Wednesday, September 10, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Air dan Kurma Di Siwa

Setandan kurma ini tentulah berat. Makanan kesukaan warga Arab. Berbuah sekali dalam setahun. Hanya pada musim panas. Namun begitu hasilnya dari setiap pokok sangat banyak. Mereka boleh simpan dan dijadikan makanan mengenyangkan sehingga musim panas yang akan datang. Lazatnya tetap sama. 




Beberapa tahun lalu di Pekan Parit Sulung, Batu Pahat. Ramadhan hari pertama tahun itu. Ada penjual kurma memperagakan kurma kuning seperti di atas. Masih segar dan memang belum masak atau belum lembut lagi. RM60 sekilogram. Seperti hendak tercabut telinga mendengar harganya. Ramadhan itu penulis banyak berjalan. Di Gombak harganya RM22. Di bazar Ramadhan Bandar Baru Selayang harganya RM18. Di Carrefour (sekarang Aeon) Batu Pahat hanya RM13 sahaja. Penulis tidak tahu mengapa perbezaan harga begitu ketara. Orang Islam di Malaysia bukan memaksa dirinya wajib makan kurma. Jika ada alhamdulillah. Jika tidak ada tidaklah terlalu mendesak untuk mencari dan membelinya. Di Siwa, Mesir  harganya hanya RM5 sahaja. Pada harga RM60 bermakna harga telah dilonjakkan sebanyak 12 kali ganda. Aduh! Mahalnya.

Peniaga di Malaysia lazimnya begitu. Mengenakan harga yang tinggi. Skimming dalam bahasa marketing. Sesuatu yang dianggap sunnah menjadi suatu pembaziran kerana harga yang terlalu tinggi. Kurma yang paling dekat barangkali didatangkan dari India, Iran atau Australia. Bukan jauh sangat. Atau mungkin orang tengah telah menekan harga. Pengguna akhir yang terpaksa membayar dengan harga yang tinggi. Siapa mereka? Muslim yang berpuasa di bulan Ramadhan. Siapa yang mengimport? Mungkin boleh buat penyelidikan dan disiapkan sebagai tesis Ph.D. Hanya kerana kurma yang mahal harganya. Pernah juga melihat buah kurma di pokoknya di sekitar Makkah semasa menunaikan umrah pada tahun 2003 dahulu. Pokoknya tinggi. Tidak dapat untuk menyentuh atau memetiknya. Di Siwa ini barulah penulis merasa hajatnya dimakbulkan Allah. Dapat melihat dan menatap. Menyentuh dan memetik. Makan dan mengunyah buah kurma terus dari tangainya. Dari tandannya. Dari pokoknya. Berdiri di bawah pokok kurma dan merenung setiap biji dari tandan yang ada seperti tidak mahu melarikan mata. Begitu mengasyikkan. Masing-masing menyatakan rasa geramnya pada buah yang ranum menguning keemasan begitu.

Siwa bukan sebuah bandar besar. Kawasannya juga tidak besar. Tetapi ianya antara oasis (wadi) yang subur. Dikatakan cuma ada lima oasis besar di Mesir. Siwa yang paling terkenal. Gah dengan sejarah silamnya. Gah dengan sejarah zamannya. Gah dengan Alexander The Great dari Macedonia. Gah dengan Cleopetra.  Gah dengan airnya yang tidak pernah putus. Gah dengan kurmanya yang dikatakan antara yang terbaik di Mesir. Perjalanan dengan bas selama empat jam dari Matruh sangat berbaloi. Panas terik yang menyengat tidak merugikan apa-apa. Siwa memiliki tarikannya yang tersendiri yang tidak terdapat di tempat lain di Mesir. Pada zaman antah berantah dahulu ianya jajahan Greece. Tamadun Greek bertapak di sini. Masih ada bekas dan artifaknya. Pernah menjadi jajahan Libya tetapi akhirnya menjadi milik Mesir. Jika dilihat pada peta benua Aftika kita dapati bahawa sempadan antara Libya dan Mesir seolah-olahnya suatu garisan lurus sahaja dari Utara ke Selatan. Begitu juga sempadan antara Sudan dan Mesir. Lurus dari Timur ke Barat. Mesir dan Sudah pada asalnya dikatakan sebuah negara di Utara dan di Selatan.

Sehari suntuk berada di Siwa terlalu singkat rasanya. Banyak yang boleh dijelajah. Penulis dan ahli rombongan hanya menikmati sampelnya sahaja. Mungkin rombongan lain boleh berkongsi pengalaman mereka yang lain. Cuma mungkinkah kurma boleh dikomersilkan di Malaysia. Belum ada yang mencuba untuk menanamnya sebanyak beberapa hektar. Alangkah baiknya jika kelapa sawit bersebelahan kurma. Minyak swait menjadi hasil negara. Kurma membantu menjadi makana mengenyangkan. Di Pantai Timur semenanjung rasanya cukup sesuai. Boleh berbuah seperti di Kelantan dan Terengganu. Mungkin ada usahawan yang berminat menanamnya sebanyak 10 atau 20 hektar. Belum dicuba belum tahu natijahnya. Jika banyak dan luas proses pendebungan tentulah lebih mudah. Insyaallah hasilnya boleh dinikmati bersama.

Pada musim buah bertandan-tandan buahnya. 


Di Siwa pokok kurma banyak yang masih rendah. Namun buahnya sangat lebat.

Buahnya santai berehat di atas pagar.

Tidak pernah terfikir sebelum ini dapat berdiri sama tegak dengan tandanan buah kurma. Selalunya pokok kurma tinggi-tinggi belaka. Perlu dipanjat untuk memetiknya. Yang ini dapat disentuh, dipegang dan diusap pada pipi.

Abang Arab ini sedang memetik buah kurma kerana ada permintaan untuk minum jus kurma segar.

Memandang buah yang hampir masak kuning-kekuningan ini tidak dapat hendak menggambarkannya dengan kata-kata. Cukuplah mata dan hati yang puas kerana memandangnya. 


Di atas pokoknya bergayutan menunggu cahaya matahari. memasak dan mengeringkannya.


Buah yang boleh dicapai tangan. Menggeram dan mengujakan.


Allahuakbar. Banyaknya bergayutan.


Sesak nafas memandangnya. Terlalu banyak. Terlalu indah. Terlalu memikat. Teruja sungguh berada di tempat ini.


Bukan satu atau dua. Bertandan-tandan. Yang rendah dan yang tinggi. kesemuanya berbuah dengan lebatnya.

Yang ini hampir masak kesemuanya. Pada akhir musim panas ini musim panen buah kurma.


Monday, September 8, 2014

Bingkisan Di Kaherah: Mensucikan Keindahan Ciptaan Allah

Jalanraya di bandar Matruh. Menghala ke tepi pantai utamanya.

Antara pelancong antarabangsa yang menziarahinya. Sementara berada di Mesir mereka mengambil peluang untuk berada di sini.

Laut terbentang luas di hadapan.

Jalanraya menuju ke pantai dihias indah menggamit pelancong.


Apabila kita berada di sesuatu tempat dalam jangka waktu yang lama kita merasakan bahawa itulah sahaja persekitaran yang paling baik untuk kita. Kita dengan sesuatu yang sudah terlalu biasa. Zon selesa yang sangat dimengerti. Islam banyak mengajar kita supaya banyak mengembara. Melihat dengan mata kasar dan dengan mata hati. Banyak kelainannya yang kita temui. Banyak budaya yang perlu difahami. Banyak tanda dan alamat yang hanya mata dan hati sahaja yang mengetahui. Yang penting kita menemui sesuatu yang baru. Banyak yang mengujakan. Banyak pengajaran. Banyak iktibar. Melihat dengan ilmu adalah lebih baik dari melihat hanya menjamu mata. Tanda-tanda kebesaran dinikmati untuk dimengerti bahawa kita terlalu kerdil untuk tidak mungkin banyak bersyukur. Setiap yang dilihat adalah dengan sendirinya sesuatu ciptaanNya yang hanya dari qudrat dan iradahnya. 

Matruh seperti juga bandar-bandar pelancongan dan peranginan tepi pantai. Namun kerana letaknya di tepian Laut Mediterranean, pengunjungnya sangat ramai. Pantainya penuh sesak dengan manusia yang ingin menikmati musim panas sepuas-puasnya. Mandi dan menyelam bukan lagi dikira banyaknya. Pantai utama Matruh dilingkari bandar yang penuh dengan hotel-hotel yang tinggi. Mengadap ke laut luas. Air laut Mediterranean memukau juga. Selain dari kejernihannya, warnanya yang berlapis-lapis dari jernih ke hijau dan ke biru menimbulkan suatu kemanisan berada di sini. Penulis tidak dapat untik bermandi-manda. Sudah puas mandi di laut sewaktu tinggal selama enam tahun di Kuala Terengganu dahulu. Selalu juga ke Port Dickson dan Tanjung Bidara. Laut bukanlah lagi sesuatu yang luarbiasa. Cuma penulis menjejak Cleopetra. Menjejak bangsa yang berbagai di bumi anbia ini. Silih berganti di sepanjang pantai Laut Maditerranian. Yang juga dipanggil Laut Tengah. Atau Laut Putih.

Sewaktu masih di sekolah rendah dahulu penulis terbaca cerita-cerita yang berlatarelakangkan Timur Tengah. Pada awal-awal tahun 1950an dahulu sudah mengetahui nama-nama yang sekarang penulis jejaki.

Laut Merah.
Bukir Tursina.
Laut Maditerranean. Laut Tengah. Laut Putih.
Padang Pasir Sahara. (dari bahasa Arab  ﺻﺤﺮاء bermakna padang pasir).

Kali pertama melihat dan menjejak kaki untuk merasa basahan air Laut Mediterranean tentulah sesuatu yang nostalgik berbanding ceritanya yang dibaca kira-kira 60 tahun dahulu. Ya, 60 tahun dahulu. Alhamdulillah, Allah memberi peluang dan ruang untuk sampai di sini. Menjejak sendiri kaki ini. Merenung dengan mata ini. Mendengar dengan telinga ini. Berdenyut dengan hati ini. Disedut udara nyaman yang mengasyikkan berzaman empayar demi empayar. Sesungguhnya kembara membawa manusia bukan tubuh badannya sahaja. Tetapi perasaan, naluri, gerakhati dan psikologinya. Tentu sahaja iklim dan suhu bukan kebiasaan kepada kita. Panasnya bukan kebiasaan kita. Sejuknya juga bukan kebiasaan kita. Namun begitu apabila tahap kesyukuran kita berada pada tempat yang tinggi maka segala-galanya menjadi mudah. Kesemuanya anugerah dari Allah Yang Maha Mengetahui. Mensyukuri nikmat itu sahaja sudah cukup mengujakan. Ramai orang lain yang hanya teringin. Untuk sampai di sini bukan sesuatu yang mudah. Bagi yang sudah sampai tentulah perlu diperbanyakkkan bersyukur.

Di mana-mana ada tarikan pelancong, ramai sungguh yang menjejakkan kakinya. Banyak yang dipandang seperti tidak puas. Yang indah dirakam. Dialbumkan. Disebarkan. Ditatap balik puluhan tahun dari sekarang. Flashback itu memainkan peranannya yang tersendiri. Rakaman minda diperkukuh dengan rakaman kamera. Kamera merakamkan secara pegun. Tanpa perasaan apa-apa. Gembar memberikan imej untuk diceritakan oleh mereka yang mengambilnya. Oleh mereka yang berada di tempat itu. Pada titik masa itu. Cerita manusia itulah yang membarisi perasaannya. Catatan peribadinya. Pelakunya dan mungkin sebagai pelakonnya. Hanya mereka yang pernah berada dalam situasi yang sama dapat mencatatkan perasaannya. Mencatatkan keterujaannya. Cerita Laut Mediterranean bukan cerita kecil. Terlalu banyak pergolakan politik berada di dalamnya.

Bangsa Carthage pernah berada di sini.
Bangsa Greek membina empayarnya.
Bangsa Rom membina kegemilangannya.
Perancis, British, Itali dan Jerman pernah berada di sini.
Perlayaran Columbus dan Magellan mencetuskan rangsangan besar terbukanya Terusan Suez walaupun idea mengenainya pernah diutarakan pada zaman Umar al-Khattab menjadi Khalifah ke-dua dahulu.


Tentu sahaja sangat teruja berada di bumi anbia yang banyak sejarahnya. Sebelum ke Timur Tengah dahulu ada sahabat yang memberi pesanan. Selalu positif di bumi anbia. Paling baik banyak berdoa. Jangan sekali-kali negatif walaupun banyak yang kita lihat tidak menyenangkan hati. Apa-apa yang kurang elok serahkan sahaja kepada Allah Yang lebih Mengetahui. Mengambil sikap positif sebenarnya menjadikan kita lebih santai. Hati lebih sejuk. Perasaan lebih damai. Banyak hal yang di luar kuasa kita untuk mengubahnya. Anggaplah melihat itu suatu nikmat. Mengalaminya suatu nikmat yang lebih besar. Kegusaran kita hanya sementara kita berada dalam situasi itu. Situasi yang berlalu begitu sahaja. Just a passing situation. Tidak pernah berkekalan. Untuk dialami sementara sahaja. Untuk membezakan antara yang bersyukur dengan yang hanya banyak merungut. Kita tidak boleh mendidik orang lain sekelip mata begitu sahaja. Banyak masa yang diperlukan untuk membina budaya dan tamadun.

Pantai ini sebuah teluk yang indah. Membulat dari Laut Mediterranean. Airnya kelihatan berwarna antara biru muda dan biru laut.

Pagi hari sebegini (pukul (9,00 pagi) belum lagi ramai pengunjungnya. Banyak kawasan lapang.

Kerusi belum disewa. Ruang belum berpunya. Bagi yang ingin berenang puas tanpa banyak gangguan pelancong lain.

Peniaga juga belum membuka kedainya. Di hujung sana pelancong mungkin masih ramai yang lena di hotel masing-masing.

Jalanraya di tepi pantai ini masih lengang. 

Penulis selalu terpesona dengan menara masjid yang tinggi dan berkembar. Di mana sekalipun di Mesir ini, masjid tetap ada. Di Matruh pula masjid-masjid besar berada di kawasan pantai. Berhibur tetapi tidak melupakan ibadat.

Sedikit demi sedikit pengunjung pantai mula datang. Tidak ada bezanya bahawa ini adalah di Mesir. Di tepi Laut Mediterranean.

Tidak lama lagi mereka akan memenuhi segala ceruk ruang yang ada di pantai ini, Di mana sekalipun pantai kelihatan serupa.

Lampu jalan menghiasi pemandang sepanjang pantai. Jik apandai menghias dan jika pandai merencanakan bajet keindahan dapat dicipta, Seni dapat diperaga.

Sebuah arca di tengah bandar Matruh.


Sunday, September 7, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Sepetang di Pantai Laut Mediterranean




Imej ini dirakamkan dari Hamam Cleopetra. Kebetulan sesosok tubuh seorang wanita berada di hujung pantai. Jingga dan langit kirmizi menjadikan imej ini terlalu syahdu. Saat mentari kian berlabuh. Saat itu hati bertambah sayu. Apakah wanita itu kematian kasih? Air, warna dan mentari saling menyatu membawa erti yang dalamnya bak Laut Mediterranean itu sendiri. Setenang air laut, berkocak jua dek luasnya yang terbentang. Begitu juga hati terusik kerana lambang-lambang yang singgah menyapa rasa. Berbaur antara ria, rawan dan rindu. Saat sebegini tidak selalu datang menerpa. Datangnya tanpa diduga. Anugerah ilahi.




Mentari senja yang hangatnya kian pudar
Yang menjingga mata meredup
Di sini bayu hangat membawa segalanya pergi
Bersama masa lalu yang pantas berpapas
Sendiri merenung jauh masa yang indahnya
Dibawa zaman berlalu bersama air pasang dan surut.

Senja itu menadah datangnya harap
Di gigi air menjejak kaki
Deru ombak beralun menjejak pantai
Mengubah pasir halus dari sarang karangnya
Apakah di sini masih ada harap dan doa?

Tirai senja itu berlabuh jua
Waktu yang cukup sukatnya
Musim panas di hujung hari
Kehangatan yang tinggal saat perginya.

Dalam senja itu hanya bayangan masa lalu
Indah kemilau bersama bayang jingga mentari
Menjauh dan berlabuh
Setia ditinggalkan sejarah yang berlalu.

Esok dan ku nanti esok
Subuh pagi akan datangmu lagi
Cahaya kemilau yang menghidup segala
Memanjang zaman berzaman.






Menjelang senja itu sinar suria kian redup.

Bebayang kian kelam.

Kemilau pantulan terakhir cahaya.

Kehangatan yang semakin kendur.


Renunglah sementara ada.

Esok entah bagaimana datangnya. Doa dan harapan dipanjatkan.


Di celah-celah harapan hari ini untuk harapan hari esok.

Cahaya semakin jingga. Dingin semakin menerpa.

Dalam kocakan air Laut Mediterranean senja itu air tetap pasang dan surut mengikut fitrahnya.


Dan cahaya jingga itu datang lagi dan lagi bila senja menjelang. Esok dan lusa atau tulat dan langkat jingganya menggamit rindu berkala.

Siang kian berlabuh. Berehat dari panas. Mencari damai malam yang penuh dengan rindu.


Turunlah apa yang dahulunya tinggi. 


Membawa diri jauh dari hiruk pikuk siang hari.


Hingga di sini waktu membatas diri. Siang dan panas yang pergi. Insan kerdil seperti kita tetap mengharap datangnya lagi.


Berlabuhlah kerana janjinya begitu. Malam ini kita diulit keindahan beradu dengan mimpi penuh harapan.


Tidurlah mata. Mimpilah seadanya. Rindumu dan rinduku bersama jaga esok subuh dengan azan mengagungkan Allah.

Saturday, September 6, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Legenda Cleoptra


Pada pandangan mata kasar lorong ini tiada warnanya. Alhamdulillah lensa kamera merakamkan sesuatu yang luarbiasa. Lorong ini membelok ke kiri dan kemudiannya ke kanan. Dari hujungnya air menderu masuk bersama ombak dan alun. Memang nampak selesa berendam di sini. Air datang dan pergi pada masa air surut. Pada masa air pasang ianya tepu dengan air. Di lorong sempit ini Cleopetra dan Mark Anthony memadu kasih. Penulis izinkan pembaca berimajinasi sendiri tanpa panduan dan gangguan. 


Lorong ini memang sempit. Tidak boleh berselisih. Maknanya masuk beriring dan keluar juga beriring. Panjangkan imajinasi anda.



Dari luar ianya hanya bongkah batu. Dj dalamnya banyak rahsia zaman dan rahsia sejarah.


Kelihatan dari jarak jauh. 

Di bahagian dalam. Ruang yang sederhana lebarnya.


Sewaktu filem mengenai Cleoptra lakonan Elizabeth Taylor dan Richard Burton heboh ditayangkan penulis hanya sempat membaca synopsisnya. Ketika itu penulis beranggapan bahawa Cleopetra adalah dari salasilah Firaun yang dianggap zalim. Membaca catatan orang lain yang bukan dari sumbernya banyak yang tersasar. Di Matruh barulah penulis mendapat gambaran yang lebih jelas bahawa Cleopetra bukan orang Mesir. Bukan orang Qibti. Bukan orang Berber yang ramai menghuni di kawasan utara Afrika. Cleopetra adalah orang Greek. Kelangsungan empayar Greek masih ada di Mesir ketika itu. Walaupun era Alexander The Great lebih awal dari Cleopetra namun lagenda dan metos mengenai Cleopetra banyak dikaitkan dengan empayar Rom pula. Tidak cukup dengan Julius Ceasar yang menggilai dan mengahwininya malah rakan karib Ceasar iaitu Mark Anthony turut menggilai dan mengahwini Cleopetra. Kisah itu diabadikan dalam sejarah Greek dan Roman. Menjadi percintaan yang epiknya merentas zaman. Di Mesir banyak imej Cleopetra di mana-mana. Barang hiasan. Kain baju. Lukisan. Seramik dan sebagainya.

Sejarah menjejak Cleopetra dari Iskandariah (Alexandria – dibina dan mengambil sempena nama Alexander The Great) hingga sepanjang pantai Laut Mediterranean. Matruh berada hampir dengan sempadan Libya-Mesir. Kira-kira 260 kilometer dari Iskandariah. Namun begitu di sekitar Matruh ada tempat yang dinisbahkan kepada Cleopetra. Mungkin sebagai maharani, Cleopetra banyak mengembara dari satu jajahan ke satu jajahannya yang lain hinggalah ke Matruh. Bukan itu sahaja dia merentas padang pasir yang kering kontang untuk sampai di Siwa. Kira-kira 220 kilometer dari Matruh. (InsyaAllah ceriteranya dalam episod lain). Orang Greek dan Roman mencatat sejarah mereka. Terutamanya perjalanan dan kembara pemerintah dan keluarga diraja dan orang besar mereka. Kerana itu pencinta sejarah tidak pernah kering maklumat mengenai sejarah bangsa Greek dan Rom. Di Ijlun, Jordan banyak gelanggang pertarungan pahlawan-pahlawan mereka tetapi di Mesir banyak tempat yang dikaitkan dengan Cleopetra. Alexander The Great tidak banyak diceritakan kecuali perjalanannya ke Siwa dan kemudiannya membina Alexendaria (Iskandariah) dan jasadnya disemadikan di situ.

Terdapat sebuah tempat lapang yang tohor airnya pada masa air surut. Sebuah gua yang unik dikatakan tempat Cleopetra mandi bersama kekasihnya, Mark Anthony. Di dalamnya terdapat sebuah kawasan lapang yang terbuka tanpa bumbung. Sebuah rorong semulajadi atau mungkin buatan menuju ke arah keluar. Di hadapan lorong itu pula terdapat selapis batu yang menghalang ombak besar. Yang masuk ke dalam lorong hanya deruan air yang separas pinggang pada masa air pasang. Pada masa air surut deruannya separas lutut. Bagi pasangan yang sedang intim memang mengasyikkan berada di lorong sempit itu. Sangat romantik. Terlindung pula dari pandangan orang. Bagi Cleopetra dan Mark Anthony mereka berdua  dikawal oleh tentera yang ramai dan setia. Berdua-duaan tiada siapa yang mengganggu. Penulis yang berada seketika di ruang itu teruja juga membayangkan senario masa yang sudha ribuan tahun itu. kebetulan senja menjelang tiba. Suasana menjadi terlalu romantik. 


Terakam detik-detik matahari melabuhkan diri. Terdapat imejnya yang memaparkan antara pantai, matahari, laut dan wanita yang bersendirian. Sayu seketika melihat keindahannya. Subhanallah. Kesempatan yang bukan sebarangan datang menerpa. Jika di Bukit Tursina penulis melihat matahari timbul, di Matruh penulis melihat matahari melabuhkan dirinya. Nanti ada cerita bagaimana orang Greek cuba memahami adanya matahari pada waktu siang dan bagaimana matahari bergerak pada waktu pagi dalam bentuk bayi yang baru lahir.  

Laluan menuju ke Hamam Cleopetra (Tempat Cleopetra Mandi)

Kepada mereka yang pertama kali berada di sini, tidak dapat meneka apa sebenarnya istimewanya tempat ini. Dari jauh hanya pantai dan batu.

Dua bongkah batu yang bersebelahan. Yang di kanan seolah-olahnya mengawasi yang di kiri.

Bongkah batu bak kepala. Tegak setia di tepi pantai. Mengadap Laut Mediterranean yang terbentang luas.

Tanpa rakaman sejarah pantai ini hanya batu dan air. Landai menganjur ke laut. Air pasang dan surut silih berganti.


Antara dua zaman yang terakam. Kita hanya pengembara sementara. Lelahnya di sini. Zaman itu telah berakhir lama. Bersama siang dan malamnya hari.