan setiap butiran yang kita ucapkan dan setiap perbuatan yang kita lakukan hendaklah dijaga supaya tidak mendatangkan dosa. Walau Bagaimanapun beristigfar melindungi kita dari murka Allah.

Tazkirah Habib Ali berkisar kepada aqidah, akhlaq, muamalah dan ibadah. Habib bertanya bolehkah kita membuat beras? Tak boleh, sahut kami. Gandum? Tak boleh. Tetapi kenapa ramai orang tidak solat. Tahukah bahawa Allah telah memerintahkan 50 waktu solah sehari semalam. Kemudian Allah tarik balik kesemuanya dan digantikan dengan hanya lima waktu. Itupun tidak boleh mereka solat. Itulah sebagai kewajipan besar kita. Bagaimana boleh kita mengabaikannya.

Dia mengulangi lagi, Islam adalah agama yang baik dan cantik. Elakkan hasad dengki tetapi sebaliknya banyak membantu. Yang miskin dibantu, yang kurang cerdik diajar. Sentiasalah berkasih sayang kerana Islam adalah agama berkasih sayang. Tanggungjawab ibu bapa adalah menjadi guru kepada anak-anak mereka. Ajarlah anak-anak. Jangan sampai anak-anak menjadi kurang ajar, katanya.

Dia menegur seorang akhi dari India yang bekerja di KL tetapi tidak membawa isteri. Bawalah isteri ke mana sahaja pergi. Itu tanggungjawab suami dan itu juga hak isteri di samping suami.

Barangkali iktibar dari hal ini ialah banyaknya masalah rumahtangga yang disebabkan perpisahan-perpisahan yang tidak dirancang yang boleh merangsang tindakan atau aktiviti yang akhirnya menjurus kepada masalah rumahtangga. Suami yang berpergian kesunyian tanpa teman. Isteri yang ditinggalkan juga kesunyian tanpa teman. Jika berterus-terusan, maka masing-masing menjadi lali dan mencari jalan keluar yang bukan hak.

Wahai suami, bawalah isterimu bila kamu berpindah kerja atau berada lama di tempat orang. Wahai isteri, dirimu mestilah sentiasa hadir di samping suami tersayang. Jangan benarkan ada yang berada di antara kamu. Ikutlah ke mana suamimu pergi. Apatah lagi jika berpindah tempat kerja atau tempat mencari makan.

Kata Habib Ali perempuan memiliki 10 rasa malu sedangkan lelaki memilki hanya satu sahaja rasa malu. Besarlah tanggungjawab suami terhadap isterinya. Seolah-olah tanggungjawab suami 10 kali ganda berbanding tanggungjawab isteri terhadap suaminya. Hubaya-hubaya wahai suami.

Pesan Habib Ali, kahwinlah dan jangan bimbang. Setiap nyawa, setiap makhluk ada rezekinya di muka bumi ini.

Mengikut pemerhatian Habib Ali, ramai orang yang mengabaikan ihsan terhadap ibu bapa mereka. Mereka lebih memberi ihsan kepada sahabat handai dari memberikannya kepada kedua ibu bapa.

Firman Allah, al-Baqarah 2:83, Dan berbuat ihsanlah kepada kedua ibu bapa, dan kaun kerabat, dan anak-anak yatim, serta orang-orang miskin.

Tidak ada halangan berbuat baik dengan semua orang tetapi Allah menggariskan bahawa susunan ihsan itu ialah:

1 Ibu bapa didahulukan.
2 Kaum kerabat.
3 Anak-anak yatim.
4 Orang-orang miskin.
5 Sahabat handai.

Barangkali kita harus kembali membuat keutamaan iaitu:

1 Allah.
2 Rasulullah.
3 Ibu bapa.
4 Guru-guru kita.
5 Orang tua.
6 lain-lain.

Ibu bapa tidak boleh dikesampingkan. Tempatnya istimewa selepas Allah dan RasulNya. Intalah bahawa redha ibu bapa adalah prasyarat kepada redha Allah.

InsyaAllah, tunggulah ziarah-ziarah yang berikutnya.

Thursday, March 11, 2010

Melepaskan Anak-Anak Mencari Tapak Kehidupan

Selepas 39 tahu berumahtangga, selepas mendapat 9 orang anak, semalam 11 Mac 2010 tamatlah episod urusan sekolah anak-anak. Tarikh 11 Mac 2010 terakam sebagai tamatnya debaran kesembilan dalam sejarah memandai dan memanusiakan anak-anak. Alhamdulillah, Nur Zahin Rifhan, anak kesembilan saya, anak bongsu yang bayak menyerupai wajah kakak sulongnya cuba menjejaki kakak-kakak dan abang-abangnya. Tarikh itu mengesahkan tahap akademiknya dengan mendapat 2 A+ (bahasa Malaysia dan Matematik Moden), 2A (Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab), 5A- (Fizik, matematik Tambahan, Sejarah, Al-Quran dan Al-Sunnah, Syariah), 1B (Biologi) dan 1C+ (Kimia).


Menyorot semula sejarah, anak sulong mendapat 6 agregat, yang kedua 7 agregat, ketiga 13 agregat, keempat 6 agregat, kelima 6 agregat, keenam 11A, ketujuh 6A, kelapan 10A dan yang terakhir kesembilan 9A+ 1B + 1C+. Perjalanan akademik mereka berbagai.


Anak sulong ke USA tajaan JPA

Kedua ke USA tajaan JPA

Kegtiga ke UTHM tajaan Kementerian Pendidikan Malaysia

Keempat ke UTP tajaan Petronas

Kelima ke UIAM tajaan JPA

Keenam ke UK tajaan JPA

ketujuh ke UiTM pinjaman PTPTN

Kelapan ke al-Azhar, Mesir tajaan Yayasan Restu di bawah naungan Amanah Raya Berhad


Saya amat bersyukur kepada Allah. Saya dianugerahkan anak-anak yang baik akademiknya. Saya hanya menyediakan minda dan persekitaran mereka dengan dunia ilmiah. Banyak mana sekalipun hiasan dalam rumah, banyak manapun perbelanjaan untuk berhibur, banyak manapun kos untuk keperluan-keperluan lain, keperluan akademik anak-anak tidak boleh diabaikan. Dalam rumah wajib dipenuhi dengan ruang yang kondusif dengan kemudahan belajar, sumber ilmu. Buku, majalah dan bahan-bahan rujukan mesti disediakan. Semasa kanak-kanak mereka hendaklah dipenuhi dengan rihlah ilmu. Bawalah merek ke muzium, zoo, pantai, hotel, kampung, pusat sains dan ke mana sahaja yang dapat membuka minda dan mata mereka supaya sentiasa boleh menerima pendidikan.


Dari sejak mereka dilahirkan, ibu bapa hendaklah fokus dalam hal ini. Seawal umur 2 tahun wajib diajar untuk mengaji al-Quran, membaca rumi, jawi dan Inggeris. Didik mereka dengan segala hal yang perlu sebagai anak-anak. Sebagai ibu bapa kita hendaklah menunjukkan sari teladan yang memang sepatutnya dilakukan sebagai orang Islam yang mendokong Islam sebagai perjuangannya. Perlihatkan, pamerkan, tunjukkan dan ajaklah anak-anak untuk melakukan yang baik, yang medatangkan kebaikan, mendatangkan pahala, yang menjamin redha Allah.


Makan dan minum anak hendaklah pastikan yang halal, suci, berkhasiat. Pastikan sumbernya halal, penyediaannya suci dan bersih, penjualannya tidak menimbulkan keraguan, digunakan dengan teratur.


Sebagai ibu bapa, kita tidak cukup hanya menyediakan yang perlu sahaja. Ibu bapa seharusnya menyediakan yang terbaik untuk anak-anak. Memanglah zaman saya dulu payah belaka. Itu zaman yang sudah berlalu. Dalam era ini, ibu bapa harus bersedia lebih awal merencanakan pembentukan keluarganya. Anak ramai atau sedikit bukan isunya. Perancangan ibu bapa mestilah mantap untuk kesinambungan keturunannya.


Untuk berumahtangga tidak menjadi kesusahan. Siapa sahaja boleh bernikah kahwin. Episod sukar akan bermula apabila sesuatu pasangan mendapat anak. Semakin anak bertambah maka bergandalah masalahnya. Persekolahan dan pendidikan adalah antara aspek yang sangat merumitkan. Barangkali perlu diadakan kursus-kursus keibubapaan khusus dalam pengurusan sekolah anak-anak. Dari tadika (umur 5 tahun) hingga tingkatan 5 (18 tahun) adalah suatu jangkamasa yang panjang. Itu satu pusingan untuk seorang anak. Saya ada 9 orang anak. Kenalah melalui 9 pusingan itu. Jika lebih ramai anak, maka berputarlah masa silih berganti seperti tidak habis-habis urusn anak-anak.


Semasa bertugas, saya pastikan bahawa saya menjalankannya dengan penuh keikhlasan, dedikasi, tulus, amanah dan jujur kepada diri sendiri. Semuanya mestilah kerana Allah. Saya tidak pernah mengajar sembilan orang anak saya secara formal. Mereka semua diajar oleh orang lain, guru mereka. Saya hanya menziarahi sekolah sesekali, bertanyakan berita, merisik khabar, mendengar cerita (bait-bait lagu Salam Terakhir allahyarham Sudirman). Pertama kunjungan menghormati guru yang mengajar anak. Kedua motivasi kepada anak. Kita perihatin terhadap mereka. Ketiga hubungan antara ibu bapa dan guru tentu ada sinerginya. Gabungan keduanya memantapkan lagi langkah anak-anak menuju pulau harapan mereka. Doa saya semoga Allah balaskan usaha saya. Saya mendidik anak orang, Allah pilih guru lain untuk mendidik anak saya. Begitulah timbal balas yang Allah rancangkan untuk kita.


Kejayaan cemerlang anak-anak banyak manfaatnya. Pertamanya sumber kegembiraan keluarga. Pengiktirafan terhadap usaha anak-anak yang dibantu oleh ibu bapa dan guru-guru mereka. Kedua, melonjakkan motivasi anak-anak. Mereka ada bakat dan mereka ada peluang. Ketiga, peluang memasuki IPT sentiasa tersedia. Kelayakannya tidak ada keraguan. Keempat, peluang mendapat tajaan terbentang luas dengan syarat anak-anak memiliki ciri-ciri dan kualiti yang dikehendaki. Kelima, peluangnya untuk menamatkan pengajian, mendapat ijazah adalah lebih luas.


Bimbinglah anak-anak supaya memiliki ciri-ciri yang dikehendaki oleh bakal majikan. Ajarlah mereka supaya pandai bercakap, berhujjah, menjawab, menyoal, menganalisis, menyusun kata-kata, menyenaraikan idea dan mengemukakan cadangan dan pandangan. Didik mereka menggunakan perkataan, istilah yang betul. Didik mereka membina ayat-ayat yang cantik, padat tetapi ringkas. Direct to the point.


Jangan abaikan hal-hal yang berkaitan dengan pakaian mereka. Mereka diajar supaya sentiasa mempamerkan yang terbaik tentang diri mereka. Pemilihan fesyen, warna, rekabentuk, corak dan sebagainya. Banyak panduan yang perlu dipatuhi untuk menjadi manusia yang pelbagai fungsi.


Pastikan pemakanan mereka seimbang. Pastikan mereka tidak obese atau terlalu kurus. Majikan tidak mahu orang-orang yang bermasalah kesihatan berada dalam syarikat mereka. Sedari kecil lagi perkara ini mesti diawasi, dipantau, dibuat susulan dan diambil tindakan-tindakan yang seperlunya. Jangan terpedaya bahawa yang obese itu baik dan sihat. Sebenarnya keadaan itu mengundang masalah kesihatan.

Tingkah laku anak-anak hendaklah dipantau selalu. Pastikan rakan taulan mereka adalah yang baik-baik, keluarga rakan-rakannya baik. Ke mana mereka pergi dan berada dan apa yang mereka buat mestilah dalam pengetahuan ibu bapa. Dengan cara itu ibu bapa boleh membuat tindakan-tindakan wajar untuk membantu anak-anak ke arah yang lebih baik dan betul.


Kelulusan yang baik dalam SPM adalah landasan terbaik untuk menuju dan meraih kejayaan yang lebih tinggi dan lebih mudah pada masa hadapan. InsyaAllah, tajaan, dalam bentuk biasiswa atau pinjaman tidak akan menjadi masalah. Pembinaan kerjaya anak-anak bukan bermula selepas mendapat keputusan SPMnya. Rancangkan kerjaya mereka semasa di tadika lagi. Ibu Bapa hendaklah membuka mata, melihat tingkah laku, perangai, kekuatan dan kelemahan, semangat, kesungguhan, komitmen, dan sebagainya. Buat analisis supaya ibu bapa mengenal siapa anak-anak mereka dari aspek yang disebut tadi.


Mintalah bantuan orang yang pakar seperti guru, psikologis, pakar motivasi dan sebagainya. Yang penting minta nasihat. Carilah orang-orang yang anak-anaknya berjaya. Minta pengalamannya. Jadikan rujukan.


Anak-anak ibarat pokok. Tidak cukup hanya ditanam. Perlu disiram, dibaja, dibelai, dilihat, dipantau, diberi ubat, dirawat penyakitnya, dibiakkan, dicantikkan bentuknya, ditongkat, dibubuh junjung dan apa sahaja yang menjadikan pokok itu menyenangkan tuannya. Apa yang anak-anak berikan kepada kita adalah hasil didikan kita. Jangan salahkan guru kerana guru tidak sempat mengawasi anak kita sepanjang masa. Tetapi anak kita di rumah melebihi 16 jam. Nisbah itu sudah menunjukkan tugas ibu bapa jauh lebih besar berbanding guru.

Sama-samalah kita berusaha melestarikan zuriat yang banyak manfaatnya kepada agama. Cari keredhaan Allah dan RasulNya. Banyakkan usaha dan doa. InsyaAllah. Amin.

ZiarahTapak Feri Batu Pahat



Antara tahun 1960 hingga tahun 1965 feri ini menjadi nostalgia kepada diri penulis. Sesuatu yang sukar digambarkan sekarang. Di Port Said, Mesir penulis menyeberang muara Terusan Suez menggunakan feri tetapi berbentuk kapal.


Petang hari Isnin 8 Mac 2010 saya buat catatan sejarah ini. Setelah saya tinggalkan sejak Disember 1965, baru petang ini saya jenguk semula. 45 tahun sudah berlalu. Tempat yang memperkayakan saya dengan pengalaman suka duka menjadi remaja di sebuah bandar yang dianggap besar (ketiga di Johor) tetapi tidak pantas menggamit kemajuan dan pembangunan.

Dalam mengejar ilmu dan memenuhkannya ke dada banyak pahit maung kehidupan terpaksa ditempuhi. Saya rasa semua keluarga dahulunya berasal dari tapak yang rendah. Mereka berusaha naik. Dari jatuh dan bangun itulah kita menikmati keindahan kehidupan. Akhirnya kita menempuhi kebahagiaan, kesejahteraan dan berkelapangan untuk mengingat ini semua. Namun di belakang semua itu rentetan peristiwa payah, sukar, letih, jemu dan keinginan untuk lari dari semua yang fana ini.

Air sungai Batu Pahat deras pada musim hujan. Motorbot yang kecil itu menongkah arus. 


Pada zaman saya bersekolah, laluan ke Batu Pahat hanya ada satu. Dari Muar ke Batu Pahat atau dari Pontian/Johor Bahru ke Muar mesti melalui Batu Pahat. Jambatan masih belum dibuat. Sehingga tahun 1965, jalan perhubungan yang ada hanyalah melalui perkhidmatan feri. Syarikat yang sama mengendalikan feri di Muar. Juga sebelum ada jambatan pertama yang merentas bandar Maharani. Kenapa Maharani.? Mungkin orang Muar yang layak menjawabnya. Cuma dari sejarahnya, Muar adalah bandar kedua yang dibuka di Johor selain dari Tanjung Puteri (Johor Bahru sekarang). Oleh kerana di Johor sultannya Maharaja Abu Bakar, maka Muar mengambil sempena Maharani, permaisuri Maharaja Abu Bakar. Mungkin pakar sejarah Johor boleh mengesahkan hal ini.


Berbalik kepada feri. Dengan izin Allah feri, motorbot dan sampan adalah penyambung semua aspek kehidupan penduduk di sekitar laluan tersebut. Bagi saya perkhidmatan ketiga-tiganya adalah penyambung kelestarian hidup saya. Dari zaman remaja hingga saya keluar sekolah pada akhir tahun 1965. Perjalanan hidup saya sebenarnya bertapak di laluan ini. Darinya saya ke Kuala Lumpur, ke Kuala Terengganu, ke Ipoh, Ke Amerika Syarikat, ke Canada, merentas bahagian dunia yang lain dan sekarang barangkali di stesen terakhir sebelum berpindah kekal di alam yang lain.






Yang tinggal hanya bayangan masa silam.









Jeti ini tinggal bekasnya sahaja. Di kejauhan saya masih terbayang hiruk pikuk manusia seberang menyeberang, dayung-dayungan penambang (pemilik sampan sedang berkayuh) dengan jerit pekiknya bersama penambang yang lain. Di bahagian Peserai, terbentuk pekan kecil yang agak sibuk sepanjang masa. Pada tahun 60an itulah kali pertama Datsun mengenalkan kereta pertamanya di Malaysia. Suatu produk yang sangat-sangat diragukan kualitinya kerana kelainan dan kerana keluar dari kebiasaan menggunakan barangan buatan British. Kegigihan Jepun membina ekonomi dan teknologinya dan dengan polisi zero defectnya menjadikan baranga buatan Jepun sebagai the most sought after.

Minda remaja saya ketika itu tidak dapat membayangkan perubahan-perubahan yang akan berlaku di bandar Penggaram. Sementara jeti tersebut ditinggal kaku, timbul satu kesayuan yang mencengkam. Di sini, di jeti ini, saya seberangi, dalam arus deras dan tenang, kayuhan demi kayuhan penambang yang bekeringat dan bertenaga, dengan helah membelah seberang, tempat itu sekarang sepi, mati, sunyi dan terbiar sendiri. Jika is bisa berbicara, pasti ia meraung duka, ditinggalkan tanpa cerita. Usiagunanya telah tamat. Tetapi meninggalkannya tanpa pengisian perubahan adalah suatu pembaziran.

Maaf, mungkin ada baiknya di tapak itu, di jeti itu wujud muzium sejarah. Suatu galeri yang mengingatkan generasi mendatang bahawa suatu ketika dahulu di situ ada suatu kehidupan yang sukar kerana teknologi belum berkembang dan kerana minda warganya baru keluar dari kepompong belenggu penjajah British. Suatu bangsa yang banyak helah. Yang manis tutur katanya tetapi menjajah sampai ke minda, berakar umbi hingga sekarang.

Kemeriahan di kawasan ini cukup hebat. Kawasan ini berhampiran dengan pasar awam Batu Pahat, memasuki laluan utama iaitu Jalan Rahmat, tempat pertemuan sampan dan tongkang dari Sumatera dan deretan kedai makan di sepanjang Jalan Shahbandar. Setelah jambatan dibina, hanya pasar awam masih tegak berdiri, sampan dan tongkang masih berlabuh dan pergi. Jalan Rahmat hanya hidup pada hari kerja dan pada waktu siang sahaja. Malamnya seperti bandar mati kerana kehidupan beralih ke arah di mana kehidupan itu dibina semula.

Sejarah feri ini telah diabadikan dalam sebuah lagu ghazal yang popular pada tahun-tahun 60an. Nama lagunya ialah Empat Dara nyanyian Sharifah Rodziah. Empat dara ini adalah staf syarikat feri Batu Pahat. Seorang daripadanya ialah novelis terkenal Zaharah Nawawi. Jika ada yang membawanya menziarahi blog ini barangkali beliau dapat mengimbau kenangannya di jeti ini. Persinggahannya sebelum mencipta nama yang meninggalkan jolokan empat daranya dulu.







Sepinya. Begitulah jika
ditinggalkan tanpa berita, tanpa bicara.






Kawasan lain di bandar Penggaram dibangunkan. Lalu terbinalah terminal bas yang baru, the Summit, Carrefour dan Square One, Batu Pahat Mall dan mercu-mercu tanda baru seperti Ibu Pejabat Polis Daerah, balai Bomba, Masjid Sultan Ismail dan laluan utama yang berpindah ke Jalan Bakau Condong. Pada tahun-tahun 60an dahulu kawasan ini adalah paya kerana bandar Batu Pahat memang asalnya serokan. Sila lihat dalam pos yang lain. Pada alaf baru ini dan sejak tahun 1993 lagi mercu tanda yang tegak mencacak ialah Universiti Tun Hussein Onn Malaysia di Parit Raja.















Gerai-gerai makan baru yang mula dibina semula di Jalan Shahbandar. Di sini banyak penjual sate. Pilih yang mana suka.

Masa sudah terlalu lama berlalu. Jalan Shahbandar tidak diubah lanskapnya. Maaflah, kita ramai orang-orang yang memiliki ijazah Perancang bandar, tetapi tidak keluar melihat sejarah, warisan dan wawasan. Alangkah indahnya jika Jalan Shahbandar dijadikan seperti Elizabeth Walk di Singapura atau Esplanade di Pulau Pinang.


Sebenarnya apabila kita memandang ke sungai, kita melihat paparan sejarah. Yang menelusuri sungai itu adalah pedagang yang mudik dan menghilir, nelayan yang selalu menyabung nyawa, petani yang membawa hasil taninya, warga kampung yang menjengah bandar. Motorbot sampan, jalur, kolek dan perahu berkejar-kejaran di sepanjangnya.














Hiasan air pancut yang berbentuk air menjatuh.


Kawasan ini sejak dari dulu lagi memang tempat pertemuan pertukaran barang. Dari Sumatera mereka membawa apa sahaja hasil yang boleh dibawa seperti kayu balak, getah, kopi, tikar, kelapa dan sebagainya. Bila air pasang bertunda-tunda kapal-kapal kecil memasuki pelabuhan. Bila air surut bot-bot itu keluar ke laut menuju jalan pulang mereka ke Sumatera.
















Kapal-kapal kecil ini akan terus berlabuh selagi masih ada manusia yang memerlukannya.
Pertemuan dua negara ini sudah lama termetrai. Barang dagangan mereka ditukarkan dengan sejumlah barang-barang makanan atau keperluan yang lain. Kadang-kadang kehadiran barangan dari Sumatera seperti penyelamat kepada keadaan di Batu Pahat. Di sini mereka bawa tikar mengkuang, kelapa biji, gula melaka, ikan masin (ikan bulu ayam), daun kelapa muda (untuk buat kelongsong ketupat) dan keropok melinjau. Banyak lagi yang tidak dapat saya senaraikan.


Catatan ini adalah nostalgia masa dulu-dulu. Suatu masa suatu tempat, suatu keadaan yang mencipta sejarahnya sendiri. Seperti sejarah-sejarah yang lain, generasi yang berikutnya tidak dapat memberi pertimbangan nilai yang sewajarnya. Kadang-kadang sejarah dilupakan begitu sahaja. Ramai yang tidak memahami hakikat sejarahnya. Sejarah seharusnya menemukan suatu titik masa keberadaan, kebersamaan, kekakraban, perkongsian rasa, citarasa, aspirasi dan selanjutnya menciptakan peradaban kemanusiaan. Dari sejarah itu, seharusnya manusia merencanakan sejarah yang lebih besar.

Wednesday, March 10, 2010

Masa Dulu-Dulu - Bahgian Kelima Belas

Tahun 1962 saya dalam tingkatan dua. Saya berbasikal ke sekolah bukan berseorangan. Ramai orang kampung seperti saya menunggang basikal ke sekolah. Pengangkutan awam waktu itu belum boleh diharap sangat. Bas, teksi dan kereta sapu banyak. Masalahnya kewangan dan jadual. Sebelum bersara ramai rakan-rakan yang berbasikal dengan saya menjadi orang besar.

Ada dua orang menjadi wakil rakyat. Pertama Datuk Ruhanie Ahmad, mantan wakil rakyat parlimen Parit Sulong. Keduanya Mohamad Kasbi, mantan ADUN Tanjung Puteri. Ada yang menjadi pegawai besar Bank Bumiputra (sekarang CIMB). Ada yang menjadi pengetua dan sebagainya. Kami hanya berbasikal ke sekolah. Seorang rakan saya berbasikal sejauh kira-kira 50 kilometer sehari. Saya sendiri 32 kilometer. Saya sendiri tidak arif untuk mentafsirkan hal ini. Kami sebenarnya seronok berbasikal. Ramai kawan. Boleh berlumba hari-hari. Sayang, tidak ada Persatuan Lumba Basikal Malaysia yang mengesan kami waktu itu. Jika tidak tentu ramai jadi juara kampung.

Hiba juga bila dikenang. Dari tingkatan satu hingga ke tingkatan lima, saya memakai seluar pendek dan baju berlengan pendek. Saya memang jenis tidak boleh kena panas. Bayangkan selama lima tahun saya bakar diri saya. Bakar sebakarnya. menunggang basikal terdedah seratus peratus kepada terik matahari. Tetapi saya tidak bakar jasad saya. Sebaliknya saya bakar semangat saya. Itulah yang masih saya bakar hingga sekarang. Saya bakar juga semangat anak- anak dan cucu-cucu. Ada juga yang terbakar semangatnya untuk mengikut jejak saya. Alhamdulillah ada impaknya. Silakan. Majukan diri kerana Allah dan untuk manusia di sekeliling kita. Jika anak kampung seperti saya boleh membakar diri. Masa dulu-dulu yang payah banyak sungguh cabarannya. Tetapi cabaran sebegitu tidak juga kunjung padam kepada anak-anak teknologi dan anak-anak pembandaran yang dilingkari Astro, internet, facebook, flicker, telefon bimbit, bluetooth dan entah apa lagi yang tetap terus dicipta. Sepatutnya teknologi membantu mengeluarkan diri kita dari kemelut kepayahan. Yang penting bagaimana diri dan minda kita diset supaya melonjak ke hadapan. Maju dan terus dipacu maju.

Sewaktu di sekolah menengah saya sudah tidak boleh lagi tidak membawa wang saku. Bukan untuk makan. Bukan. Bukan untuk makan. Untuk tambang menyeberang Sungai Batu Pahat. Pada kebanyakan masa saya membawa basikal saya menyeberang sungai menggunakan sampan. Oleh kerana sudah biasa dengan air dan sungai, langsung tidak ada rasa gerun menggunakan sampan. Pembaca hendak tahu? Setiap kali sampan sarat dengan penumpang (orang dan basikal) birai sampai hanya kira-kira tiga hingga lima sentimeter dari paras air. Kami tidak ngeri atau takut. Alhamdulillah tidak ada sampan yang tenggelam. Hanya sekali berlaku. Itupun pelajar perempuan yang tidak menunggang basikal. Sampan terbalik dan dia mati lemas.

Yang lain, terutama lelaki, biasa bermain air. Biasa bermain oleng. Ombak sungai terlalu kecil untuk dibimbangi. Paling sukar ialah pada musim tengkujuh. Air sungai tinggi parasnya. Deras pula airnya. Namun kepada si tukang sampan, air adalah permainannya. Ada sahaja teknik untuk mengatasi masalah air. Semuanya selamat belaka. Berapa agaknya tambang pergi dan berapa tambang balik? Tidak mahal. 10 sen sahaja. Pergi dan balik 20 sen. Allah. Itupun saya selalu berhutang. Ya, saya berhutang. 20 sen terasa besar. Kemampuan masih terbatas untuk menyediakan hanya 20 sen. Saya mohon berhutang. Dua atau tiga hari kemudian saya bayar. Alhamdulillah, abang Jaafar (saya tidak tahu hidup atau matinya) mengerti orangnya. Banyak belasnya. Terima kasih bang.

Jika kena jadualnya, saya akan menyeberang dengan feri. Ada di antara petugas yang baik hati. Dia lepaskan saya tanpa meminta tambang. Bila hal itu berlaku, saya gunakan untuk membeli mee goreng yang harganya semangkuk 10 sen. Saya minum air paip. Sungguh, air paip. Dulu di sekolah rendah saya minum air hujan. Di bandar saya minum air paip. Sampai kembung perut. Mee goreng di kantin terasa kuat tarikannya. Mee yang sudah dibubuh dalam mangkuk, dicelur dengan kuah kari panas. Kuah itu dituang semula ke dalam periuk. Mee tadi hanya basah sahaja. Mandilah agaknya. Sedikit sambal tumis akan ditambahkan. Aduhai, sedapnya. Licin berkilat mangkuknya saya kerjakan. Cuma tidak tergamak untuk menjilatnya.

Allah sayangkan saya. Selama lima tahun berbasikal, saya tidak pernah mengalami basikal rosak atau bocor tayarnya di tengah jalan. Kadang-kadang bocor juga, tetapi di sekolah. Alhamdulillah kerana berhampiran sekolah ada kedai basikal. Upah tampal hanya 5 sen sahaja. Panas dan hujan sahajalah yang tidak dapat dihindarkan. Paha saya hingga ke kaki habis hitam legam. Terbakar. Lengan begitu juga. Muka lebih dahsyat. Sudahlah kurus, hitam legam pula. Dalam hati, saya berkata sendirian, siapalah yang hendakkan aku ni. Allah Maha Kaya, ada juga yang sudi. Sekarang, hitam sudah tinggal manisnya. Kurus sudah berisi pula. Muka? Alhamdulillah boleh tahan bila sudah berumur. Itulah saya pesan, bila hendak berumahtangga jangan cari yang lawar atau cantik sahaja. Jika tidak ada, pilihlah yang ada potensi. Sedap juga rasa mata memandang. Maaf, macam puji diri pula. Sahaja hendak hiburkan hati. Dalam lara kena jenaka sedikit. Biar berulam bersulam. Bawa hati tidak menentu tidak ada ertinya juga. Bakar lagi semangat diri. Diri kita milik orang-orang yang ada di sekeliling kita. No man is an island.


Sewaktu di tingkatan dua dan tiga saya bersekolah di sebelah petang. Pukul 10 pagi saya bertolak dari rumah. Sampai di sekolah kira-kira pukul 11.30 pagi. Apabila bangun pagi, saya buat kerja rumah. Selepas itu saya memasak. Ibu sudah lama menoreh. Pukul 9.00 ibu akan siap menoreh. Dia perlu sarapan. Tidak ada lain, nasilah hidangannya. Makanan kesukaan saya ialah nasi putih, ikan tamban masin, sambal tumis dan apa-apa sayur yang ada. Saya sudah pandai memasak sejak saya di tingkatan dua. Sekarangpun saya masih memasak kerana isteri saya juga sibuk. Waktu di Kuala Terengganu dulu saya bergilir memasak bersama rakan bujang saya di rumah sewa. Malah semasa berkursus di Toronto, Canada dulu, saya yang paling kerap memasak. Orang Canadapun suka masakan saya. Nantilah saya ceritakan pada pos yang lain.

Saya memasak dengan cara yang ringkas. Cuma kadang-kadang rumit. Apabila nasi masak ditanak, apabila kering airnya, saya akan masukkan dua ekor ikan tamban masin. Ini resepi baik. Apabila nasi masak, masin ikan akan turun ke nasi. Pembaca nak tau? Nasi masin ini jika dimakan tidak berlaukpun tidak mengapa. Penuh rasanya. Masin dan lemak. Menyengat di lidah. Nasi pula panas. Berpeluh-peluh jadinya. Saya minta maaf. Jika ada yang meniru resepi ini, kena bayar royalti. Resepi mahal. Hanya baru sekarang resepi ini saya dedahkan kepada umum. Rahsia besar sebenarnya. Nanti, isteri-isteri yang kesuntukan masa, bolehlah cuba. Abang-abang bujang memang digalakkan. Pertama jimat. Kedua boleh elak kolestrol. Tidak perlukan minyak.

Sambal tumis saya agak rumit. Setiap pagi saya memarut sebiji kelapa. Tentulah dengan parut. Parut dulu aluminium sekeping. Parut dengan gerak naik dan turun. Lenguh hendak menghabiskan sebiji kelapa. Naik turun gerakan tangan. Saya hanya gunakan kelapa tua yang gugur di sekeliling rumah. Kelapa tua banyak santannya. Macam saya banyak pula ideanya. Kononnya. Saya kupas kulitnya. Saya belah. Saya cungkil isinya. Jenuhlah saya memarut. Perah santannya ke dalam kuali. Sementara itu saya memetik cili api di keliling rumah juga. Tumbuk hingga lumat bersama bawang merah dan ikan bilis. Bawang putih dan bawang besar jarang dibeli. Tidak diperlukan agaknya. Atau mungkin jadi membazir kerana bawang merah sudah mencukupi. Saya rebus cili dalam santan hingga keluar minyaknya. Bubuh sedikit garam. Gula tidak perlu kerana santan mengeluarkan tahi minyak yang agak manis rasanya. Sayur juga saya masak sama ada tumis atau gulai lemak. Dengan hidangan istimewa itu saya akan makan, tidak ingat, mungkin dua pinggan penuh. Aduh, sedapnya. Sedap, antara masin ikan tamban, pedas dan menyengat sambal tumis cili api, dan gulai lemak. Semuanya dimakan ketika masih panas berwap. Berkepul-kepul di dalam pinggan. Jika ada terung pipit atau buah meranti atau terung asam lebihlah sedapnya.

Sudah lama saya tidak memasaknya. Kolestrol. Bahaya. Dan.... dan..... dan....jika kehabisan beras dan lauk, saya memasak juga. Tetapi ubilah yang saya masak. Apa lagi yang boleh saya buat. Ubi rebus dimakan dengan ikan masin atau dengan sambal. Kadang-kadang sambil makan meleleh juga air mata saya mengenangkan nasib. Ubi pun ubilah asalkan perut kenyang. Banyak lagi masakan yang boleh saya buat. Anak-anak saya suka bila saya memasak. Ada kelainan kata mereka. Bukan apa, tukar selera sahaja. Bukan sedap sangatpun. Bila lain, datanglah sedapnya. Bukan begitu? Begitulah saya bermain dengan selera.

Apabila saya di tingkatan empat dan lima, kebiasaan itu terlerai. Saya ke sekolah pada awal pagi dan sampai di rumah kira-kira pukul 3.00 petang. Tentulah keletihan kerana panas dan berpeluh. Saya akan tidur sekejap barang 10 hingga 20 minit. Apabila jaga saya akan makan. Saya sambung dengan membuat kerja rumah. Selepas 'Asar saya akan bermain badminton atau sepak takraw. Hampir Maghrib baru pulang. Malam saya mentelaah pelajaran. Esoknya rutin itu berulang lagi. Dalam pada itu ada malam-malam tertentu saya belajar berzanji. Seronok anak muda berlagu mendayu-dayu membesarkan Rasulullah.

Sebenarnya, semakin saya besar, semakin letih jadinya. Letih dimamah pegalaman yang tidak surut-surut sukar dan payahnya. Letih dibakar matahari. Letih dibasahi hujan. Letih kerana undernourished. Letih kerana kekurangan-kekurangan yang berlaku di keliling saya. Masih terasa pedihnya kaki mengayuh basikal. Masih terasa tegangnya kepala lutut menghenjut pedal basikal. Masih terasa panasnya punggung di atas tempat duduk kecil yang keras kematu. Masih terasa kejangnya paha bergeser palang basikal. Walaupun masa berlalu sudah terlalu lama, kesannya masih terasa-rasa. Orang lain dengan pengalaman selesa tetapi saya dengan pengalaman suka duka serta kepayahan segala.

Sekarang ini izinkan saya menikmati hasil susah payah itu. Tidak juga untuk diri sendiri. Saya kongsikan dengan mereka yang berhak sama untuk menikmatinya. Anak-anakku, abah masih terasa payahnya. Jangan kau warisi kepayahan ini. Segala ilmu yang ada di dadamu adalah bekal untuk menangkis kepayahan-kepayahan yang mungkin ingin menjenguk-jenguk semula. Ini cerita lama. Kembara abah belum tamat lagi. Banyak cabaran masih menanti di hadapan sana. Abah berikan kau semua sinergi untuk berlapang dada menghadap hari muka. Yang pasti dan yang tidak pasti.

Sunday, March 7, 2010

Down My Memory Lane

Hidup muda telah lama berlalu. Sekarang sedang menyongsong hari tua yang meniti perlahan. Masa inilah fikiran digagahi untuk mengimbau semua yang telah dilalui. Apakah nilai tambah (value added) yang telah dibawa bersama. Ilmu, maklumat, kemahiran atau apa sahaja yang menjadikan diri saya dilihat melebihi orang lain atau sendiri merasa ada kelebihannya berbanding dengan waktu masih banyak kejahilan. Masa dulu-dulu yang banyak kepayahannya sudah berlalu. Tinggal kenangan. Ada yang syahdu, ada yang sayu, ada yang dirindu, ada yang rasa mengembangkan ria.

Bersama wanita cantik ini, sudah 39 tahun saya membina keluarga. Hanya yang bongsu pada 11 Mac ini akan diketahui masa depannya. Saya masih berdebar menunggu keputusan SPMnya, sama seperti menunggu keputusan anak-anak yang lain dari yang sulong hingga yang kelapan. Melihat pada anak-anak yang lain, doa saya yang kesembilan ini juga akan menjejaki kakak-kakak dan abang-abangnya. InsayaAllah. Moga-moga Allah mengkabulkan doa saya.














Wanita ini, Hajjah Maznah binti Abas adalah seorang gadis kampung yang cantik. Banyak juga persaingannya sewaktu saya berjaya menjejak tahta hatinya. Keayuannya masih ada hingga sekarang. Usianya 60 tahun pada Mei 2010. Seperti saya, usianya tidak menampakkan tuanya. Masih suka kecantikan, berbaju cantik, berhias, dan mempastikan rumahnya sentiasa presentable. Anak-anak belum terikut ketramilannya dari banyak segi.

Cucu yang kesebelas ini lelaki tetapi dilihat seperti mewarisi neneknya. Laju, ligat dan tidak boleh duduk diam. Ada sahaja yang hendak diurusnya. Mudah-mudahan begitu. Kebetulan ibunya jurutera dan ayahnya berminat dengan berniaga. Mungkin dari situ keligatannya terbina. Sudah ada dalam darah daging.














Saya cuba menjejaki diri saya. Siapa saya, dari mana asalnya. Gambar-gambar sewaktu kecil sangat tiada. Rupanya cacatan begini ada manfaatnya bila sudah dimamah usia. Melihat kembali masa lalu yang terakam. Alhamdulillah, gambar waktu sekolah ini masih ada. Masih mengimbau rasa. Saya duduk di kiri cikgu. Mr Koh Khoon Sien. Baik, tegas. Kadang-kadang lucu berjenaka.
Maaflah jika tidak mengenali saya. Gambar lama yang dirakam semula.














Yang ini gambar kelas sewaktu di tingkatan satu. No enam berdiri dari kiri. Nampak agak tinggi juga. Tidak mahu kalah dengan rakan-rakan yang lain. Cuma, bukanlah enau yang melepaskan pucuk masing-masing. Nantilah, mungkin akan saya nukilkan zaman-zaman ini.














Sekarang sudah tingkatan tiga. Saya duduk nombor dua di sebelah kiri. Cuba renung. Hitamnya sudah legam menjadi-jadi. Seluar pendek lagi. Kalau zoom mesti kelakar.











Masa berlalu begitu pantas. Lima tahun di sekolah menengah penuh cabarannya.

Kini sampailah saya di tingkatan lima. Aktiviti kokurikulum lain tidak dapat diceburi hatta
persatuan dan kelab apapun. Sukan, permainan dan olehraga jauh sekali. Inilah satu-satunya aktiviti saya. Pasukan beruniform. Kadet tentera. Puas juga berkawad. Belajar menembak lagi di Kem Tentera Kluang. Banyak juga lucunya semasa jadi kadet dulu. Yang di depan sekali menjadi penghulu dan sekarang menetap di Pontian Johor. Dua yang ditengah, Mohd Yatim dan Dasuki, dikatakan menjadi guru tetapi hingga sekarang sejak tahun 1965 saya terputus hubungan dengan keduanya. Tinggallah yang di belakang sekali. Kurus, tinggi dan kekal hitamnya hingga sekarang.
Gambar ini di Port Dickson. Mengiring pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Munshi Ibrahim Labis. Belum reti menutup aurat. Pakai seluar pendek lagi. Pelajar-pelajar tingkatan satu minat pula bergambar berkeliling. Bertuahnya jadi cikgu. Guru muda katakan. Hitam-hitampun cikgu.







Ini rakan-rakan guru pelatih. Saya tidak ingat di mana gambar ini diambil. Di kanan saya Zaiton, kemudian Juni dan di hujung Ismail. Anak Ismail, Lokman ada di UTHM.














Ramainya anak murid. Cikgunya bergaya sakan.














Zaman di Maktab Perguruan Bahasa Kuala Lumpur. Yang di tengah, Ahmad Omar, mantan Ahli Parlimen Pagoh. Yang bebaju batik di sebelahnya, Haji Zakaria, tukang gunting rambut saya.














Semua gila kamera. Pantang ada orang ambil gambar. Berebut-rebut nak masuk gambar. Sekarang baru boleh menghargai gambar-gambar sebegini.
















Perjalanan untuk berkursus. Ke Kuala Terengganu. Sedang transit di Mentakab.


















Bergambar sakan. Zakiah hanya rakan. Saya sudah bertunang ketika ini. Sudah ditutup untuk orang lain.


















Ini bersama Yunus. Entah di mana sekarang.



















Ramai-ramai merakamkan waktu yang pastinya berlalu. Yang hadir sahaja tahu sejarahnya.



















Mahlan. Sama-sama menjadi guru sementara di Sekolah Kebangsaan Seri Permatang Rengas, Seri Medan, Batu Pahat. Disember 1966. Di Cameron Highland.




















Ini gambar di Kuala Terengganu. Tahun 1969. Di kawasan air terjun Sekayu di Kuala Brang. Masih langsing giler.



















Lagi satu pos. Ainah. Juga guru sementara di sekolah yang sama. Gambar ini di lapangan terbang Subang.



















Masa yang berlalu memberi impak kepada diri saya. Ada impak yang signifikan dan ada impak yang tidak signifikan. Oleh kerana saya seorang introvert, saya lebih suka low profile. Tidak berapa selesa dalam lime light. Tidak pernah lagi on camera. Takut sangat jadi celebrity.

Masa telah lama berlalu. Membawa bersamanya milik saya yang dulu-dulu. Dalam perjalanan itu ada nilai tambah yang saya perolehi. Yang hilang tentulah yang dikira lapuk dan sudah tidak diperlukan lagi. Have to be discarded. Yang hilang tidak pula lenyap dari ingatan. Sesungguhnya apabila kita sampai di suatu stesen, kita mengumpul kekuatan baru untuk menerobos ruang masa di hadapan. Pengalaman membantu saya merancang tetapi tetap dalam lingkungan yang Allah redhai. Saya milikNya dan akan pasti kembali kepadaNya. The day of reckoning. Hari pembalasan yang telah Allah janjikan pasti akan tiba. Sebelum sampai di destinasi itu saya kembara dulu di alam maya yang fana ini.















Gambar ini diambil pada tahun 1967. Kami sedang menunggu keretapi di Stesen Keretapi Segamat. Guru-guru pelatih seperti saya diatur perjalannya dengan keretapi. Percuma. Saya diberi warrant ticket. Bas ekspress belum dimimpikan ketika itu. Lebuhraya utara Selatan belum difikirkan lagi. Saya dan rakan-rakan berkursus di Kuala Terengganu. Di Sekolah Menengah kebangsaan Padang Midin dan sebahagiannya lagi di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman. Di kiri saya ialah Abas. Di kanan pula Zakiah, Zabedah, Yunus dan yang di kiri sekali sudah lupa namanya sebab dia dari sekolah lain. Kursusnya selama dua minggu. Cuti sekolah. Begpun besar-besar. Apa isinya saya sudah lupa.

Ada cerita lucu di Pantai Seberang Takir. Seorang teman dari Segamat, Ibrahim namanya, memandang ke laut. Ia bertanya kepada saya, adakah yang putih-putih dilihatnya bergulung-gulung itu kapal. Lama saya renung mukanya. Saya tanya balik adakah dia tidak pernah melihat laut. Secara jujur memang dia tidak pernah melihat laut katanya. Kesian saya kata. Yang itu adalah ombak yang bertali-tali turut menurut. Lepas itu saya ketawa terbahak-bahak kerana memperlinya. Kesian, kesian. Ombak itupun bukan tinggi dan tidak besar. Terlalu kecil dilihat dari pantai. Mungkin kerana terpegun melihat laut dia tidak dapat memerhati secara perspektif. Tidak dapat membezakan antara air laut, ombak yang bealun-alun dan ufuk yang di kejauhan.

Peristiwa itu sebenarnya cukup besar iktibarnya. Apabila kita jahil tentang sesuatu perkara dan apabila kita cuba menterjemah dan menginterpretasi tanpa ilmu, maka persepsi kita jadi keliru. Jauh menyimpang dari sasaran kebenaran. Yang haq tidak dapat dilihat. Sebaliknya kita hanya melihat symtom yang kadang-kadang sukar dimengerti. Sebab itu hanya jauhari sahaja yang mengenal ma'nikam. Kita keliru antara kaca dan intan. Malah mutiarapun sukar dikenal. Allah bertanya dalam al-Quran yang mafhumnya "Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui". Allah memperakui bahawa "Orang yang berilmu adalah lebih tinggi darjatnya berbanding dengan orang yang kurang ilmunya."















Perjalanan dengan keretapi memperkayakan kemahiran geografi saya. Dari tempat yang penuh dengan kampung dan parit saya sampai di tempat-tempat yang tampak indah bunyinya walaupun tempat dan persekitarannya tidak seindah namanya. Dari Segamat keretapi membawa saya ke Gemas, merentas Negeri Pahang, melangkaui Negeri Terengganu dan akhirnya turun di Tumpat. Dari Tumpat kami berkereta ke Kuala Terengganu. Kenangan yang indah saya kira ialah menemui nama-nama seperti Paloh Hinai dan Manik Urai. Paloh Hinai selalu saya rentas dalam perjalanan ke Pantai Timur. Tetapi Manik Urai tidak pernah saya jenguk lagi sejak tahun 1967. Terlalu lama. Tentunya sekarang Manik Urai sudah bermanik-manik pembangunannya.

Entah, banyak pula gambar saya diapit wanita. Di kiri Zabedah dan di kanan Zakiah. Sesama kami mesra sebab di Segamat tidak banyak sekolah. Seingat saya ada empat buah sekolah menengah. Sekolah Kebangsaan Tinggi Segamat, sebuah lagi tidak saya ingat namanya, sebuah di Tangkak dan akhirnya Sekolah Menengah Kebangsaan Munshi Ibrahim di Labis.















Gambar di sebelah ini saya sedang duduk di tangga sebuah bangunan di Universiti Malaya pada tahun 1968. Itulah satu-satunya universiti di Malaysia ketika itu. Tangga itu akhirnya saya jejaki dan menjadi graduan pada tahun 1979. Sebelas tahun kemudian. Ada ceritanya pada pos yang lain. Semangat saya terbakar di sini. Saya hangus di sini. Tidak menjangka pada tahun 2003, selepas 24 tahun, saya jejaki lagi alma mater saya ini untuk mengikuti kursus Sijil Pengajian Al-Quran dan kemudiannya pada tahun 2008 menjadi graduan Diploma Eksekutif Pengajian Usuludin.

Yang mana saya ya? Nampak bergaya berbanding dengan yang lain. Di kiri saya sudah tidak ingat namanya. Cuma orangnya jiwang-jiwang. Di tengah itulah Ibrahim. Duduk Segamat dan tidak pernah melihat laut sehinggalah di Kuala Terenggnu pada tahun 1967. Di belakang Ibrahim ialah Shaeran dari Muar dan di atas sekali Saaban rakan seolah di Sekolah Kebangsaan Tinggi Batu Pahat. Masih pensyarah kontrak di UiTM Melaka.















Itulah katil saya di Maktab Perguruan Bahasa kampus jalan Damansara, bekas kampus Maktab Perguruan Teknik sebelum dipindahkan ke Cheras hingga sekarang. Saya masih ingat nama yang lain tetapi yang lentuk di depan, terlupa sangat. Di hujung Saaban. Dibelakangnya Esa. Kemudian Saiman, Ibrahim, budak kampung, Danik dan di belakang Yusof Achil.















Nama-nama lain yang belum saya sebut ialah Awaludin yang sedang dipegang oleh Ibrahim. Di hadapan Ibrahim ialah Al-Razi. Yang seorang lagi masih tidak boleh diingat namanya.

Di bawah ini pula di rumah sewa saya yang kedua di Kuala Terengganu. Di Ladang. Besar rumahnya. Ramai rakan-rakan suka bertandang sebab mereka tinggal di luar Kuala Terengganu. Tempat landing kononnya. Yang membelakangkan kamera ialah Rahman. Yang seorang lagi sudah tidak diingat namanya.

































Waktu di maktab pada tahun 1968 dahulu umur saya 22 tahun. Langsing, kurus dan nampak tinggi. Posing yang ini kira posing maut. Senyum tidak pernah lekang hingga sekarang. Tidak ada apa yang boleh saya beri. Senyum itu sedekah kata sebuah hadith. Gayut dan lentuk bak model. Siapa menyangka sejarahnya penuh dengan serba kepayahan. Seluar pendek sudah panjang. Hitam legam yang dulu sudah jadi hitam manis. Muka tidak cantik, cuma alhamdulillah kekal manisnya hingga ke tua. Apa lagi yang saya minta. Seperti firman Allah dalam surah al-Rahman yang mafhumnya "Tidak cukup lagikah nikmat yang Allah telah beri?"















Saya ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Seberang Takir (sekarang Ibrahim Fikri) selama dua bulan. Ditukarkan pula ke Sekolah Menengah Kebangsaan Chung Hwa Wei Sin, Kuala Terengganu. Menjadi guru Bahasa Malaysia. Pada waktu itu sudah ada dua orang guru Melayu yang lain iaitu Yusuf Desa dari Pulau Pinang dan Mohd Nor dari Kuala Terengganu. Pelajar pula dua orang Melayu. Seorang lelaki dan seorang perempuan. Yang sedang jamuan bersama saya adalah pelajar-pelajar tingkatan tiga. Mereka nampak besar-besar. Saya sudah mula menyerap suasana kecinaan ketika itu hingga ada yang menyangka saya orang Cina.


















2 Ogos 1971 adalah tarikh saya menamatkan zaman bujang saya. Saya berkahwin dengan seorang gadis cantik yang boleh dikatakan jadi rebutan juga di kampung. Maznah binti Abas. Mungkin kulit hitam saya ada tarikannya. Ialah hitam-hitam sitampuk manggis, hitam-hitam tetap dipandang manis. Sebenarnya saya tidak mahu dihias, tetapi ibu saudara saya memaksa juga. Nama raja sehari. Kena perintah pula. Terpaksa ikut kerana waktu itu adat bersanding cukup kuat. Solekannya betul-betul macam pelakon wayang Cina. Alhamdulillah, empat anak saya yang sudah berkahwin tidak saya sandingkan. Saya hindarkan kebiasaan itu. Ingat kata saya masa dulu-dulu, apa-apa perubahan, mulakan dari diri kita dahulu.

Itulah pengikat kasih sayang kami. Penyatuan yang penuh rasa cinta. Akan saya abadikan ke akhir hayat. Enam tahun kami bertunang. Dari belum ada kerja hinggalah sekarang. Taj Mahal itulah hadiah yang saya dedikasikan untuknya.

Isteri saya putih orangnya. Dulu cukup langsing. Rambut panjang mengurai. Bila sudah berumur biasalah seperti saya juga, berisi sedikit. Tidak gemuk. Masih sepadan macam masa dulu-dulu. Cantikkan? Sama padan nampaknya. Ia ke ni? Macam apa? Macam pinang dibelah dua. Perasan, perasan. Untuk menunggu pujian siapalah yang sanggup memberinya. Meluat mungkin ada. Pujilah sendiri. Sedapkan hati. Sedapkan rasa.
Maaflah. Saya hanya berinteraksi dengan diri saya sendiri. Gambar masa muda dulu banyak tetapi tidak dapat dipamerkan. Waktu itu belum lagi menutup kepala. Jika berkeinginan juga untuk melihatnya kenalah datang in person. Tentulah dengan izin tuan punya gambar. Ia eksklusif untuk tatapan keluaga sendiri.

Melihat gambar-gambar lama ini semula ada rasa lucu. Anak saya yang kedua menangis. Kenapa dia tidak diajak bergambar. Jenuh saya menerangkan yang dia belum wujud lagi. Ikut keletah dialah dengan manjanya, dengan tangisnya, dengan rengeknya. Meraung-raung kerana ditinggalkan tidak diajak bergambar!

Pertemuan dua insan ini melestarikan 9 orang anak. Dua putera dan 7 puteri. Pertama hingga keenam puteri. Tujuh dan lapan adalah putera dan ditamatkan dengan seorang puteri sebagai anak yang kesembilan. Sudah 11orang cucu dan insyaAllah akan menjenguk yang ke-12.

Ps. baru teringat. Setelah berminggu-minggu, nama rakan maktab yang tiada diingat namanya ialah Sirat.

Tuesday, March 2, 2010

Masa Dulu-Dulu - Bahagian Keempat Belas

Semasa di sekolah rendah dahulu, Guru Besar saya telah mengesan kecerdasan saya. Kebetulan dia adalah datuk saudara saya. Isterinya adik kepada datuk saya, bapa ibu saya. Alhamdulillah semasa di sekolah rendah saya selalu mendapat tempat pertama dalam semua peperiksaan. Tetapi mendapat tempat pertama di sekolah rendah yang jauh di pedalaman tidaklah sehebat bagi mereka yang bersekolah di bandar.



Orang-orang bandar ada egonya sendiri pada waktu itu. Apabila ada saudara mara saya yang bertandang dari bandar, saya terasa kecil. Melihat gaya mereka, pakaian mereka , buah tangan yang mereka bawa dan gaya mereka bercakap di luar lingkungan kehidupan saya. Tentu sekali pakaian mereka jauh lebih baru, lebih cantik, lebih bergaya, lebih mahal dan digayakan seperti orang bandar. Maaflah bukan mengata tetapi hanya sekadar mengimbau bahawa itu adalah persepsi anak kampung seperti saya. Kepada orang bandar pula itulah gaya hidup mereka. Bayangkan mereka membawa buah anggur bila datang. Terbeliak mata saya melihatnya. Bila makan seperti orang kebulur. Berbiji-biji sekali masuk mulut. Bijinya kira kunyah sekali. Sesudah berusia 63 tahun baru saya tahu khasiat biji buah anggur. Boleh membantu mengurangkan kolestrol. Grapeseed oil banyak dijual sekarang. Sekarang ini tidak ada buah yang menghairankan kita. Di kampumhpun orang menjual buah anggur.



Saya merasa hairan kenapa orang bandar ini bila datang ke kampung, mereka nampak rimas. Guna tangan mengipas-ngipas diri. Benarkah mereka kepanasan? Barangkali hanya psikologi. Mereka sudah biasa dengan kipas angin. (Pendingin hawa belum ada). Di bandar, kipas angin perkara lumrah. Di kampung pula kipas angin tidak diperlukan. Udaranya memang baik, suhu tidak tinggi kerana flora dan fauna masih terpelihara, iklim sentiasa boleh diramal, predictable. Berbezalah gaya dan persepsi. Orang kampung dengan gaya bebas lepas dengan alam, orang bandar terperangkap dengan teknologi.



Saya bersekolah rendah merentas tiga buah kampung. Mesti ingat lagi bagaimana saya melalui akar dan banir pokok getah yang sentiasa licin. Mungkin perlu saya tambah, kelicinannya juga disebabkan embun yang sentiasa banyak kerana paras kelembapan, humidity, yang tinggi masa dulu-dulu itu. Nama sekolah saya ialah Sekolah Kebangsaan Seri Maimun. Yang saya tahu tapak sekolah itu asalnya dimiliki oleh wanita yang bernama Maimun. Nama kampungnya ialah Parit Othman, Parit Sulong , Batu Pahat. Saya sudah lama tidak menziarahi sekolah ini. Sekolah yang penuh dengan suka duka saya. Sekolah yang mendidik saya hingga menjadi seperti sekarang. Sekolah yang mendambakan kejayaan orang-orang seperti saya. Baru minggu lepas seorang teman sekelas saya meninggal dunia. Usianya setahun lebih muda dari saya. Seorang guru juga. Tempat akhir dia bertugas ialah sebagai pensyarah di Institut Perguruan Tun Hussein Onn, Batu Pahat. Saya selalu melalui jalanraya yang dibina bersebelahan sekolah saya ini. Oleh kerana setiap kali saya melaluinya pada waktu-waktu di luar waktu pejabat, maka tidak tergerak hati saya untuk singgah.



Itulah Alma Mater saya yang pertama. Sekolah kampung yang melonjakkan saya ke persada ilmu yang lebih tinggi. Terima kasih Cikgu Esa (sedang bergelut dengan kencing manisnya dan masalah buah pinggang - mungkin sedang dipotong kakinya), Cikgu Ali, Cikgu Jamadi, Cikgu Mohari (Al-Fatihah untuk rohnya), Cikgu Ibrahim (Al-Fatihah untuk rohnya), Cikgu Ismail, Cikgu Ishak dan tidak lupa Cigu Supian (Al-Fatihah untuk rohnya - Guru Besar, datuk saudara saya). Merekalah antara orang-orang yang memanusiakan saya. Mereka rapat dengan saya. Saya selalu juga bila ada kesempatan menziarahi mereka. (Sayu juga saya bila mengenang mereka kerana tanpa mereka sebagai guru, siapalah saya). Dirgahayu untukmu Cikgu. Saya doakan cikgu-cikgu semua sejahtera. Semoga yang sudah tiada, rohmu di sisi Allah jua. Amin.



Guru-guru waktu itu cukup sederhana hidupnya. Gaji mereka bukan besar. Hanya beberapa ratus ringgit sahaja. Duduk di kampung, sewa rumah hanya beberapa ringgit. Makanan murah. Orang kampung banyak yang memberi. Mereka dihormati, disegani, dirujuk, cakapnya didengar, pimpinannya dipatuhi. Zaman itu sangat asing bagi kita sekarang.) Moga-moga yang muda mengambil iktibar dari cerita ini.) Paling baik mereka memiliki basikal. Suatu kemestian kerana jika hendak balik kampung, basikal sahaja yang memudahkan. Pengangkutan lain jadualnya tidak menentu. Pakaian mereka tidak banyak. Seluar putih dan baju putih lengan panjang. Bila dibasuh wajib dikanji dan diseterika keras kejung. Bila dipakai nampaklah saidnya menganjur dari pinggang ke kaki dan dari bahu ke pergelangan tangan. Kainnya diperbuat dari kapas. Belum ada linen, dacron, rayon dan sebagainya. Ketika itu mereka nampak hebat, anggun dan berwibawa.



Dari merekalah saya belajar. Menapak dari a, b, c dan seterusnya. Dari mereka saya belajar 1, 2, 3 dan seterusnya mencampur, menolak, mendarab dan membahagi. Sampailah saya ke darjah enam. Tibalah masanya saya menentukan nasib saya. Sementara itu Guru Besar telah menemui ibu saya , anak saudaranya, untuk membujuk ibu saya supaya meneruskan pembelajaran saya. Alhamdulillah ibu saya memberikan lampu hijau. Ujian pertama saya ialah mengambil peperiksaan masuk ke sekolah menengah.



Peperiksaan itu diadakan di Sekolah Kebangsaan Parit Sulung. Hanya beberapa orang sahaja dari kelas saya yang layak menghadiri peperiksaan itu. Seingat saya Asiah (sekarang di Bandar Penawar), Mohamed (meninggal minggu lalu) dan saya sendiri. Anak kampung seperti saya berhadapan dengan kejutan budaya. Parit Sulong bukanlah bandar besar. Sebuah pekan kecil. Kalau kampung, kampunglah fikiran dan semangatnya. Saya menjadi kagum melihat tingkah laku yang lepas laku anak-anak pekan. Anak kampung seperti saya, berjalan pijak semut tidak mati. Perlahan dan takut. Gerun pun ada.



Periksa bukan calang-calang periksa. Ada Bahasa Melayu, ada Bahasa Inggeris, ada Metematik. Yang menggerunkan ialah menduga akal. Bunyinya gerun. Budak darjah enam hendak diduga akal. Gila kata saya. Dalam keadaan gemuruh, takut, gugup itu saya jawab apa yang patut. Anak kampungpun mesti boleh tunjuk kehebatannya. Menduga akal yang paling mencabar. Mencari beza, menentukan persamaan, mengesan kesalahan. Semuanya dalam bentuk rajah, gambar, lakaran dan sebagainya. Pendek kata jika murid yang buta warna, memang berpinar melihat visual dan soalan-soalannya.



Syukur alhamdulillah. Saya lulus. Di sinilah timbul dilema. Suatu persimpangan keputusan yang perlukan kebijaksanaan. Untuk ke sekolah menengah saya terpaksa ke bandar. Pilihan harus dibuat mengenai sekolah apa, sekolah mana dan hendak tinggal di mana. Bagaimana ibu? Mampu? Aduh banyak sungguh cabarannya. Apa dia? Nanti dulu. Sabar. Bagi suspen. Biar berdebar sedikit.



Guru besar dan anaknya (sepupu ibu saya. Salim namanya. Juga seorang guru) mahukan saya bersekolah Inggeris. Lupa saya, darjah enam saya pada tahun 1959, dua tahun selepas merdeka. InsyaAllah ada cerita bagaimana saya turut terlibat dalam proses kemerdekaan ini). Kata mereka, sekolah Inggeris bagus. Senang dapat kerja. Maka mendaftarlah saya di High School, Batu Pahat, (Sekolah Kebangsaan Tinggi) dalam kelas peralihan Bahasa Inggeris. Berpintal-pintallah lidah saya hendak menyebut dan bercakap dalam Bahasa Inggeris. Akhirnya bercakap Inggeris tetapi bunyinya Melayu. Maaf, bunyi Jawa bercakap Inggeris. Higga tingkatan 5 saya masih tidak fasih berbahasa Inggeris. Ada ceritanya dalam pos yang lain.



Di mana hendak tinggal? Yang ini dilema sungguh. Guru Besar mahukan saya tinggal di rumah isteri tuanya, di Kampung Mampan, Peserai Kecil, Simpang Lima, Batu Pahat. Boleh naik basikal. Tetapi waktu itu ibu saya memilih untuk menumpangkan saya di rumah sepupu arwah ayah saya di Lorong 3, Broleh, Jalan Kluang, Batu Pahat. Keluarlah saya dari kampung. Suatu sejarah yang mengeluarkan saya dari kepompong. Kepompong yang saya selesa selama ini. Berpisahlah saya dari semua persekitaran yang telah menjelmakan saya. Berpisahlah saya dengan ibu tercinta. (Entah kenapa setiap kali saya menulis yang ada kaitan dengan ibu, air mata merembas keluar. Terasa sayunya mengenang orang yang sudah tiada. Saya gagal untuk benar-benar membahagiakannnya). Saya ingin berpesan kepada pembaca yang ibu bapanya masih ada, bahagiakanlah mereka. Usahakanlah. Sementara masih ada masa.



Bapa sepupu saya, menghantar saya dan anak perempuannya pergi dan balik dari sekolah. Pada tahun 1960, kereta Ford miliknya tidak seperti kereta-kereta sekarang. Pintu bahagian hadapan dibuka arah ke hadapan. Bila berhenti, tolak pintu dengan tangan, kaki keluar ke hadapan. Badan tidak payah berpusing. Lampu isyrat akan muncul mendepa di kanan atau di kiri kereta bila dihidupkan. Bila mati enginnya, kenalah putarkan dengan pemutar khas. Tidak dicrank dengan kunci.



Sewaktu keputusan hendak menghantar saya ke sekolah menengah, ibu saya menghadapi cabaran yang cukup dahsyat. Walau bagaimanapun, latihan berdikari semenjak bapa saya meninggal, menguatkan tekad dan semangatnya. Oleh kerana hasrat ibu saya itu belum pernah dibuat oleh orang kampung saya, maka mereka menganggap ibu saya akan berhadapan dengan masalah untuk menyekolahkan saya. Ada yang kata ibu saya akan berak hijau untuk mencari ongkosnya. Ada yang kata berak hitam. Ada yang kata akan muntah biru. Mereka semua bukan orang lain. Bapa saudara saya. Sepupu-sepupu saya. Saudara mara saya sendiri. Barangkali itulah sebabnya semangat ibu saya terbina kerana ia ingin membuktikan bahawa balu muda yang hina itu mampu memberi pendidikan kepada anaknya. Saya tidaklah merasa bahangnya, tetapi tempiasnya ada. Bila saya lebih mengerti erti cabaran, itulah yang membakar semangat anak kampung seperti saya untuk berjaya. Membakar obor yang terus menyala hingga kini. Saya tetap ingin menyongsong dan manggapai awan.



Rupanya suasana bandar tidak begitu sesuai dengan saya. Saya lemas kerana tidak ada kebebasan untuk bermain sampan dan air, meredah belukar dan hutan, mandi dan berenang di parit, memanjat pokoh buah dan memakannya, bermain banjir dan memikat burung. Beberapa bulan kemudian saya merayu kepada ibu supaya membenarkan saya tinggal di rumah Guru Besar, di Kampung Mampan. Hampir setahun setengah saya di kampung itu.



Maka berulang aliklah saya ke sekolah yang jauhnya kira-kira lima kilometer. Kampung Mampan masih kampung tradisi. Mandi di kolam yang masam dan kelat airnya. Belum ada jalan tanah merah apatah lagi jalan bertar. Dari Kampung mampan ke Simpang Lima kira-kira dua kilometer. Jalannya tanah merah. Waktu musim panas tidak ada masalah. Bila musim hujan masalahnya cukup besar. Dari rumah ke jalan tanah merah kira-kira setengah kilometer. Basikal akan diberhentikan beberapa kali. Tanah liat melekat pada tayar hingga menyukarkan kayuhan. Berhenti dan cungkil tanah itu. Begitulah berulang-ulang. Melambatkan perjalanan. Siksa juga jika begitu.



Apabila sampai di jalan tanah merah, keadaan yang serupa berlaku. Tanah merah basah juga melekat pada tayar basikal. Terpaksalah berhenti dan membuangnya dengan kayu. Bertahun-tahun kepayahan menunggang basikal itu saya tanggung. Maafkan saya kerana sekarang saya ingin menikmati hasil kepayahan itu. Deritanya semasa bersekolah dahulu hingga menusuk ke tulang sumsum, bukan ke jantung hati. Pedihnya masih terasa. Letihnya masih terasa. Mimpi ngerinya masih terasa. Cabaran demi cabaran yang terpaksa diterima.



Tahun 1962 satu sejarah baru tercipta di kampung saya. Sebatang jalanraya telah dibina merentas kampung saya dari Simpang Lima ke Parit Sulong. Maka sekali lagi saya merubah strategi. Saya ingin berulang alik dari kampung yang jauhnya 16 kilometer dari sekolah. Masa itu jambatan Batu Pahat belum ada. Saya hanya boleh menyeberang sungai sama ada dengan feri atau sampan. Jika berjalan kaki boleh menaiki bot penambang. Dari jeti ke sekolah kira-ira dua kilometer. Waktu di tingkatan 4 dan 5 saya kerap datang lewat kerana masalah menyeberang sungai yang jadualnya tidak menentu.



Tunggu sambungannya.