Friday, July 25, 2014

Siri Dua Puluh Enam: Menyayangi Isteri

 
Hajjah Aminah hitam manis orangnya. Anggun juga semasa muda. Dalam tubunya ada darah keturunan orang Pulau Pinang. Ramai saudara maranya yang kekal menetap di Bagai Serai. Sebahagiannya tinggal di Sungai Burung. Anak-anak memanggil Hajjah Aminah dengan panggilan mamak. Tidak diketahui puncanya sebab selalunya mamak adalah untuk lelaki. Orang Pulau Pinang menggunakan istilah mami. Bapa saudara pula dipanggil mamu. Mungkin tempias kebiasaan mereka yang berketurunan Banjar menyebabkan emak bertukar menjadi mamak. Ada sesuatu yang lucu semasa gambar ini diambil. Anak sulung mereka yang berdiri di sebelah kanan menangis kerana takut bahawa dirinya akan hilang masuk ke dalam gambar. Minda kanak-kanak kerana pada zaman itu bergambar bukan sesuatu yang menjadi kebiasaan. Kehairanan kerana dirinya kekal wujud tetapi bagaimana dirinya yang satu lagi berada dalam gambar.


Tidak ada sesiapa yang tidak menyanyangi pasangannya. Suami menyayangi isterinya. Isteri menyayangi suaminya. Bagi yang bercinta sebelum berkahwin tentulah sewajarnya lebih berkasih sayang. Pasangan itu telah dipilih dengan rela hati. Ditentang tidak berbekas. Dihalang tidak betah. Dicincang tidak putus. Mereka rela dibakar hangus. Direndam tak basah. Dijemur tak kering. Dihujan tak lekang. Hujan ribut dapat ditangkal. Hati rindu hanya menikah sahaja ubatnya. Tetapi orang dahulu mana banyak cintanya. Sukar merealisasikan cinta antara dara dan teruna. Atau antara duda dan janda. Atau antara duda dan dara. Atau antara janda dan teruna. Zaman itu pertemuan sukar diatur. Pergaulan terbatas. Dara dan janda terus-terusan dipingit. Maruah keluarga dirapi. Maruah agama dipelihara. Marauh masyarkat dijaga dengan ketat dan terkawal. Haji Abas dan Hajjah Aminah tidak pernah bercinta. Mereka dipertemukan Allah untuk berumahtangga. Untuk berkeluarga. Untuk bercinta setelah berumahtangga.

Pengalaman berumahtangga sebelumnya dengan dua orang wanita memberikan kemahiran kepada Haji Abas untuk mengendalikan rumahtangga dengan kewajaran seorang suami. Tambahan pula Hajjah Aminah anak yatim piatu ketika bernikah dengan Haji Abas. Dia perlukan seorang suami yang penuh bertanggungjawab. Yang membawanya ke samudra bahagia hingga ke anak-cucu-cicit. Hingga tua bersama. Senang dan susah bersama. Mengharungi banyak detik-detik manis dan pahit bersama. Orang sekarang canggih dalam bercinta. Mempamerkan rasa sayang dan kasih yang diperlihatkan. Yang dinyatakan. Yang direalisasikan. Yang rindunya dengan teknologi. Bersama gelombang udara yang melantun suara dan bicara. Tidak bagi orang dahulu seperti Haji Abas dan Hajjah Aminah. Cinta dan sayang di dalam hati. Tidak dipamer dengan kata-kata. Tiada ayat bersulam kata. Tiada anyaman indah bait-bait madah berseloka. Sayang diperlihat dengan perlakuan yang tidak seberapa. Ditanggap dalam hati. Diperindah dalam perasaan.

Rasa kasih Haji Abas kepada Hajjah Aminah bukan dalam kata-kata. Begitu juga rasa kasih Hajjah Aminah bukan dalam madah-madah indah. Orang dahulu ada bahasanya sendiri. Kepada orang Arab suami atau ayah dinisbahkan kepada anak sulung mereka. Lebih-lebih lagi jika anak sulung itu lelaki. Begitu juga dengan isteri atau ibu. Anak sulung mereka berdua bernama Rugayah. Dalam keluarga digelar Kayah. Maka Haji Abas dipanggil oleh Hajjah Aminah sebagai ayahnya Kayah. Haji Abas memanggil Hajjah Aminah sebagai emaknya Kayah. Budaya sebegitu transenden kepada mereka yang dari rumpun Melayu seperti orang Jawa, Bugis, Banjar dan sebagainya. Kepada orang biasa tidak ada istilah abang atau bang, sayang atau yang. Tentu juga bukan darling atau ling. Di hadapan orang lain tidak bersentuhan. Tidak berpegangan tangan. Tidak berpimpin. Tetapi antara mereka mengerti dan memahami bahasa tubuh masing-masing. Memahami gerak dan lerek mata. Memahami intonasi suara. Hanya golongan ningrat Jawa barangkali yang berbahasa Mas (bermakna abang atau kakang). Dalam golongan bangsawan Melayu berbahasa kekanda dan adinda.

Haji Abas sangat mengasihi Hajjah Aminah. Ibu kepada anak-anaknya. Nenek kepada cucu-cucunya. Hingga ke tua mereka tidak banyak berjauhan. Jika terpisah di rumah anak-anak masing-masing mencari antara satu sama lain. Jika Hajjah Aminah berpergian ke rumah anak maka Haji Abas akan selalu bertanya bila pulangnya. Apabila sudah sama-sama lanjut usia kebersamaan selalu dihargai. Masa muda yang telah dilalui bersama cukup mengajar erti bersama. Kasih sayang yang bukan lagi diterjemahkan dalam bahasa. Bukan lagi bicara. Tetapi kebersamaan. Berpisah tiada. Ada kerinduan untuk menatap antara satu sama lain. Menghabiskan waktu-waktu yang masih berbaki. Pendek kata mereka tidak boleh berpisah lama. Mereka perlu memerlukan antara satu sama lain. Sekadar untuk bersama. Wujud di hadapan mata. Kelibatnya dilihat. Suaranya didengar. Desirnya berlalu. Mungkin sesekali mengingat zaman muda belia bersama. Jatuh dan bangun dalam kemiskinan dan kedaifan hidup.

Sewaktu muda dahulu tinggal di kampung banyak yang perlu dilakukan. Sewaktu Hajjah Aminah berada dalam pantang banyak yang perlu dilakukan oleh Haji Abas. Tempayan air perlu dipenuhkan. Air dari parit diangkut dengan baldi sejauh kira-kira 100 meter. Hajjah Aminah dimanjakan dengan dimandikan sendiri oleh Haji Abas. Suami memandikan isteri. Saat romantik antara mereka. Tangan Haji Abas yang menggosok daki. Yang menyapu sabun. Yang menjirus air ke seluruh badan Hajjah Aminah. Ia bukan senerio dalam sebuah filem atau drama. Ia adalah realiti kasih sayang antara Haji Abas terhadap Hajjah Aminah. Segala keperluan Hajjah Aminah disediakan. Dipenuhi mengikut kadar kemampuannya ketika itu. Kasih sayang tidak diungkapkan dengan lisan. Tetapi diterjemahkan dengan tindakan. Dengan apa yang boleh dilakukan untuk memudahkan. Untuk menyenangkan. Untuk meringankan. Yang berat sama dipikul dan yang ringan sama dijinjing.

Sekarang ini pun Haji Abas masih banyak seperti dahulu. Setiap kali ke pasar hari Sabtu ada sahaja yang dibelinya untuk Hajjah Aminah. Mungkin sayur kesukaan. Mungkin kuih tradisi. Apabila bersarapan di kedai Haji Abas tidak lupa membelikan Hajjah Aminah sekeping atau dua keping roti canai. Dibawa pulang bersama dengan kuah kari. Lazimnya orang lain suka makan roti canai bersama kacang dal tetapi Haji Abas memakannya bersama dengan kari. Apabila Hajjah Aminah tidak sedap badan, Haji Abas melayan seperti jururawat. Menghidang makanan dan minuman supaya Hajjah Aminah menambah tenaga dan kekuatan. Di rumah anak-anak biasa dilihat Haji Abas mengupas buah untuk dihidangkan kepada Hajjah Aminah. Dia maklum isterinya tidak mudah bergeraknya. Selalu Haji Abas bertanya kepada anak-anak sama ada Hajjah Aminah sudah makan atau belum. Sudah solat atau belum. Keperihatinan Haji Abas terhadap Hajjah Aminah tidak berubah dari muda hingga lanjut usia. Alangkah indahnya, cinta bersemi yang abadi merentas usia yang tidak pernah dibilang dengan angka. Usia menjadi tidak signifikan kepada Haji Abas.

Alhamdulillah Haji Abas masih lagi berselera untuk makan dan minum. Baik di rumah mahupun di kedai. Mungkin kerana Hajjah Aminah banyak di rumah maka seleranya tidak seberapa. Makannya sangat sedikit. Minumnya sahaja yang agak banyak. Itupun disekat-sekat kerana terlalu banyak minum banyak pula mengulang ke bilik air. Keuzurannya membataskan pergerakan. Apabila di rumah anak-anak lain pula tingkahnya. Makannya lebih enak dan berselera. Mungkin dia perlukan perubahan suasana. Perubahan persekitaran. Sesekali berada dalam lingkungan yang berbeza menimbulkan selera baru. Membangkitkan keinginan untuk makan dan minum. Begitu juga apabila makan di kedai atau di restoran. Hajjah Aminah berupaya makan dengan lebih banyak melebihi kadar biasa. Hanya apabila di rumah sahaja seleranya terbatas. Keletihan dalam keuzurannya mungkin menjadi penyebab. Lagipun ubat yang dimakan mungkin sudah mengenyangkan kerana terlalu banyak jenisnya. Setiap orang ada rezekinya masing-masing. Yang sihat berbahagia dalam sihatnya. Yang diberi penyakit masih juga berbahagia kerana masih menikmati banyak anugerah Allah di sekeliling kehidupan. Walau apapun Haji Abas dan Hajjah Aminah meneruskan kehidupan usia lanjut mereka dengan redha. Menghadapi hari esok dengan penuh keberadaan bersama. Mudah-mudahan Allah memberikan yang tebaik untuk mereka berdua. InsyaAllah.


No comments:

Post a Comment