Thursday, April 12, 2012

Mengapakah Agama Selalu Menjadi Ironis


Tahun lalu saya melihatnya. Maghrib tadi Rabu 11.4.2012 saya melihat yang lain pula. Natijahnya serupa. Tempat yang berbeza dan tarikhnya berbeza. Peristiwanya juga berbeza. Tetapi yang pasti hati saya tersayat. Ada yang tidak kena. Banyak tidak kenanya. Ramai orang yang tidak merasa apa-apa. Tahun 2011 saya menghadiri majlis pernikahan di sebuah surau di Batu Pahat. Kali keduanya di sebuah masjid di Bandar Baru Nilai. Kedua-duanya hal yang berkaitan dengan agama. Pelaksanaan acara agama. Kedua-duanya wajib dalam kehidupan manusia. Pernikahan untuk yang hidup. Keduanya adalah pengurusan jenazah untuk yang mati. Masjid seperti sudah tidak memberi erti. Apatah lagi surau. Dalam ingin menyempurnakan suatu syariat, syariat yang lebih besar dilanggar. Ramai orang tidak dapat membezakan antara rumah manusia dengan rumah Allah.

Adalah digalakkan bahawa pernikahan dijalankan di rumah Allah. Banyak rahmat dan barakahnya. Agenda Islam ini semakin subur kerana kesedaran terhadap agama yang semakin kuat. Namun begitu banyak aspek yang terabai. Tidak dilihat dari segi hukum hakamnya. Tidak diberi pertimbangan yang sewajarnya. Majlis yang menagih redha Allah dicemari. Majlis yang menagih pahala Allah tidak diberi nilai agama. Banyak sangat melebihkan adat. Dalam agama uruf adalah sebahagian penting urusan agama asalkan tidak bercanggah dengan syariat. Dalam majlis-majlis agama mutakhir ini orang selalu sibuk dengan media. Media cetak atau elektronik. Paling banyak ialah kamera. Tidak ada salahnya menggunakan teknologi dalam majlis agama. Masa sudah berubah. Bukan teknologinya sahaja yang berubah. Kita sudah semakin tidak boleh lekang dengan teknologi. Kamera adalah alat mengabadikan sesuatu peristiwa secara pegun. At a point of time. Namun pengendalinya adalah manusia.

Tidak menutup aurat dalam rumah Allah? Bukan dongeng. Bukan rekaan. Itu adalah realiti. Kenapa pula? Yang dimaksudkan ialah camerawomen yang professional ataupun yang amature. Novice mungkin. Mereka adalah teman pengantin. Saudara pengantin. Mungkin yang disewa khas perkhidmatannya untuk majlis itu. Mereka tidak bertudung. Baju mereka berlengan pendek. Singkat lagi. Lengannya terlalu besar. Bila diangkat telus dari kanan ke kiri. Plunging neckline pula. Atau berbaju ketat dan singkat. Seluar jean ketat. Jauh di bawah pusat. Bila menunduk atau mencangkung pasti nampak alur belakang. Nampak alur depan. Mereka bergerak bebas di sebelah lelaki. Jemaah rumah Allah itu. Sebelah orang tua-tua. Adab? Sopan? Agama dan budaya bertingkah. Adat resam mendominan agama. Keutamaan yang songsang. Anyaman dan adunan yang celaru. Di mana kita sebenarnya dalam hal ini. Didikan ada. Praktikalnya yang selalu diabaikan. Kayu ukurnya tidak diambilkira. ISO untuk agama selalu dibiarkan tumpul sendiri. Anak-anak muda tidak mencari yang hak. Tidak diberitahu yang hak. Tidak dibawa kepada yang hak. Orang dewasa kecundang dalam arus yang tidak dimengerti. Anjakan paradigma yang mengarah ke kiri. Ke arah negatif.

Lalu acara dan agenda agama menjadi celaru. Tidak diketahui yang benar. Yang hak. Majlis pernikahan yang syahdu menjadi cair nilai agamanya. Itulah yang dilihat. Entahlah, tidak diketahui  apa yang terpahat. Takut-takut banyak yang tergugat. Garis panduan dari penganjur tidak ada. Peringatan tidak ada. Nasihat tidak ada. Majlis-majlis di rumah Allah seharusnya menghormati Allah. Menghormati RasulNya. Menghormati agama. Menghormati imam. Menghormati jurunikah. Menghormati orang tua-tua yang tercongok terkebil-kebil menahan sesak nafas. Maaflah mereka jangan dianggap boneka yang hanya senyum abadi. Hati mereka sakit terkena bisa adab yang tidak sampai. Sopan yang tidak menjadi. Tertib yang tidak tersusun. Guballah garispanduan semasa berada di rumah Allah. Masuk dengan tahiyyatul masjid sebanyak dua rakaat. Solat berjemaah bila masuk waktunya. Jaga akhlak. Orang tua berkeliling majlis. Meeka menjadi hakim dan pengadil akan beres tidaknya majlis itu. Mereka yang nampak cacat celanya.

Episod kedua ini juga menyayat hati saya. Saya solat Maghrib. Kelihatan ramai orang. Di parkir berderet-deret kereta. Saya fikir itu jemaah yang biasa. Iqamah sudah hampir dilaungkan. Mengapa pula ramai wanita tercegat di sana sini? Tidakkah mereka solat di ruang yang disediakan? Kelihatan sekujur jenazah di tepian dewan masjid. Dikelilingi oleh ramai wanita. Saudara mara agaknya. Tidak berganjak walaupun ruang masjid sudah mula penuh. Selepas solat saya dapati benar. Sangkaan saya benar. Ketakutan saya benar. Rupanya wanita yang ada, ramai yang tidak solat Maghrib. Bagaimana terjadi begitu? Solat itu wajib. Solat itu fardhu ain. Tiada ganti. Tiada dalih kecuali yang uzur syar’ie. Tetapi tidak mungkin terlalu ramai yang uzur. Yang berusia emas tidak mungkin uzur lagi. Sudah menopause. Tidak solat. Tidak solat. Tiang agama yang tumbang. Rapuh dan patah. Bila tiang itu gagal menajdi tempat bergantung maka punahlah agama.

Status jenazah tidak pula diketahui. Tidak mungkin sudah disolatkan sebelum Maghrib. Jika sudah mengapa masih di masjid. Bila pula proses mengkebumikannya. Selepas solat Maghrib tidak pula dibawa ke dalam masjid. Tiada persediaan untuk solat. Sayang. Jemaah ramai. Lebih 40 orang. Sayang dan sayang. Ada kelebihan pada angka 40 itu. Baik untuk si mati. Bila ada jenazah maka ada dua urusan. Urusan untuk yang hidup dan urusan untuk yang mati. Dua urusan yang berbeza. Kedua-duanya wajib belaka. Yang hidup wajib terus menegakkan agama. Melakukan yang diperintah dan menjauhi yang dilarang. Yang mati wajib segera diuruskan. Jangan tergantung masa terlalu lama. Mungkin si mati ingin segera menemui Allah. Ia mungkin sudah terlalu rindu. Kenapa dilambat-lambatkan. Kasihan dia.

Dalam urusan seperti itu kena ada juara di kalangan keluarga. Pada suatu ketika urus yang hidup dan urus yang mati. Apabila persiapan yang mati telah ke penghujungnya pantau pula yang hidup. Ambil iktibar bahawa seorang ahli keluarga sudah pergi. Yang tinggal jangan abaikan agama. Jangan rtingankan ibadat. Siapa tidak sedih. Tetapi mengiringi perginya dengan ibadat adalah lebih baik dari hanya meratap. Lebih baik dari menderaikan air mata sahaja. Urusan hidup tidak akan habis sehingga nyawa bercerai dari badan. Yang hidup wajib uruskan jenazah hingga liang lahadnya terkambus. Yang mati tinggal untuk memulakan alam  barunya. Alam barzahnya. Mudah-mudahan baik untuknya. Yang hidup kembali untuk meneruskan hidupnya. Untuk terus mengabdikan dirinya kepada Allah. Mensyukuri nikmatnya. Berdoa mengharap redhaNya. RahmatNya. BarakahNya.

Orang perempuan Islam Melayu di Malaysia tidak ramai yang solat jenazah. Solat jenazah bukan hak mutlak orang lelaki sahaja. Lelaki mati. Perempuan juga mati. Jika sewaktu mengerjakan haji dan umrah semua orang solat jenazah mengapa apabila kembali ke Malaysia tidak pula melakukannya. Rugi dan rugi. Itulah penghormatan terakhir untuk si mati. Hadiah paling besar untuknya. Untuk dibawa ke alam barzah yang lamanya tidak dapat dijangka. Di luar keupayaan mengira. Marilah sama-sama kita semarakkan agama. Buat yang mudah dan praktikal. Saudara kita mati. Jiran kita mati. Rakan kita mati. Orang-orang di sekeliling kita mati. Solatkan mereka sebelum orang lain solatkan kita nanti. InsyaAllah. Kita bersama menjalankan ibadat orang. Mudah-mudahan Allah mudahkan orang menyumbang ibadat untuk jenazah kita nanti. Semoga usia yang berbaki dalam redha Allah. Dirahmati. Diberi barakah. Amin.

Tuesday, April 10, 2012

Mengagendakan Maulid


Musim maulid sudah berlalu. Selama tiga bulan kita dibariskan dengan berbagai ceramah. Dengan berbagai ustaz. Ada ustaz besar dan ada ustaz kecil. Ada ustaz dekat dan ada ustaz jauh. Ada ustaz dan ada ustazah. Lazimnya ustazah tidak ramai kerana perjalanan jauh menyukarkan ustazah. Menyukarkan suami ustazah. Atau anak ustazah. Kerana itu ustaz lebih mudah. Namun begitu kerana undangan yang banyak maka ustaz menjadi selektif. Mengikut kekosongan kalendar. Perlu pula ditempah lama. Perlu kenal. Atau melalui orang yang kenal. Kena jumpa sendiri. Telefon dari jauh sukar berinteraksi. Tidak mengetahui keperluan masing-masing. Maka jika tidak dapat yang jauh terpaksa jemput ustaz yang dekat. Ada konflik. Panggil yang jauh lebih berbaloi kerana ramai peminatnya. Bayarannya kenalah menasabah. Minyak perlu diisi. Tol perlu dibayar. Penat perlu diimbalkan dengan nilai. Bercakap dan berceramah tentulah ada harganya. Penyelidikan telah dibuat. Buku dirujuk. Diolah untuk menjadi sesuatu yang enak didengar. Memberi pengajaran. Dakwah yang disampaikan. Kuliah terbuka. Walaupun bercakap sejam dua tetapi persediaan untuk itu berjam-jam lamanya. Perjalanan pulang selepas ceramah juga berjam-jam lamanya. Mungkin terpaksa tidur semalam untuk menyegarkan kembali tenaga yang perlu dipulihkan.

Rasanya sejak dari dahulu kala menunya sama. Uztaz dipanggil dengan satu objektif iaitu memberi ceramah maulid. Sebelum ini orang menyebutnya maulud. Dua istilah yang berbeza. Ustaz hanya diberitahu tentang tarikh, masa dan tempat. Yang lain-lain ikut pandai ustaz. Ikut kebijaksanaan ustaz. Ikut pengalaman ustaz. Penganjur mahukan ustaz berceramah tentang maulid. Itu sahaja. Pening juga ustaz. Apa sebenarnya yang dimahukan penganjur. Lebih khusus orang yang menghubungi ustaz. AJK serah kepada seseorang untuk menghubungi ustaz. Katakan kami hendak mengadakan majlis maulid. Ada ceramah. Ada makanan lazat. Terkulat-kulatlah ustaz mencari tajuk. Mencari isi. Mencari bahan. Minda ustaz bagai hendak pecah mengolah. Mencari nas. Mencari hadith. Mencari rujukan kitab lama. Nukilan orang-orang dahulu. Ulamak-ulamak tersohor. Untuk mencurahkan sebuah ceramah ustaz perlu memerah mindanya berhari-hari. Mungkin tidak tidur malam merujuk sana dan merujuk sini. Bertimbun buku di atas meja untuk mengharmonikan suatu ceramah maulid.

Akhir-akhir ini pula berlaku sesuatu yang suram. Majlis-majlis maulid agak lengang. Pentas yang indah tidak lagi kuat tarikannya. Balai dan makanan bukan penentu meramaikan audien. Ada perubahan-perubahan yang seharusnya diketahui. Difahami. Ditinjau dari masa ke semasa. Zaman sudah berubah. Era ceramah-ceramahan sudah berubah. Mendengar bukan lagi medium yang terbaik.  Duduk pasif bukan lagi pilihan. Banyak alternatif datangnya sumber ilmu. Ilmu lisan hanya satu antaranya. Alam maya banyak menyajikan maklumat dan ilmu. Banyak dari kalangan mereka yang berwibawa. Dibentangkan secara akademik. Penuh dengan rujukan. Sumbernya sahih. Maaflah. Penceramah maulid kadang-kadang tidak memberi impak. Apa sebenarnya yang dibawa balik oleh audien. Yang akan dipraktikkan untuk setahun akan datang. Sebelum ditambah nilainya pada tahun-tahun kemudian. Yang jika diamalkan pasti menimbunkan ilmu di dada. Membuka minda dan hati. Melebarkan skop perbincangan. Memperluas agenda agama yang syumul.

Islam adalah hebat. Terhebat dari segala yang hebat. Pendekatan kita ke arahnya tidak hebat. Ramai orang suka mendengar lawak jenaka. Penceramah yang menggembirakan diminati. Bukan isi ceramahnya. Bukan isinya yang dipetik dan diambil. Bukan pengajarannya yang menusuk ke qalbu. Maka lawaklah agama. Lawaklah agenda maulid tahun itu. Tahun hadapan begitu juga. Tahun yang lalu sama juga. Kita pergi melalui masa dengan hal-hal yang santai. Agama bukan santai. Ilmu bukan santai. Semuanya adalah perkara serius. Perkara berat kerana kita memberatkan Allah. Memberatkan Rasulullah. Memberatkan urusan kita ke syurga. Bukan enak dan seronok di dunia yang fana ini. Kenapa tidak kita agendakan hal agama ini supaya menjadi berat. Menjadi serius. Menjadi agenda penting yang memandu kita ke jalan lurus.

Sekarang ini ceramah maulid tidak boleh lagi mengikut arus seperti dahulu. Ikut orang dahulu. Hanya seperti keturunan sahaja. Audien sekarang bukan seperti dahulu. Teknologi perlu digunapakai. Ada tulisan yang boleh dibaca. Ada gambar yang perlu menginsafkan. Ada suara yang mengegar hati dan sanubari. Ada perlakuan yang menusuk untuk diamal atau untuk dihindar.  Deria audien bukan telinganya sahaja. Mata dan nalurinya juga perlu digerakkan. Mindanya diusik. Diprovokasi. Dipintal dan diperah supaya agama bukan untuk didengar. Sebaliknya untuk menyerap faham apa yang disampaikan. Untuk akhirmya menjadi abid. Yang mursyid. Yang alim dengan agama. Dekat dengan perintahNya. Menjauhi laranganNya. Carilah ustaz yang menggunakan komputer. Yang menggunakan LCD. Yang menggunakan skrin tayang besar. Ada warna yang memikat. Mungkin ada muzik latar yang meruntun. Jika tidak melalaikan. Ada suara yang memukau. Bertenaga. Semua deria audien digerakkan.

Ustaz yang dipanggil tidak lagi boleh diberi kertas kosong. Tidak lagi hanya pandai-pandai ustaz. Apabila penganjur memilih seorang ustaz maka perlu difikirkan:
1                    Tajuk yang sesuai dengan suasana, kehendak kariah, isu semasa dan isu-isu khusus untuk jemaah setempat. Untuk mengajar dan untuk menginsafkan. Pendidikan dan dakwah.
2                    Senaraikan sub tajuk yang perlu disentuh penceramah. Yang perlu dihurai. Yang perlu disampaikan dengan bersekuen.
3                    Minta ustaz quote nas dan hadith yang sesuai. Senaraikan buku rujukan untuk dirujuk atau dibeli audien yang berminat.
4                    Minta kertas kerja dari ustaz supaya boleh dicetak banyak dan diedarkan kepada audien.
5                    Ada sesi pertanyaan, ulasan dan tokok tambah dari audien yang bermaklumat. Ustaz ada maklumat agama. Audien ada maklumat teknikal, politikal, ekonomi dan berbagai lagi.

Perubahan paradigma seperti itu perlu jika keghairahan mendengar maulid hendak disegarkekalkan. Bukan one way traffic. Perlu ada dialog. Dua hala. Interaksi antara audien dengan penceramah. Ilmu hendaklah disampaikan secara akademik. Ada turutan. Ada sekuen. Ada kesinambungan. Berjadual. Ada penekanan. Ada penegasan. Audien dahulu pasif kerana sumber ilmu terhad. Bahan bacaan yang diperolehi terhad. Sekarang ini media cetak dan media elektronik bercambah. Banyak yang boleh dibaca. Yang boleh dilihat. Yang boleh didengar. Malah penceramah-penceramah yang hebat masing-masing memiliki laman sesawang sendiri. Dibina oleh pengikut mereka. Atau memamg mereka sendiri yang membinanya. Saya quote Dr. Daniel Zainal Abidin, Dr. Zahazan dan Datuk Nik Aziz. Itu belum lagi artikel dan makalah profesional. Cabutan dan link dari dalam dan luar negara. Maknanya cermah maulid sudah dikira bukan arus perdana. Banyak pilihan lain. Rancangan TV umpamanya sudah cukup memukau audien. Tidak perlu pergi ke mana-mana. Selesa di hadapan TV rumah sendiri. Santai dan damai.

Satu lagi amalan kita ialah tidak berhalaqah. Suka duduk jauh-jauh. Berselindung di balik tiang dan orang lain. Jika begitu maka ilmu juga terlindung. Ditapis syaitan dan iblis. Penceramah beria-ia bercakap. Kita beria-ia tidak mendengar. Bila ada rakan sebelah yang galak bercakap kita terperangkap antara dua penceramah. Seorang penceramah profesional. Seorang lagi penceramah tidak diundang. Terganggulah semua agenda audien yang hendak memanfaatkan majlis maulid itu. Sepatutnya kita duduk berkeliling penceramah. Itulah halaqah yang bermula sejak zaman kuno. Socrettes, Plato dan Aristotle menggunakannya. Rasulullah dan para sahabatnya menggunakan sistem halaqah. Begitu juga tabi’in dan tabi’ tabi’in. Sekarang ini di Masjid Haramain (Makkah dan Madinah) masih mengamalkan halaqah ini. Penceramah di suatu sudut atau tiang. Audiennya berkeliling bahagian hadapan penceramah. Mereka mendengar, berdialog dan mencatat. Mencatat dan mencatat.

Mencatat cukup penting. Mengekalkan ilmu yang didengar dan dilihat. Untuk diulang baca. Diulang-ulang kemudian. Untuk ditambah nilai. Untuk dikembangkan. Untuk disampaikan kepada orang lain. Menyambung proses dakwah. Jika hanya mendengar maka akan masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri. Masuk telinga kiri dan keluar telinga kanan. Yang tinggal hanya kekosongan yang sukar diisi. Sampailah masanya kita mengubah paradigma yang sudah terlalu lama. Arusnya sudah berubah. Capaian dan garapan perlu juga berubah. Agama Islam adalah agama hidup. agama dinamik. Buka dogma statik yang jumud. Kita sebagai umatnya yang menghidupkannya. Tanggungjawab kita. Amanah yang ditanggungkan di bahu setiap kita. Jangan toleh kanan atau kiri. Bergerak ke hadapan untuk membina sinergi beragama. InsyaAllah.

Anak Kampung Keliling Dunia


Parit Mohamad, Mukim 4, Parit Sulong, Batu Pahat, Johor. Sebuah kampung yang jauh di pedalaman pada tahun-tahun sebelum merdeka. Sebelum ada jalanraya. Sebelum ada sekelumit pembangunan. Yang ada hanya radio basah di rumah jiran. Baterinya perlu dicas  mengikut jadual. Bateri basah itu sebenarnya bateri lori. Besar dan berat. Untuk mengecasnya perlu dibawa ke bandar. Maka bateri itu naik motor bot selama lebih tiga jam. Baliknya tiga jam juga. Itulah sumber berita yang ada. Suratkhabar mungkin seminggu sekali apabila ke pekan Parit Sulong. Pasar mingguan pada setiap hari Sabtu. Hingga sekarang pasar hari Sabtu itu masih kekal. Tumpuan penduduk sekitar yang kadang-kadang ribuan ramainya. Khususnya menjelang hari raya. Saya juga biasa meramaikan pekan Parit Sulong semasa remaja saya. Hanya setakat berjalan-jalan sahaja. Mana ada duit. Mana ada apa-apa. Setakat naik basikal. Jengah sana jengah sini. Kemampuan nihil. Kosong. Zero. Poket kosong. Sesekali mungkin ada sedikit habuan. Tidak saya ingat siapa yang beri. Makanan yang paling enak ialah lontong. Lontong Wak Yem. Semua orang tahu enaknya. Lontong dengan lodeh dan sambal sate. Waktu itu tidak ada yang lebih enak dari lontong Wak Yem itu.

Selalu saya sebut pilihan kerjaya saya selepas SPM (MCE, OSC, FMC) sangatlah terhad. Tidak ada maklumat. Saudara mara juga tidak bermaklumat. Belum ada yang celik kerjaya. Belum ada yang merantau kerana tugas negara di peringkat tinggi.  Guru di sekolah tidak memberi maklumat. Pilihan saya adalah polis, askar, kerani dan guru. Itulah yang selalu saya lihat. Bukan rencam bentuknya seperti sekarang. Terlalu banyak  pilihan. Menjadi polis larangan arwah datuk saya. Pengalamannya di Tanah Jawa menunjukkan bahawa plis adalah anjing kompeni kepada Belanda. Barangkali tarafnya ialah pengkhianat. Entahlah. Menjadi askar tdak direstui oleh arwah ibu saya. Waktu itu pengganas komunis sedang mengganas. Bunyi senapang  dan bom selalu kedengaran dari rumah saya. Kawasan komunis ada di Parit Sulong dan Yong Peng. Sepanjang banjaran Titiwangsa dari selatan ke utara. Tinggal dua pilihan. Kerani dan guru. Saya fikir bahwa kerani terlalu statik. Hidupnya di meja yang sama selama 24 jam. Kerusi yang sama. Ruang yang sama. Mungkin rakan yang sama. Ketua pejabat mungkin silih berganti. Akhirnya saya memilih guru. Alhamdulillah. Mungkin itu pilihan yang serasi bagi saya. Jadilah saya seperti saya sekarang. Skop kehidupan yang lebih besar.

Menjadi guru pada tahun 1969 adalah suatu  realiti yang sukar digambarkan. Setelah menjalani latihan selama dua tahun saya ditempatkan di Negeri Terengganu. Tahun 1967 saya menjalani latihan mingguan Regional Training Centre (RTC) di Segamat, Johor. Tahun 1968 di Institut Bahasa, Kuala Lumpur. Tahun 1969 kembara saya bermula. Saya tinggalkan kampung. Berbakti untuk nusa dan bangsa. Membina anak bangsa yang dahagakan belaian ilmu. Mengembangkan minda untuk menjadi warga yang bermanfaat. Menyambung dan melestarikan rantaian bakti yang dulunya diunjukkan oleh guru-guru saya. Tidak ada yang lebih membahagiakan. Pilihan saya menjadi guru rupanya membawa saya merantau jauh. Melihat dunia yang sebenar-benarnya. Walaupun kata bijak bestari perjalanan yang beribu kilometer jauhnya dimulakan dengan langkah yang pertama saya tidak pernah tahu hakikatnya begitu.

Dari Kuala Terengganu saya ke Kluang. Kemudiannya ke Kuala Lumpur semula. Dari Universiti Malaya arah saya berputar jauh. Sewaktu menjadi guru dahulu saya rasa hidup mati saya di sekolah. Itu yang saya tahu. Yang saya lihat. Rupanya Allah memberi saya laluan yang berbeza. Dari UM saya ke Politeknik Ungku Omar di Ipoh. Pintu alam saya terbuka di sana. Saya bukan di sekolah lagi. Dunia saya bukan bersama anak-anak kecil. Pelajar saya lepasan SPM atau STPM. Kepada mereka hujjah saya lebih tinggi. Pada minda mereka saya bercakap tentang negara. Tentang dunia. Bukan lagi di sekeliling rumah mereka. Bukan lagi kajian tempatan. Membuka minda untuk menggarap yang lebih besar. Ketika di PUO itu sayap saya adalah untuk negara.  Kurikulum politeknik Malaysia. Soalan periksa. Begitu juga lain-lain hal yang menyangkut politeknik seluruh Malaysia. Maka bergeraklah saya menjelajah seluruh negara kecuali Sabah dan Sarawak.

Tahun 1985/86 rasanya kemuncak segala-galanya. Saya ke USA untuk Sarjana pendidikan saya. Tahun 1990 saya ke Canada pula selama tiga bulan. Pengalaman kedua yang juga besar ertinya. Cerita saya masih di USA. Mungkin beberapa entry yang banyak lagi akan menyampaikan saya ke Canada.  Banyak juga cerita indah dari sana. Kembali dari Canada saya pindah ke Politeknik Batu Pahat. Sekarang namanya Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). Bertukar dari Politeknik Batu Pahat ke Pusat Latihan Staf Politeknik (PLSP) lalu menjadi Institut Teknologi Tun Hussein Onn (ITTHO). Bertukar lagi menjadi Kolej Universiti Tun Hussein Onn (KUiTTHO). Sekarang gah dengan nama UTHM. Sebuah tempat yang melalui transformasi panjang selama lebih 20 tahun saya berada di situ. Saya bersara di situ pada 23.7.2001. Kontrak saya tamat pada 14.7.2011. Sekarang masih lagi terhubung sebagai pensyarah sambilan. Walaupun saya kembali selama 11 bulan ke sekolah, SMT Johor Bahru, saya kembali ke PLSP pada tahun 1994. Suatu kembara yang berbagai. Panjang ceritanya.

Sekarang cerita saya dihujung kembara saya di USA. Akan saya tinggalkan bumi Pittsburgh yang memberi banyak kenangan bersama isteri dan lima orang anak saya. Bila mereka membaca cerita ini pasti kembali ingatan itu kepada mereka. Suatu lintasan masa yang seperti sebentar. Namun banyak kenangannya. Berpintasan dan berjalur-jalur panjang. Banyak warna dan lagu indah bersama. Dalam keindahan spring tahun 1986 saya tinggalkan semuanya. Terbang dari lapanganterbang Pittsburgh kami ke lapanganterbang Newark di New York. Setelah berada di New York pada bulan sebelumnya, saya kembali ke New York lagi. Apabila kapalterbang take-off sahaja dari Newark bermakna saya tinggalkan negara yang ada di sebalik Malaysia. Yang jarak masanya 12 jam. Siang di Malaysia malam di USA. Malam di Malaysia siang di USA. Lautan Atlantik yang selalu sibuk antara benua Amerika dan benua Eropah saya lintasai. Kembara saya untuk mengelilingi dunia. Saya jejaki Panglima Awang walaupun jalannya berbeza. Teknologi mengubah paradigma. Mengubah kebiasaan. Panglima Awang belayar di laut, saya belayar di udara. Terlalu pantas masa berlalu. Seperti baru semalam. Masih terasa-rasa lagi kebas punggung kerana terlalu lama di dalam kapalterbang.  London, here we come.

Friday, April 6, 2012

Selalu Ada Yang Kedua Kalinya


Hidup mengajar kita menginsafi kelemahan. Kesalahan yang selalu bertimpa-timpa. Kecuaian yang sukar dimaafkan. Lalu orang katakan cukuplah sekali ini. Banyak hal yang kita sangka berlaku hanya sekali seumur hidup. Kita menyangka pengalaman hanya sekali berlakunya. Itulah halangan minda. Litupan budaya. Semuanya disangka dengan tidak disangka-sangka. Semuanya tiba-tiba. Yang kita dapat tidak dijangka. Yang kita alami tidak lagi ada ulangannya. Maka dikatakan bertuahlah kerana berpeluang mengalaminya. Tiada tandingannya. Sangat beruntung kerana pengalaman pertama. Lalu berlakulah cinta pandang pertama. Angka pertama yang tiada tandingnya. Angka pertama yang menjadi juara. Belum ada yang menempanya. Belum lagi yang mengunggulinya. Itu satu-satunya yang ada.

Apabila saya tinggalkan USA saya kira itulah pengakhir segala-galanya. Setelah mengalami indahnya putih suci bersih snow mana mungkin saya akan menatapnya sekali lagi. Lagi tidak mungkin kali ketiganya. Maksud saya sengaja mencarinya dengan kemampuan sendiri. Saya tidak kaya untuk melancong melihat snow. Manakan pula mengalami summer dan fall. Rezeki Allah datangnya dari berbagai penjuru. Bila ia datang kita jadi penuh syukur. Sesunguhnya nikmat Allah tiadalah hentinya. Berturut-turut dan bertali arus. Snow itu saya temui semula di Toronto, Canada pada akhir tahun 1990. Bukan kebetulan tetapi ianya ketentuan Allah. Mungkin ujian untuk saya terus bersyukur. Di Malaysia saya temuai snow tiruan. Pertama di Bukit Sri Cahaya. Keduanya di Mines Wonderland. Ketiganya di Midvalley setiap kali mereka menyambut Christmas.

Kita menyangka bahawa apabila kita sampai di sesuatu tempat rasanya itulah kali pertama dan mungkin kali terakhir. Lalu kita nikmati segala yang ada. Yang dilihat. Yang didengar. Yang boleh dimakan. Yang dihirup. Yang dihidu. Yang dirasa. Kita berada dalam suasana yang menyatu dengan diri kita. Nikmatnya tidak terkira terhingga. Sesuatu yang baru. Sedikit asing. Namun ada nikmat besar. Yang menyanyi dalam hati. Yang berbunga dalam minda. Yang mewangi dalam ingatan. Rupanya kita hanya mengesahkan sesuatu. Sewaktu di Pittsburgh saya ke Ontario Canada. Ke Niagara Falls. Itu tahun 1985. Ternyata saya pergi lagi kali kedua. 1990 saya di Toronto. Saya turun ke Niagara Falls. Hanya beberapa jam dari Toronto. Air terjun besar itu saya tatap kali kedua. Perancangan Allah Yang Maha besar. Semasa terbang ke Canada saya singgah di Cleaveland. Transit sebelum conecting flight ke Toronto. Sekembali dari Totonto saya singgah di Hollywood. Ke Sans Francisco. Universal Studios.  Kali kedua tetap datang lagi. Rupanya tanah USA itu saya injak lagi. Dan lagi.

Anak sulong saya belajar di USA. Kali kedua untuknya. Adiknya yang kedua ke sana juga. Kali kedua untuk mereka berdua.  Kali pertama cukup indahnya. Kali kedua menjadi bonus pula. Dalam usia yang lebih dewasa mereka berdua relived all the precious moments. Lima tahun di sana tentu puas dalam erti sepuas-puasnya. Musim yang berganti musim. Panas dan dingin yang berganti. Yang dirasa dan yang dinanti. Setiap tahun ada putaran dan kitarannya. Menunggu edaran musim semusimnya. Pengalaman pertama dahulu masih meragukan. Dalam usia yang semakin dewasa keindahan yang elusif dahulu dinikmati sepenuhnya. Rupanya pengalaman kedua lebih banyak ertinya.  Lebih besar maknanya. Lebih mengikat ingatannya. Pengalaman yang diulang memberi bekas. Memberi rencah yang merempah ratus. Merangupkan hidup.

Pada tahun 1967 saya berkursus perguruan di Kuala Terengganu. Suatu tempat jauh yang pertama saya sampai dari kampung. Dalam keadaan jalan yang tidak seberapa saya sampai di Terengganu. Banyak kelainannya. Banyak bezanya. Banyak yang tidak serupa. Rasanya cukuplah sekali itu. Nanti tentu Kementerian Pelajaran tempatkan saya di negeri Johor. Di negeri saya sendiri. Itu harapan besar saya. Harapan arwah ibu saya. Rupanya Kuala Terengganu dan negeri Terengganu bukan yang pertama. Saya ditempatkan di sana selepas tamat kursus perguruan. Enam tahun di sana. Bersama isteri. Lahir dua orang anak saya. Tahun 2010 anak perempuan kelima saya berkahwin dengan orang Terengganu. Sebenarnya saya banyak juga bertugas di negeri Terenganu kerana menyelia pelajar-pelajar menjalani praktikum mereka. Berlatih mengajar sebelum diiktiraf terlatih. Seluruh negeri Terengganu bukan asing bagi saya.

Ruang dan peluang selalu terbuka untuk kita mengulangi sesuatu. Kita dihampar dengan keindahan mengulangi pengalaman yang indah-indah. Hanya jika kita dapat mensyukurinya dengan sesungguhnya. Akan terasa lebih nikmatnya. Memperkayakan pengalaman bukan sesuatu yang sukar sebenarnya. Kita hanya perlukan semua pancaindera kita. Buka telinga untuk mendengar yang tidak didengar orang lain. Buka mata supaya kita melihat yang tersirat. Yang di sebalik nampak mata. Buka mata hati untuk mengambil segala iktibar yang ada. Melihat naluri yang selalu merencana. Buka minda untuk dapat memikir. Melihat keindahan tanda-tanda kebesaran Allah.

Kebanyakan orang hanya mampu mimpi berulang kali. Ramai pula yang lain mengalaminya secara nyata. Berulang-ulang kali. Mereka ke utara dan ke selatan. Melancong bukan lagi masalah. Semua yang perlu dilihat mereka lihat. Yang perlu dimakan mereka makan. Mereka tidak lagi mimpi. Semuanya digapai di hati. Di tangan mereka penuh daya menikmatai apa yanag ada. Mereka tidak lagi mencari yang tiada. Hanya orang-orang biasa sahaja yang selalu bermimpi. Mencari terlalu banyak yang tiada. Tidak mengapalah. Mimpi pun kadang-kadang indah juga. Diulang berapa kali sekalipun tidak mengapa.

Monday, April 2, 2012

Selamat Tinggal USA


Mei 1986. Spring terakhir di US. Saat-saat kritis emosi. Tergenangnya airmata. Kesayuan yang semakin memuncak. Sebak yang mencengkam. Langkah kaki yang akan diayun pergi. Mengundur lesu pergi mengundur jalan datang yang langkahnya dulu gagah mengujakan.  Selamat tinggal USA. Dalam dingin yang mencucuk kuku dan tulang temulang, beriringan kami meninggalkan rumah. Meninggalkan Bates Street. Meninggalkan Oakland. Selamat tinggal University of Pittsburgh. Tanah yang selama 18 bulan dihuni perlu ditinggalkan. Saya telah menumpang sementara di tanah yang menjanjikan kemewahan. A land of plenty. Saya hirup udaranya. Saya hidup dalam suasananya. Saya pijak tanahnya. Maaf saya tidak junjung langitnya. Kerana USA itu bumi Allah saya syukuri nikmatnya. Di tanah itu ada nikmat ilmu. Ada nikmat kemanusiaan. Ada nikmat sosial. Ada nikmat keindahan alam ciptaan Allah. Itulah nikmat paling besar. Mengerti adanya tanda-tanda kebesaranNya. Mengerti bahawa kesyukuran wajib dipanjatkan kepadaNya. Peluang dan anugerah yang sangat besar. Sangat bermakna.  Sangat mengesankan. Perjalanan itu telah memungkinkan mata melihat dengan mata hati. Dengan sedar dan maklum yang tidak terperi.

Ke USA adalah suatu hadiah negara untuk saya dan keluarga. Anugerah Allah. Nikmat itu lama saya nantikan. Harapan tidak tinggi kerana pada tahun-tahun 80an tidak banyak peluang diberikan kepada Pegawai Pendidikan yang tidak bertugas di Kementerian Pelajaran ketika itu. Iri juga bila teringatkan hal itu. Dalam kita memperkasakan pendidikan ada yang terlepas pandang. Nampaknya ketika itu pemerkasaan itu tidak menyeluruh. Hanya mereka yang dekat dengan pembuat dasar berpeluang lebih besar untuk menghambat nilai diri yang lebih tinggi. Berbeza dengan sekarang. Tersangatlah banyaknya peluang untuk membina diri. Membangun diri. Menggapai yang tinggi dalam diri dan profesion. Alhamdulillah. Masa sudah berubah. Peluangnya lebih menyeluruh. Nikmat yang lebih merata. Ambillah mana-mana peluang yang datang melayang pipihnya. Yang bulat bundarnya. Zaman orang mencari yang lebih baik. Yang lebih tinggi. Ada nikmat bagi mereka yang tahu. Ilmu di dada biarlah melimpah.

Kampung yang jauh di pedalaman tidak menjanjikan apa-apa ketika saya kecil dahulu. Untuk ke sekolah menengah sahaja terpaksa berperang dengan kebiasaan. Dengan paradigma pemikiran semasa itu. Bukan kebisaan. Sekolah Inggeris lagi. Begitulah perancangan Allah yang sentiasa lebih baik. Lebih agung untuk hambanya. Kita hanya mampu bercita-cita. Berazam sekuatnya. Bermimpi setiap malam. Berangan-angan setiap luang. Hanya Allah, ya hanya Allah yang memakbulkannya. Menjelmakan yang di hati. Dalam usia saya 38 tahun saya jejakkan kaki di US. Tanah besar yang selalu gah. Yang selalu mengangkasa dirinya. Menghambat kehebatan duniawi. Di celah-celah ruang yang ada saya menjejakkan kaki di negara yang juga dikenali sebagai Uncle Sam. Menapak mengiringi segala rentak warganya. Dari winter ke spring hingga ke summer dan fall. Lalu kitaran itu bermula semula untuk saya menemui lagi winter dan spring. Itulah perjalanan yang besar ertinya dalam membina keintelektuilan. Membesarkan kognitif seorang insan. Memperkukuh kelemahan. Mempelbagai cabang ilmu yang pelbagai disiplinnya.

Kembali dari perjalanan jauh tentu banyak yang ditanya orang. Pulang dari lama diperantauan tentu banyak yang dibawa pulang. Bukan material yang sangat terhad banyaknya tetapi kualiti dan kuantiti ilmu di dada yang dibawa kembali. Tentu orang bertanya tentang yang dilihat mata. Yang dilihat mata hati. Yang dirasa dengan lidah. Yang ditanggap dari apa yang tersurat. Iktibar dan pengajaran manusiawinya. Duniawinya. Jalan hidup dan jalan fikir warganya. Alam sekitar penghidupan mereka. Teknologi dan seni mereka. Makanan dan santapan. Gaya hidup dan norma kehidupan sehari-hari. Pendidikan dan pengajaran tidak formal yang selalu menghambat ria. Keterbukaan yang bukan disalah tanggap hingga lupa diri. Masih banyak batas-batas kemanusiaan yang dijaga mereka. Yang dianggap luhur dan bukan semuanhya bejat belaka. Maksiat bagi yang mahukannya tetapi ada semacam larangan walaupun agama kepada mereka bukan wajib lagi. Memang material lambang hidup mereka tetapi bukan material sahaja yang menghidupkan mereka.

Setiap orang masih mencari yang lebih baik. Bukan lagi di bawah seperti kata Abraham H. Maslow. Bukan lagi hanya tentang makan, keselamatan dan kasih sayang. Makan bagi mereka tiada masalah langsung.  Gandum, jagung, oat, malt, rye dan beras melambak-lambak. Silo (kepuk di Malaysia) banyak di mana-mana. Bayangkan bahawa Lembangan Mississippi adalah jelapang padi Amerika yang jauh lebih besar dari jelapang padi Malaysia. Padinya long grain. Vitamine C-added bila dipasarkan. Glazed seperti beras kita yang putih melepak. Selaput sekam tiada melekat lagi. Putih dan bersih. Keselamatan bukan menakutkan mereka. Amerika Utara seperti kubu tersendiri. Di utaranya Canada yang sebahagian besarnya Greenland dan Kutub Utara. Di Timurnya Lautan Atlantik. Di Baratnya Lautan Pasifik. Di Selatannya Mexico negara sekutu. Itupun mereka membina sistem pertahanan yang kukuh untuk melindungi semua yang mereka ada. Mereka tidak menagih kasih sayang. Mereka yang sayang datang kepada mereka. Negara yang sayang berbaris dan berderet datang mengikat janji. Merapak sembah mengakui kehebatan mereka. Ada ketua negara yang sanggup membayar jutaan wang mereka untuk membayar lobbyist yang dapat menemukan mereka dengan Presiden Amerika. Dapat bertemu sekejap. Dapat bergambar seketika. Modal politik yang besar impaknya.

Sangat ironis banyak negara yang pemimpinnya bencikan Amerika tetap mengikat perjanjian dengan Amerika. Tidak kira perjanjian damai. Perjanjian dagang. Perjanjian nuklear. Pendidikan dan apa sahaja. Malah stesen angkasa ISS malah dikongsi pengendalian dan pengurusannya dengan musuh nombor satu mereka iaitu Russia. Presiden Amerika tiada yang lupa melawat Peking walaupun itu musuh mereka. Syarikat-syarikat gergasi Amerika bertapak walaupun di Cina atau Russia. Kita yang kecil ini sahaja yang takutkan semua perkara. Rasa tidak selamat. Maka kerana itulah Malaysia cuba berkecuali. Mengambil manfaat dari keadaan yang ada. Baik dengan Amerika dan pada masa yang sama baik dengan Russia. Lihat sahaja kelengkapan tentera kita. Ada jet pejuang Amerika. Ada Russia. Kapal selam dari Perancis pula. Banyak lagi dari negara lain. Amerika stabil dari segi keperluan fisiologi mereka. Keselamatan dan kasih sayang (atau menanangi musush-musuh) mereka. Lihatlah! Hampir tiada pemimpin dunia Arab yang  tidak berkejaran ke Amerika jika mereka menghadapi masalah dengan jiran sesama Islam mereka. Walaupuin OIC (Organisation of Islamic Countries) ada tetapi mereka lebih selesa dengan big brother mereka. Setengah negara Arab menganggap Amerika adalah saviour mereka. Tanpa Amerika survival mereka tamat.

Barangkali itu sebabnya negara-negara Islam dibiarkan miskin supaya pemikiran mereka sentiasa dijajah. Mudah diyakinkan bahawa Amerika boleh menyelesaikan masalah mereka. Tidak perlu membangun kerana mereka hanya perlukan makanan. Amerika boleh memberi mereka makan asalkan mereka tunduk patuh dan membantu mereka. Barangkali di Afghaanistan dan Iraq serta Iran ada suara marah bencikan Amerika. American tidak perlu dan tidak pedulikan public opinion dari manusia seleuruh dunia. Mereka selesa menguassai semua pemimpin dunia ketiga yang di luar ikatan G-7, G-9 atau G-20. Semua yang lain adalah pemain kecil yang boleh dikuis dengan sebelah tangan. Mungkin dengan jari kelingking mereka sahaja. Veto mereka sahaja yang dikira penting di PBB. Menjaga kepentingan mereka. Menjaga sahabat mereka. Negara kuat yang selalu pilih kasih.

Kepada mereka yang penting ialah ego dan self-actualisation. Mereka perlu menjadi ketua bukan pengikut. Di hadapan dan bukan di belakang. Di atas dan bukan di bawah. Menonjol dan bukan terlindung.  Kadang-kadang tindakan mereka di luar batas yang boleh diterima oleh orang awam. Demi kelangsungan politik mereka semuanya boleh. Banyak matlamat menghalalkan cara. Paling tinggi ialah positioning mereka sebagai yang terbaik di dunia. The best there was. The best there is. The best there will be. Lihatlah betapa banyaknya title world champion yang mereka wujudkan. Self-actualisation inilah yang akhirnya menjerat minda anak muda supaya fokus kepada mereka. Di sana ramai champion. Yang perlu dicontohi sebagai role-model yang terbaik. Tiada yang lain melainkan di Amerika. Terlalu ramai mereka yang bukan warga mereka hidup di negara itu apabila mereka menjadi juara dunia. Orang hanya tahu mereka di US tetapi tidak tahu status kewarganegaraan mereka. Impak minda itu menjadi penting. Seolah-olahnya Amerika adalah harapan terbesar kepada siapa sahaja di dunia ini.

18 bulan yang mengujakan. Saya bawa kembali kenangan besar dari negara yang gagah besar. Tidak semuanya baik tetapi banyak sangat yang terlalu baik. Dari politik hinggalah kepada sikap mereka tentang sampah dan kotoran. Lambang besar itu ada di sana sini. Kegagahan yang bukan pada cakap tetapi dikotakan hingga mencecah awan. Bukan satu dan bukan dua. Banyak melata di mana-mana. Bangunan-bangunan mereka besar, tinggi dan gagah bentuknya. Designnya. Senibinanya. Jalanrayanya begitu. Rumah-rumah mereka juga. Lihatlah kereta Amerika yang dipandu di sana. Besar-besar belaka. Minyak bukan masalah. Orangnya besar-besar juga kerana makanan menimbun. Terlalu banyak. Murah dan mudah diperolehi. Tidak pernah terputus bekalan kerana sistem ekonomi dan sains pengurusan yang sudah dimantapkan. Stockpilingnya hebat. Safety stocknya boleh diharap.

Selamat tinggal USA. Saya fahami hidup mereka. Mengerti sebahagian budaya mereka. Hanya yang pernah di sana mengerti apa yang ada di sana. Menonton filem atau video bukan jalan pintas untuk mengerti. Jejakkan kaki labuhkan diri. Alami sendiri untuk meresapkan keindahan ciptaan Allah. Jauh perjalanan banyak pemandangan. Pengalaman yang bukan untuk dibeli. Garapan minda yang mendamaikan. Rerzeki dari Allah.

Wednesday, March 28, 2012

Yang Pulang Diraikan

Seperti suatu tradisi tidak bertulis ianya selalu diulang-ulang. Difahami dan diamalkan. Seperti di mana-mana sekalipun makan dan minum bukan sesuatu yang menjadi masalah besar.  No big deal.  Begitulah apabila ada pelajar yang akan pulang ke Malaysia. Ramai yang akan menjamu makan malam. Mungkin memakan masa setiap malam berminggu-minggu lamanya. Yang berkeluarga memberi makan. Yang bujang juga memberi makan. Ukhwah sesama pelajar selalunya sangat akrab. Menjadi saudara apabila sama-sama di perantauan. Di tanahair hanya  bertegur sapa. Hanya ketawa bersama. Senyum bersama. Diperantauan semuanya bagai  berubah. Sesama sendiri menjadi sangat rapat. Sangat dekat. Ada sahaja masa untuk turut bersama. Berjauhan dari tanahair menjadi suatu barakah pula. Ada rakan-rakan baru yang dekat dan mesra.

Dalam proses hendak balik semua periuk belanga sudah dibungkus. Pinggan mangkuk sudah dihantar pulang.  Biasalah makan dengan paper plate.  Makan ala kadar. Ready to fly home. Malaysia, here we come. Hati terlonta-lonta hendak menemui orang-orang yang ditinggalkan. Yang lama tidak ditatap wajahnya. Dulu lain sekarang lain. Telefon sahaja penghubung. Mungkin surat yang malas hendak ditulis. Poskad sekali sekala. Internet belum meluas. Gunanya terhad. Lagipun di kampung manalah ibu dan mertua saya ada telefon. Mana ada komputer. Sekarang bolelah. Banyak benar peluang menjenguk orang jauh dalam talian. Facebook, twitter dan banyak lagi. Bukan seperti sekarang tidak ada lagi halangan untuk berasa dekat. Buka komputer boleh conferencing. Boleh chatting. Boleh face to face. Telefon barangkali terhad jika  berada antara benua. Menyeberang lautan. Teknologi yang semakin mendekati realiti.

Makan malam yang diberikan oleh sahabat-sahabat bukan semudah menyuap nasi ke mulut. Sebelum dapat makan kena selalu juga hulur-hulur makan. Mulut mahu manis. Tingkah laku bersama sahabat dijaga. Indahnya ialah ada ubi ada batas. Ada budi ada balas. Saya teringat masa dulu-dulu. Hidup di kampung sangat simple. Semudah-mudahnya. Hidup di kampung yang serba kurang diimbangi dengan keikhlasan hati. Banyak memberi. Bukan meminta. Yang diberikan bukan apa-apa. Bukan tinggi nilainya. Pisang sesikat dua. Kelapa sebutir dua. Durian sebiji dua. Rambutan seikat dua. Yang cantiknya bila ada orang bertandang datang pastinya tetamu itu pulangnya kekenyangan. Bukan beefsteak. Bukan tomyam.  Bukan sate. Bukan chicken chop. Bukan barbeque. Hanya nasi berlaukkan gulai lemak pucuk ubi. Disulam dengan ikan kembung masin. Atau ikan kering bulu ayam. Mungkin pastinya sambal belacan atau sambal lemak kelapa yang rasanya berakhir dengan tahi minyak. Lemak manis. Dalam masa kira-kira sejam sempat lagi mengukur kelapa. Orang kampung dah lama amalkan CPM (Critical Path Method)  atau PERT (Program Evaluation and Review Technic). Mereka tanak nasi. Kukur kelapa. Ada pula yang siang pucuk ubi atau yang lain. Santan siap pucuk ubi siap. Dalam belanga gulai mendidih panas menyentap selera.

Pisang masak sentiasa ada. Keliling rumah penuh dengan rimbunan pisang. Yang masak pasti ada setiap masa. Lazimnya digoreng. Atau direbus dan dimakan dengan kelapa parut. Lebih enak dibuat pengat. Belum lagi nagasari. Belebat pisang. Pisang nipah memang banyak boleh diolah. Namun pisang yang lain biasa dimakan mentah. Rastali, lemak manis, boyan dan kapas. Itulah makanan harian. Itulah juga pencuci perut. Anak kampung makan pisang bukan sebiji dua. Sesikat boleh habis sekali duduk. Tidak mengapalah. Pisang dahulu tiada racun serangga. Masaknya kerana Allah. Makan kenyang tetapi tiada mudaratnya. Alhamdulillah. Makan dan makan. Memberi makan dan makan tidak terkira lagi. Menjadi budaya yang difahami bersama. Tetamu seperti wajib diberi makan. Memang betulpun. Prinsip Islam begitu. Tetamu diraikan. Dijamu hingga kekenyangan. Seperti pantang jika ada tetamu tidak diberi makan.

Dalam masa bertandang yang sekejap sahaja makan tengahari sudah siap. Jika petang sekalipun makanan akan disediakan. Sudah jadi budaya memberi makan. Sangat senang tuan rumah menyediakannya. Sebab itu orang Melayu suka duduk di ruang dapur. Besar manapun rumah itu, di dapur juga duduknya. Kenapa? Mudah melayan tetamu sambil menyediakan minuman. Makanan. Sambil memasak. Berbuallah dengan becoknya antara tuan rumah dan tetamu. Tetapi yang dewasa sahaja. Yang sudah berumahtangga. Yang bujang minta maaf. Jangan menyampuk. Jangan ikut campur. Hanya yang dewasa sahaja berhak bercakap. Mungkin satu lagi sebab mengapa anak Melayu tidak banyak bercakap. Bungkam selalu. Senyap dan sunyi. Becok bila bersama rakan sebaya sahaja. Di rumah tiada suara. Di hadapan orang tua menyingkir jauh. Pandai-pandai membawa diri.

Biasakanlah memberi makan. Bila tetamu datang cepat-cepat  ke dapur. Setelah menyahut salam jemput tetamu naik ke rumah atau masuk ke dalam rumah. Setelah bersalam dan bertanya khabar ala kadar terus ke dapur menjerang air, memasak nasi, buat  atau goreng kuih. Buat air sejuk terlebih dahulu. Yang panas kemudiankan. Jika tidak ada, cukup dengan chilled water sahaja dahulu. Cepat-cepat masak. Gunakan teori PERT atau simplex. Atau mungkin decision tree. Makanan untuk menjamu tetamu perlu segera. Sejam boleh siap alangkah datangnya selera. Sangat merumitkan perasaan jika terlalu lama menyediakan minuman dan makanan. Bukan yang berat-berat. Seperti di kedai makan yang utama sediakan minuman terlebih dahulu. Bila sudah ada minuman, yang lain-lain mudah  diurus. Itulah kebiasaan orang berkeluarga. Di rumah mesti disediakan makanan tertentu. Mungkin biskut. Roti canai segera. Kuih muih segera. Atau apa sahaja yang mudah disediakan dan tidak perlu lama.

Pergilah ke rumah rakan, handai taulan atau saudara mara. Andainya air minuman dihidangkan dengan cepat, kita berasa lega. Kita rasa sangat dihormati. Diraikan dengan sepenuh hati. Ada masanya minuman ditunggu tidak datang-datang. Sembang sudahlah panjang. Mulut payah hendak lekang. Air liur sudah keluarnya jarang. Kering kontang. Dengar-dengar di dapur tiadanya bunyi. Rasanya penghuni rumah itu ramai. Anak dara ada dua atau tiga. Itu belum bibiknya lagi. Mana airnya. Mana hidangannya. Bukan payah. Air masak pun cukup. Jika tengahari chilled water lebih menyegarkan. Hal-hal seperti it menjauhkan rakan dan taulan. Saudara mara menghindar. Mereka bukan mahukan yang lazat. Bukan yang enak. Ala kadarpun cukup. Yang senang-senang. Biskut kering. Buah-buah yang tahan disimpan. Cukuplah untuk meraikan kehadiran. Ajak keluar bagi yang berkemampuan. Kedai sekarang ini bukan jauh dari rumah. Banyak kedai makan. Keluar rumah mungkin ada sebuah dua.

Itu adat Melayu. Adat Islam. Kita meraikan untuk nanti diraikan. Kita menghormati supaya nanti dihormati. Kita memberi layanan supaya nanti kita menerima layanan. Banyaklah memberi tanpa memikirkan balasannya. Allah yang akan membalasnya. Yakinlah ketentuan Allah. Keikhlasan adalah sebaik-baiknya. Jika tidak di dunia balasannya, di akhirat pasti mendapatnya. Memberi bukan lagi-lagi meminta. Jangan pula mengungkit. Hilang pahala. Hilang manfaat. Mungkin pula jatuh darjat. Halalkan apa yang sudah diberi. Jika boleh beri lagi. Dan lagi. InsyaAllah besar ganjarannya. Paling kurang hati tenang dan senang. Mudah-mudahan hidup penuh barakah. Diredhai Allah. Penuh rahmatNya.

Tuesday, March 20, 2012

Rezeki Anak-Anak Dalam Perantauan

Saya ke US membawa lima orang anak. Rasanya seperti ramai. Ada keseronokan dan ada juga permasalahannya. Walau bagaimanapun semuanya terurus secara pentadbiran. Bukan masalah besar. Memang secara logiknya agak sukar membawa lima orang anak. Sementelahan pula tiga yang kecil baru berusia lima, tiga dan setahun. Yang sulung ketika itu 12 tahun dan yang kedua 11 tahun. Yang besar boleh diharap membawa diri. Cuma bila sampai di US ada suara sumbang yang tidak enak didengar. Kononnya anak yang lebih 12 tahun akan dikenakan tambang sendiri. Saya pasrah. Jika kena tambang, bayarlah. Pengalaman seumur hidup untuk anak-anak. Sesekali keluar belanja berbaloi juga. Pengalaman yang hanya sekali itu tentu mahal harganya. Nilainya melebihi wang ringgit. Bukan mudah mendapat rezeki anugerah Allah sebegitu. Biasiswa yang meliputi tanggungan untuk isteri dan anak-anak. Cukup untuk sewa rumah dan makan minum. Belajar dibayar. Perjalanan dibayar. Ada elaun-elaun tambahan. Alhamdulillah.

Saya merisik-risik. Dengar perbualan rakan-rakan. Untuk kembali ke Malaysia ada dua alternatif. Pertama mengundur semula mengikut perjalanan sewaktu datang dahulu. Ke Honululu, Tokyo, Taipei, Hong Kong, mungkin Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur. Keduanya pulang melalui London, Frankfurt, Dubai dan Malaysia. Perjalanan itu dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Malaysia. Wow! Ikut manapun percuma. Sebahagian dari biasiswa kerana keluar negara. Maka beranganlah saya singgah di London. Kota yang gah saya dengar sejak dari zaman kanak-kanak dahulu. Sejak tahu membaca. Sejak diceritakan orang Melayu bahawa dulu bosnya Mat Saleh. Dari London. Orang putih yang cakapnya banyak s. Ada sahaja di hujungnya yang berbunyi s. Ramai orang Melayu yang mengajuk snya sahaja. Butir perkataannya tidak diketahui. Jadilah mengajuk sana mengajuk sini. Yes no alright thank you. Itupun sudah dikira tahu cakap orang putih. London, kota tuan-tuan penjajah dahulu. Tidak lagi tergambar apa yang ada di sana. Maklumlah anak kampung yang baru terbang mengepak sayap. Entah di mana hinggapnya.

Saya hubungi Malaysian Students Department (MSD) di Kedutaan Malaysia di Washington. Saya nyatakan hasrat saya. Tiada masalah bagi mereka. Semua butiran diri saya ada pada mereka. Tentukan tarikh perjalanan sahaja. Nyatakan berapa hari hendak berada di London. Itu sahaja. Tidak ada lain. Tidak ada. Senang sangat. Ini yang selalu memeningkan kepala. Sukar mendapat maklumat yang benar dari rakan-rakan pelajar. Hatta dari yang senior sekalipun. Selalu sangat mendapat maklumat sekerat-kerat. Banyak yang salah pula. Sebenarnya saya banyak belajar. Untuk mengetahui maklumat yang sebenar hendaklah mendapatkanya dari sumbernya yang sahih. Dari puncanya. Dari tempat asal maklumat itu boleh diperolehi. Jika ditanya dari sumber lain maka selalu maklumatnya tidak tepat. Banyak perbezaan yang menyulitkan jika tidak diperbetulkan.

Begitulah saya mendidik pelajar saya. Kadang-kadang mereka mendapat maklumat dari rakan-rakan mereka. Sebagai pensyarah saya tahu maklumat itu tidak benar. Mungkin tarikhnya tidak menasabah. Mungkin bunyinya melanggar dasar. Melanggar AUKU. Akta Universiti dan Kolej Universiti. Mungkin memang tidak ada dalam perancangan. Malangnya berita dan maklumat seperti itulah yang pelajar selalu dengar dan dipercayai. Dalam pengurusan selalu disebut sebagai grapevine. Begitulah besarnya tanggungjawab pendidik untuk membangunkan kognitif, afektif dan psikomotor pelajar. Ramai orang yang pandai apabila dilihat sekilas padang. Yang selalu ditemui sebenarnya ialah orang-orang yang kurang rasional kerana tidak mendidik kognitifnya. Jalan fikir yang tidak tersusun. Tiada urutan. Hilang sekuen. Tidak selari. Akhirya celaru. Besar tanggungjawab pendidik untuk membangunkan modal insan yang berwibawa pada masa hadapan. Didik mereka supaya memiliki daya fikir yang melampaui masa. Melampaui kekuatan yang ada. Jangkauan yang jauh merentasi masa hadapan yang tiada kepastian. Merancang dengan izin Allah.  

Rezeki anak-anak barangkali saya dan keluarga dapat nantinya melihat London. Angan-angan yang boleh menjadi kenyataan. Saya teringat kata orang tua-tua. Penuhkan ilmu di dada. Ke mana pergi akan selamat. Pasti, asalkan ilmu itu berguna dan memberi impak positif. Jika sebaliknya pasti juga tidak selamat. Saya kembali teringat sewaktu kecil di kampung dahulu. Rumah limas orang Jawa yang dibina almarhum datuk saya waktu itu. Rumah beratapkan rembia yang selalu diterbangkan angin. Yang selalu koyak. Yang cepat buruk. Yang menitiskan air hujan kerana tirisnya. Rumah tinggi untuk mengelak banjir. Berdindingkan kulit kayu yang banyak lubangnya. Tidur lena di lantai batang pinang yang banyak berbenjol-benjol. Berjalur-jalur belakang badan bila bangun dari tidur. Anak kampung yang tidak pernah mimpi untuk mengelilingi dunia. Merentas benua dan lautan luas yang megufuk jauh. Zaman itu bersekolah kebangsaan hanya untuk tahu tulis baca. Mana ada gambaran masa hadapan yang dirancang. Beruntunglah orang-orang yang duduk di bandar-bandar besar. Banyak yang mereka lihat. Yang mereka baca. Yang mereka dengar.

Maaflah. Guru-guru di sekolah luar bandar ketika itu tiada juga jauh ke hadapan world viewnya. Ramai hanya mahukan anak-anak didiknya menjadi guru sekolah Melayu. Tamat darjah enam jadi guru normal. Belajar di hujung minggu selama beberapa tahun. Kembali mengajar di pedalaman. Dalam kesukaran yang melampaui keadaan. Berbasikal jauh. Lecak dan lopak sudah lali diredah. Pengorbanan yang sukar dibilang nilainya. Jalanraya tidak ada. Jalan-jalan kampung dan denai yang tidak mempunyai rupa. Kotor, becak dan sukar dilalui. Tanyalah guru-guru sepertinya yang masih hidup. Tanyalah air mata yang banyak mengalir kerana pengorbanan itu. Yang mengajar di kampung benar-benar menginsafi kampung itu. Sebulan sekali ke bandar mengambil gaji yang tidak seberapa. Dapat tunai dari pejabat kerana bank bukan lagi budaya. Dengan tunai yang sedikit itulah ringgit dihulur kepada orang tua. Menghidupkan diri dan keluarga. Lingkungan keadaan yang memaksa begitu. Sesudah merdekapun saki bakinya masih banyak dirasa. Sukar membuang kebiasaan. Membuang amalan. Tinggallah anak-anak kampung dalam “kegelapan ilmu”. Kegelapan dunia.

Anak-anak bandar berlumba-lumba menggapai awan. Anak kampung seperti saya hanya parit dan sungai yang diredah. Hanya semak dan belukar untuk memikat burung. Hanya pokok dan pohon untuk memetik buah. Makan hanya ikan masin kering dan sayur dari sekeliling rumah. Seluruh kampung adalah kebun sayur-sayuran. Tumbuh sendiri. Rezeki dari Allah. Bila hendak memasak pusing keliling. Pilih yang mana hendak. Jantung pisang. Pucuk ubi. Pucuk manis. Pucuk pakis merah. Pucuk pakis perak. Batang keladi. Sulur keladi selatah. Umbut. Cendawan busut selepas hujan. Cendawan krikit di batang pokok getah tumbang. Begitu juga pisang kapas muda. Daun labu dan buahnya. Kadang-kadang keledek. Meranti juga banyak di belukar di hujung kampung. (Pada tahun 60an kampung saya masih banyak hutan). Kacang panjang dan peria yang ditanam bersama petola. Semuanya segar. Segera dari pokoknya. Baru dipetik. Tiada racun serangga. Tada racun perosak. Tiada kebimbangan walau sedikitpun bahawa sayur-sayur itu memberi mudarat. Sebaliknya enak dan selamat.  

Ikan masin menjadi makanan ruji bersama nasi. Bagi yang rajin banyak lauk dari alam anugerah Allah yang boleh dicari. Mengail bukan perlu pesta joran seperti sekarang. Orang memancaing ikan besar dan berat untuk mendapat habuan yang besar dan mahal. Zaman dahulu itu orang memancing untuk makan. Untuk mengisi perut. Untuk kelangsungan hidup. Untuk menghidupkan generasi. Dengan kail buatan sendiri. Kayu dan ranting buluh. Dengan tajur dan lukah. Temburu yang membujur. Sauk dan jala. Ikan dan udang di parit kampung saya cukup banyak. Keli dan baung ada. Tapah dan haruan banyak. Udang galah galak bermata merah waktu malam. Begitu juga ikan lais, seluang dan keli. Bila air pasang banyak ikan dari sungai mudik ke parit. Bila musim hujan maka baung dan tapah mudah didapat. Tajur selalu mengena. Lukah selalu berisi. Temburu sarat dengan ikan dan udang.

Makanlah ikan dan udang itu. Goreng, gulai, sambal, pecal atau masak apa sahaja ramuan mengikut selera. Udang pula selalu tidak banyak ditangkap. Tidak cukup untuk dimakan seorang seekor. Selalunya kami buat botok-botok. Tumbuk udang hingga lumat. Gaul dengan kelapa parut bercampur bawang, garam dan cekur. Kencur kata orang Jawa. Pada zaman itu semuanya enak belaka. Teringat juga saya akan udang hitang tanah gambut. Oleh kerana air gambut itu hitam maka udangnya hitam juga. Banyak sebesar ibu jari. Bila digoreng merah juga seperti udang yang berkulit putih. Seperti udang galah juga masaknya. Begitulah simplenya kehidupan masa itu. Masa yang telah lama berlalu. Yang meninggalkan hanya kenangan dari lipatan masa. Dari imbauan minda. Dari celah-celah kehidupan kampung.

Dari celah-celah kemiskinan itu saya berada di USA. Membawa isteri dan anak-anak. Dari kedaifan itu saya keluar meneroka dunia. Sesuatu yang sukar dihurai dengan kata. Dengan cerita. Menunggu untuk berada di tengah-tengah kota London seperti terlalu lama. Anak saya yang sulung sudah berusia melebihi 13 tahun. Tambangnya untuk pulang percuma sebagai sebahagian dari biasiswa saya. Bila seorang suami mendapat nikmat akan tertumpah nikmat itu kepada isterinya. Bila seorang bapa mendapat nikmat maka tertumpahlah nikmat itu ke atas anak-anaknya. Begitulah seharusnya apabila seorang anak mendapat nikmat, nikmat itu tertumpah di hati ibu dan bapanya. Lumrah alam. Kitaran masa dan peristiwa. Saya kira nikmat itu juga kerana saya berkursus dalam perkhidmatan. In-service course. Pergi belajar sebagai pegawai. Sebagai penjawat awam. Ada kebajikan yang dijaga majikan. Menerima nikmat kerana telah berkhidmat memenuhi piawaian. Melaksanakan tanggungjawab seperlunya. Itu dahulu sewaktu saya menikmatinya. Alhamdulillah.