Tuesday, June 24, 2014

Siri Dua Belas: Keluar Dari Kampung

Rumah Haji Abas yang sederhana besarnya di Parit Mohamad. Rumah yang sama dibangunkan semula di Parit Sulung dengan sedikit pengubahsuaian. Diduduki hingga sekarang.


Anak lelaki Haji Abas meninggalkan kampung untuk bertugas di Johor Bahru. Anak pertama yang paling jauh tempat bertugasnya. Jauh tempat tinggalnya. Status itu tambah melegakan kedudukan Haji Abas. Kebun getah yang ditanam semula meringankan kos hidup kerana sayur-sayuran tidak perlu  lagi dibeli. Apa sahaja yang ditanam subur dengan izin allah. Mungkin tangan Haji Abas sejuk. Malah tangan Hajjah Aminah mungkin lebih sejuk. Tangan seorang ibu. Sentuhannya selalu menjadi. Bermacam sayur-sayuran yang enak kerana ditanam sendiri. Segar dari kebun. Yakin akan kebersihannya. Anak gadisnya pula rajin memasak. Dipelbagaikan selera Haji Abas dan keluarga. Kebun itu membekalkan berbagai keperluan. Ubi untuk sarapan. Pisang goreng untuk minum petang. Keledek dan keladi mungkin dipengat untuk di makan pada waktu malam. Jagung rebus menjadi kebiasaan, Serai, lengkuas dan halia tidak lagi dibeli. Apabila bahannya tersedia, banyak kepelbagaian yang boleh dimasak. Bermacam-macam juadah segar. 

Johor Bahru menjadi tarikan kepada anak-anak Haji Abas. Merantau jauh dan pada masa yang sama bekerja serta berpendapatan. Apabila abang sudah bertapak adik-adik ingin juga merasa kerlipan lampu-lampu neon yang berkerlipan. Beberapa orang adiknya ada yang bertandang sekejap dan ada pula yang menumpang duduk di kuarters tempat tinggalnya. Sesungguhnya kitaran hidup ini sentiasa berganti. Pada waktu tertentu kita mendapat pertolongan orang lain. Pada waktu yang lain Allah datangkan peluang untuk kita membantu orang yang lain pula. Kita tidak tahu besarnya kuasa Allah ke atas sesuatu. Yang kita nikmati ialah keadilan. Redha adalah sesuatu yang menenangkan hati.

Haji Abas telah lama belajar berjimat. Dalam susah dan payahnya mengharungi hidup, sempat juga dia menyimpan. Jumlahnya mungkin sedikit tetapi lama-kelamaan banyak juga jadinya. Wang bantuan kerana menanam semula getah tidak dibelanjakan untuk membeli yang bukan keperluan. Sayur-sayuran yang ditanam sendiri menjimatkan belanja. Setiap bulan ada titipan dari anak-anak sedikit sebanyak. Apabila anak-anak sudah membesar, rumahnya perlu ditambah ruang. Apatah lagi cucunya sudah bertambah ramai. Rumah awal yang sederhana besarnya, ditambah keluasannya. Wang yang dijimatnya digunakan secermat mungkin. Seorang tukang rumah dari Parit Separap yang bernama Buang ditugaskan untuk tujuan itu. Kerjanya agak halus dan cermat. Apabila siap rumah Haji Abas kelihatan lebih presentable berbanding sebelumnya. Berdinding papan dan berlantaikan papan. Atapnya dari rembia diganti dengan zing.

Tentu sahaja untuk membesarkan rumah kosnya agak tinggi. Ada bantuan dari anak-anak lelakinya. Sumbangan yang berbagai itu ditambah dengan wang simpanan Haji Abas, terlaksanalah sebuah impian untuk tinggal di rumah yang lebih selesa. Selama ini hanya impian sahaja di dalam minda. Apabila rumah itu siap ianya suatu realiti. Mimpi yang menjadi nyata. Haji Abas telah mula bangkit dari kedaifan yang lalu. Cerita tentang hidup serba kekurangan dan banyak meminjam, Allah gantikan dengan kecukupan yang sederhana. Prinsip itu membantunya untuk bersifat qanaah. Mencukupkan apa yang ada. Dalam kehidupan manusia, sesuatu perubahan yang berlaku menjadi tarikan perhatian kepada orang lain. Status Haji Abas dilihat berubah. Meningkat sedikit berbanding dari dahulu.

Jika dahulu Haji Abas tidak dipandang dengan sebelah matapun oleh orang-orang yang tidak menyukainya, kini ada yang mula melihat senang. Senyum dan tawa dari jauh. Ramai yang bertandang ke rumahnya. Haji Abas masih ingat kesemua peristiwa lama itu. Ingatannya masih terusik jika disentuh topik berkaitan. Tetapi Haji Abas sangat pelembut orangnya. Pemaaf kepada mereka yang menganiayanya. Kepadanya, jangan menganiya orang. Tidak ada faedahnya. Begitu pesan kepada anak-anaknya. Sesungguhnya benar. Dalam jangka panjang Haji Abas memenangi hati orang-orang yang cuba membakar jambatan keluarga. Kepada Haji Abas kecil tapak tangan, nyiru ditadahkan.

Kelembutan hati Haji Abas agak klasik. Selepas tamat Perang Dunia II, Jepun meninggalkan Tanah Melayu setelah kalah perang. British pula lambat kembali kerana yakin Tanah Melayu dalam genggaman mereka. Keadaan yang lompang itu diambil kesempatan oleh MPAJA (Malayan People Anti Japanese Army) untuk menguasai keadaan. Pasukan itu sebenarnya ditubuhkan oleh British. Dibiayai dan dilengkapi dengan senjata oleh British. MPAJA melihat ruang untuk menolak British. Orang Melayu ketika itu masih terlalu ramai yang lena. Tidak ramai yang melihat jauh ke hadapan. Mereka yang dikira pandai hanya golongan bangsawan dan anak-anak pembesar. Mereka dilatih menjadi pentadbir untuk British. Lagipun orang Melayu telah lama dimanjakan dengan berbagai program British seperti pemberian kopun untuk ditukarkan kepada barang-barang keperluan makanan. Orang Melayu menjadi kasih kepada British hingga lemah untuk melawan. Hanya beberapa orang Melayu yang bersama MPAJA dan akhirnya digelar sebagai pengganas kumunis.

Orang Melayu bangkit bukan untuk mengnyahkan British dari Tanah Melayu tetapi membantu menegakkan semula penjajahan British. Berlakulah pertembungan kepentingan antara orang Melayu dan MPAJA. Di Batu Pahat, khususnya d kawasan Parit Sulung dan Seri Medan hal itu memuncak. Peperangan berlaku antara orang Melayu dengan anggota MPAJA. Seri Medan dan kawasan persekitarannya hingga ke Semerah bermandikan darah. Haji Abas turut terlibat. Tetapi dia bukan keras hatinya. Terlalu lembut. Tidak ada sesiapa yang tertusuk pedangnya. Hanya diangkat tinggi. Hanya kejap dihunus di tangan kanannya. Tidak pernah pedang itu turun dan menusuk tubuh manusia. Di sekelilingnya rakan-rakan yang lain bermandikan darah, dia hanya mampu melihat. Menyaksikan sejarah hitam negara. Sesuatu yang tidak pernah diimpikannnya. Bukan sahaja Jepun dan British yang berperang. Dia sendiri terlibat dalam perang dalam bentuk yang lain. Tetapi tetap perang yang menumpahkan darah.

Hingga sekarang dasar hatinya masih lembut. Melayani masa lampau hanya sebagai perintang waktu. Dalam usia 100 tahun tentu terlalu banyak pengalaman suka dan duka yang dilaluinya. Saat ngeri yang menimpa. Pengalaman dan jatuh bangun dalam hidup adalah kehidupan itu sendiri. Sebab itu orang tua dikatakan banyak garamnya. InsyaAllah bagi Haji Abas bukan banyak ragamnya. Makan cukup. Tidur cukup. Kesihatan terjaga. Ibadat diamal. Hati mahu baik. Mulut mahu manis. Antara ungkapan yang selalu diulang dengar. Menjadi sebahagian dari falsafah hidupnya. Tidak ada yang perlu ditoleh sebenarnya. Mereka yang dahulu bersamanya kesemuanya sudah tiada. Hingga ke tuanya Haji Abas menjadi tunggak zaman. Kita hanya mampu mendengar, menulis dan membaca sejarahnya tetapi tidak mampu berada dalam situasi sejarahnya. Grafik kehidupannya teranyam rapi. Untuk diambil iktibar darinya.


Anak lelaki Haji Abas, Haji Madzlan dan keluarganya. 

No comments:

Post a Comment