Wednesday, July 30, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Hari Raya Di Mana-Mana



Hari raya disambut setelah selesai kita menunaikan fardhu puasa Ramadhan. Syawal yang menjelang menandakan kemenangan mengawal diri dari segala maksiat. Bertaqwa kepada Allah kerana kita adalah hamba yang sangat dan sangat daif. Yang sangat memerlukan pertolongan Allah. Berpuasa adalah suatu ujian untuk kita mengukuhkan tahap iman dan kekuatan rohani kita. Kelemahan kita mengawal nafsu kadang-kadang  terserlah dalam berbagai bentuk yang tidak kita sedari. Umpamanya ingatan kepada makanan dam minuman sangat mendominasi minda. Berkeliaran di bazaar Ramadhan tidak banyak menyelesaikan masalah. Terlibat pula dengan maksiat mata. Mungkin maksiat anggota yang lain. Maklumlah tempat umum yang sangat padat dengan manusia. Apabila Ramadhan berakhir kita merayakan dua keadaan.

1                   Beraya dengan berbuka puasa pada hari yang terakhir. Tetapi kita berbuka dengan kesedihan yang sukar digambarkan. Mungkinkah kita berbuka Ramadhan yang terakhir? Wallahu a’lam. Pada satu Syawal Ramadhan telah tiada. Semalam ia meninggalkan kita.
2                   Beraya dengan takbir, tahmid dan tahlil. Seluruh ruang angkasa digemakan dengannya. Dari bumi hingga ke langit berkumandang takbir, tahmid dan tahlil itu. Merayakan kemenangan kita kerana dapat mengiringi Ramadhan dan pemergiannya.

Seluruh jiwa kita mula tersentap sayu semasa solat tarawih pada malam terakhir. Terasa itulah tarawih terakhir. Doa qunut terakhir. Berjamaah terakhir. Benar kita berhari raya. Rugilah jika tidak dikenang Ramadhan yang pergi. Kita seperti bepesta dengan Syawal. Melupakan Ramadhan yang mendidik kita. Yang mentarbiah kita. Yang membimbing kita. Yang menundukkan nafsu kita. Yang menjadikan kita insaf akan segala kekurangan kita. Bahawa apa yang kita miliki tidak ada nilainya tanpa dikongsi dengan orang lain yang berhak. Zakat harta dan zakat fitrah kita sempurnakan kerana itu adalah hak orang lain yang Allah titipkan kepada kita. Kita pegang sementara sebagai amanah. Allah amanahkan kita untuk menyampaikan kepada yang berhak. Terlalu sedikit berbanding melimpahnya nikmat yang Allah berikan kepada kita. Rahmat Allah. Rahman dan RahimNya ke atas kita.

Lalu berhari rayalah kita dengan sedaanya. Dengan adat yang diizinkan. Dengan kebiasaan yang diizinkan agama. Kepada orang Melayu hari raya terlalu signifikan. Hari yang seolah-olah wajib kesemuanya berkumpul dan bertemu. Berada bersama-sama. Berhabis-habisan kerana hari raya. Raya dan raya. Apabila kita berada di luar kotak kita dapat melihat kebaikan dan keburukan adat kita. Antara kebaikannya:

1                   Mengeratkan silaturrahim antara saudara-mara dan sahabat handai.
2                   Menziarahi guru dan mereka yang lebih tua khususnya ibu dan bapa (kandung dan mertua), datuk dan nenak, ibu saudara dan bapa saudara.
3                   Menjalin persahabatan baru.
4                   Berdakwah.
5                   Berzakat dan bersedekah bagi yang berkelayakan dan berkemampuan.

Walau bagaimanapun terdapat juga beberapa perkara yang sewajarnya dielakkan. Umpamanya:

1                   Tidak terlalu berhibur.
2                   Media elektronik terlalu membuka ruang hiburan tanpa henti. Amalan berziarahi menjadi terpilih. Tidak lancar.
3                   Pembaziran kerana banyak menghias rumah, menghias diri tetapi ada pula yang terlupa menghias akhlaq.
4                   Terlalu banyak juadah. Kebanyakannya sama di kebanyakan rumah. Tetamu hanya memandang dan bukan memakannya.

Sejak akhir-akhir ini ada dua perkara yang mula diperbincangkan.  Pertamanya amalan pemberian duit raya dan keduanya permainan mercun dan bunga api. Waktu penulis kecil dahulu tidak ada orang yang memberi duit raya. Proses sosialisasi menyebabkan kita meniru amalan angpau yang diamalkan oleh masyarakat Cina. Apabila pendapatan keluarga meningkat, wang bukan lagi suatu kekangan. Maka ramai yang menganggap duit raya suatu kewajaran. Normal. The in-thing. Kita pula seperti membiak budaya meminta dan mengharap di kalangan anak-anak. Beraya bermakna mengutip duit raya. Bukan berdasarkan kasih sayang kepada anak yatim. Kepada fakir miskin. Kepada yang uzur. Kepada yang ditimpa musibah. Renungkan situasi ini:

1                   Anak-anak orang biasa duit rayanya RM1.
2                   Anak-anak sahabat-handai RM5.
3                   Anak-anak orang besar atau orang kaya RM10.
Yang ini amalan. Boleh mungkin kita terbalikkan mengikut kewajaran dan realiti keperluan.

1                   Anak orang besar atau kaya RM0.
2                   Anak sahabat-handai RM1.
3                   Anak-anak orang biasa RM10.
4                   Fakir miskin RM50.
5                   Mereka yang ditimpa musibah RM100.

Kita buat penilaian tentang golongan mana yang lebih menghargai duit raya itu. Mereka yang lebih memerlukan, duit rayanya sewajarnya lebih banyak. Golongan yang lain yang kurang memerlukan dalam keadaan yang sebenar ditiadakan atau token sahaja.

Berada di luar lingkungan adat kita dapat membuat penilaian tentang kewajaran sesuatu. Di Kaherah ini penulis perhatikan yang berhari raya rakyat Malaysia sahaja. Rakyat Mesir hatta umat Islam di negara lain juga tidak ghairah berhari raya. Selepas solat Subuh, jamaah terus beri’tkaf di masjid kerana menunggu solat eid. Dengan pakaian yang sama. Tiada baju baru. Tiada kopiah atau songkok baru. Tiada jubah baru. Tiada kasut baru. Tiada setokin baru. Sepertinya tiada seorangpun yang membeli baju baru khusus untuk hari raya. Apa yang berhari raya atau siapa yang berhari raya? Jawapannya hanya didapati jika kita berhari raya dengan iman. Dengan rohani yang terdidik. Dengan keinsafan bahawa kita mampu berbuat yang lain tetapi tidak pentingkan pakaian baru. Hiasan baru. Perabot baru. Yang perlu diperbaharui ialah pakaian hati yang baru. Keindahan rohani yang baru. Hiasan akhlaq yang baru. Iman diperbaharui. Berbaju baru dan memakan ketupat serta rendang menjadi metos rakyat Melayu Malaysia. 

Di Mesir umpamanya mercun dan bunga api dijual setiap hari. Bila-bila sahaja boleh dibeli. Boleh diletupkan. Siang atau malam. Pagi atau petang. Tiada had banyaknya. Tiada had lamanya. Tiada had tempatnya. Tidak ada yang hilang jari, tidak ada yang dipotong tangan. Tidak ada yang buta matanya. Tidak ada yang rabit telinga atau hidung. Tiada yang pecah bibir dan tanggal gigi. Mereka bermain mercun dan bunga api. Tidak mengubahsuainya hingga membahayakan anggota tubuh badan dan mengancam nyawa. Apakah larangan mengakibatkan anak-anak kita menjadi peneroka yang tiada peraturan? Pengamal yang tidak berilmu. Bahaya ditempa tanpa maklum dan tahu. Saban tahun berulang. Ibu dan bapa pula tidak mengambil iktibar. Membebaskan anak-anak membuat pilihan yang salah. Yang merbahaya. Yang merugikan. Tidak belajar dari kesilapan orang lain. Meniru perbuatan yang risikonya tinggi. Sekarang ini ada pula mereka yang sudah menjadi ayah dan datuk membangkitkan semula amalan bermain meriam buluh atau besi. Pada waktu dahulu ada yang menggunakan batang pinang atau kelapa. Tentulah risikonya semakin besar. Entalah, tiada siapa yang dapat mengira akan ruginya sumber modal insan yang disia-siakan.


Berada di luar negara bukan tidak beraya. Ziarah juga ke rumah jiran dan sahabat. Menyediakan makanan ala kadar. Tetapi amalan hias-berhias ditiadakan. Di luar keperluan dan kewajaran. Baju baru tidak difikirkan. Berjalan dalam keadaan jalanraya yang tenang tanpa kebisingan. Orang Melayu yang dilihat berziarah. Bukan orang Arab yang meraikannya. Rakyat Malaysia sahaja yang meraikannya. Merasa juga makan nasi impit, sate, rendang, laksa Johor, biskut dan kek. Di Rumah Perak bukan sahaja diadakan majlis sambutan hari raya malah ada majlis perkahwinan pula. Pengantin perempuan dari Perak sementara suaminya dari Terengganu. Alhamdulillah. Bagi mereka yang berada di luar negara mereka tetap berhari raya juga. Kadarnya sahaja sangat sederhana. Berpada-pada. Kerana sudah diadatkan. Hina dina jika tidak berhari raya. Semoga kita arif tentang indahnya beragama. Kewajaran yang berlandaskan hukum.  

Sunday, July 27, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Berakhirnya Ramadhan

Ramai yang ketawa ria kerana datangnya Syawal. Bersama ayah bonda dan sanak saudara serta sahabat handai. Balik kampung berduyun-duyun. Alhamdulillah dapat menatap orang-orang yang menunggu dengan penuh kasih sayang. Namun begitu ramai yang ditimpa musibah.

Jika dilihat secara positif musibah itu adalah suatu keberuntungan.  Tamat usia di bulan Ramadhan. Perjalanan dengan niat untuk bersama ayah bonda. Semoga Allah menerima roh mereka dan ditempatkan di sisiNya.

Dalam hal yang lain kita kehilangan Ramadhan. Meninggalkan kita buat selama-lamanya. Kita hanya dapat berdoa semoga dipertemukan lagi dengan Ramadhan yang lain pada tahun hadapan dengan izin Allah.

Melihat imej-imej mengenai saudara-saudara kita yang pulang ke kampung seperti mengerikan pula.

1     Rakyat Malaysia berganda setiap tahun.
2     Kenderaan semakin banyak.
3     Angka kematian juga meningkat.
4     Jalanraya seolah-olah menjadi pusara.

Di mana kita antara dunia dan akhirat?

Saturday, July 26, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Ramadhan Yang DiRamadhankan



Al-Quran dan Ramadhan adalah gandingan yang sinonim. Pada bulan Ramadhan berganda mereka yang membacanya. Ramainya berganda. Kuantiti bacaan berganda. Diharapkan kualitinya juga berganda. Ambillah peluang untuk memperbaiki penguasaan al-Quran supaya menepati kehendak membacanya. Ada sesuatu yang lazim kita lakukan di Malaysia pada akhir bulan Ramadhan. Kita tidak pernah lupa mengadakan majlis khatam al-Quran. Berbagai pula bentuk dan pelaksanaannya. Ada yang menepati maksud khatam itu sendiri. Ada yang seperti tidak menepati. Masing-masing ada tafsirannya yang tersendiri. Ulamak pula tidak berkata apa-apa mengenai perkara khatam ini. Mungkin boleh kita sorot bersama. Kita buat penilaian dan kemudiannya kita baiki mana-mana yang selayaknya.

1                    Siapa yang membaca al-Quran yakni bertadarus di masjid dan surau? Al-Qurannya mungkin dikhatamkan tetapi adakah setiap pembacanya mengkhatamkan al-Quran itu sepenuhnya sebanyak 30 juz sebelum majlis khatam al-Quran diadakan? Mari sama-sama kita renungkan bahawa Sayyidina Uthman mengkhatamkan al-Quran setiap malam seorang diri. Imam Syafie lazimnya mengkhatamkan al-Quran dua kali dalam sebulan. Dalam bulan Ramadhan ia khatam dua kali sehari semalam. Penuh 30 juz seorang diri.
2                    Bagaimana jika al-Quran tidak habis dibaca tetapi diadakan juga majlis khatam al-Quran kerana sudah biasa? Adat yang dipatuhi. Jamaah tidak bertanya khatamnya tetapi bertanya majlisnya.
3                    Bagaimana jika beberapa orang mengkhatamkan al-Quran secara peribadi lalu jamaah masjid dan surau menumpang mengadakan majlis khatam al-Quran itu?
4                    Bagaimana jika majlis khatam itu diadakan selama beberapa jam. Setiap kumpulan 10 orang pembaca. Seorang pembaca membaca sebanyak  sehelai atau dua mukasurat. Maka setiap kumpulan tamat satu juz. Ada 30 kumpulan maka khatam 30 juz. Benarkah begitu? Pada hakikatnya bagi setiap ahli kumpulan mereka membaca dan mendengar sebanyak satu juz sahaja. Itulah yang dikhatamkan. Mereka tidak khatam 29 juz lagi yang dibaca oleh ahli kumpulan lain. Andainya kesemua peserta telah mengkhatamkan sendiri di rumah sebanyak 30 juz alhamdulillah. Majlis khatam itu dikira sempurna. Sempurna untuk yang telah khatam 30 juz. Yang tidak khatam maka tidak khatamlah dirinya.
5                    Mari kita imbangkan antara bertadarus dengan bancaan yang banyak salahnya dengan belajar membaca al-Quran untuk membetulkan bacaan. Yang penting membaca dengan betul. Khatam adalah turutan dengan syarat bacaannya betul dan sempurna. Dalam hal ini belajar dan mempelajari al-Quran tentulah lebih afdhal. Tidak khatam tetapi membaca al-Quran. Tidak khatam tetapi bacaannya betul. Khatam dan betul adalah suatu keistimewaannya yang tersendiri.
6                    Kita tidak boleh lupa bahawa membaca al-Quran dengan betul diberi ganjaran yang besar. Sebaliknya jika membaca al-Quran dengan banyak kesalahan maka berdosalah pembacanya. Umpamanya salah makhraj maka salah huruf. Salah huruf salah pula maknanya. Al-Quran bermaksud lain tetapi kita baca dengan maksud lain. Bersalahanlah keduanya. Tidak selari. Berubah maknanya.

Banyak paradigma yang perlu diubahsuai dalam kebiasaan kita dengan Ramadhan dan al-Quran. Alhamdulillah malam ini tadi penulis menunaikan tarawih terakhir untuk Ramadhan 1435H. Sejak dari malam pertama imam membaca dari surah al-Fatihah dan al-Baqarah. Malam tadi diakhiri dengan surah an-Nas. Tamat 30 juz dalam sebulan Ramadhan. Semasa solat witir imam bukan sahaja membaca doa qunut malah imam membaca doa khatam al-Quran. Tidak ada majlis-majlisan. Tidak ada nasi beryani. Tidak ada daging kambing. Tidak ada daging lembu. Tidak ada ayam.  Hidangannya hanya santapan rohani. Khatam al-Quran. Doa khatam dan doa yang sangat panjang. Doa pengakhir Ramadhan. Sekarang kita semak diri kita. Di mana kedudukan kita dalam keadaan berikut:

1                    Solat di masjid atau surau yang mengkhatamkan 30 juz atau hanya membaca surah Amma yang pendek seperti selaunya setiap tahun?
2                    Maaf, soalan ini sensitif. Kita bermakmumkan Imam yang hafiz atau jenis yang tangkap muat?  
3                    Kita bertarawih yang bacaan imamnya lambat dan cermat tetapi betul atau yang imamnya laju dan melakukan banyak kesalahan tajwid?
4                    Kita bertadarus bersama jamaah yang lain atau terus meningglkan jamaah yang lain kerana urusan peribadi kita?
5                    Antara puasa dan Ramadhan untuk akhirat dengan mengejar dunia, yang mana pilihan kita?
6                    Adakah kita merasa kehilangan Ramadhan pada malam esok?
7                    Adakah kita merasa belum puas bersama Ramadhan?
8                    Apakah kita merasa rindu menunggunya pada tahun hadapan jika diizinkan Allah panjang lagi umur kita?
9                    Apakah kita memberatkan Ramadhan atau hari raya?
10               Apakah kita menyediakan diri untuk puasa enam pada bulan Syawal?

Ada sesuatu yang ingin penulis kongsikan. Sebuah masjid di Kaherah mengadakan musabaqah al-Quran sempena bulan Ramadhan. Masjid Ibad al-Rahman yang terletak di Hayyi Sabi’ mengadakan musabaqah itu mengikut beberapa kategori.

1                    Untuk mereka yang hafaz 30 juz al-Quran. Tanpa mengira jantina. Tanpa mengira usia. Tanpa mengira warganegara. Terbuka untuk semua umat Islam.
2                    Untuk mereka yang menghafaz 15 juz.
3                    Untuk mereka yang menghafaz 10 juz.
4                    Untuk mereka yang menghafaz 5 juz.
5                    Untuk kanak-kanak pula yang menghafaz juz amma.
6                    Untuk kategori menghafaz hadith.

Hadiah-hadian disumbangkan oleh NGO yang berupa badan kebajikan. Mereka yang berkeupayaan dari segi kewangan. Hadiah paling istimewa ialah menunaikan umrah. Berbaloi Ramadhan diraikan di Bumi Anbia ini. Ramadhan dan al-Quran berpisah tiada. Sinar al-Quran disemarakkan setiap hari dan malam. Setiap masa. Kita tercari-cari suasana sebegitu di negara kita Malaysia. Alunan al-Quran yang bergema dan bersahut-sahutan. Mengagungkan kebesaran Allah. Supaya hati kita menghebat cintakan Allah. Supaya hati kita sejuk dan redup mengasihi Allah. Supaya kita sentiasa mengharapkan Allah.  Supaya rindu kita tidak sudah-sudah terhadap Allah. Semuanya disulam dengan kerinduan kepada junjungan besar Rasullah. Selawat dan salam kepadanya. Kepada keluarganya. Kepada sahabat-sahabatnya. Kepada para tabien. Kepada para tabi’ tabien.

Alangkah indahnya Ramadhan tanpa komersil. Tanpa hiburan. Tanpa mengejar dunia dan keseronokannya semata-mata. Ramadhan yang di dalamnya adalah puasa. Rukun Islam. Manifestasi iman kita terhadap Allah. Allahuakbar. Tamatlah sudah kebersamaan kita dengan Ramadhan. Esok dia pergi, menghilang untuk ditunggu setahun lagi. Masa 365 hari yang panjang. Beruntunglah bagi yang akan menemuinya lagi. Berpisahlah bagi mereka yang usianya setakat tahun ini sahaja. Ada sendu dalam jiwa. Ada tangis dalam rasa. Ada rindu dalam masa. Mudah-mudahan Ramadhan membahagiakan kita di dunia dan di akhirat. Selamat menyambut hari raya.

ﻋﺎﻢ ﻮﺄﻧﺘﻢ ﺑﺨﻴﺮ ﻛﻞ

Friday, July 25, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Memperbanyakkan Tangan Yang Berada Di Atas



Islam adalah agama hadriyah. Menuntut umatnya untuk maju dalam serba serbi bidang. Mengungguli kebanyakan bidang kehidupan di dunia. Berusahalah seolah-olah kita hidup 1,000 tahun lagi. Beribadat pula seolah-olah kita akan mati esok. Pada zaman nabi dahulu Abdul Rahma bin Auf sangat terkenal sebagai jutawan. Mungkin dalam keadaan sekarang ia seorang biliawan (billionaire). Tetapi ia bersifat Islam. Dekat dengan akhirat. Dermawan. Peka dengan keperluan umat Islam. Menginfaqkan hartanya ke jalan Allah. Malah kebun tamarnya yang paling subur dan paling disayangi diserahkan untuk maslahah umat ketika itu. Ia adalah antara sahabat yang dijamin terus masuk ke syurga. Begitu juga sahabat yang lain. Kebanyakan mereka adalah peniaga dan usahawan yang berjaya. Itulah kekuatan umat ketika itu. Berusaha membina kekayaan untuk diinfaqkan kepada negara. Untuk maslahah agama. Untuk maslahah umat. Mereka meramaikan peranan yang tangannya berada di atas. Bukan di bawah. Memberi dan bukan menerima.

Realiti zaman berbeza mengikut fitrahnya. Mereka yang lemah jalan fikirnya menjadi daif. Lemah. Akhirnya dilihat miskin. Kenyataannya miskin. Keupayaannya terbatas. Sangat terbatas. Setelah berkurun lamanya, orang Islam tidak lagi melahirkan Abdul Rahman bin Auf. Yang kaya dan mengkayakan. Yang banyak menyumbang terhadap keperluan umat dan negara Islam. Kemiskinan menjadi kehinaan kepada umat Islam. Iman kita diuji kerananya. Kita teralpa dalam kancah perebutan dominasi dunia. Tiada kuasa politik. Tiada kuasa maklumat. Tiada kuasa tawar-menawar. Tiada kuasa ketenteraan. Tiada kuasa teknologi. Tiada kuasa ekonomi. Walaupun ada sebahagian negara Islam yang dianugerahkan dengan kekayaan dari minyak tetapi tidak pula melimpah kepada umat Islam yang lain. Yang negaranya miskin. Yang memerlukan banyak bantuan asing.

Ilmu dikatakan menjadi kunci kepada kejayaan manusia dan bangsa. Bangsa yang maju dilihat sebagai bangsa yang menguasai ilmu. Mereka meneroka ilmu baru. Mengembangkannya. Mengkomersilkannya. Menginovasinya. Menjana kreativiti lain yang berkaitan. Malah aktiviti kreativiti dijalankan dengan sistem yang berjadual supaya idea dan ciptaan baru berterusan mengalir keluar ke pasaran dalam bentuk produk yang menambah nilai kehidupan manusia. Keunggulan sarjana Islam terputus kesinambungannya. Andalusia pada era kegemilangannya melahirkan ramai ilmuan yang tidak terbilang. Dalam semua bidang dan bukan dalam bidang-bidang yang terpilih sahaja. Namun semuanya hanya nostalgia belaka. Kita kehilangan rentak. Hilang arah hingga tidak maju ke hadapan yang berpandukan al-Quran dan al-Sunnah.

Umat Islam di negara Islam ramai yang miskin dan faqir. Kita di Malaysia tidak melihat realiti sebenar umat yang daif. Hanya apabila kita merantau jauh merentas benua dan lautan barulah kita memahami hakikat bahawa ramai saudara kita yang papa kedana. Benar-benar faqir dan miskin. Pengalaman penulis di USA bukan bermakna tiada mereka yang faqir di sana. Ramai bilangannya. Gelandangan tiada berumah. Walaupun ada pusat-pusat yang memberi sumbangan makanan namun mereka tiada tempat tinggal sendiri. Bila musim dingin ramai yang meninggal dunia kerana kesejukan. Di USApun ramai peminta sedekah. Ungkapan, “Dollar please!” biasa didengar di pasaraya atau di mall.  Di negara Islam pula keadaan faqir dan miskin ini sangat parah. Peratusan mereka berbanding dengan warga yang lain agak tinggi. Di tepi-tepi jalan mereka bergelandangan siang dan malam. Pintu pagar masjid dihadiri mereka yang menadah tangan. Ada yang mengetuk pintu rumah sambil menadah tangan. Di tepi-tepi jalan mereka memangku anak-anak sambil menadah tangan.

Namun demikian umat Islam di negara-negara tersebut peka dengan kemiskinan yang melingkari sekeliling kehidupan mereka. Hanya segelintir kecil sahaja yang tidak peka dengan keadaan itu. Masih ramai yang peka dan memberikan keperihatinan yang tinggi. Mungkin kita boleh mencontohi mereka.

1                    Setiap masjid menyediakan dana yang berbagai keperluannya untuk faqir-miskin, pelajar (antarabangsa umpamanya), anak yatim, aktiviti Ramadhan dan sebagainya. Tiada bajet khusus untuk jamuan dan makan-makan sahaja. Hanya kerana hendak makan.
2                    Ramai  mereka yang berkemampuan menginfaqkan wang ringgitnya untuk memberi makan kepada mereka yang memerlukan. Kesemua masjid besar memasak makanan untuk diagih kepada mereka yang memerlukan. Mereka memenuhi tuntutan ganjaran kerana memberi makan kepada mereka yang berpuasa di bulan Ramadhan. Pelajar Malaysia adalah antara mereka yang menerima makanan tersebut. Bukan makanan mewah tetapi cukup mengenyangkan semasa berbuka puasa. Mungkin nasi dan ayam atau daging atau ikan. Sedikit jeruk sayur dan mungkin kentang goreng.
3                    Pelajar-pelajar antarabangsa sekalipun yang agak daif bekalan kewangannya boleh pergi ke mana-mana masjid untuk membuat koleksi. Mungkin jumlahnya tidak banyak untuk setiap seorang tetapi kerana banyak masjid maka cukuplah untuk menampung belanja makan dan minum. Tidak semua pelajar dalam keadaan berkecukupan di Mesir ini. Ramai yang hanya berserah kepada Allah. Nekad dalam memburu ilmu di dada.
4                    Ada dana untuk pelarian. Di negara Arab biasanya ramai pelarian Syria dan Palestin. Mereka perlukan bantuan kerana tidak ada penempatan yang dibiayai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu seperti di Jordan.

Dalam negara yang miskin tanggungjawab memajukan negara dan umatnya dipikul kesemuanya oleh pemerintah semata-mata. Peluang untuk maju tiada langsung jika tidak ada perancangan jangka pendek dan  jangka panjang untuk memajukan umat. Pelaburan asing sangat sedikit kerana sumber manusianya sangat sedikit yang berkemampuan menguasai teknologi dalam bidang pembuatan dan perkilangan. Tanpa ilmu dan kemahiran peluang pekerjaan seperti ternafi dengan sendirinya. Pemerintah bukan sahaja memihak kepada sesuatu golongan sahaja bahkan kesemua warganya diberi ruang untuk boleh hidup sendiri. Berdikari. Mandiri. Untuk itu banyak yang perlu dilakukan.

1                    Umat Islam hendaklah menjadi umat yang terbuka mindanya untuk menerima realiti bahwa perubahan adalah sesuatu yang perlu. Ekonomi berubah. Teknologi berubah. Untuk menyaingi dan mungkin mengunggulinya hanyalah dengan ilmu baru dan kemahiran baru. Yang lama hanya asas sahaja. Tanpa yang baru diri tidak maju. Negara tidak maju. Umat tidak maju.
2                    Usaha hendaklah diperbanyakkan sama ada dari segi peranan pemerintah dan/atau penglibatan rakyat. Rakyat diperlukan lebih banyak berusaha dengan berganda-ganda kuantiti dan kualitinya. Pemerintah hanya membantu dan membetulkan keadaan. Mungkin membuka jalan. Membuka minda.
3                    Matlamat akhir bukan dunia tetapi akhirat. Maksudnya usaha untuk senang dengan niat untuk agama. Kerana Allah. Kembalikan kekayaan kepada Allah dalam bentuk zakat, derma, sedekah, infaq, bantuan, pertolongan dan bermacam-macam lagi untuk maslahah umat. Janji Allah pasti benar. Perniagaan dengan Allah tidak pernah, tidak pernah menanggung kerugian. Di dunia Allah tambahkan rezekinya. Diakhirat Allah tambahkan ganjarannya.

Masjid dan surau dicadangkan membuat anjakan paradigma. Wang yang terkumpul setiap Jumaat, setiap bulan atau setiap mengadakan berbagai program hendaklah diagihkan untuk berbagai akftiviti produktif. Makan dan jamuan dikurang seminimum yang mungkin. Semua antara kita makan setiap hari. Makan sedap sangat kerap. Semasa cuti sekolah umpamanya semua kita makan sedap. ramai antara kita mengadakan berbagai majlis. Makan yang dikategorikan sebagai proses membunuh diri perlahan-lahan tetapi beramai-ramai. Kambing, minyak sapi, ayam dan lembu sentiasa dihidang. Kerana itu cuba beralih sedikit. Buat perubahan yang menguntungkan umat pada keseluruhannya.

1                    Beri bantuan kepada mereka yang melanjutkan pelajaran. Khususnya yang belajar agama. Yang ingin menjadi hafiz dan hafizah. Aktiviti seperti ini  meramaikan umat yang alim dalam bidang agama. Pahalanya berpanjangan.
2                    Membantu mereka yang uzur. Sekarang ini kos perubatan agak tinggi. Sumbangan boleh meringankan perasaan dan psikologi.
3                    Membantu mereka yang tua dan tiada tempat bergantung.
4                    Membantu ibu tunggal yang kehilangan tempat bergantung. Atau yang hilang punca pendapatan.
5                    Fikirkan supaya masjid dan surau menyediakan ruang perpustakaan untuk anak-anak jamaah mengulangkaji atau menghadiri kelas tuisyen. Sediakan ruang berasingan antara lelaki dan perempuan. Sediakan juga kompleks sukan supaya anak-anak muda dekat hatinya di masjid. Diawasi supaya mereka mematuhi waktu. Solat pada waktunya. Membaca al-Quran setiap masa. Belajar setiap masa.


Kita sudah kesuntukan masa. Terkejar-kejar untuk memenuhi berbagai tuntutan. Walau bagaimanapun tuntutan akhirat mengungguli tuntutan dunia. Buatlah apa sahaja kebaikan asalkan akhirnya membawa kita ke akhirat dengan redha Allah. Banyak berbuat kebajikan. Berbuat amal jariah. Berusaha membantu siapa sahaja yang memerlukan. Sama-sama kita bawa umat Islam ke atas. Ke mercu yang tinggi. Dilihat sebagai umat yang disegani dan digeruni. Lakukan kerana Allah. InsyaAllah Allah menjadikan kita dalam pertolonganNya.

Siri Dua Puluh Enam: Menyayangi Isteri

 
Hajjah Aminah hitam manis orangnya. Anggun juga semasa muda. Dalam tubunya ada darah keturunan orang Pulau Pinang. Ramai saudara maranya yang kekal menetap di Bagai Serai. Sebahagiannya tinggal di Sungai Burung. Anak-anak memanggil Hajjah Aminah dengan panggilan mamak. Tidak diketahui puncanya sebab selalunya mamak adalah untuk lelaki. Orang Pulau Pinang menggunakan istilah mami. Bapa saudara pula dipanggil mamu. Mungkin tempias kebiasaan mereka yang berketurunan Banjar menyebabkan emak bertukar menjadi mamak. Ada sesuatu yang lucu semasa gambar ini diambil. Anak sulung mereka yang berdiri di sebelah kanan menangis kerana takut bahawa dirinya akan hilang masuk ke dalam gambar. Minda kanak-kanak kerana pada zaman itu bergambar bukan sesuatu yang menjadi kebiasaan. Kehairanan kerana dirinya kekal wujud tetapi bagaimana dirinya yang satu lagi berada dalam gambar.


Tidak ada sesiapa yang tidak menyanyangi pasangannya. Suami menyayangi isterinya. Isteri menyayangi suaminya. Bagi yang bercinta sebelum berkahwin tentulah sewajarnya lebih berkasih sayang. Pasangan itu telah dipilih dengan rela hati. Ditentang tidak berbekas. Dihalang tidak betah. Dicincang tidak putus. Mereka rela dibakar hangus. Direndam tak basah. Dijemur tak kering. Dihujan tak lekang. Hujan ribut dapat ditangkal. Hati rindu hanya menikah sahaja ubatnya. Tetapi orang dahulu mana banyak cintanya. Sukar merealisasikan cinta antara dara dan teruna. Atau antara duda dan janda. Atau antara duda dan dara. Atau antara janda dan teruna. Zaman itu pertemuan sukar diatur. Pergaulan terbatas. Dara dan janda terus-terusan dipingit. Maruah keluarga dirapi. Maruah agama dipelihara. Marauh masyarkat dijaga dengan ketat dan terkawal. Haji Abas dan Hajjah Aminah tidak pernah bercinta. Mereka dipertemukan Allah untuk berumahtangga. Untuk berkeluarga. Untuk bercinta setelah berumahtangga.

Pengalaman berumahtangga sebelumnya dengan dua orang wanita memberikan kemahiran kepada Haji Abas untuk mengendalikan rumahtangga dengan kewajaran seorang suami. Tambahan pula Hajjah Aminah anak yatim piatu ketika bernikah dengan Haji Abas. Dia perlukan seorang suami yang penuh bertanggungjawab. Yang membawanya ke samudra bahagia hingga ke anak-cucu-cicit. Hingga tua bersama. Senang dan susah bersama. Mengharungi banyak detik-detik manis dan pahit bersama. Orang sekarang canggih dalam bercinta. Mempamerkan rasa sayang dan kasih yang diperlihatkan. Yang dinyatakan. Yang direalisasikan. Yang rindunya dengan teknologi. Bersama gelombang udara yang melantun suara dan bicara. Tidak bagi orang dahulu seperti Haji Abas dan Hajjah Aminah. Cinta dan sayang di dalam hati. Tidak dipamer dengan kata-kata. Tiada ayat bersulam kata. Tiada anyaman indah bait-bait madah berseloka. Sayang diperlihat dengan perlakuan yang tidak seberapa. Ditanggap dalam hati. Diperindah dalam perasaan.

Rasa kasih Haji Abas kepada Hajjah Aminah bukan dalam kata-kata. Begitu juga rasa kasih Hajjah Aminah bukan dalam madah-madah indah. Orang dahulu ada bahasanya sendiri. Kepada orang Arab suami atau ayah dinisbahkan kepada anak sulung mereka. Lebih-lebih lagi jika anak sulung itu lelaki. Begitu juga dengan isteri atau ibu. Anak sulung mereka berdua bernama Rugayah. Dalam keluarga digelar Kayah. Maka Haji Abas dipanggil oleh Hajjah Aminah sebagai ayahnya Kayah. Haji Abas memanggil Hajjah Aminah sebagai emaknya Kayah. Budaya sebegitu transenden kepada mereka yang dari rumpun Melayu seperti orang Jawa, Bugis, Banjar dan sebagainya. Kepada orang biasa tidak ada istilah abang atau bang, sayang atau yang. Tentu juga bukan darling atau ling. Di hadapan orang lain tidak bersentuhan. Tidak berpegangan tangan. Tidak berpimpin. Tetapi antara mereka mengerti dan memahami bahasa tubuh masing-masing. Memahami gerak dan lerek mata. Memahami intonasi suara. Hanya golongan ningrat Jawa barangkali yang berbahasa Mas (bermakna abang atau kakang). Dalam golongan bangsawan Melayu berbahasa kekanda dan adinda.

Haji Abas sangat mengasihi Hajjah Aminah. Ibu kepada anak-anaknya. Nenek kepada cucu-cucunya. Hingga ke tua mereka tidak banyak berjauhan. Jika terpisah di rumah anak-anak masing-masing mencari antara satu sama lain. Jika Hajjah Aminah berpergian ke rumah anak maka Haji Abas akan selalu bertanya bila pulangnya. Apabila sudah sama-sama lanjut usia kebersamaan selalu dihargai. Masa muda yang telah dilalui bersama cukup mengajar erti bersama. Kasih sayang yang bukan lagi diterjemahkan dalam bahasa. Bukan lagi bicara. Tetapi kebersamaan. Berpisah tiada. Ada kerinduan untuk menatap antara satu sama lain. Menghabiskan waktu-waktu yang masih berbaki. Pendek kata mereka tidak boleh berpisah lama. Mereka perlu memerlukan antara satu sama lain. Sekadar untuk bersama. Wujud di hadapan mata. Kelibatnya dilihat. Suaranya didengar. Desirnya berlalu. Mungkin sesekali mengingat zaman muda belia bersama. Jatuh dan bangun dalam kemiskinan dan kedaifan hidup.

Sewaktu muda dahulu tinggal di kampung banyak yang perlu dilakukan. Sewaktu Hajjah Aminah berada dalam pantang banyak yang perlu dilakukan oleh Haji Abas. Tempayan air perlu dipenuhkan. Air dari parit diangkut dengan baldi sejauh kira-kira 100 meter. Hajjah Aminah dimanjakan dengan dimandikan sendiri oleh Haji Abas. Suami memandikan isteri. Saat romantik antara mereka. Tangan Haji Abas yang menggosok daki. Yang menyapu sabun. Yang menjirus air ke seluruh badan Hajjah Aminah. Ia bukan senerio dalam sebuah filem atau drama. Ia adalah realiti kasih sayang antara Haji Abas terhadap Hajjah Aminah. Segala keperluan Hajjah Aminah disediakan. Dipenuhi mengikut kadar kemampuannya ketika itu. Kasih sayang tidak diungkapkan dengan lisan. Tetapi diterjemahkan dengan tindakan. Dengan apa yang boleh dilakukan untuk memudahkan. Untuk menyenangkan. Untuk meringankan. Yang berat sama dipikul dan yang ringan sama dijinjing.

Sekarang ini pun Haji Abas masih banyak seperti dahulu. Setiap kali ke pasar hari Sabtu ada sahaja yang dibelinya untuk Hajjah Aminah. Mungkin sayur kesukaan. Mungkin kuih tradisi. Apabila bersarapan di kedai Haji Abas tidak lupa membelikan Hajjah Aminah sekeping atau dua keping roti canai. Dibawa pulang bersama dengan kuah kari. Lazimnya orang lain suka makan roti canai bersama kacang dal tetapi Haji Abas memakannya bersama dengan kari. Apabila Hajjah Aminah tidak sedap badan, Haji Abas melayan seperti jururawat. Menghidang makanan dan minuman supaya Hajjah Aminah menambah tenaga dan kekuatan. Di rumah anak-anak biasa dilihat Haji Abas mengupas buah untuk dihidangkan kepada Hajjah Aminah. Dia maklum isterinya tidak mudah bergeraknya. Selalu Haji Abas bertanya kepada anak-anak sama ada Hajjah Aminah sudah makan atau belum. Sudah solat atau belum. Keperihatinan Haji Abas terhadap Hajjah Aminah tidak berubah dari muda hingga lanjut usia. Alangkah indahnya, cinta bersemi yang abadi merentas usia yang tidak pernah dibilang dengan angka. Usia menjadi tidak signifikan kepada Haji Abas.

Alhamdulillah Haji Abas masih lagi berselera untuk makan dan minum. Baik di rumah mahupun di kedai. Mungkin kerana Hajjah Aminah banyak di rumah maka seleranya tidak seberapa. Makannya sangat sedikit. Minumnya sahaja yang agak banyak. Itupun disekat-sekat kerana terlalu banyak minum banyak pula mengulang ke bilik air. Keuzurannya membataskan pergerakan. Apabila di rumah anak-anak lain pula tingkahnya. Makannya lebih enak dan berselera. Mungkin dia perlukan perubahan suasana. Perubahan persekitaran. Sesekali berada dalam lingkungan yang berbeza menimbulkan selera baru. Membangkitkan keinginan untuk makan dan minum. Begitu juga apabila makan di kedai atau di restoran. Hajjah Aminah berupaya makan dengan lebih banyak melebihi kadar biasa. Hanya apabila di rumah sahaja seleranya terbatas. Keletihan dalam keuzurannya mungkin menjadi penyebab. Lagipun ubat yang dimakan mungkin sudah mengenyangkan kerana terlalu banyak jenisnya. Setiap orang ada rezekinya masing-masing. Yang sihat berbahagia dalam sihatnya. Yang diberi penyakit masih juga berbahagia kerana masih menikmati banyak anugerah Allah di sekeliling kehidupan. Walau apapun Haji Abas dan Hajjah Aminah meneruskan kehidupan usia lanjut mereka dengan redha. Menghadapi hari esok dengan penuh keberadaan bersama. Mudah-mudahan Allah memberikan yang tebaik untuk mereka berdua. InsyaAllah.