Sunday, January 26, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Memperhemah Kemewahan



Malaysia negara banyak sumber asli. Kaya dan banyak. Sejak merdeka pada 31 Ogos 1957 kekayaan kita Allah limpahkan kepada kita. Malangnya limpahan itu tidak turun ke bawah. Tidak sampai kepada rakyat di bawah. Jika kita senaraikan, sumber asli kita terlalu banyak. Pada kewajarannya kita semua menikmati kemewahan yang luar biasa. Namun kesemuanya menjadi mimpi-mimpi indah yang tidak tercapai tangan.
1                 Minyak kita gred baik. Harganya mahal dalam pasaran dunia. Hasil minyak yang banyak itu sepatutnya kita belikan minyak gred rendah untuk keguanan kita. Untung atau lebihannya untuk buat pembangunan. Kita sepatutnya menikmati harga minyak yang rendah. Maknanya hasil minyak melimpah hingga ke bawah. Tidak diempang di peringkat atas. Tiada tirisnya ke bawah. Mungkin minyak dianggap milik negara. Rakyat tidak berhak mendapat apa-apa manfaat darinya.
2                 Getah: tayar, sarung tangan dan kondom (maaf: fakta dan hakikat). Kesemuanya adalah tukaran wang asing yang besar. Kita pengeluar terbesar sarung tangan. Pengeluar (maaf sekali lagi) terbesar kondom dunia. Barakah getah asli.
3                 Kelapa sawit: minyak, margerin, sabun, susu, alat solek dan perubatan. Minyak sawit seperti emas pada pepohonan kayu.
4                 Perabot: kayu getah. Jika dahulu kayu getak hanya layak sebagai kayu untuk memasak sekarang ini ianya menjadi perabot yang menjadi kegilaan di Barat. Kita tidak menebang hutan sebaliknya menggunakan kayu yang ditanam. Memulihara alam sekitar. Sesuai dengan propagasi mereka untuk memelihara hutan.
5                 Tekstil. Kita eksport pakaian siap ke Barat dan US. Hasil tukaran asing yang besar.

Jika kita jumlahkan kesemuanya kita terasa kaya. Namun hanya usahawan sahaja yang menikmati kemewahan. Sesungguhnya Teori Pareto masih benar hingga sekarang. Mengikut teori ini hanya sekelompok kecil warganegara yang menikmati sejumlah besar ekonomi sesebuah negara. Jika sumber asli dapat diurus dengan baik, hasilnya dapat diagih kepada mereka di peringkat bawah dalam bentuk pendapatan lebih tinggi atau dengan kos kebanyakan keperluan yang lebih rendah. Dalam jangka panjang kos hidup dapat dikurangkan. Sebaliknya taraf hidup dapat ditingkatkan.

Perindustrian perkilangan: intensif modal vs intensif buruh. Sudah terlalu lama kita ketinggalan. Teori ini penulis pelajari semasa menuntut di Universiti Malaya pada tahun-tahun 1975-78 dahulu. Sudah lebih 35 tahun. Teori itu pula sudah lebih awal sebelum penulis pelajari. Maknanya sesudah teori itu diperkenalkan kita ketinggalan arusnya sejak lebih 50 tahun yang lalu. Jika diandaikan peluang pekerjaan tidak banyak, mengapakah pula berlaku lambakan pekerja asing. Jika diandaikan peluang pekerjaan mencukupi mengapa sukar mendapat pekerjaan bagi anak tempatan. Banyak persoalan ekonomi dan persoalan dasar ekonomi itu sendiri.

Perdagangan: pasaran baru. Kita masih terus-terusan menumpukan pandangan kita kepada pasaran tradisi. United Kingdom dan USA. Pasaran-pasaran lain tidak diteroka. Mungkin tidak yakin. Mungkin juga kita terlalu selektif. Sifat manja tajaan British. Di Kaherah penulis kadang-kadang terpandang proton Saga, Proton Wira, Waja, Kembara, Kancil, Pesona dan CamPro. Sesekali. Sebuah-sebuah. Tetapi hati penulis menjadi iri melihat Hyundai, Toyata dan banyak lagi kereta Jepun dan Korea yang memenuhi jalanraya dan di tepi-tepi jalan. Konsepnya berani, aggresif, pecahkan semua tembok halangan dan akhirnya “cakap mestilah serupa bikin.”

Pelancongan: syarie. Dunia semakin sesak nafas. Umat Islam tidak ramai yang peka tentang keperluan pelancongan syarie. Bebas dari hal-hal yang dilarang.
1                 Bebas dari makanan haram.
2                 Bebas dari maksiat kejantinaan.
3                 Bebas dari aktiviti melalaikan seperti konsert dan sebagainya.
4                 Bebas dari mendedahkan aurat.
5                 Bebas dari menggunakan alat dan bahan terlarang.
6                 Banyak aktiviti ibadat.

Bila agaknya kita dapat menikmati kesemua itu. Di hadapan mata kita. Semasa usia kita masih ada.  Aspek kehidupan Islam selalu terabai. Terpinggir di tepi. Diletak di samping. Ditinggal jauh di belakang. Sikap kita begitu. Malu dengan apa yang kita ada. Kita kendung dan kelek orang punya. Kita cicirkan milik kita sendiri. Malu yang sangat tidak bertempat. Di negara orang apa yang mereka ada
diktiraf sebagai autentik. Diperagakan. Dikomersilkan. Mengkayakan budaya. Mengkayakan ummah. Mengkayakan negara. Kata masih banyak perlu belajar lagi. Mengubah anjakan paradigma yang lesu.

Aspek produktiviti kita masih di tahap rendah. Negara maju beranjak dari intensif buruh ke arah intensif modal. Sekarang ini kebanjiran warga asing membawa banyak ketidakseimbangan kepada sistem sosial.
1                 Budaya asing yang berbeza. Tingkah laku yang berbeza.
2                 Sistem kerja yang berbeza.
3                 Penyakit bawaan mereka yang tidak disaring dengan teliti.
4                 Jenayah yang semakin membanyak dan membesar.
5                 Inter-sosial yang tidak selari dengan budaya setempat.

Kerana itu kita banyak melihat kejanggalan dalam masyarakat. Jika tidak diteliti dan diperhalusi kita pula yang nantinya menyerap budaya asing ke dalam budaya kita. Anak-anak kita terpaksa belajar dari awal semula untuk mereka nanti cuba mengharmonikan antara budaya setempat dengan budaya baru yang dibawa dari luar secara tidak formal. Untuk mengurangkan lambakan pekerja asing sewajarnya kita mengorak langkah deras dan berani untuk memulakan secara besar-besaran ke arah intensif modal. Kita tumpukan kepada pekerja kita sendiri. Mahirkan mereka dengan teknologi tinggi. Salut mereka dengan sikap dan sifat rajin dan usaha. Tanamkan semangat membina ummah. Membina agama. Mencari syurga dalam ibadah bekerja.

Penulis membuat pemerhatian bahawa kita sebenarnya banyak melakukan keborosan, ketirisan dan pembaziran dengan terancang dan dalam situasi sedar. Maksudnya disengajakan. Apabila ada majlis pasti ada perasmian pembukaan dan ditambah pula dengan perasmian penutup. Budaya politik dimasukkan menjadi budaya majlis-majlisan. Selalunya majlis-majlisan sebegitu dalam bentuk yang grand (mewah), makan-makan tanpa objektif produktif. Tiada keuntungan timbal balas. Sanak saudara yang tidak berkaitan hadir sama. Tidak ada relevannya kehadiran mereka. Bajet perasmian, dua perasmian mencecah ribuan ringgit. Semakin tinggi taraf VIP ke VVIP maka semakin besarlah bajet yang diperuntukkan. Bayangkan statistiknya dalam setahun. Di seluruh negara. Bajet majlis-majlisan ini menelan kos berbilion ringgit. Dari Putrajaya hingga ke pedalaman di Pahang, sarawak dan Sabah. Sewajarnya majlis-majlisan ini terpilih. Ada keutamaannya. Berhemah membelanjakan wang rakyat. Yang berlaku hanya ketirisan dan pembaziran kerana ianya hilang bersama tamatnnya majlis itu sendiri. Ianya tidak manjana apa-apa nilai tambah.

Sejarah merakamkan bagaimana khalifah Umar Abdul Aziz memadam pelita negara dan menghidupkan pelita keluarga kerana takut terhadap dosa yang sentiasa dicatat malaikat Atid di sebelah kiri kita. Kita juga dimaklumkan bagaimana Allahyarham Tun Razak membawa anak-anak dengan belanja sendiri sewaktu membuat lawatan rasmi. Bukan dengan biaya kerajaan. Presiden Mesir yang digulingkan membiayai tambang isterinya berubat ke Arab Saudi. Dengan kapalterbang komersil. Sedangkan ketika yang sama beliau sendiri membuat lawatan ke Arab Saudi. Pada pendapatnya isterinya tidak berhak menaiki kapalterbang yang diperuntukkan kepada Presiden. Bukan isteri dan bukan anak-anaknya. Bukan saudara mara dan bukan rakan-rakannya.


Pembaziran, kebocoran dan ketirisan dapat dilihat dengan angka. Ada stastistiknya. Kita perlukan perubahan sikap dan akhlaq yang benar-benar cintakan Allh untuk mengubah diri kita ke arah yang lebih baik. Apa-apa yang kita pelihara akan kembali memelihara kita. Perjalanan kita ke alam barzah mungkin tidak lama tetapi perjalanan ke alam akhirat sangat lama.  Kebaikan yang kita lakukan semoga melindungi kita di alam barzah. Kita seharusnya berfikir untuk tidak menzalimi diri kita sendiri.

Tuesday, January 21, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Nilai Seorang Ibu



Ya, berapa nilainya. Siapa yang berani meletakkan harga. Akan ada yang mengatakan sedikit. Yang lain mengatakan tidak cukup. Fikir sejenak. Bolehkah seorang ibu dinilai dengan wang ringgit. Datangkanlah sebuah gunung emas kepadanya. Seorang ibu tetap memilih anak-anak dari emas itu. Hanya ibu yang kewarasannya menghilang sahaja sanggup menukar anak dengan emas. Soalnya, kenapa seorang ibu perlu dinilai. Di mana letaknya ibu di hati kita. Cukupkah dengan wang sejuta atau dua juta ringgit. Banyak? Oop! Nanti kita kira. Itupun jika ada alat pengira yang mampu mengiranya.

Bayaran kerana mengandung. Berapa? Siapa berani meletakkan angka yang sesuai. Baiklah kita bermain dengan angka. Suka-suka. Bukan benar. Jauh dari benar.
1                 3 bulan pertama @ RM5,000  =    RM15,000
2                 3 bulan kedua    @ RM10,000 =   RM30,000
3                 3 bulan ketiga    @ RM50,000 =   RM150,000
                                             =   RM195,000
 Berani tanya kenapa mahal. Cuba tanya semua ibu. Banyakkah jumlah itu. Letih dan lesunya. Mabuk dan peningnya. Sakit dan ngilunya. Yang berikut ini lebih menakutkan. Berapa hendak dibayar upah ibu melahirkan seorang anak. Berulang pula dua, tiga, empat, lima, enam, tujuh, lapan, sembilan, sepuluh, sebelas, dua belas dan tiga belas. Berapa soalnya? Katakanlah RM100,000. Cukup? Tidak. Mungkin RM250,000. Ingat! Impaknya setengah mati. Setengah nyawa. Jika hidup ianya jihad untuk meramaikan zuriat. Menggembirakan Rasulullah di akhirat nanti kerana orang mukmin ramai zuriatnya. Jika meninggal dikira syahid. Tidak kiralah kategorinya. Hanya kepada Allah diserahkan segala-galanya. Doktor hanya membantu. Jururawat hanya membantu. Bidan hanya membantu. Ibu itu sendiri yang menanggung segala-gala sakitnya. Dua tanggungjawab di atas sudah RM445,000.

Berapa upah menyusu? Jika sekali teguk RM5, cuba kira berapa teguk selama dua tahun atau lebih. Sekali menyusu 30 minit. Satu saat satu teguk maka 30 X 60 = 1,800 teguk. Darab dengan RM5 = RM9,000 untuk 30 minit.

1 hari 10 kali menyusu = RM90,000
Seminggu  7 X 10 X RM90,000 = RM      630,000
Sebulan    30 X 10 X RM90,000 = RM2,520,000
Setahun    365 hari X RM90,000 = RM32,850,000
Dua tahun 365 X 2 X RM90,000 = RM65,700,000

Mahal? Susu ibu adalah susu yang terbaik untuk manusia. Allah jadikan sebagai makanan lengkap selengkapnya untuk manusia. Khusus untuk bayi. Untuk anak-anaknya menjadi insan seperti manusia. Untuk menjadikan mereka khalifah di muka bumi. Hanya susu ibu sahaja yang paling layak untuk anak-anak. Bukan susu kambing. Apatah lagi susu lembu. Kita ditipu Yahudi hidup-hidup. Bangga pula terkena tipu. Untuk tiga item di atas sahaja jumlahnya RM66,145,000. RM66.145 juta. Bukan ratus atau ribu. Soalan lain. Siapa boleh bayar sebanyak itu kepada ibu masing-masing. Apabila senarai ini dipanjangkan lagi maka banyak lagi  akaun tertunggak yang dinisbahkan kepada seorang ibu. Angkanya tidak akan kurang dari RM100,000,000. Ya, RM100 juta. Itupun jika hendak diberikan angka. Tergamakkah seorang anak membayar kepada ibunya untuk melepaskan tanggungjawabnya kepada ibu dan bapanya sesudah khidmat mereka dikira tidak diperlukan lagi. Orang biasa menyebutnya zalim. Dari aspek agama perbuatan itu dikira derhaka. Janji Allah ialah mereka yang zalim terhadap kedua ibu dan bapanya maka dia tidak akan mencium bau syurga.

Cuba kira tambahan tugas ibu seperti menidurkan, mengulit, membuai, mendokong, memangku, membelai, memandikan, memakaikan baju, membasuh najis, bangun tengah malam, memukul nyamuk, merawat sakit, bermain bersama, mengajar bertatih, menyuapkan makanan, menemankan apabila takut, memanjakan dan banyak lagi dan banyak lagi dan banyak lagi dan banyak lagi. Tidak tersenarai rasanya. Boleh jika hendak dicuba. Pasti panjang berjela-jela. Tambah lagi mungkin RM50 juta. Kos dari mengandung hingga tamat belajar di IPT. Itu belum lagi belanja kahwin sumbangan ibu dan bapa. Masa, kos dan tenaganya. Fikirannya belum dinilai lagi. Itu baru ibu. Bagaimana pula kos seorang bapa yang berada di samping seorang ibu. Juga berjuta-juta kosnya.

Baiklah. Masih terkejut melihat angka yang begitu banyak? Bertenang. Lihat balik angka itu. RM100 juta. RM200 juta. Ibu kita lebih mahal dari jutaan ringgit itu. Bapa kita lebih mahal dari jutaan ringgit itu. Tanpa mereka kita tidak ada dengan izin Allah. Mana ada gantinya. Ibu kandung hanya itulah sahaja satu-satunya. Tiada dua atau tiga. Bapa yang ada itulah bapa. Seorang itulah yang namanya bapa. Masih ada ibu dan bapa? Jika tinggal bersama segera dapatkan mereka. Peluk dan cium mereka. Minta ampun dan maaf. Mohon keampunan kerana tidak dapat memberi kelebihan kepada mereka. Minta halal segala-galanya. Pandang muka mereka kerana pahala memandang kedua-duanya sama seperti memandang Kaabah. Berapa? Allah Yang Maha Mengetahui. Jika jauh telefon sekarang. Tanya khabarnya. Dengarkan suara diri. Hujung minggu ini kunjungi mereka. Pandang mereka sepuas-puasnya. Jangan lupa selalu berutus suara. Atau berutus mesej.  Sementara mereka masih ada.

Jika ada yang meremehkan ibu dan bapa, lihat angka di atas.
Jika ada yang merendah-rendahkan ibu dan bapa, pandang semula angka di atas.
Jika ada yang mengecil-ngecilkan ibu dan bapa telitilah angka di atas.
Masihkan ingin menjadikan seorang ibu sebagai:

1                   Pembantu rumah.
2                   Pengasuh cucu.
3                   Jururawat.
4                   Bidan.
5                   Tukang masak.
6                   Pengawal keselamatan.
7                   Penjaga dan pembuka pintu.
8                   Pengangkat beg.
9                   Pencuci rumah.
10              Pencuci tandas.
11              Pembeli sayur dan ikan.
12              Merana kerana karenah anak dan cucu.
13              Kos tambahannya semakin tidak terkira.

Jika adik beradik ramai, jangan main sorong-sorong. Mengandaikan jika seorang tidak menjengah ibu dan bapa maka ada anak lain yang berbuat begitu. Jangan, jangan dan jangan. Jadikan ianya agenda diri. Bukan agenda orang lain. Hatta adik beradik sendiri. Ini tanggungjawab diri sendiri. Jihad diri sendiri. Tidak perlu cemburu. Tidak perlu iri. Janga marah apabila ibu dan bapa memilih kasih. Mereka dekat kepada sesiapa sahaja yang mendekati mereka. Mereka rapat kepada yang biasanya bersama mereka. Kita, kita sebagai anak-anaknya yang wajib merepatkan diri. Memenuhi keperluannya.  Bukan orang lain. Rugi dan kehilangan pahala jika kita mengabaikan tanggungjawab itu.  Rugi seruginya. Nilai ibu dan bapa tidak dapat dikira dengan angka. Bukan dikira dengan alat pengira, buka dengan komputer canggih. Daif pemikiran kita jika kita berbuat demikian. Malah jika kedua ibu dan bapa menjadi hamba sekalipun, wang tebusan membeli mereka belum mencukupi untuk membayar kembali peranan mereka memanusiakan seorang anak. Ambillah iktibar darinya. Rindui selalu ibu dan bapa. Mereka selalu rindu kepada anak-anaknya. Tanpa mengira berapa usia anak-anak mereka, mereka berdua tetap merinduai anak-anak itu. Bukan cucu dan bukan cicit. Apabila sudah tua mereka tidak rindukan cucu dan cicit. Yang dirindui tetap naka-anak. Anak-anak mereka yang dahulu pernah bersama mereka. Semasa kecil. Oleh itu:

1         Diri sendiri, jadikan pedoman untuk menjadi insan yang lebih baik.
2       Guru, motivasikan anak didik yang selalu mengingkari harapan ibu dan bapa mereka.
3       Pemimpin, jadilah pembela ibu dan bapa.

4       Hamba, jadilah hamba Allah yang bermanfaat.

Monday, January 20, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Di Mana Letaknya Datuk dan Nenek di Hati Kita



Tradisi kita bersusur galur kepada Tradisi Islam. Tradisi Islam pula susur galurnya tradisi Arab. Walaupun banyak tradisi Arab yang tidak digunakapai dalam Islam namun banyak yang kita serap menjadi budaya Islam. Yang berbentuk syarie. Kita tinggalkan mana-mana yang tidak sesuai dengan Islam. Ada sesuatu yang barangkali perlu kita kongsi bersama. Kita semua mengaku Islam. Kita dilahirkan Muslim. Jiwa raga kita Islam. Mari kita lihat ke dalam. Sebenarnya tidak banyak yang kita tahu tentang agama kita. Tentang Islam dan keperluannya. Kita semua maklum sistem pendidikan agama di negara kita lebih menumpukan kepada soal ibadah. Invdividu atau jamaah. Puasa. Zakat. Mengerjakan haji. Banyak aspek agama yang kita tinggalkan dan tidak diambiltahu. Lama-lama kita membina tradisi yang lari dari syariah.

Allah memerintahkan kita supaya bertanggungjawab kepada kedua ibu bapa kita. kedua ibu bapa kita sendiri. Yang darinya kita dilahirkan. Yang mengandungkan. Yang membesarkan. Yang memanusiakan kita. Lalu kita berkerjaya. Berumahtangga. Memiliki keluarga sendiri. Datangkah keinsafan bahawa beranak pinak sebenarnya pengalaman yang perlukan kesabaran. Mengikat perut. Menyekat tekak. Berjimat seadanya demi masa hadapan anak-anak. Maka seorang anak selalu mendongak meminta dari ibu dan bapanya. Sampai ketikanya mereka menjauh kerana mereka melayani anak-anak mereka yang mendongak seperti diri mereka semasa kecil dahulu. Dalam kitarannya anak-anak mendongak semasa kecil dan remaja. Mereka memandang jauh apabila dewasa. Mereka menunduk menunggu apabila tua.

Siapa yang ditunggu jika bukan anak dan cucunya. Semasa meningkat tua yang selalu dirindu ialah cucu-cucu. Apabila cucu-cucu itu mendewasa apa yang tinggal kepada datuk dan nenek. Kerana itulah anak-anak diperintahkan supaya menjaga kedua ibu dan bapanya sehingga mereka sampai usia. Sehingga ke akhir hayat mereka. Disediakan tempat tinggal yang selesa. Makan dan minum yang terjaga. Kesihatannya yang selalu diurus. Maknanya seorang anak menghadapi dua peranan besar. Memanusiakan anak-anak dan pada masa yang sama mengurus ketuaan kedua ibu dan bapa. Apabila anak-anak sudah berkeluarga sedangkan kedua ibu dan bapa masih ada, maka pilihan yang diredhai Allah ialah menjaga kedua ibu dan bapa. Bukan lagi anak dan cucu.  Jika dari bawah, cicit menjaga cucu. Cucu menjaga ibu bapa. Ibu bapa menjaga datuk dan nenek. Datuk dan nenek menjaga moyang. Kitaran ini perlu dijaga supaya kekal dengan tanggungjawab. Semua lapisan generasi memainkan peranan mereka masing-masing. Tidak bermakna kita meninggalkan terus hingga terputus tanggungjawab kita terhadap anak dan cucu hingga ke cicit. Pelihara keutamaan sahaja.

Rasanya terlalu sangat sedikit orang yang mampu menjaga cicitnya. Cucupun barangkali sudah di luar kemampuan. Tenaga sudah berkurangan. Tumpuan sudah banyak yang hilang. Minat juga sudah merudum.  Kesihatan mungkin kurang mengizinkan. Lagipun masa tua adalah masa senggang yang ditunggu sejak dari muda. Ingat kembali ketika ibu selalu tidak kering kainnya. Tidak kering keringatnya. Tidak serapi pakaiannya. Tidak tentu duduknya. Tidak tentu jalannya. Tidak tentu bila berhentinya. Makan dan minumnya juga tidak menentu kerana anak-anak yang selalu minta diurus. Menunggu dilayan segera.

1                 Ada yang perlu dimandikan.
2                 Ada yang perlu diistinjakkan.
3                 Ada yang menangis takut ditinggalkan.
4                 Ada yang meminta didukung.
5                 Ada yang meminta ditidurkan.
6                 Ada yang perlu dipakaikan baju.
7                 Ada yang perlu disusukan.
8                 Ada yang perlu disuapkan makanan.
9                 Ada yang perlu diajar membaca al-Quran.
10            Pinggan perlu dicuci.
11            Pakaian perlu dibasuh.
12            Rumah perlu dikemas.
13            Lantai perlu disapu dan dimop.
14            Pakaian sekolah perlu diseterika.
15            Pakaian perlu dilipat dan disusun dalam almari.
16            Anak yang sakit perlu dirawat. Dibawa ke kelinik.
17            Tidur anak dihalau nyamuknya.
18            Pelajaran anak-anak dipantau.
19            Pada masa yang sama ibu itu juga sedang mengandung.

Kedua ibu dan bapa berada dalam kedudukan yang tinggi selepas Allah dan RasulNya. Tarafnya ketiga selepas Allah dan Rasulallah. Ibu dan bapa perlu wajib dimuliakan walau apapun keadaannya. Baik masa sihatnya. Baik masa uzurnya. Baik masa senangnya.  Baik masa susahnya. Baik masa gagahnya. Baik masa lemahnya. Proses tua tiada hentinya.

1                 Penglihatan semakin pudar.
2                 Pendengaran semakin sayup menjauh.
3                 Makannya antara gigi dan gusi.
4                 Lanhkahnya menapak perlahan semula.
5                 Sendi yang lemah dan gagal digagahi.
6                 Kulit dan tulang bertaut kering. Berkedut dan berkerut.

Tiada yang lebih baik selain dari berada di samping mereka. Menghadirkan diri di hadapan mereka. Berada untuk dipandang. Untuk didengar suaranya. Untuk dirasa sentuhan tangannya. Mengimbau semula kenangan masa lalu yang telah berlalu terlalu lama. Masa anak-anak keriuhan bersama. Yang ketika itu tiada yang lebih indah untuk diingat.

1                 Makan yang selalu lambat kenyangnya.
2                 Ada masanya makanan dicatu bahagi.
3                 Tidur yang bukan di tilam empuk.
4                 Siangnya panas tanpa pendingin hawa.
5                 Malamnya sejuk tanpa selimut tebal dan pendiang api.
6                 Wang ada dibajet dan diruncit-runcitkan belanja.

Di mana ibu dan bapa di hati kita. Di mana datuk dan nenek di hati kita. Jika terurai kitaran yang sudah Allah meteraikan maka putuslah kasih sayang yang dipadukan.

1                 Hari tua menjadi penantian yang panjang. Meninjau anak dan cucu jika datang.
2                 Makan kurang selera kerana keriuhan yang dahulu hilang sudahnya.
3                 Ibu dan bapa menjadi kain buruk yang hanya layak menjadi pengelap debu.
4                 Tanpa keduanya di hadapan mata tentu banyak yang tidak dapat kita laksanakan selayaknya.

Banyak yang perlu kita lakukan untuk kedua ibu dan bapa kita. Selagi hayat mereka masih ada. Anak-anak lelaki wajib berdiri gagah bersama mereka. Anak perempuan isteri orang. Menantu orang. Ada susur galur generasinya yang tersediri. Walau bagaimanapun berbuat bakti dengan izin suami tentu banyak menyumbang kepada kebahagiaan kedua ibu bapa.

1                 Anak lelaki wajib ke hadapan. Proaktif terhadap keperluan kedua ibu dan bapa.
2                 Anak-anak perempuan wajib mendapat izin suami masing-masing.
3                 Jika ibu dan bapa tinggal berasingan janganlah mengharap-harap orang lain menjengah mereka. Setiap anak menjadualkan diri untuk bersama mereka.
4                 Sediakan keperluan makan dan minum mereka secukupnya.
5                 Jika ibu bapa tinggal dengan seorang anak maka anak-anak yang lain jangan pula lepas tangan. Perlu menyumbang meringankan tanggungan anak yang menanggung ibu dan bapa.
6                 Apabila mengadakan kenduri kendara atau apa-apa majlis jangan lupakan ibu bapa atau datuk nenek yang sudah tua. Tanamkan rasa rindu kepada mereka.
7                 Jangan tunggu semasa sakit baru dijengah. Penulis takut ibu dan bapa merajuk atau kecil hatinya. Ada kemungkinan matinya ada anak yang tidak dapat melihat jasadnya. Orang akan menjawab: Jika hidupnya tidak dijengah. Jika sakitnya tidak dijengah. Mengapa matinya perlu dilamakan jasadnya.
8                 Bawa mereka berjalan-jalan. Hiburkan hati mereka selalu.
9                 Jamu mereka dengan apa sahaja makanan sementara mereka masih ada selera. Setiap kali menyuap makanan, ingat ibu dan bapa yang dahulu menyuapkan kita makanan ke mulut kita.
10            Ibu dan bapa mungkin tidak mampu bertandang ke rumah anak-anak. Anak-anaklah yang perlu mengambil mereka. Bawa ke rumah. Layan sebaiknya. Jamu sekenyangnya.


Masa akan terus berlalu. Sampai masanya kita yang muda akan menjadi tua. Berada dalam kedudukan datuk dan nenek kita dahulu. Ramai ibu dan bapa juga kurang berkeupayaan dari segi ekonomi. Cuculah yang seharusnya menghantar ibu dan bapa ke rumah datuk dan nenek. Mungkin juga cicit yang berbuat begitu. Kita didik anak-anak supaya mengingati yang tua. Mudah-mudahan tua kita diingati generasi kita. Kelangsungan kitaran keluarga ini biarlah berterusan sampai bila-bila. Andainya boleh hapuslah rumah orang tua-tua. Tempat mereka sewajarnya bersama anak atau cucu. Ingatlah kita datang dari ibu dan bapa. Ibu bapa kita dari datuk dan nenek. Datuk dan nenek dari moyang kita. Sukar mencari keturunan buluh betung. Atau lahir dari busut. Setiap kita lahir dari ibu dan bapa. Mudah-mudahan sah tarafnya. Atau dewasanya disahkan tarafnya melalui proses agama yang betul.

Saturday, January 18, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Kembara Untuk Mengerti



Kebanyakan orang mengatakan bahawa negaranya sendiri adalah yang terbaik di dunia ini. Tiada negara yang sebaik negara sendiri. Kebaikan negara sendiri dicanang ke merata tempat. Kita galakkan pelancong datang berziarah. Kita pula sibuk merancang dan menentukan mana yang boleh dilihat dan mana yang tidak boleh dilihat. Mana yang perlu dikenakan bayaran dan yang mana pula percuma. Bagi mereka yang selalu melancong mungkin dapat menggambarkan apa sebenarnya yang ingin dilihat oleh pelancong. Ketika itu pemikiran kita akan menelusuri sejarah negara. Orang ingin melihat sejarah kita. Asal usul kita. Pencapaian kita dari dahulu hingga sekarang. Apa yang boleh dibaca dan dimengerti mengenai sejarah bangsa kita. Apabila kita membicarakan sejarah maka ada kaitannya dengan budaya. Dengan agama. Dengan asal usul kita. Kita adalah Monggoloid jika ditinjau dari perspektif Barat. Dari segi sejarah Islam kita adalah keturunan Yapith. Seorang daripada anak Nabi Nuh a.a. yang terselamat dari banjir besar zamannya. Monggoloid dan keturunan Yapith adalah keturunan yang sama. Perspektifnya dibezakan. Mengenepikan perspektif Islamnya.

Apabila jauh berjalan banyaklah pemandangan. Jika kita melihat dengan rapi apa yang kita lihat, kita pasti meneropong jauh melintasi banyak sempadan berfikir. Kita melihat banyak ruang untuk menambahbaik keadaan. Ruang untuk meningkatkan kekuatan yang ada. Untuk menghapus kelemahan keadaan. Kita tidak boleh melihat dalam kotak kita sahaja. Pun begitu kita tidak boleh melihat dalam kotak orang lain sahaja. Kedua-dua kotak mungkin bukan yang terbaik. Sekiranya kelebihan dan kekurangnya pada ruang dan kotak-kotak itu diberi nafas baru tentulah kita membina kotak yang lebih besar. Lebih cantik. Lebih selesa. Lebih membahagiakan. Secara lumrahnya orang mencari dan membina kebahagiaan. Apa sahaja yang menambah kebahagiaan. Jika boleh kebahagiaan yang berpanjangan. Yang melestarikan impian.

Banyak yang kita pelajari dari kekurangan. Negara kita cantik. Negara orang mungkin lebih cantik. Kita tidak perlu memikirkan pertukaran musim. Di negara orang pertukaran musim itulah yang mencetuskan dinamism. Yang menjana aktiviti tanpa henti. Yang menunggu ramalan dan kejutan. Bahawa iklim dan suhu menjadikan manusia tidak boleh selamanya berada dalam zon selesa. Tidak ada yang namanya kekal tanpa berubah. Perubahan itu bersifat tabii. Kerana iklim dan suhu di negara kita tidak dibimbangi berubah maka kita tersadai dalam keselesaan palsu. Pada ketika-ketikanya ianya hanya ilusi semata-mata. Manusia di negara lain berubah dan dinamik tetapi kita meneruskan sifat statik kita. Kadang-kadang faktor pemikiran statik ini melemaskan. Kita tidak mengusahakan perubahan yang lebih membahagiakan. Akibatnya yang kita rasa ialah himpitan rasa yang bertimpa-timpa ke atas diri kita. Menghakis rasa bahagia yang dahulunya kita take for granted. Negara kita kaya tetapi kekayaan itu tidak melimpah ke bawah. Banyaknya berkurangan  relatif dengan penduduk. Kualitinya menurun berbanding dengan yang dicapai oleh orang lain. Nilai tambahnya terlalu sedikit dan terlalu perlahan. Kita selalu berada di simpang yang menyulitkan. Kuasa, politik dan individu. Kita tidak fikirkan kuasa yang melimpah turun ke bawah. Kita mencari Khadijah yang menginfakkan hartanya untuk Islam. Kita mencari Abu Bakar yang menyerahkan segala-galanya untuk Allah dan RasulNya. Kita mencari manusia-manusia yang cukup dengan sedikit. Lebih yang dimiliki untuk orang lain.

Kebetulan negara Islam berada di kawasan panas. Mengalami perubahan musim tetapi masih dianggap negara panas. Ada padang pasir. Ada empat musim. Islam telah mengembangkan tradisi ilmu. Banyak ciptaan yang diawali oleh orang Islam. Detik masa seperti terhenti. Apabila politik lebih mendasari negara naungan Islam maka agama dan tradisi ilmu hilang tapaknya. Orang Barat memindahkan kesibukan ilmu ke negara mereka. Sistem hidup dibangunkan berdasarkan musim. Pada musim sejuk dan sederhana mereka bekerja bermati-matian. Pada musim panas mereka berehat. Mereka memperbesarkan kelebihan mereka. Jurang itu semakin lebar. Akhirnya kita yang beragama Islam dianggap mundur. Terperosok jauh di belakang.

Agama dan pendidikan seharusnya seiring. Kita perlu menambah kemahiran sumber manusia. Mengekalkan status teknologi. Membangunkan teknologi baru. Pemikiran kita seharusnya tidak mengikut pola tradisi. Mengikut jalan fikir orang lain. Lihat semula al-Quran dan al-Sunnah. Banyak idea di dalamnya yang belum diserlahkan manfaatnya. Kita boleh menyimpan keunggulan yang ada. Al-Quran adalah sumber tamadun. Kita bangunkan semula tradisi mengkaji. Terlalu banyak yang Allah pertunjukkan tetapi tidak menjentik hati dan perasaan kita untuk menjadikannya bukti bahawa ilmu Allah adalah tiada tolok bandingnya. Kuncinya ialah berfikir. Memperguna akal yang Allah anugerahkan kepada kita. Untuk manfaat umum bukan diri sendiri. Untuk agama bukan kebesaran diri. Melihat dari luar kotak menjadikan kita peka dengan banyak kelemahan yang ada pada diri kita.

Melihat kotak lain tidak boleh semasa kita berada dalam kotak kita. Kita tertipu dengan suasana kotak kita sendiri. Lontaran padangan kita tersasar dari kebenaran. Banyak mengembara banyak yang mengajar kita. Tidak semestinya ke luar negara. Tidak ramai antara kita yang memandang ke langit pada waktu malam. Kita sudah tidak mengerti ilmu falak. Yang kita tahu hanya menunggu anak bulan Ramadhan dan Syawal yang sukar kelihatan di negara kita. Maka rukyah diganti dengan falak. Tidak ramai pula yang memahaminya. Tidak ramai yang mengkajinya. Tidak ramai yang mempelajarinya. Kita tidak memanjat gunung untuk melihat paksinya. Kehijauan dan ufuk laut yang memberi luas berfikir. Untuk sedar dari lamunan bahawa kita bukan yang terbaik. Bukan yang paling besar. Bukan yang memiliki apa-apa kuasa. Cukup masanya usia kita tamat. Ajal kita datang. Kembali ke asalnya. Dari tanah kembali ke tanah. Tidak ada alternatif selain dari tanah.


Cabaran dalam hidup kita terlalu banyak. Amalan hidup kita perlukan perubahan sesuai dengan segala perubahan di sekeliling kita. Banyak yang perlu diperbaiki. Banyak nilai tambah dalam berbagai aspek yang perlu diambil dalam diri. Berkeras dengan amalan dan pegangan lama perlulah disesuaikan dengan berbagai peredaran. Statik bukan penentu yang membawa kebaikan. Berada dalam zon selesa yang terlalu lama boleh memudaratkan agama, diri, bangsa dan negara. Amalan kita berbahasa perlu difikirkan semula. Bahasa Melayu kita banyak dirosakkan.  Kita tidak tahu bahasa kedua kita. Mana yang lebih penting Bahasa Arab atau Bahasa Inggeris. Setakat mana gah kita dengan Bahasa Inggeris. Aduhai! Banyaknya yang yang perlu kita fikirkan. Yang perlu kita laksanakan. Yang perlu kita dasarkan untuk dicapai.  Malanglah kita diganggu dengan hiburan semata-mata. Lari dari masalah. Akhirnya kita terperengkap dalam nasalah yang tiada jalan keluarnya. Kita lemas dalam kedaifan kita sendiri.

Thursday, January 16, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Pagar Sekolah Mahal dan Cantiknya Di Mana



Setiap kali kita melalui sesebuah sekolah menengah kita pasti terpegun dengan kecantikan pintu pagarnya. Besar dan dibuat dari besi waja. Steel. Pagar sekolah tentu puluhan ribu ringgit. Konsep keceriaan yang dinisbahkan kepada sekolah. Untuk menambah kecemerlangan sekolah. Rasanya belum ada kaji selidik mengenai sumbangan pagar dan pintu pagarnya kepada kecemerlangan sekolah. Mungkin penulis terlepas pandang mengenai hal ini. Pagar yang meningkatkan prestasi akademik pelajar-pelajarnya. Meningkatkan produktiviti guru-gurunya. Pada kebanyakan masa pagar dan pintunya dibiayai oleh Persatuan Ibu Bapa Guru. Atau sumbangan orang politik. Atau dari dermawan setempat. Jarang yang dibiayai melalui bajet yang dipohon dari Kementerian Kewangan. Kita semua maklum bahawa pagar sekolah dikira perlu. Pengawal keselamatan adalah perlu. Guru bertugas adalah perlu. Ada masanya rondaan polis juga perlu. Keselamatan fizikal, peralatan, prasarana, pelajar dan guru perlu dijamin. Maka pagar dianggap perlu.

Mungkin kita perlu duduk sebentar. Merenung kembali mengenai apa yang menjadi keutamaan di sekolah. Dari pagar dan pintunya hingga prestasi akademik. Setiap tahun tidak ada pengetua atau guru besar dan semua guru-guru yang dapat lari dari KPI (Key Performance Index) masing-masing. Kunci prestasi. Rasanya tidak ada siapa yang dapat menafikan bahawa prestasi pelajar adalah paling utama. Guru yang prestasi pelajarnya merosot tentu perlu bersedia dengan berbagai pertanyaan pengetua. Mungkin perlu menyediakan laporan bertulis yang terperinci. Atau mungkin mendapat renungan tajam dari pengetua. Ketika itu pagar sekolah yang cantik tidak dapat melindungi guru kerana rendah prestasinya. Ada ketikanya prestasi pelajar menjadi sebab seseorang guru diberi tugas tambahan. Perlu menghadir berbagai kursus. Mungkin pula dipindahkan ke sekolah lain.

Sekolah perlukan berbagai kawalan. Kawalan guru, kawalan pengawas dan pengawal professional. Semuanya masalah. Pengawal professional di Malaysia banyak kali kecundang kerana penjawatnya tidak seperti dilabelkan. Bergaji tetapi taraf profesionalnya sangat rendah. Kita kembali kepada struktur kehidupan rakyat Malaysia. Terdapat kecenderungan untuk mengambil hak orang. Apatah lagi peluang itu adalah harta kerajaan yang dikira seperti tiada pemiliknya. Harta kerajaan dia yang punya. Tidak ramai orang yang memahami bahawa harta kerajaan itu harta umum untuk semua orang. Tiada siapapun yang berhak ke atasnya kecuali untuk digunakan dengan hak oleh pengetua, guru, penjawat sekolah dan  pelajar. Pelajar layak duduk dan gunakan peralatan yang diperuntukkan. Guru mengajar dan mendidik dengan kemudahan yang ada. Pengetua mengurus orang-orang di bawahnya, peralatan, perkakasan, harta modal, harta hapusguna dan lain-lain bajet yang diterimanya. Itu sahaja.

Tiada siapa yang berada di luar sekolah berhak ke atas apa-apa bahagian sekolah untuk kepengtingan peribadinya. Sekolah adalah lambang aspirasi masyarakat. Maka ahli masyarakat perlu sama-sama menjaganya untuk maslahah ahli-ahli yang lain.  Malangnya aspek tanggungjawab ini tidak sampai kepada ahli masyarakat. Mereka Cuma tahu hantar anak ke sekolah. Untuk pandai atau tidak, tidak pula dianggap terlalu penting. Berjaya atau tidak bukan keutamaan. Mungkin kesilapan sistem hingga menjadikan ramai orang yang berminat dengan sekolah. Tetapi minat yang negatif. Yang mengganggu kelancaran perjalanan sekolah. Yang berbuat demikian ialah orang-orang yang berada berhampiran dengan sekolah itu. Lebih parah lagi, mereka pernah bersekolah di situ. Tempat mereka pernah belajar. Adik-adik mereka belajar di situ. Anak-anak mereka bakal belajar di situ.

Keceriaan adalah aspek yang dikira penting tetapi bukan yang utama. Ianya penting sebagai pelengkap kepada suatu iklim yang sihat, menyegarkan dan memberi ruang berfikir bersama kehijauan di sekeliling. Apabila ditambah dengan kebersihan yang terkawal suasana menjadi sangat damai dan mententeramkan. Seri adunan kecantikan dan keindahan. Perlu juga ada seni untuk mendatangkan keceriaan yang wajar. Seni lanskaping perlu juga diambilkira. Senibina taman yang sesuai dengan jenis pokok dan rumput. Ketinggian yang terkawal. Bebunga yang pelbagai warna. Kelihatan suasana taman bunga memagari sekeliling sekolah. Sekolah berada dalam taman. Kecantikan yang dirancang dan didatangkan.

Di mana sebenarnya pusat kepentingan di sekolah. Selalu diabaikan di sekolah. Difikirkan juga tetapi tidak menjadikannya seperti suatu keperluan yang hakiki. Di mana letaknya perpustakaan dalam jadual sekolah. Di mana pusat sumber dalam kurikulum sekolah. Berapa buah buku yang pelajar baca dalam seminggu. Sebulan. Setahun. Buku apa yang dibaca. Apa judulnya. Apa kaitannya dengan pelajaran mereka. Nah, di sinilah letaknya keutamaan. Perpustakaan adalah pusat kecemerlangan yang perlu diurus dengan kapasiti dinamik. Bilangan rujukan ditambah. Buku, majalah, internet, mungkin mikrofilem dan video. Judulnya bertambah. Ada edisi baru. Terbitan baru. Sekolah tidak boleh melepaspandang aspek ini. Penulis teringat waktu bersekolah dahulu. Kami teruja untuk membaca khususnya buku cerita. Gurunya memberi ruang. Rakan-rakan begitu juga. Kami meminjam sebuah buku cerita untuk seminggu. Lazimnya pada malam itu juga buku itu dikhatamkan. Esoknya kami saling bertukar buku dengan rakan yang lain. Kami meminjam sebuah buku. Tetapi pada minggu itu kami membaca sekurang-kurangnya tiga buah buku.

Buku di perpustakaan tidak pernah habis untuk dibaca. Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Batu Pahat yang selalu dikenang. Selain dari meminjam buku kami disediakan satu waktu dalam seminggu untuk berada dalam perpustakaan. Kami baca apa sahaja yang menarik minat. Mungkin kerana itu skop pembacaan penulis terlalu meluas. Dari sukan ke muzik. Dari ekonomi ke kejuruteraan. Dari agama ke sastera. Dari geografi ke lukisan. Berbagai-bagai banyaknya. Penulis tidak bermain golf. Sesekali bersembang boleh juga menyebut tentang at par, below par, bunker atau tee-off. Bila bercerita tentang muzik bukan ronggeng, zapin dan langgam. Bukan sahaja rock, blues, twist, ago-go, samba dan tango. Menyimpang juga kepada muzik klasik seperti Beethoven umpamanya. Begitu juga nama-nama seperti Rambrandt dan Picasso. Konsep realism dalam lukisan. Dari sekolah ini lahir terlalu ramai yang berjaya. Ahli Parlimen, ADUN, tokoh korporat, pensyarah, pemuzik dan berbagai profesion lain.


Tiada yang lebih baik dari perpustakaan. Perpustakaan atau get canggih. Mana pilihan anda. Tidak banyak sekolah yang fokusnya adalah perpustakaan. Perpustakaan itulah yang menjadi nadi kecemerlangan akademik sekolah. Jika perpustakaan diberi keutamaan prestasi akademik pelajar-pelajarnya diberi peluang untuk meningkat. Tidak ramai ibu bapa yang mampu membeli buku dan rujukan. Mereka berharap kepada sekolah. Jika sekolah tidak boleh diharap maka apa yang diharap dari anak-anak mereka. Masih adakah harapan kepada sekolah.