Wednesday, June 25, 2014

Siri Empat Belas: Rakannya Yang Berpolitik


Gambar yang diambil pada 1 September 1957 di Pekan Parit Sulung ini masih dijaga rapi oleh Haji Abas. Sehari sebelumnya laungan merdeka berkumandang di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. Ketika itu usia Haji Abas sekitar 43 tahun. Masih segak bergaya dengan pakaian sedondon putih. Keras berkanji. Beliau berdiri di belakang tokoh-tokoh yang duduk antara kerusi nombor tujuh dan nombor lapan dari arah kiri.  Duduk di kanannya ialah allahyarham Dato' Dr. Sulaiman Dato' Abdul Rahman (bekas MP Muar Selatan) sementara duduk di kirinya pula allahyarham Haji Othman Haji Taib (bekas ADUN Simpang kiri), besan Haji Abas. Duduk di kiri sekali ialah allahyarham Wak Sunu, sekampung dengan Haji Abas. Di kirinya allahyarham Kamisan Haji Ashari (bekas ADUN Seri Medan). 


Haji Abas hanya berkeupayaan menjadi penyokong tegar UMNO dan Perikatan sejak dari tarikh penubuhannya. Kemuncak penglibatannya ialah laungan merdeka di Padang Merbuk, Bandar Hilir, Melaka pada 20 Februari 1956.  Selepas itu dia hanya menjadi penyokong senyap. Dia tidak mampu menghabiskan masa hidupnya untuk berpolitik. Politik keluarganya lebih besar dari politik negara. Dia memilih untuk berada di samping isteri dan keluarga kerana itu menjadi keutamaannya. Pada zaman itu hanya yang berada sahaja mampu berpolitik. Dana parti belum melimpah ruah seperti sekarang. Tanpa wang, ahli politik tidak dapat pergi jauh. Sebagai warga kampung yang jauh di pedalaman, cukuplah setakat itu penglibatan aktifnya. Mengimbas kembali akan perjalanan waktu mungkin penglibatannya terhadap politik natijah dari gerakan Malayan Union 1946. Orang Melayu bersatu atas objektif yang sama. British perlu keluar dari tanah tercinta ini. Tiada wadah politik yang lain. Hanya satu tujuan sahaja.

Mereka yang kuat dalam UMNO dari kampungnya juga mengelak dari terus terlibat dalam parti. Nama-nama besar seperti Wak Sunu dan Turin yang terkenal semasa berperang dengan MPAJA terus mendasar dalam kampung. Turin akhirnya menjadi Ketua Kampung Parit Mohamad atas sokongan penghulu Salleh ketika itu. Di Parit Othman umpamanya, Haji Tamyiz cukup terkenal pada tahun 1955. Namun ia juga hilang dari lanskap politik di kawasan Parit Sulung. Yang terus menyinar ialah allahyarham Haji Othman bin Haji Taib dan  allahyarham Kamisan bin Haji Ashari. Allahyarham Haji Othman menjadi ADUN selama dua penggal diikuti oleh allahyarhan Kamisan pula. Pada zaman mereka politik benar-benar kerana politik. Kedua-dua mereka meninggalkan nama baik. Bukan harta menimbun. Bukan rumah sebeasr istana. Bukan kenderaan berderet di garaj.

Mereka sangat merendah diri. Tiada perubahan fizikal yang memperlihatkan mereka mengambil apa-apa peluang untuk kepentingan diri dan keluarga. Hal-hal berkaitan kroni jauh sekali. Mungkin pada zaman itu rakyat bawahan tidak banyak tahunya. Tidak banyak mintanya. Tidak banyak karenahnya. Mereka menerima apa sahaja ketentuan. Pandai-pandailah melaksanakan yang terbaik untuk mereka. Kedua-dua mereka berpijak di bumi nyata. Allahyarham YB Kamisan umpamanya sangat rapat dengan orang kampung. Apabila diundang ke majlis perkahwinan dia tidak meminta untuk dilayan. Tidak makan di meja yang disediakan. Tidak makan seperti yang telah dihidangkan. Dia akan menemui tukang masak dan pembantu-pembantunya di bangsal memasak di belakang rumah. Kadang-kadang menceduk makanan sendiri dan makan di bangsal memasak. Orang kampung menjadi dekat kepadanya. Kemenangan dalam pilihanraya sentiasa dalam sakunya.

Kawasan Parit Sulung pancawarna juga politiknya. Wakil rakyat pertama ialah allahyarham Tan Sri Sulaiman Nainam Shah. Disusuli pula oleh allahyarham Dato’ Sulaiman bin Dato’ Abd. Rahman. Kemudiannya seorang Cina sebelum diwakili oleh Allahyarham Haji Othman bin Haji Taib. Kemudiannya allahyarham Kamisan pula. Haji Othman dan Kamisan adalah kenalan rapat Haji Abas. Haji Othman di Parit Puasa sementara Kamisan di Parit Othman. Selang sekampung sahaja. Allahyarham Haji Othman menjadi besan Haji Abas. Anak lelaki Haji Othman berkahwin dengan anak perempuan Haji Abas. Allahyarham Kamisan pula kekal menjadi sahabat Haji Abas hingga akhir hayatnya.

Allahyarham haji Othman dan allahyarham Kamisan membawa politik Melayu yang rapat antara satu sama lain. Tiada perebutan kuasa di peringkat bahagian. Tidak banyak kocak dan riaknya. Mereka dekat dengan rakyat. Jiwa mereka benar-benar jiwa Melayu. Jiwa rakyat jelata yang setia menyokong parti. Semasa hayatnya allahyarham Haji Othman sempat ke Ekspo Tokyo pada tahun 1960. Pengalaman pertamanya berada di luar negara. Di negara matahari terbit pula. Jepun sudah mula melangkah maju walaupan 15 tahun sebelumnya mereka kalah dalam Perang Dunia II. Hanya dalam masa 15 tahun mereka seudah semaju itu. Sebuah bangsa yang jatuh tetapi maruahnya dibangunkan hingga terkenal ke seluruh dunia.

Sehingga akhir hayatnya allahyarham Haji Othman tidak mengubahsuai rumahnya. Rumah kayu yang dibina lama sebelum menjadi YB kekal hingga dia meninggal dunia. Allahyarham Tan Sri Haji Othman Saat (mantan MB Negeri Johor) terpegun melihat rumah tersebut. Seolah-olah tidk percaya bahawa rumah YBnya sedaif itu. Begitulah mereka yang seangkatan dengan Haji Othman berpolitik bukan untuk kepentingan diri. Bukan untuk kaya dan bukan untuk hidup senang. Diri mereka untuk rakyat. Untuk membina negara muda yang baru sahaja merdeka. Yang perlu dibangun untuk sejajar dengan negara lain. Perjuangan orang dahulu yang mungkin dianggap tidak relevan lagi pada masa sekarang.


Pada tahun-tahun 90an muncul seorang ahli politik muda. Datuk Ruhanie Ahmad namanya. Berasal dari Parit Separap. Haji Abas kenal benar dengannya. Kawan rapat anak lelakinya. Juga kawan rapat seorang dari menantu lelakinya. Mereka sama-sama bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Batu Pahat dan Sekolah Menengah Kabangsaan Dato’ Bentara Luar. Semasa remajanya kerap ke rumah Haji Abas. Kadang-kadang membawa beberapa biji kelapa untuk Haji Abas dan keluarganya. Kebetulan kebun di rumah YB Datuk Ruhanie dipenuhi dengan tanaman pokok kelapa. Begitulah wakil ADUN dan Ahli Parlimen silih berganti. Sekarang ini YB kawasan Seri Medan ialah Datuk Zolkarnain. Anak kepada alllahyarhan Kamisan. Ayahnya rakan Haji Abas. Mungkin YB Datuk Zolkarnain tidak mengetahui hubungan antara Haji Abas dengan allahyarham ayahnya yang telah terjalin sejak sebelum merdeka lagi. Politik masih diteruskan lagi. Agenda masih banyak yang belum dilaksanakan. 

Tuesday, June 24, 2014

Siri Tiga Belas: Bermenantukan Orang Jawa


Hajjah Rugayah (kanan) bersama adiknya Hajjah Arfah (di kanan Hajjah Rugayah). Semasa masih gadis puas juga pedas telinga. Sekarang masing-masing sudah bercicit. Sudah melampaui zaman untuk dikenang. Barang yang lepas tidak lagi selalu dikenang. Tinggal bekasnya di hati.


Pada tahun 1960 anak gadis Haji Abas dipinang orang. Orang kampung sebelah. Parit Maimun. Kampung yang pernah didudukinya suatu ketika dahulu. Dari keluarga yang sangat dikenali oleh Haji Abas. Keluarga mereka mesra sejak dahulu. Haji Abas memiliki kemahiran sosial yang tinggi. Dia boleh berkawan dengan sesiapa sahaja. Merentasi etnik. Merentasi keturunan. Merentasi agama. Parit Maimun dihuni oleh ramai orang Jawa. Anak antara mereka yang meminang anak gadis Haji Abas. Kecil tapak tangan nyiru ditadahkan. Tanpa banyak berkira, pinangan itu diterima. Bermulalah suatu lagi episod dalam kehidupan Haji Abas. Dia bakal menerima menantu. Seorang Jawa sedangkan dia berketurunan Banjar. Tidak ada masalah kepada keluarganya. Sementelahan pula sudah ada antara saudara Haji Abas dan Hajjah Aminah yang berkahwin dengan orang Jawa dan dengan etnik Melayu.

Hajjah Rugayah bersama cicit pertamanya.


Mungkin anak gadis dahulu berbeza dengan anak gadis sekarang. Perkahwinan diatur oleh keluarga. Anak gadis dahulu tidak gedik. Tidak senyum dan gelak. Anak gadis Haji Abas malah banyak menangis. Memasak menangis. Tidur malam menangis. Basah bantal dan lengan baju. Tentu orang sekarang sukar mengerti. Orang sekarang menangis kerana rindu yang amat sangat. Terlalu lama rasanya untuk bersama. Tidak untuk anak gadis  Haji Abas. Bersarang banyak serabut dalam fikirannya. Ada perasaan takut yang bukan-bukan. Takut bersuami. Seorang lelaki yang entah siapa-siapa. Tidak dikenalinya. Entah bagaimana rupanya. Entah dan banyak entahnya seperti yang difikirkan dalam benaknya.


Di sebelah kanan Hajjah Rugayah adalah dua orang adik iparnya. Di kirinya pula tiga orang adiknya. Seorang dari adik perempuannya dan seorang dari ipar perempuannya  tiada dalam gambar.

Ada lagi yang menghambat tangis anak gadis Haji Abas. Apabila berkahwin nanti tentunya ia akan dibawa pergi oleh suaminya. Ya, dibawa pergi oleh suami. Dia tidak tergamak meninggalkan ibu dan ayahnya. Meninggalkan adik-adiknya. Meninggalkan rumah yang membesarkannya. Dia juga tidak tahu bagaimana kehidupannya dengan bakal suaminya nanti. Ketidakpastian yang selalu bermain dalam fikirannya. Takut dan serba takut. Ada suara nakal yang mengusik. Kononnya orang Jawa kuat makan belacan. Lucu bunyinya. Hal sekecil itu merimaskan anak gadis Haji Abas. Kepada Haji Abas dan Hajjah Aminah peminangan itu sesuatu yang melegakan. Orang dahulu serba tidak kena. Jika ada anak gadis membesar, banyak mata yang menjeling. Banyak mulut yang berkata. Ada sahaja yang tidak kena. Paling besar rasanya ialah usia anak gadis orang. Melebihi usia 15 tahun sudah dikira tidak laku. Zaman yang pendidikan bagi orang kampung masih bukan keutamaan.

Hajjah Rugayah bersama keluarga anak sulungnya, Haji Yusof, berdiri nombor dua di sebelah kanan. Gambar ini di hadapan rumahnya sekarang.

Pertunangan itu tidak terlalu lama. Berkahwin juga anak gadis Haji Abas. Bermenantu juga Haji Abas. Perkahwinan yang diatur keluarga itu bukan kerana kekayaan. Bukan kerana harta benda. Bukan kerana wang ringgit. Sudah jodohnya. Sudah sampai masanya. Tertutup sebentar mata dan jelingan orang. Terkunci sebentar mulut orang. Tidak ada lagi suami yang dicemburukan. Tidak ada menantu yang dicemburukan. Tidak ada bujang yang dicemburukan. Pemergian anak Haji Abas dan menantunya diiringi dengan doa dan harapan. Semoga mereka bahagia. Tinggallah mereka di bandar. Di Bandar Penggaram. Menantu Haji Abas bekerja di bandar. Dari mereka lahirlah cucu pertama Haji Abas. Cicit pertama dan piut pertama. Allah menyayangi menantu Haji Abas yang pertama. Sewaktu anaknya berjumlah lapan orang, Allah menjemputnya. Tinggallah keluarganya membesar di bawah jagaan ibu mereka, anak Haji Abas. Susah juga hidupnya menjadi ibu tunggal. Seolah-olah kepayahan Haji Abas membesarkan anak-anaknya berulang semula. Alhamdulillah cucu-cucu Haji Abas menjadi. Jauh meninggalkan kemiskinan Haji Abas. Jauh meninggalkan kepayahan ibu bapa mereka membesarkan mereka dahulu.

Menantu Haji Abas istimewa orangnya. Sudah lebih dewasa dari isterinya. Pernah berumahtangga dan mempunyai seorang anak. Banyak membantu Haji Abas dalam banyak hal. Oleh kerana dia memiliki sebuah motorsikal, banyak kali Haji Abas meminta tolong bantu mana yang perlu. Bersamanyalah Haji Abas ke rumah saudaranya untuk meminjam wang bagi menjelaskan yuran peperiksaan MCE - Malaysia Certificate of Education (SPM)anaknya. Dalam suasana banjir, motor meredah jalan yang menyulitkan kerana desakan hidup. Dalam susah payah itulah didengar dentuman cadangan yang mengecewakan. Haji Abas diminta memberhentikan anaknya dari bersekolah. Menoreh getah lebih baik pada pendapat mereka. Mungkin benar dalam jangka pendek. Tetapi pada kenyataannya bersekolah dan berpendidikan lebih tinggi adalah lebih baik. Jika dahulu menoreh boleh menjamin hidup tetapi sekarang pekebun kecil getah ramai yang menjerit kerana harga getah agak murah sedangkan harga barang-barang keperluan melambung tinggi. Dalam hal ini pertimbangan Haji Abas lebih wajar. Aalhamdulillah.

Sebagai menantu pertama banyak yang dilakukannya. Apabila balik ke kampung ada sahaja buah tangan yang dibawa. Mungkin gula barang sekati (600 gram). Atau Milo sepaket. Atau tepung sebungkus. Sesuatu yang merubah kehidupan Haji Abas dan keluarganya. Apabila bertandang ke rumah menantu, diberi pula makan secukupnya. Pulangnya ada wang saku sedikit sebanyak. Walaupun menantunya bukan orang berada tetapi perihatin menjaga hati dan kebahagiaan Haji Abas. Sesuatu yang membahagiakan. Anaknya berada dalam tangan lelaki yang boleh diharap. Yang melindungi anaknya. Yang membahagiakan anaknya. Membahagiakan juga Haji Abas dan Hajjah Aminah. 

Dua orang anak Haji Abas menumpang hidup di rumah anak dan menantunya ketika bersekolah di bandar. Banyak jasa pasangan ini kepada adik-adiknya. Yang bersekolah di bandar diurus makan dan minumnya. Diurus pakaiannya. Dijaga keselamatannya. Pada hal hidupnya bukan sesenang seperti yang dijangka. Kesemuanya dilakukan demi tanggungjawab terhadap adik-adik. Meringankan beban ayah dan ibu mertua. Dia tidak pernah mengeluh. Senyuman, yang dipamerkan apabila pulang dari kerja. Tidak memperlihatkan rasa penat kepada isteri dan adik-adik. Untuk meringankan sarahidup, diusahakan sebuah tanah kerajaan di sebuah tempat yang dinamakan Kaki Bukit. Berhampiran dengan Taman Perdana sekarang. Dicucuk tanam dengan keledek, jagung dan sayur-sayuran. Kesemuanya untuk keperluan sendiri. Tidak ada yang dijual. Begitulah aktivitinya selepas waktu kerja.  Mungkin adik-adik yang lain tidak mengetahui. Dua orang adik yang tinggal bersamanya kadang-kadang turut membantu pada waktu lapang. 

Sayang kerana tidak berkeupayaan untuk membayar wang primium, tanah itu menjadi milik orang lain. Sekarang menjadi penempatan Melayu di Bandar Penggaram. Allah menggantikan usahanya yang tidak berjaya memiliki tanah di Kaki Bukit. Dibeli sebidang tanah di Solok Wan Moh dengan menjual rantai emas isterinya. Itulah sahaja yang sangat berharga. Tanah itu bermandikan airmata isterinya. Di situlah mereka menetap. Dia meninggal di situ. Anak-anaknya dibesarkan di situ. Isterinya (anak Haji Abas) meneruskan hidup dengan banyak usaha. Menual kuih setiap pagi. Mengambll upah menjahit pakaian. Pada bulan Ramadhan sibuk berniaga di bazar Ramadhan. Berkat usahanya, dia adalah antara anak-nak Haji Abas yang awal menunaikan fardhu haji pada tahun 1999. Setelah menunaikan fardhu haji, hidupnya semakin tenang. Kesemua anak-anaknya berkerjaya. Sekarang ini kawasan itu menjadi kawasan yang sangat kommersil. Dibangunkan sebuah mall dan premis perniagaan yang lain. Nilai tanah kawasan itu melambung naik. 

Menantu Haji Abas bertambah selepas itu. Enam daripadanya berketurunan Jawa. Dua pula berketurunan Banjar. Seorang berketurunan orang Muar. Cucu dan cicit Haji Abas sudah tidak lagi dikenali mengikut etnik. Pada darah mereka mengalir semangat Haji Abas. Anak-anak Malaysia pasca merdeka.

Siri Dua Belas: Keluar Dari Kampung

Rumah Haji Abas yang sederhana besarnya di Parit Mohamad. Rumah yang sama dibangunkan semula di Parit Sulung dengan sedikit pengubahsuaian. Diduduki hingga sekarang.


Anak lelaki Haji Abas meninggalkan kampung untuk bertugas di Johor Bahru. Anak pertama yang paling jauh tempat bertugasnya. Jauh tempat tinggalnya. Status itu tambah melegakan kedudukan Haji Abas. Kebun getah yang ditanam semula meringankan kos hidup kerana sayur-sayuran tidak perlu  lagi dibeli. Apa sahaja yang ditanam subur dengan izin allah. Mungkin tangan Haji Abas sejuk. Malah tangan Hajjah Aminah mungkin lebih sejuk. Tangan seorang ibu. Sentuhannya selalu menjadi. Bermacam sayur-sayuran yang enak kerana ditanam sendiri. Segar dari kebun. Yakin akan kebersihannya. Anak gadisnya pula rajin memasak. Dipelbagaikan selera Haji Abas dan keluarga. Kebun itu membekalkan berbagai keperluan. Ubi untuk sarapan. Pisang goreng untuk minum petang. Keledek dan keladi mungkin dipengat untuk di makan pada waktu malam. Jagung rebus menjadi kebiasaan, Serai, lengkuas dan halia tidak lagi dibeli. Apabila bahannya tersedia, banyak kepelbagaian yang boleh dimasak. Bermacam-macam juadah segar. 

Johor Bahru menjadi tarikan kepada anak-anak Haji Abas. Merantau jauh dan pada masa yang sama bekerja serta berpendapatan. Apabila abang sudah bertapak adik-adik ingin juga merasa kerlipan lampu-lampu neon yang berkerlipan. Beberapa orang adiknya ada yang bertandang sekejap dan ada pula yang menumpang duduk di kuarters tempat tinggalnya. Sesungguhnya kitaran hidup ini sentiasa berganti. Pada waktu tertentu kita mendapat pertolongan orang lain. Pada waktu yang lain Allah datangkan peluang untuk kita membantu orang yang lain pula. Kita tidak tahu besarnya kuasa Allah ke atas sesuatu. Yang kita nikmati ialah keadilan. Redha adalah sesuatu yang menenangkan hati.

Haji Abas telah lama belajar berjimat. Dalam susah dan payahnya mengharungi hidup, sempat juga dia menyimpan. Jumlahnya mungkin sedikit tetapi lama-kelamaan banyak juga jadinya. Wang bantuan kerana menanam semula getah tidak dibelanjakan untuk membeli yang bukan keperluan. Sayur-sayuran yang ditanam sendiri menjimatkan belanja. Setiap bulan ada titipan dari anak-anak sedikit sebanyak. Apabila anak-anak sudah membesar, rumahnya perlu ditambah ruang. Apatah lagi cucunya sudah bertambah ramai. Rumah awal yang sederhana besarnya, ditambah keluasannya. Wang yang dijimatnya digunakan secermat mungkin. Seorang tukang rumah dari Parit Separap yang bernama Buang ditugaskan untuk tujuan itu. Kerjanya agak halus dan cermat. Apabila siap rumah Haji Abas kelihatan lebih presentable berbanding sebelumnya. Berdinding papan dan berlantaikan papan. Atapnya dari rembia diganti dengan zing.

Tentu sahaja untuk membesarkan rumah kosnya agak tinggi. Ada bantuan dari anak-anak lelakinya. Sumbangan yang berbagai itu ditambah dengan wang simpanan Haji Abas, terlaksanalah sebuah impian untuk tinggal di rumah yang lebih selesa. Selama ini hanya impian sahaja di dalam minda. Apabila rumah itu siap ianya suatu realiti. Mimpi yang menjadi nyata. Haji Abas telah mula bangkit dari kedaifan yang lalu. Cerita tentang hidup serba kekurangan dan banyak meminjam, Allah gantikan dengan kecukupan yang sederhana. Prinsip itu membantunya untuk bersifat qanaah. Mencukupkan apa yang ada. Dalam kehidupan manusia, sesuatu perubahan yang berlaku menjadi tarikan perhatian kepada orang lain. Status Haji Abas dilihat berubah. Meningkat sedikit berbanding dari dahulu.

Jika dahulu Haji Abas tidak dipandang dengan sebelah matapun oleh orang-orang yang tidak menyukainya, kini ada yang mula melihat senang. Senyum dan tawa dari jauh. Ramai yang bertandang ke rumahnya. Haji Abas masih ingat kesemua peristiwa lama itu. Ingatannya masih terusik jika disentuh topik berkaitan. Tetapi Haji Abas sangat pelembut orangnya. Pemaaf kepada mereka yang menganiayanya. Kepadanya, jangan menganiya orang. Tidak ada faedahnya. Begitu pesan kepada anak-anaknya. Sesungguhnya benar. Dalam jangka panjang Haji Abas memenangi hati orang-orang yang cuba membakar jambatan keluarga. Kepada Haji Abas kecil tapak tangan, nyiru ditadahkan.

Kelembutan hati Haji Abas agak klasik. Selepas tamat Perang Dunia II, Jepun meninggalkan Tanah Melayu setelah kalah perang. British pula lambat kembali kerana yakin Tanah Melayu dalam genggaman mereka. Keadaan yang lompang itu diambil kesempatan oleh MPAJA (Malayan People Anti Japanese Army) untuk menguasai keadaan. Pasukan itu sebenarnya ditubuhkan oleh British. Dibiayai dan dilengkapi dengan senjata oleh British. MPAJA melihat ruang untuk menolak British. Orang Melayu ketika itu masih terlalu ramai yang lena. Tidak ramai yang melihat jauh ke hadapan. Mereka yang dikira pandai hanya golongan bangsawan dan anak-anak pembesar. Mereka dilatih menjadi pentadbir untuk British. Lagipun orang Melayu telah lama dimanjakan dengan berbagai program British seperti pemberian kopun untuk ditukarkan kepada barang-barang keperluan makanan. Orang Melayu menjadi kasih kepada British hingga lemah untuk melawan. Hanya beberapa orang Melayu yang bersama MPAJA dan akhirnya digelar sebagai pengganas kumunis.

Orang Melayu bangkit bukan untuk mengnyahkan British dari Tanah Melayu tetapi membantu menegakkan semula penjajahan British. Berlakulah pertembungan kepentingan antara orang Melayu dan MPAJA. Di Batu Pahat, khususnya d kawasan Parit Sulung dan Seri Medan hal itu memuncak. Peperangan berlaku antara orang Melayu dengan anggota MPAJA. Seri Medan dan kawasan persekitarannya hingga ke Semerah bermandikan darah. Haji Abas turut terlibat. Tetapi dia bukan keras hatinya. Terlalu lembut. Tidak ada sesiapa yang tertusuk pedangnya. Hanya diangkat tinggi. Hanya kejap dihunus di tangan kanannya. Tidak pernah pedang itu turun dan menusuk tubuh manusia. Di sekelilingnya rakan-rakan yang lain bermandikan darah, dia hanya mampu melihat. Menyaksikan sejarah hitam negara. Sesuatu yang tidak pernah diimpikannnya. Bukan sahaja Jepun dan British yang berperang. Dia sendiri terlibat dalam perang dalam bentuk yang lain. Tetapi tetap perang yang menumpahkan darah.

Hingga sekarang dasar hatinya masih lembut. Melayani masa lampau hanya sebagai perintang waktu. Dalam usia 100 tahun tentu terlalu banyak pengalaman suka dan duka yang dilaluinya. Saat ngeri yang menimpa. Pengalaman dan jatuh bangun dalam hidup adalah kehidupan itu sendiri. Sebab itu orang tua dikatakan banyak garamnya. InsyaAllah bagi Haji Abas bukan banyak ragamnya. Makan cukup. Tidur cukup. Kesihatan terjaga. Ibadat diamal. Hati mahu baik. Mulut mahu manis. Antara ungkapan yang selalu diulang dengar. Menjadi sebahagian dari falsafah hidupnya. Tidak ada yang perlu ditoleh sebenarnya. Mereka yang dahulu bersamanya kesemuanya sudah tiada. Hingga ke tuanya Haji Abas menjadi tunggak zaman. Kita hanya mampu mendengar, menulis dan membaca sejarahnya tetapi tidak mampu berada dalam situasi sejarahnya. Grafik kehidupannya teranyam rapi. Untuk diambil iktibar darinya.


Anak lelaki Haji Abas, Haji Madzlan dan keluarganya. 

Monday, June 23, 2014

Siri Sebelas: Maklumat Yang Terlepas Pandang

 
Pasangan ini telah bersama sejak 72 tahun yang lalu. Di samping seorang suami seperti Haji Abas, Hajjah Aminah menjadi tulang belakang kelangsungan hidupnya. Bersamanya lahirlah lapan orang anak Haji Abas yang masih bersama hingga sekarang. Seorang wanita yang tabah menghadapi banyak dugaan keluarga

 . 
Anak sulung Haji Abas, Ismail, bersama isteri keduanya. Ibunya meninggal dunia ketika Ismail masih kecil.  Ismail juga telah meninggalkan Haji Abas untuk bersama Rabbnya. Gambar ini dirakam ketika majlis sambutan hari keluarga Haji Abas pada tahun 2002. Allahyarham Ismail sedang memberikan ucapan. Rupanya ini kali terakhir seluruh keluarga bersamanya. Semoga Allah mencucuri rahmatNya ke atas rohnya. 


Suatu ketika seorang anak lelakinya mendapat peluang untuk belajar di sekolah vokasional (sekarang Kolej Vokaisonal). Seperti biasa surat tawaran disertakan dengan senarai barang-barang keperluan yang perlu dibeli dan dibawa. Yurannya pula dalam angka yang menakutkan seorang ayah seperti Haji Abas. Sistem pendidikan kita menjadi terlalu mahal kepada mereka yang kurang berada. Angka RM300 di luar kemunasabahan sebuah keluarga dari kampung yang pendapatannya terlalu kecil. Walaupun ketika itu ada anaknya yang sudah bekerja tetapi angka sebanyak itu masih di luar kemampuan. Hasrat hati ingin juga mencari sumber untuk membuat pinjaman dari mereka yang boleh memberi. Tetapi hati terasa berat kerana jumlahnya agak terlalu besar. Mungkin orang tidak pula terdaya meminjamkan sebanyak itu. Keinginan untuk Haji Abas memberikan pendidikan yang terbaik untuk  anaknya terbantut kerana sistem pendidikan yang tidak mesra rakyat berpendapatan rendah. Hingga sekarang tidak banyak berubahnya. Kerana itu anak Haji Abas terlepas peluang keemasan untuk mendapat yang terbaik dari sistem pendidkan yang ada. Alternatif pendidikan yang tidak tergapai. Sedih Haji Abas kerana kedaifannya. Apatah lagi si anak yang harapannya punah. Takdirnya mungkin begitu. Sudah ditentukan Allah. Lagipun masa sudah berlalu. Tiada siapa yang boleh dirujuk untuk membantu.
Haji Maslan dan isterinya Hajjah Saafiah bersama anak-anak mereka. Gambar ini pada tahun 2002. 


Dalam usaha untuk memandaikan anak-anak, Haji Abas berhadapan dengan berbagai pilihan. Ada yang positif dan mungkin ada yang tidak. Anak sulung dan anak kedua Haji Abas bersama Hajjah Aminah terpaksa diberhentikan sekolah. Desakan ekonomi memerlukan seorang kakak untuk berada di rumah menjaga dan mengurus adik-adik yang masih kecil  di samping membantu kerja menoreh. Remuk redam hati anak-anak itu kerana terpaksa meninggalkan sekolah. Meninggalkan harapan untuk mendapat yang terbaik dari sekolahnya. Pada masa itu jika lulus darjah enam sudah boleh memohon untuk menajdi guru pelatih untuk sekolah kebangsaan. Yang lulus darjah khas (sekolah agama) boleh menjadi guru sekolah agama Negeri Johor. Ramai rakan anaknya yang menjadi guru. Rezeki yang bukan milik. Ketentuan Allah yang banyak hikmahnya. Bukan kesilapan teknik. Bukan kesenghajaan. Pada zaman itu, itulah sahaja langkah terbaik untuk membantu keluarga. Tidak semua impian menjadi kenyataan. 

Anak kedua Haji Abas juga diberhentikan sekolah untuk berada di rumah. Dua orang anak gadis di rumah. Melunaskan kerja-kerja rumah. Menjaga adik, memasak, berkemas, membasuh dan melayan karenah adik-adik yang ramai. Ringan sedikit beban Hajjah Aminah. Bila balik ke rumah selepas menoreh  sarapan sudah tersedia. Anak-anak sudah dimandi, dipakaikan pakaian dan sudah diberi sarapan. Yang bersekolah sudah beres ke sekolah. Tengaharinya pula makanan sudah terhidang. Rumah sudah kemas teratur. Pada petangnya halaman rumah ada yang menyapu. (Pada masa-masa yang terluang anak gadis Haji Abas turut membantu menoreh getah. Mempercepatkan proses menoreh.) Haji Abas dan Hajjah Aminah pembersih orangnya. Untuk melakukan kesemuanya selepas menoreh getah tentu tambah meletihkan. Kedua anak gadisya sudah boleh diharap. Cuma malangnya kerana kemiskinan keluarga, terhalang pendidikan mereka untuk pergi lebih jauh.

Selepas bersara Haji Maslan dan isteri sempat mengembara ke Indonesia. Kebetulan keramahannya mewarisi ciri-ciri Haji Abas. Ramai rakannya datang dari seberang. Pasangan ini mahir membuat bakso.


Cerita lara anak kampung cukup banyak. Anak-anak di luar bandar tersangat jauh dari kemewahan. 10 atau 20 sen sukar tersangkut di dalam poket. Mungkin sekali sekala. Ada anak kampung yang menjual bacang. Ada yang menjual duku. Ada yang menjual kuih. Ada yang menjual ciku. Bagi anak Haji Abas ada yang menjual getah keping. Mungkin sekeping atau dua. Dijual kepada sebuah kedai Cina yang dikenali sebagai Yama. Maaf namanya yang sebenar tidak diketahui dengan pasti. Letaknya di Parit Laman, Dalam perjalanan ke Sekolah Menengah Sultan Sulaiman, Parit Sulung. Bukan sahaja untuk belanja sekolah bahkan juga ada pesanan dari Haji Abas supaya sebahagian wangnya dibelikan sesuatu keperluan keluarga seperti gula atau tepung. Getah itu pula kadang-kadang belum cukup kering. Mungkin dengan linangan airmata sekeping atau dua getah itu disalai pada petang atau malamnya supaya berkeadaan lebih kering. Bara api perlu dikawal dengan menimbus abu ke atasnya supaya api tidak marak dan getah tidak terbakar. Asap dan bahangnya yang mengeringkan getah. Asap, letih dan lara diri pasti mengalirkan airmata. Meneruskan hidup dalam payah dan memayahkan.

Cerita-cerita seperti ini bukan mimpi. Bukan fiksyen. Bukan dongeng. Bukan sesuatu gurauan zaman. Ianya realiti hidup waktu itu. Isu sosial yang memanjang rentetennya. Merdeka bukan bermakna segala-galanya dihidang dalam dulang emas. Tidak juga di atas dulang perak. Mereka yang di kampung jauh dari arus untuk maju dan membangun. Mereka cukup mengerti dengan kesusahan dan kepayahan. Negara bergerak maju tetapi tidak selari dengan mereka yang tertinggal di kampung. Ramai sebenarnya anak kampung yang terlepas pendidikan kerana desakan hidup yang sentiasa banyak menghimpit. Ada abang atau kakak yang berjaya tetapi adik-adik tidak ke mana. Ada abang atau kakak yang dibebankan dengan tanggunggan adik-adik. Demi kelangsungan sebuah keluarga bukan sahaja ibu dan bapa yang perlu berkorban. Malah anak-anak yang besar diperlukan untuk berkorban sama. Demi membela adik-adik. Sebab itu dalam tradisi orang Melayu adik-adik perlu sedar akan pengorbanan kakak dan abang mereka.

Walau apapun, kerana kesempatan itu datang juga, Haji Abas memberi peluang kepada anak-anaknya yang lain untuk menamatkan pendidikan menengah. Dengan pendidikan yang diterima itu ada antara mereka boleh berkerjaya. Keluar dari kepompong kemiskinan yang melanda keluarga sekian lama. Keluar dari rasa hina kerana miskin. Keluar dari malu kerana serba kekurangan. Pendapatan yang bukan berasaskan ekonomi kampung lebih menyakinkan anak-anak Haji Abas untuk segera keluar dari garis kemiskinan yang selalunya mengakibatkan anak-anak merasa rendah diri. Keluar dari kampung juga suatu pengalaman baru kepada anak-anak Haji Abas. Parit Mohamad sudah lama ditinggalkan. Hanya nostalgia yag masih tinggal.

Pepohon buah-buahan yang masak ranum hanya kenangan. Berlari, berkejar dan bermain hanya tinggal di laman kenangan. Parit dan air pasang sudah terlalu lama tidak membasahi badan. Hujan dan menadah air bukan lagi satu keperluan. Pelita minyak tanah yang banyak karenahnya sudah berbalam dalam kenangan. Pokok getah sudah hilang. Mesin getah sudah terhenti dari berpusing. Peredaran zaman merubah lanskap keluarga. Haji Abas lebih tenang kerana kepayahan masa lalu sudah lama berlalu. Sudah tiada lagi mengganggu fikir. Tidak lagi menuntut usaha. Inilah masanya Haji Abas untuk tidur lena tanpa ganggu gugat kerana kemiskinan lama.

Bertandanglah ke rumahnya sekerap terdaya. Generasi keturunannya sentiasa dinanti kedatangannya. Menatap mereka kerana rindu lama tetap bersarang di hati. Anak-anaknya telah dibesarkan dengan serba tidak berkecukupan. Usaha keras yang tidak memberi kemewahan. Namun ia bersyukur kerana masih berupaya menatap cucu dan cicit yang bukan lagi dalam kesusahan seperti yang dialaminya dahulu. Basikal tua yang selalu ditunggangnya sudah juga bersara. Kudratnya sudah banyak dimamah usia. Roda dua itulah bukan motorsikal dan bukan kereta. Hanya antara roda-roda kitaran hidupnya. Roda itu membawanya ke atas walaupun tidak setinggi mana. Cukuplah untuk dia berada di tempat yang lebih tinggi dari dahulu.

Menikmati sesuatu yang tidak pernah ada pada zaman mudanya. Pasca merdeka yang selalu mengkagumkannya.

Friday, June 20, 2014

Siri Sepuluh: Sekilas Kembali Merenung Masa

Beginilah anak pokok getah dalam program menanam semula kebun getah, Anak-anak getah kawin lebih produktif berbanding pokok getah biasa.

Sebenarnya banyak usaha yang dilakukan oleh Haji Abas dalam kelangsungan hidup keluarganya. Kerja utamanya adalah sebagai penoreh getah. Suatu ketika berlaku banjir seperti yang berlaku secara tahunan di kawasan Parit Sulung. Air yang melimpah dari hulu Sungai Simpang Kiri dan Kanan, Batu Pahat melalui Pekan Seri Medan dan kawasan sekitarnya. Air yang melimpah itu membanjiri juga Parit Mohamad yang didukuki oleh Haji Abas dan keluarganya. Pada waktu itu (tahun 1950an hingga 1960an) belum ada penempatan mangsa banjir. Belum ada bantuan kepada mangsa banjir secara menyeluruh. Jika ada mungkin secara terpilih. Di Parit Mohamad tiada bantuan seperti itu. Masing-masing hanya duduk di rumah. Semua kegiatan di luar rumah terhenti secara automatik. Yang tinggal hanyalah aktiviti makan dan tidur. Itupun tidak berapa lena kerana khuatir juga ular, lipan, biawak dan haiwan lain memasuki rumah. Tugas Haji Abas mengawal keselamatan keluarganya.

Biasanya terdapat sebuah pondok di tengah kebun. Tempat berehat. Walau bagaimanapiun pondok Haji Abas beratapkan rembia. Bukan zing.

Ketika banjir melanda kawasan sekitar Parit Mohamad, keluarga Haji Abas makan apa yang ada. Lazimnya tiada isyarat banjir. Walaupun banjir kerap berlaku di hujung tahun namun kedaifan orang di luar bandar tidak memungkinkan mereka menyimpan stok bahan makanan seperti seperlunya. Banjir kadang-kadang menjangkau masa sehingga lebih sebulan. Beras cepat pula habisnya. Semasa banjir selera selalunya sangat terbuka. Seperti makan semasa berkelah di tepi laut atau sungai atau tasik. Air di sekeliling rumah. Beralun kerana gugurnya buah. Atau kocakan ikan yang bebas di dalam air. Berenang di atas darat sekali-sekala. Apabila kehabisan bekalan makanan, Haji Abas bersampan ke kedai runcit yang berhampiran. Beruntung juga memiliki sampan. Memang diperlukan ketika itu.  Bagi yang lain mereka bisanya membuat rakit dari batang pisang. Itulah kenderaan untuk ke masjid atau untuk membeli barang-barang keperluan di kedai runcit.

Haji Abas menggunakan sampanya untuk mengambil upah mengangkut mereka yang hendak ke Bandar Penggaram. Dalam masa banjir sekalipun urusan pejabat atau urusan rasmi tetap berjalan. Ada yang pergi untuk membayar cukai tanah. Yang lain mendaftar kelahiran anak. Atau juga untuk mengambil kad pengenalan. Bagi mereka yang memiliki simpanan yang lumayan, mereka ke bandar untuk membeli keperluan peribadi teruatamnya pakaian untuk hari raya. Banjir separas pinggang diredah juga kerana tiada pilihan lain. Sampan Haji Abas berada pada masa yang bertepatan keperluannya. Walaupun arus sungai agak deras, sampan itu mudah dikendalikannya. Begitulah tugasnya berulang-alik membawa penumpang ke jeti di kuala Parit Mohamad.


.
Apabila pokok getah tumbang ke tanah, beberapa minggu kemudian akan tumbuh cendawan kerikit. Enak dimasak gulai atau sambal. Mungkin kerabu cendawan kerikit. Sesekali masih terjual di Parit Sulung.


Upah yang kira-kira 30 sen hingga 50 sen cukup untuk menampung keperluan semasa banjir. Tentu tidak makan yang enak-enak atau bermewah-mewahan. Jika sekarang di penempatan mangsas banjir semua keperluan disediakan, pada waktu dulu tiada siapa yang memikirkannya kecuali ketua keluarga seperti Haji Abas. Alhamdulillah anak-anak waktu itu tidak besar seleranya. Tidak meminta ayam goreng atau burger atau pizza. Mereka mengenyangkan perut dengan apa sahaja yang disajikan. Kesemuanya menyelerakan kepada mereka. Semasa banjir antara juadah yang kedua banyak dimakan selain dari nasi ialah ubi kayu. Berbagai kreativiti untuk mendatangkan selera. Biasanya direbus begitu sahaja. Dimakan berlaukkan sambal tumis atau dibuat getuk (ditumbuk atau dilenyek dicampur dengan kelapa parut, gula dan garam secukup rasa). Getuk itu diratakan di dalam dulang. Bila hendak memakannya dipotong-potong seperti wajik. Enak dimakan. (Terliur pula mengingatnya). Pada waktu yang lain dibuat lempeng, belebat atau pais ubi, bingka, pengat atau digoreng. Aduhai! Sebenarnya kesemua makanan tersebut menyelerakan. Tetapi tidak sempurna dari segi keperluan makanan seimbang. Terutamanya kepada anak-anak Haji Abas yang sedang membesar dan bersekolah.

Di tanah yang lapang, bermacam-macam pokok tanaman kontan. Antaranya pisang, lada dan ubi. Sayur dan buah melengkapkan pemakanan keluarga Haji Abas.


Itu cerita banjir. Cerita warisan zaman itu. Pada waktu tidak banjir anak-anak gadis Haji Abas turut membantu menambah pendapatan keluarga dengan mengambil upah menoreh di kebun mereka yang agak berada. Seperti penoreh lain, mereka biasanya menyuluh. Menggunakan lampu suluh minyak tanah yang dipasangkan di kepala. Menyuluh bahagian pokok yang hendak ditoreh. Cukuplah untuk  menambah pendapatan. Mencukupkan mana yang kurang. Selain dari sudah pandai mengurus rumah, mereka boleh diharap membantu meningkatkan ekonomi keluarga. Sama-sama membesarkan adik-adik. Cerita kakak atau abang membantu keluarga masih berlaku hingga sekarang. Anak sulung berat bahunya menanggung semua itu. Hanya adik-adik yang perlu banyak berfikir mengenang jasa kakak kakak dan abang ketika masa lalu yang payah.

Pokok keladi subur ditanah yang dipudar semula.


Begitu juga pokok serai dan jagung.

Suatu ketika dahulu ramai orang kampung yang menanam semula kebun getah mereka. Pokok yang sudah tua diganti dengan pokok-pokok getah yang lebih produktif. Yang getahnya lebih banyak. Menambahkan pendapatan. Namun untuk menanti pokok-pokok itu besar memerlukan sekurang-kurangnya kira-kira empat tahun. Haji Abas antara pesertanya yang menyertainya pada akhir tahun 1960an. Sementara menunggu pokok getah boleh ditoreh Haji Abas menoreh kebun getah orang lain. Kebetulan jirannya sendiri yang tinggal di hadapan rumah. Namanya Haji Mansur. Orang Banjar yang pelembut dan baik hati. Lazimnya apabila getah dijual hasilnya dibahagi dua. Pemilik tanah separuh dan penoreh separuh bakinya. Oleh kerana Haji Abas bukan orang senang acap kali dia meminjam wang dari Haji Mansur. Dibayar apabila menjual getah pada giliran berikutnya. Apabila keperluan mendesak ansuran membayar hutang itu diminta tangguh. Alhamdulillah Haji Mansur amat mengerti orangnya. Semoga rohnya berada di sisi para solihin.

Pokok lada


Tebu. Bila berehat pokok tebu dimakan untuk dihisap airnya. Tidak perlu pisau atau parang. Biasanya dengan gigi sahaja.


Tidak cukup dengan itu Haji Abas bersama keluarganya mengambil upah membersihkan kebun yang ditanam semula milik Haji Ramli. Rumahnya tidak jauh dari rumahnya. Setiap pokok yang dibersihkan dibayar hanya 15 sen sahaja. Haji Ramli juga antara mereka yang baik hati. Bersedia membantu. Itulah bantuannya kepada keluarga Haji Abas. Memberi upah kerana bekerja. Bukan percuma. Haji Ramli selalu dikenang kerana kebaikannya. Suatu ketika anak saudara Haji Abas bertandang ke rumah. Ketika itu beras di dapur sudah habis. Termenung panjang Haji Abas. Waktu tengahari begitu tentu tetamu perlu diberi makan. Anak saudara pula. Pengalaman mengajar Haji Abas supaya bertenang membujuk hati. Dia solat Zohor terlebih dahulu. Memanjat doa mohon pertolongan Allah. Terlintas fikirannhya untuk meminjam wang dari Haji Ramli. Sangat mudah bagi Haji Ramli. Dia bertanya berapa yang hendak dipinjam oleh Haji Abas. Tidak banyak RM20 sahaja. Dipendekkan cerita dapat juga Haji Abas menjamu anak saudaranya sekadarnya. Semoga Allah merahmati roh arwah Haji Ramli.

Pokok benbe. Subur di tanah baru. Banyak lagi sayuran yang ditanam. Apabila hendak memasak petik sahaja mana-mana yang menuntut selera. 

Pada akhir tahun 1960an Haji Abas dan Hajjah Aminah dibantu oleh anak gadisnya yang berada di rumah selepas peperiksaan SPMnya. Mencuba mencari kerja tetapi tidak berjaya. Membuat keputusan untuk berada di rumah membantu Haji Abas dan isteri menguruskan makan minum, mengemas rumah dan membereskan semua kerja rumah yang lain. Di samping itu membersihkan halaman dan sekitar rumah. Pada waktu lapangnya menanam bunga yang diminta dari rakan-rakannya di sekitar kawasan itu seperti Parit Separap atau Batu Putih. Haji Abas juga meminati tanaman bunga. Lurus dan cantik teratur tanaman bunganya. Menanam bunga lazimnya dilakukan pada hari hujan kerana tidak menoreh. Sewaktu kebun getah Haji Abas ditanam semula, anak gadisnya membantu membesihkannya. Sesekali membantu Haji Abas membersihkan kebun Haji Ramli seperti tercatat di atas. Hajjah Aminah sudah boleh membebaskan dirinya dari urusan rumah. Sarapan dan makan tengahari siap untuk dimakan. 

Pada masa itu anak lelaki Haji Abas sudah bekerja di Johor Bahru. Empat orang lagi yang masih bersekolah. Kedudukan ekonomi Haji Abas mula bertambah baik. Waktu itu pakaian bukanlah yang menjadi keutamaan. Tetapi anak gadis Haji Abas sangat berminat dengan baju baru. Kebetulan setiap minggu datang dua orang penjual kain. Mereka datang berbasikal pada hari yang berlainan. Seorang bernama Rasyid datang pada hari Isnin dan seorang lagi bernama Samy datang pada hari Khamis. Orang India Muslim.  Kedua-duanya dari India. Sepasang baju antara RM15 hingga RM20 sahaja. Boleh berhutang dan dibayar beransur-ansur sebanyak antara RM3 hingga RM5  setiap minggu. Suatu kehidupan yang sangat memudahkan. Penjual kain seperti itu hidup menjaja kain dari kampung ke kampung yang lain dengan berbasikal. Haji Abas membelikan pakaian untuk ahli keluarganya dari kedua penjual kain tersebut kerana sangat memudahkan. Pilihan tidak terlalu banyak. Tetapi tidak terlalu rambang mata. Lagipun untuk ke pekan atau bandar mengambil masa yang lama. Kerja banyak yang perlu disiapkan.

Tuesday, June 17, 2014

Siri Sembilan: Air Mata Yang Menggenang


Sekadar hiasan. Memesin getah keping perlukan dua orang. Seorang memasukkan getah dan yang seorang lagi memusingnya. Lazimnya ibu dan bapa atau abang dan kakak yang memasukkannya sementara adik yang memusing. Ada teknik yang tersendiri bila memusing mesin. Tidak terlalu laju atau terlalu perlahan. Pengalaman memahirkannya. 





Aktiviti menoreh getah diteruskan. Sewaktu cuti sekolah adalah anak-anaknya yang membantu memesin getah. Mereka mungkin membantu menoreh atau membantu memungut getah. Cuma memesin getah perlukan dua orang. Seorang memasukkan kepingan getah ke dalam mesin. Seorang lagi memusing rodanya. Bolehlah dilakukan seorang diri tetapi agak seksa untuk menyudahkannya. Banyak teknikaliti yang perlu diberi perhatian. Jika tidak kepingan getah tidak cantik. Mungkin senget atau mungkin ketebalannya tidak sekata. Semasa memesin getah keping inilah Haji Abas berdialog dengan anaknya.

Haji Abas:   Takkan selamanya kita macam ni. Hidup susah. Kau mesti belajar  
                     rajin-rajin. Jadi orang pandai.
Anak: Taklah bah!

Anaknya hanya menjawab ringkas. Kepada anaknya apa yang diungkapkan oleh Haji Abas tidak difahami ketika itu. Tidak mengerti apa yang diungkapkan oleh Haji Abas. Kepada anak itu semuanya ada. Makan nasi bercampur jagung adalah sesuatu yang biasa. Bukan luar biasa. Kerana itu keluhan Haji Abas tidak dapat ditangkap maksudnya. Begitulah kanak-kanak. Kepada mereka asalkan makan,  perut mereka kenyang, tiada apa yang dirisaukan. Pakaian apa yang ada memadai. Kepada Haji Abas anaknya itu terlalu naif. Dia hanya bersimpati kerana tidak memberikan yang terbaik untuk anak-anaknya. Keterbatasan ekonominya tidak membantu untuk memewahkan apa yang perlu. Walau bagaimanapun dia bersyukur kerana Hajjah Aminah membantunya berhadapan dengan keadaan yang sukar buat dia dan keluarganya. Hidup senang terus bersama.  

Ungkapan itu dilontarkan sesayu hati. Dengan sebak yang ditahan di dadanya yang kurus. Suaranya bergetar menahan gelora. Si anak dapat melihat genangan airmata. Bahawa dalam genangan airmata itu terselit suatu harapan besar yang anak-anaknya akan keluar dari kemiskinan. Jauh dari kesusahan. Getah adalah kehidupan sebahagian besar masyarakat Melayu ketika itu. Terutama yang tinggal di luar bandar. Sumber utama. Pekebun kecil seperti Haji Abas hanya secukup makan. Kebun getahnya yang sedikit dan menoreh kebun orang tidak banyak membawa perubahan dalam hidupnya. Sedikit kelegaan barangkali. Harapannya menggunung agar anak-anaknya mencapai mercu kejayaan yang tergarap. Keluar dari kepompong derita lara yang terlalu lama dirasanya. Kemiskinan banyak mencalarkan hidupnya. Mencabar maruahnya. Dia tidak mahu anak-anaknya mewarisi kemiskinannya. Cukuplah dia sahaja yang mengalaminya. Bukan anak-anaknya. Barangkali kerana itu Haji Abas selalu rindukan anak-anaknya. Bukan cucu-cucunya yang selalu disebut namanya. Mana-mana anak yang lama tidak bersua muka pasti ditanya pada anak yang lain. Beruntunglah mana-mana cucu yang dapat berada dalam ingatannya. Berada dalam senarai cucu-cucu yang diingatinya.

Setiap bapa mahukan yang terbaik untuk anak-anaknya. Untuk menjadi manusia berguna yang akhirnya dapat mengeluarkan istilah kemiskinan dari kamus keluarga. Jika tidak kaya sekalipun, berkeupayaan menjadi orang-orang yang berkecukupan. Belajar untuk keluar dari kitaran ganas kemiskinan yang sinonim dengan orang Melayu sebelum dan sesudah merdeka. Irama kemiskinan itu masih kedengaran sekali-sekala di sana sini walaupun negara sudah lebih setengah abad mengecap kemerdekaan. Kemerdekaan ekonomi belum lagi dinikmati sepenuhnya. Pasca merdeka masih juga dialami sebagai zaman payah oleh Haji Abas.

Pada awal tahun 1966 suatu episod baru berlaku dalam hidup Haji Abas. Ada anaknya yang mendapat Biasiswa Kecil Persekutuan dari tingkatan empat hingga tamat tingkatan lima. Wang sejumlah RM300 setahun cukup untuk membeli basikal yang berjenama Raleigh yang popular ketika itu serta keperluan persekolahan. Anaknya berkecukupan untuk tidak lagi perlu disara sepenuhnya. Lepas belanja sekolah. Tanggungannya berkurangan. Yang perlu dihulurkan berkurangan dengan sendirinya. Perhatiannya ditumpukan pula kepada anak-anak yang lain. Yang masih bersekolah kebangsaan. Apabila Sekolah Menengah Sultan Sulaiman dibuka di Parit Sulung, tradisi menghantar anak ke sekolah menengah di Bandar Penggaram terhenti secara automatik.  Ianya bertambah melegakan Haji Abas. Anak-anaknya berbasikal ke sekolah. Berulang-alik dari rumah. Makan dan minum dapat diurus dengan baik. Ada anaknya yang sebelum itu menjadi pembantu rumah kepada Pegawai Daerah Batu Pahat ketika itu. Haji Abas mula merasa sedikit lega walaupun anaknya dibayar sekitar RM25 sahaja.   Kepada Haji Abas ianya merupakan suatu rahmat. Bahunya semakin ringan. Hatinya semakin damai.

Bermulah proses memulihkan maruah keluarganya. Tidak mungkin Haji Abas menjadi ayah yang sempurna. Perfect father. Terlalu banyak kekurangan yang ada pada dirinya. Miskin harta yang selalu menjadi kerisauan kepada orang lain. Namun sebagai ayah Haji Abas berusaha untuk menyempurnakan kesemua keperluan yang mungkin. Menyempurnakan tugas seorang bapa. Dia banyak belajar. Dari jatuh dan bangunnya, banyak prinsip hidup yang dipegangnya. Banyak falsafah yang membantunya. Banyak petua yang indah dalam hidupnya. Walaupun banyak kali jatuh, Haji Abas tetap ceria. Tiada suatupun yang menjadikannya sedih. La tahzan. Jika  pada ketika-ketikanya kenangannya dibawa ke zaman lampau itu, dia hanya tersenyum. Kepadanya itu hanya suatu kisah dahulukala. Kisah yang perlu dilalui untuk hidup. Dia  tidak pernah menyesali zaman-zaman derita dan laranya dahulu. Ianya asam garam yang memperkayakan dirinya. Tidak pernah ada rasa dendam.

Beberapa orang anaknya menjawat jawatan di beberpa jabatan kerajaan. Pada tahun-tahun 80an barulah banyak kelegaan dinikmati oleh Haji Abas. Hidupnya tidak sesusah dahulu. Ramai antara anak-anaknya sudah berumahtangga. Sudah bekerjaya. Tidak ramai lagi yang bersamnya. Tanggungannya semakin bertambah ringan. Anak-anak menghulur seberapa yang terdaya. Sambil itu dia berniaga makanan ringan di rumahnya. Adalah juga pendapatan tambahan walaupun tidak seberapa. Apabila kesemua anak-anaknya berumahtangga, Haji Abas tinggal berdua sahaja dengan Hajjah Aminah. Rumah di Parit Mohamad digagahi juga untuk dihuni dan diurus. Mungkin mereka berdua terasa kesunyian di kampung. Berpindah lagi mereka ke Parit Sulung. Meneruskan hidup berdua. Begitulah lumrah hidup. Masa silih berganti merubah mana-mana yang tiada kepada ada. Yang lama menjadi baru. Yang ada hilang bersama masa yang berlalu.

Pisau toreh ini berhulukan kayu. Pada era Haji Abas sebelumnya pisau toreh besi kesemuanya. Apabila matanya sudah haus dan sukar diasah maka pisau itu dititik semula. Ramai tukang titik kerana ramainya penoreh getah.


Susu getah dicampur cuka getah untuk mengeraskannya. Dimasukkan ke dalam loyang khas mengikut ukuran yang dikira standard. Dikacau perlahan-lahan sehingga boleh dituang di atas lantai untuk ditipiskan sebelum dimesin.


Susu getah mengalir ke dalam cawan.



Benih getah kahwin mengeluarkan susu getah yang berganda banyaknya.



Pada waktu lapang, pokok yang tumbang atau pokok yang mati dipotong untuk dijadikan kayu api. Digergaji setual-setual dengan gergaji besar dengan proses sorong dan tarik. Perlukan dua orang untuk melakukannya. Tual-tual itu dibelah, dijemur dan kemudiannya disusun di bangsal kayu yang dibuat khas.


Pada suatu ketika dahulu hanya ada gergaji besar seperti ini untuk memotong kayu. Ditolak dan ditarik oleh dua orang dari hujung yang bertentangan. Haji Abas dan anak-anaknya terlalu biasa menggunakan gergaji seperti ini.

Monday, June 16, 2014

Siri Lapan: Kemiskinan Merentas Usia


Ini adalah antara mesin getah bunga. Mesin kedua selepas menggunakan mesin getah licin seperti mesin yang di sebelah belakang. Yang licin untuk menipiskan kepingan getah dan untuk mengeluarkan airnya sebanyak yang mungkin. Mesin bunga adalah proses akhir sebelum getah keping disidai untuk dikeringkan. 



Berpindah ke kampung lain tidak seindah dijangka. Berada di kampung orang banyak juga cabarannya. Mereka yang mendatang kadang-kadang sukar diterima sepenuhnya. Ada sahaja salah yang dilihat. Silap yang dipandang. Perbezaan yang tidak disenangi. Dalam bahasa psikologi ianya disebut sebagai pertembungan psikologi. Clash of psychology. Bukan kerana tidak baik. Bukan kerana menyusahkan orang lain. Haji Abas bukan orangnya. Namun begitu banyak pula kesabarannya teruji. Alhamdulillah jiwanya tenang menghadapi segala cabaran itu. Tidak menggelabah. Tidak patah hati. Tidak menunjuk marah. Tidak juga mendendam. Orang tidak suka tidak boleh dipujuk rayu. Dalam hati sahaja disimpan segala yang berlaku. Jerat tidak melupakan pelanduk. Pelanduk sahaja yang lupakan jerat. Jauh di sudut hati Haji Abas kesemua peristiwa yang dilaluinya disimpan kejap dalam lipatan kenangannya. Sekali sekala keluarlah cerita itu apabila ada yang menjentik perasaan dan ingatannya.

Kepingan getah dimasukkan antara dua penggelek di atas dan di bawah. Dipusingkan menggunakan pemusingnya seperti roda. Kepingan getah dimasukkan berulang kali sehingga benar-benar hilang airnya.


Dalam kemiskinan yang dilaluinya Haji Abas cukup kenal siapa ahli keluarga dan siapa rakan taulan yang boleh dijadikan tempat bersandar. Cumanya keperitan berhadapan dengan cabaran belum lagi putus-putus walaupun dia telah menyingkirkan diri ke tempat yang berbeza. Di sekeliling rumahnya ditanam berbagai pokok buah-buahan seperti jambu air, jambu batu, rambutan, manggis dan pokok pisang. Sepohon rambutan ditanam di hadapan rumah, sepohon di tepi rumah dan sepohon lagi di belakang rumah. Yang di hadapan rumah enak buahnya. Isinya garing dan manis. Menjadi kegemaran anak-anaknya. Tiba-tiba pokok itu layu mengering. Seorang kenalan bernama Andai yang berketurunan Banjar Alai dari kampung sebelah datang bertandang ke rumahnya. Dia terpandang pokok rambutan itu dari tengah halaman rumah. Dia berhenti memerhatikan pokok itu. 

Andai: Napang  rambutanmu ni ding? (Kenapa  rambutan kau ni dik?)

Haji Abas: Kadek tahuk! (Tidak tahu.)

Andai mengeluarkan pisau lipat dari dompetnya lalu menoreh batang  pokok rambutan tersebut. Dia menciumnya.

Andai: Rambutanmu diraaacun ding ai. (Pokok rambutanmu diracun dik.)

Terpegun Haji Abas menerima fakta itu. Apa salah pokok itu. Apa salah dirinya sehingga pokok rambutan yang tidak bersalah menjadi korban khianat. Kelu lidahnya hendak berkata. Siapa pula yang berbuat khianat. Cuma firasatnya dapat meneka siapa dalangnya. Apabila manusia dirasuk dengan perasaan yang tidak tenteram bermacam-macam motivasi syaitan yang dapat dilakukan. Khianat bukan untuk kesenangan diri. Bukan untuk membahagiakan diri. Khianat dan hasad dengki itu hanya memakan diri. Tidak aman di manapun berada.

Gambar ini menyerupai rambutan yang diracun pokoknya. Bukan rezeki Haji Abas dan keluarganya.


Getah keping yang sudah dimesin bunga. Dikeringkan sebelum dijual.


Haji Abas menumpang menggunakan mesin getah jirannya. Walau bagaimanapun izin yang diberikan pada awalnya itu rupanya tidak disenangi. Pada suatu ketika yang lain hati Haji Abas teruji lagi. Apabila hendak ke tempat memesin getah Haji Abas mendapati titi kayu dua batang yang merentangi parit kecil antara rumahnya dan bangsal memesin getah telah dubuang orang. Haji Abas masih belum perasan lagi musibah yang lebih besar. Apabila sampai di bangsal untuk memesin getah terdapat pula secarik kertas yang berbunyi, “Tidak dibenarkan menggunakan mesin getah ini lagi!” Noktah. Surat layang tanpa tandatangan. Tetapi sekilas ikan di air, Haji Abas tahu siapa orangnya. Tidak perlu dicari. Tidak perlu ditanya. Tidak perlu meminta penjelasan. Tidak juga untuk merayu. Pada hari itu getahnya hanya dibuat getah beku. Tidak dapat dimesin dan dijadikan getah keping seperti biasa.  

Ligat fikiran Haji Abas memikirkan alternatif yang perlu dilakukan. Mesin getah perlu diperolehi segera. Hari esok getah akan ditoreh lagi. Dia perlu mengetahui sumber untuk dicari. Panjang doa Haji Abas pada hari itu. Dia memohon kepada Allah supaya memberinya jalan untuk mengatasi masalah. Doanya dimakbulkan Allah. Dia teringat ada ibu saudara Hajjah Aminah di Parit Laman yang memiliki beberapa pasang mesin getah. Jauhnya kira-kira tiga kilometer. Selang beberapa kampung dari Parit Mohamad. Beberapa hari kemudian mesin itu sampai dibawa ke rumah. Pengalaman menjadikan Haji Abas tangkas berfikir. Tangkas pula bertindak. Tidak mati akal begitu sahaja. Banyak berserah kepada Allah.

Yang ini getah sekrap (scrap). Susu getah yang beku di dalam cawannya. Dipungut dan terus dijual begitu sahaja. Getah jenis ini sangat kuat baunya. Hangit yang melampau.


Kehadiran mesin getah itu menenangkan keadaan. Kebergantungan kepada orang lain dikurangkan seminimumnya. Mencukupkan keperluan sendiri lebih menguntungkan dalam jangka panjang. Tentu sahaja mesin itu dibayar kemudian. Berhutang dahulu. Alhamdulillah saudara yang seorang ini pemurah orangnya. Memahami kesulitan yang dihadapi oleh Haji Abas dan keluarga. Tanpa mesin getah, lumpuh aktiviti menoreh yang dijalankan oleh keluarganya. Satu lagi episod payah yang melingkari diri Haji Abas. 

Cerita khianat yang diterima Haji Abas berulang pada waktu yang lain. Sebaris pokok pisang yang ditanam dengan subur ditebang orang tanpa sebab. Kebetulan pula kebun getah Haji Abas sedang melalui proses tanam semula. Tanah lapang dan sedang seronok untuk dicucuk tanam. Bak kata orang berjagung-jagung dahulu sementara menunggu padi masak. Sementara menunggu tiga tahun sebelum anak getah boleh ditoreh. Termenung panjang Haji Abas memikirkan angkara. Setelah diselidik diketahui juga siapa yang melakukannya. Yang empunya badan mengaku yang ia disuruh orang lain untuk melakukan khianat itu. 

Ayam juga banyak masalah jika tidak terkawal. Orang kampung biasanya memelihara ayam. Banyak kegunaannya. Selain untuk dimakan bila perlu ianya seperti hadiah besar untuk keluarga terutamanya pada hari raya atau semasa mengadakan kenduri-kendara. Termasuk juga jika datang saudara yang tinggal jauh atau saudara tua seperti bapa saudara atau abang saudara. Biasanya  ayam kampung dibebaskan walaupun diberi makan mengikut jadual. Rupanya kebebasan ayam itu menjadi masalah kepada jirannya. Mungkin menumpang makan ketika ayam mereka diberi makan. Mungkin membuang najis di tempat-tempat tertentu. Riuh jirannya berkeriau menghalau ayam sambil mengomel panjang. Haji Abas maklum akan masalahnya. Dibelinya pula dawai mata punai lalu dipagar rumahnya supaya ayam-ayamnya tidak ke rumah sebelah.

Hidup berjiran perlu banyak sabarnya. Sebab itu sebelum berpindah rumah, kaji dahulu jiran tetangga yang ada. Andainya mereka jenis yang perihatin dan baik budi, seronok kehidupan kita. Begitu juga rumah yang berhampiran dengan masjid  dan surau mudahkan pula untuk berjemaah. Kadang-kadang apa yang diharap tidak kesemuanya membahagiakan. Dari luar orang hanya dapat melihat apa yang bersalut. Dari jauh orang hanya melihat secara tidak pasti. Mengetahui secara dekat orang akan terpegun mengetahui apa yang dilalui oleh Haji Abas. Liku-liku hidupnya penuh onak. Penuh duri yang mencarik di sana dan mencarik di sini. Tempat berpijak selalunya goyah. Tempat berlindung hanya kepada Allah. Hampir tiada siapa tempat mengadu kecuali kepada Allah. 

Mesin getah. Gambar di sebelah kanan mesin yang licin dan yang di sebelah kiri mesin yang berbunga. Tanpa kedua-dua mesin ini getah keping memang tidak boleh dihasilkan. 



Biji getah. Kanak-kanak menggunakannya untuk bermain seremban. Sewaktu Perang Dunia II dahulu ada orang yang menggunakannya untuk membuat tempe. Dikatakan sedap kerana sudah tiada makanan lain.