Saturday, September 14, 2019

MENGENALI DIRI SENDIRI




Kita sering merasakan bahawa diri kita adalah yang terbaik di kalangan semua manusia yang berada di sekeliling kita. Ada dua implikasi terhadap perasaan ini.

Pertama: impak positif.
Kedua: impak negatif.

Secara positifnya kita merasa yakin diri. Banyak yang perlu disumbangkan. Semangat kita selalu bergejolak untuk melakukan yang terbaik dalam hidup kita. Kita ingin mempengaruhi orang lain supaya menjadi kita  yang istimewa. Kita ingin mengubah dunia. Banyak yang perlu kita lakukan untuk merealisasikan impian dan hasrat diri yang selama ini terpendam. Andainya peluang itu tiba, maka keinginan untuk mempamer yang terbaik kebarangkaliannya sangat tinggi akan berjaya.

Secara negatifnya dapat dilihat dari dua sudut. Orang di sekeliling kita mungkin tidak suka cara kita kerana mengganggu hidup damai dan harmoni yang sedang mereka lalui selama ini. Mereka tidak berapa akur untuk berubah, tidak membantu perubahan berlaku, mekanisma perubahan tidak boleh berlaku. Impian untuk melihat perubahan akan mengecewakan. Dari sudut ini, hanya mereka yang benar-benar memiliki keyakinan diri yang tinggi sahaja yang akan survive.   

Oleh yang demikian, fitting into the system adalah alternatif yang terbaik. Dari dalam, kita cipta dinamisme perubahan. Untuk berubah:

1                 Ubah diri sendiri dulu. Ubah penampilan, ubah pertuturan, ubah pergaulan, ubah tingkahlaku lebih positif, ubah cara berinteraksi dengan orang lain. Bersikap terbuka. Banyak belajar kendiri, belajar kerana di”sekolahkan” oleh orang lain, belajar dari kesilapan.
2                 Melihat sekeliling untuk mengesan di mana perubahan paling sesuai boleh dilakukan.
3                 Lakukan perubahan yang tidak terlalu ketara. Cuma orang mungkin mengesan suatu perubahan telah belaku.
4                 Ingat, tidak ramai orang yang perlukan perubahan, tidak mahu perubahan, tidak mengetahui perlunya perubahan dan tidak akan membantu sebarang perubahan.

Di pejabat, meja kita mengadap kaunter dan pintu. Lazimnya begitu. Pada perasaan semua orang kita boleh mengesan jika ada orang datang. Tetapi pada hakikatnya ketika orang itu sudah berada di hadapan meja kita, baru kita perasaan. Ini kerana sewaktu melakukan tugas di meja, kita lebih banyak menundukkan kepala melihat apa yang kita lakukan dan bukan melihat apa yang ada melangkaui meja kita.  Sebaliknya jika meja kita selari dengan kedudukan kaunter ekor mata kita memainkan peranan. Ia fizikal dan psikologikal. Ekor mata kita boleh mengesan pergerakan lebih jauh dari yang kita bayangkan. Sebelum pelanggan sampai di kaunter, kita sudah berdiri menyambut kehadirannya. Melakukan perubahan yang sangat kecil sebegitu pasti mendapat tentangan. Bukan dari rakan sekerja bahkan dari ketua pejabat. Pengalaman peribadi penulis.

Menyesuaikan diri dengan perubahan dilihat sukar jika kita:

1                    Tidak mahu berubah.
2                    Tidak mahu menyesuaikan diri.
3                    Tidak membantu perubahan supaya berlaku.

Sebagai staf yang tidak ada kuasa, banyak yang boleh kita lakukan:

1                 Jadi ahli yang aktif dalam mesyuarat, taklimat dan perubahan. Jangan simpan perasaan, cadangan, idea atau saranan-saranan yang boleh dikongsi dengan orang lain.
2                 Belajar menyampaikan idea dan hujjah dengan bahasa, istilah dan intonasi suara yang mengesankan.
3                 Apabila sesuatu cdangan dikemukakan, buat kajian segera sepantas kilat. Kesan jika ada kelemahan. Buat cdangan balas yang lebih menasabah, lebih ekonomik, lebih menasabah kebarangkalian untuk berjaya.
4                 Mereka yang banyak bercakap tidak disukai. Itu fakta. Tetapi jika disampaikan dengan bersahaja tanpa emosi, orang lain akan memberikan perhatian mereka. Isi dengan data, dengan dapatan kajian, dengan fakta semasa.

Dalam organisasi kita mungkin bukan siapa-siapa. Jangan jadikan itu sebagai alasan untuk:

1                    Tidak aktif.
2                    Tidak melahirkan idea.
3                    Malas bercakap.
4                    Kecewa, merungut, mengumpat dan memperlekehkan orang lain.
5                    Meninggalkan amalan yang baik.

Menyesuaikan diri ini amat penting dalam jangka panjang. Kerja bukan mudah diperolehi. Apa yang ada perlu dijadikan kerjaya yang berjaya pada masa hadapan. Ada kesabaran untuk mencapai cita-cita diri. Kejayaan tidak boleh dicapai dalam masa singkat. Bukan sehari atau dua hari. Jika kita menjadi unfit dalam organisasi, lebih baik keluar sebelum dikeluarkan. Kadang-kadang kita turun merendah diri untuk membiasakan diri dengan hal-hal di peringkat bawahan. Apa salahnya pegawai:

1                    Menyusun meja dan kerusi.
2                    Menyapu sampah.
3                    Membuang sampah.
4                    Membancuh kopi sendiri.
5                    Bancuh kopi untuk orang lain.

Melakukan kerja-kerja “bawahan” lebih memesrakan diri, dihormati dan dihargai. Malah disegani orang keliling. Kita tidak boleh jadi detached dengan realiti hidup bermasyarakat. Lebih banyak yang boleh kita lakukan, lebih hormat orang kepada kita. Syaratnya bukan menunjuk-nunjuk dan bukan pula untuk diwar-warkan atau dikomersilkan. Yang paling baik ialah lakukan dan senyapkan. Biar dilihat bukan untuk didengar.

Sebenarnya ramai orang gagal bermasyarakat atau bersosial. Sebabnya:

1                    Mereka hanya banyak melihat dan bukan membantu.
2                    Mereka membantu sedikit dan melepaskan kerja itu untuk dilakukan oleh orang lain.
3                    Mereka tidak memiliki rasa malu kerana hanya mampu melihat bukan membantu.
4                    Mereka perlu “diketuk” untuk bergerak. Inisiatif tiada pada diri.
5                    Mereka meninggalkan orang lain untuk melakukan kerja sementara mereka lesap tanpa      bayang.
6                    Suka menyalahkan orang lain (blame game). Orang lain sahaja yang salah.

Ramai orang lupa bahawa diri kita diperhatikan orang lain. Baik kita, ketara. Buruk kita juga ketara. Dalam peribahasa Jawa, “Seng apik ketitik, seng olo ketoro.” Maksudnya yang baik itu dilihat baiknya. Yang buruk pula dilihat juga buruknya. Dalam organisasi ramai ahli yang mengelak untuk melakukan kerja dan tugas yang terbaik. Tetapi merekalah yang ingin bahagian ganjaran yang lebih banyak. Mereka lupa menilai diri. Setakat mana sumbangan mereka untuk melaksanakan sesuatu aktiviti. Kualitinya entah di mana. Kuantitinya tidak kelihatan.

Memperbaiki diri perlu dengan cara refleksi diri atau muasabah diri:

1                    Apakah kita telah melakukan yang terbaik?
2                    Apakah cukup kuantiti tugas yang kita lakukan?
3                    Adakah kualitinya melebihi keperluan?
4                    Adakah ianya menyumbang kepada kejayaan bersama? Atau terlalu sedikit?
5                    Adakah kita memiliki perasaan “cukuplah tu”?
6                    Apakah lagi yang perlu kita perbaiki? Diri kita, hasil kerja kita, pencapaian kumpulan,        pencapaian unit, pencapaian jabatan, pencapaian organisasi.
7                    Apakah bidang lain yang perlu kita pelajari?
8                    Bagaimanakah cara untuk menjadi lebih efektif dan lebih efisien?

Carilah di luar sana dengan banyak membaca, banyak bertanya, banyak melihat, banyak berseminar dan banyak berinteraksi dari mereka yang lebih arif. Belajar dari mereka yang banyak pengalaman. Mereka yang berjaya. Mereka yang lebih tua dalam industri atau organisasi. Belajar untuk menjadi lebih baik dan terbaik.

No comments:

Post a Comment