Friday, June 13, 2014

Siri Tiga: Membina Keluarga Berbeza Zaman



Di Masjid Besi, Putrajaya. Pasca kemerdekaan yang tidak pernah terimpi sewaktu memperjuangkannya dahulu. Yang tertancap di sanubari hanyalah keghairahan membebaskan negara dari British. Keluar dari lambang kelemahan bangsa.


Siri Ketiga:


Hidup berkeluarga sudah menjadi fitrah manusia sejak dari Adam dan Hawa. Haji Abas bernikah dengan seorang gadis pingitan desa yang dikenali dengan nama Sinah. Berketurunan Banjar. Manis dan cantik orangnya. Pada mata Haji Abas, Sinah seperti secantik Azizah pujaan allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Mereka sepadan bak pinang dibelah dua. Sama tinggi bila berdiri. Sama rendah bila duduk. Menjadilah pasangan ideal di Parit Sulung. Jauh dari keributan bandar. Belum dibangunkan seperti sekarang. Pernikahan itu direstui kedua keluarga. Hasrat besar untuk membina mahligai bahagia rupanya sehalus sutera yang nipis. Ada halangan kasih yang tidak mendatang. Ada penjara diri yang tidak memberi sayang. Terhalang bina bangun sebuah bahagia. Jodoh mereka tidak panjang. Terlerai sebuah ikatan tanpa selisih. Pernikahan itu tidak menghadiahkan seorangpun cahayamata. Kekal berbaik walaupun bercerai hidup. Jodoh tidak dapat mengikat mereka. Sayang.

Mencari ganti bukan semudah menukar pakaian. “Di mana kan ku cari ganti?” tanya P. Ramlee. Lama juga menduda sehinggalah dipertemukan jodoh kedua dengan seorang wanita lain di Parit Jawa. Mendapat anak seorang lelaki. Dinamakan Ismail. Sekali lagi Haji Abas terdampar bahagianya. Isteri keduanya meninggal sewaktu anaknya masih kecil lagi.  Aduhai! Tentu sahaja remuk sebuah hati. Luluh menghancur badai sayang. Yang memutus tali kasih. Yang melerai tambatan dua jiwa. Untuk kedua kalinya Haji Abas berkelana hatinya. Membawa sisa-sisa hati yang payah. Merawan duka dan lara. Mengenang nasib yang belum menjadi. Yang belum memberi bahagia. Mencari ganti banyak payahnya.

Di Parit Maimun Haji Abas menemui seorang gadis desa yang sudi menerima hamparan hatinya. Menikah lagi dengan Aminah yang berkekalan sehingga sekarang. Ketika masing-masing sudah melampaui zaman tua. Ketika itu Hajjah Aminah bertiga beradik. Yatim piatu kerana kedua-dua ibu bapanya telah meninggal dunia. Mereka hidup bersama nenek mereka. Kebetulan rumah nenek mereka berhampiran dengan rumah bapa saudaranya yang bernama Haji Asmawi. Berhampiran pula dengan rumah sepupu Haji Asmawi yang bernama Haji Gumbri. Berhampiran juga dengan rumah Penghulu Salleh yang terkenal di Simpang kiri. Kuala Parit Maimun ketika itu sibuk. Terdapat sebuah jeti. Di seberang sungai adalah kuala Parit Gawung. Terdapat Sekolah Kebangsaan Sungai Nipah. Parit Maimun-Sungai Nipah agak meriah dengan keriuhan sekolah. Dengan adanya kedai-kedai runcit. Kedai makan. Begitu juga ramai dengan mereka yang seberang-menyeberang untuk ke kampung-kampung yang berdekatan.

Bersama Hajjah Aminah Haji Abas dikurniakan 10 orang anak. Dua darinya telah meninggal dunia sewaktu kanak-kanak. Lapan yang masih hidup. Maka sembilan oranglah anak Haji Abas yang hidup hingga dewasa. Anak sulungnya yang bernama Ismail telah meninggal dunia beberapa tahun yang lalu. Meninggalkan seorang balu dan seorang anak angkat. Yang masih ada sekarang ini adalah anak-anak Hajjah Aminah. Perkongsian hidup mereka inilah yang melahirkan puluhan cucu dan lebih 100 orang cicit. Sudah ada piut. Mereka melahirkan lima generasi. Banyak statistik keluarga yang mungkin tidak diketahui oleh cucu dan cicit. Sejarah silam yang tidak diulang cerita. Tiada selampit untuk melagukannya. Kepada Haji Abas ianya hanya cerita lama. Dikenang tetapi bukan untuk dirayu kembali.

Dari Hajjah Aminah lahirlah Rugayah, Arfah, Madzlan, Maznah, Maslan, Noriah, Ramlan dan Norazah. Lima anak perempuan dan tiga anak lelaki. Zaman banyak berubah. Jika dahulu anak-anak hidup di sekeliling ibu bapa tetapi anak-anak Haji Abas hidup berjauhan dengan beliau. Jika dahulu berdua sekarang juga berdua. Anak cucu sahaja yang kekadang menjenguk induknya. Bersilih ganti bertanya khabar. Menyukakan diri mereka. Tentu sunyi apabila keriuhan yang dahulu sudah lama tiada. Andainya ada jadual menjenguk hadir, tentu setiap minggu ramai yang datang ziarah. Tidak bersama adalah suatu kerugian. Tidak menjenguk adalah suatu kerugian yang berganda. Usia 100 tahun bukan boleh bertahan lama. Tataplah bak menatap Kaabah. Di sebalik wajah tua itu banyak tersalut rahsia hati. Banyak senarai payah yang tidak tertulis.

Apabila induk semakin tua, anak cucu juga diheret tua. Kitaran keluarga Haji Abas berterusan membariskan warisan perjuangannya. Menderapkan semula gelora memperjuangkan wadah kehidupan pasca kemerdekaan. Mengenali hati nurani tuanya Haji Abas tentu mengujakan generasi warisan keluarganya untuk berbakti kepada negara. Kepada bangsanya. Jika dahulu dia hanya terlibat sekarang ini warisan keturunannya terlibat secari langsung menyumbang bakti. Belajarlah dari penglibatan indukmu. Menyumbang bakti bukan kerana ganjaran. Bukan kerana imuhan. Bukan kerana pangkat. Bukan kerana puji dan puja. Bukan kerana desakan dan paksaan. Berbaktilah kerana ianya diperlukan. Kuantitinya perlu lebih besar. Kualitinya perlu lebih baik. Darjahnya perlu lebih tinggi. Perjuangan Haji Abas perlu disegarkan semula. Dikitar semula untuk menjadi sumber perjuangan generasi muda yang selalu tumpul semangatnya.


Hajjah Arfah, anak kedua Haji Abas besama Hajjah Aminah, bersama anak lelakinya, menantu dan cucu-cucu

Siri Dua: Lima Pekagha Yang Oghang Melayu Kena Jaga.




Dalam ingatannya tentu banyak yang tersimpan. Perlu petikan-petikan tertentu yang boleh mengembalikan ingatan itu. Mengembalikan zaman yang berlalu. Penuh liku dan sembilu dalam hidupnya. Kita hanya mampu melihat tetapi tidak mungkin dapat menyelaminya. 

Siri Kedua: 

Itu adalah kata-kata yang lahir dari YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj di dalam sampan yang dinaiki bersama dengan Haji Abas. Tunku terkenal dalam loghat kedahnya. Tahun 1955 yang sudah terlalu lama. Namun sejarah itu tetap segar hingga sekarang. Ketika itu semangat orang Melayu sedang rancak hangat dirangsang keinginan untuk memerdekakan negara dari penjajah British. Tunku adalah rantaian kepimpinan Melayu yang sedang menggelora dan menggoncang semangat merdeka untuk bangsa Melayu khususnya di luar bandar. Pilihanraya pertama pada tahun 1955 itu bukan kepalang peritnya. Bukan dari segi kempen tetapi dari segi perhubungan dan pengangkutan. Jalanraya hanya ada di sekitar adanya kepentingan penjajah. Luar bandar benar-benar di luar jangkaan anak-anak sekarang. Tidak ada jalanraya. Tidak ada kenderaan berjentera. Tidak ada elektrik. Tidak ada bekalan airpaip. Tidak ada TV. Yang ada mungkin radio besar yang menggunakan bateri lori. Bukan bateri kereta. Dari masa ke masa perlu dicas supaya penuh dan berfungsi. 

Dalam suasana itulah Haji Abas turut terlibat. Dia bukan orang besar di Simpang Kiri. Tidak memegang apa-apa jawatan dalam parti. Bukan juga orang penting dalam kampung. Semangat Melayu yang berombak di dadanya bergetar dan menggetar menagih bebasnya negara dari British. Semangat Melayu yang bergembelingan menautkan darah rumpunan Melayu Nusantara. Berderap segaknya Haji Abas dengan seluar putih melepak. Berkanji dan diseterika menegak saidnya. Berbaju putih  berlengan panjang. Berkanji dan berseterika. Bersaid tajam di lengan. Songkok hitam yang mereng mengikut kanan atau kiri. Putih lambang suci. Bersih dan ikhlas memperjuangkan sesuatu yang hak. Mencari kemurnian sebuah bangsa dan negara. Langkah juangnya bersama rakan taulan. Satu hati dan tujuan. Pada era itu hanya Tunku tempat sandaran. Putera raja yang turun dari kayangan. Membawa bersamanya nukilan murni cita-cita sebuah bangsa yang ingin bebas bak merpati putih yang sesuka hatinya terbang dan pulang.

Haji Abas sangat ranggi orangnya. Pakaiannya sentiasa rapi. Hingga sekarang pada usianya 100 tahun ia masih mempertahankan kekemasan berpakaian. Baju berlengan panjang. Berkasut kulit dan bersetokin walaupun untuk ke rumah anak-anak yang jauhnya beberapa kilometer sahaja. Walaupun untuk makan di luar. Dia menjaga class dirinya. Tidak tercalar. Tidak tercabar. Tidak merendah tetapi tidak untuk berasa megah. Suatu penampilan yang dijaga. Yang diurus seumur hidup. Bagi yang tidak mengenalinya secara dekat ramai yang menyangka bahawa suatu ketika dahulu Haji Abas pasti seorang pegawai kerajaan berpangkat tinggi. Begitulah pakaian berkata-kata apabila kemas dipakai. Sedap mata memandang. Banyak prinsip hidupnya yang perlu diturunkan kepada semua warisan keturunannya. Ada falsafah yang nampak remeh tetapi itulah resam Melayu yang sudah banyak dilupakan orang. Sayang jika seni budaya bermasyarakat ini tidak diwarisi. Kita mungkin tidak selesa dengan banyaknya prosedur dan prosesnya membuat kerja tetapi hasil kerjanya selalu menuntut precision. Kejituan ukuran dan sukatan. Jika lurus benar lurusnya. Jika tinggi cukup tingginya. Jika dalam cukup dalamnya. Jika lebar cukup lebarnya. Prinsip ini tiada komprominya.

Kempen pilihanraya tidak banyak ragamnya. Tidak gah. Tidak ada politik wang. Tidak ada. Semuanya atas dasar semangat. Semangat juang pahlawan-pahlawan dahulukala. Mahu bebas sebebasnya. Masing-masing dengan semampunya bergabung tenaga bersama. Berkongsi apa yang ada. Walaupun ketika itu bukan zaman senang. Usaha kuat bukan kepalang. Sebelum merdeka, Tanah Melayu bukan mewah kehidupannya. Makan sekadar cukup. Wang ringgit selalu berjimat. Tetapi demi sebuah kemerdekaan kempen pilihanraya yang menelusuri kawasan-kawasan luar bandar sangat menangkap minat orang Melayu. Sebab itu orang Melayu di Johor sangat sinonim dengan Perikatan, UMNO dan Barisan Nasional. Akar umbinya di Johor. Diasaskan oleh Allahyarm Dato’ Onn Jaafar pada tahun 1946. Setahun setelah tamat Perang Dunia II. Setelah Jepun mengundur kalah. Setelah British menebal muka kembali lagi meneruskan penjajahannya ke atas bumi bertuah ini. British adalah bangsa yang kalah tetapi psikologi mereka kuat memulih semangat. Kita yang ditinggalkan ketiadaan kepimpinan untuk menolak British sedangkan peluangnya ada. Begitulah terlepasnya peluang membebaskan negara kerana kedaifan pendidikan dan ekonomi. Semangat juang yang terlalu mendatar ketika itu. Kedaifan mengatur diri yang tiada.

Kempen pilihanraya ketika itu cukup mudah. Tiada poster menutup pagar dan pokok. Tiada yang menjulang bumbung dan pepohon. Tiada yang dipacak dan dilayang. Datang dari arah sungai. Jabatan penerangan yang berperanan. Membawa penjana elektrik, layar perak besar, projector filem dan alat siaraya. Riuhlah satu kampung dan kampung-kampung yang berdekatan untuk datang meraikan. Yang dewasa mendengar ceramah. Kanak-kanak seperti penulis hanya datang untuk menonton filem. Hanya dua jenis filem: komidi atau koboi. Semasa menulis ini baru penulis tersedar kenapa dua genre filem yang ditayangkan. Antara sedar dengan tidak ianya merupakan penjajahan minda. Allahuakbar. Berhiburlah semaunya. Hilangkan duka lara. Biarkan pemimpin yang mengatur hidup. Hingga sekarang minda Melayu cukup culas berfikir untuk maju. Terlalu rendah hingga terpijak di mana-mana.  Cerita koboi adalah lanjutan kisah Columbus menemui Amerika Syarikat. Disambung dengan kisah mereka yang menaiki Mayflower pada tahun 1641 dari Ireland mendarat di Boston. Kisah orang Barat menghancurkan sebuah bangsa yang gagah. Red Indian dimusnahkan hingga sekarang mereka hanya sebuah etnik yang langsung hilang signifikannya di  negara yang gah menjadi polis dunia. Dicipta suatu budaya di Amerika Syarikat yang diistilahkan sebagai Thanksgiving. Acara menobatkan kemanangan diri mereka sendiri.


Luhurnya perjuangan menuntut kemerdekaan dikongsi oleh Haji Abas bersama orang Melayu lain. Wadahnya hanya UMNO dan Perikatan. Jalan yang mereka lalui tidak juga payah. Tiada pertumpahan darah menjelang kemerdekaan. Namun begitu darah bangsa telah tersimbah lama ketika Datuk Maharajalela dan Si Putung dihukum bunuh di Taiping. Setelah Tok Gajah, Tok semantan dan Mat Kilau dikalahkan di Semantan. Setelah tiada ramainya pejuang lalu yang sekarang ini seperti dilupakan. Sejarah seperti memadam peranan mereka. Anak-anak generasi sekarang hanya diperlihatkan kegemilangannya sahaja. Mereka tidak mengetahui susah payah yang telah diteroka dahulu. Tidak tahu pengorbanan nyawa dan darah bangsa yang mengalir tanpa pembelaan. Haji Abas hanya pewarisan perjuangan itu. Demi bangsa dan maruah negaranya. Zaman yang hanya mampu dikenang.




Encik Ismail bin Adul, anak saudara Haji Abas yang paling tua.

Wednesday, June 11, 2014

Siri Satu: Usia 100 Tahun Yang Merentas Zaman Merdeka


Siri Pertama:



Haji Abas bin Abdullah

Usia    : 100 tahun
Isteri   : Hajjah Aminah binti Abas
Usia    : 90 tahun
Alamat: No 6, Jalan Nuri 3, Parit Sulong, Batu Pahat, Johor.
Anak  : 11 orang 
Cucu  : 47 orang
Cicit   : Lebih 100 orang
Piut    : Beberapa orang

Alhamdulillah dalam usianya 100 tahun Allah menganugerahkan kepadanya kesihatan yang melampaui usianya. Kesihatannya relatif baik. Makan dan minumnya masih dalam selera yang menasabah. Masih kuat berjalan. Mampu lagi melakukan kerja-kerja harian rumahtangga seperti menyapu dan membasuh. Tidurnya cukup dan terjaga jadualnya. Lingkaran rakan taulannya ramai. Tentulah begitu kerana kawasan yang pernah didiami di beberapa kampung. Saudara mara pula beribu ramainya. Mereka yang seangkatan dengannya sudah lama tiada. Di Pekan Parit Sulung ramai yang mengenalinya. 

Semasa kempen Pilihanraya Pertama Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1955 nama ini antara yang pernah hampir dengan YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Pertama Malaysia. Ia pernah bersama Tunku dalam sebuah sampan dari Sekolah Kebangsaan Sungai Nipah di Parit Penghulu ke Sekolah Kebangsan Parit Jawa. Melalui Sungai Simpang Kiri, Batu Pahat. Jauhnya kira-kira dua kilometer. Ketika itu Tunku dalam siri jelajahnya ke seluruh negara. Bertemu orang kampung. Membawa hasrat untuk memerdekakan negara tercinta. Membebaskan hati nurani rakyat ramai agar memiliki negara ini di dalam tangan mereka sendiri. Tidak lagi menadah hampas yang disaring penjajah sebegitu lama. Ratusan tahun kita dijajah sejak dari Portugis ke Belanda, Inggeris, Jepun dan Inggeris semula. Pilihanraya pertama pada tahun 1955 itu adalah petanda noktah jalan menuju kemerdekaan. Ya! Merdeka dengan menjulang Jalur Gemilang. Susur galur bangsa terbilang. Kembali garang merangsang kegemerlapannya yang tersendiri. Ada beberapa perkara yang menurut Tunku menjadi hak orang Melayu. Perlu dipertahankan walaupun ramai anak cucu yan tidak mengerti lagi implikasi dan natijahnya kepada bangsa dan negara. Lima kesemuanya tetapi pada kali ini hanya dapat disebut empat sahaja. Intipati kata-kata Tunku: Perdana Menteri, Ketua Hakim, Pegawai Daerah dan Penghulu adalah terdiri dari orang Melayu. Tradisinya begitu. Sejak dari sebelum merdeka hinggalah sekarang.

Hajjah Aminah dan anak sulungnya, Hajjah Rugayah.

Kata-kata Tunku ini masih segar dalam ingatannya. Tunku adalah sejarah negara. Kempen Pilihanraya Pertama itu adalah adalah sejarah negara. Setiap kali terimbau kisah itu ingatannya kepada Tunku menjadi segar kembali. Kisah kira-kira 60 yang lalu itu tidak mungkin dilupakannya hingg ke akhir hayatnya. Dia adalah antara insan yang menyumbang ke arah kemerdekaan. Apabila berbicara mengenai kisah bersama Tunku itu matanya bercahaya, bicaranya rancak dan bertenaga. Ketika itu dia sangat dekat dengan Tunku, anak raja dari Kedah yang akhirnya menjadi Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu yang pertama juga Perdana Menteri pertama Malaysia. Bak anak raja turun dari kayangan. Haji Abas  terpesona dengan kehadiran Tunku yang tidak pernah diduganya. Tentu sekali bersalaman dan berada dekat menjadi pengalaman besar dan sangat bererti. Hingga sekarang ia masih menjadi sesuatu yang sangat diimbaunya bersama anak-anak, menantu dan cucu-cucunya. Sejarah itu masa lampau. Mereka yang berada pada zaman itu sahaja yang berasa dekat di hati.

Dilahirkan di Banjarmasin, Kalimantan, Indonesia. Keluarganya keturunan Banjar Halimuntai. Sewaktu zaman kanak-kanaknya keluarganya membawanya ke Tanah Melayu. Sekitar Batu Pahat, Johor. Tentunya pada waktu itu Batu Pahat bukan daerah yang serba serbi menarik. Hanya Bandar Penggaram sahaja yang telah dibangunkan oleh Dato’ Bentara Luar. Bandar Batu Pahat pun bukan seperti yang ada sekarang. Barangkali sejarahnya boleh dikaji seperti yang ada dalam simpanan Persatuan Sejarah Batu Pahat. Bagi Haji Abas dan keluarganya mereka mudik Sungai Batu Pahat arah ke Simpang Kiri. Sementelahan pada zaman itu satu-satunya jalan perhubungan ialah sungai. Di tepi-tepi sungailah kawasan penenpatan yang wajar ketika itu. Rumah-rumah yang dibina bertiang tinggi untuk mengelakkan ditenggelami banjir yang biasanya datang setiap tahun apabila tiba musim tengkujuh.

Bersama cucu-cucu dari anak bongsunya.

Ekosistem ketika itu masih terpelihara. Hutan masih banyak dan tebal. Hujan dan panas terjadual dengan kuasa Allah. Begitu juga dengan musim buah-buahan yang juga terjadual. Iklim banyak pengaruhnya. Ketika itu kenduri kendara ada musimnya. Bernikah kahwin juga ada musimnya. Maka kehidupan juga mengikut iklim dan musimnya. Sebelum getah diperkenalkan oleh R. N. Ridly di Kuala Kangsar pada tahun 1930an kehidupan orang Batu Pahat banyak bergantung pada alam. Sungai menjadi kuncinya. Setiap rumah pasti memiliki sampan sama ada besar atau kecil. Untuk digunakan di sungai atau untuk ke laut. Selain untuk pengangkutan sampan adalah kenderaan untuk mengail, menjala atau untuk memasang bubu. Kesemuanya untuk makanan secukup hidup. Ikan untuk dimasak atau untuk dikeringkan. Persediaan untuk musim tengkujuh dan banjir. Beras boleh diperolehi di kedai-kedai runcit di kuala-kuala parit yang terkenal. (Al-maklum di Negeri Johor banyak parit. Setiap kampung lazimnya dinamakan parit seperti juga di Negeri Selangor dan Perak). Makanan lain termasuklah pisang, ubi kayu, ubi keledek, ubi keladi dan jagung.

Bergambar bersama cucu-cucu dari anak keempat. 

Haji Abas tinggal di beberapa buah kampung si sepanjang Sungai Simpang Kiri. Antaranya Parit Jawa, Parit Kangkar Senangar, Parit Maimun dan Parit Mohamad. Ibunya bernama Intang. Dia anak sulung. Tiga orang adiknya telah meninggalkannya. Usia 100 tahun tentu banyak input kehidupan yang tidak terbilang banyaknya. Banyak kenangan bukan sahaja memberi pengajaran kepada anak, cucu, cicit  dan piut tetapi juga boleh dikongsi oleh orang lain. Kepada penulis ia seorang tokoh keluarga walaupun tidak pernah menerima anugerah Tokoh Keluarga. Sekadar pernah menerima anugerah jasamu dikenang dari pemimpin tempatan kerana penglibatannya dalam UMNO sejak zaman Tunku dahulu. Pengalaman yang direntasi nelalui beberapa zaman tentu banyak yang  boleh dikutip untuk mewarnai warisan keturunannya.


Cicit dan piut pertama. Susur galurnya dari cucu pertama.

Saturday, June 7, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Alangkah Mengikut Yang Diikut



Insan paling beruntung di Malaysia (mungkin di dunia) ialah mereka yang berada dalam industri hiburan. Paling menonjol ialah pelakon dan penyanyi.  Jika kita pergi ke laman sosial mereka seperti facebook, twitter dan sebagainya jumlah rakan mereka selalunya oversubscribed. Terlalu ramai. Rakan baru sukar mendapat ruang. Beribu-ribu. Ada yang beratus ribu. Tentu ada yang mencecah juta. K-e-b-a-n-y-a-k-a-n-n-y-a adalah remaja dan anak muda. Sangat sedikit orang dewasa. Jika ada tentunya ahli keluarga sahaja. Ianya merupakan suatu kegilaan. Teknologi menjadi sesuatu yang menakjubkan. Mungkin boleh kita kongsikan sebentar. Apa sebenarnya manfaat menggabungkan diri bersama artis pujaan. Terlalu banyak yang diperkatakan tentang artis baik yang positif di samping yang negatif. Ada baiknya jika kita bawa artis ke arus perdana supaya kehadiran mereka mewakili bangsa yang bermaruah dan bertamaddun dari segi agama dan dari segi sejarahnya yang dicipta. Barangkali boleh kita lihat dari segi:

1                    Agama.
2                    Ilmiah.
3                    Politik.
4                    Sosio-ekonomi-budaya.
5                    Pendidikan.
6                   Skrip dan arahan.
7                    Panel patuh-syarie.
               

Agama
Rasanya rindu juga watak pendakwah atau ustaz seperti allahyarham M. Rajuli. Dia boleh membaca al-Quran dengan baik. Betul makhrajnya. Betul sifat hurufnya. Betul tajwidnya. Latarbelakang pendidikan agamanya diserlahkan dalam lakonannya. Ada impaknya yang tersendiri. Kita harus berhenti memaparkan watak-watak antigonis terhadap agama. Kembangkan pendidikan dan psikologi agama dengan cerita yang plotnya positif dan mendidik. Jika dalam bentuk kritik sekalipun natijahnya biarlah positif. Mendidik dan membina agama dan penganutnya. Apabila ada watak-watak berlatarbelakangkan agama usahakan supaya watak-watak itu boleh menyebut kalimah Arab atau al-Quran dengan betul berlahjah Arab. Makhraj dan sifat hurufnya betul. Tajwidnya sempurna. Begitu juga tafhim dan tarqiqnya. Setiap lakonan adalah untuk ditonton. Yang menonton merasakan lakonan itu berkesan. Yang mendengar berasa puas. Pelakon itu sendiri seharusnya berlatarbelakangkan pendidikan agama. Diketahui kebaikan watak peribadinya. Ini bermakna pelakon itu melakonkan wataknya yang bersahaja. Bukan dibuat-buat. Ia mengukuhkan perwatakan. Bukan berlakon semata-mata. Lakonan itu adalah dirinya sendiri. Kita perlukan lakonan yang bersandarkan agama. Banyak yang perlu dirawat dalam masyarakat Islam. Di sana dan di sini kita melihat terlalu banyak yang menyesakkan nafas. Perlu ada usaha untuk membertulkan keadaan. Industri hiburan boleh membantu. Bukan memburukkan keadaan.

Ilmiah
Antara masalah besar anak-anak muda kita ialah kelayakan ilmiah yang banyak boleh diperbaiki dan dipertingkatkan. Ramai anak-anak sekolah yang terlalu jinak dengan alam hiburan. Ibu dan bapa tidak kisah. Masyarakat seperti merestui. Industri pula sangat menggalakkan. Malangnya ramai yang kecundang hanya dalam beberapa tahun. Ilmu sangat sedikit. Pengalaman terbatas. Akademik pula hanya cukup makan. Ke mana selepas tidak maju? Cerita malang artis yang bantut berulang-ulang. Barangkali pencari bakat perlu selektif. Berhati-hati supaya masa hadapan anak bangsa tidak teraniaya. Keuntungan biarlah berbaloi dalam konteks agama. Barakah dan ada lorongan ke akhirat. Bakat yang diasah diberi masa supaya memiliki kelayakan akademik yang wajar. Andai mereka gagal dalam industri mereka masih memiliki banyak ruang untuk mencari rezeki dalam bidang lain.

Di luar sana ramai juga graduan yang berbakat dalam lakonan. Atau yang boleh diperkembangkan bakatnya. Kita sudah ada Fahrin Ahmad, Zizan Nin, Jihan Miskin, Azhar Sulaiman dan beberapa orang lain yang memiliki kelayakan akademik. Lebih ramai penggiat seni yang berkelayakan IPT adalah lebih baik. Di IPT mereka lazimnya dididik untuk mengurus diri, memartabatkan jatidiri, berkepimpinan, mengurus masa, mengurus aktiviti, mengurus masalah, menyelesaikan masalah dan membuat keputusan yang rasional. Ada kematangan berfikir. Ada kematangan bertindak. Mereka dalam golongan ini mampu melakonkan watak-watak yang sinonim dengan kelayakan ilmiah mereka. Dalam hal ini akademi seni wajar dipertimbangkan supaya mereka yang ingin terlibat dalam industri hiburan mengetahui etika seni. Maklum perundangan yang berkaitan dengan seni. Mengerti tentang perlunya patuh syarie. Bolehlah nanti kita lihat artis yang menjaga aurat. Berpakaian yang menunjukkan keterampilan pakaian. Akhlaknya manis dilihat. Manis dicontohi. Sejuk mata memandang. Tatalaku seseorang artis adalah cerminan masyarakat. Apatah lagi kebanyakan mereka adalah penganut Islam. Watak Islam perlu wujud pada diri mereka. Penulis skrip, pengarah dan penerbit perlu memiliki kesedaran terhadap agamanya. Terhadap maruah bangsanya. Tentang adab dan sopannya pelakon yang membawa bersama mereka Islam dan Melayu.

Politik
Politik menjadi tunggak tempat berpaut dalam banyak hal. Pada politik terdapatnya dasar dan strategi membangunkan masyarakat. Ini bermakna kepimpinan politik harus juga menjenguk ke dalam permasalahan industri hiburan. Menghiasnya dengan wajah Melayu-Islam. Hal yang dianggap remeh-temeh ini boleh menenggelamkan rupa bangsa. Menenggelamkan wajah budaya. Menghilangkan jatidiri. Akhirnya boleh menghapuskan tamaddun bangsa yang dibina ribuan tahun. Kita tidak boleh lupa di sini telah pernah tertegak Empayar Sri Vijaya. Persekitaran Majapahit. Raja Suran dan Gangga Nagara. Langkasuka. Aceh. Perlak dan Pasai. Pengaruh Barat dan Islam yang menyatu telah membina bangsa yang unik. Binalah benteng agar hiburan tidak memusnahkan kesemuanya. Kepimpinan yang ada harus memikirkan kelangsungan suatu budaya besar sebuah bangsa yang dilambung ombak badai kemajuan yang menjadi tsunami budaya. Menghapuskan kesemua yang indah tetapi termusnah kerana kelalaian sebuah bangsa itu sendiri.

Sosio-Ekonomi-Budaya
Kita sedang mengembara maju. Jauh meninggalkan kepapaan. Kesengsaraan masa lampau. Memacak bendera merdeka yang Gemilang Jalurnya. Jalur Gemilang yang pancawarna itu perlu dibawa jauh ke hadapan merentasi zaman mewah yang bermewah-mewahan. Social fabric kita teranyam larut sehingga rupa asal kita telah tidak lagi kelihatan. Pakaian kita menungkah arus agama. Gaya hidup kita sudah ke Barat. Makanan kita berbaur antara halal dan haram. Kita mahu maju. Siapa yang menolaknya. Tetapi garis panduannya mestilah jelas. Ke mana pun kita perlu pergi ada warisan yang perlu dijaga. Dipelihara. Diperkembangkan selari dengan majunya ekonomi. Perut yang kenyang perlu disalut dengan lapisan budaya yang asalnya nyata. Ada induk dan semangnya. Dasar memajukan negara perlu seiring dengan dasar memajukan agama. Memajukan bangsa. Memajukan budaya. Kepincangan akan meruntuhkan bahagian yang lain. Tempang tidak seimbang. Dalam kita berlari membina menara kita selalu lupa membina dasar kukuh bersandarakan agama dan bangsa.

Pendidikan
Pendidikan bukan sekadar untuk distandardkan pandai. Pendidikan harus juga dilihat sebagai kemampuan membuat pilihan yang relatif  menasabah. Semua yang beraspirasi untuk menjadi artis perlu terlebih dahulu memiliki pendidikan akademik yang wajar. Mungkin sains dan teknologi. Mungkin dalam bidang agama. Mungkin dalam bidang seni halus seperti lakonan, penulisan skrip, pengurusan seni dan sebagainya. Dalam setiap aspek pendidikan itu akan disusun aspek etika, seni, perundangan, pengurusan, penyelesaian masalah dan membuat keputusan. Mereka yang terlatih akan lebih matang berfikir untuk membuat keputusan yang bermanfaat untuk dirinya. Untuk industri. Untuk agama dan bangsanya. Lebih tinggi kelayakan seseorang itu lebi besar ideanya. Lebih tinggi garapannya. Lebih besar nilai seni yang diraihnya. Bing Cosby umpamanya memiliki Ph.D. dalam bidang pendidikan. Sebab itu lakonan dan siri TVnya bersalut psikologi. Mendidik dan berfikir dengan kritis. Malah kanak-kanak yang terlibat dalam sirinya dibenarkan bersuara menyatakan isi hatinya seperti mereka yang dewasa. Kanak-kanak dilatih untuk menjadi lebih matang dari usianya.

Skrip dan Arahan
Kadang-kadang kita berhadapan dengan cerita yang baik. Mendidik dan memiliki nilai pendidikan. Cumanya pengarahannya selalu memasukkan unsur negatif. Remaja yang kenakalannya di tahap melampau. Perlakuan lucah dan di luar batas akhlak mulia. Senario yang tidak menggalakkan seperti di disko. Pakaian yang hilang nilai agama dan nilai bangsa. Pemarah, biadap, kasar dan kurang berfikir. Skrip dan pengarahan perlu mengambil apa-apa yang baik dan perlu untuk mengembangkan minda khalayak. Audien yang berbagai tidak kesemuanya boleh dipuaskan. Tetapi biarlah sebahagian besar dari mereka berasa tertarik dengan falsafah, tatabahasa yang berseni, garapan plot dan subplot yang relevan. Perlu difikirkan sekuen yang santai dan natural. Bersandarkan realiti yang menasabah. Jangan biarkan Lembaga Penapis Filem sentiasa memegang gunting tajam untuk memotong mana-mana adegan yang tidak relevan tetapi lucah, ganas tahap melampau, pakaian yang terlalu menjolok mata, ungkapan mencaci agama, bangsa atau peribadi. Pengarah sendiri perlu arif dengan sensitiviti politik, agama, budaya dan masyarakat.

Panel Patuh-Syarie

Banyak yang perlu dilakukan untuk menjadikan industri hiburan bersandarkan kemunasabahan dari aspek agama, bangsa dan budayanya. Yang paling besar perlu dijaga ialah nilai agama. Menjaga hukum-hakam dan mendidik menjadi Muslim yang taat. Bukan sahaja pelakonnya dikenali sebagai patuh agama malah penonton dibawa ke arah itu. Kerajaan perlu membentuk panel patuh-syarie supaya skrip dan lakonan sejajar dengan ajaran Sunnah Wal-Jamaah. Bagi garapan di Malaysia sandaran kita ialah Syafie. Pengarah perlu belajar kewajaran Mazhab Syafie supaya arahannya tidak lari dari keperluan agama. Tidak menyimpang dari landasan budaya bangsa. Jangan menganggap agama sebagai mengekang. Anggap ianya sebagai peluang membina jambatan ke akhirat. Mencari redha Allah. Mencari rezeki yang halal. Ramai ulamak di sekeliling kita. Manfaat mereka supaya penglibatan mereka lebih menyihatkan industri hiburan tanahair. Secara jujurnya penulis tersangat lemas berhadapan dengan apa yang ada. Ramai juga orang lain berpendapat begitu. Ulamak sudah lama bersuara. Kenapa tiada yang hendak mendengar. Mengubah yang perlu. Apa salahnya meninggalkan yang tidak baik dan ambil pula yang baik. Tambah kebaikannya. Bukankah nanti bertambah nilai baiknya. Carilah redha Allah dan bukan redha manusia semata-mata. Ingatlah kita semua akan mati sudahnya. Kesemuanya akan berakhir walau apapun pegangan kuat kita. Yang akan kita temui akhirnya tentunya Allah. Allah tempat kembali.

Thursday, June 5, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Realiti Pengakhir Zaman



Penulis rasa terpanggil mengenai banyaknya gejala dalam masyarakat Islam sekarang ini. Kita mengalami konflik nilai yang berbagai dan sukar dirungkai. Ibarat sebuah gunung, apabila puncaknya tidak terurus secara Islamik maka lereng dan kaki gunung itu lebih dahsyat kecamuknya. Lebih sukar diurus. Penulis ingin kembali mengenangkan sejarah Umar Abdul Aziz. Khalifah yang sangat-sangat bertaqwa kepada Allah bukan sahaja dihormati oleh manusia bahkan haiwan ganas tunduk menghormatinya. Serigala tidak sewenang-wenangnya memakan haiwan ternakan. Kembara kita di alam maya ini sukar menemukan lagi mereka yang alim seperti zaman sahabat. Seperti Umar Abdul Aziz. Islam sangat subur dan kuat. Menyerlah hingga pancaran dakwahnya menyerkap peradaban manusia ketika itu. Ribuan tahun Islam membina tamaddun hingga Barat celik mata. Celik minda.

Namun begitu seperti kata Golda Meir, Perdana Menteri Israel ke-3, kita adalah umat Islam yang menjadi menjadi umat yang sangat lena. Tidur nyenyak dan sukar bangunnya. Tenggelam dalam mimpi indah mengenang zaman. Banyak mengenang yang lama tanpa melakukan yang sewajarnya untuk terus mengungguli zaman. Israel melakukan terlalu banyak penghinaan ke atas umat Islam. Kita hanya pandang dan dengar. Mungkin hanya hati yang berkata-kata. Tiada apa-apa tindakan. Apabila Allah hantar Flexia Yeap ke khalayak Islam Allah Yang Maha Mengetahui memaparkan kepada kita bahawa nilai-nilai Islam yang baik itu dimaklumi oleh mereka yang bukan Islam. Kesediaan mereka menerima pakai nilai Islam tentulah ironis kerana yang Islam menolak untuk berbuat demikian.

Kewajaran Muslimah menutup aurat seperti tidak mendapat tempat di hati. Pakaian Barat yang bercanggah dengan syariah juga yang dikatakan hebat. Dikatakan anggun. Dikatakan menarik. Flexia Yeap memberikan kita suatu tanggapan bahawa ianya pengajaran. Boleh juga tempelak Allah kepada kita. Boleh juga amaran bahawa zaman akan berakhir tidak lama lagi. Zaman manusia melupakan Allah. Zaman manusia menolak Allah. Zaman manusia tidak lagi mahu tunduk kepada kekuasaan Allah. Di Barat berbondong-bondong cerdik pandai mereka memeluk Islam. Mengetahui bahawa yang benar hanyalah Islam. Yang indah itu Islam. Yang mendamaikan itu Islam. Dunia Islam menjadi terbalik apabila yang Islam lari dari yang hak. Mencari mencari alternatif yang selamanya tidak layak dicari. Tidak layak dianuti kecuali Islam yang sudah Allah sempurnakan ke atas Rasulallah dan umatnya ribuan tahun dahulu.

Kita hilang malu apabila berhadapan dengan realiti. Kita menganggap yang tulen sebagai kaca. Yang berlian dikata batu. Yang hak tidak dipercaya. Yang dicari adalah hal-hal sampingan yang remeh tanpa ada nilainya di sisi Allah. Tidak pernah diajar oleh Nabi Muhammad. Tidak pernah dipanjangkan oleh sahabat. Tidak juga ajaran Tabi’in dan Tabi’ Tabi’in. Rasanya puas ulamak mengingatkan akan perlunya Muslimah menutup aurat. Menutup selengkapnya tubuh badan mereka kecuali muka dan kedua tapak tangan. Dengan pakaian yang longgar untuk melindungi bentuk susuk tubuh. Bak kata umalak, apa-apa yang dibungkus cantik tentulah lebih cantik dari yang tidak dibungkus. Malah yang dibungkus ala kadar tidak juga menarik. Mungkin melihat isi di dalam itu ada manfaatnya tetapi itu cukup untuk barangan yang bukan tubuh manusia. Tubuh manusia ada hadnya dan ada haknya.

Kita terpanggil untuk melihat ke dalam persekitaran Islam kita. Dari luar kita diasak dengan berbagai himpitan kebudayaan yang bukan Islamik. Yang memperlihatkan kecantikan luaran yang gemerlapan. Pancawarna yang melampaui warna pelangi. Tetapi tiada nilainya di sisi Allah. Begitu juga kita meronta-ronta dari dalam. Nafsu kita kalah kepada kewarasan berfikir. Lalu kita melakukan hal-hal yang di luar kewajaran. Nafsu kita yang kuat mengkehendaki yang bukan haknya. Akal kita lemah untuk membuat piilihan. Kenapa?

1   Kita lemah dari segi pendidikan akal. Lemah intelek. Lemah mendidik akal.
2   Kita lemah  dari segi pendidikan agama. Kawalan persekitaran agama juga  
     gagal disemarakkan.
3   Sosial kita sudah lama runtuh. Orang dewasa tidak ramai yang mahu        
     mengasuh. Orang muda pula gagal diasuh.

Mencari redha Allah ada jalannya yang tersendiri.  Ada syariatnya. Ada prosedurnya. Ada ilmu yang mutawatirah dari dahulu hingga sekarang. Ramai ulamak yang boleh membimbing. Tetapi seperti suatu yang ganjil apabila yang selalu dirujuk adalah mereka yang bukan dalam kategori tersebut. Perbincangan mengenai agama selalu sangat dirujuk kepada mereka yang bukan dalam bidang agama. Logik akal tidak boleh mengatasi logik agama. Ilmu agama memiliki kecedasannya yang tersendiri. Ada kaedah untuk memahami mengikut caranya yang tersendiri. Ulamak selalunya mengerti limitasi diri mereka sendiri. Mereka menghadkan bicara kerana takut tergelincir dari apa yang mereka faham. Bukan apa yang mereka tahu. Yang bukan ulamak pula terbuka menyandarkan hujjah kepada logik akal semata-mata. Logik Allah seperti dicatat dalam Al-Quran tidak dipakai.

Maka yang kita lihat ialah penganut Islam dengan segala kepincangannya. Seperti kata seorang sahabat penulis, seorang mualaf, “Jika saya melihat orang Islam saya tidak tertarik untuk memeluk Islam. Saya memeluk Islam kerana melihat kebaikan dalam Islam.” Perit juga telinga dan hati mendengar hujjah sebegitu. Itulah realitinya. Mereka yang bukan Islam tidak tertarik dengan ciri-ciri kita yang Islam. Terlalu banyak negatifnya. Mari kita lihat situasi berikut:

1                  Ramai pemuda Islam tertarik kepada nafsu jahat terhadap wanita Islam. Di mana silapnya?
2                  Ramai wanita Islam tidak tertarik kepada pemuda Islam. Di mana silapnya?
3                  Ramai anak muda Islam tertarik dengan ajaran agama lain. Kenapa?
4                  Ramai pula anak muda yang bukan Islam tertarik dengan Islam. Bagaimana hal sebegitu boleh terjadi?


Apakah kita hilang jatidiri Islam? Apa lagi yang boleh dipertahankan. Kembalilah kepada pewaris anbia. Sementara mereka masih ada. Kita belum terlambat sebelum mereka diangkat Allah meninggalkan kita tanpa guru. Tanpa pengasuh. Tanpa pembimbing. Tanpa pendidik. Semoga Allah mempermudahkan kita.

Friday, May 30, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Kembali Menjaga Tepi Kain Orang

Kita sudah sekian lama tidak menjaga tepi kain orang. Semua orang marah jika kita berbuat begitu. Kita kehilangan satu antara sifat baik dalam Islam. Menggalakkan yang baik dan mencegah kemungkaran. Zaman penulis kecil-kecil dahulu orang kampung peka dengan hal di sekeliling mereka. Mereka mengetahui yang baik dan yang tidak baik. Nasihat menasihati dan tegur menegur adalah perkara biasa. Maka keadaan di sekliling agak bebas dari maksiat. Mungkin berlaku tetapi tidak berleluasa. Atau sangat tersembunyi. Sentiasa dalam kawalan. Banyak mata yang melihat. Ketua kampung ada peranan besar mengawal keadaan. Imam juga selalu dirujuk untuk membetulkan keadaan. Jika ada seorang atau dua guru lagilah besar peranan mereka. Menjadi orang besar di kampung. Orang tua-tua pula bukan disifatkan seperti Quran buruk. Mereka adalah Quran yang dirujuk. Agama mendapat tempat yang tinggi. Menjadi keutamaan. Apa yang berlaku di kalangan jiran tetangga menjadi sebahagian dari tanggungjawab bersama. Tidak ramai yang berkata, “Jaga kubur masing-masing.” Atau, “Jaga kain masing-masing.” Sifat kebersamaan tetap tinggi. Malah itulah kehidupan mereka sebenarnya. Bersama. Bergotong royong. Yang senang sama senang yang susah dikongsi bersama.

Pendidikan sedikit sebanyak mengubah lanskap kebersamaan itu. Nilai Barat menyerap masuk. Timbul konsep privacy. Yang lain pula galak dengan hak asasi. Maka timbul larangan, “jangan jaga tepi kain orang.” Hingga akhirnya sekarang ini guru-guru seperti dilarang menjaga masa hadapan anak didik mereka. Jika terlebih ajar maka ibu dan bapa tergamak menyaman guru. Jiran tetangga menutup dunia mereka sehingga tidak maha diganggu oleh jiran tetangga yang lain. Sekarang ini keadaan semakin menjadi terlalu private. Menjadi terlalu keakuan sehingga banyak musibah yang berlaku mengakibatkan kematian. Mengakibatkan kerosakan keturunan. Kemajuan dan harta benda tidak menjamin kebahagiaan yang hakiki. Pendidikan yang tidak menjurus ke jalan sirat al-mustaqim juga tidak menjamin adanya agenda selamat dunia ada akhirat. Dunia kita menjadi sempit kerana dijebak oleh persekiaran yang kita cipta sendiri. Persekitaran yang hak yang telah dirubah menjadi persekitaran yang bukan hak.

Benarlah sabda Nabi bahawa pada akhir zaman umat Islam sangat ramai tetapi menjadi buih-buih yang mudah lenyap ditiup angin yang paling perlahan sekalipun. Mengalir tanpa ada arah sendiri. Dibuai arus perdana yang tiada haknya. Dalam Islam jiran adalah antara hak yang besar di kalangan jiran-jiran yang lain. Apa-apa yang berlaku kepada jiran perlu diambil tahu. Bukan untuk menyibuk tetapi untuk menjaga kesejahtaraan sesama jiran. Untuk sama-sama menjaga keharmonian kejiranan. Untuk sama-sama menjaga kebahagian masing-masing. Seorang jiran membantu jiran yang lain. Malah agama menyifatkan jiran seperti lebih tinggi dari saudara mara yang jauh dari tempat tinggal kita. Hak mereka terlalu banyak untuk dipenuhi. Sakit mereka adalah tanggungjawab kita untuk sama-sama menziarahi. Membantu mana yang perlu. Makan dan minum mereka perlu dilihat. Jika tidak makan, kita dan jiran yang lain perlu membantu. Begitulah dalam hal-hal lain yang menyangkut kepada kesejahteraan keluarga masing-masing. Perlu diambil tahu. Perlu dijaga tepi kain mereka. Alangkah malangnya apabila jiran mengatakan, “Kami dengar bising-bising tetapi tidak berani hendak masuk campur. Takut mengganggu.” Atau, “Kami ingat seperti orang lain. Mereka marahkan anak mereka.” Atau, “Kami tahu maksiat berlaku tetapi tidak terdaya untuk berbuat apa-apa.”

Kata-kata seperti itu adalah cerita sejarah. Diungkapkan apabila keadaan sudah tiada lagi gunanya. Anak jiran sudah menjadi jenazah. Isteri jiran sudah terbunuh. Pembantu rumah jiran sudah hancur badannya. Kita tidaklah boleh hanya menjadi penonton. Menjadi saksi tanpa suara. Memang kita tanpa kuasa tetapi banyak ikhtiar lain yang boleh kita lakukan. Dalam simpanan kita mesti disenaraikan nombor-nombor telefon berikut:

1 Ketua kampung atau taman.
2 Imam.
3 Polis.
4 Jabatan Kebajikan Masyarakat.
5 Talian Nur.

Ambil tahu hal jiran. Bukan hal peribadinya. Membantu mententeramkan hal-hal yang tidak wajar dari luar. Sekurang-kurangnya dari jauh. Awasi mereka dengan kewajaran yang perlu. Dengar-dengar apa-apa yang tidak enak dan boleh menjadi musibah. Hidu apa-apa yang tidak baik. Naluri kita mestilah superaktif. Jangan terlalu reaktif sehingga keadaan sudah tidak boleh diselamatkan lagi. Malang dan sangat malang. Sesuatu yang tidak baik bukan berlaku secara spontan sahaja. Pada kebanyakan masa ianya berulang-ulang. Ramai jiran yang mengetahui. Apabila jeritan melamapaui kebiasaan, segeralah bertindak. Jaga tepi kain kejiranan untuk mengelakkan musibah menimpa sesama jiran. Apabila memukul anak melebihi kebiasaan maka penderaan sudah berlaku. Apabila yang kecil tidak diredakan maka ianya boleh merebak menjadi sesuatu mala petaka. Atau musibah yang mengerikan. Atau fatiliti yang sebenarnya boleh dielak dengan izin Allah.

Ini bermakna menjaga tepi kain orang lain bukan mencari keburukan orang lain. Tujuannya untuk menghindar keburukan daripada berlaku sedangkan kita boleh mencegahnya. Atau memainkan peranan untuk mencegahnya. Atau boleh memainkan peranan untuk meminta orang lain membantu mencegahnya. Atau meminta pihak yang berkuasa untuk mengambil tindakan yang wajar. Keperihatinan kita mestilah tinggi. Kita kena sensitif dengan petaka yang mungkin terjadi di sekeliling kita. Sekiranya apa-apa berlaku kita juga tidak terlepas dari soalsiasat. Kita juga tidak terlepas dari sesalan kerana tidak menjaga tepi kain jiran kita. Apabila sesuatu yang buruk telah berlaku sesalan tiada gunanya. Musibah tidak dapat dikembalikan menjadi sesuatu yang membahagiakan. Kenapa tidak kita bahagiakan jiran tetangga kita selagi kita terdaya untuk melakukannya. Walau bagaimana sekalipun kita bukan penentu segala kebaikan yang bakal berlaku. Allah yang mendatangkan kebaikan. Kita berusaha untuk memainkan peranan sebagai jiran yang bertanggungjawab. Kepada Allah dan RasulNya dan kepada jiran tetangga kita sendiri.

Begitulah apabila kita diperlukan kembali kepada agama. Banyak suruhan agama yang perlu kita lakukan dengan sempurna. Ajatran dan amalan agama sangat lengkap dan terperinci. Andainya kita jinak dengn agama maka Allah akan menjaga kita. Kita menjaga hak Allah maka Allah melindungi kita. Apabila kita ingat Allah maka Allah lebih lagi ingatNya kepada kita. Kembalilah kepada agama. Kepada Allah dan RasulNya. Cukuplah khayalan kita mengenai dunia yang fana ini. Tidak ke mana. Kita hanya berputar di sekeliling dunia yang kita cipta sendiri. Terlalu kecil dan terlalu sempit. Kita mudah lemas di dalamnya. Kembalilah ke dunia yang Allah ciptakan untuk kita. InsyaAllah akhirat menanti dengan penuh kebahagiaan yang bersifat infiniti. Tiada kesudahannya.

Tuesday, May 27, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Menghalalkan Makanan Halal

Islam menyuruh kita makan makanan yang halal dan toyyibah. Garis pandauannya cukup jelas. Pemisah antara halal dan haram juga jelas. Malangnya kita kalah antara ilmu dan nafsu. Kita juga kalah apabila malas untuk berfikir. Apabila kesemua perkara diserahkan kepada ulamak agama maka tanggungjawab mengenai fardu ain yang sepatutnya digalas oleh ulamak sains tidak dilaksanakan. Malah kadang-kadang tidak difikirkan. Sejak dari dahulu lagi penulis selalu sangsi dengan produk makanan yang tidak dikeluarkan oleh usahawan Islam. Usahawan yang mengerti tuntutan Islam. Mengerti selok belok Islam. Patuh syarie. Mana mungkin produk makanan untuk orang Islam dibuat oleh mereka yang bukan Islam. Sepatutnya kita yang Islam sentiasa waspada. Perlu syak wasangka. Apabila produk makanan dikeluarkan oleh mereka yang bukan Islam banyak proses dan prosedur yang tidak patuh syarie. Kita menagambil mudah konsep bersih, suci dan halalan toyyibah. Sekarang kita terjebak dalam konflik yang dalam dan mengerikan.

Makanan yang tidak halal sudah menyerap dalam tubuh badan kita. Sudah mendarah daging. Menjadi tulang belulang. Mengalir dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Seluruh nafas kita mengandungi unsur-unsur yang haram. Natijahnya terlalu banyak. Implikasinya terlalu berat. Musibahnya terlalu mendesak. Sedikit demi sedikit anak-anak kita liar dari agama. Sukakan hal-hal yang tidak baik (sifat asal haiwan tersebut). Sifat mengawan yang melampaui batas halal (juga sifat asal haiwan tersebut). Berminat berkerumun menghurung hedonism. Apa yang tinggal? Makanan dan ubat-ubatan kesemuanya mengandungi bahan dari haiwan yang sama. Malah rokok yang jelas diharamkan tidak dipedulikan orang Islam. Sudah dijelaskan berkali-kali bahawa di dalamnya terdapat DNA haiwan yang sama. Selain daripada racun dan dadah berbahaya. Perokok tegar terus dengan hisapan haram. Di kampung merokok jadi adat. Jadi madat. Siapa pun tidak ada yang ambil pusing.

Dalam hal ini kita tidak boleh menuding jari kepada orang lain. Baik kita berhenti sejenak. Brek. Mungkin kita yang banyak melakukan kesalahan. Kesemua kita terlibat mengakibatkan kesemua mala petaka ini berlaku. Terlalu sedikit antara kita yang terlepas dari dakwaan tidak terlibat. Cuba fikirkan dari aspek usahawan, kepenggunaan, kepimpinan dan politik.

Usahawan:
1 Berapa ramai antara kita yang terlibat dalam industri makanan.
2 Jika terlibat, dalam sektor yang mana.
3 Setakat mana usaha untuk mengembangkan industri yang sudah diceburi.

Kepenggunaan:
1 Sejauh mana pengguna memahami konsep halal dan haram dalam makanan.
2 Kenapa pengguna lebih berminat dengan kelazatan yang tidak halal.
3 Kenapa mereka memilih produk yang perlukan logo halal sedangkan pembuatnya bukan Islam.
4 Kenapa terlalu prasangka dengan produk halal orang Islam sendiri.
5 Perlukah makanan dan minuman yang sifatnya mewah tetapi tidak tentu halalnya.
6 Bukankah makanan dan minuman import di luar kawalan halal.

Kepimpinan:
1 Apakah usaha untuk membawa umat ke arah berkecukupan dalam makanan halalan toyyibah.
2 Apakah dasar selamat untuk industri makanan untuk umat Islam.
3 Adakan pasukan pemantau dari kalangan ahli akademik yang ramai di IPT.
4 Wujudkan makmal kajian yang dapat melibatkan pelajar dan staf akademik di mana-mana institusi pelajaran sama ada di sekolah menengah atau di IPT.
5 Konsep mengekalkan bekalan makanan ini hendaklah berterusan. Tolong jangan hangat-hangat tahi ayam.

Politik:
1 Perlunya difikirkan dasar makanan halal.
2 Kembalikan kepada Islam.
3 Jawatankuasa patuh syarie dalam setiap kilang makanan halal.
4 Ramaikan pakar dalam kejuruteraan kimia khususnya untuk industri makanan.
5 Mula dan perluaskan industri yang mengeluarkan bahan atau unsur untuk membuat makanan halal dalam negara.
6 Kerjasama serantau atau dengan negara Islam yang lain demi ummah sejagat.
7 Beri definisi yang tepat dan terperinci mengenai berbagai bahan seperti pengawet, penaik, pewarna dan lain-lainnya.

Tidak cukup dengan hanya: Pewarna yang dibenarkan. Pengawet yang dibenarkan. Penaik yang dibenarkan. Nyatakan nama atau simbol saintifiknya supaya dapat dikesan dan disahkan status halalnya. Pengalaman penulis hanya di Amerika Syarikat sahaja label makanan sangat terperinci. Umpamanya dalam semua jenis roti terdapat berbagai bahan seperti minyak sayur atau haiwan, penaik sayur atau haiwan. Oleh kerana di sana label makanan dan minuma sangat jelas maka pengguna dapat memilih yang halal. Untuk makluman, orang Yahudi sangat teliti tentang makanan. Mereka mengelak dari bahan-bahan dari haiwan walaupun hati mereka tidak secantik makanan mereka. Memang benar hampir kesemua makanan mengandungi bahan dari haiwan yang sama. Ubt gigi, sabun mandi, ais krim dan lagi dan lagi dan lagi. Malangnya di Malaysia kita dihijab dari mengetahui yang mana halal dan yang mana halal. Kita menyangka logo halal Jakim dapat melidung dan menyelamatkan kita. Pada hakikatnya tidak begitu. Ilmu da agama yang lebih boleh diharap menjadi perisai dari cabaran makanan yang tidak halal.

Kita perlu menggerakkan seluruh kekuatan yang ada untuk reaktif dan proaktif dengan keadaan malang yang menimpa umat Islam. Keangkuhan kita menyebabkan kita terjebak dalam makanan dan minuman yang tidak halal. Jika langkah drastik tidak diambil maka isu ini akan berpanjangan. Ayuhlah sama-sama kita buka mata. Buka minda. Buka langkah yang boleh membawa kita keluar dari kemelut makanan ini. Bagaimana?

1 Pendidikan Islam diperkukuh supaya orang Islam sangat peka dengan ancaman di sekeliling mereka terutamanya makanan dan minuman yang tidak halal.
2 Pendidikan sains diperkukuh. Penulis mencadangkan supaya semua pelajar Islam diwajibkan mengambil matapelajaran kimia hingga ke peringkat SPM. Aspek makanan dan minuman diberi fokus yang utama. Apabila tamat sekolah ramai rakyat yang boleh menjalankan ujikaji sendiri untuk menentukan makanan dan minuman mereka halal atau tidak.
3 Wujudkan gadjet mudah dan murah untuk mengesan DNA haiwan haram dan alkohol. Mudah dibeli dan mudah digunakan.
4 JAKIM perlu mengedarkan senarai makanan dan minuman haram dari masa ke semasa. Pemimpin agama di negari, daerah dan kampung menampal senarai itu di premis idabat. Edarkan juga ke setiap tangan mereka yang Islam.
5 Ibu dan bapa pantau apa yang dimakan dan dimiunm oleh anak-anak.

Akhirnya yang perlu kita fikirkan ialah berfikir semula. Menilai semula. Menyenaraikan semula keutamaan kita. Kita bukan sahaja berhadapan isu halal dan haram bahkan juga melibatkan tempat makanan itu dijual atau dihidang. Premisnya juga perlu halal. Kehadiran haiwan haram selalu mengganggu sumber makanan halal untuk umat Islam. Bekas membungkus atau menghidang. Tempat menyimpan. Alat pengangkutan. Pengendalian dan penyusunan. Ada yang lebih utama:

1 Berhenti membeli makanan yang bukan produk Muslim.
2 Tidak membeli makanan dan minuman dari premis bukan Islam.
3 Logo halal hanya untuk usahawan Muslim kerana yang bukan Muslim sukar untuk patuh syarie.
4 Masak sendiri kebanyakan makanan. Ibu dan bapa serta anak-anak bergilir-gilir memasak di rumah.
5 Berhenti dari hidup secara Barat. Belum tentu makanan ala Barat nyata halalnya.

Makanan dan minuman halal sangat diperlukan. Ibadat kita berkait dengan makanan dan minuman itu. Bukan susah. Ingat Allah dan Rasulallah selalu. Jadikan ianya penghalang supaya kita tidak lagi menginginkan sesuatu yang belum tentu halalnya. Yang halal lebih banyak dari yang tidak halal. Jadikan diri kita panjang akal dan bukan pendek fikir. InsyaAllah kita berjaya kita ada usaha ke arah kebaikan.