Thursday, November 8, 2012

Rasm Uthmani: Menepati Tujuh Ahruf dan Meraikan Qiraat Sepuluh






Maznah binti Abas

Dan

Md Yusof bin Jamar @ Jamil



ABSTRAK

Al-Quran pada asalnya ditulis atas arahan Sayyidina Uthman r.a. yang menjadi Khalifah Ketiga ketika itu. Al-Quran peringkat awal ditulis dalam bahasa Quraisy. Ianya terkenal dengan istilah Rasm Uthmani. Penulisan Rasm Uthmani diusahakan kerana telah terjadi banyak peselisihan tentang pembacaan al-Quran. Satu elemen penting dalam perkembangan itu ialah bertambahnya orang Ajam. Berlaku kesukaran membaca al-Quran kerana tiada dhobt untuk membantu mereka. Maklum tentang pemasalahan tersebut Sayyidina Uthman r.a. cuba mengatasinya. Perbezaan dari aspek dialek dan pengaruh budaya setempat diatasi dengan Rasm Uthmani.. Penulisannya mengambilkira penurunan al-Quran dalam tujuh ahruf. Hanya Rasm Uthmani yang memenuhi keperluan membaca al-Quran semua qiraat tanpa kecuali.


1.0              PENDAHULUAN

Al-Quran yang ditulis mengikut Rasm Uthmani adalah al-Quran yang disepakati dan  diterima umum sebagai yang paling sahih. Mashaf al-Quran mengikut Rasm ini ditulis sesuai dengan bacaan Hafs ‘an ‘Asim. Lebih 85% umat Islam di seluruh dunia membaca al-Quran Hafs ‘an ‘Asim. Al-Quran sejak dari zaman Sayyidina Uthman bin ‘Affan r.a. ditulis dengan Rasm Uthmani. Ianya disandarkan kepada Khalifah Uthman r.a. Semua bacaan qiraat menggunakan al-Quran yang sama walaupun diusahakan secara khusus al-Quran yang lain untuk qiraat-qiraat yang tertentu. Secara spesifiknya al-Quran Rasm Uthmani  boleh dibaca oleh semua bacaan qiraat. Ini bermakna Rasm Uthmani menepati hukum bacaan Qiraat ‘Asara.


2.0              RASM UTHMANI DAN KELEBIHANNYA

Banyak perbincangan mengenai penulisan al-Quran dalam Rasm Uthmani. Jika kita menyingkap sejarah penulisan al-Quran  dari zaman  Rasulullah s.a.w. hingga  zaman Sayyidina Uthman r.a. kita dapati penulis-penulis wahyu yang terlibat masih bersama Sayyidina Uthman r.a. semasa al-Quran ditulis secara standard yang dinamakan Rasm Uthmani. Sejarah merakamkan bahawa semua bentuk tulisan al-Quran dimusnahkan. Hanya yang diusahakan oleh Sayyidina Uthman sahaja yang dikekalkan, dipelihara dan dillestarikan hingga ke hari ini. Usaha ini sesuai dengan firman Allah:

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَفِظُونَ

Maksudnya: Sesunguhnya Kamilah (Allah) yang menurunkan al-Quran dan Kamilah (Allah) yang memeliharanya. (al-Hjr 15:9)

Rasm Uthmani ialah sistem penulisan al-Quran mengikut yang disepakati di zaman Sayyidina Uthman r.a. Prosesnya dengan pengumpulan dan penulisan kalimah-kalimah al-Quran yang terdapat pada mashaf-mashaf yang ditulis oleh para sahabat sejak dari zaman Rasulullah s.a.w. hingga ke zaman pemerintahan Sayyidina Uthman Bin Affan r.a. Kaedah ini dinamakan Rasm Uthmani kerana pada zaman pemerintahan Khalifah Uthman Bin Affan r.a. ayat-ayat al-Quran ditulis dan dihimpunkan secara khusus seperti mashaf yang ada pada hari ini. Pengumpulan al-Quran dan penulisannya yang diketuai oleh Zaid bin Thabit r.a. adalah berdasarkan tulisan orang Quraisy. Demi memelihara bacaan al-Quran yang tepat hanya al-Quran Rasm Uthmani sahaja yang difatwakan sebagai yang sahih. Membaca al-Quran yang bertulis dengan Rasm Uthmani memenuhi rukun membaca al-Quran. Terdapat beberapa keunggulan Rasm Utmani. Antaranya:


2.1              Mengikut Sunnah Rasulullah s.a.w.

Al-Quran diterima Rasulullah s.a.w. secara langsung daripada malaikat Jibril a.s. Rasulullah s.a.w pula memperdengarkannya kepada sahabat untuk dihafal. Pada masa yang sama Rasulullah s.a.w. memerintahkan sahabat yang mahir menulis untuk mencatatkan wahyu dalam bentuk tulisan. Baginda memberi arahan spespik mengenai cara menulisnya. Apabila Rasm Uthmani direalisasikan Sayyidina Uthman r.a. mengekalkan kaedah yang telah dimulakan oleh Rsulullah s.a.w. Ini bermakna Sayyidina Uthman r.a mengekalkan sunnah Rasulullah s.a.w.


2.2              Menepati Semakan Terakhir

Diriwayatkan bahawa Zaid bin Thabit r.a. hadir sama semasa Rasulullah s.a.w. dan malaikat Jibril a.s. membuat semakan terakhir al-Quran yang telah diturunkan hampir 23 tahun lamanya. Pada semakan terakhir itulah Al-Quran disusun dari al-Fatihah hingga ke an-Nas. Justeru itu Zaid bin Thabit r.a. menjadi orang yang paling layak mempengerusikan jawatankuasa pengumpulan dan penulisan al-Quran.


2.3              Berdasarkan Kepada Riwayat Mutawatir

Jumlah sahabat yang menghafal al-Quran sangatlah ramai. Ini bermakna ramai sahabat yang boleh menjadi guru al-Quran. Kerana itu penulisan al-Quran Rasm Uthmani adalah berdasarkan riwayat yang mutawatir.


2.4              Menepati Tujuh Ahruf Al-Quran

Ulama’ mengambil kata sepakat bahawa Rasm Uthmani mengambil kira tujuh ahruf dan bacaan Al-Quran. (Lihat para 5.0).


2.5              Memenuhi Keperluan Rukun Bacaan Al-Quran

Bahawa hanya Rasm Uthmani sahaja yang dianggap sahih untuk dibaca dengan betul. Selain sanadnya sampai kepada Rasulullah s.a.w., membaca al-Quran hendaklah berlahjah Arab dan akhirnya membaca al-Quran hendaklah menggunakan Rasm Uthmani.


3.0              SEJARAH RINGKAS PENULISAN RASM UTHMANI

Pada awalnya Rasm Uthmani adalah tulisan tanpa harakat dan tanpa baris. Bahasa Quraisy yang digunakan sesuai dengan umat Islam peringkat awal ketika itu. Walau bagaimanapun Al-Quran tanpa dhobt tersebut menimbulkan keberagaman pembacaan. Gambar 3.1 hingga Gambar 3.3 yang berikut menceritakan kesukaran membaca al-Quran bagi orang Ajam tanpa berlatarbelakangkan Bahasa Arab.
                                                                       
                                                                                                                                                      
                       
Gambar 3.1:Tulisan Kuffah kurun ke-7 tanpa harakat dan dhobt. Al-Quran  Rasm Uthmani  Surah  
Al-A’Raf 7:86 - 87.


Manuskrip kurun ke-9 H




     Manuskrip Samarkand di  Tashkent. Dpercayai
          antara yang tertua sewaktu pemerintahan Sayyidina Uthman bin 'Affan r.a. 

 
Al-Quran dalam khat Hijazi. Kurun ke-7M. 

File:AndalusQuran.JPG
Al-Quran waktu kegemilangan Andalusia


4.0       USLUB PENULISAN RASM UTHMANI

Rasm Uthmani direalisasikan pada zaman Saiyyidina Uthman r.a.  menjadi Khalifah ketiga. Hakikat keadaan ketika itu memerlukan al-Quran yang tunggal. Dialek, tahap kemahiran dan penghayatan al-Quran semakin banyak perbezaan kerana umat Islam semakin ramai. Kawasan takluk Islam juga semakin meluas. Al-Quran pada asalnya dihafal. Selain dari qiraat yang membezakan bacaan, ramai umat Islam yang membaca al-Quran terlalu berbeza antara satu daerah dengan daerah yang lain. Kerana itu Sayyidina Uthman r.a. mengambil inisiatif untuk menulis al-Quran dalam usaha untuk menyatukan umat Islam. Al-Quran Rasm Uthmani  adalah usaha awal ke arah itu. Umat Islam berpecah belah dari segi pembacaan al-Quran. Sudah tentu wujud perbezaan dari segi interaksi mereka dengan al-Quran. Tindakan mereka juga berbeza. Sahabat-sabahat yang dekat dengan Rasulullah s.a.w. yang tepat bacaannya kerana mereka bertalaqqi dan bermusayafahah dengan baginda. Sejarah merakamkan bahawa ada sahabat yang membaca al-Quran berbeza dengan sahabat yang lain. Oleh kerana Rasulullah s.a.w.  masih boleh dirujuk ketika itu maka tidak timbul sebarang perbalahan antara mereka. Pada zaman Sayyidina Uthman r.a. keadaan sudah berbeza. Perbezaan membaca al-Quran tidak dapat diperbetulkan kecuali ada sesuatu yang mengembalikan mereka untuk bersatu.  Sayyidina Uthman r.a. memilih untuk menulis al-Quran dengan satu Rasm sahaja.  Suatu standard yang tiada tolok bandingnya. Kaedah penulisan Rasm Uthmani banyak yang tidak menepati lafaz bacaan. Kalimah-kalimah yang ditulis meliputi al-hazaf, al-ziadah, al-hamzah, al-ibdal, al-wasl wa al-fasl dan ma fih qira’atan (dua wajah). Jadual 5.1 di bawah menggambarkan keadaan-keadaan tersebut.


Kaedah
Rasm Uthmani
Catatan
Al-Hazaf
الْعَلَمِينَ
Dihazaf alif pada huruf ain
Al-Ziadah
يَا أُولِي
Ziadah huruf selepas hamzah
Al-Ithbat
لَيَكْتُمُونَ
Huruf lam digandingkan kepada kalimah selepasnya
Al-Hamzah
Awal kalimah –    أَلَمْ    ,إِرَمَ   ,أُم
Pertengahan kalimah – خَائِفًا  ,امْرَأَتَيْنِ
Hujung kalimah شَاطِئِ   ,جَاءَ  ,الْمَلَأُ
 Penulisan hamzah di awal kalimah

Hamzah di pertengahan kalimah

Hamzah di akhir kalimah
Al-Ibdal
ءَامَنُوا
Hamzah yang kedua diibdalkan menjadi alif
Al-Wasl
فَأَيْنَمَا
Huruf fa disambungkan kepada kalimah selepasnya
Al-Fasl
وَحَيْثُ مَا
Kalimah mim alif dipisahkan dari kalimah sebelumnya


Jadual 5.1: Kaedah penulisan Rasm Uthmani


5.0        TUJUH AHRUF

Rasm Uthmani mengambil kira tujuh ahruf seperti yang disabdakan Rasulullah s.a.w.
ﻋﻦ ﻋﻤﺮ ﺑﻦ ﺍﻟﺨﻂﺎﺏ ﺭﺿﻰ ﺍﷲ ﻋﻨﻪ................

...........ﺇﻥ ﻫﺬﺍ ﺍﻟﻘﺮﺀﺍﻥ ﺃﻧﺰﻝ ﻋﻟﻰ ﺳﺒﻌﺔ ﺃﺣﺮﻑ ﺃﻭ ﻓﺄﻗﺮﺃ ﻣﺎ ﺗﻴﺴﺮ ﻣﻨﻪ

Maksudnya: Dari Umar bin al-Khattab r.a. katanya: Saya mendengar Hisyam bin Hakim membaca surah al-Furqan di masa hidup Rasulullah s.a.w. Saya mendengarkan bacaannya dan kebetulan dia membaca menurut beberapa huruf yang tidak dibacakan Rasulullah s.a.w. kepada saya. Hampir saya menyerangnya ketika dia sedang solat. Tetapi  saya  dapat  menyabarkan  diri  sampai  dia  memberi  salam. Lalu  saya tarik dia dengan merentapnya dan mengatakan: “Siapakah yang membacakan kepada engkau surah yang saya dengar engkau membacanya?” Dia menjawab: “Rasulullah s.a.w. yang membacakan kepada saya.” Kata saya: “Engkau dusta. Baginda membaca kepada saya berlainan dari yang engkau baca itu.” Lalu saya menariknya kepada Rasulullah s.a.w. dan mengatakan kepada baginda: “Sesungguhnya saya mendengar orang ini membaca surah al-Furqan berlainan dari yang engkau bacakan kepada saya.” Kata Nabi: “Lepaskan dia! Bacalah  hai Hisyam!”Lalu dibacanya menurut bacaan yang saya dengar tadi. Rasulullah s.a.w. berkata: “Begitulah ayat itu diturunkan.” Kemudian baginda berkata: “Bacalah, hai Umar!” Lalu saya membaca menurut bacaan yang dibacakan oleh baginda kepada saya. Nabi berkata: “Begitulah ayat itu diturunkan! Sesungguhnya al-Quran itu diturunkan dalam tujuh huruf. Maka bacalah mana yang mudah antaranya!”  (HR Bukhari 2025).


Sayyidina Umar r.a. dan Hisyam membaca surah yang sama tetapi dengan bacaan yang berlainan. Walaupun tidak ada petunjuk secara pasti tetapi seolah-olah terdapat perbezaan qiraat. Oleh kerana Rasulullah s.a.w. masih hidup, perselisihan bacaan itu diharmonikan, diterima dan tidak menimbulkan perbezaan yang membawa petaka kepada umat. Hadith ini juga membuktikan bahawa pada zaman Rasulullah s.a.w. lagi sudah wujud wajah-wajah pembacaan al-Quran yang berbeza. Banyak pandangan ulama’ mengenai tujuh ahruf.


5.1        Ramai yang berpendapat mengenai perkara ini tetapi berbeza senarai bahasa  yang               dimaksudkan. Antaranya pendapat al-Hatim yang menyatakan al-Quran diturunkan         
              dalam bahasa Quraisy, Huzail, Tamim, Azad, Rabi’ah, Hawazin dan Sa’ad bin Bakar.

5.2          Tujuh bahasa yang berlainan dan bertaburan dalam al-Quran.

Walaupun dimaklumi bahawa al-Quran diturunkan dalam bahasa Quraisy namun bahasa-bahasa Huzail, Saqif, Hawazin, Kinanah, Tamin atau Yaman terdapat dalam al-Quran. Bahasa-bahasa itu bertaburan dalam al-Quran dan bukan mengenai satu-satu kalimah sahaja.


5.3          Tujuh wajah.

Ada pendapat mengatakan bahawa tujuh ahruf adalah berkaitan dengan amr, nahyu, halal, haram, muhkam, mutasyabih dan amsal.


5.4          Tujuh macam hal yang terjadinya khilaf.

Terdapat tujuh macam khilaf yang meliputi:


5.4.1        Ikhtilaf asma’ iaitu kata-kata yang berbentuk mufrad dan muzakkar seperti tasniah, jamak dan ta’nis. Contohnya

 وَالَّذِينَ هُمْ  لِأَمَٰنَٰتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَاعُونَ     
al-Maarij 70:32
Kalimah yang berbentuk jamak dibaca mufrad لِأَمَٰنَتِهِمْ oleh Ibn Kathir

5.4.2        Ikhtilaf i’rab. Ianya menunjukkan harakat akhir yang berlainan mengikut bahasa yang berlainan. Contohnya   كَلِمَٰتٍ         dibaca ﻛلِمَٰتٌ
                                   
 فَتَلَقَّىٰ آدَمُ مِن رَّبِّهِكَلِمَٰـتٍ فَتَابَعَلَيْهِ إِنَّهُ هُوَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ       
al-Baqarah 2:37

                                   Ibn Kathir membaca    كَلِمَٰتٍ     dengan tanwin dhommah  ﻛلِمَٰتٌ

5.4.3        Ikhtilaf tasrif.   Contohnya  
    قُلْ أَؤُنَبِّئُكُم بِخَيْرٍ مِّن ذَلِكُمْ لِلَّذِينَ اتَّقَوْا عِندَ رَبِّهِمْ جَنَّـٰتٌ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا
 وَأَزْوَاجٌ مُّطَهَّرَةٌ  وَرِضْوَٰنٌ مِّنَ اللّهِ وَاللّهُ بَصِيرٌ بِالْعِبَادِ  
Ali Imran 3:15

                                     Syu’bah membaca  وَرِضْوَٰنٌ  dengan  وَرُضْوَٰنٌ . 

                        5.4.4    Ikhtilaf taqdim dan ta’khir. Contohnya     

                             فَاسْتَجَابَ لَهُمْ رَبُّهُمْ أَنِّي لَا أُضِيعُ عَمَلَ عَامِلٍ مِّنكُم مِّن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَىٰ  بَعْضُكُم مِّن بَعْضٍ  فَالَّذِينَ هَاجَرُوا وَأُخْرِجُوا مِن دِيَارِهِمْ وَأُوذُوا فِي سَبِيلِي وَقَاتَلُوا وَقُتِلُوا لَأُكَفِّرَنَّ عَنْهُمْ سَيِّئَاتِهِمْ وَلَأُدْخِلَنَّهُمْ
 تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ ثَوَابًا مِّنْ عِندِ اللَّهِ  وَاللَّهُ عِندَهُ حُسْنُ  الثَّوَابِ جَنَّـٰتٍ
Ali Imran 3:195
   Qiraat Hamzah dan Kisaie membaca  وَقَاتَلُوا  .وَقُتِلُوا  Susunannya  terbalik.

           

5.4.5        Ikhtilaf ibdal. Ianya melibatkan penggantian huruf dengan huruf atau lafaz dengan lafaz. Contohnya  فَتَبَيَّنُوا   dibaca  فَتَثَبَّتُواْ   oleh Hamzah, al-Kisaie dan Khalaf.

                        يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَأٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ  
  al-Hujurat 49:6   

   فَتَثَبَّتُواْ Hamzah, Al-Kisaie dan Khalaf membaca dengan  

      
                        5.4.6     Ikhtilaf ziadah atau hazaf.  Dalam keadaan tertentu berlaku hazaf  min  seperti                                            hazaf  min  seperti pada الْأَنْهَارُ  جَنَّٰتٍ تَجْرِي  تَحْتَهَا(at-Taubah 9:100) juga dibaca                                                  dengan ziadah min seperti pada  مِن تَحْتَهَا الْأَنْهَارُ     جَنَّٰتٍ   تَجْرِي  (at-Tolaq 65:11).  



                                               
5.4.7        Ikhtilaf lahjah. Dalam keadaan ini bacaan mungkin ditafhim atau ditaghliz, ditashil, imalah atau taqlil. Contohnya kalimah  مُوسَىٰ dibaca sama ada imalah atau taqlil.  
        رَبِّ  مُوسَىٰ وَهَارُونَ      (as-Syuara 26:48)

                  

5.5          Tujuh yang membawa erti kesempurnaan.

Dalam era itu tujuh dianggap sinonim dengan banyak. Tujuh ahruf menjadi lambang kepada maksud itu. Tujuh yang menandakan sempurna.


5.6          Tujuh ahruf yang merujuk kepada tujuh qiraat.

Terdapat banyak perbezaan membaca al-Quran. Pada masa Rasulullah s.a.w. sendiri sudah wujud perbezaan itu. Kepada sahabat, apapun bacaan yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. adalah seperti ianya diturunkan. Mereka semua mengambil sanad daripada Rasulullah s.a.w. Bilangan qiraat yang masyhur ialah sab’a. Banyak juga qiraat yang syaz tetapi kesemuanya ditolak. Yang diterima ialah yang bersifat mutawatirah.


Setelah meneliti hadith tentang tujuh ahruf, Imam Ibnu Jazari membuat rumusan yang berikut.

5.7          Berkaitan dengan perubahan baris tetapi tidak pada huruf, makna dan bentuk tulisan.

يَحْسَبُأَنَّ مَالَهُ أَخْلَدَهُ 
al-Humazah 104:3
Nafi’, Ibn Kathir, Abu Amr, Al-Kisaie, Yaaqub dan Khalaf membaca يَحْسِبُ iaitu dengan sin dibaca kasrah.

                                                  

5.8          Berubah pada baris dan makna sahaja tetapi tidak pada huruf dan bentuk tulisan.

Sila rujuk 5.4.2. mengenai perkara yang berkaitan    


5.9       Berubah pada huruf dan makna sahaja tetapi tidak pada baris dan bentuk tulisan.

هُنَالِكَ تَبْلُواْ كُلُّ نَفْسٍ مَّا أَسْلَفَتْ وَرُدُّواْ إِلَى اللّهِ مَوْلاَهُمُ  الْحَقِّ وَضَلَّ عَنْهُم مَّا كَانُواْ يَفْتَرُونَ     
Yunos 10:30 
                        Hamzah, al-Kisaie dan Khalaf membaca   تَتْلُواْ      

      
             5.10     Berubah pada huruf dan bentuk tulisan sahaja tetap tidak pada makna dan baris.

   ﭐهدِنَــــا ﭐلصِّرَاطَ ﭐلمُستَقِيمَ
                       al-Fatihah 1:6
                       Qunbul ‘an Ibn Kathir dan Ruwais ‘an Yaaqub membaca sod dengan sin ٱلسِّرٰطَ                    Hamzah pula membaca sod dengan isymam.


5.11     Berubah pada huruf, baris dan bentuk tulisan sahaja tetapi tidak pada makna.

                        Rujuk para 8.


5.12     Berubah pada takdim dan ta’kir.

Rujuk para 5.4.4.


5.13     Pertambahan dan pengurangan huruf.

Rujuk para 8.0.


Perbincangan mengenai maksud sebenar tujuh ahruf terlalu panjang. Secara ringkasnya ramai ulama’ yang menyimpulkan bahawa Rasm Uthmani perlu diberi kedudukan utama kerana bertepatan dengan wajah qiraat yang diajarkan Rasulullah kepada sahabat-shabatnya. Pendapat jumhur ulama’ ialah tujuh bahasa yang berbeza ungkapannya tetapi membawa makna yang sama. Penulisan al-Quran menggunakan Rasm Uthmani mengambilkira semua tujuh ahruf. Lain-lain rasm tidak dapat menyempurnakan maksud tujuh ahruf seperti dalam maksud hadith di atas.


            Tujuh ahruf adalah hikmah anugerah Allah.


5.14     Ketujuh-tujuhnya menjadi benteng untuk memelihara al-Quran.

5.15     Memudahkan semua orang Islam tanpa mengira bangsa dan loghat.

5.16     Rasm Uthmani yang berdasarkan bahasa Quraisy menyatukan seluruh umat Islam   
            dengan al-Quran menjadi lambang penyatuan itu.


6.0       DEFINISI QIRAAT

Qiraat adalah perbincangan tentang kalimah-kalimah al-Quran dan keadaan kalimah tersebut dari segi panjang dan pendeknya, farasynya dan berbagai lagi. (Jusoh, M.R. 2001). Menurut Al-Qattan, M.K. (2001) qiraat ialah salah satu mazhab pengucapan al-Quran yang dipilih oleh seseorang imam qurra’ yang membezakannya dengan mazhab bacaan yang lain. Ibrahim M.Y. (1992) pula menyatakan bahawa qiraat adalah bidang ilmu yang membincangkan mengenai cara-cara melafazkan al-Quran dan segala perbezaan yang menyusulinya.  Walau apapun yang dibicarakan mengenai qiraat ianya mestilah memenuhi tiga syarat penting. (Subhi As-Saleh, S. 2004). Pertama, memenuhi mashaf al-Quran Rasm Uthmani. Kedua, memenuhi sistem bahasa Arab. Ketiga, benar isnadnya hingga kepada Rasulullah s.a.w. Secara umumnya qiraat adalah berkaitan dengan al-Quran dan kaedah membacanya dengan berbagai wajah yang melibatkan hal-hal seperti naql, tashil, ibdal, imalah, taqlil, taghliz, silah, idgham dan farasy.


7.0        RASM UTHMANI DAN QIRAAT

Situasi umat Islam pada zaman Sayyidina Uthmani r.a. agak gawat. Sejak Sayyidina Umar dibunuh umat Islam mula mencambah perbezaan. Al-Quran yang merupakan wahyu yang selalu dikongsi oleh para sahabat dengan Rasulullah s.a.w. perlu dipelihara dengan rapi. Namun begitu berlaku banyak perbezaan dari segi bacaan. Di antara  para sahabat ada yang tidak menghafal al-Quran kesemuanya dan ada yang menghafaz semuannya dari Rasulullah s.a.w. Perkara yang sama juga berlaku pada huruf Qiraat. Ini kerana semasa wahyu dturunkan tidak semua sahabat yang sama hadir. Sabahat yang tidak hadir mendengar wahyu itu pada waktu lain dari sahabat yang mendengar dan sudah menghafalnya. Begitulah yang terjadi antara Sayyidina Umar dan Hisyam bin Hakam. Mereka menghafal apa yang diperdengarkan kepada mereka oleh Rasulullah s.a.w. Pada waktu yang lain sahabat lain pula yang mendengar wahyu yang baru diturunkan.

            Perbezaan yang berdasarkan tujuh ahruf membuka ruang kepada perbezaan pendapat. Rasulullah s.a.w. memberi peluang kepada sahabat-sahabat memilih kaedah bacaan yang paling sesuai dengan fitrah mereka. Tujuh ahruf itu membebaskan mereka memilih kaedah yang paling mudah. Apabila al-Quran hendak dibukukan ramai penghafal-penghafalnya yang dirujuk. Sahabat yang paling sahih catatan al-Qurannya ialah Zaid bin Thabit r.a. Oleh kerana itu Rasm Uthmani banyak bersandarkan kepada catatan beliau. 

            Melihat kepada banyaknya perbezaan pendapat mengenai tujuh ahruf tentulah jawatankuasa penulisan al-Quran mengambilkira kesemuanya. Perbezaan qiraat pula ketara antara seorang sahabat dengan sahabat yang lain. Kesemuanya ini perlu diharmonikan dalam satu mashaf sahaja. Beberapa formula ditetapkan untuk menepati tujuh ahruf dan pada masa yang sama meraikan qiraat iaitu qiraat sepuluh. Semua aspek tujuh ahruf seperti yang dibincangkan dalam para 5.0 tidak dikecualikan dalam penulisan Rasm Uthmani. Semua bacaan qiraat boleh menggunakan al-Quran Rasm Uthmani. Walau bagaimanapun berlaku khilaf di bahagian-bahagian tertentu seperti dibincangkan dalam para 6.0. Kerana itu untuk mempelajari qiraat perlu mempelajari uslubnya. Farasy huruf umpamanya hanya diketahui melalui penerangan guru. Qiraat tidak boleh dipelajari tanpa guru. Terlalu banyak yang perlu diketahui sebelum dapat membaca al-Quran dengan betul mengikut qiraat.

Selain daripada teori yang banyak, mempelajari qiraat perlukan minda yang tajam untuk mengingat dan memahami turuqnya. Setengah farasy huruf perlu dihafal dan diingat kerana kadang-kadang farasy itu berlaku dalam satu surah sahaja tetapi tidak berlaku dalam surah yag lain. Sesuai dengan mu’jizatnya al-Quran sesuai dengan semua qiraat. Yang perlu dilakukan hanyalah mengingat usul. Setiap qiraat ada kelainan yang unik untuk qiraat itu sahaja. Ada masanya khilaf itu berlaku juga pada qiraat yang lain. Pada keadaan lain khilaf yang sama diberi olahan lain. Umpamanya fathah yang menjadi imalah atau taqlil, naql yang boleh disaktahkan.


8.0        RASM UTHMANI MERAIKAN QIRAAT SEPULUH

Mashaf al-Quran Rasm Uthmani mengekalkan kelangsungan meraikan qiraat sepuluh. Penulisan Rasm Uthmani memberi perhatian yang universal mengenai perbezaan-perbezaan bacaan antara berbagai qiraat. Kalimah-kalimah yang dikira khilaf ditulis dengan kalimah yang lestari. Dengan demikian khilaf yang berlaku diberi perhatian supaya boleh dibaca oleh semua qiraat. Ayat-ayat di bawah memberi gambaran sebahagian daripada besarnya peranan Rasm Uthmani bagi mengekal dan meraikan qiraat sepuluh.

8.1       Ibn kathir, As-Susi dan Yaaqub membaca dengan sukun ra أَرْنَا. Ad-Duri membaca ra berbaris kasrah  أَرِنَا secara ikhtilas.   Yang lain membaca seperti Hafs.   





يَسْأَلُكَ أَهْلُ الْكِتَابِ أَن تُنَزِّلَ عَلَيْهِمْ كِتَابًا مِّنَ السَّمَاء فَقَدْ سَأَلُواْ مُوسَى أَكْبَرَ مِن ذَلِكَ فَقَالُواْ 

 أَرِنَا ﭐللّهِ جَهْرَةً فَأَخَذَتْهُمُ ﭐلصَّاعِقَةُ بِظُلْمِهِمْ ثُمَّ ﭐتَّخَذُواْ ﭐلْعِجْلَ مِن بَعْدِ مَا جَاءتْهُمُ   ﭐلْبَيِّنَتُ فَعَفَوْنَا

 عَن ذَلِكَ وَآتَيْنَا مُوسَى سُلْطَانًا مُّبِينًا

an-Nisa 4:153

             8.2        Nafi’, Ibn Kathir, Ibn Amir dan Abu Jaafar membaca dengan menghazaf wau يَقُولُ.
                       Abu  Amr  dan  Yaaqub  membaca  lam  dengan fathah وَيَقُول .  Yang lain membaca                        seperti Hafs.





وَيَقُولُ اْلَّذِينَ ءَمَنُوأَأَهَٰـؤُلَاءِلَّذِينَ أَقْسَمُواْبِٱللّهِ جَهْدَ أَيْمَٰنِهِمْ إِنَّهُمْ لَمَعَكُمْ حَبِطَتْ أَعْمَـٰلُهُمْ فَأَصْبَحُواْخَــٰسِرِينَ 
al-Maidah 5:53


           8.3         As-Susi  membaca  dengan  mengidgham  lam  bertemu  lam  قِيلَ لَهُم . Hisham,
al-Kisaie dan Yaaqub membaca qaf dengan isymam. Yang lain seperti Hafs.





                                          وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ لاَ تُفْسِدُواْ فِي ﭐلأَرْضِ قَالُواْ إِنَّمَا نَحْنُ مُصْلِحُونَ 
al-Baqarah 2:11


           8.4      Warsy dan as-Susi membaca dengan mengibdalkan hamzah  يَاْتَلِ.  Abu Jaafar pula     
                      membaca dengan mengubah kedudukan ta sementara lam ditasydidkan يَتَأَلَّ. Yang      
                    lain membaca seperti Hafs.                                                 


 وَلَا يَأْتَلِ أُوْلُوا الْفَضْلِ مِنكُمْ وَالسَّعَةِ أَن يُؤْتُوا أُوْلِي الْقُرْبَى وَالْمَسَاكِينَ  وَالْمُهَاجِرِينَفِي سَبِيلِا اللَّهِ وَلْيَعْفُو وَلْيَصْفَحُوا 
أَلَا تُحِبُّونَ أَن يَغْفِرَ ﭐللَّهُ لَكُمْ وَﭐللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
 an-Nur 24:22

8.5     Qalun, Ibn  Amir  dan  Abu  Jaafar   membaca  وَوَصَّىىٰ  dengan mengidhal alif fathah
                   وَأَؤصَىٰ . Wau pula disakinkan.  Warsy membaca sod dengan taqlil. Hamzah, al-  
                     Kisaie  dan Khalaf membaca sod dengan imalah.  Yang lain membaca seperti Hafs. 

وَوَصَّىٰ بِهَا إِبْرَٰهِــمُ بَنِيهِ وَيَعْقُوبُ يَابَنِيَّ إِنَّ ﭐللّهَ ﭐصْطَفَى لَكُمُ ﭐلدِّينَ فَلاَتَمُوتُنَّ إِلَّ اوَأَنتُم مُّسْلِمُون   
al-Baqarah 2:132
9.0        TALAQQI DAN MUSYAFAHAH

Setelah meneliti perbincangan mengenai tujuh ahruf dan Rasm Uthmani kita dapati bahawa mempelajari al-Quran perlukan guru yang mahir. Bertalaqqi dan bermusyafahah adalah wajib kerana Rasm Uthmani bukan berdasarkan lafaz yang umum. Oleh kerana Rasm Uthmani menyalahi lafaz maka hanya guru sahaja yang mampu mengajar dengan betul kaedah membaca sesuatu kalimah. Mereka yang mempelajari al-Quran hendaklah banyak bersabar demi menerapkan segala keperluan untuk menjadi pembaca yang baik. Antaranya dapat membezakan makhraj huruf, sifat huruf, hukum hakam tajwid, wakaf dan iftida’. Tidak ada jalan pintas untuk menguasai al-Quran melainkan usaha yang istiqamah dan penuh sabar.

            Mempelajari al-Quran tidak boleh berhenti dengan seorang guru sahaja. Banyak ilmu yang jarang tersingkap pada seseorang guru. Setiap guru memiliki kelebihan yang tidak ada pada guru yang lain. Dalam pencarian itu kita belajar, mengambil segala kebaikan ilmu, memanfaatkannya kepada orang lain dan mentarbiahkan al-Quran kepada khalayak umum. Talaqqi dan musyafahah menemukan kita dengan guru yang berbagai. Dari mereka kita mempelajari gerak mulut dan bibir, intonasi huruf dan suara. Hanya dengan talaqqi kesempurnaan membaca al-Quran Rasm Uthmani dapat direalisasikan.

Contoh ayat yang  dibaca dengan pelbagai qiraat:

       


وَجَاءتْ سَيَّارَةٌ فَأَرْسَلُواْ وَارِدَهُمْ فَأَدْلَىٰ  دَلْوَهُو قَالَ يَٰبُشْرَىٰ هَٰـذَاغُلٰمٌ وَأَسَرُّوبِضَٰعَةً وَاللّهُ عَلِيمٌ  بِمَا يَعْمَلُونَ   

 Yusof 12:19 

      
قَالَ لَا يَأْتِيكُمَا طَعَامٌ   تُرْزَقَانِهِ إِلَّا نَبَّأْتُكُمَا   بِتَأْوِيلِهِ   قَبْلَ أَن يَأْتِيكُمَا ذَٰلِكُمَا مِمَّا عَلَّمَنِي رَبِّي إِنِّي تَرَكْتُ  
    مِلَّةَ قَوْمٍ لَّا يُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ وَهُم بِٱلَٔاخِرَةِ هُمْ كَـٰفِرُونَ
 Yusof 12:37

Nota: Semua kalimah yang bergaris adalah khilaf sama ada satu qiraat atau beberapa qiraat.


10.       KESIMPULAM

Penelitian mengenai tujuh ahruf dan qiraat sepuluh membawa kita kepada suatu rumusan bahawa dalam Rasm Uthmani tersimpul semua aspek tujuh ahruf dan merangkumkan semua aspek qiraat sepuluh. Ijmak sahabat yang diketuai oleh Sayyidina Uthman merealisasikan al-Quran yang standard. Sifatnya agung, lestari dan terpelihara hingga hari Qiamat. Tujuh ahruf dan qiraat sepuluh saling melengkapi. Semuanya embedded (tersimpul)  dalam satu naskhah yang autentik sepanjang zaman.


10.0          IKTIBAR

Rasulullah s.a.w. telah meninggalkan pesannya, “Aku tinggalkan kepada antum dua perkara iaitu al-Quran dan sunnahku.” Pembukuan al-Quran yang diusahakan oleh Sayyidina Uthman r.a. disepakati sebagai al-Quran yang autentik. Walaupun ramai Orientalis mempertikaikan kesahihannya, orang Islam tidak ragu-ragu beriman dengannya. Al-Quran menjadi pandauan bahawa apabila umat Islam berselisih dalam apa jua perkara yang perlu dirujuk ialah al-Quran kerana ianya kalam Allah dan telah diwahyukan kepada Rasulullah s.a.w. Hanya al-Quran Rasm Uthmani sahaja yang diperakukan untuk tujuan itu.


11.0          PENUTUP

Rasm Uthmani telah dapat menyelamatkan banyak perkara. Umat Islam bersatu kerana mereka membaca al-Quran yang satu. Perpecahan di kalangan Muslim dapat dihindarkan daripada  terlalu banyak perbezaan membaca al-Quran sehingga menimbulkan ketegangan. Ternyata semua qiraat boleh membaca mashaf al-Quran yang sama sejak dari zaman Sayyidina Uthman r.a. Rasm Uthmani memenuhi syarat sanad hingga kepada Rasulullah s.a.w., bersandarkan lahjah dan bahasa Quraisy dan memenuhi rukun  membaca al-Quran. Hanya al-Quran Rasm Uthmani sahaja yang diperakui menepati bacaan semua qiraat. Lain-lain rasm penulisan al-Quran menimbulkan kecelaruan dalam membaca al-Quran. Sesungguhnya Rasm Uthmani berjaya memelihara al-Quran. Sifatnya yang autentik seperti yang dijamin oleh Allah S.W.T. 

12.0          RUJUKAN

Basmeh, A. (2000). Pimpinan Ar-Rahman Kepada Pengertian Al-Quran. Kuala Lumpur:Darul             Fikir
……………http://www.scribd.com/doc/19207054/Penulisa Rasm Uthmani. Capaian pada 28             Oktober 2012
Abu Mardhiyah. (2007). Tajwid Al-Quran. Jilid 1 dan 2. Gombak:Al-Jenderaki Enterprise.
Ahmad, M.Y. (2004). Sejarah dan Kaedah Pendidikan Al-Quran. Kuala Lumpur:Penerbit             Universiti Malaya.
Al-‘Asya, S. (2004). ﺍﻟﺒﺴﻄ ﻓﻰ ﺍﻟﻘﺮﺍﺀﺍﺕ ﺍﻟﻌﺸﺮ . Damsyik:Maktabah Islam.                                        
Al-Bukhari. (1997). Terjemahan Sahih Bukhari. Jilid IV.  Klang:Klang Book Store.
Al-Qattan, M.K. (2001). Studi Ilmu-Ilmu Quran. Jakarta:Litera AntarNusa.
Al-Zarqaniy, M.A.A. (1999). Menyingkap Rahsia Ilmu Al-Quran. Batu Caves: Pustaka Ilmi.
As-Salih, S. (2004). Membahas Ilmu-Ilmu Al-Quran. Jakarta:Pustaka Firdaus.
Jamar, M.Y. (2011). Pengajaran dan Pembelajaran Qiraat:Pengalaman Di UIAM. Dibentang             pada 19-20 November 2011.
Jusoh, M.R. (2001). Pengenalan Ilmu Qiraat. Batu Caves: Mahsuri Timur Sdn. Bhd.
Jusoh, M.R. (2008). Tarikh Al-Quran dan Rasm Uthmani Jilid 1. Batu Caves:Pustaka Khodim             Al-Mashaf.
Mohd Saleh, Amiruddin. (2009). http://www.scribd.com/doc/17516972/Rasm-Uthmani. Capaian             pada 29 Oktober 2012.
Yamint, A.M. (1985). Ilmu Qiraat Al-Quran. Kuala Lumpur:Pustaka Antara.

Thursday, November 1, 2012

Menghilangkan Jet Lag Di Toronto


 

 

Di semua negara maju warganya bekerja lima hari seminggu. Hari Sabtu dan Ahad adalah kelepasan mingguan.  Cara mereka menghabiskan hujung minggu tidak pernah sama dengan kita. Itulah keunikan bangsa dan budaya. Kepada mereka hujung minggu ialah home-made education. Ibu apa sentiasa menanti saat itu. Anak-anak sentiasa teruja menanti datangnya hujung minggu. Paling banyak ialah outdoor activities. Senarainya panjang. Hiking. Fishing. Camping. Hunting. Mountain climbing. Berada di negara mereka benar-benar membuka mata. Pendidikan kepada anak-anak bukan sekadar tanggungjawab guru. Bukan hanya di sekolah sahaja. Dunia adalah sekolah terbaik. Segala-galanya pengalaman baru yang tiada tandingannya. Hujung minggu mereka penuh dengan aktiviti keluarga. Quality time yang santai. Satu-satunya masa yang dihargai.

 

Kita di sini berhujung minggu dengan acuan kita. Lazimnya ramai sahabat dan saudara mara yang mengadakan majlis. Kenduri kendara di sana sini. Tidak cukup waktu dari satu rumah ke rumah yang lain. Dari satu taman ke taman yang lain. Dari satu kampung ke kampung yang lain. Dari satu daerah ke daerah yang lain. Malah kadang-kadang melangkau negeri. Sabtu dan Ahad bukan hari untuk bersantai. Kebanyakan hujung minggu bukan masa untuk bersama anak-anak yang perlukan perhatian semasa pembesaran mereka. Ibu bapa keletihan melakukan hal-hal yang berbentuk sosial. Bukan pendidikan. Anak-anak pula didera untuk menghadiri kelas tuisen pada setiap masa lapang mereka. Pagi atau petang. Malamnya juga begitu. Malang bagi mereka kerana mereka tidak membesar seperti kanak-kanak. Bebas bermain. Meneroka dan memperluas pengalaman. Sifat inquisitive yang perlu dipenuhi.

 

 Kami tiba di Toronto pada petang hari Jumaat. Terasa juga berada di negara asing. Sunyi dari mendengar kebiasaan sekeliling. Suasananya berbeza. Persekitarannya berbeza. Toronto adalah bandaraya terbesar di Canada. Tentu sahaja banyak yang intimidating. Bangunannya tinggi-tinggi. Jalanrayanya lebar. Pasti, orangnya besar-besar dan tinggi-tinggi kebanyakannya. Hingga melewati Maghrib kami belum lagi sampai di rumah yang diperuntukkan kepada kami. Ada dua pengalaman baru. Pertamanya tempat-tempat di Toronto dizonkan. Setiap satu zon dipanggil precint. Bunyinya seperti sedikit aneh. Kali pertama saya mendengar istilah precint. Rupa-rupanya keanehan itu dibawa ke Malaysia. Ada pemimpin kita yang meletakkannya di Putrajaya. Ejaannya sahaja yang diMelayukan. Bunyinya sama. Inggeris dan Melayu sama bunyinya. Entahlah. Di mana hilangnya kota, desa, denai, lorong, lapis, solok, simpang, selekoh, dan banyak lagi istilah Melayu yang dilupakan. Ada juga yang gilakan istilah-istilah saintifik. Terlalu ganjil. Itu belum lagi istilah-istilah matematik. Mungkin ada unsur motivasi. Namun bunyinya bukan Melayu. Bukan Timur. Bukan kebiasaan.

 

Pengalaman kedua mungkin lebih santai. Kami dibawa ke restoran India. Di Malaysia kita biasa dengan istilah Mamak. Di sini orang Melayu seperti tidak hidup jika tidak makan di kedai Mamak. Ada tarikan yang tersendiri. Secara jujurnya sudah bertahun-tahun saya tidak makan di kedai Mamak. Pada saya masakan Melayu lebih sesuai. Orang Melayu lebih relevan. Melayu Islam lebih toyyibah masakan dan makanannya. Banyak yang enak dan lazat. Lebih bersih dari segi budaya dan amalan hariannya. Pada tahun 79 dahulu saya masih gemar masakan Mamak. Beransur-ansur saya melepaskan diri dari kebiasaan itu. Banyak yang tidak kena. Bukalah mata. Lebarkan pandangan. Perlu dilihat dari luar hingga ke dalam. Dari jauh dan dari dekat. Rasanya sejak dari dahulu lagi orang Melayu tidak banyak tulennya. Cerita Hindi bukan sahaja ditangisi. Lagunya di bibir. Pakaiannya di tubuh badan. Nama pelakonnya juga di bibir mulut. Dalam keadaan lain kita selalu ape the West. Orang lain punya selalu cantik di mata kita. Kita ambil dan kita tiru semuanya.  

 

Malam itu kami makan di kedai mamak. Nasi mamak. Lauk mamak. Bukan di Kuala Lumpur atau di Pulau Pinanh. Di Toronto. Di sebalik dunia. 180 darjah dari Malaysia. Dalam keadaan letih lesu semuanya enak belaka. Perut memang kosong. Dalam kapalterbang tidak banyak yang boleh dimakan. Sekadar mengisi perut. Perjalanan yang jauh terasa lapar selalu. Kenyanglah perut. Tenang sebentar. Beberapa hari kemudian terfikir pula halal dan haram. Halalkah makanan yang kami makan. Nasi tiada masalah. Sayur tiada masalah. Ayam bagaimana? Daging bagaimana? Apa nak buat semuanya sudah masuk ke dalam perut. Bertahun-tahun kemudian saya yakin bahawa yang saya makan adalah halal. Daging sembelihan ahli kitab adalah halal. Full stop. Ceritanya panjang. Tanyalah ustaz yang alimnya tinggi. Jangan Tanya yang sebarangan. Nasnya mesti ada.

 

Akhir bulan Ogos 1990. Malamnya sudah agak sejuk. Pakaian yang melekat di badan tidak dapat menahan sejuk. Orang Canada sudah biasa begitu. Persekitaran mereka. Bagi kami yang baru sampai banyak yang perlu diadaptasi. Cuaca dan suhu adalah sesuatu yang baru. Bagi sahabat yang kali pertama sampai di negara beriklim sederhana tentulah suatu kejutan besar. The first experience. Always the most significance.  Nampak kelainan yang baru dirasa. Di Malaysia suhu terasa sejuknya hanya bila hujan berpanjangan sehari suntuk. Sebab itu orang putih selalu besedia dengan pakaian yang sesuai. Pada musim sejuk mereka berbaju tebal. Pada musim panas mereka buang semua pakaian mereka. Ikutlah yang sesuai. Syariat jangan dicemarkan. Malam pertama itu teraa benar sejuknya. Walaupun kepada orang Toronto suhu tiada yang luar biasa, kami yang baru tercampak di situ merasakan kelainan-kelainan yang bakal berpanjangan selama tiga bulan penghunian kami di sana.

 

Sebenarnya elok juga kami lewat ke rumah tempat kami ditempatkan. Kami letih dan keletihan. Penat yang memenatkan. Terbang di angkasa bukan yang paling santai jika tidak di business class. Badan tearsa lengoh-lengoh. Banyak berjalan. Banyak transit. Banyak heret beg. Makan tidak menentu. Tidur tidak menentu. Duduk dan berdiri tidak mengira sebab. Letih memang amat terasa. Tidak dirancang apa yang hendak kami buat pada hari-hari pertama di Toronto. Yang penting hendak berehat. Esok hari Sabtu. Diikuti hari Ahad pula. Hujung minggu. Segala-galanya belum bermula. Dua hari yang panjang. Malam itu kami tidur nyenak. Pagi esok awal pula bangunnya. Kenapa ya? Jika biasa ke luar negara tentu tahu jawapannya. Nantilah saya beritahu. Sabar ya!

Wednesday, October 17, 2012

Orang Putih Yang Tidak Putih


Kebijaksanaan seperlunya disertai dengan pengalaman. Peribahasa Melayu mengatakan sibodoh makanan si cerdik. Begitulah yang celik menjadi raja ke atas yang buta. Dalam dunia in tiada siapa yang pedulikan kita tanpa ada ilmu. Tanpa ada kemahiran. Tanpa ada maklumat. Negara kita mengejar kemajuan.  Namun masih ramai orang kita yang tertinggal dari segi pendidikan. Masih ramai yang diperlukan dalam berbagai bidang profesional. Arkitek masih kurang. Akauntan masih banyak kosong. Kejuruteraan masih banyak yang diperlukan dalam bidang-bidang yang khusus. Begitu juga doktor perubatan. Pakar-pakar perubatan berbagai bidang. Senarainya panjang. Usahanya ada. Motuvasinya juga ada. Tapi sejak beberapa lama kekurangan orang kita dalam bidang profesional masih terus berlaku.

Ramai anak kita berada di Korea dan Jepun dalam Program Pandang Ke Timur. Negara yang terkehadapan dalam kemauan teknologi. Usaha gigih mereka melepaskan diri dari belenggu perang. Dari belengu kemiskinan. Belenggu kejahilan ilmu. Sekarang Jepun dan Korea menjadi lebih maju berbanding dengan negara lain di rantau Asia. Maka diadakan Program Pandang ke Timur. Kenapa ke Barat jika orang Timur memiliki kelebihan yang boleh diminta kongsi. Yang boleh melimpahkan rasa kekitaan sesama orang Asia. Benarkah begitu? Program ke Barat masih terus dilaksanakan. Anak-anak kita keluar menerobos dunia luar yang berbagai. Di semua negara maju anak kita ada di sana. Paling ramai tentulah di Amerika Syarikat, Great Britain dan Australia-New Zealand. Jangan lupa anak kita ada di canada, Perancis, Germany, Spain, Italy, Poland, Russia, Mesir, Jordan, Indonesia, Arab Saudi, India, Cina dan berbagai negara lain. Mereka akan kembali dan mewarnai negara dengan kepelbagaian ilmu, kemahiran dan maklumat. Mereka menjadi acuan yang perlu diadun pula menjadikan mereka ramuan kejayaan masa hadapan negara.

Dalam pendidikan suka bertanya adalah amalan belajar yang dikira antara yang terbaik. Bertanya mungkin secara lisan. Secara hati. Secara ingin tahu. Di sini anak kita ada masalah. Anak-anak kita tidak dilatih untuk suka bertanya. Suka ambil tahu. Berminat mengetahui. Menjadi orang bermaklumat. Rajin membaca. Suka berdiskusi. Suka berhujjah. Anak-anak kita dibesarkan untuk tidak banyak bercakap. Tidak banyak bertanya. Akibatnya mereka hanya menerima apa yang disuapkan oleh ibu bapa. Yang disuap oleh guru. Oleh media. Oleh rakan sebaya. Tidak ada soalan menyanggah. Soalan yang menimbulkan keraguan.  Anak-anak diprogram supaya menerima apa yang diberi oleh mereka yang lebih berumur. Yang lebih berkuasa. Yang lebih tinggi kedudukannya. Yang lebih lama hidup. Yang sudah banyak makan garam. Maka terdapat kelesuan berfikir. Keterbatasan bertanya. Ingin tahu yang selalu dipendam sendiri. Mengambil jalan jauh untuk mendapat jawapan.

Ilmu, kemahiran dan maklumat adalah aset negara yang mahal. Tiada negara yang dengan sewenang-wenangnya melepaskan ketiga-tiganya kepada orang lain. Yang berada pada tahap umum mungkin tiada masalah. Yang pada peringkat tinggi pasti disembunyikan. Pasti diselindungkan. Itu aset negara mereka. Kita dengan mudah ingin mendapatkannya. Program-program kerjasama diadakan. Namun hakikat pemilikan aset itu tidak dapat dielakkan. Semua orang sayang dengan aset yang mereka ada.   Bukan mudah mendapatkannya. Mereka memilikinya setelah berusaha bersusah payah. Ibarat pokok, kita hanya ingin memetik buahnya sahaja. Kita latih anak-anak kita untuk memetik buah. Kita tidak mengajar anak kita cara berkebun. Cara membaja pokok. Cara melebatkan buah.  Kita tidak ajar anak kita tentang cara yang susah. Semuanya hendak cepat kaya. Atau cepat muflis. Kerana keduanya berlawanan.

Di Canada saya menemui permasalahan begitu. Sebelum saya berangkat ke sana saya dan teman-teman yang lain telah diberi taklimat. Diberi maklumat. Diberi jadual belajar. Rasanya jika kesemuanya dilaksanakan kehidupan dalam kursus itu pasti menyeronokkan walaupun mungkin keletihan. Harapan saya meleset. Sangkaan saya tersasar. Setelah tamat sesi orientasi di Seneca College of Applied Technology, seorang pegawai yang menguruskan kami di Toronta bertanya,
“Well, I know Friday is off for you. Is there any other day that you want off?
Menyirap darah saya dengan pertanyaan itu. Saya bertanya kembali,
“I thought everything was finalised in KL?”
‘Nah! Put that aside. What do you really want to do?
Suatu alasan untuk meringankan beban tanggungjawab kontrak yang telah dipersetujui. Friday off bermakna hanya bekerja selama empat hari bagi kami dari Malaysia. Jumaat, Sabtu dan Ahad. Mereka beruntung. Kita rugi. Wang itu pula pinjaman dari Bank Dunia. Itu baru satu cerita. Semua bangsa yang berurusan di peringkat antara bangsa melakukannya. Mereka mengekalkan sifat kedekut. Tamak. Tidak banyak membantu. Meremehkan apa yang kita mahu. Hanya pegawai-pegawai yang tegas sahaja diperlukan untuk berurusan di peringkat antarabangsa.

Itu dialog di Toronto, Canada. Mungkin itulah yang berlaku di Jepun dan Korea. Mereka tidak mudah memindahkan teknologi mereka melalui anak-anak kita. Jika anak kita rajin bertanya, banyaklah yang mereka dapat. Jika mereka pemalu maka seganlah ilmu yang mereka ada. Mereka lulus tetapi sekadar lulus sahaja. Tiada kepujian atau kecemerlangan. Kalimah mumtaz tidak Sekadar cukup-cukup untuk lulus dalam keadaan daif ilmu. Daif kemahiran. Daif maklumat. Belajar bukan sekadar lulus ilmu. Itu hanya satu aspek. Ramai orang ingin melihat kertas. Kertas sahaja tidak memadai kerana akhirnya yang ingin diterjemahkan ialah keupayaan membina negara. Membina bangsa. Membina ummah. Kita perlukan orang-orang yang boleh merealisasikan impian dan hasrat negara. Sekadar kertas tanpa isi tentulah melemaskan sahaja jadinya.

Tidak ada bangsa yang dengan rela hati ingin menyerahkan segala khazanah negaranya kepada bangsa lain. Ilmu, kemahiran dan maklumat adalah vital kepada survival sesebuah negara. Walaupun anak-anak kita berada di negara mereka tidak smestinya mereka akan membawa pulang semua yang diperlukan. Technology transfer tidak semudah yang kita sebut antara dua bibir. Ia bukan di lidah. Ia adalah kerelaan melepaskan sesuatu yang berharga kepada sesuatu bangsa untuk dipindahkan kepada bangsa lain. Atau dikongsi  ikmatnya dengan orang lain. Hatta dibayar mahal sekalipun ada teknologi yang tidak sedia dikongsi. Kerana itu kita seharusnya melatih anak-anak kita dengan sifat inquisitive. Meneroka semua bidang kerana ingin mengetahui. Akademik yang dasar. Matlamatnya ialah untuk kesejahteraan bangsa pada masa hadapan. Terkehadapan dalam teknologi. Taraf pendidikan yang tinggi.  Biarkan mereka mencari jawapan kepada soalan mengenai apa, siapa, bila, di mana dan bagaimana selalu menjadi panduan membuat aktiviti untuki maju ke hadapan. Jangan sekat mereka. Jangan benarkan mereka berhenti dari mencari jawapan-jawapan lain. Aspek siapa lagi, di mana lagi, bila lagi, apa lagi, teknologi baru semuanya dicari jawapannya. Ibu bapa perlu memahami berbagai aspek pendidikan, teknologi, politik, ekonomi, hubungan antarabangsa, agama dan sosiologi. 

Mulai sekarang didiklah anak-anak supaya rajin bertanya. Jawablah secara profesional. Ibu bapa hendaklah banyak belajar lagi. Banyak yang tidak diketahui. Banyakkan belajar lagi. Banyak  bidang yang belum diketahui. Anak-anak kita cepat mengetahui melalui teknologi. Internet dan gadget lain terlalu banyak dan memudahkan. Maksudnya ibu bapa hendaklah terkehadapan bebanding dengan anak-anak mereka. Ibu bapa tidak boleh diperlekehkan oleh anak-anak. Anak-anak perlukan panduan. Mereka dahagakan nasihat. Mereka perlukan ibu bapa yang banyak tahunya. Yang banyak maklumatnya. Yang selalu membantu menyelesaikan banyak permasalahan anak-anak. Ibu  bapa perlu memberi jalan yang luas, panjang dan mudah dilalui. Jangan disemakkan laluan anak untuk membesar. Untuk mengetahui.

Budaya kita hendaklah diubah. Amalan menyisihkan anak-anak dari arus perbincangan hendaklah ditukar. Banyak duduk bersama. Bersembang bersama. Ajak mereka berbincang. Tanya dirinya. Sukanya. Tidak sukanya. Harapannya. Cita-citanya. Ke mana arah tujunya. Apa yang boleh dibantu secara fizikal. Secara spiritual. Secara psikologi. Dalaman anak-anak yang selalu hendaklah dijengah. Ditinjau kosong dan isinya. Keutamaan pilihannya. Ibu bapa hendaklah melihat sebarang diviasi yang mungkin . kelainan dari kebiasaan yang perlukan bantuan. Yang paling baik ialah anak-anak yang laluan hidupnya tanpa hgangguan. Biarlah ia membangunkan dirinya secaa fitrah dan izin Allah. Ibu bapa membantu melancarkan jadual keluarga dan dirinya.

Tuesday, October 9, 2012

Cleaveland: Mengetahui Aturan Perjalanan Dunia


Cleveland di US. Dari Narita kami singgah di Cleveland. Ada sesuatu yang saya rasa mengelirukan. Kami hendak ke Canada. Destinasi kami ialah Toronto. Saya sendiri berasa terkejut kerana bagasi kami diperiksa di Cleveland. Passport kami dicop di Cleveland. Kami belum mendarat di Toronto. Kami belum sampai di Canada. Bumi Canada belum kami pijak. Apa sebenarnya implikasi politiknya. Implikasi pentadbiran kedua negara itu. Banyak persoalan yang berlegar di minda saya.  Kali pertama ke US dahulu saya tidak melalui pengalaman begitu. Mungkin kerana saya dan keluarga memang ke US. Tidak singgah untuk ke negara lain. Di negara orang ikut sahaja apa yang diperlukan. Itu peraturannya. Mungkin ada kesepakatan antara mereka. Sebagai pengembara kita ikut sahaja. Namun sebagai orang yang sedikit tahu saya tertanya-tanya sendiri dalam hati. US jadi big brother kepada Canada. Sistem hidup dan pentadbiran mereka mirip antara satu sama lain.

Dalam kesibukan mengurus bagasi dan mengurus diri ada seorang guru yang dibawa masuk ke kamar imigresen. Untuk proses soalsiasat. Lama baru saya sedar. Itupun ada guru lain yang memaklumkan. Saya bukan ketua rombongan. Seingat saya memang tidak ada ketua rombongan. Kementerian Pelajaran yang menghantar kami tidak berbuat begitu. Menyalahi sunnah. Apabila sekumpulan manusia  berjalan jauh maka seorang daripada mereka hendaklah dilantik sebagai ketua.  Saya lihat seorang pegawai imigresen keluar masuk pejabatnya. Seperti ada kes. Lalu saya mendekatinya dan bertanya.  
What’s the probloem officer?
This guy is going to Canada. But he has no visa.
Sorry officer. We’re from one Commonwealth country to another Commonwealth country. We need no visa.
Are you sure?
Yes, I’m positive!
Let me check.
Dia menghilang. Menyemak fakta agaknya. Tidak lama kemudian dia keluar semula.
Ok. I guess you’re right. Jawapan yang nantikan.

Lega saya. Rakan tadi dibenarkan keluar. Pucat lesi wajahnya. Mungkin dia ditanya. Hendak ke Canada tetapi tiada visa tercatat pada passportnya. Visa ke US ada. Ke Canada tiada. Kita bersekolah tetapi kadang-kadang kita tidak tahu keperluan perjalanan antarabangsa. Sebab itu kita perlu banyak membaca. Mendapatkan maklumat. Mengetahui banyak perkara. Jika dalam negara banyak peraturan yang perlu dipatuhi inikan pula di luar negara. Sebagai warganegara kita perlu mengetahui peraturan bernegara. Perjalanan antarabangsa. Hubungan diplomatik. Protokol antarabangsa. Dan banyak lagi.

Persoalan saya tadi ialah mengapa bagasi kami diperiksa di Cleveland. Mengapa passport kami dicop di Cleveland. Soalan berikutnya ialah ‘Adakah Canada sebahagian daripada negara Amerika Syarikat?’ Setahu saya Hawaii yang terakhir menjadi sebahagian US. Bukan Canada. Saya dapati implikasainya setelah berada di Toronto selepas kira-kira sebulan. Banyak yang menyukarkan perjalanan antarabangsa jika tidak mengetahui peraturannya. Ramai orang yang ditahan tidak dapat memberi penjelasan. Tidak tahu apa yang hendak dijelaskan. Ibu pejabat tidak pula terfikirkan perkara begitu. Mengandaikan guru-guru juga sudah tahu. Berpengalaman sebagai pendidik. Maaflah kita selalu terikat dengan tugas kita hingga tidak keluar dari kepompong kita. Tidak mengetahui apa yang berlaku di luar lingkungan kita sendiri.

Penerbangan ke Cleveland merentasi Kutub Utara. Pandanglah globe yang bulat di atas meja. Jalan pintas paling dekat dari Narita ke Cleveland merentasi sebahagian angkasa Canada. Di bawah tentulah sejuk. Di udara kita tidak tahu di mana kita berada. Juruterbang dan navigatornya mengetahui kedudukan. Pramugara dan pramugari juga tahu. Penumpang ramai tidak tahu. Di dalam kapalterbang kita leka dengan diri sendiri. Mungkin membaca. Mungkin menonton TV. Mungkin mendengar radio. Atau mungkin tidur memanjang. Biasalah bagi pengembara jauh terasa jet lag. Sakir segala sendi. Dudak berjam-jam di kerusi yang sempit. Kaku tanpa bebas membuat banyak pergerakan. Sekali sekala berjalan di sepanjang aisle. Atau ke bilik air. Meregang otot kaki yang kaku. Melihat keluar hanya ruang kosong. Melihat ke bawah hanya awan yang menutupi ruang udara bumi.

Dalam rasa kagum berada di udara tersemat juga rasa takut. Seperti kengerian. Banyak berdoa. Mohon selamat. Perjalanan yang jauh dimudahkan. Penerbangan yang tinggi diselamatkan. Bagi mereka yang terbang tinggi banyak pengalaman suka duka di dalam kapalterbang. Begtu juga di lapanganterbang. Dari bawah kita selalu kagum apabila ada kapalterbang melintas. Di lapanganterbang kita kagum berbaris-baris kapalterbang menunggu giliran penerbangan. Rasanya kadang-kadang menaiki bas ekspress lebih selesa. Ruang penumpang lebih luas. Boleh bergerak kaki dan tangan. Boleh menggeliat sesuka hati. Tidak dalam kapalterbang. Semuanya terbatas. Lemas kadang-kadang. Bagi mereka yang terbang dalam kelas business atau kelas pertama tentulah berbeza. Hanya yang kaya merasanya. Hanya yang tinggi pangkatnya merasai pengalaman itu. Yang lain berangan-angan sahaja.

Terbang meletihkan juga. Pertukaran waktu melupakan waktu tidur dan jaga. Kita tidak tahu bila untuk tidur dan bila untuk jaga. Bagi yang lalai banyak waktu solat yang diabaikan. Bila waktunya  tidak diketahui. Untuk bertanya tidak mungkin. Kapalterbang itu seperti sebuah negara asing. Belajarlah mengenal waktu apabila terbang jauh tinggi di udara. Jangan lupa agama. Allah ada bersama kita selalu.

Narita Oh Narita


Narita bukan nama wanita Melayu. Barangkali nama Jepun. Jantinannya saya kurang pasti. Mungkin lelaki. Buat kali kedua saya transit di situ dalam perjalanan ke Canada. Pada tarikh itu 31 Ogos 1990 lapaganterbang Narita agak sunyi. Tidak seperti bulan Disember 1984 sewaktu saya ke US dahulu. Sibuk mereka hendak merayakan krismas. Dahulu terbang pada kali pertama banyak mengujakan. Semuanya pengalaman mengindahkan pengalaman. Letih lesu dipendam. Digantikan dengan pandangan-pandangan yang belum pernanh ditatap. Paparan hidup manusia berbagai tempat. Berbagai adat. Berbagai gelagat. Pengalaman memperkayakan diri. Sesuatu untuk anak-anak. Perjalanan mereka yang semakin jauh melintas waktu, benua, adat resam dan etika antarabangsa.

Gembira juga dapat menjejak kaki di Jepun. Tetapi kali ini tidak seindah dahulu. Bersama anak-anak saya ditempatkan di hotel melebihi 24 jam. Connecting flight yang dijadualkan pada esoknya. Dapat juga sampling Japanese life. Japanese food. Japanese hospitality. Kali ini saya dalam tugas rasmi tetapi laluan ke Canada tidak seperti pegawai tinggi. Hanya biasa-biasa sahaja. Teransit di Narita selama 8 jam memeritkan. Kami hanya boleh berlegar di lapaganterbang itu sahaja. Terlalu tersekat untuk banyak bergerak. Tidak tahu di mana tempat duduk yang paling selesa. Tidka tahu hendak makan apa. Tidak tahu hendak minum apa. Pegawai rendah bila ke luar negara tidak banyak berbekal wang. Ada sedikit-sedikit ditinggalkan untuk keluarga dai rumah. Pergi tiga  bulan menuntut juga perancangan untuk isteri dan anak-anak. Sementelahan pula isteri saya tidak bekerja.

Makan juga apa yang rasanya halal. Minum kopi beberapa teguk yang nilainya lebih RM10. Itulah nilai antarabangsa. Dibayar dengan USD. Dollar Amerika. Wang yang diterima antarabangsa walaupun kata pakar nilai sebenarnya tiada. Amerika sudah muflis. Mereka mencetak wang tanpa sandaran emasa. Teori yang tidak dipraktikkan. Perjanjian Bretton Wood yang selalu dimanipulasi Amerika untuk kepentingan dirinya. Ilmu tinggi yang disusup di bawah. Kuasa besar yang mendominasi manusia sejagat. 8 jam di Narita tentulah memeritkan. Badan letih lesu. Berjalan sekadar melepaskan pandangan. Kerana tidak tahan cari juga kerusi panjang untuk beradu. Malang sungguh kerusi yang ada semunya mungkum. Sukar hendak tidur menelentang. Tidur menyandar  terasa sakit tengkuk. Cari akal. Fikir sedikit. Susun beg untuk mengampu badan. Tidur juga berdengkur melepas lelah. Sampai di Narita jam 8.30 pagi. Connecting flight jam 3.30 petang. 8 jam yang terlalu lama.

Teman-teman seperjalanan ramai yang dari sekolah vokasional. Mereka dijadualkan mengikuti kursus-kursus teknikal di beberpa kolej komuniti di Toronto, Ontario, Canada. Bunyinya gah juga. Tempatnya gah. Nama-namanya gah. Toronto di Ontario. Ditepi tasik besar Amerika Utara. Ontario, Huron, Erie, Michigan dan Superior. Toronta di tepi tasik Ontario. State of Ontario. Saya suka iklan Ontario. Pada plet kereta mereka tertulis ’Ontario, yours to discover’. Sukar hendak menterjemahkannya. Catchy. Punchy. Down to earth. Ontario yang banyak indahnya. Banyak yang boleh diteroka. Ontario, here I come. Malangny adi Narita perit saya belum habis. Dalam tidur itu mungkin saya bermimpi berada di Toronto. Entah bagaimana rupa wajahnya. Lanskapnya. Strukturnya. Pencakar langitnya. Mungkin ada kelainan berbanding Pittsburgh, Washington dan New York.

Ramai international traveller yang kadng-kadang tidak peka dengan peraturan antarabangsa. International protocol. International prosedure. Merak menganggap luarnegara seperti negara sendiri. Antara yang selalu diabaikan ialah pengenalan diri. Di dalam negara kad pengenalan wajib perlu berada pada diri kita sewaktu keluar rumah. Pengenalan diri jika perlu diketahui. Macam-macam boleh berlaku di luar rumah. Tiada siapa yang tahu. Malang selalu tidak bebau. Di luar negara lagilah lebih tnggi keperluannya. Orang tidak kenal kita. Tanpa passport kita bukan siapa-siapa. Takut pula dianggap orang tanpa negara. Sesat dalam perjalanan antarabangsa. Banyak sukarnya untuk diselesaikan. Diplomasi antarabangsa. Itulah yang terjadi kepada seorang rakan yang tidak peka. Ia bersiar-siar di Narita tanpa membawa passport.

Biasalah untuk kali pertama di negara orang teringin juga merayau. Meninjau-ninjau. Melihat apa-apa yang lain. Yang tiada di negara sendiri. Dalam leka bersiar terlalai melihat sekatan dan sempadan antara satu ruang dengan ruang yang lain. Memasuki satu ruang tiada masalah. Hendak keluar dari ruang itu perlukan pengenalan diri. Pekerja ada pas keluar masuk. Pemgembara tentulah perlukan passport. Rakan tadi yang seorang guru berjalan tanpa passport di badan. Dia ditahan tanpa pengenalan. Nasib baik ada yang melalui kawasan itu. Berkejar rakan lain mengambil passportnya. Jika tidak tentu dia ditahan sebagai alien. Tanpa pengenalan diri. Tentu sekali banyak payahnya. Ceritanya nanti berjela-jela. Apabila berada di luar negara passport hendaklah sentiasa bersama. Bila perlu ada pengenalan diri.

Passport bukan sahaja untuk melepasi imigresen. Bukan untuk masuk dan keluar dari sesbuah negara. Ia pengenalan diri yang sebenarnya bagi pengembara antarabangsa. Di bank mereka minta passport kita. Di kedai sewaktu menggunakan cek mereka perlukan passport kita. Banyak tempat yang memerlukan kita menggunakan passport. Itu pengenalan kita. Perlu sentiasa berada dalam poket. Dalam beg. Perlu berada pada badan kita. Bila berda di luar negara sentiasa ingat bahawa tidka ada orang yang kenal kita. Saudara mara jauh di Malaysia. Rakan taulan tiada bersama. Passport itulah teman sejati kita. Tanpanya kita bukan siapa-siapa. Cerita di lapanterbang ada lagi yang lebih parah. Nantikan cerita saya di Cleveland nanti. Connecting flight yang kedua sebelum dapat menjejak kaki di Toronto.

Mulakanlah Kehidupan Berumahtangga Pada Aras Tinggi


Pernikahan bukan pengakhiran suatu episod hidup. Ia hanya sebahagian kecil dari rentetan episod yang banyak bertali-tali arusnya. Panjang dan lama. Dulu ada cinta monyet yang tidak pernah kekal. Mainan perasaan anak-anak yang menjelang remaja. Sewaktu muda cinta datang dan pergi. Yang dicari ialah pautan hati. Tidak ada yang kekal juga kerana usia menambahkan kerumitan memilih. Aspirasi dan idealism berubah. Pilihan juga berubah. Gadis pilihan tidak pernah serupa. Lelaki pilihan juga begitu. Yang mana. Yang mana. Sukar menentukan pilihan teman hidup yang secocok dalam semua keadaan. Hati mungkin berkenan tetapi keluarga berlainan pendapat. Hidup penuh dengan paradoks. Banyak yang ironis. Tidak mungkin seseorang itu menjadi idealis. Mungkin boleh berfalsafah. Untuk mendapat yang terbaik banyakkan berdoa.

Sekarang sudah sampainya masa yang terlalu lama dinanti. Masa yang banyak melimpahkan airmata. Itu belum tidur yang tidak lena. Makan yang sukar kenyangnya. Mandi yang tidak terasa basahnya. Semua menjadi tidak kena.  Siang yang suram. Malam yang kelam. Cahaya selalu terlalu jauh untuk menerangi. Hati rindu tiada penawar. Ngilu rindu yang berbalam-balam. Sebak gundah yang berbelah bagi. Kini cincin sudah disarung di jari manis belahan hati. Dahi licin yang dulu hanya kerinduan sudah dikucup indah. Terasa terbang semangat yang tidak seberapa. Matamu dan mataku sudah bertemu. Kasih kita bertaut sudah. Rindu kita berlabuh sudah. Sayang kita terikat sudah. Bulan seindah di langit tinggi. Cerah menawan. Mentari esok tibanya. Antara bulan dan mentari berlari perasaan menghiba. Tiba juga saat bersama. Aduhai penantian yang lama. Harap-harap nikmatnya berganda panjangnya.

Pandanglah ke langit. Awan yang berarak tampak rendahnya. Gerakannya yang lambat. Pandanglah ke atas lagi. Langit terlalu tinggi. Mungkinkah langit itu dapat digapai tangan. Terlalu tinggi. Tunduklah melihat ke bumi. Ia dekat. Di bawah telapak kaki. Kejap dipijak. Senang diinjak. Namun berdirinya antara langit dan bumi. Tinggi dan rendah. Terbanglah setinggi mana. Tidak mungkin hingga ke langit. Turunlah serendah mana, di bawah sana tetap tanah. Mungkin cetek dan mungkin dalam. Kerana itu berpijaklah di alam nyata. Dalam persekitaran yang realiti. Semua orang akan percaya adanya. Wujudnya di depan mata. Dapat disentuh dengan tangan. Dapat dihidu baunya. Dapat dilihat warna dan bayangnya.  Mana mungkin yang bukan-bukan dipinta. Payah dapatnya. Nanti kosong jiwa yang terlalu mengharap. Sekaranglah realiti yang menjelma. Saat bersama yang didoakan panjang ke anak cucu. Dari dunia hingga ke akhirat.

Setiap pasangan ada impian. Ada mimpi-mimpi indah di hadapan sana. Ada cita-cita membina yang tertinggi. Yang terbaik. Anak-anak yang menyerikan hati ibu bapa. Menceriakan sebuah keluarga. Soleh dan solehah. Indahnya sebuah istana cinta yang damai. Air pancuran di halaman berwarna. Jalan dan terbang tidak perlu dikira. Kenderaan darat, laut dan udara. Makan kenyang. Pakaian bersalut banyak gantinya. Tubuh isteri penuh dengan emas berlian. Sanak saudara semua senang bersemenda. Hidup dalam barakah agama. Redha Allah hendaknya. Namun semua itu bukan sekarang. Bukan lima tahun. Bukan 10 tahun. Ia jangka panjang. Paling cepat 15 tahun dari sekarang. Pada awal perkahwinan ini, perancangan dan unjuran hidup perlu direncana. Bagi yang belajar pengurusan ingat Gantt Chart. Ingat PERT (Programme Evaluation and Review Technique). Ingat CPM (Critical Path Method). Ingat Decision Tree. Dan banyak lagi. Itu belum Simplex. Belum lagi Euler Theory. Mainan pengurusan. Lebih saintifik.

Ingatlah semasa sendiri. Semasa tiada teman hidup dahulu. Semuanya bebas. Sekarang semuanya difikirkan untuk sentiasa ada orang kedua. Jalanmu ada yang mendiringi. Pergimu ada yang menunggu. Laparmu ada yang menghidang. Tidurmu ada yang mengulit. Jagamu ada yang membelai. Sakitmu ada yang merawat. Pakaimu ada yang merapi. Hartamu dikawalselia. Nyawanya dipertaruhkan kepada kamu. Sebagai pasangannya kamulah harapannya. Kamulah yang memberinya tempat bahagia. Memberikan apa yang seperlunya.  Mulakanlah langkah gagah. Langkah besar. Langkah tinggi menggapai awan. Usahakan yang terbaik untuk kesayanganmu. Semoga pasangamu damai bahagia hidup dan matinya. Anak-anakmu terbelai kasih sayangnya. Ada tempat bersanggar. Ada ruang berlegar. Ada lingkaran menari keliling.

Lihatlah ibu dan bapamu. Lihat rumah yang bakal kau tinggalkan. Pandanglah apa yang telah kau kecapi hingga kau berumahtangga. Segalanya bukan dalam sekelip mata. Semuanya telah diusahakan untuk jangka masa yang lama. Banyak payah jerihnya. Terlalu tidak terkira limpahannya. Maka lakarkanlah masa depanmu. Tulis satu persatu. Berikan keutamaan. Mana yang dulu mana yang kemudian. Selangkah demi selangkah. Ingatlah jauh mana sekalipun destinasi dan perjalanan mesti dimulakan dengan langka yang pertama.  Mulakanlah dengan langkah kaki kanan. Langkah orang beragama. Ekonomimu dijaga. Berpakatlah suami isteri untuk merealisasikan apa yang dicita. Di hadapan sana tetap ada harapan. Usaha, usaha, usaha dan berdoa. Mohon dan minta kepada Yang Maha Esa.

Banyak rumah besar di sekelilingmu. Rumah itu belum perlu keran kamu baru berdua. Namun ia menjadi perlu semakin ramai ahli keluargamu. Anak-anakmu perlu ruang untuk bersantai. Untuk membina intelek. Untuk berasa bahwa dunia keluarganya adalah luas. Ruang-ruang untuk tidak berlaga perasaan. Untuk tidak berlaga fizikal. Ruang legar yang melepaasi keperluan. Di sana ada natijah minda. Ada ruang untuk melepaskan udara. Melepaskan perasaan damai. Rumah besar adalah keperluan bagi keluarga besar. Umat Muhammad yang di tunggu di syurga. Besarnya membela agama. Mentarbiahkan umat. Dakwah sejagat. Semoga inteleknya membangun. Semoga sumbangannya menggunung. Amal jariah berpanjangan. Untuk maslahah umat.

Ramai orang yang senang. Ramai yang hidup mewah. Ramai yang tidak pernah kenal susah. Tetapi di belakang sejarah mereka banyak yang berlubang-lubang. Banyak yang koyak rabak. Mereka bermula dari bawah. Dari susah. Dari tidak ada apa-apa. Mereka menapak tahun demi tahun. Satu, satu dan dua mereka mulakan. Dari bawah mereka naik ke atas. Membina kerjaya. Membina status. Mereka sampai ke situasi sekarang. Berapa lama? 40 tahun barangkali. Aduhai. Ya. 40 tahun jika dikira memang lama. Tetapi 40 tahun yang dilalui tidak pernah memberi angka. Dirancang. Diusaha. Tidak perlu dikira. Pada usia 50an nikmatilah segalanya dengan santai. Orang hanya melihat apa yang dilihat. Yang tersirat tidak pernah diamati. Hanya yang punya diri mengerti. Semuanya bukan mudah. Berdikit-dikit membina bukit yang tinggi.

Anak-anakku, masa hadapan tetap ada. Cari bekal untuk menuju destinasi yang ada dalam peta. Perancangan perlu disemak dari masa ke masa. Mana-mana yang deviate hendaklah diperbetulkan. Rejuvinate mana-mana yang lesu. Jangan sampai burn-out sebelum masa. Perjalanan tetap panjang. Abah telah melaluinya. Abah sudah sampai di sini. Hari-hari terakhir bagi orang tua yang melepasi usia. Namun masih ada yang belum disempurna. Usia tidak kenal usaha. Semua yang mungkin boleh dicuba. Boleh diusaha. Tinggalkan zon selesa. Banyak ruang lain untuk beralih cita. Berubah paradigma. Pandang keliling untuk membuka mata. Membuka minda. Mohonlah bantuan Allah untuk mencapai hasrat hati. InsyaAllah Dia bersamamu.