Monday, September 16, 2019

Mengangkat Diri




Menghadiri temuduga adalah untuk semua calon yang layak. Banyak elemen penyingkiran (elimination) dilakukan terhadap calon-calon sebelum mereka disenaraipendekkan. Walaupun mereka layak, masih terdapat calon yang gagal dari awal hingga akhir kehadirannya. Memang benar calon-calon:

1                    Memiliki kelayakan akademik dan mungkin profesional.
2                    Memiliki kemahiran yang diperlukan sama ada teknikal atau seni.

Kesemua itu tidak membantu jika calon tidak memiliki kemahiran sosial (soft skill). Kemahiran berinteraksi dengan orang lain. Panel penemuduga adalah mereka yang berkemahiran. Berpengalaman dalam berbagai bidang sama ada teknikal ataupun kemanusiaan. Mereka boleh mengenalpasti calon yang berpotensi pada pandangan pertama.

1                    Langkah calon memasuki bilik temuduga sudah memadai untuk menentukan calon itu boleh dipertimbangkan ataupun tidak.
2                    Cara mereka duduk juga memberikan petunjuk tentang keperibadian calon.
3                    Cara bercakap, intonasi suara akan mendedahkan kekuatan dan kelemahan calon. 
4                    Jawapan-jawapan yang diberi, hujjah yang dikemukakan adalah kunci penting sama ada seseorang calon benar-benar layak sebagai bakal staf sesebuah organisasi.

Jangan sekali-kali berfikiran stereotaip. Temuduga adalah formaliti sahaja. Sudah ada calon yang ditentukan lebih awal. Jangan dan jangan. Anggap kesemua itu tidak benar. Setiap calon mempunyai peluang sama rata. Setiap calon ada harapan untuk berjaya. Jika kit amembuat stereotaip, kita menjadi lemah dan ianya dikesan oleh panel penemuduga. Ianya menjadi alasan untuk menyingkirkan calon. Oleh yang demikian calon perlu berusaha untuk menjadi yang terbaik. Lebih baik dari calon-calon yang lain. Calon-calon perlu mempamerkan:

1                    Kecerdasan luarbiasa.
2                    Berwibawa.
3                    Berimpak tinggi.
4                    Berhujjah aras tinggi.
5                    Berwawasan jauh ke hadapan.
6                    Sensitif dengan isu semasa.

Ramai calon yang tidak bersungguh-sungguh dalam menghadiri temuduga. Antara kelemahannya:

1                    Tidak mengetahui tugas jawatan yang dipohon.
2                    Di mana kemungkinan akan ditugaskan.
3                    Masalah-masalah yang berkemungkinan akan dihadapi.
4                    Kemahiran menyelesaikan masalah.
5                    Kemahiran membuat keputusan kritikal.
6                    Kemahiran memutar pendapat bersesuaian dengan topik yang sedang dibincangkan.

Perhatikan dialog berikut:

Panel: Apakah jawatan yang tuan pohon?
Calon: Pegawai pertanian.
Panel: Apakah bidang kepakaran tuan?
Calon: Penyelidikan.
Panel: Apakah tugas yang akan tuan lakukan jika berjaya menjawat jawatan ini?
Calon: Saya rasa saya akan membuat berbagai tugas yang sinonim dengan jawatan saya.
Panel: Contohnya?
Calon: Antaranya saya rasa ialah mengkaji baja yang sesuai untuk semua jenis tanaman. 
Panel: Ada had masa dalam membuat kajian?
Calon: Saya rasa bergantung kepada kajian yang dibuat.

Tugas tidak bergantung dengan rasa. Ia telah termaktub. Telah disistemkan. Ada prosedur dan ada SOPnya. Standard operation procedure. Kajian dan penyelidikan ada had masa. Bakal pekerja wajar membuat semakan atau penyelidikan tentang tugas-tugas am dan khusus sesuatu jawatan. Barulah berkeyakinan tinggi apabila dilontarkan soalan-soalan yang relevan dengan jawatan yang dipohon. Jangan dilihat sebagai malas, tidak ambil peduli, acuh tak acuh dan tidak serius. Calon memberikan jawapan tetapi cara ia menjawab diberi pukulan maut oleh panel penemuduga.

Calon tidak boleh kelentong. Tidak boleh main teka-teka. Atau agak-agak. Panel akan menjadi geram dan malas hendak bertanya. Calon yang jangka masa temuduganya sangat singkat sudah diketahui bahawa dirinya gagal. Calon yang terlalu banyak disoal juga mungkin sekadar untuk mengesahkan kelemahan calon tersebut. Ada kalanya calon berhadapan dengan situasi berikut:

1                    Soalan terlalu berat hingga tidak terjangkau fikiran untuk menjawabnya.
2                    Terlalu banyak hingga meletihkan.
3                    Calon malas bercakap.
4                    Suara terlalu lemah. Diminta untuk menguatkan suara.
5                    Tiada intonasi pada suara.
6                    Gagap, tersekat-sekat dan banyak gangguan dalam berkomunikasi seperti: hah, emm, err. Atau sekadar menggelengkan kepala atau mengangkat bahu.

Kepada panel, apa-apa perlakuan yang dianggap negatif dijadikan alasan untuk tidak mengambil seseorang calon menjadi pekerja baru. Yang dicari ialah:

1                    Calon yang banyak idea.
2                    Bijak bercakap dan berhujjah.
3                    Santai tetapi tidak sambil lewa.
4                    Mesra tetapi tidak mengada-ngada. Masih menjaga adab dan adat temuduga.
5                    Tidak memprotes atau melepaskan emosi apabila memberi pendapat.
6                    Berfikiran luas. Skop pengetahuannya mencakup berbagai bidang.
7                    Ada kecenderungan mendengar pandangan orang lain. Menerima nasihat dan cenderung untuk mempelajari sesuatu yang baru.  

Akhirnya calon yang berpotensi untuk walk the talk akan berjaya. Maksudnya bukan sahaja calon itu berkelayakan di atas kertas (ijazah berjela) tetapi ia memiliki kemahiran yang diperlukan untuk melakukan tugas yang akan diberikan kepadanya. Memiliki sedikit kemahiran atau bersedia untuk mendapatkan kemahiran. Ada sedikit pengalaman berkaitan dengan jawatan yang dipohon. Sebenarnya sukar untuk dinyatakan dengan perkataan. Tetapi calon yang berjaya masih terdedah dengan berbagai kemungkinan.

1                    Go-error. Calon yang dipilih didapati tidak elok prestasinya.
2                    Drop-error: Calon yang baik tidak diperakukan.

Walau bagaimanapun setiap calon hendaklah mempersembahkan yang terbaik dari berbagai aspek.
1                    Tahap akademiknya. Diperlihatkan kecerdasan mindanya yang terbaik.
2                    Kemahiran kemanusiaan yang tinggi kerana seseorang itu perlu berinteraksi dan berkomunikasi dengan rakan sejawat dan stake holder organisasi serta pelanggan.
3                    Berinteraksi dan berkomunkasi dengan baik.
4                    Hormatkan orang lain.
5                    Meraikan perbezaan.
6                    Fokus dan serius dari segi semangat dan hasrat diri.

Mengangkat diri bukan semulajadi. Ia perlu dibina dengan banyak belajar. Banyak melihat sekeliling. Menimba pengalaman dari orang lama. Amalkan yang terbaik dan buang amalan yang tidak produktif.

Saturday, September 14, 2019

MENGENALI DIRI SENDIRI




Kita sering merasakan bahawa diri kita adalah yang terbaik di kalangan semua manusia yang berada di sekeliling kita. Ada dua implikasi terhadap perasaan ini.

Pertama: impak positif.
Kedua: impak negatif.

Secara positifnya kita merasa yakin diri. Banyak yang perlu disumbangkan. Semangat kita selalu bergejolak untuk melakukan yang terbaik dalam hidup kita. Kita ingin mempengaruhi orang lain supaya menjadi kita  yang istimewa. Kita ingin mengubah dunia. Banyak yang perlu kita lakukan untuk merealisasikan impian dan hasrat diri yang selama ini terpendam. Andainya peluang itu tiba, maka keinginan untuk mempamer yang terbaik kebarangkaliannya sangat tinggi akan berjaya.

Secara negatifnya dapat dilihat dari dua sudut. Orang di sekeliling kita mungkin tidak suka cara kita kerana mengganggu hidup damai dan harmoni yang sedang mereka lalui selama ini. Mereka tidak berapa akur untuk berubah, tidak membantu perubahan berlaku, mekanisma perubahan tidak boleh berlaku. Impian untuk melihat perubahan akan mengecewakan. Dari sudut ini, hanya mereka yang benar-benar memiliki keyakinan diri yang tinggi sahaja yang akan survive.   

Oleh yang demikian, fitting into the system adalah alternatif yang terbaik. Dari dalam, kita cipta dinamisme perubahan. Untuk berubah:

1                 Ubah diri sendiri dulu. Ubah penampilan, ubah pertuturan, ubah pergaulan, ubah tingkahlaku lebih positif, ubah cara berinteraksi dengan orang lain. Bersikap terbuka. Banyak belajar kendiri, belajar kerana di”sekolahkan” oleh orang lain, belajar dari kesilapan.
2                 Melihat sekeliling untuk mengesan di mana perubahan paling sesuai boleh dilakukan.
3                 Lakukan perubahan yang tidak terlalu ketara. Cuma orang mungkin mengesan suatu perubahan telah belaku.
4                 Ingat, tidak ramai orang yang perlukan perubahan, tidak mahu perubahan, tidak mengetahui perlunya perubahan dan tidak akan membantu sebarang perubahan.

Di pejabat, meja kita mengadap kaunter dan pintu. Lazimnya begitu. Pada perasaan semua orang kita boleh mengesan jika ada orang datang. Tetapi pada hakikatnya ketika orang itu sudah berada di hadapan meja kita, baru kita perasaan. Ini kerana sewaktu melakukan tugas di meja, kita lebih banyak menundukkan kepala melihat apa yang kita lakukan dan bukan melihat apa yang ada melangkaui meja kita.  Sebaliknya jika meja kita selari dengan kedudukan kaunter ekor mata kita memainkan peranan. Ia fizikal dan psikologikal. Ekor mata kita boleh mengesan pergerakan lebih jauh dari yang kita bayangkan. Sebelum pelanggan sampai di kaunter, kita sudah berdiri menyambut kehadirannya. Melakukan perubahan yang sangat kecil sebegitu pasti mendapat tentangan. Bukan dari rakan sekerja bahkan dari ketua pejabat. Pengalaman peribadi penulis.

Menyesuaikan diri dengan perubahan dilihat sukar jika kita:

1                    Tidak mahu berubah.
2                    Tidak mahu menyesuaikan diri.
3                    Tidak membantu perubahan supaya berlaku.

Sebagai staf yang tidak ada kuasa, banyak yang boleh kita lakukan:

1                 Jadi ahli yang aktif dalam mesyuarat, taklimat dan perubahan. Jangan simpan perasaan, cadangan, idea atau saranan-saranan yang boleh dikongsi dengan orang lain.
2                 Belajar menyampaikan idea dan hujjah dengan bahasa, istilah dan intonasi suara yang mengesankan.
3                 Apabila sesuatu cdangan dikemukakan, buat kajian segera sepantas kilat. Kesan jika ada kelemahan. Buat cdangan balas yang lebih menasabah, lebih ekonomik, lebih menasabah kebarangkalian untuk berjaya.
4                 Mereka yang banyak bercakap tidak disukai. Itu fakta. Tetapi jika disampaikan dengan bersahaja tanpa emosi, orang lain akan memberikan perhatian mereka. Isi dengan data, dengan dapatan kajian, dengan fakta semasa.

Dalam organisasi kita mungkin bukan siapa-siapa. Jangan jadikan itu sebagai alasan untuk:

1                    Tidak aktif.
2                    Tidak melahirkan idea.
3                    Malas bercakap.
4                    Kecewa, merungut, mengumpat dan memperlekehkan orang lain.
5                    Meninggalkan amalan yang baik.

Menyesuaikan diri ini amat penting dalam jangka panjang. Kerja bukan mudah diperolehi. Apa yang ada perlu dijadikan kerjaya yang berjaya pada masa hadapan. Ada kesabaran untuk mencapai cita-cita diri. Kejayaan tidak boleh dicapai dalam masa singkat. Bukan sehari atau dua hari. Jika kita menjadi unfit dalam organisasi, lebih baik keluar sebelum dikeluarkan. Kadang-kadang kita turun merendah diri untuk membiasakan diri dengan hal-hal di peringkat bawahan. Apa salahnya pegawai:

1                    Menyusun meja dan kerusi.
2                    Menyapu sampah.
3                    Membuang sampah.
4                    Membancuh kopi sendiri.
5                    Bancuh kopi untuk orang lain.

Melakukan kerja-kerja “bawahan” lebih memesrakan diri, dihormati dan dihargai. Malah disegani orang keliling. Kita tidak boleh jadi detached dengan realiti hidup bermasyarakat. Lebih banyak yang boleh kita lakukan, lebih hormat orang kepada kita. Syaratnya bukan menunjuk-nunjuk dan bukan pula untuk diwar-warkan atau dikomersilkan. Yang paling baik ialah lakukan dan senyapkan. Biar dilihat bukan untuk didengar.

Sebenarnya ramai orang gagal bermasyarakat atau bersosial. Sebabnya:

1                    Mereka hanya banyak melihat dan bukan membantu.
2                    Mereka membantu sedikit dan melepaskan kerja itu untuk dilakukan oleh orang lain.
3                    Mereka tidak memiliki rasa malu kerana hanya mampu melihat bukan membantu.
4                    Mereka perlu “diketuk” untuk bergerak. Inisiatif tiada pada diri.
5                    Mereka meninggalkan orang lain untuk melakukan kerja sementara mereka lesap tanpa      bayang.
6                    Suka menyalahkan orang lain (blame game). Orang lain sahaja yang salah.

Ramai orang lupa bahawa diri kita diperhatikan orang lain. Baik kita, ketara. Buruk kita juga ketara. Dalam peribahasa Jawa, “Seng apik ketitik, seng olo ketoro.” Maksudnya yang baik itu dilihat baiknya. Yang buruk pula dilihat juga buruknya. Dalam organisasi ramai ahli yang mengelak untuk melakukan kerja dan tugas yang terbaik. Tetapi merekalah yang ingin bahagian ganjaran yang lebih banyak. Mereka lupa menilai diri. Setakat mana sumbangan mereka untuk melaksanakan sesuatu aktiviti. Kualitinya entah di mana. Kuantitinya tidak kelihatan.

Memperbaiki diri perlu dengan cara refleksi diri atau muasabah diri:

1                    Apakah kita telah melakukan yang terbaik?
2                    Apakah cukup kuantiti tugas yang kita lakukan?
3                    Adakah kualitinya melebihi keperluan?
4                    Adakah ianya menyumbang kepada kejayaan bersama? Atau terlalu sedikit?
5                    Adakah kita memiliki perasaan “cukuplah tu”?
6                    Apakah lagi yang perlu kita perbaiki? Diri kita, hasil kerja kita, pencapaian kumpulan,        pencapaian unit, pencapaian jabatan, pencapaian organisasi.
7                    Apakah bidang lain yang perlu kita pelajari?
8                    Bagaimanakah cara untuk menjadi lebih efektif dan lebih efisien?

Carilah di luar sana dengan banyak membaca, banyak bertanya, banyak melihat, banyak berseminar dan banyak berinteraksi dari mereka yang lebih arif. Belajar dari mereka yang banyak pengalaman. Mereka yang berjaya. Mereka yang lebih tua dalam industri atau organisasi. Belajar untuk menjadi lebih baik dan terbaik.

Thursday, December 27, 2018

Maaflah Kami Melayu Dari Tanah Melayu




Benar, kami Melayu dari Tanah Melayu. Jika tidak mengapa negara ini asalnya bernama Tanah Melayu. Secara politiknya Persekutuan Tanah Melayu. Malaysia bukan Melayu mati seperti dalam orang. Malaysia adalah gabungan beberapa negara Melayu yang lebih luas. Siapakah penduduknya? Di sini adalah nusantara. Bumi Melayu yang mencakupi seluruh Malaysia, Indonesia, Papua New Guinea, New Zealand, Brunei, Filipina, Sri Langka dan Madagaskar. Tetapi Melayu Sekarang berada juga di Afrika Selatan, di Netherland dan Dutch Surinam di Amerika Selatan. Yang namanya Melayu sudah berada di mana-mana. Sudah di utara dan sudah di selatan. Sudah di puncak tertinggi dan sudah ke angkasa.

Memang ironis kerana dahulu penduduk di nusantara ini menganut animisma dan Hindu. Apabila datang Islam ianya merubah lanskap ethnografik persekitarannya.  Tetapi untuk mengatakan orang lain berada di sini terlebih dahulu adalah mengelirukan. Memang banyak kuil ditemui tetapi ianya di persekitaran Melayu nusantara. Etniknya mungkin Jawa, Bugis, Minang, Mandailing, Dayak, Bajau dan sebagainya. Mereka dari ras Melayu. Orang Maori di New Zealand adalah dari keturunan Melayu. Anutan bukan bermakna bangsanya datang sekali dan menetap di sini. Orang luar berada di Melaka kerana faktor perdagangan dan kemudiannya faktor agama. Lebih banyak faktor ekonomi sebenarnya seperti bijih timah dan getah.    

Kajian-kajian menunjukkan yang dicari orang Barat sebagai Atlantis yang hilang dipercayai bumi Melayu yang tenggelam antara Indonesia dan Malaysia. Ruang lingkup dunia Melayu adalah hingga ke Okinawa di Jepun. Piramid tenggelam yang ditemui di laut Okinawa bertatahkan keris Melayu. Siapa lagi yang arif tentang keris jika bukan orang Melayu walau dari mana asal mereka. Mungkin dari Tanah Melayu atau dari Jawa atau Sumatera atau Maluku. Keris adalah sinonim dengan Melayu. Keris Taming Sari sekadar yang masyhur. Hingga sekarang keris masih ditempa. Masih dijual. Masih dijadikan perhiasan. Tidak lagi menjadi senjata ampuh berhadapan dengan musuh.

Melayu tidak pernah bersalah sangka kerana orang luar dibawa kemari.  Mereka yang dibawa dari India oleh British untuk menjadikan mereka hamba. Seolah-olahnya pula British meletakkan mereka supaya akhirnya mereka menikam Melayu dari depan dan belakang. Dari negara Cina dibawa kuli di lombong-lombong bijih di Perak dan Selangor. Akhirnya sama juga mereka menikam Melayu dari depan dan belakang.

Siapa Melayu?

1                     Hatinya lembut sehinggakan apa sahaja hendak diberikan kepada orang lain.
2                     Tanah yang ada diberikan.
3                     Sawah yang ada diberikan .
4                     Bandar yang ada diberikan.
5                     Lombong yang ada diberikan.
6                     Murah hatinya melampaui batas hingga anak cucu yang tinggal tidak diambilkira dalam    membuat keputusan.

Sekolah vernacular (sekolah Cina dan Tamil) dibangunkan kerana mereka yang datang ke sini ingin pulang kembali ke negara asal mereka. British tahu tetapi orang kita pula buat-buat tidak tahu. Apabila mereka pulang ke negara asal mereka, bekal pendidikan sudah ada pada diri mereka.  Pendidikan kepada mereka bukan untuk tinggal kekal dan menumpahkan taat setia di bumi ini. Sekarang segala-galanya sudah terlalu terlajak. Pendidikan yang mereka ada hendak diterapkan pula di sini. Jika tidak mengambil alih sekali pun segala-galanya, maka akan terwujud dual system yang akhirnya menyukarkan keadaan.

Ironis, kerana yang mengutarakan semangat merdeka adalah orang Melayu. Yang merdeka orang Melayu. Yang dimerdekakan adalah Tanah Melayu. Berapa ramai Melayu yang mati dibunuh British kerana dituduh derhaka. Berapa ramai Melayu yang dipenjara British kerana menjadi duri dalam daging kepada mereka. Kesemua ini seolah-olah bukan sejarah. Malaysia bukan terbentuk pada PRU14! Serivijaya sudah beribu tahun. Kedah Tua sudah beribu tahun. Majapahit beribu tahun. Melaka, Perlak dan Pasai gagah di nusantara ini. Orang Melayu bukan dating dari langit. Bukan dari hutan. Bukan dari negara lain. Mereka peribumi di sini. Di seluruh nusantara Melayu.

Barangkali kita tidak pandai memelihara sejarah. Dijajah berulang-ulang tetapi masih kurang belajar. Portugis, Belanda, British, Jepun dan British silih berganti memerangkap minda kita. Memerangkap aspirasi kita. Memerangkap zaman kita. Benar, kita sudah merdeka. Secara politik. Tetapi minda kita, perasaan kita, psikologi kita, moral kita dan jatidiri kita masih belum pulih. Belum melonjak sedar untuk bergerak ke hadapan dengan gegaran tinggi. Menjulang diri ke persada kejayaan bangsa. Diperkotak-katikkan dari dahulu hingga sekarang. Yang melakukan hanya mereka yang hanya sedikit. Yang majoriti seperti kita ramai yang tidak ambil pusing. Sesudah dipusing-pusingkan oleh orang lain, kita masih tidak mengetahui kedudukan perkara.

Dalam banyak perkara kita terus lemah. Di peringkat bawah terlalu sangat lemahnya. Itu pun yang pandai memakan yang miskin. Yang kuat memakan yang lemah. Yang di hadapan meninggalkan yang di belakang. Yang tinggi menginjak yang di bawah. Kita tiada aspirsi bangsa seperti bangsa Yahudi. Dihina, dikutuk dan dilaknat tetapi masih terus-terusan membina bangsa dan negaranya sendiri. Dalam diri kita mengalir darah kepahlawanan Dato Bahaman, darah Mat Kilau, darah Dato Maharaja Lela,  darah Abdul Rahman Limbung dan darah Dato Naning. Ke mana darah itu mengalir. Hanya  kita yang perlu mencari alirannya kembali. Kembali untuk membina kehebatan lama yang dijajah. Untuk dimerdekakan sebagai bangsa yang bermaruah.

Saturday, December 22, 2018

Antara Kubah Kuning dan Kubah Hitam




Realiti berada di al-Quds seperti membuka suatu lembaran sejarah yang terlindung. Jauh di belakang maklumat sebenar. Banyak yang disalah faham. Tanggapan menjadi berbeza. Persepsi hilang tanpa melihat sendiri dengan mata kasar dan mata hati. Kita sebenarnya banyak menggunakan kalimah Bahasa Arab tetapi maksud sebenar tidak terpakai seperti yang kita gunakan. Berada di lapangan al-Quds banyak yang perlu diorientasi semula. Benarlah kata Imam Syafie bahawa perjalanan yang jauh menemukan kita dengan bukti-bukti kebesaran Allah. Iklimnya berbeza. Begitu cuaca dan suhunya. Orangnya berbeza budaya. Makanannya berbeza. Tempat tinggal mereka berbeza. Kita bukan memcari perbezaan tetapi yang terbaik ialah memahami perbezaannya. Lalu kita harmonikan kesemunya supaya manusia yang Allah cipta berbangsa-bangsa ini dimengertikan dari asal yang sama iaitu Nabi Adam as dan pasagannya Hawa. Yang Allah bezakan ialah tahap taqwanya masing-masing.

Di Malaysia masjid dan jami’ difahami dan digunapakai sebagai masjid jami’. Dalam Bahasa mudahnya Masjid adalah Bahasa Arab. Jami’ juga Bahasa Arab. Kita gabungkan menjadi masjid jami’. Secara murninya masjid dan jami’ adalah dua kalimah yang berlainan maksud hakikinya. Masjid adalah kawasan lapang untuk solat berjamaah. Di negara-negara Islam keadaan ini berlaku di mana-mana. Solat Jumaat di Kawasan lapang. Begitu juga solat Aid al-Fitri dan Aid al-Adha. Jami’ pula kawasan berbangunan dan berbumbung tempat orang berlindung dan berkumpul untuk solat. Kepada orang Arab masjid di Malaysia kesemuanya adalah jami’ bukan masjid. Kerana itu disebut Masjid al-Haram, Masjid al-Nabawiy dan Masjid al-Aqsa. Ketiga-tiganya Kawasan terbuka tanpa bumbung. Sebahagiannya sahaja berbumbung. Di sini penulis menemui kebenaran makna dua kalimah yang dianggap sama di tanah air.


Di hadapan jami’ berkubah hitam.

Masjid al-Aqsa adalah Kawasan tanah lapang seluas 14 hektar. Kawasannya berbukit dan di tengahnya terdapat busut kecil atau anak bukit. Orang zaman dahulu solat berkiblatkan batu atau busut tersebut. Sewaktu Rasulullah as solat sunat ketika sampai dari Masjid al-Haram (dalam peristiwa Isra’ dan Mi’raj) Rasulullah as mengimami 124,00 roh para anbia. Solat di Kawasan lapang pada waktu malam. Mungkin bercahayakan bulan dan bintang yang terang  tanpa mendung. Keadaan sudah berubah. Kawasan masjid ini sudah ditinggikan sebahagiannya dan diratakan bahagian datarannya. Datran yang lapang inilah yang menghimpunkan Jemaah tempatan dan pelancong yang bertali arus ke al-Quds.

Persekitaran Masjid al-Aqsa menghimpunkan penganut tiga agama samawi iaitu ajaran al-Quran, Taurah dan Injil. Yang Islam mereka sujud. Yang Yahudi meratap di tembok luarnya dan yang Kristian dengan programnya. Di dalam masjid adalah kawasan untuk orang Islam. Di sekeliling masjid ada bahagian untuk Yahudi dan dan bahagian Kristian dengan berbagai gerejanya. Yang mana yang dinamakan Masjid al-Aqsa yang selalu kita tonton pergolakannya. Mereka yang bukan Islam tidak boleh masuk ke kawasan masjid hatta ke kawasan lapang di dalam kawasan masjid. Apa pula kubah kuning dan kubah hitam. Ia salah faham yang besar sebenarnya. Penulis menyangka selama ini bahawa masjid al-Aqsa adalah jami’ yang berkubah hitam. Dalam media cetak dan eleltronik masjid al-Aqsa dikatakan yang berkubah kuning. Yang mana masjid al-Aqsa? Bukan kubah hitam dan bukan kubah kuning. Tentu kita keliru.


Bangunan berkubah kuning.

Bangunan berkubah kuning adalah sebuah bangunan yang menempatkan batu yang menjadi qiblat pertama umat Islam. Juga sebenarnya qiblat orang Yahudi. Bangunan berkubah kuning bukan masjid dan bukan jami’. Untuk solat sunat tiada masalah. Jami’ yang sebenarnya ialah bangunan yang berkubah hitam. Dilakukan solat fardhu berjemaah di dalamnya. Pada hari Jumaat, Aid al-Fitri dan Aid al-Adha jamaahnya melimpah ruah memenuhi seluruh kawasan Masjid al-Aqsa. Sama ada di dataran atau di kawasan lapang yang ada. Jika ada sekatan keselamatan mungkin jumlah jamaahnya berkurangannya. Kerana ada juga jamaah dari Malaysia yang tidak dibenarkan masuk. Yang kadang-kadang berlaku kekecohan penganut agama lain di dalamnya ialah di jami’ berkubah hitam. Kekecohan itu pula bukan setiap masa. Bukan berkala dan bukan selalu. Hanya pada ketika-ketika tertentu. Apabila keadaan seperti itu berlaku barulah tiada pelancong dibenarkan masuk sama ada oleh pihak berkuasa tempatan atau oleh pihak negara luar seperti negara kita. Pada waktu  yang lain keadaan di al-Quds aman seperti di tempat lain.


Bangunan berkubah  kuning memerlukan penelitian untuk memahaminya. Ia bukan jami’ dan bukan masjid tetapi terletak di tengah kawasan masjid al-Aqsa yang seluas 14 hektar. Sekali lagi dimaklumkan bahawa masjid al-Aqsa adalah seluruh kawasan lapang seluas 14 hektar. Bangunan berkubah hitam dan kuning berada di dalam kawasan 14 hektar. Maknanya sekarang ini di masjid al-Aqsa dibina jami’ yang berkubah hitam dan bangunan berkubah kuning. Bangunan berkubah kuning dibina oleh khalifah Marwan sementara bangunan yang berkubah hitam dibina oleh anak khalifah Marwan. Di tengah banguna berkubah kuning terletak busut atau batu tempat Rasulullah berpijak untuk memulakan mi’raj. Selepas peristiwa Isra’ dan Mi’raj ramai pengunjung yang mengambil batu bukit kecil tersebut kerana dianggap barakah bekas tapak kaki Rasulullah saw. Khalifah Marwan bimbang bahawa satu hari nanti batu itu akan habis diambil orang. Maka bangunan berkubah kuning dibina bagi tujuan melindungi dan menjaga batu tersebut.


Panorama Masjid al-Aqsa

Saturday, December 1, 2018

Inspirasi Perjalanan Ke al-Quds




Al-Quds, di situ letaknya sejarah para anbia. Tempat lahir, sejarah kehidupan, iktibar dan dakwah kepada manusia sejagat. Sekadar menyebut nama-nama mereka Nabi Ibrahim as, Nabi Isa as. Nabi Daud as, Nabi Sulaiman as, Nabi Zakaria as, Nabi Yahya as dan ramai lagi. Sinonim juga nama-nama Imran dan keluarganya serta Maryam. Satu-satunya nama wanita pilihan yang Allah rakamkan dalam al-Quran. Menjejak mereka merupakan sesuatu yang syahdu. Terasa sendu dalam qalbu. Ya Allah, alhamdulillah kau anugerahkan aku peluang dan ruang ini. Limpah kurniamu mengizinkan aku tiba di sini. Di tanah yang penuh dengan jejak insan pilihanmu. Berilah barakahmu dalam kembaraku ini. Kembara membara untuk menjadi lebih dekat lagi dengan sisimu.

Al-Quds yang biasa disinonimkan dengan al-Aqsa ini penuh sejarahnya. Menjejak kaki di sini merupakan tekad lama bagi mereka yang sudah menjejak kaki ke Masjid Al-Haram, Masjid Nabawiy dan kemudiannya Al-Aqsa. Ianya bukan nama masjid. Al-Aqsa bermakna jauh. Terlalu jauh bagi mereka yang tinggal di Makkah ketika itu. Tunggangan lazimnya dengan unta. Masanya perjalanannya kira-kira sebulan untuk sampai. Al-Aqsa sangat jauh bagi mereka. Hanya disebut Al-Aqsa. Jauh. Hingga sekarang tiada nama khusus untuk masjid al-Aqsa. Kita kekalkan Al-Aqsa itu dengan sejarahnya. Yang penting bukan namanya tetapi sejarah buminya kerana di situ jejak para anbia yang sangat ramai bilangannya. Sejarah paling agung apabila nabi terakhir, Muhammad Rasulullah saw menjejakkan kakinya di situ sebelum dibawa ke langit mengadap Allah. Menerima rukun Islam yang kedua iaitu solat fardhu lima waktu.

Bagi kita di Malaysia,selalu memikirkan bahawa al-Quds atau Jurusalem bukan tempat selamat. Bukan aman. Bukan tempat yang kondusif untuk diziarahi. Persepsi ini selalu kita bina tanpa hak. Kita selalu membina persepsi yang salah kerana kita dihidangkan banyak hal negatif melalui media arus perdana khususnya akhbar dan TV. Di seluruh dunia berita negatif menjadi lumrah. Ramai yang ngeri apabila ada program lawatan ke al-Quds. Sama juga orang takut ke Mesir kerana berita kekacauannya yang berlebihan. Realitinya bukan begitu.  Hakikatnya tidak seperti berita yang kita baca. Tidak seperti yang kita dengar dan lihat. Membina persepsi melalui media kadang-kadang banyak yang tidak benar. Menjejak al-Quds memberi peluang membetulkan persepsi yang penulis ada selama ini. Berada di sini bersama realiti yang hakiki.

Di luar tembok Masjid al-Aqsa keadaan santai dan tenang seperti tiada apa-apa.

Hidup seperti biasa seperti di tempat lain.

Perjalanan ke al-Quds perlukan perancanan yang panjang. Paling kurang enam bulan. Al-Quds dikuasai oleh Israel walaupun Palestin sebuah negara berdaulat. Kita ada hubungan diplomatik dengan Palestin. Duta Besar Malaysia ke Mesir lazimnya juga Duta Besar Malaysia ke Palestin. Tetapi kita tiada hubungan diplomatik dengan Israel. Kita berdagang dengan mereka. Benar. Itu hubungan perdagangan. Tentunya dengan restu dan izin kerajaan. Maka untuk ke al-Quds perlukan urusan yang kompleks dengan izin Kementerian Luar Malaysia. Antara kriteria penting yang diambilkira ialah faktor keselamatan. Jika keselamatan tidak dapat dipastikan maka izin itu tidak akan diperolehi.

Sebenarnya setiap minggu ada sahaja rombongan dari Malaysia yang berada di al-Quds. Kumpulan besar dan kumpulan kecil. Bersama penulis seramai 34 orang. Datang dari berbagai tempat di Malaysia. Penulis bertemu dengan rombongan lain yang datang lebih awal. Tarikh kembali ke Malaysia mereka enam jam lebih awal. Mereka dijadualkan tiba di KLIA sebelah tengah hari sedangkan penulis dijadualkan tiba pada waktu Maghrib. Penulis bertemu juga rombongan dari negara Cina,Korea, Thailand dan Indonesia. Yang datang dari Eropah lebih ramai lagi. Al-Quds menjadi tumpuan penganut Islam, Yahudi dan Kristian.

Setiap hari kota al-Quds sentiasa ramai. Penduduknya 100% Islam. Mereka bercakap Arab tetapi fasih dalam beberapa Bahasa asing khususnya Bahasa Inggeris. Tradisi dan pelancongan serta ekonomi. Suatu pengalaman yang indah dan berimpak tinggi. Ia berkaitan dengan agama kita. Banyak yang Allah rakam di dalam al-Quran ada di sini. Berada di sini seperti kembali ke zaman itu. Suasana berbeza tetapi udaranya sama. Panaromanya masih sama. Bayangan masa lalu yang terimbas kembali. Lintasan masa yang Allah izinkan untuk kita kembali menginsafi perjalanan sejarah manusia dari dahulu hingga sekarang. Kita adalah penjejak masa itu. Pengembara masa.

Wednesday, November 21, 2018

Mematangkan Diri Melalui Orang Dewasa




Untuk mencapai kematangan ada dua cara:

1                     Usia yang bertambah melewati 18 tahun.
2                     Belajar dari pengalaman orang lebih dewasa.

Lazimnya anak-anak muda lebih condong ke arah rakan sebaya. Mereka selesa dengan keadaan itu. Lalu mereka menjauhkan diri dari orang dewasa yang memiliki berbagai kelebihan. Antaranya:

1                     Banyak pengalaman yang berbagai.
2                     Biasa menyelesaikan masalah.
3                     Biasa membuat keputusan kritikal.
4                     Biasa dengan cabaran kerja dan kehidupan.

Kita biasa dengan keadaan anak muda yang sangat kurang dewasanya. Mereka mungkin graduan tetapi serba kekurangan dari berbagai segi.

1                     Tidak mahir dalam pengurusan dan pentadbiran.
2                     Tidak mahir dalam protokol dan etiket.
3                     Kurang kemahiran sosial.
4                     Tiada kemahiran dari segi kepimpinan.
5                     Akhlaqnya masih belum murni (cultured, cultivated, nurtured and refined).

Anak-anak muda sewajarnya menimba pengalaman dari mereka yang dewasa dan berpengalaman dalam berbagai bidang dan berbagai hal. Caranya:

1                     Mendekati mereka.
2                     Bekerjasama dengan mereka dalam projek atau kerja-kerja rasmi dan kerja amal.
3                     Meminta pandangan mereka dalam banyak hal.
4                     Membuat pengamatan tentang aktiviti mereka, cara mereka melaksanakan tugas mereka.
5                     Meminta sokongan dan pengesahan mereka.
6                     Bertukar-tukar pendapat tentang banyak hal yang berkaitan dengan tugas mereka atau        hal-hal kemasyarakatan, politik dan hal-hal lain yang penting dalam masyarakat.

Apabila mula bekerja kebanyakan majikan beranggapan bahawa seseorang itu memiliki kemahiran asas. Jika berjawatan eksekutif harapan majikan tentunya:

1                     Boleh memimpin staf di bawahnya.
2                     Boleh merancang.
3                     Boleh mengorganisasi sesuatu aktiviti.
4                     Boleh mengkoordinasi pihak-pihak yang berkepentingan.
5                     Boleh berkomunikasi dengan baik.
6                     Boleh memberi arahan yang jelas.
7                     Boleh berunding – negotiation.
8                     Boleh menyelesaikan masalah. Boleh membuat keputusan yang rasional.
9                     Boleh mengintegrasi dan mengkoodinaasi.
10                 Boleh mendengar dan boleh memberi maklum balas.
11                 Tahu tentang pengurusan pejabat.
12                 Boleh mengendalikan mesyuarat.

Jika tiada asas langsung, sukar bagi majikan hendak memberi latihan. Mereka tidak boleh membawa penumpang (passenger) dalam organisasi mereka. Mereka tidak perlukan pekerja baru yang benar-benar mentah dalam banyak hal. IPT atau institusi latihan yang melengkapkan mereka. Kerana itu:

1                     Pelajar perlu aktif dalam Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), kelab-kelab dan aktiviti lain    di IPT.
2                     Berlatih menjadi pemimpin untuk memimpim pelajar lain dan ahli-ahli kelab.
3                     Boleh membuat kertas kerja.
4                     Boleh membuat kerja lapangan.
5                     Sudah membina networking.
6                     Berkeyakinan tinggi.
7                     Brintegrasi.
8            Belajar untuk lebih perihatin dan banyak bersifat empati.

Jika mereka perlu belajar sekalipun ianya melibatkan aspek-aspek kritikal seperti kerahsiaan, pemantauan, laporan lisan dan bertulis. Anak-anak muda yang tidak terlibat secara langsung dengan aktiviti sesama pelajar boleh juga terlibat dengan ahli masyarakat di luar kampus umpamanya. Banyak ruang dan peluang untuk anak muda belajar hidup dalam ruang lingkup masyarakat yang kecil dan besar. Peluang-peluang itu adalah untuk membina kemahiran hidup dalam suasana sebenar dalam kehidupan.

Kehidupan di luar sangat kompleks. Dalam organisasi juga kompleks tetapi dalam kehidupan di luar lebih tinggi lagi aras kompleksnya. Anak-anak muda yang cepat dewasa merasa sensitif dengan semua perkara di persekitaran mereka. Banyak tanda-tanda penting. Banyak perubahan berlaku. Kesemuanya perlukan tindakan atau respons positif.  Amat berbeza antara mereka yang matang dengan yang tidak. Kematangan dimanifestasikan dengan tindakan positif. Difikirkan secara selari dan mendatar. Banyak usaha menambahbaik. Sebaliknya tanpa kematangan akan berlaku banyak hal-hal yang tidak kongruen. Banyak paradoks. Banyak percanggahan. Banyak hal yang dilihat negatif sedangkan yang diperlukan ialah pengharmonian dan penyesuaian.

Dalam kerja yang sebenarnya banyak hal yang perlu dipelajari dengan cepat. Dunia organisasi khususnya dunia korporat, perubahan sangat bergolak pantas (volatile) dan mereka yang terlibat perlu pantas menanganinya. Perlu pula bijak dalam banyak hal. Pekerja yang diperlukan ialah yang memiliki berbagai aset penting, sihat fizikal dan mental, berfikiran lapang tetapi tajam, perihatin, melihat ke hadapan dengan visi yang jelas dan menggabungkan perancangan jangka panjang dan perancangan strategik. Memahami tahap autoriti yang digalas, tanggungjawab yang perlu dilaksana dan akauntibiliti dirinya dalam melaksanakan autoriti dan tanggungjawab yang diamanahkan.

Maka matanglah selari dengan usia masing-masing. Untuk lebih cepat matang timba dan cedok pengalaman orang yang lebih dewasa dan lebih lama sebagai pemain dalam kehidupan. Tidak salah copypaste dalam kehidupan asalkan ianya membawa kepada kebaikan dan boleh menambahbaik keadaan.