Saturday, January 18, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Kembara Untuk Mengerti



Kebanyakan orang mengatakan bahawa negaranya sendiri adalah yang terbaik di dunia ini. Tiada negara yang sebaik negara sendiri. Kebaikan negara sendiri dicanang ke merata tempat. Kita galakkan pelancong datang berziarah. Kita pula sibuk merancang dan menentukan mana yang boleh dilihat dan mana yang tidak boleh dilihat. Mana yang perlu dikenakan bayaran dan yang mana pula percuma. Bagi mereka yang selalu melancong mungkin dapat menggambarkan apa sebenarnya yang ingin dilihat oleh pelancong. Ketika itu pemikiran kita akan menelusuri sejarah negara. Orang ingin melihat sejarah kita. Asal usul kita. Pencapaian kita dari dahulu hingga sekarang. Apa yang boleh dibaca dan dimengerti mengenai sejarah bangsa kita. Apabila kita membicarakan sejarah maka ada kaitannya dengan budaya. Dengan agama. Dengan asal usul kita. Kita adalah Monggoloid jika ditinjau dari perspektif Barat. Dari segi sejarah Islam kita adalah keturunan Yapith. Seorang daripada anak Nabi Nuh a.a. yang terselamat dari banjir besar zamannya. Monggoloid dan keturunan Yapith adalah keturunan yang sama. Perspektifnya dibezakan. Mengenepikan perspektif Islamnya.

Apabila jauh berjalan banyaklah pemandangan. Jika kita melihat dengan rapi apa yang kita lihat, kita pasti meneropong jauh melintasi banyak sempadan berfikir. Kita melihat banyak ruang untuk menambahbaik keadaan. Ruang untuk meningkatkan kekuatan yang ada. Untuk menghapus kelemahan keadaan. Kita tidak boleh melihat dalam kotak kita sahaja. Pun begitu kita tidak boleh melihat dalam kotak orang lain sahaja. Kedua-dua kotak mungkin bukan yang terbaik. Sekiranya kelebihan dan kekurangnya pada ruang dan kotak-kotak itu diberi nafas baru tentulah kita membina kotak yang lebih besar. Lebih cantik. Lebih selesa. Lebih membahagiakan. Secara lumrahnya orang mencari dan membina kebahagiaan. Apa sahaja yang menambah kebahagiaan. Jika boleh kebahagiaan yang berpanjangan. Yang melestarikan impian.

Banyak yang kita pelajari dari kekurangan. Negara kita cantik. Negara orang mungkin lebih cantik. Kita tidak perlu memikirkan pertukaran musim. Di negara orang pertukaran musim itulah yang mencetuskan dinamism. Yang menjana aktiviti tanpa henti. Yang menunggu ramalan dan kejutan. Bahawa iklim dan suhu menjadikan manusia tidak boleh selamanya berada dalam zon selesa. Tidak ada yang namanya kekal tanpa berubah. Perubahan itu bersifat tabii. Kerana iklim dan suhu di negara kita tidak dibimbangi berubah maka kita tersadai dalam keselesaan palsu. Pada ketika-ketikanya ianya hanya ilusi semata-mata. Manusia di negara lain berubah dan dinamik tetapi kita meneruskan sifat statik kita. Kadang-kadang faktor pemikiran statik ini melemaskan. Kita tidak mengusahakan perubahan yang lebih membahagiakan. Akibatnya yang kita rasa ialah himpitan rasa yang bertimpa-timpa ke atas diri kita. Menghakis rasa bahagia yang dahulunya kita take for granted. Negara kita kaya tetapi kekayaan itu tidak melimpah ke bawah. Banyaknya berkurangan  relatif dengan penduduk. Kualitinya menurun berbanding dengan yang dicapai oleh orang lain. Nilai tambahnya terlalu sedikit dan terlalu perlahan. Kita selalu berada di simpang yang menyulitkan. Kuasa, politik dan individu. Kita tidak fikirkan kuasa yang melimpah turun ke bawah. Kita mencari Khadijah yang menginfakkan hartanya untuk Islam. Kita mencari Abu Bakar yang menyerahkan segala-galanya untuk Allah dan RasulNya. Kita mencari manusia-manusia yang cukup dengan sedikit. Lebih yang dimiliki untuk orang lain.

Kebetulan negara Islam berada di kawasan panas. Mengalami perubahan musim tetapi masih dianggap negara panas. Ada padang pasir. Ada empat musim. Islam telah mengembangkan tradisi ilmu. Banyak ciptaan yang diawali oleh orang Islam. Detik masa seperti terhenti. Apabila politik lebih mendasari negara naungan Islam maka agama dan tradisi ilmu hilang tapaknya. Orang Barat memindahkan kesibukan ilmu ke negara mereka. Sistem hidup dibangunkan berdasarkan musim. Pada musim sejuk dan sederhana mereka bekerja bermati-matian. Pada musim panas mereka berehat. Mereka memperbesarkan kelebihan mereka. Jurang itu semakin lebar. Akhirnya kita yang beragama Islam dianggap mundur. Terperosok jauh di belakang.

Agama dan pendidikan seharusnya seiring. Kita perlu menambah kemahiran sumber manusia. Mengekalkan status teknologi. Membangunkan teknologi baru. Pemikiran kita seharusnya tidak mengikut pola tradisi. Mengikut jalan fikir orang lain. Lihat semula al-Quran dan al-Sunnah. Banyak idea di dalamnya yang belum diserlahkan manfaatnya. Kita boleh menyimpan keunggulan yang ada. Al-Quran adalah sumber tamadun. Kita bangunkan semula tradisi mengkaji. Terlalu banyak yang Allah pertunjukkan tetapi tidak menjentik hati dan perasaan kita untuk menjadikannya bukti bahawa ilmu Allah adalah tiada tolok bandingnya. Kuncinya ialah berfikir. Memperguna akal yang Allah anugerahkan kepada kita. Untuk manfaat umum bukan diri sendiri. Untuk agama bukan kebesaran diri. Melihat dari luar kotak menjadikan kita peka dengan banyak kelemahan yang ada pada diri kita.

Melihat kotak lain tidak boleh semasa kita berada dalam kotak kita. Kita tertipu dengan suasana kotak kita sendiri. Lontaran padangan kita tersasar dari kebenaran. Banyak mengembara banyak yang mengajar kita. Tidak semestinya ke luar negara. Tidak ramai antara kita yang memandang ke langit pada waktu malam. Kita sudah tidak mengerti ilmu falak. Yang kita tahu hanya menunggu anak bulan Ramadhan dan Syawal yang sukar kelihatan di negara kita. Maka rukyah diganti dengan falak. Tidak ramai pula yang memahaminya. Tidak ramai yang mengkajinya. Tidak ramai yang mempelajarinya. Kita tidak memanjat gunung untuk melihat paksinya. Kehijauan dan ufuk laut yang memberi luas berfikir. Untuk sedar dari lamunan bahawa kita bukan yang terbaik. Bukan yang paling besar. Bukan yang memiliki apa-apa kuasa. Cukup masanya usia kita tamat. Ajal kita datang. Kembali ke asalnya. Dari tanah kembali ke tanah. Tidak ada alternatif selain dari tanah.


Cabaran dalam hidup kita terlalu banyak. Amalan hidup kita perlukan perubahan sesuai dengan segala perubahan di sekeliling kita. Banyak yang perlu diperbaiki. Banyak nilai tambah dalam berbagai aspek yang perlu diambil dalam diri. Berkeras dengan amalan dan pegangan lama perlulah disesuaikan dengan berbagai peredaran. Statik bukan penentu yang membawa kebaikan. Berada dalam zon selesa yang terlalu lama boleh memudaratkan agama, diri, bangsa dan negara. Amalan kita berbahasa perlu difikirkan semula. Bahasa Melayu kita banyak dirosakkan.  Kita tidak tahu bahasa kedua kita. Mana yang lebih penting Bahasa Arab atau Bahasa Inggeris. Setakat mana gah kita dengan Bahasa Inggeris. Aduhai! Banyaknya yang yang perlu kita fikirkan. Yang perlu kita laksanakan. Yang perlu kita dasarkan untuk dicapai.  Malanglah kita diganggu dengan hiburan semata-mata. Lari dari masalah. Akhirnya kita terperengkap dalam nasalah yang tiada jalan keluarnya. Kita lemas dalam kedaifan kita sendiri.

No comments:

Post a Comment