Friday, June 13, 2014

Siri Tiga: Membina Keluarga Berbeza Zaman



Di Masjid Besi, Putrajaya. Pasca kemerdekaan yang tidak pernah terimpi sewaktu memperjuangkannya dahulu. Yang tertancap di sanubari hanyalah keghairahan membebaskan negara dari British. Keluar dari lambang kelemahan bangsa.


Siri Ketiga:


Hidup berkeluarga sudah menjadi fitrah manusia sejak dari Adam dan Hawa. Haji Abas bernikah dengan seorang gadis pingitan desa yang dikenali dengan nama Sinah. Berketurunan Banjar. Manis dan cantik orangnya. Pada mata Haji Abas, Sinah seperti secantik Azizah pujaan allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Mereka sepadan bak pinang dibelah dua. Sama tinggi bila berdiri. Sama rendah bila duduk. Menjadilah pasangan ideal di Parit Sulung. Jauh dari keributan bandar. Belum dibangunkan seperti sekarang. Pernikahan itu direstui kedua keluarga. Hasrat besar untuk membina mahligai bahagia rupanya sehalus sutera yang nipis. Ada halangan kasih yang tidak mendatang. Ada penjara diri yang tidak memberi sayang. Terhalang bina bangun sebuah bahagia. Jodoh mereka tidak panjang. Terlerai sebuah ikatan tanpa selisih. Pernikahan itu tidak menghadiahkan seorangpun cahayamata. Kekal berbaik walaupun bercerai hidup. Jodoh tidak dapat mengikat mereka. Sayang.

Mencari ganti bukan semudah menukar pakaian. “Di mana kan ku cari ganti?” tanya P. Ramlee. Lama juga menduda sehinggalah dipertemukan jodoh kedua dengan seorang wanita lain di Parit Jawa. Mendapat anak seorang lelaki. Dinamakan Ismail. Sekali lagi Haji Abas terdampar bahagianya. Isteri keduanya meninggal sewaktu anaknya masih kecil lagi.  Aduhai! Tentu sahaja remuk sebuah hati. Luluh menghancur badai sayang. Yang memutus tali kasih. Yang melerai tambatan dua jiwa. Untuk kedua kalinya Haji Abas berkelana hatinya. Membawa sisa-sisa hati yang payah. Merawan duka dan lara. Mengenang nasib yang belum menjadi. Yang belum memberi bahagia. Mencari ganti banyak payahnya.

Di Parit Maimun Haji Abas menemui seorang gadis desa yang sudi menerima hamparan hatinya. Menikah lagi dengan Aminah yang berkekalan sehingga sekarang. Ketika masing-masing sudah melampaui zaman tua. Ketika itu Hajjah Aminah bertiga beradik. Yatim piatu kerana kedua-dua ibu bapanya telah meninggal dunia. Mereka hidup bersama nenek mereka. Kebetulan rumah nenek mereka berhampiran dengan rumah bapa saudaranya yang bernama Haji Asmawi. Berhampiran pula dengan rumah sepupu Haji Asmawi yang bernama Haji Gumbri. Berhampiran juga dengan rumah Penghulu Salleh yang terkenal di Simpang kiri. Kuala Parit Maimun ketika itu sibuk. Terdapat sebuah jeti. Di seberang sungai adalah kuala Parit Gawung. Terdapat Sekolah Kebangsaan Sungai Nipah. Parit Maimun-Sungai Nipah agak meriah dengan keriuhan sekolah. Dengan adanya kedai-kedai runcit. Kedai makan. Begitu juga ramai dengan mereka yang seberang-menyeberang untuk ke kampung-kampung yang berdekatan.

Bersama Hajjah Aminah Haji Abas dikurniakan 10 orang anak. Dua darinya telah meninggal dunia sewaktu kanak-kanak. Lapan yang masih hidup. Maka sembilan oranglah anak Haji Abas yang hidup hingga dewasa. Anak sulungnya yang bernama Ismail telah meninggal dunia beberapa tahun yang lalu. Meninggalkan seorang balu dan seorang anak angkat. Yang masih ada sekarang ini adalah anak-anak Hajjah Aminah. Perkongsian hidup mereka inilah yang melahirkan puluhan cucu dan lebih 100 orang cicit. Sudah ada piut. Mereka melahirkan lima generasi. Banyak statistik keluarga yang mungkin tidak diketahui oleh cucu dan cicit. Sejarah silam yang tidak diulang cerita. Tiada selampit untuk melagukannya. Kepada Haji Abas ianya hanya cerita lama. Dikenang tetapi bukan untuk dirayu kembali.

Dari Hajjah Aminah lahirlah Rugayah, Arfah, Madzlan, Maznah, Maslan, Noriah, Ramlan dan Norazah. Lima anak perempuan dan tiga anak lelaki. Zaman banyak berubah. Jika dahulu anak-anak hidup di sekeliling ibu bapa tetapi anak-anak Haji Abas hidup berjauhan dengan beliau. Jika dahulu berdua sekarang juga berdua. Anak cucu sahaja yang kekadang menjenguk induknya. Bersilih ganti bertanya khabar. Menyukakan diri mereka. Tentu sunyi apabila keriuhan yang dahulu sudah lama tiada. Andainya ada jadual menjenguk hadir, tentu setiap minggu ramai yang datang ziarah. Tidak bersama adalah suatu kerugian. Tidak menjenguk adalah suatu kerugian yang berganda. Usia 100 tahun bukan boleh bertahan lama. Tataplah bak menatap Kaabah. Di sebalik wajah tua itu banyak tersalut rahsia hati. Banyak senarai payah yang tidak tertulis.

Apabila induk semakin tua, anak cucu juga diheret tua. Kitaran keluarga Haji Abas berterusan membariskan warisan perjuangannya. Menderapkan semula gelora memperjuangkan wadah kehidupan pasca kemerdekaan. Mengenali hati nurani tuanya Haji Abas tentu mengujakan generasi warisan keluarganya untuk berbakti kepada negara. Kepada bangsanya. Jika dahulu dia hanya terlibat sekarang ini warisan keturunannya terlibat secari langsung menyumbang bakti. Belajarlah dari penglibatan indukmu. Menyumbang bakti bukan kerana ganjaran. Bukan kerana imuhan. Bukan kerana pangkat. Bukan kerana puji dan puja. Bukan kerana desakan dan paksaan. Berbaktilah kerana ianya diperlukan. Kuantitinya perlu lebih besar. Kualitinya perlu lebih baik. Darjahnya perlu lebih tinggi. Perjuangan Haji Abas perlu disegarkan semula. Dikitar semula untuk menjadi sumber perjuangan generasi muda yang selalu tumpul semangatnya.


Hajjah Arfah, anak kedua Haji Abas besama Hajjah Aminah, bersama anak lelakinya, menantu dan cucu-cucu

No comments:

Post a Comment