Parit Mohamad, Mukim 4, Parit Sulong, Batu Pahat, Johor. Sebuah kampung yang jauh di pedalaman pada tahun-tahun sebelum merdeka. Sebelum ada jalanraya. Sebelum ada sekelumit pembangunan. Yang ada hanya radio basah di rumah jiran. Baterinya perlu dicas mengikut jadual. Bateri basah itu sebenarnya bateri lori. Besar dan berat. Untuk mengecasnya perlu dibawa ke bandar. Maka bateri itu naik motor bot selama lebih tiga jam. Baliknya tiga jam juga. Itulah sumber berita yang ada. Suratkhabar mungkin seminggu sekali apabila ke pekan Parit Sulong. Pasar mingguan pada setiap hari Sabtu. Hingga sekarang pasar hari Sabtu itu masih kekal. Tumpuan penduduk sekitar yang kadang-kadang ribuan ramainya. Khususnya menjelang hari raya. Saya juga biasa meramaikan pekan Parit Sulong semasa remaja saya. Hanya setakat berjalan-jalan sahaja. Mana ada duit. Mana ada apa-apa. Setakat naik basikal. Jengah sana jengah sini. Kemampuan nihil. Kosong. Zero. Poket kosong. Sesekali mungkin ada sedikit habuan. Tidak saya ingat siapa yang beri. Makanan yang paling enak ialah lontong. Lontong Wak Yem. Semua orang tahu enaknya. Lontong dengan lodeh dan sambal sate. Waktu itu tidak ada yang lebih enak dari lontong Wak Yem itu.
Selalu saya sebut pilihan kerjaya saya selepas SPM (MCE, OSC, FMC) sangatlah terhad. Tidak ada maklumat. Saudara mara juga tidak bermaklumat. Belum ada yang celik kerjaya. Belum ada yang merantau kerana tugas negara di peringkat tinggi. Guru di sekolah tidak memberi maklumat. Pilihan saya adalah polis, askar, kerani dan guru. Itulah yang selalu saya lihat. Bukan rencam bentuknya seperti sekarang. Terlalu banyak pilihan. Menjadi polis larangan arwah datuk saya. Pengalamannya di Tanah Jawa menunjukkan bahawa plis adalah anjing kompeni kepada Belanda. Barangkali tarafnya ialah pengkhianat. Entahlah. Menjadi askar tdak direstui oleh arwah ibu saya. Waktu itu pengganas komunis sedang mengganas. Bunyi senapang dan bom selalu kedengaran dari rumah saya. Kawasan komunis ada di Parit Sulong dan Yong Peng. Sepanjang banjaran Titiwangsa dari selatan ke utara. Tinggal dua pilihan. Kerani dan guru. Saya fikir bahwa kerani terlalu statik. Hidupnya di meja yang sama selama 24 jam. Kerusi yang sama. Ruang yang sama. Mungkin rakan yang sama. Ketua pejabat mungkin silih berganti. Akhirnya saya memilih guru. Alhamdulillah. Mungkin itu pilihan yang serasi bagi saya. Jadilah saya seperti saya sekarang. Skop kehidupan yang lebih besar.
Menjadi guru pada tahun 1969 adalah suatu realiti yang sukar digambarkan. Setelah menjalani latihan selama dua tahun saya ditempatkan di Negeri Terengganu. Tahun 1967 saya menjalani latihan mingguan Regional Training Centre (RTC) di Segamat, Johor. Tahun 1968 di Institut Bahasa, Kuala Lumpur. Tahun 1969 kembara saya bermula. Saya tinggalkan kampung. Berbakti untuk nusa dan bangsa. Membina anak bangsa yang dahagakan belaian ilmu. Mengembangkan minda untuk menjadi warga yang bermanfaat. Menyambung dan melestarikan rantaian bakti yang dulunya diunjukkan oleh guru-guru saya. Tidak ada yang lebih membahagiakan. Pilihan saya menjadi guru rupanya membawa saya merantau jauh. Melihat dunia yang sebenar-benarnya. Walaupun kata bijak bestari perjalanan yang beribu kilometer jauhnya dimulakan dengan langkah yang pertama saya tidak pernah tahu hakikatnya begitu.
Dari Kuala Terengganu saya ke Kluang. Kemudiannya ke Kuala Lumpur semula. Dari Universiti Malaya arah saya berputar jauh. Sewaktu menjadi guru dahulu saya rasa hidup mati saya di sekolah. Itu yang saya tahu. Yang saya lihat. Rupanya Allah memberi saya laluan yang berbeza. Dari UM saya ke Politeknik Ungku Omar di Ipoh. Pintu alam saya terbuka di sana. Saya bukan di sekolah lagi. Dunia saya bukan bersama anak-anak kecil. Pelajar saya lepasan SPM atau STPM. Kepada mereka hujjah saya lebih tinggi. Pada minda mereka saya bercakap tentang negara. Tentang dunia. Bukan lagi di sekeliling rumah mereka. Bukan lagi kajian tempatan. Membuka minda untuk menggarap yang lebih besar. Ketika di PUO itu sayap saya adalah untuk negara. Kurikulum politeknik Malaysia. Soalan periksa. Begitu juga lain-lain hal yang menyangkut politeknik seluruh Malaysia. Maka bergeraklah saya menjelajah seluruh negara kecuali Sabah dan Sarawak.
Tahun 1985/86 rasanya kemuncak segala-galanya. Saya ke USA untuk Sarjana pendidikan saya. Tahun 1990 saya ke Canada pula selama tiga bulan. Pengalaman kedua yang juga besar ertinya. Cerita saya masih di USA. Mungkin beberapa entry yang banyak lagi akan menyampaikan saya ke Canada. Banyak juga cerita indah dari sana. Kembali dari Canada saya pindah ke Politeknik Batu Pahat. Sekarang namanya Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). Bertukar dari Politeknik Batu Pahat ke Pusat Latihan Staf Politeknik (PLSP) lalu menjadi Institut Teknologi Tun Hussein Onn (ITTHO). Bertukar lagi menjadi Kolej Universiti Tun Hussein Onn (KUiTTHO). Sekarang gah dengan nama UTHM. Sebuah tempat yang melalui transformasi panjang selama lebih 20 tahun saya berada di situ. Saya bersara di situ pada 23.7.2001. Kontrak saya tamat pada 14.7.2011. Sekarang masih lagi terhubung sebagai pensyarah sambilan. Walaupun saya kembali selama 11 bulan ke sekolah, SMT Johor Bahru, saya kembali ke PLSP pada tahun 1994. Suatu kembara yang berbagai. Panjang ceritanya.
Sekarang cerita saya dihujung kembara saya di USA. Akan saya tinggalkan bumi Pittsburgh yang memberi banyak kenangan bersama isteri dan lima orang anak saya. Bila mereka membaca cerita ini pasti kembali ingatan itu kepada mereka. Suatu lintasan masa yang seperti sebentar. Namun banyak kenangannya. Berpintasan dan berjalur-jalur panjang. Banyak warna dan lagu indah bersama. Dalam keindahan spring tahun 1986 saya tinggalkan semuanya. Terbang dari lapanganterbang Pittsburgh kami ke lapanganterbang Newark di New York. Setelah berada di New York pada bulan sebelumnya, saya kembali ke New York lagi. Apabila kapalterbang take-off sahaja dari Newark bermakna saya tinggalkan negara yang ada di sebalik Malaysia. Yang jarak masanya 12 jam. Siang di Malaysia malam di USA. Malam di Malaysia siang di USA. Lautan Atlantik yang selalu sibuk antara benua Amerika dan benua Eropah saya lintasai. Kembara saya untuk mengelilingi dunia. Saya jejaki Panglima Awang walaupun jalannya berbeza. Teknologi mengubah paradigma. Mengubah kebiasaan. Panglima Awang belayar di laut, saya belayar di udara. Terlalu pantas masa berlalu. Seperti baru semalam. Masih terasa-rasa lagi kebas punggung kerana terlalu lama di dalam kapalterbang. London, here we come.
No comments:
Post a Comment