Al-Quds, di situ letaknya sejarah para anbia. Tempat lahir,
sejarah kehidupan, iktibar dan dakwah kepada manusia sejagat. Sekadar menyebut
nama-nama mereka Nabi Ibrahim as, Nabi Isa as. Nabi Daud as, Nabi Sulaiman as,
Nabi Zakaria as, Nabi Yahya as dan ramai lagi. Sinonim juga nama-nama Imran dan
keluarganya serta Maryam. Satu-satunya nama wanita pilihan yang Allah rakamkan
dalam al-Quran. Menjejak mereka merupakan sesuatu yang syahdu. Terasa sendu
dalam qalbu. Ya Allah, alhamdulillah kau anugerahkan aku peluang dan ruang ini.
Limpah kurniamu mengizinkan aku tiba di sini. Di tanah yang penuh dengan jejak insan
pilihanmu. Berilah barakahmu dalam kembaraku ini. Kembara membara untuk menjadi
lebih dekat lagi dengan sisimu.
Al-Quds yang biasa disinonimkan dengan al-Aqsa ini penuh
sejarahnya. Menjejak kaki di sini merupakan tekad lama bagi mereka yang sudah
menjejak kaki ke Masjid Al-Haram, Masjid Nabawiy dan kemudiannya Al-Aqsa. Ianya
bukan nama masjid. Al-Aqsa bermakna jauh. Terlalu jauh bagi mereka yang tinggal
di Makkah ketika itu. Tunggangan lazimnya dengan unta. Masanya perjalanannya kira-kira
sebulan untuk sampai. Al-Aqsa sangat jauh bagi mereka. Hanya disebut Al-Aqsa.
Jauh. Hingga sekarang tiada nama khusus untuk masjid al-Aqsa. Kita kekalkan
Al-Aqsa itu dengan sejarahnya. Yang penting bukan namanya tetapi sejarah
buminya kerana di situ jejak para anbia yang sangat ramai bilangannya. Sejarah
paling agung apabila nabi terakhir, Muhammad Rasulullah saw menjejakkan kakinya
di situ sebelum dibawa ke langit mengadap Allah. Menerima rukun Islam yang
kedua iaitu solat fardhu lima waktu.
Bagi kita di Malaysia,selalu memikirkan bahawa al-Quds atau
Jurusalem bukan tempat selamat. Bukan aman. Bukan tempat yang kondusif untuk
diziarahi. Persepsi ini selalu kita bina tanpa hak. Kita selalu membina
persepsi yang salah kerana kita dihidangkan banyak hal negatif melalui media arus
perdana khususnya akhbar dan TV. Di seluruh dunia berita negatif menjadi
lumrah. Ramai yang ngeri apabila ada program lawatan ke al-Quds. Sama juga
orang takut ke Mesir kerana berita kekacauannya yang berlebihan. Realitinya
bukan begitu. Hakikatnya tidak seperti
berita yang kita baca. Tidak seperti yang kita dengar dan lihat. Membina
persepsi melalui media kadang-kadang banyak yang tidak benar. Menjejak al-Quds
memberi peluang membetulkan persepsi yang penulis ada selama ini. Berada di
sini bersama realiti yang hakiki.
Di luar tembok Masjid al-Aqsa keadaan santai dan tenang
seperti tiada apa-apa.
Hidup seperti biasa seperti di tempat lain.
Perjalanan ke al-Quds perlukan perancanan yang panjang.
Paling kurang enam bulan. Al-Quds dikuasai oleh Israel walaupun Palestin sebuah
negara berdaulat. Kita ada hubungan diplomatik dengan Palestin. Duta Besar
Malaysia ke Mesir lazimnya juga Duta Besar Malaysia ke Palestin. Tetapi kita tiada
hubungan diplomatik dengan Israel. Kita berdagang dengan mereka. Benar. Itu
hubungan perdagangan. Tentunya dengan restu dan izin kerajaan. Maka untuk ke
al-Quds perlukan urusan yang kompleks dengan izin Kementerian Luar Malaysia.
Antara kriteria penting yang diambilkira ialah faktor keselamatan. Jika
keselamatan tidak dapat dipastikan maka izin itu tidak akan diperolehi.
Sebenarnya setiap minggu ada sahaja rombongan dari Malaysia
yang berada di al-Quds. Kumpulan besar dan kumpulan kecil. Bersama penulis
seramai 34 orang. Datang dari berbagai tempat di Malaysia. Penulis bertemu
dengan rombongan lain yang datang lebih awal. Tarikh kembali ke Malaysia mereka
enam jam lebih awal. Mereka dijadualkan tiba di KLIA sebelah tengah hari
sedangkan penulis dijadualkan tiba pada waktu Maghrib. Penulis bertemu juga
rombongan dari negara Cina,Korea, Thailand dan Indonesia. Yang datang dari
Eropah lebih ramai lagi. Al-Quds menjadi tumpuan penganut Islam, Yahudi dan
Kristian.
Setiap hari kota al-Quds sentiasa ramai. Penduduknya 100%
Islam. Mereka bercakap Arab tetapi fasih dalam beberapa Bahasa asing khususnya
Bahasa Inggeris. Tradisi dan pelancongan serta ekonomi. Suatu pengalaman yang
indah dan berimpak tinggi. Ia berkaitan dengan agama kita. Banyak yang Allah
rakam di dalam al-Quran ada di sini. Berada di sini seperti kembali ke zaman
itu. Suasana berbeza tetapi udaranya sama. Panaromanya masih sama. Bayangan
masa lalu yang terimbas kembali. Lintasan masa yang Allah izinkan untuk kita
kembali menginsafi perjalanan sejarah manusia dari dahulu hingga sekarang. Kita
adalah penjejak masa itu. Pengembara masa.
No comments:
Post a Comment