Monday, February 8, 2010

Penamat Urusan Sekolah - Dihimpunkan semula

Sembilan orang anak cukup mencabar untuk membesarkannya. Alhamdulillah pendapatan bulanan boleh menampung keperluan kehidupan walaupun ada masanya sempit dan sesak juga dibuatnya.

Perkahwinan yang dibina pada tahun 1971 dianugerahkan Allah dengan sembilan orang anak. Tujuh puteri dan dua putera. Enam yang pertama adalah puteri, diselang dengan dua putera dan dilengkapkan dengan seorang puteri. Anak pertama tahun 1972 dan anak terakhir pada 31.12.1992. Cantik. Betul-betul di akhir tahun. Waktunya 11.55 malam menjelang tahun baru 1993. Saya kira penutup suatu kisah indah sebuah keluarga.

Dua anak yang pertama lahir di Kuala Trengganu. Waktu itu saya mengajar di Kuala Trengganu. Pertama di SMK Ibrahim Fikri, Seberang Takir. Kemudian ke SM Chung Hwa Wei Sin, di Bukit Kecil, Kuala Trengganu. Yang ketiga dan kesembilan lahir di Batu Pahat Johor. Yang lain keempat hingga kelapan lahir hi Hospital Ipoh (bertugas di Politeknik Ungku Omar dari 1979 hingga 1990).

Untuk mendapatkan anak lelaki tidak ada formula. Kami hanya menunggu dan berdoa. Kelahiran puteri-puteri kami, tetap kami redhai kerana mereka penyeri hidup kami. Mudah-mudahan mereka menjadi anak-anak yang solehah. Selepas lahir anak keempat, jururawat bertugas berteka teki dengan saya. You want boy or girl. Sepantasnya saya jawab, "of course boy." Selamba jawabnya, "Sorry. Come back next year."

Begitulah tekateki yang yang sama berulang untuk anak yang kelima dan keenam. Bila sampai yang ketujuh barulah positif lelaki. Kami bersyukur. Semoga anak ini anak yang soleh. Semoga anak ini dapat menguruskan jenazah kedua orang tuanya, mengimamkannya dan mendoakannya. Dalam keadaan lain mungkin menjadi wali kepada kakak-kakak dan adiknya bila usia saya tiba di pengjungnya.

Tahun 1979 bermulah episod mengurus persekolahan anak-anak. Anak pertama pernah bersekolah di Sekolah Kebangsaan Sungai Way pada awal tahun 1979. Kemudiannya di sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Raja Perempuan Ipoh (di Jalan Chung Thye Phin). Anak kedua juga di sekolah yang sama. Anak ketiga di sekolah yang sama hingga darjah 4. Anak keempat di sekolah yang sama hingga darjah 3. Dan anak yang kelima di sekolah yang sama hingga darjah satu. Darjah dua dan tiga di SK Tengku Mariam, Batu Pahat. Darjah 4 di SK Bandar Baru UDA.. Darjah 5 dan 6 kembali semula ke SK Tengku Mariam di Batu Pahat.

Anak keenam bermula di SK Bandar Baru UDA. Darjah 2 hingga 6 di SK Tengku Mariam. Anak ketujuh dan kelapan di SJK Montfort di Batu Pahat. Anak yang bongsu di SK Tengku Mariam. Menguruskan persekolahan anak-anak adalah cabaran besar bagi mana-mana keluarga. Bagi yang berpendapatan sederhana atau rendah memang sangat perit. Setiap awal tahun ribuan ringgit mesti disediakan dari pakaian hinggalah buku teksnya. Secara harian dan bulanannya juga mencabar kerana wang saku, tambang bas dan tuntutan sekolah yang tidak mengenal masa. Tidak pernah ambil pusing sama ada ibu bapa ada wang di tangan atau tidak. Kalau keperluan sekolah pada hujung bulan, lega sedikit. Tetapi kalau di tengah bulan, ibu bapa menjadi macam cacing kepanasan.

Akhir tahun 2009 adalah penamat semua suka duka mengurus anak bersekolah. Yang bongsu menamatkan tingkatan limanya. Di hari-hari akhir tahun 2009 anak keenam memberi ulasan kelegaan. Mengiktiraf peranan ibunya yang saban awal tahun berusaha mempastikan anak-anaknya berada dalam "tip-top condition" sebelum memulakan tahun persekolahan yang baru. Ulasannya, "Hari ini tamatlah kesibukan mami (panggilan untuk ibunya) selepas 38 tahun perkahwinan." Terasa benar waktu terlalu cepat berlalu.

Bagi mereka yang sedang mengurus anak-anak bersekolah, teruskan perjuanganmu. Bagi yang baru memulakan peranan, belajarlah dari mereka yang arif. Untuk mereka yang belum bukalah semua deria anda untuk melihat dan mendengar asam garam mengurus anak-anak besekolah.

Hijriyyah Vs Masehi - dihimpunkan semula

Thursday, December 31, 2009

Cuba fikirkan. Yang mana pilihan yang hak. Kalau ramai yang memilih Masehi, apakah implikasinya kepada kehidupan kita. Dan begitulah sebaliknya.



Setiap tahun terdapat perbezaan sebanyak 11 hari antara Hijriyyah dan Masehi. Bulan Hijriyyah berdasarkan Qamari iaitu bulan. Lazimnya ada bulan yang genap 30 hari dan ada pula bulan yang hanya 29 hari. 29 atau 30 hari bukan predetermined tetapi ditentukan dengan tanda hakiki iaitu anak bulan. Bila muncul anak bulan maka bermulalah bulan baru.



Bulan Masehi berdasarkan syamsi iaitu matahari. Maka dalam kalendar barat terdapat bulan yang 30 hari dan 31 hari. Bulan Februari pula 28 hari. Setiap 4 tahun ada pula tahun lompat yang padanya bulan Februari 29 hari.



Mungkin kita memandang remeh mengenai perkara ini. Jika kita teliti berlaku khilap antara umur dan tahun. Di dalam al-Quran Allah berfirman:


وَلَبِثُواْ فِى كَهۡفِهِمۡ ثَلَـٰثَ مِاْئَةٍ۬ سِنِينَ وَٱزۡدَادُواْ تِسۡعً۬ا

Maksudnya: Dan mereka telah tinggal tidur dalam gua mereka: tiga ratus tahun (dengan kiran ahli kitab), dan sembilan lagi (dengan kiraan kamu). (al-Kahfi 18:25). Jika dibuat pengiraan jumlah hari maka 300 tahun Masehi bersamaan dengan 309 tahun Hijriyyah. Maka berlakulah khilap antara Hijriyyah dan Masehi. Lihat jadual di bawah:

Masehi Hijriyyah Perbezaannya

1 tahun = 365 hari = 1 tahun = 354 hari + 11 hari
5 tahun = 5 tahun + 55 hari
10 tahun = 10 tahun + 111 hari
20 tahun = 20 tahun + 222 hari
30 tahun = 30 tahun + 333 hari
32 tahun = 32 tahun + 1 tahun + 1 hari
40 tahun = 40 tahun + 1 tahun + 90 hari
50 tahun = 50 tahun + 1 tahun + 101 hari
60 tahun = 60 tahun + 1 tahun + 112 hari
70 tahun = 70 tahun + 1 tahun + 123 hari
80 tahun = 80 tahun + 1 tahun + 134 hari

Berdasarkan kaedah Masehi umur kita dikira lebih muda dan jika dikira dengan kaedah Hijriyyah maka kita sudah lebih tua. Semua ini mesti diharmonikan. Al-Quran, hadith dan agama Islam membilang tahun menggunakan kaedah qamariah bukan syamsiah. Jika kita masih berpegang dengan tahun syamsiah maka banyak perkara yang khilaf secara berterusan. Sewaktu kita berumur 32 tahun Masehi sebenarnya kita sudah berumur 33 tahun 1 hari. Kita dikehendaki sedar bahawa kita sentiasa bertambah tua lebih cepat berbanding dengan kiraan Masehi. Kesedaran ini harus memberi keinsafan bahawa kita semakin cepat lebih dekat dengan akhir hayat kita. Dengan Masehi kita dilalaikan dengan umur yang lebih panjang. Walhal umur kita sudah lama tinggal sisanya sahaja. Kalau barat mengatakan "life starts at 40" bermakna bagi orang Islam ianya bermula lebih awal lagi iaitu pada umur Masehi sebelum 39 tahun lagi.Mengapa kita tidak balik kepada sistem yang lebih diredhai Allah? Kenapa kita selalu mencari redha manusia? Apakah rasionale kita sebenarnya? Di manakah kewarasan akal kita? Saban tahun kita dikhayalkan dan dilalaikan dengan sambutan tahun baru Masehi sedangkan di sisi Allah ianya langsung tiada nilai. Islam telah menentukan hari-hari yang mulia yang menuntut ummatnya beribadat dengan istiqamah. Bulan Ramadhan adalah bulan mulia. Hari Raya, hari tasrik dan hari Jumaat adalah antara hari-hari yang signifikan dalam Islam. Lagipun Islam menggariskan bahawa hari ini sepatutnya lebih baik dari semalam dan esok lebih baik dari hari ini. Konsep tahun baru banyak lebih gimik dan tujuan komersil. Ditaja hiburan, iklan, kad ucapan, parti dan sebagainya. Kepada mereka yang bukan Islam tidak ada masalah kerana itu budaya mereka. Mereka merasionalkan bahawa semuanya baik untuk mereka. Kita yang Islam bukankah kita ada acuan sendiri? Kita meniru tanpa memikirkan implikasinya dari segi akidah, adat dan budaya timur. Oleh itu carilah jalan pulang. Sedarlah kalau kita telah sesat, jangan degilkan hati untuk terus lebih sesat. Pusingkan haluan, pulanglah ke pangkal jalan. Jangan tunggu tua kerana sekarang ini mereka yang meninggal dunia tidak lagi berdasarkan umur dan senoiriti mereka. Yang muda nampaknya lebih ramai yang lebih dahulu meninggal dunia berbanding dengan ayah dan ibu mereka. Inilah masa untuk menukar haluan. Sekarang. Jangan tunggu lagi. Mulakan dengan diri anda dalulu. Beranikan diri untuk membuat langkah yang pertama. Silakan.

Thursday, February 4, 2010

Masa Dulu-Dulu - Bahagian Kedua

Selepas bapa saya meninggal dunia, saya bersama ibu dan adik kekal tinggal bersama datuk saya. Bapa kepada bapa saya. Arwah bapa saya adalah anak bongsu datuk saya. Apabila bapa saya meninggal, kasih sayang datuk saya ditumpahkan kepada saya dan adik saya. Lagipun nenek telah meninggal setahun lebih awal daripada bapa saya. Sekiranya kami meninggalkannya maka ia tentulah keseorangan. Keluarga sebelah ibu saya juga orang yang tidak berada. Hidup kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Arwah ibu saya bertahan, berbakti kepada bapa mertuanya sehinggalah datuk saya meninggal pada tahun 1962 sewaktu saya di tingkatan dua.

Rumah datuk saya terdiri dari dua bahagian. Bahagian utama mengandungi ruang tamu, dua bilik tidur dan satu ruang keluarga. Bahagian kedua pula merupakan ruang dapur, ruang makan dan pelantar. Rumahnya amatlah tinggi. Waktu umur saya 10 tahun saya boleh berjalan di bawah rumah tanpa menundukkan kepala. Sebabnya senang sahaja. Banjir selalu melanda. Rumah yang tinggi selamat dari ditenggelami air. Rumah kampung adalah rumah beratapkan rembia. Dindingnya kulit kayu yang tidak sekata. Berlubang pula di sana sini. Lantainya sahaja papan yang agak licin. Semua bahan membuat rumah dibuat sendiri. Pokok kayu ditebang di hutan, dipotong, dibelah, dikeringkan lalu diheret ke tapak rumah untuk didirikan menjadi rumah tanpa pula menggunakan paku. Seluruhnya dibuat dari kayu.

Rumah bahagian dapur paling daif. Sudahlah atapnya rembia, dindingnya atap rembia atau buluh atau pelepah sagu atau batang pinang. Yang sahihnya lantainya adalah batang pinang. Bila dipijak memang terjungkang jungkit, memijak dari batang ke batang. Di ruang dapur yang tidak rata itu, saya boleh tidur nyenyak, nyaman, sejuk dan damai. Tidak ada mimpi indah dan tidak ada mimpi ngeri. Anak kampung tidak mengenal mimpi. Tidak mimpi. Semuanya diterima seadanya. Semuanya jadi senang. Tidak memikirkan yang susah-susah.

Dapur tempat memasak adalah satu binaan kayu, bersegi empat dan berukuran kira-kira 1.5 meter lebar dan 2 meter panjang. Kotak kayu di bahagian atasnya dibubuh tanah. Di atas tanah itu dipasang tungku besi untuk menanak nasi, menjerang air dan memasak apa sahaja yang perlu dimasak. Kadang-kadang abunya digunakan untuk membakar ubi kayu. Baunya harum dan rasanya lemak walaupun tidak masin atau manis. Dapur rumah seperti ini boleh dilihat dalam fileh-filem lama sahaja. Di kampung sekarang ini sudah tidak ada dapur kayu seperti yang digambarkan.

Memasak adalah proses yang rumit. Kayu api yang selalunya kayu getah kering dinyalakan. Sebelum kayu dan api itu merah menyala, perlu pula ditiup, dihembus dan dikipas. Macam-macam gaya untuk menghidupkan api. Bila sudah menyala kenalah pula dijaga dan diserakkan sedikit supaya makanan yang dimasak, masaknya merata, tidak hangit dan tidak hangus. Itulah sebabnya orang yang memasak di dapur pakaiannya akan comot, mukanya akan comot, dapurnya hitam, dinding dapur menjadi gelap dan atap rembia yang tinggi itupun menjadi gelap juga. Asap dan abu ada di mana-mana. Periuk belanga dan kuali memang hitam pekat hingga ada peribahasa - periuk mengatakan belanga hitam. Zaman sekarang ini jika ada perkakas memasak yang hitam memang teruklah orang yang berada di dapur. Memasak dengan gas atau elektrik, susah menjadikan periuk, kuali dan belanga menjadi hitam. Bagi dapur kayu lazimnya perkakas memasak akan menjadi hitam arang.

Pelantar adalah suatu ruang bercantum dengan dapur. Tidak berbumbung. Bila hujan atau panas tanggunglah kesannya. Yang menakutkan ialah waktu malam. Gelap gelita, seram dan menakutkan. Ibu bapa di kampung pula menakutkan anak-anak dengan hantu dan jin. Seksa bila hendak buang air kecil pada waktu malam. Setengah mati takutnya. Maaf, pelantar juga tempat buang air kecil (waktu malam) selain untuk membasuh pinggan mangkuk, membasuh baju atau mandi bagi ahli keluarga yang uzur.

Air yang disediakan di dapur, saya angkat dengan baldi dari parit yang jauhnya kira-kira 200 meter dari rumah. Mengangkat dua baldi tidak terdaya. Mengangkat satu baldi terpaksa gunakan dua tangan. Entah berapa kali berhenti kerana tidak tahan menahan berat. Jika berjalan perlahan, terlalu lama sudahnya. Bila laju, banyak pula air yang tumpah di sepanjang jalan. Berulang-kali. Letih dan meletihkan. Kejung dan kejang kedua belah tangan. Saya yang mengangkat air ketika itu, seorang kanak-kanak lelaki kurus kering, berseluar pendek, berkaki ayam dan tidak berbaju. Kasut tidak ada. Selipar jepun belum sampai di Malaysia. Anak kampung zaman itu memang tidak berbaju. Jika memakai baju, bukan kemeja-T atau baju kemeja. Yang saya pakai baju Melayu yang diikat di bahu atau di pinggang. Bukan dipakai di badan. Seronok pula cara begitu. Belum faham erti segan. Kulit saya gelap tidak seperti arwah ibu saya. Saya mewarisi kulit bapa saya. Kata arwah ibu, rupa saya saling tidak tumpah seperti arwah bapa saya.

Sesekali saya membantah juga bila disuruh mengangkat air. Penat agaknya. Bila diingat kembali rupanya saya telah melukakan hati arwah ibu saya. Maafkan saya mak. Allahu akbar. Kayu api oh kayu api. Untuk memasak tidak ada pilihan lain kecuali kayu api. Saya akan kutip dahan pokok getah yang jatuh patah. Saya pikul seberkas demi seberkas. Sampai di rumah saya potong sepanjang sehasta setiap satu. Disusun di bangsal khas untuk menyimpan kayu api. Bangsal itu juga tempat masak memasak jika ada kenduri kendara. Jika kehabisan kayu, kerja mengumpulkan kayu api menjadi berat dan rumit. Saya dan ibu akan ke kebun getah di belakang rumah untuk mencari pokok getang tumbang.

Batang pokok itu kami potong setual demi setual. Tetapi seksa sungguh untuk memotongnya. Sekarang mudah sebab ada gergaji mesin. Waktu kanak-kanak saya yang ada gergaji besar yang menggunakan tenaga tangan sahaja. Saya memegang satu hujung dan ibu memegang hujung yang satu lagi. Kami sorong dan tarik untuk memotong batang pokok itu. Aduh, siksanya. Tangan kecil ini terasa penatnya. Bahu seperti tanggal dibuatnya. Peluh tidak dapat diceritakan banyaknya. Gergaji pula besar dan berat. (Masih saya simpan hingga sekarang. Nostalgia. Mungkin perlukan galeri keluarga.) Kayu api kering disimpan juga di bawah dapur supaya senang bila hendak memasak. Tidak perlu turun ke bawah untuk mengambilnya. Dalam ilmu pengurusan dan pemasaran dipanggil, dengan izin, " stock management".

Di Bawah pokok-pokok getah itulah saya belajar memegang kapak. Belajar membelah kayu. Belajar mengangkut kayu. Berulang alik yang sangat memenatkan. Belajar mengeringkan kayu. Belajar menyusun kayu di bangsal. Basikal tidak ada. Kereta sorong tidak ada. Di bahu saya yang kecil itulah saya pikul kayu dari kebun ke rumah. Merah, melecet, melelas dan perit menahan bisa himpitan kayu dan tulang bahu saya. Bila diingat sekarang rupanya kemiskinan tidak mengenal penat dan sakit. Kepayahan tidak mengenal derita. Makan dan minum berselera sahaja. Tidak pernah ada dalam kamus kami piramid makanan. Semua yang halal saya makan. Untuk hidup dan kelangsungan hidup itu sendiri. Mungkin derita itu hanya saya simpan jauh di belakang benak saya. Sekarang pun, dalam umur 64 tahun saya masih berselera untuk makan. Kadang-kadang terlalu banyak untuk seorang tua.

(Masih terbayang wajah ayu ibu saya. Kulitnya putih kuning. Digilai ramai lelaki sama ada yang bujang, duda atau beristeri. Tetapi ia bertahan demi kasihnya kepada arwah suaminya. Saya tidak menduga ia terus menyendiri sejak menjadi balu sewaktu umurnya 19 tahun. Ya 19 tahun. Ia meninggalkan saya waktu umurnya 72 tahun. 53 tahun hidupnya sunyi. Seluruh hidupnya untuk saya dan adik saya. Emak. Saya sayang emak. Ya Allah cucurilah rahmatMu ke atas roh ibuku ya Allah.)

Bila kehabisan barang-barang keperluan dapur, sayalah yang diharap untuk ke kedai. Hanya ada sebuah kedai Malbari di kampung sebelah. Kampung saya Parit Muhammad dan kampung sebelah Parit Puasa. Kedai hanya kira-kira sekilometer sahaja. Saya membawa sekitar RM2 sahaja. Cukup untuk membeli 5 kati beras (sekati = 600 gram), 2 kati gula dan beberapa barang lain. (Bayangkan kembali kanak-kanak lelaki berseluar pendek, berkaki ayam dan tidak berbaju.) Beras hanya 20 sen sekati. Gula pula 15 sen sekati. Semua kira sen belaka. Barang-barang itu saya kelek. Penat kelek saya junjung. Penat juga, saya letak di atas bahu.

Bila musim buah, saya banyak di atas pokok. Rambutan, manggis banyak di keliling rumah. Saya boleh bergayut hingga ke hujung dahan kerana badan saya ringan. Ada juga pokok ciku, duku, pulasan dan durian. Pisang memang banyak. Bacang pula besar-besar buahnya. Tidak boleh habis jika hendak dimakan kesemuanya. Maka diagih-agihkan kepada sesiapa sahaja yang mahukannya. Saya boleh makan manggis hampir setengah baldi setiap kali saya petik. Oh Ya. Lupa saya. Ada buah rambai yang berjurai-jurai tangkainya. Bila memakannya, telan bijinya yang kecil dan akan keluarlah nanti dalam bentuk biji rambai. Nanti banyaklah anak rambai tumbuh di merata kebun. Buah rambai ini ada ceritanya yang tersendiri. Nantilah jika ada kesempatan akan dinukilkan.

(Maaf. Kami tidak ada tandas. Oleh itu kami boleh menyelesaikan hajat kami di mana sahaja.)

Itulah suka duka anak kampung. Hidupnya naif. Hidup hanya suatu kelangsungan. Tidak ada wawasan, perancangan dan cita-cita. Qada' dan qadar diterima seadanya. Dalam kepayahan itu saya menapak ke hadapan meninggalkan dunia sepi di sebuah kampung pedalaman yang belum mengenal kemajuan. 60 tahun bukan sekejap zaman itu saya tinggalkan. Saya rakamkan untuk tatapan anak-anak saya. Suatu ketika dahulu bapamu adalah anak kampung yang tidak memiliki apa-apa. Tidak mampu memiliki apa-apa. Untuk cucu-cucu, ambillah iktibar bahawa hidup ini harus bermula dari suatu titik yang tidak bererti. Ia berkembang menjadi sesuatu yang gah untuk diambil manfaatnya. Namun di balik tabir masa, telah tersurat suatu kepayahan yang didoakan semoga tidak akan berulang. Amin.

Wednesday, February 3, 2010

Masa Dulu-Dulu - Bahagian Ketiga

Saya beuntung kerana di sekeliling rumah datuk saya banyak pohon buah. Bukan dusun. Orang dahulu suka menanam buah untuk anak dan cucu mereka. Tidak ada langsung niat komersil. Hanya untuk makan sendiri. Malah kadang-kadang dihantar kepada anak cucu atau dipanggil anak cucu untuk menikmati buah-buah yang masak. Allah Maha Besar. Zaman itu buah-buah musimnya boleh dijangka dan diramal. Predictable. Bila musim buah, semuanya berbuah. Maka bila masak semuanya masak. Serentak segala buah-buah itu boleh dinikmati. Memang nikmat membariskan semua buah yang ada. Makan ikut mana kita suka. Hari-hari boleh buat senarai prosedur buah apa yang hendak dimakan dahulu dan buah yang di akhir senarai. Esoknya kita boleh buat senarai baru. Buah-buahnya segar, langsung dari pokok. Jika buah itu yang kita tunggu gugurnya, buah yang saya makan baru sahaja gugur dan segar.


Ketika itu, rambutan dan pulasan memerah di dahan dan rantingnya. Belimbing pula menguning. Duku menjingga. Membacang bergayutan. Durian mengharum. Ciku dengan sawo matangnya. Rambai kuning kehijau-hijauan berjurai-jurai di tangkainya. Pinang jingga dan kuning di tangkainya. Nangka mengharum baunya. Pisang masak di sana dan di sini. Tidak kurang pula durian belanda yang masam-masam manis rasanya. (Macam cerita P Ramlee dengan Sharifah Hanim). Entah kenapa semua buah itu ada di sekeliling rumah datuk saya. Mungkin wawasannya jauh ke hadapan. Untuk anak dan cucunya. Hingga sekarang sebahagian pokok itu kekal berbuah. Memang benar untuk anak cucunya. Sekarang cicitnya pula.
Orang-orang dahulu seperti datuk saya bila menanam pokok akan diniatkan untuk dinikmati anak cucu keturunannya. Mereka percaya, jika tidak diniatkan begitu maka pokok itu akan mati selepas tuannya meninggal dunia. Memang berlaku tetapi secara kebetulan barangkali. Mati dan hidup adalah milik Allah. Jika niat itu doa, mudah-mudahan Allah memakbulkannya. Pokok belimbing hanya ada dua sahaja. Namun buahnya jika dibalut akan masak menguning dan mengecurkan air liur. Saya suka memakannya dengan dicicahkan garam atau kicap. Puuu...h. Terliur habis. Masam-masam bila kena masin terangkat-angkat, bukan punggung, tetapi lidah. Bibir dan mulut tidak habis terjungkit-jungkit. Herot sana herot sini. Lazat.


Satu daripada cerita pelik yang saya ingat ialah sepohon durian yang besar dan tinggi. Berpuluh tahun, kata datuk saya, tidak mahu berbuah sedangkan pohon-pohon durian yang lain berbuah setiap tahun. Kami selalu mengabaikan pohon yang satu ini kerana menerima suratan bahawa ianya tidak akan berbuah. Suatu hari kami semua terkejut, seorang jiran yang lalu di kawasan rumah datuk saya, terhidu bau durian, Bila dipandang sekeliling didapatinya tergolek sebiji durian yang besar. Beratnya kira-kira 10 kg. Ia mengambil durian itu dan menyerahkannya kepada kami. Kami belah serta merta sebab ia menunggu hendak merasa isinya. Rasanya memang lazat. Ulasnya besar, isinya tebal. Namun selang beberapa minggu selepas itu, pohon durian yang sebatang itu mula gugur daunnya, mengering dan mati. Bila saya kenang kembali sedih juga mengingat pohon durian itu. Ia telah berusaha untuk tidak menghampakan tuan yang menanamnya. Tetapi dalam kesungguhannya memenuhi harapan itu, ia mengorbankan dirinya. SubhanAllah. Allah Maha Kaya. Hanya sebiji buah yang besar saiznya dan lazat. Pohon itu tetap saya kenang. Iktibar. Buatlah kebaikan walaupun sedikit. InsyaAllah ada manfaatnya kepada orang lain.



Sejak dari kecil saya pandai membelah durian. Hingga sekarang tidak ada yang boleh mengalahkan saya. Isteri saya sudah lama menyerah kalah. Tidak tahan dengan tajam durinya. Anak saya? Menantu saya? Belum lagi. Belum boleh mengalahkan juara ini. Duri? Kenapa takutkan duri? Ia adalah cabaran. Jika pandai mengelak duri, tentu duri itu dapat ditawan. Natijahnya ialah keenakan buah di sebalik duri itu. Caranya? Letakkan jejari saya di celah-celah duri. Cengkam kejap-kejap. Gunakan pisau yang tebal. Cari alur tengah pangsa. Tusukkan pisau, putar, ungkil dari hujung ke bahagian tengah. Kalau perlu hingga menghampiri tangkai. InsyaAllah akan terbelahlah durian itu. Prinsip ini saya gabungkan dengan prinsip-prinsip yang lain. Apabila makan nanas saya mulakan dari hujungnya. Semakin ke pangkal semakin manis jadinya. Jika ada benda terikat, saya suka merungkainya. Tidak hanya mengambil jalan senang dengan memotong atau mengguntingnya. Hanya apabila ikatannya terlalu kuat dan tidak boleh dirungkai, barulah saya potong. Jalan lain sudah tidak ada. Dalam banyak hal saya tidak suka bertindak terburu-buru. Isteri saya pun kadang-kadang hilang sabar. Apa yang saya buat ialah menimbang dari banyak sudut. Baik dan buruknya. Timingnya. Kesesuaiannya. Agak lambat tetapi banyak faedahnya. Jika positif yang dicari ia akan lebih memuaskan hati. Jika negatif jadinya, dapat dilunakkan impaknya.


Memilih buah durian adalah seni. Bukan semua buah durian itu baik. Jika kita percaya kepada penjual, yang ditunjukkan adalah bahagian ulas atau pangsa yang baik sahaja. Sampai di rumah, bahagian yang lain adalah substandard daripada yang kita harapkan. Kita patut menerima cadangan orang lain tetapi ada masanya kita kena membuat pertimbangan sendiri. Walaupun cadangan itu datangnya dari seorang pakar. Itulah sebabnya ilmu itu penting. Ia adalah senjata untuk membuat pertimbangan dengan wajar. Sesungguhnya dalam firmanNya Allah menegaskan 'Adakah sama orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu'. Dalam ayat yang lain Allah menyatakan bahawa orang yang berilmu kedudukannya lebih tinggi beberapa tahap berbanding dengan orang yang tidak berilmu. Ada tiga teknik yang saya gunakan untuk memilih durian. Saya belajar dengan memerhati. Terapkan mana-mana yang boleh untuk kebaikan diri sendiri. Pertama, saya periksa keseluruhan buah itu. Pastikan tidak pecah hujungnya. Tidak merekah. Tidak ada tanda-tanda busuk. Tidak ada tanda-tanda dimakan ulat. Jika pecah atau merekah ada tiga implikasi. Hilang kelazatannya, dimasuki kumbang dan rasanya bertukar menjadi masam. Sudah tidak layak dimakan. Tempoyaklah jadinya.


Teknik kedua ialah dengan menghidunya. Awas! Jangan hidu terus durinya. Nanti hidung tercalar, durian dimarah, rezeki tidak jadi dijamah. Ada cara mudah untuk menghidunya. Kembangkan telapak tangan di atas duri durian. Ampu dengan tangan yang sebelah lagi. Jangan risau. Bila kita kembangkan tangan, duri tidak menusuk ke telapak tangan kerana duri-duri yang lain menjadi pengampu kepada duri yang lain. Hidulah di celah-celah jari. InsyaAllah, baunya dapat dihidu. Hidung tidak calar. Tangan tidak tercucuk duri. Dapat pula menentukan masak atau tidaknya durian itu. Ada pengajaran. Masalah bukan penghalang. Benarlah kata bijak pandai, dalam tangisan itu ada senyuman. Dalam kepayahan ada kebahagiaan. Ilmulah penentunya. Bau durian menjadi petanda beberapa perkara. Buah yang masak dan baik akan memberikan bau yang wangi dan segar. Baunya kering, menusuk ke hidung. Hati akan berkenan dengan aromanya. Jika tidak elok, baunya berbeza. Ada kekurangan dari segi bau. Mungkin berbau sedikit masam. Mungkin tidak berbau. Jika cacat baunya, pilihlah yang lain. Iktibar bukan? Hendak memilih yang baik kena ada tekniknya. Yang baik itu sukar dicari. Tetapi dengan teknik yang betul ianya ada di depan mata sebenarnya. Saya teringat cerita Bujang Lapok arahan P Ramlee. Cik Normah ada di hadapannya setiap masa. P Ramlee tidak mengenali pilihan terbaik yang di hadapannya. Malah ia ditipu banyak kali sebelum benar-benar mengetahui bahawa Cik Normah itu pilihan yang terbaik untuknya. Kualiti selalunya mahal kosnya. Teknik saya memilih durian selalu diperhatikan oleh penjual durian. Sama ada di Kuala Terengganu (1969 - 1974) atau di Ipoh (1979 - 1990) saya akan dikenakan harga lebih tinggi daripada biasa. Alasannya senang sahaja. Saya memilih durian yang baik. Memilih kualiti harus diikuti dengan kemampuan memilikinya. Jika tidak kualiti hanya mimpi indah sahaja. Saya bayarlah. Hendakkan kualiti kena bayar.


(Di kebanyakan negeri, durian dijual secara biji, bukan ditimbang. Mungkin di negeri Johor sahaja yang kekal menjual durian dengan menimbangnya. Pada masa pendudukan Jepun dulu, ada Jepun yang membeli dan makan durian dengan cara yang cukup ilmiah. Timbang dulu sebelum makan, timbang semula selepas dimakan. Perbezaan timbangan itulah yang dibayar. Logikkan? Tetapi penjual durian garu kepala. Hendak berhujjah tidak ada kemahiran ilmiah. Terima sahajalah nasib.)


Baik. Teknik ketiga ialah dengan menggoncang buah durian itu. Masukkan jejari di celah-celah duri, angkat dan goncang hampir dengan telinga. Apa kena goncang dengan kualiti? Ya! Percayalah. Bunyi adalah petunjuk kepada kedudukan sesuatu perkara. Bunyi ulas durian yang berat dan perlahan tetapi lekang, menandakan isinya tebal dan kering. Jika berat, perlahan dan lebih berat bunyinya, maka isinya tebal tetapi basah. Bunyi yang ringan, lekang dan goncangannya kuat, itu menunjukkan isinya nipis. Lebih kuat lebih kering dan begitulah sebaliknya. Benarlah, orang yang banyak berilmu, tidak banyak cakapnya. Tidak banyak karenahnya. Jika yang banyak cakap, sedangkan isinya tidak ada maka kita boleh menilainya. Sebab itu diam ubi berisi. Diam manusia berilmu. Namun berkatanya yang benar. Yang hak tetap hak dan yang batil tetap batil.

Manggis pula lain ceritanya. Bila ranum memang senang mengeluarkan isinya. Picit dengan dua batang jari sudah terbelah. Korek isinya yang putih melepak. Manis madu isinya. Inilah buah yang dipanggil permaisuri buah. Durian pula digelar raja buah. Durian panas. Manggis sejuk. Kedua-duanya bila bersatu menjadi tawar penawar. Dari segi perubatan, manggis mengandungi antioksidan yang tinggi. Ada syarikat makanan kesihatan di Amerika Syarikat yang menggunakan manggis sebagai bahan utama minuman antioksidan. Namanya VemmaBuilder. Batang pohon manggis sangat baik untuk menanam orkid. Menjadi subur pokoknya. Getah manggis pula digunakan untuk dicampurkan dengan gula Melaka atau gula kelapa. Bagi mereka yang alah durian, manggis menjadi penyelamat. Sebelum saya lupa, memakan durian ada petuanya. Jika terasa pening atau mabuk selepas memakan durian, ambil pangsa durian yang sudah kosong. Isi dengan air kosong. Kacau supaya bercampur dengan saki-baki isi durian. Minum dengan membaca basmallah dan berselawat. Atau minum air basuhan pangsa terlebih dahulu sebelum mula makan durian. InsyaAllah akan terhindar dari pening atau mabuk.

Buah manggis banyak khasiatnya. Yang ranum sangat mudah membukanya. Tetapi yang setengah masak perlukan kekuatan untuk membukanya. Lazimnya saya silangkan jari jemari saya. Letakkan manggis di antaranya. Acukan di bawah kelengkang, betul-betul antara dua kepala lutut. Picitlah sekuat hati. Jadikan kepala lutut sebagai penahan. InsyaAllah isinya yang putih melepak akan dapat dimakan. Saya boleh makan manggis setengah baldi banyaknya. Bukan kulit sekali. Isinya sahaja. Seronok membelek buah manggis. Lihat di hujun buahnya. Ada tanda berbintang. Saya suka mengiranya. Lebih banyak bintangnya, lebihlah saya memilihnya. Nak tahu? Bintang itu adalah tanda bilangan isi manggis itu. Jika banyak maka banyaklah isinya. Bila banyak isi, kuranglah bijinya. Masuk mulut, cair di lidah, mudah ditelan. Sejuk di tekak.


Antara buah lain yang paling banyak saya kenang adalah buah rambai. Banyak peristiwa yang berkaitan dengannya sejak saya kecil hingga saya bercinta, bertunang dan berumahtangga. Saya telah menjanjikan dalam pos ini untuk menceritakannya. Seingat saya ada tiga pohon rambai yang besar. Kira-kira dua pemeluk saya sekarang. Istimewanya, pohon rambai mudah dipanjat kerana dahan pertamanya agak rendah. Walaupun saya masih kecil dan rendah, saya mampu melonjak dan bergayut pada dahan yang pertama. Bila sudah dicapai dahan pertama itu, kaki saya akan dihayun untuk mengait dahan dan dengannya membenarkan sebelah tangan saya mencapai dahan yang kedua, ketiga dan seterusnya. Iktibar bukan? Pohon yang tinggi bukan penghalang untuk kita memanjatnya. Sentuhan dahan pertama itu memulakan segala-galanya. Bila yang pertama dimulakan maka yang lain-lain hanya proses biasa, prosedur biasa yang mengikut fitrahnya. Selepas satu, dualah jadinya. Sebab itu langkah pertama akan membawa kita menuju destinasi sasaran kita. InsyaAllah.


Kisah pertama pohon rambai ini agak mencemaskan. Datuk saya tidak tahu. Ibu saya tidak tahu. Adik saya tidak tahu. Saya gemar berpindah dari satu pohon ke pohon yang lain. Seronok benar dalam musim buah begini. 60 tahun dahulu pohon buah berbuah serentak. Masak serentak. Saya pilih buah mana yang saya suka. Kebetulan semua buah saya suka. Sampai sekarang. Suatu waktu saya memanjat sepohon rambai yang dua pemeluk saya sekarang. Waktu petang sahajalah masa yang saya ada. Pagi ke sekolah kebangsaan. Tengahari ke sekolah agama. Ada tiga pokok rambai yang besar. Dua daripadanya lebih saya sukai. Buahnya lebih manis. Yang satu ini agak kurang manis walaupun tidak saya kategorikan masam. Petang itu seperti biasa berseluar pendek dan tidak berbaju saya panjat pohon rambai itu. Apabila saya berpindah dari satu dahan ke satu dahan, saya terdengar bunyi tebuan. Semakin saya bergerak semakin kuat bunyinya. Khuatir kena sengat, saya bergegas untuk turun. Malangnya pergerakan kuat yang saya lakukan, merangsang tebuan-tebuan itu untuk menyerang saya sebagai musuh mereka ketika itu. Saya mengancam kedudukan mereka.


Sewaktu saya menghampiri dahan-dahan yang paling bawah, saya merasa sengatan yang bertalu-talu. Sakitnya belum terasa. Tetapi perasaan cemas menghantui saya. Takut bukan kepalang. Apabila tiba di dahan terakhir, saya hilang pertimbangan. Tangan sudah tidak lagi cekap memaut dahan, kaki sudah tidak lagi berpijak di dahan. Saya melayang, lalu jatuh terduduk di perdu pohon rambai itu. Ini yang suspen sangat. Tersentap nyawa saya. Terasa terhenti nafas saya. Badan saya kejung tanpa boleh bergerak. Matikah aku. Takutkan tebuan masih belum reda. Sakit gigitannya mula terasa. Nyawa pula separuh tiada. Macammana ni, macammana. Hendak bersuara tidak boleh. Hendak meminta tolong suara tidak keluar. Padahal rumah saya hanya 50 meter dari pohon rambai itu. Allah panjangkan usia saya untuk berkongsi pengalaman ini. Allah beri saya ilham untuk mengheret tubuh kejang saya ke sebuah bonggol kelapa berhampiran. (Bagi kami orang Jawa, akar pokok kelapa yang besar dan timbul tinggi dari tanah, kami panggil bonggol.) Saya lompatkan diri saya ke tanah. Saya tidak ingat macam mana saya melompat. Yang saya ingat saya melompat. Itu sahaja. Terasa pula boleh bernafas sedikit selepas lompatan pertama. Saya ulangi dengan lompatan kedua dan ketiga. Alhamdulillah. Pernafasan saya lancar kembali. Bila sudah boleh berjalan, berlarilah saya ke rumah.


Ibu saya bertanya, apa yang jatuh? Saya katakan sayalah yang jatuh. Saya ceritakan juga sengatan tebuan itu. Katanya ada enam sengatan. Saya sudah tidak ingat di bahagian mana. Yang saya ingat angka enam itu. Akibatnya saya demam selama enam hari. Tidak ke sekolah dan tidak ke mana-mana. Selepas kebah, saya panjat lagi pohon rambai itu. Saya belajar dari kesilapan. Sesungguhnya sarang tebuan jangan dijolok. Lalu saya perhatikan dahulu dahan mana yang tergantung sarangnya. Saya elakkan diri saya dari memijak dahan itu. Tidak ada masalah selepas itu. Suatu iktibar lain. Kita kenalah sentiasa mengenalpasti siapakah yang berpotensi menjadi musuh kita. Berhati-hati apabila berhadapan dengannya. Jaga tingkah laku. Jaga tutur kata. Sentiasa merendah kepadanya. Banyak memuji dan menghormatinya. Jika boleh banyak memberi hadiah kepadanya dalam bentuk puji-pujian. Sedikit hipokrit mungkin. Betulkan niat. Kita hendak berbaik dengan semua orang. Jangan ada seorangpun musuh di kalangan mereka.


Buah rambai datuk saya memang lebat buahnya. Bila ada orang datang membeli, tidak ada sukatan khusus. 20 sen bererti sebeban banyaknya. Bapa mertua saya pernah membeli rambai itu dari saya. Entah dia ingat atau tidak. Pada pohon yang lain saya membuat ran. (Pondok di atas pokok.) Di situlah saya berehat sewaktu umur remaja saya. Menyanyi seorang diri. Menghiburkan hati yang lara. Sahaja begitu. Hiburan lain tiada sebagai pilihan. Mungkin di ran itu saya menanti kekasih hati saya, tunang saya yang menjadi isteri saya sekarang. Tetapi apabila saya berumahtangga, saya mula mencantikkan sekeliling rumah. Pokok rambai yang ada ran itu saya tutuh dahannya dan saya bakar. Pohon rambai yang lain mati dan pupus dengan sendirinya. Yang tinggal kenangan sahaja. Cerita buah ini akan saya ulas lagi berkaitan cerita datuk saya. Tokoh kampung yang dihormati, digeruni tetapi selalu dirujuk dalam banyak perkara. Mungkin darinya saya mewarisi sebahagian dari ciri-ciri itu. Hingga setakat ini saya rasa sudah banyak pengalaman yang saya kongsikan bersama anda semua. Tetapi dalam khazanah pengalaman saya, ini baru sebahagian kecil darinya. Doakan saya. Semoga ada kesempatan untuk berkongsi mengenainya.


Anak-anakku, dunia abah dahulu terlalu simple. Tidak banyak ganggu gugatnya. Pada pandangan orang sekarang mungkin just plain sailing. Dilihat dari satu perspektif, mungkin benar. But there are alot of paradox. Everything is paradoxical ini nature. It is how you go along with it to survive or you are subjected to being disintegrated and end up as nobody. One that has no soul, no dignity and no self respect. I taught all of you alot. Adhere to it. Enhance with other elements. Survive to the fullest. Sejahteralah wahai anak-anak kesayanganku. Semoga Allah bersamamu selalu.