Thursday, March 21, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Lorong, Tembok dan Batu di Petra


Lorong ini dinamakan Siq. Panjangnya 1,200m. 1.2 km. Panjang dan berliku. Pembaca akan mengembara dalam jangkamasa yang panjang. Lama bukan kerana terlalu jauh tetapi kami banyak kali terberhenti kerana setiap sudut menarik hati kami. Setiap ruang ada tarikannya. Setiap dinding gunung ada kecantikannya. Atas, bawah, kanan, kiri, hadapan dan belakang semuanya memberikan tarikan yang istimewa. Ayuh, saya bawa pembaca mengembara bersama. Jika kami berhenti pada suatu lokasi mungkin pembaca akan berhenti lama pada sesuatu gambar. 
Kereta kuda tidak henti-henti membawa penumpang keluar dan masuk. Mungkin suatu waktu dahulu sama sibuknya semasa zaman kegemilangan Petra.

Batunya, dindingnya, tingginya, bentuknya, warnanya dan banyak lagi ciri-ciri Siq ini yang sukar digambarkan dengan perkataan. Kata orang putih, "Seeing is believing."

Di bawah sinar matahari yang cerah.

Terjumpa sepohon dua di lorong ini.

Jutaan gambar yang diambil setiap hari. Ada sahaja yang menarik perhatian.

Rekahan tempat takungan air. Di atas sana ada kebun-kebun subur yang memberi makan kaum Anbat.

Lihat gamnbar ini dari atas ke bawah. Subhanallah. Allah menjadikannya sangat menakjubkan. Jika tidak diamati tidak dapat dinilai tanda-tanda kebesaran Allah.

Allahuakbar. Cantik secantiknya

Apa lagi yang dapat diceritakan. Melihat sahaja sudah menakjubkan.

Mungkin akan saya ulangi menziarahi tempat ini. Bersama pelajar lain. Pada waktu lain.

Syuib, pelajar dari Albania bergaya di ruang ini.

Subhanallah. Jika tidak berada di sini tidak merasa dengan sesungguhnya kebesaran Allah yang menjadikan segala-galanya dengan kun fayakun.

Antara hasil pahatan orang Anbat. Pelancong ini entah dari mana. Terakam dalam gambar ini. Maaf bukan senghaja.

Lorong ini adalah lorong zaman yang membawa kita meneroka sesuatu yang di luar pemikiran biasa. 

Lorong tunggal untuk keluar dan masuk.

Pada dindingnya cahaya dan bayang masa.

Ada tempatnya lorong ini cukup luas.

Seperti lanskap di tepi jalanraya yang mempesona.

Di bawah langit biru tanpa awan. Cahaya matahari musim sejuk.

Lihatlah apa sahaja yang dapat dilihat. Hanya cantik dan kecantikan.

Bermacam-macam yang ada.

Mewarna gejolak hati. Rekahan celah gunung yang disinari cahaya matahari.

Artifak yang melebihi sebuah muzium.

Bertemu dengan petugas yang berpakaian orang Anbat.

Gadis Arab keturunan Palestin. Namanya Hanin. Maksudnya Kerinduan. Seorang pengajar di Universiti Zarqa.
Matawang lama.

Tempat pemujaan Kaum Anbat.

Tidak ada sudut yang mengerikan. Sebaliknya kesemuanya dipandang dengan rasa takjub.

Seorang lagi pengajar berketurunan Palestin. Namanya lebih ringkas. Rim. Maknanya Rusa Putih. Wajahnya akan dapat dilihat dalam entry yang lain nanti..





















Dari pintu lorong hingga ke ruang pertama tinggalan kota Petra lebih satu kilometer jauhnya. Perjalanan menuruni lurah di hujung lorong agak landai. Tidak terlalu menyulitkan. Jika orang tua-tua boleh berjalan pergi dan balik maka orang-orang muda tiada masalah langsung. Saya lihat mereka yang OKU juga tidak merasakan apa-apa masalah mengunjungi Petra. Pembaca akan saya bawa ke suatu zaman yang sangat lama. Menelusuri lorong  yang hanya satu sahaja sudah cukup mengujakan. Pada masa yang sama mendebarkan. Hanya ada satu jalan untuk masuk dan keluar. Jalan mati. Sahabat boleh masuk dan boleh keluar. Musuh boleh masuk dan pasti tidak dapat keluar. Satu lorong yang mengawal semua keadaan. Cenuram yang tinggi dan sempit memudahkan orang al-Nabat menyerang musuh mereka. Dalam sejarahnya kaum Nabat diserang oleh orang Roman. Sejarahnya panjang juga. Walau bagaimanapun sejarah tidak pernah kekal sebagai sejarahnya. Sampai masanya sejarah itu ditinggalkan sebagai sejarah. Orang lain membina sejarah baru. Namun begitu manusia sentiasa mengkaji sejarah keturunannya. Dari dulu hingga sekarang.
Lorong masuk ke Petra seperti sebuah jalanraya. Pada zaman kegemilangannya karavan melalui lorong tersebut. Maknanya ratusan unta, kuda, keldai dan kenderaan berkuda melaluinya setiap hari. Mereka membawa rempah dan kain sutera. Rempah dari Nusantara alam Melayu yang kaya dengan rampah ratusnya. Anak muda mungkin kurang arif akan hubungan Petra dengan alam Melayu. Tahu nama rempah ratus kita? Cengkih, buah pelaga, kayu manis, kunyit, halia, bunga lawang, kas-kas,  halba, lengkuas dan berbagai lagi. Saudagar Arab dari Muskat, Oman ke India  atau ke Sumatera dan Melaka untuk mencarinya. Dari timur mereka membawa kayu cendana dan kain sutera dari Cina bersama semua rempah ratus yang tersebut. Sutera menjadi kain pujaan sejak zaman berzaman. Datangnya dari Cina. Hanya sekarang sutera dikeluarkan di beberapa buah negara selain Cina. Rempah ratus orang barat jadikan pengawet daging. Daging yang dirempah lebih tahan lama. Berbulan-bulan lamanya. Sekarang kita gunakan peti ais. Orang dahulu menggunakan garam dan rempah untuk menjadikan daging bertahan lama tanpa rosak atau basi. Lorong yang akan saya lalui inilah laluan pedagang dari Timur dan Barat bertemu. Bertukar barangan. Menambah keuntungan. Kerana itu Petra membangun maju. Kota hebat dan besar yang perlu dikunjungi untuk berdagang. Untuk mendapat laba yang banyak.


Saturday, March 16, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Bahasa, Budaya dan Sifat Bangsa


Ada kekeliruan antara bunyi  Bahasa Arab dengan Bahasa Inggeris. Dalam Bahasa Arab bagaimana bunyi begitulah ejaaan yang ditulis. Kekeliruan tidka terjadi jika mendengar denga betul, menyebut dengan betul dan beramal dengannya. Ejaan watre mengikut bunyi.

Dari jauh hanya papan tanda biasa untuk dibaca dan dipatuhi.

Dibaca dari dekat untuk memahaminya dengan tepat. Ketika dekat itulah terlihat apa-apa kecacatan yang mungkin ada.


Dunia komersil banyak bergantung kepada iklan. Kepada pemberitahuan. Kepada makluman. Kepada maklumat. Tentu sahaja semua itu memerlukan bahasa. Memerlukan imej-imej yang tertentu. Perlukan animasi. Perlukan literatur yang sistematik dan sistemik. Bahasa itu pula padat, tepat dan memberikan maksud yang khusus. Banyak pihak yang bertanggungjawab dalam mengkaji, mengedit, melulus dan memantau kehadiran berjuta-juta iklan. Selalu pula kita dapati iklan-iklan yang tersalah cetak, tersalah tafsir, tersalah siar, tersalah edit dan sebagainya. Bahasa jiwa bangsa. Bahasa menunjukkan bangsa. Dalam konteks ini kita selalu mengabaikan jurus bahasa yang cantik. Bahasa yang tinggi nilainya. Bahasa yang apabila didengar menusuk ke dalam. Mencuit rasa indah. Ada seni yang sangat halus. Lebih tinggi pengalaman seseorang itu maka lebih tinggi nilai bahasa yang diguna. Kita inginkan bahasa yang sopan dan berakhlak. Ciptalah apa istilahpun asalkan bahasa itu memberikan maksud yang indah bersamanya. Bukan sekadar bahasa yang kosong. Tidak pula mengaibkan. Apatah lagi menghina.
Renung kembali bahasa orang dahulu. Saya hendak ke sungai besar (buang air besar). Ke sungai kecil (buang air kecil). Saya hendak membasuh tangan (ke tandas). Di kampung saya yang penuh dengan orang Jawa orang muda menggunakan bahasa Jawa halus (keraton – istana) apabila bertemu dengan orang tua. Apabila hendak melintas atau hendak meminta laluan mereka mengucapkan ungkapan yang lemah lembut. Turun dari basikal umpamanya sambil membongkokkan badan sedikit. Berjalan dengan teratur setapak demi setapak. “Kulo nuwuun!” Maksudnya minta maaf, saya hendak tumpang lalu. Itu gambaran 50 tahun dahulu. Semasa arwah datuk saya masih hidup. Sekarang sisanyapun tidak ada lagi.  Barangkali di kampung yang masih sangat tradisi ada lagi bahasa Jawa halus. Bagi yang berbahasa Melayu banyak kelembutan bahasa yang sangat cantik. Itupun jika arif menggunakannya. Yang baik itu budi. Yang cantik itu bahasa.
Kadang-kadang penggunaan bahasa yang betul boleh melembutkan suasana. Menanak nasi bukan memasak nasi. Menanak nasi terasa lembut bunyinya. Menjerang air juga istilah yang terasa lembut. Khusus untuk sesuatu perbuata atau aktiviti.  Apabila kita gunakan perkataan potong, maksudnya tidak pasti. Perkataan racik lain maknanya dengan canai. Begitu juga cencang. Bahasa yang halus bunyinya halus.   Lembut. Perkataan yang kasar terasa menyentak di hati. Menusuk sakit. Walau bagaimanapun bahasa lembut yang digunakan dengan betul cukup menghiris hati. Lukanya membarah. Tetapi di luar tidak terasa sakit. Tidak menimbulkan rasa dendam atau marah. Sekadar contoh:
Kita patut belajar dari pengalaman. Maknanya kenapa diulang-ulang kesalahan yag sama.   

Kalau nak pergi tak payah balik. Maknanya jangan pergi.                                                             

Panjat tinggi sedikit. Maknanya jangan panjat.

Ukur baju di badan sendiri. Bermaksud, ukur melalui kemampuan diri sendiri.

Jika kail panjang sejengkal, laut dalam jangan diduga. Makananya jangan buat perkara yang kita sendiri tidak arif.

Seperti kita, Jordan juga menggunakan bahasa Inggeris. Negara ini pernah di bawah British. Sekarang pula pengaruh Amerika Syarikat sangat kuat. Bahasa Inggeris adalah bahasa kedua. Ramai orang Jordan yang boleh berbahasa Inggeris.  Dari pemandu teksi hinggalah ke pekedai-pekedai, bahasa Inggeris bukan asing kepada mereka. Di Laut Mati yang menjadi destinasi pelancong, bahasa Inggeris digunakan secara meluas. Banyak arahan atau papan tanda yang menggunakan bahasa Inggeris. Jika betul banyak faedahnya. Jika tidak betul bagaimana? Banyak persoalan terhadap pengurusna bahasa. Di negara kita banyak iklan dan papan tanda yang tidak terkawal. Maksudnya teks atau literatur iklan itu tidak dirujuk kepada orang yang pakar. Pakar bahasa adalah antara orang yang perlu duduk dalam jawatankuasa iklan. Disokong pula oleh psikologis, pengiklan dan pengurus produk. Jangan lupa pula sosiologis dan pakar agama. Banyak sensitiviti yang perlu dijaga dan dipelihara. Maksudnya tidak hanya satu pihak yang membuat permohonan dan tidak boleh satu pihak lain yang meluluskannya.
Banyak perkara yang harus dipelihra jika kita ingin melihat  bahasa kita menjadi berwibawa. Keindahannya dipelihara. Istilahnya diperkemas. Ejaannya distandardkan. Nilai seninya dijaga. Impak komersilnya lebih fokus. Tidak boleh berlaku kesalahan susuk bahasa. Harus dilihat aspek syntax, morphology, linguistic dan sebagainya. Ini bermakna apa sahaja bentuk iklan hendaklah diurus dengan profesional. Bahasa adalah rupa bangsa. Nadi bangsa. Jiwa bangsa. Kerana itu pakar bahasa perlu dilantik untuk memberi input dari segi kegunaan, makna, maksud, pantag larang penggunaannya dan perkembangan bahasa itu sendiri. Ramai guru bahasa di setiap bandar atau daerah. Pesara-pesara guru bahasa boleh diambil secara berkala untuk menilai sesuatu iklan atau siaran atau papan tanda. Dewan Bandaraya, Majlis Perbandaran atau Majlis Daerah perlu mewujudkan jawatankuasa yang di dalamnya ada pesara guru bahasa. Atau tersedia seseorang yang mengawasi penggunaannya.
Kesalahan bahasa kadang-kadang dilihat kecil. Namun ianya memberi makna yang besar. mencemarkan bahasa. Merendahkan martabat bangsa yang menggunakan bahasa itu. Dalam bahasa Melayu selalu terkeliru antara “dimarah” dengan “di marah”. Telur atau telor. Dukung, dokong atau dukong. Ejaan Muhammad, Muhamad, Muhammed, Muhd, Mohd, Md, Mohamed dan Mat tidak standard hingga sekarang. Orang biasa tidak nampak nilai sebenar sesuatu perkataan atau istilah. Pakarnyapun perlu pembantu. Seseorang atau sebuah jawatankuasa perlu berbincang dengan mendalam maksud sebenar sesuatu iklan. Segala apsek yang perlu hendaklah diteliti dari setiap sudut. Jika tidak, banyak kesalahan yang berlaku dari segi penggunaan bahasa untuk tujuan komersil.
Banyak pula penggunaan bahasa Inggeris yang keliru. Bahasa Inggeris Amerika atau British. Kita selalu tidak mengambil berat mengenai ejaan dan istilah yang terpakai. Kita fikirkan semuanya sama sahaja. Apabila kita teliti, banyak kesalahan dari bahasa dan istilah.  Organise (British) atau organize (USA). Tyre (British) atau tire (USA).  Di Laut Mati saya melihat iklan dalam bahasa Inggeris. Dari jauh dilihat menarik. Bila diamati rupanya terdapat kesalahan iklan. Water dieja watre. Mungkin orang tidak perasan. Mungkin pelancong tidak ambil kisah. Namun begitu secara profesionalnya kesalahan tetap kesalahan. Apabila tida ada pengawasan dan pemantauan lebih banyak kesalahan yang pasti berlaku. Menarik balik sesuatu iklan banyak kosnya. Membatalkannya juga banyak kosnya. Tetepi jika teks awalnya diteliti kekusutan mengenai iklan itu dapat diatasi. Sebagai contoh banyak jug aiklan yang akhirnya dilihat dan dibaca sebagai double meaning.  Keluar beberapa hari pengguna marah kanan dan kiri. Iklan sepert itu terpaksa ditarik balik. Itu belum lagi pembaziran iklan. Iklan yang panjangnya 10 saat sebenarnya hany aperlu 2 saat sahaja. Selebihnya terpaksa dipotong.  Setel dipertontonkan baru disedari maksud iklan itu terkandung pada 2 saat yang akhir. 8 saat bukan banyak kepada orang yang tidak terlibat dengan iklan. 8 saat itu mungkin RM8 juta. Bukan RM800.
Memelihara bahasa adalah tanggungjawab bersama. Tanggungjawab pemimpin dan rakyat yang cintakannya. Cintakan bahasa seperti nyawanya. Saya cemburu bagaimana orang Jepun mencintai bahasa mereka. Begitu juga orang Perancis, Russia, Greece, Italy, Sepanyol, Jerman dan banyak negara lain. Di Asia selain daripada Jepun negara yang rakyatnya mencintai bahasa mereka ialah Cina dan Korea. Mereka tahu berbahasa Inggeris tetapi tidak menggunakannya dalam acara rasmi. Dalam hubunga rasmi. Pemimpin mereka membawa jurubahasa ke mana-mana mereka pergi. Kita bagaimana? British masih kuat mencengkan sanubari kita. Acara rasmi atau tidak semuanya mengabaikan bahasa ibunda. Memang semua orang mudah faham. Namun kecintaan terhadap bahasa sendiri tidak kesampaian maksudnya. Sekadar di bibir sahaja. Hatinya milik orang lain. Mari kita fikirkan bersama.


Monday, March 11, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Petra Seperti Melintasi Zaman Antah Berantah





Dari dalam bas kami melihat ke arah gunung-ganang yang agak berbeza dengan kawasan sekelilingnya. Berbalam kelam di bawah sinaran matahari yang menjelang tengahari. Saya seperti pernah melihat imej ini. Jika tidak salah filem Conan the Barbarian. Dari luar tidak dapat diduga apa yang mungkin akan ditemui. Atau dilihat. Kembara pertama seperti yang saya alami memang tidak banyak yang diimpikan. Lihat dahulu baru tahu.

Ini hanya sebahagian dari ratusan bas pelancong yang setiap hari membanjiri Petra. Perkhidmatan pelancongan sahaja tentulah menjana jutaaan dinar kepada Jordan. Mereka datang dari seluruh dunia.

Kami tiba untuk turut meramaikan lagi suasana. Ramai yang mengatakan bahawa Petra adalah destinasi yang seolah-olah suatu kemestian apabila berada di Jordan.

Hanya ada satu laluan sahaja untuk ke Petra dan keluar dari Petra. Jutaan manusia sudah melaluinya sejak ratusan tahun dahulu.

Dua bangsa yang dipertemukan dalam satu agama. Anuar di sebelah kiri berasal dari negara Cina. Muhammad di sebelah kanan berasal dari negara Russia. Kedua-duanya membeli serban untuk melindungi diri dari panas terik matahari.

Menunggu tiket untuk masuk


Dalam perjalanan ke Petra banyak yang kami lihat. Gambar ini adalah antara yang mengkagumkan kami.

Tuan dan muda entah dari mana mereka datang. Kita di Malaysia tidak pernah mendengar tentang Petra. Namun dari negara lain mereka datang berpusu-pusu untuk menyaksikan sendiri keajaiban manusia dahulu.

Kami belum sampai di lorong masuk ke Petra. Di luar sahaja sudah cukup menakjubkan. Saya tidak tahu bagaimana hendak menceritakannya. Lihatlah gambar ini dan buat persepsi yang sesuai.

Siapa yang membuatnya dan bagaimana dibuatnya tiada siapa yang pasti. Yang kita lihat ialah sesuatu yang ajaib. 

Di luar lorong. Kudan dan tuannya menunggu penumpang.

Sekumpulan pelancong keluar dari perut gunung.

Sudah hampir dengan lorong masuk.

Di pintu masuk.

Mereka berbaris keluar seperti baru lepas berjuang.

Ada yang keluar dan masuk menggunakan kereta kuda.

Masih berlegar-legar lagi

Bergambar beramai-ramai dengan pengawal lakonan.

Bukan wayang bangsawan. Lakaran suatu waktu dahulu.

Bersama peensyarah dan pelajar Albania.

Mari kita mulakan pengembaraan yang panjang dan lama. Tiada siapa yang tahu apa yang ada di hadapan.

 

Kami berbaris seorang demi seorang. Tiket diberikan kepada setiap orang. Untuk disimpan. Untuk kegunaan yang diluar jangka. Bahawa setiap pengunjung adalah pengunjung yang sah. Bukan menyeludup. Bila diperiksa tiket itu ada bersama di badan. Melankah pintu masuk yang tidak seberapa itu seolah-olah kami memulakan suatu perlajanan zaman. Perjalanan yang entah apa hujungnya. Cuma kami tahu bahawa di hujung sana tedapat tinggalan sejarah manusia lampau. Manusia yang hebat pada zamannya. Mereka mencipta tamadun yang berkekalan hingga sekarang. Maaf, yang tinggal sejarahnya. Saki baki penghuninya entah di mana. Mungkin ada di kawasan itu atau mungkin telah pupus dek zaman. Yang pastinya di sekeliling bandar Petra terdapat perkataan dan nama yang mengingatkan sejarah silam itu. Al-Anbat atau Nabatee mungkin nama bangunan atau nama kedai. Nama yang bersejarah. Bermulanya episod kisah manusia. Kisah kejayaan. Kisah kegemilangan. Kisah kejatuhannya. Kisah tragik-komidi ini berulang-ulang di tempat yang berlainan. Manusia kadang-kadang tidak pernah memikirkan masa hadapan. Maksudnya mencari jalan yang lebih baik untuk memperbaki dirinya dengan izin Allah.
Ada beberapa alternatif untuk sampai ke badara purba Petra. Pertama berjalan kaki. Jauh? Nanti dulu jawapanhya. Naik kuda. Bukan laju. Pemiliknya memimpin tali kuda. Cuma kaki kurang letihnya. Naik unta. Tinggi dan gah kelaihatnnya. Atau naik kereta kuda. Laju. Tetapi ada kesan sampingannya. Kebanyakan orang  berjalan kaki. Mengikut kudrat kekuatan yang ada. Bayaran kenderaan purba ini antara 10JD hingag 25JD. Dari ribuan orang yang mengunjungi Petra saya tidak melihat kanak-kanak. Jika ada kanak-kanak yang menjual poskad. Disogokkan kepada semua pelancong. Zaman sudah berubah. Poskad tidka mungkin lagi dihantar sebagai mesej. Teknologi sepatutnya dimanfaatkan. Jual CD lebih memberi manfaat. Rasanya kanak-kanak tidka mandapat banyak manfaat. Mereka tentu masih belum dapat memikirkan sejarah dahulu. Hubungannya dengan sekarang. Hubungannya dengan dirinya sendiri. Yang dewasa dapat mengingsafi kelemahan. Bahawa kekuatan hanya sementara.  Bahawa kekuatan lawannya kelemahan. Masa sahaja yang menentukan kuat atau lemah. Kesilapan-kesilapan selalu membawa kepad kelemahan. Apatah lagi jika kesilapan itu disengajakan. Atau kesilapan yang dipadang remeh. Atau kesilapan yang tidak diperbaiki.  Atau dicegah dari berlaku. Atau dicegah dari berulang lagi.
Di kiri kanan laluan ke kawasan itu penuh dengan batu-batu yang licin permukaannya secara semulajadi. Maksudnya licin dari batu-batu yang berbonggol atau berbenjol-benjol. Terdapat pula lubang-lubang besar sama ada terjadi dengan kuasa Allah atau memang dipahat. Lubang-lubang itu pernah didiami oleh puak Badwi yang banyak di padang pasir. Laluan kami adalah jalan berbatu-batu halus. Kering dan panas. Terdapat dua lorong. Satu untuk pejalan kaki dan satu lagi untuk kuda, unta dan kereta kuda. Tidak mungkin berlaku pertembungan antara haiwan dan manusia kerana masing-masing diberi laluan yang berbeza. pelancong yang keluar dan masuk tetap sama banyak. Maaf saya. Kanak-kanak memang tidka ada sebagai pelancong. Namun ada juga pelancogan pasangan muda yang membawa anak kecil mereka. Tidka ada yang mendokong anak. Anak-anak diletakkan di kerusi sorong. Seksa juga menyorongnya kerana jalan berbatu-batu. Pengalaman manis menjadi bapa atau ibu. Penuh dengan kepayahan. Apabila besar, anak-anak yang tidak mengenang kesemuanya itu tentu mencuit hati. Pelancong tua sangat ramai. Pelancong warga emas. Rasanya ramai juga yang berusia melebihi 70 tahun. Namun mereka bergerak cergas menuruni dan mendaki bukit. Dari pintu masuk tadi perjalanan hanya menurun. Gunung-ganang yang kami lihat dari jauh hanya kemuncak yang tidak dapat kami lihat kakinya.  Menuruni bukit itu sebenarnya kami menuruni ke kaki gunung. Lebih tepat memasuki celah gunung. Mereka yang tua-tua tidak ada yang merungut. Tidak ada yang nampak kecewa. Ada yang megendong beg. Memakai satu tongkat. Atau dua tongkat seperti bermain ski di musim snow. Tongkat itu membantu menolak kakai untuk mendaki perjalanan pulang. Letih? Memanglah. Tetapi semangat masing-masing tetap utuh walaupun telah melalui perjalanan yang jauh dan panjang. Perjalanan itu sendiri saya simpulkan menakjubkan.
Laluan berpanas kira-kira lebih sedikit sekilo meter. Tetapi panas dan berbahang. Panas matahai musim winter.  Ada yang berpayung. Ada yang memakai serban. Ada yang mamakai topi. Ada yang melindungi diri dengan pakaian. Bermacam-macam karenah masing-masing dalam usaha mengatasi kepanasan sinaran cahaya matahari. Yang naik berjalan selaju mungkin untuk segera keluar dari kawasn itu. Untuk makan dan minum dengan selesa. Untuk mengimbas kembali semua yang telah disaksikan dengan  mata sendiri. Tidak dengan pandang orang lain. Yang berjalan masuk berges laju sebab menuruni bukit. Ingin segera melihat bukti dari cerita yang banyak dibaca dan didengar. Bagaimana sebenarnya apabila dilihat dengan mata sendiri. Namun begitu di kanan dan kiri laluan itu sendiri sudah banyak keajaibannya. Bagaimana manusia al-Anbat itu menemui kawasan itu. Lalu mendudukinya selama berabad-abad lamanya. Sebelum tamadun mereka hilang. Sebelum dunia mereka ditemui sebagai sejarah silam yang telah lama hilang fungsinya.
Tibalah kami di pintu masuk kedua. Pintu yang merupakan permulaan suatu perjalanan zaman lampau. Kenderaan seperti tadi juga. Kuda, unta dan kereta kuda. Bagi yang pernah mengunjungi tempat itu mereka dapat membayangkan perjalanan yang bakal ditempuhi. Bagi yang lain semuanya jangkaan sahaja. Guessing game. Tedapat pondok polis pelancongan jika perlukan bantuan. Ada kedai yang menjual makanan ringan dan minuman. Biasalah. Di tempat seperti itu di seluruh dunia harga barang-barang munkin empat atau lima kali ganda dari harganya di luar kaeasan. Masuklah kami ke dalam suatu laluang yang dengan sendirinya menakjubkan. Laluan itu di celah-celah gunung. Celah yang Allah jadikan. Dibina laluan dengan meratakan dasarnya. Zaman itu tiada penggelek jalan. Mungkin ada teknologi yang mereka bina itu itu. Ditabur batu kecil untuk laluan kuda dan unta. Di kanan dan kiri memang tembok batu. Batu gunung yang keras dan pejal. Melihat batu pejal itu seperti kelainan yang luarbiasa. Bagaimana suatu kaum purba boleh membinanya. Menetap di dalamnya. Mempertahankan kedaulatannya. Membina tamadunnya sendiri.
Di pintu masuk itu terdapat dua orang pengawal yang lengkap berpakaian seperti askar kaum al-Anbat. Kami bergambar bersama mereka. Agaknya jika kita kembali ke zaman itu, begitulah bentuk tentera yang berkawal di pintu masuk  ke bandar purba Petra. Mereka berpakaian hijau. Bertopi besi. Memegang senjata. Siap sedia mempertahankan negara. Hanya suatu analogi. Lakonan semula. Langkah-langkah menuju zaman purba Petra. Jalan jauh yang bengkang-bengkok. Dilindungi pagar batu, tembok dinding gunung yang tinggi dan kukuh.



Friday, March 8, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Kejutan Yang Menimpa Mengejutkan

Hidup kita selalu penuh dengan kejutan. Sesimple mana sekalipun hidup kita ada kejutan yang setaraf dengan kita. Orang besar kejutanny abesar. Orang kecil kejutannya kecil. Orang yang bukan siapa-siapa masih ada kejutan yang Allah hadapkan kepadanya. Pukul 9.30 pagi hari Khamis 7 Mac 2013 saya didatangi oleh pengajar Bahasa Arab saya. Katanya saya diminta untuk membaca ayat-ayat suci al-Quran pada majlis konvokesyen Universiti Zarqa tengahari itu. Terfana juga saya sebentar. Betulkah apa yang saya dengar ini? Spontan saya jawab setuju. Saya kira tentu ayat-ayat yang mudah sahaja. Saya dijemput pula ke kamar dekan Markaz al-Lughaat. Fakulti Bahasa. Saya diminta membaca surah al-‘Alaq.  Nampaknya dia gembira dengan bacaan saya. Saya diminta menunggu untuk majlis yang akan diadakan. Acara hari itu saya teruskan dengan menghadiri kelas seperti biasa. Cuma saya bingung sebentar. Kenapa hanya pada pagi itu baru saya dimaklumkan. Saya tidak bersedia dari segi psikologi. Tiada persediaan dari segi pakaian. Aduhai! Macam mana ni. Simpang siur hati saya memikirkannya. Jika beberapa sekurang-kurangn adapat saya gayakan bacaan saya. Mungkin sedikit taranum mana yang saya tahu. Di Malaysia hal seperti ini tidak pernah terjadi. Orang yang terpilih untuk membuat persembahan sudah dikenalpasti berbulan-bulan lamanya. Diminta berlatih. Turut serta dalam raptai dan sebagainya.
Kadang-kadang banyak perkara yang berlaku dalam hidup kita tanpa kita tahu signifikannya. Atau sekuennya. Kita hanya melakukan sesuatu yang pada perasaan dan pandangan kita itulah suatu rutin sahaja. Kita jarang menyangka yang lain. Tidak juga menjangkakan yang lain. Suatu hari, dua minggu lalu guru bahasa Arab saya demam. Guru penggantinya Ustazah Ala membawa kami ke makmal bahasa. Kebetulan antara topik hari itu ialah membaca potongan ayat-ayat al-Quran. Kami semua membacanya mengikut kemahiran masing-masing. Ustazah Ala memuji semua orang kerana boleh membaca al-Quran. Saya tidak pula terasa apa-apa. Rupanya itu peristiwa yang membawa barakah kepada saya barangkali. Mungkin dia menceritakan kepada Dekan tentang saya. Atau kerana ada keperluan maka nama saya yang terlintas di mindanya. Memang terkejut besar saya menerima penghormatan sebegitu. Di sebuah universiti swasta yang ternama di Amman. Di Jordan. Di negara orang. Sudahlah begitu di negara Arab pula. Hampir seluruh audiennya orang Arab. Jika ada orang luar semuanya pelajar bahasa Arab. Saya tidak tahu apa penerimaan mereka. Saya baca mengikut kemahiran saya. Mengikut apa yang telah saya pelajari. Saya mewakili Malaysia ketika itu. Mewakili semua pelajar-pelajar asing. Saya tunaikan sesempurnanya.
Barangkali pengalaman di atas pentas membantu saya untuk memperkemas diri. Kebetulan minggu lalu saya berpakaian kemas sedikit. Hari-hari memakai kasut kulit hitam. Bersetokin hitam. Berseluar hitam. Baju kemeja disarung dengan baju tebal. Di bahagian luarnya saya memakai jaket berwarna cokelat. Segak jugalah agaknya. Perasan sendiri. Pada pukul 11.30 seorang pelajar Malaysia memanggil saya melalui telefon bimbit. Saya bergegas meninggalkan kelas kerana Ustazah Ala sudah menunggu. Di dewan konvokesyen sudah penuh dengan graduan, pelajar dan ibu bapa. Tetamu jemputan baru mula beransur-ansur memenuhi ruang duduk tamu. Saya cari kerusi dan duduk bersahaja. Kanak-kanak merenung saya mungkin kelainan pada raut wajah saya yang bukan Arab. Walaupun mirip-miripnya ada tetapi hidung saya tidak dapat menyembunyikan fakta yang benar. Melayu tetap Melayu. Alhamdulillah Islam menjadikan saya umat seperti orang Arab juga.
Dewan masih santai lagi kerana acara belum bermula. Tiba-tiba muzik dimainkan. Lagunya agak rancak sedikit. Itu rupanya isyarat bahawa sesuatu yang tidak dapat saya duga berlaku.  Saya sangat terkejut. Graduan lelaki bangun menari-nari dan berbunyilah siaulan orang Arab apabila mereka bergembira santai menceriakan hati masing-masing. Susana seperti itu tidak pernah saya lihat di Malaysia. Baik di UM, UTM, UTHM, UTP, UiTM, UIA atau semasa saya di US dahulu. University of Pittsburgh yang gah itupun ada sopannya yang tersendiri semasa konvokesyennya. Di Universiti Zarqa budaya ilmu hilang tertiarap merata kerana rupanya disiplin itu tidak ada. Satu dewan berpesta dengan kebisingan yang mengatasi segala-galanya. Kali pertama saya melihat budaya Arab dari dekat. Di depan mata. Tidak mungkin ianya berlaku di Malaysia. Konvokesyennya sopan santun. Beradab. Penuh dengan protokol dan etiket. Senyap. Tiada budak. Semua orang tegak duduknya. Mata sahaja yang beralih ke kanan dan ke kiri. Tempat duduk payah hendak berkisar. Kata orang putih solemn.
Di Zarqa keadaan seperti tidak terkawal. Langsung tiada protokol. Budaya yang terlepas. Kebebasan yang sukar saya gambarkan. Ustazah Ala meminta saya duduk di barisan hadapan di sebelah kiri dewan. Dalam gemuruh acara hendak dimulakan, dewan senyap sedikit. Terdengarlah patah-patah perkataan yang antaranya, “Tolib min Malaysia, Ustaz Yusof.” Cukuplah. Apabila dia memandang ke arah saya itulah isyaratnya untuk saya menaiki tangga yang tidak berapa tinggi. Saya langkah beradab. Arahnya rostrum yang sudah sedia dibuka al-Quran. Surah ak-‘Alaq.  Seperti biasa saya betulkan pembesar suara separas mulut saya. Saya pandang ke arah audien. Wow! Semua mata ke arah saya. Mata orang Arab. Orang tua dari mana ni? Itu agaknya pada pertanyaan mereka. Tidak ada kerusi. Tidak ada meja. Rostrum itulah tempat saya membaca al-Quran. Kering tekak saya. Walaupun sudah biasa di hadapan audien tetapi kali ini di tempat asing. Di tempat orang. Di tempat yang berbahasa Arab adalah bahasa al-Quran. Di tempat yang audiennya adalah orang Arab jati. Tulen. Setiap kesilapan saya tentu ramai yang boleh mengesannya. Alhamdulillah tamat sudah. Senyap seketika dewan sewaktu ayat-ayat suci dikumandangkan.
Selepas tamat bacaan al-Quran majlis disambung semula. Tamat ucapan Dekan Fakulti Bahasa. Lupa pula saya. Namanya Dr. Ilham. Seorang wanita. Pada hari itu dia memakai baju luar berwarna hijau menyerlah. Apabala tamat ucapannya, majlis penyampaian ijazah dimulakan. Muzik bermula semula. Ketika itu seluruh dewan gegak gempita dengan tepukan. Dengan tarian. Dengan siulan. Upacara konvokesyen itu penuh dengan kegembiraan yang tidak terkawal pada persepsi saya orang Malaysia. Orang yang selama hidupnya berda di Malaysia. Budaya kita lain. Amalan kita lain. Persepsi kita lain. Konvokesyen di Jordan bukan suatu agenda berprotokol. Tiada etiket. Semuanya terlepas kerana pada hari tersebut mereka melepas segala jerih perih belajar bertahun-tahun. Memerah otak. Mendepani ujian dan peperiksaan. Melangsaikan banyak tugasan yang bebannya berat memberatkan. Pada majlis konvokesyen itu mereka melepas geram bertahun-tahun .
Pengamatan saya menunjukkan ada kelainan yang sangat berlainan.
1        Tiada hiasan apapun baik di atas pentas, di dewan, di luar dewan atau di kawasan universiti. Jika tidak diundang membaca al-Quran saya tidak tahu ada majlis konvokesyen pada hari itu.
2        Tiada protokol pakaian sama ada untuk graduan atau untuk petugas. Mereka bebas memakai fesyen yang mereka ada, tanpa mengira warna. Ramai petugas yang memakai seluan jean. Graduan juga begitu. Kasut warna warni. Tudung berwarna warni.
3        Kanak-kanak ramai di dalam dewan. Tiada larangan membawa mereka. Untuk melihat abang dan kakak. Atau mungkin untuk melihat ibu dan bapa mereka menerima ijzah.
4        Muzik rancak mengisi ruang. Peluang untuk bergembira. Dizahirkan oleh pelajar dan graduan.
Ada baiknya bergembira dalam suasana yang sewajarnya digembirakan. Majlis konvokesyen bukan majlis yang suram, pegun dan mengerikan. Penuh dengan istiadat yang asing kepada kita sebenarnya. Warisan British yang tiada habis-habisnya. Merdeka pada fizikal tetapi masih terikat kuat mendokong budaya mereka. Di Jordan graduan memakai motar dan jubah konvokesyen tetapi mereka menyatkan kegembiraan mereka. Dalam sudut yang lain ianya mengejutkan saya kerana yang dipertontnkan bukan budaya Islam. Bukan budaya yang syarie. Rupanya budaya barat menenggelamkan seluruh umat Islam di seluruh dunia. Guru bahasa Arab saya meninggalkan dewan sebaik sahaja saya tamat membaca al-Quran. Begitu juga pelajar Malaysia meninggalkan dewan kerana suasana yang ada tidak mendamaikan hati. Ada kejengkelan yang meredam di dalam. Bungkem menahan rasa tidak enak. Apa sudah jadi sebenarnya kepada harapan Islam pada masa hadapan.  Sampai hari ini saya masih tertanya-tanya. Saya takut jawapannya juga menakutkan. Tanda-tanda akhir zaman yang  sudah lama diberitakan.