Setandan kurma ini tentulah berat. Makanan kesukaan warga Arab. Berbuah sekali dalam setahun. Hanya pada musim panas. Namun begitu hasilnya dari setiap pokok sangat banyak. Mereka boleh simpan dan dijadikan makanan mengenyangkan sehingga musim panas yang akan datang. Lazatnya tetap sama.
Beberapa tahun lalu di Pekan Parit Sulung, Batu Pahat.
Ramadhan hari pertama tahun itu. Ada penjual kurma memperagakan kurma kuning
seperti di atas. Masih segar dan memang belum masak atau belum lembut lagi.
RM60 sekilogram. Seperti hendak tercabut telinga mendengar harganya. Ramadhan
itu penulis banyak berjalan. Di Gombak harganya RM22. Di bazar Ramadhan Bandar
Baru Selayang harganya RM18. Di Carrefour (sekarang Aeon) Batu Pahat hanya RM13
sahaja. Penulis tidak tahu mengapa perbezaan harga begitu ketara. Orang Islam
di Malaysia bukan memaksa dirinya wajib makan kurma. Jika ada alhamdulillah.
Jika tidak ada tidaklah terlalu mendesak untuk mencari dan membelinya. Di Siwa,
Mesir harganya hanya RM5 sahaja. Pada
harga RM60 bermakna harga telah dilonjakkan sebanyak 12 kali ganda. Aduh!
Mahalnya.
Peniaga di Malaysia lazimnya begitu. Mengenakan harga
yang tinggi. Skimming dalam bahasa marketing. Sesuatu yang
dianggap sunnah menjadi suatu pembaziran kerana harga yang terlalu tinggi. Kurma
yang paling dekat barangkali didatangkan dari India, Iran atau Australia. Bukan
jauh sangat. Atau mungkin orang tengah telah menekan harga. Pengguna akhir yang
terpaksa membayar dengan harga yang tinggi. Siapa mereka? Muslim yang berpuasa
di bulan Ramadhan. Siapa yang mengimport? Mungkin boleh buat penyelidikan dan
disiapkan sebagai tesis Ph.D. Hanya kerana kurma yang mahal harganya. Pernah juga
melihat buah kurma di pokoknya di sekitar Makkah semasa menunaikan umrah pada
tahun 2003 dahulu. Pokoknya tinggi. Tidak dapat untuk menyentuh atau
memetiknya. Di Siwa ini barulah penulis merasa hajatnya dimakbulkan Allah.
Dapat melihat dan menatap. Menyentuh dan memetik. Makan dan mengunyah buah kurma
terus dari tangainya. Dari tandannya. Dari pokoknya. Berdiri di bawah pokok
kurma dan merenung setiap biji dari tandan yang ada seperti tidak mahu melarikan
mata. Begitu mengasyikkan. Masing-masing menyatakan rasa geramnya pada buah
yang ranum menguning keemasan begitu.
Siwa bukan sebuah bandar besar. Kawasannya juga tidak
besar. Tetapi ianya antara oasis (wadi) yang subur. Dikatakan cuma ada lima
oasis besar di Mesir. Siwa yang paling terkenal. Gah dengan sejarah silamnya. Gah
dengan sejarah zamannya. Gah dengan Alexander The Great dari Macedonia. Gah dengan
Cleopetra. Gah dengan airnya yang tidak
pernah putus. Gah dengan kurmanya yang dikatakan antara yang terbaik di Mesir. Perjalanan
dengan bas selama empat jam dari Matruh sangat berbaloi. Panas terik yang
menyengat tidak merugikan apa-apa. Siwa memiliki tarikannya yang tersendiri
yang tidak terdapat di tempat lain di Mesir. Pada zaman antah berantah dahulu
ianya jajahan Greece. Tamadun Greek bertapak di sini. Masih ada bekas dan
artifaknya. Pernah menjadi jajahan Libya tetapi akhirnya menjadi milik Mesir. Jika
dilihat pada peta benua Aftika kita dapati bahawa sempadan antara Libya dan
Mesir seolah-olahnya suatu garisan lurus sahaja dari Utara ke Selatan. Begitu juga
sempadan antara Sudan dan Mesir. Lurus dari Timur ke Barat. Mesir dan Sudah
pada asalnya dikatakan sebuah negara di Utara dan di Selatan.
Sehari suntuk berada di Siwa terlalu singkat rasanya. Banyak
yang boleh dijelajah. Penulis dan ahli rombongan hanya menikmati sampelnya
sahaja. Mungkin rombongan lain boleh berkongsi pengalaman mereka yang lain. Cuma mungkinkah kurma boleh
dikomersilkan di Malaysia. Belum ada yang mencuba untuk menanamnya sebanyak
beberapa hektar. Alangkah baiknya jika kelapa sawit bersebelahan kurma. Minyak
swait menjadi hasil negara. Kurma membantu menjadi makana mengenyangkan. Di Pantai
Timur semenanjung rasanya cukup sesuai. Boleh berbuah seperti di Kelantan dan
Terengganu. Mungkin ada usahawan yang berminat menanamnya sebanyak 10 atau 20
hektar. Belum dicuba belum tahu natijahnya. Jika banyak dan luas proses
pendebungan tentulah lebih mudah. Insyaallah hasilnya boleh dinikmati bersama.
Pada musim buah bertandan-tandan buahnya.
Di Siwa pokok kurma banyak yang masih rendah. Namun buahnya sangat lebat.
Buahnya santai berehat di atas pagar.
Tidak pernah terfikir sebelum ini dapat berdiri sama tegak dengan tandanan buah kurma. Selalunya pokok kurma tinggi-tinggi belaka. Perlu dipanjat untuk memetiknya. Yang ini dapat disentuh, dipegang dan diusap pada pipi.
Abang Arab ini sedang memetik buah kurma kerana ada permintaan untuk minum jus kurma segar.
Memandang buah yang hampir masak kuning-kekuningan ini tidak dapat hendak menggambarkannya dengan kata-kata. Cukuplah mata dan hati yang puas kerana memandangnya.
Di atas pokoknya bergayutan menunggu cahaya matahari. memasak dan mengeringkannya.
Buah yang boleh dicapai tangan. Menggeram dan mengujakan.
Allahuakbar. Banyaknya bergayutan.
Sesak nafas memandangnya. Terlalu banyak. Terlalu indah. Terlalu memikat. Teruja sungguh berada di tempat ini.
Bukan satu atau dua. Bertandan-tandan. Yang rendah dan yang tinggi. kesemuanya berbuah dengan lebatnya.
Yang ini hampir masak kesemuanya. Pada akhir musim panas ini musim panen buah kurma.
No comments:
Post a Comment