Wednesday, June 15, 2011

Wahai Isteri Yang Hamil

Suatu ketika dahulu kau mendengar suatu lafaz yang syahdu. Kau terima nikahnya seorang lelaki yang bergelar suami. Kata jurunikah, ketika itu menjeritlah segala syaitan dan iblis kerana tamat godaannya terhadapmu dan suami. Segala-galanya menjadi sah.  Bukan itu sahaja, antaramu dan suami menjadi suatu yang hak. Memenuhi tuntutan antara satu sama lain. Semua yang terlarang dahulu menjadi halal belaka. Sudah tidak ada hijab antaramu berdua. Cuma sentiasalah beringat bahawa syaitan dan iblis tidak berhenti helahnya. Duhulu kerjanya membujukmu berdua supaya rapat dalam haram. Dalam terlarang. Sekarang usahanya ialah untuk memisah. Menjauh. Mendatangkan geseran walaupun atas perkara yang kecil. Remeh. Yang kadang-kadang tidak masuk akal. Itu kerja makhluk yang sudah diberi mandat untuk menggoda anak Adam hingga hari kiamat. Akal kita yang mampu menewaskannya. Iman kita yang menjadi benteng dari ganggugugatnya.

Keterikatanmu kepada ibu dan bapa sudah terlerai. Seorang suami menambat jiwa dan ragamu. Mudah-mudahan kau mendapat seorang suami yang sebaik-baiknya. Mafhum sebuah hadith: Sebaik-baik suami ialah yang baik terhadap isterinya. Walau apapun sekarang bukan waktu memilih. Sekarang ialah waktu menghadapi realiti. Impianmu mungkin bukan seperrti realiti yang di hadapanmu. Sekarang waktu menerima seadanya seorang suami. Tempat bergantung segala harapan di hari muka.  Syurgamu di sisinya. Ingatlah, kepada suamimu syurganya ialah kepada ibu dan bapanya. Hubunganmu dengan ibu bapamu tidak terputus. Tetapi fokus kehidupanmu ialah suamimu. Mudah-mudahan ketaatanmu terhadap suami dibalas dengan syurga untukmu. Juga syurga untuk ibu dan bapamu. Besarnya impak taat kepada suami. Ibu bapa boleh masuk syurga. Itu janji Allah. Itu Janji Rasulullah.

Sekarang ini tiba masanya kehamilan yang diredhai mendatangimu. Kasih sayangmu dan suami dianugerahkan bakal pewaris yang didoakan membahagiakan ikatan kecintaan bersuami isteri. Zaman remajamu sudah berakhir. Zamanmu lepas bebas sudah lama berlalu. Zamanmu meneroka alam sekehendak hati sudah tidak ada lagi. Duniamu berlegar di sekeliling suami yang tercinta. Sekarang ini fizikalmu mengalami perubahan yang mungkin secara evolusi. Mungkin juga terlalu drastik. Kau berubah dalam banyak hal. Dari fizikal kepadalah emosi. Suamimu yang kasih tentu mengerti. Tetapi ini pengalaman pertamanya. Pengalaman yang mungkin jauh dari luar jangkanya. Dia tidak pernah melintas fikir bahawa isterinya yang dahulu terlalu comel sudah tidak ada lagi bekas-bekasnya. Senyum dan tawanya isteri sudah jarang dilihatnya. Yang banyak dilihat ialah payahnya. Seri di muka yang lama sudah tidak ada. Mungkin juga dirasa sedikit mengada-ngada. Al-maklumlah dia lelaki yang mustahil merasa apa yang kau rasa. Mungkin ada simpati kerana kasihnya. Tetapi tidak mungkin dia empati.

Bagi suami isteri yang berkerjaya keadaan ini tentulah lebih gawat. Kau dan suamimu letih lesu bila pulang ke rumah. Suamimu masih lagi dalam lingkungan bulan madunya. Percayalah seorang lelaki yan bernama suami sentiasa inginkan bulan madu yang abadi. Seorang isteri sepertimu tidak mampu berada lama dalam suasana itu. Benarlah, bulan madu itu hanya sementara. Kau sedang membawa madu itu bersamamu. Redha itu penting. Ketundukan kepada fitrah berumahtangga itu penting. Ia berlaku kepada semua isteri. Wanita yang dikasihi dan disayangi suaminya. Secara positifnya itulah keindahan yang nanti dimanifestasikan dalam rupa anak yang selalu dirindui. Wujudnya dari fantasi hingga realiti. Mimpi-mimpi yang menjadi kenyataan. Anak itu membesar memberikan seri dan warna dalam sebuah rumahtangga. Membesar mereka. Sampai masanya menghilang dari mata. Jauh entah di mana. Tetapi dihati kecilmu anak itu tetap akan bertahta. Selalu dirindu tiap ketika. Itu darah dagingnya. Air susumu yang membesarkannya. Belaianmu yang memperkasakannya.

Pandanglah kehamilanmu. Renunglah dalam-dalam. Di dalam sana janinmu sedang dibina Allah jisim-jisim yang nanti menjadikannya manusia sempurna. Ditunggu saat kelahirannya. Tangis dan tawanya akan sentiasa menghiburkan. Sunyi tanpa dua bunyi suara itu. Percayalah. Saya telah melaluinya. Kekosongan yang telah diisi tetapi kemudiannya kosong semula. Anak dalam rahimmu itu akan hanya lalu sementara di bawah penjagaanmu. Dia ada tugas besar untuk ummahnya. Untuk agamanya. Untuk Allah yang menciptanya. Berdoalah selalu sesempurnanya. Doa ibu selalunya sangat makbul. Allah sangat mendengar doa ibu. Banyak yang perlu didoakan. Senaraikan sepanjang-panjangnya. Mintalah yang terbaik. Rupa parasnya. Kesihatan fizikalnya. Keselamatannya di dunia dan di akhirat. Kejayaannya di dunia dan akhirat. Keupayaannya. Kekayaannya. Kebaikan hatinya. Adab santunya. Kasih sayangnya kepadamu dan suami. Taatnya kepadamu dan suami. Jasa dan baktinya kepada ummah. Imannya. Akidahnya. Akhlaknya. Ya, semuanya mesti didoakan untuknya.

Bila hendak berdoa? Setiap masa khususnya dalam masa sebelum empat bulan yang pertama. Mungkin dalam 12 minggu yang pertama. Sebelum roh ditiupkan ke jasadnya. Sebelum disempurnakan ajal dan mautnya. Rezekinya. Diari hidupnya. Kesudahan kehidupannya. Sebelum segala-galanya Allah tentukan. Sebelum ia diberi nyawa. Sebelum jantungnya berfungsi. Sebelum ada kesempurnaan kepada tubuh badannya. Ulang dan ulanglah. Dia bakal mewarisi segala yang telah ditinggalkan oleh Rasulullah. Bila lahirnya nanti insyaAllah menjadi pejuang Islam. Mewarisi sifat Abu Bakar yang mulia hatinya. Mewarisi Umar yang sangat tegas melaksanakan perintah agama. Hingga syaitan tidak berani dekat kepadanya. Mewarisi Uthman yang terkenal dengan waraknya. Mewarisi ‘Ali yang menjadi gedung ilmu. Yang beraninya bukan calang-calang. Jika wanita jadilah seperti Khadijah yang dicintai Rasulullah hingga kewafatannya. Seperti ‘Aisyah yang pintar dan mengerti. Atau seperti Rabi’atul Adawiyyah yang cukup tinggi ilmu agamanya.

Mungkin dan mungkin. Ada perkara-perkara yang menjadikanmu lain dari dahulu. Hanya suamimu yang perasan. Muasabahlah diri. Fikirkan kebajikannya yang sudah mula agak terabai. Kesejahteraannya yang sudah kau biarkan. Banyak amalan baik yang sudah tidak lagi termampu kau lakukan. Kepayahanmu sudah semakin memberat. Namun, namun dari dalam sudut hati kecilmu berilah sedikit pengertian. Banyak hasratnya yang terhalang kerana cintanya kepadamu. Karana kasihnya. Hatinya sebagai seorang lelaki yang bernama suami tentu tidak dapat kau selami semaumu. Banyak yang tidak terungkap olehnya. Yang tidak mungkin terucap secara terancang. Lihat dan pandanglah matanya. Amatilah tutur katanya. Perhatilah bahasa tubuhnya. Kehamilanmu juga mengubah segala-galanya kepada dirinya. Dia kehilangan juga seri wajahnya. Rupanya dia juga menanggung perasaan yang berat. Situasai yang diterima dengan rela tanpa syarat. Tetapi berat.

Dia tentu berusaha memberikan yang terbaik untukmu. Tentu sahaja dia meluangkan masa untukmu. Percayalah dia berusaha bersungguh-sungguh untuk membahagiakanmu.   Tetapi masanya hanya ada 24 jam. Tanganya hanya ada dua. Tugasnya pelbagai. Dia diperlukan oleh ramai orang. Namun, namun begitu hatinya hanya satu. Jantunghatinya hanya satu. Hadirkanlah dirimu untuknya. Belajarlah untuk membuang kebiasaan terlalu meminta. Terlalu mendesak. Terlalu bertanya. Terlalu ingin tahu. Terlalu cemburu lagilah tidak boleh. Berikan perhatian bukan curiga. Sedikit curiga tetapi tidak dibesar-besarkan. Matamu tentu dapat mengesan perubahan. Perasaanmu tentu dapat melihat kelainan. Akalmu tentu dapat melihat kebenaran. Percayalah kepada indermu. Bukan nafsumu.

Solat dan zikirmu tambahkanlah. Perbanyakkanlah. Gandakanlah. Usahalah untuk tahajud bila terjaga malam. Biasalah  ibu yang hamil kerap terjaga malam. Ambil kesempatan untuk sekurang-kurang dua rekaat. Bentangkanlah kesmu kepada Allah Rabbul Jalil. Mintalah semahumu. InsyaAllah doamu makbul. InsyaAllah.

Tuesday, June 14, 2011

Mengubah Pardigma Adat Beradat


Seminggu dua ini hati saya bergejolak kuat. Pagi tadi saya singgah di sebuah kedai. Kicap botol besar yang saya tahu sebelum ini harganya RM5.40 sekarang sudah berharga RM6.70. Gila. Meleleh air mata orang miskin hanya untuk membeli kicap kesukaan anak-anak di rumah. Orang kaya tidak makan kicap sebanyak orang miskin. Orang besar tidak makan kicap selambak seperti orang miskin. Orang atas tidak makan kicap seperti orang-orang papa kedana yang melata di bawah. Dollar Amerika sudah lama turun. Ini bermakna kacang soya dari Amerika sudah murah. Malangnya kicap yang dibuat dari kacang soya dilonjak mahal. Ironiskan? Ayam pula sudah mencecah hampir sangat RM9.00 sekilo. Hampir semua barang telah meningkat harganya melebihi paras kemampuan biasa. Banyak pula barang yang melambung harganya berganda-ganda. Maka kita semakin tidak mampu. Semakin terdesak hidup. Suatu mala petaka kehidupan. Suatu laluan ke hadapan yang sempit. Perit memeritkan. Setiap sen mesti dijimatkan. Lalu apa lagi yang mampu kita buat? Banyak yang perlu dilakukan. Yang mesti diterjemahkan dalam tindakan.

Saya ingin mengajak saudara berfikir sejenak. Sesaat mungkin.  Sudah sampai masanya kita mengubah paradigma kehidupan. Gaya hidup perlu diubah. Kebiasaan perlu diubah. Kebiasaan beradat hendaklah dinilai semula. Amalan-amalan yang dilihat bukan keutamaan mesti ditinggalkan. Kikis sehabisnya. Kita buka lembaran baru. Sikap baru. Pendekatan baru. Pemikiran baru. Semangat baru. Setiap tindakan kita harus melambangkan penjimatan ekonomi. Lihat produktivitinya dahulu. Lihat manfaatnya dahulu. Sentiasa ukur baju berdasarkan kemampuan ekonomi diri dan keluarga. Ada peranan yang perlu dimainkan oleh semua orang. Tidak boleh pilih-pilih. Banyak amalan ini menyangkut kepada kebiasaan. Kepada adat. Pegangannya ialah, “nanti apa kata orang.” Mulai sekarang, mulai hari ini, mulai saat ini kita mesti sama-sama berani mengubah diri. Malakukan perubahan diri yang perlu. Demi kebaikan diri dan keluarga. Demi ekonomi dan kesejahteraan. Demi agama yang kita cintai.

Kata Abraham H. Maslow makanan adalah paling asas dalam kehidupan individu. Bagi mereka yang berpendapatan rendah itulah agenda paling merumitkan. Mencukupkan makanan untuk anak dan isteri. Bila pendapatan agak lumayan, yang dimakan lebih tinggi kualitinya. Bila kuasa beli semakin  menjerut (kerana harga barang meningkat) maka yang dimakan semakin rendah kualitinya. Apakah impaknya? Apakah implikasinya? Apakah kesannya? Apakah padahnya? Apakah musibahnya? Apakah mudaratnya? Anak-anak kecil yang perlukan makanan berkualiti akan menerima kesan paling menakutkan. Anak-anak kecil perlukan segala kualiti yang perlu untuk membesar dari segi fizikal. Membina otot dan saraf yang mampan. Membina kekuatan fizikal untuk mengharungi  hidup yang semakin mencabar ini. Kualiti untuk membina kekuatan rohani dan mental.  Kekuatan mental inilah yang mengganggu pemikiran saya.

Dalam kajian ilmiah Prof DiRaja Ungku Aziz pada tahun-tahun 60an di Pantai Timur dahulu masalah ini telah diperakui menjadi punca kelemahan orang Melayu. Kelemahan yang mencipta kitaran ganas (vicious circle) yang menyukarkan orang Melayu keluar dari kemiskinan. Kedaifan. Kepayahan. Kemunduran. Bila dilihat kembali sejarah itu takut pula ianya akan berulang. Negara kita dikatakan semakin maju. Tetapi orang Melayu menjadi terpaku kaku. Terkedu menghadapi arus kehidupan yang semakin menghantui. Menakutkan. Mengerikan. Kitaran ganas itu dirasa akan kembali melingkari orang Melayu. Ketidakmampuan menyediakan makanan berkhasiat merencatkan kesuburan fiizikal dan kesuburan intelek. Anak-anak Melayu menjadi average and  below average. Kemampuan untuk ke menara gading terhalang. Akibatnya mereka menjawat kerja-kerja peringkat bawahan. Lebih terhimpit lagi pada masa hadapan.

Ketidakmampuan ini melantun kepada keupayaan menyediakan kediaman selesa. Luas dan mendamaikan. Persekitaran mejadi tidak kondusif untuk membesarkan anak-anak. Penyakit akan datang silih berganti. Begitulah rangkaian kedaifan yang datang dan pergi. Maka orang Melayu pernah mengalami sindrom itu. Pernah berada dalam fenomena itu. Berpuluh tahun kita keluarkan mereka dari lembah dalam dan gelap. Mereka dikeluarkan oleh Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Kedua untuk diberi kehidupan yang berlainan. Mengubah segala perspektif kehidupan yang jauh dari kebiasaan. Sekadar contoh nelayan yang diletakkan di FELDA. Paradigma yang diubah. Pemikiran yang tidak lagi dijumudkan. Dibuka dan dibentang luas supaya melihat kehidupan ini boleh diubah. Orang Melayu tidak mati kerana mengubah kebiasaan. Tidak hapus kerana melakukan sesuatu yang lain. Sepatutnya itu adalah suatu pengajaran besar yang diambil iktibar. Berubah untuk lebih baik.

Nah mari kita fikirkan lagi. Orang Melayu banyak mengadakan kenduri kendara. Ada pula musim-musim yang seolah-olah diprogramkan. Bila tiba musim tersebut maka harga barang-barang melambung. Permintaan melebihi penawaran. Itu alasan penjual. Alasan peniaga dan usahawan yang mengambil kesempatan. Opportunistic. Tidak ada social responsibility. Semuanya kerana hendak mengaut untung berlebihan. Semua tindakan mereka menyalahi hukum mencari keuntungan. Dalam ekonomi teorinya lain. Dalam pemasaran teorinya lain. Keuntungan boleh diperolehi dengan volume. Semakin banyak dijual semakin banyak keuntungannya. Menaikkan harga bermakna memeras pengguna. Bayangkan volume sudah berganda. Harga pula dinaikkan. Bukankah peniaga mendapat keuntungan yang melipat-lipat gandanya. Ini namanya rakyat dibeban-bebankan. Kita belajar ekonomi tetapi semua tindakan defeating all economic principles. Malang sungguh teori Hicks yang mengatakan bahawa ekonomi adalah untuk kesejahteraan – wellbeing. Teori Islam lebihlah lagi unggulnya. Keberkecukupan itu sangat-sangat perlu diusahakan supaya menjadi cukup. Ia membina jambatan menghubungkan diri kepada Allah. Damai di hati. Senang di mata. Enak di telinga. Bahagia kerana berkecukupan. Bila hati senang ibadat dapat digandakan. Lenyap kerisauan yang ada.

Boleh tak kita ubah kebiasaan kita berkenduri kendara? Maksud saya buat kenduri ala kadar. Kecil-kecilan. Saya kadang-kadang terpana dengan sesuatu dengan positif. Kita kena bantu diri sendiri. Bantu sama orang lain yang ada di sekeliling kita. Apa salahnya kita ubah kebiasaan. Dari segi agama tidak berdosa. Tidak haram. Tidak juga makruh. Kita buat sekadar kemampuan. Ada matlamat besar yang ingin saya gagaskan. Sabar dulu. Memanglah untuk mengubah kebiasaan itu berat. Payah. Nanti telinga menjadi pedas. Nanti mata menjadi pedih. Nanti dada  berombak kuat. Nanti senak perut. Kenapa? Mendengar caci maki orang. Kutukan orang. Baiklah. Boleh tak belajar bertahan. Menahan perasaan. Menahan sabar. Menahan geram. Menahan gegaran marah. Hanya pada peringkat pertama. Pada mulanya sahaja. Sewaktu pertama mereka menerima kejutan. Selepas beberapa ketika semuanya akan jadi biasa. That is when reality sinks in. Economic reality.

Orang putih tidak ada kenduri kendara. Majlis perkahwinan diserikan dengan menjemput mereka yang rapat dengan keluarga sahaja. Itupun selebriti. Mungkin juga jutawan.  Bukan tidak hendak mengumpulkan segala orang. Tetapi kita harus rasional. Waras. Siuman. Berjimat barangkali lebih baik. Kenapa mesti berbelanja sebanyak RM40,000 hanya untuk suatu majlis perkahwinan? Segala benda dibeli dan disediakan. Selepas majlis semuanya merupakan pembaziran. Tiada siapa yang benar-benar menghargai. Tuan rumah sahaja yanag kehabisan wang simpanannya. Itupun jika tidak berhutang. Pelamin RM10,000 hanya untuk beberapa ketika. Orang Cina tidak ada pelamin. Mereka bergambar di luar rumah. Berlatar belakangkan alam sekitar. Di belakang mereka laut. Mungkin tasik. Boleh juga sungai. Ramai juga yang di taman bunga. Abadi juga rumahtangga mereka. Bahagia juga beranak cucu. Wang tidak dibazirkan.

Ayuh kita rasionalkan diri. Kita cipta satu kewarasan berfikir. Jika kita dapat ubah kebiasaan ini barangkali ia dapat pula ‘mengajar’ peniaga-peniaga. Kita tidak pernah melakukannya. Kita tidak pernah mendidik peniaga. Tidak pernah kita menggunakan kuasa kita sebagai pengguna. Jika kenduri kendara kita ala kadar tentu banyak penjimatan. Jika yang dijemput hanya beberapa orang sahaja tentu elok. Untuk ekonomi. Untuk kesejahteraan. Walaupun begitu untuk yang mampu, silakanlah. Jamulah seberapa ramai orang yang tidak berada. Orang miskin. Orang berkedudukan  daif. Rasanya musim-musim  peniaga mengaut untung akan hilang. Normalise.

Satu lagi tentang hari raya. Sudah sampai masanya juga kita membuat penilaian semula. Jangan ikut rentak komersil. Rentak mereka yang ingin mengaut untung. Hari raya adalah manifestasi agama. Menyempurnakan ibadah. Sambutannya sudah terlalu komersil. Di negara Arab hari raya ‘Idul Fitri hanya dengan bersolat sahaja. Adalah sedikit juadah. Ala kadar. Yang pentingnya hari esoknya. Hingga hari yang ketujuh. Mereka menunaikan tuntutan Allah. Enam hari berpuasa Syawal. Untuk cover semua kesilapan semasa Ramadhan. Complement mana yang kurang. Hari ketujuh mereka mengadakan majlis lagi. Sempurna tuntutan untuk tahun itu. Tahun hadapan berulang lagi. ‘Idul Adha pula dirayakan lebih lama. Empat hari. Hari pertama dan tiga hari tasyrik. Tetapi bukan dengan berhibur. Bukan dengan pembaziran. Sebaliknya itulah masa untuk bertakbir. Bertahmid. Bertahlil. Membesarkan Allah. Yang dilihat ialah akhirat. Destinasi terakhir perjalanan insan. Menemui Allah.

Cuba lihat diri kita. Jauh sangat cara kita. Terlalu banyak hal yang tidak diperlukan untuk menyempurnakan tuntutan agama. Selebihnya adat beradat yang sepatutnya dibuang dan ditinggalkan. Laksanakan yang hak sahaja. Yang dituntut. Yang diberi pahala. Yang dijanjikan ganjaran. Agama itu syumul. Indah. Manis-manis belaka. Tiada yang dilihat cacat atau kurang. Allah telah sempurnakan segala-galanya. Hari raya bukan pakaian. Bukan perhiasan. Bukan perabot. Bukan kueh muih. Bukan juga rumah terbuka. Lagi sekali, ikut kemampuan.  Ala kadar. Allah tidak melihat semua itu. Yang Allah lihat ialah tingkat taqwa kita. Bila berhadapan dengan pilihan. Pilihlah jalan Allah. Jangan pilih jalan yang lain.       

Begitu juga bagi yang menunaikan haji. Adat kita membebankan mereka supaya membawa pulang berbagai hadiah. Kebanyakan jemaah haji menghabiskan wang beribu-ribu ringgit untuk membeli tasbih, sejadah, tudung, minyak wangi, kopiah, serban, kurma, kekacang dan berbagai lagi untuk semua orang yang datang menziarahinya. Yang saya lihat sebenarnya, kebanyakan barang-barang itu dibeli sebelum berangkat ke makkah dahulu. Dibeli di sini. Diangkut dari kedai. Disimpan di rumah. Bukan itu yang penting. Sambut jemaah sebelum mereka kembali ke rumah. Sebelum ditanggalkan pakaiannya yang dipakai dari Makkah. Ambil barakah tentang kehadirannya. Yang sesama gender bolehlah peluk sepuas-puasnya. Dikatakan orang  bahawa jemaah itu apabila dipeluk seperti memeluk kaabah. Terasa bersih sucinya. Wangi tubuh badannya. Masih dibawa balik getaran tawaf di Bait al-Allah. Derapan kaki jemaah yang melaut dari seluruh dunia. Orangnya yang diziarahi.  Bukan hadiah dan oleh-olehnya. Namun begitu bagi yang mampu belilah sebanyak-banyaknya. Infak untuk saudara mara dan sahabat handai.

Itu sekadar beberapa perkara. Maaflah idea saya agak lain sedikit. Bukan apa, kita ingin menyelamatkan umat Melayu dari papa kedana. Supaya mereka keluar dari kepayahan untuk hidup. Barangkali bebanan hidup dapat dihindarkan kerana kita tidak berhutang dengan adat. Tidak berhutang dengan kebiasaan. Tidak berhutang dengan amalan yang tidak berlandaskan syariah. Maaf.

Suatu Kehamilan

Berita kehamilan selalunya disambut dengan penuh keinsafan. Allah mengurniakan anugerahNya. Bagi suami berita itu mungkin hanya  berita yang menggembirakan. Saat ingin menimang cahayamata. Mencium baunya bayi kecil yang wangi. Yang menyegarkan perasaan cinta. Nanti hati akan terawang-awang tinggi. Nikmat berumahtangga. Kasih sayang yang tidak terhingga. Ditatap si kecil yang mungil. Direnung wajahnya yang mungkin mirip ibunya. Terdetik hati bahawa pada wajah itu ada iras-iras wajah sendiri. Maha Suci Allah yang menyatukan dua hati. Mawaddah yang suci dan syahdu. Anak itu tanda ikatan abadi. Yang ingin disemadi. Abadan abada.

Tanyalah perasaan isteri. Minta ceritanya. Apa yang dirasa. Apa yang memberikannya kudrat untuk menghadapi hari-hari muka seorang bakal ibu. Suami harus tahu bahawa sebagai suami banyak nikmat yang belum puas-puas dikecapnya. Minta dan minta lagi. Cari dan cari lagi.  Tidak ada henti-hentinya. Tetapi bila sah isteri itu menghamilkan anaknya, isteri bukan lagi dengan sifatnya dahulu. Bukan lagi dengan sikapnya seperti dahulu. Ia sudah menjadi seorang yang berlainan. Itulah fasa-fasa yang mencabar seorang lelaki. Kesetiaannya tercabar. Kesabarannya tercabar. Ketabahannya tercabar. Kedamaiannya tercabar. Isterinya yang paling dikasihi berubah secara psikologinya. Fizikalnya memang bukan lagi dia. Ada tambahan nyawa pada badannya. Tetapi nyawa itu boleh selamat kedua-duanya. Atau hanya selamat satu daripadanya. Ibu atau anak boleh sahaja bersilih ganti. Antara harapan dan doa. Suami harus menerima kenyataan dan pengertian itu. Ada masanya itu yang Allah berikan. Pilihan Allah itu mesti diterima dengan redha.

Wahai suami buatlah renungan yang dalam. Sedalam-dalamnya. Sedalam yang sehalus murninya. Jika dulu kau bermanja dengan isteri, kini suasana itu ingin diterbalikkan. Isteri menanggung sesuatu yang menjadi idaman bersama. Namun isteri yang menanggung beban beratnya. Payahnya berganda-ganda. Letih lesunya berganda-ganda. Tingkah lakunya berubah 360ยบ. Makannya mungkin yang bukan-bukan menjadi idamannya. Mulutnya selalu loya. Kering. Payau. Seleranya selalu patah. Minta belikan juadah yang tidak pernah dibeli. Malasnya juga menjadi-jadi. Bang, itu realiti. Mungkin tidak berubah kesemuanya. Sebahagiannya benar berlaku. Dan terus berlaku. Begitulah seorang isteri yang mengandungkan anak seorang suami. Si suami yang diuji ketabahannya melayani seorang isteri yang sedang bertarung dengan ketidaktentuan dan ketidakpastian. Apatah lag ini anak sulung. Banyak sangat yang tidak diketahui. Banyak sangat yang perlu diketahui. Banyak sungguh kejahilan tentang hal yang satu ini.

Inilah masanya suami menjaga isteri. Ingatlah selalu pesanan saya. Seorang lelaki yang bernama suami merangkap bapa mesti berkeupayaan ke dapur. Memasak semungkin boleh. Sesedap rasa di lidah. Selera moga tidak patah. Tahu ramuan dan rencah. Tahu mempelbagaikan hidangan. Menu. Ala carte. Jadilah suami yang bukan calang-calang. Bilik air selalu diuji dan dinilai. Bersih dan kemasnya perlu dijaga. Banyak lumut dan licin yang membahayakan isteri. Membahayakan janin yang dikandaungnya. Bakal anakmu. Itu belum dinding dan hiasnya. Perkakas dan perhiasannya. Lekapan dan lanskapnya. Logistik di bilik air perlu juga disediakan secukupnya. Isterimu sedang memohon baktimu. Kasih sayangmu. Perhatianmu. Hanya kau suami yang mampu memberi kesemuanya itu. Suami harapannya. Suami pilihannya. Suami yang dicintainya. Bilik tidur bang! Jangan lupa. Kemas dan rapikan. Itu syurga impian. Jangan diabaikan keindahannya. Isterimu sudah kau isterehatkan. Kaulah suami yang ambil tugasnya.

Isterimu selalu kelesuan. Keletihan. Ia mungkin tabah. Tiada keluhnya. Tiada dengusnya. Tiada bantahnya. Pekalah dengan kepayahan dirinya. Cukup masa rehatkan dia. Urutlah kakinya dengan penuh kasih sayang. Alirkan rasa cintamu melalui sentuhan-sentuhan ajaib di jejarimu. Usap dengan lembut selembutnya. Jangan fikirkan kesibukanmu. Ini saat isterimu. Kau yang perlu korbankan kebiasaanmu. Ia memerlukanmu. Saat-saat dia bergantung harap. Meraih simpati yang selalunya tidak terucap. Ia selalu memohon pengertian dalam senyap. Sumbanglah sedikit pengorbananmu. Isterimu sentiasa menunggu sentuhan tanganmu. Membuang bisa dan lenguh yang bersarang di kaki. Di betis. Di paha. Di pinggang. Damaikan jiwanya. Lenakan matanya. Tenangkan rohaninya. Bukan untuk sahaja dia yang selayaknya. Untuk janin yang di dalam rahimnya.

Ketika kehamilannya inilah suami perlu banyak sabarnya. Banyaklah mendiamkan diri. Bukan tidak mahu berkata-kata. Mendiamkan diri bila dileteri. Bila diomel sesuka hati. Bila mengomelnya payah hendak berhenti. Banyakkan beristighfar. Mohon keampunan kepada Allah. Mohon diberikan kekuatan kepada isteri. Kedamaian kepadanya. Kesejahteraan dalam hatinya. Semoga tenang hatinya. Bang, anak dalam kandungannya itu dipengaruhi oleh psikologi ibunya. Di dalam rahim ibunya dia mendengar. Dia menyerap semua yang dirasakannya. Ibu dan bapanya memberi impak besar kepadanya. Impak yang nanti dimanifestasikan dalam tingkah lakunya. Mewarisi apa sahaja yang ada pada ibu dan ayahnya.

Tolonglah jangan merokok. Selain dari tidak baik untuk diri sendiri, anak dalam kandungan itu akan menjadai silent smoker. Dibunuh perlahan tanpa relanya. Bukan nyawanya yang dibunuh tetapi ada bahagian-bahagian dari kewujudannya yang mati. Mungkin sedikit mati fizikalnya. Mungkin apa sahaja. Islam berat melabelkannya haram. Bukan makruh lagi. Kasihan isteri menjadi second-hand smoker. Kedua-duanya menerima padah kerana kedegilan suami. Bakal bapa. Asap rokok dan baunya meracuni segala kebaikan yang ada pada janin yang ada. Sudah pasti sebahagian keburukan rokok suami sudah dipindahkan kepada anak melalui kasih sayangnya kepada isteri yang bakal menjadi ibu. Ketika kehamilan inilah bapa perlu mengerti keperluan agama. Keperluan persekitaran. Keperluan saintifik. Kepentingan kekeluargaan. Termasuklah juga sapek kesihatan dan sosiobudaya. Memang kita penuh dengan adat. Tetapi pilihlah yang selari dengan agama dan keperluannya. Adat yang tidak boleh diselaraskan dengan agama hendaklah ditinggalkan. Belajar dan tanyalah kepada ustaz dan ustazah yang arif. Jangan main ikut-ikutan kerana tradisi. Kerana biasa. Agama ada syariatnya. Bukan ikut-ikutan. Ada hukum hakamnya. Bukan ikut kebiasaannya. Bertaqlid sahaja tidak boleh. Banyakkanlah belajar.

Makanlah asalkan halalan toyyibah. Elakkan yang mendatangkan mudarat walaupun rasanya sedap. Manis itu sedap tetapi mestilah ditolak kerana bawaan penyakitnya. Garam jangan terlalu banyak. Benar juga kata tukang masak, “bubuh garam secukup rasa.” Terlebih sukatan padah bahaya kepada diri. Banyakkan buah-buahan. Begitu juga sayur-sayuran. Pendek kata piramid makanan untuk ibu mengandung perlu diketahui suami. Jangan biarkan isteri mencari dan menyediakannya sendiri. Kaulah, kaulah suami yang perlu menyediakannya. Jadikan isterimu permaisuri. Sediakan segala keperluanmu. Suatu timbal balas kerana dia sedang membebani keperluanmu. Menanggung hasrat seorang suami. Jangan sampai dia mengidam. Tanya apa mahunya. Tanya apa hendaknya. Tanya apa keperluannya. Banyak bang, banyak yang perlu dilayan. Tolong jangan tunjuk rasa tidak senang. Jangan sekilas memasam muka. Apatah lagi mendengus. Menghentak kaki. Jangan mengurut dada. Senyumlah. Ikhlaskan segalanya. Buktikan keindahan bercinta dahulu bukan hanya bulu roma di kulit sahaja. Perlihatkanlah kedalamannya.

Bagi isteri yang mengandung tentu sahaja tidak bergantung kesemuanya kepada belaian orang yang bernama suami. Ada peranan yang mesti dilaksana. Yang menanggung diri sendiri. Maka ada persiapan yang perlu dipersiap diri. Nantilah saya nukilkan. InsyaAllah.

Sunday, June 12, 2011

Melahirkan Anak Gemilang


Sekarang ini tentu ramai ibu-ibu yang mengandung. Ada yang pertama kali. Baru mula mengalami sesuatu yang baru. Tidak pernah dibayangkan sebelum berumahtangga dahulu. Walaupun bisa dilihat. Mengalami sendiri tentu memberikan berbagai-bagai persepsi. Antara realiti dan fantasi. Harapan dan doa. Sinar dan cahaya. Anugerah dan kurnia. Nikmat berumahtangga rupaya berperingkat-peringkat. Ada fasa-fasa yang mengujakan. Ada yang menyulitkan. Inilah masanya mengenal suami sejati. Suami yang ada jati diri. Suami yang janjinya dahulu untuk susah dan senang bersama. Duduk dan bangunnya bersama. Sukar mencari suami yang berjanji sehidup dan semati. Jarang berlakupun. Jika kita ke Pantai Timur ungkapan itu tidak ada kelainannya. Se hidup se mati. Jarang orang mati bersama. Kecualilah kemalangan di jalanraya, kebakaran dan wabak penyakit. Memang benar seorang hidup seorang lagi mati. Siapa yang mati dahulu hanya ajal menentukannya. Ajal itu hak Allah. Yang ajalnya sampai, teruslah ke alam barzah. Menunggu alam akhirat yang juga berperingkat-peringkat. Senang bagi yang banyak bekalnya. Sukar bagi yang engkar di dunia. Derhaka kepada Allah. Na’uzubillahi min zalik. Namun begitu alam janin adalah sesuatu yang menjadi antara fasa melahirkan anak cemerlang.

Mencemerlangkan anak tentulah dengan didikan yang terbaik. Dengan asuhan yang diperakui benar. Bimbingan tanpa henti. Belajar sepanjang hayat. Namun begitu kecemerlangan bukan semestinya sesudah anak itu lahir. Ada sesuatu yang lebih subtle perlu difikirkan. Bagi orang Barat baka keturunan menentukan kebijaksanaan anak. Persekitaran melengkapkan kesempurnaannya. Nature and nurture. Itu kata mereka. Mengikut kajian yang mereka lakukan. Namun hakikatnya tidak ada sesuatu yang konklusif. Never 100% foolproof. Pada kebanyakan masa ianya benar. Tetapi tidak dalam semua keadaan. Pada keadaan yang dikaji. Itu sahaja. Jika sampelnya besar menggunung mungkin lebih benar. Namun yang Maha Benar hanya Allah. Haq itu milik Allah. Membenarkan selain dari Allah tentulah bukan selari dengan akidah Islamiyyah. Boleh pula dihukumkan syirik. Percaya kepada sesuatu yang bukan hak Allah. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui segala sesuatu. Dan kepadaNya kita akan dikembalikan.

Bagi orang Islam ilmu adalah penting. Of paramount importance. Ilmu ibarat pelita di dunia untuk menyuluh jalan ke akhirat. Ada kepentingannya di dunia. Namun jangan sekali-kali mengenepikannya sebagai jalan lurus ke akhirat. Tetapi yang lebih penting ialah Allah. Mengatasi segala penting yang lain. Anak adalah anugerah Allah. Allah yang menganugerahkan zuriat. Maka semasa bercinta itulah bibit anak yang bakal dilahirkan direncanakan. Ingat tak dahulu semasa bercinta dahulu kadang-kadang terlepas waktu solat? Sudah Qada’? Bagaimanakah perangai pasangan masing-masing? Mantap? Alhamdulillah. Itulah yang dicari. Yang diidam. Yang dicita-cita. Bagi setiap pasangan yang dicari ialah keunggulan masing-masing. Ingin mencari isteri yang memiliki kesempurnaan. Ingin mencari suami yang soleh. Padanya adalah segala-galanya. Keindahan. Kedamaian. Kebahagiaan. Kasih sayang yang tiada batasannya. Mawaddah.

Atas dasar mawaddah inilah dirancang zuriat yang melestarikan keturunan terbaik. Terunggul. Kesinambungan citra kasih dan sayang yang terungkap dan tidak terungkap. Tetapi yang dirasakan wujud mengikat dan memikat hati dan perasaan. Bagi yang menerima anugerah  limpahan rezeki dari Allah maka bakal lahirlah putera dan puteri. Yang lahirnya nanti sebesar telapak tangan. Lalu membesar menjadi kanak-kanak yang banyak karenah dan lincahnya. Terus  membesar menjadi remaja yang perlu dikawal dari sentuhan pancaroba yang mengganggugugat kedamaiannya untuk besedia menjadi dewasa yang sempurna akal budinya.  Menjadilah mereka warga Islam yang tebal imanya. Yang penuh jatidiri bangsanya. Yang patriotik kepada watannya. Yang biasa menabur segala kebaikan kepada orang-orang yang ada di sekelilingnya. Menyumbang untuk umat sejagat.

Janin-janin yang dihamilkan tentu didoakan sejahtera. Diharap sempurna akalnya. Memiliki segala kebaikan dengan izin Allah. Fasa-fasa bagi isteri yang mengandung memberikan ruang-ruang erti yang berbagai. Membezakan antara minggu dan bulan. Sembilan  bulan 10 hari hanya kiraan lazim. Lahirya hanya ditentukan Allah saat dan waktunya. Hanya Allah  yang menentukannya. Cuma dari fasa ke fasa itu sang suami memainkan peranan yang sangat besar. Peranan isteri tidak pula tidak penting. Ada beza dan samanya. Peranan itu mengikut fasa-fasa dari masa bercinta, bertunang, berumahtangga. Alam rumahtangga lebih besar cabarannya. Itulah ujian berumahtangga. Mengukuhkan persamaan. Pada masa yang sama mengakui perbezaan. Mengiktirap wujudnya. Mengerti dalam faham. Setuju dalam akur. Persamaan adalah suatu anugerah. Tetapi perbezaan itu adalah cabaran yang manis jika dimaklumi. Sangat indah bila dapat berdamai dengan hati. Menerima yang lain dari diri sendiri. Suatu gandingan yang tidak selamanya sama.

Indahnya saat kehamilan diterima sebagai berita ria. Ikatan kasih sayang yang lama terbina. Bertahun-tahun yang tersangat lama. Membina dari tahap ke tahap. Dari santaian dan ulitan cinta. Ulaman sayang yang dianyam masa dan usia. Nantian yang beribu tahun lamanya di rasa. Gelora dan badai yang sama-sama dijejak. Terbina suatu tembok kasih yang tegak kukuh. Yang berdiri sebagai tugu cinta yang memberi tanda. Ingatan lama yang tersemat selalu. Bahawa ada seseorang yang rindunya selalu didambakan. Yang selalu dekat di hati dan sanubari. Yang selalu membelai kecintaan di  laut luas tanpa tepi. Atas cinta itu terbina sebuah rumahtangga yang syahdu bentuknya. Yang indah bak masjid. Yang damai bak masjid. Yang tersergam bak masjid. Itulah masjid cinta yang kuat terpacak di bumi rumahtangga.

Dari hari ke hari kehamilan membawa bersamanya rasa cinta yang abadi. Nanti akan lahir seorang cahaya mata. Insyaalah. Akan ditatang. Akan ditimang setinggi langit. Biar dilambung awan yang putih bak salju. Biar anak itu terbang. Biar dia melihat ke bawah bahawa realiti hidupnya di sini. Antara ayah dan ibunya. Antara agama anutannya. Di bahunya tanggungjawab terhadap Allahnya. Rasulnya. Ibu bapanya. Agamanya. Watannya. Pada matanya ada iras ibu dan bapanya. Pada hidungnya. Pada mulutnya. Pada bibirnya. Pada telinganya. Pada raut wajahnya. Itulah padanan ibu dan ayahnya. Itulah anugerah untuk kau berdua. Telah direalisasikan suatu impian bersama. Antara fana dan realiti. Sekarang realiti itu benar. Dialah pengikat kasih. Dialah cahaya di mata. Dialah segala-galanya yang namanya anak. Biarlah dia membesar. Iringilah dia dengan adik-adik yang lain. Biar makmur rumahtanggamu. Deraian bunyi anak-anak yang membesar dengan keanak-anakannya. Hiburan bagimu. Iburan yang bakal kekal sepanjang zaman hidupmu.

Kehamilan bukan masa yang dibiarkan berlalu. Waktu makanmu tentulah dengan mengisi segala yang halalan toyyibah. Biarlah yang bersih dan suci. Anak dalam rahimmu perlukan semuanya yang baik-baik di sisi Allah. Standardnya hanya Allah. Rezeki yang halal. Makanan yang halal. Segala perlakuan yang halal. Susu, buah dan sayur. Segala yang membina fizikal dan minda anak. Nyanyikan dia dengan lagu syurga. Ayat-ayat suci al-Quran yang telah lama diwahyukan. Yang pada huruf dan kalimahnya terpancar segala azimat nikmat dari Allah. Perdengarkan kepadanya kalimah-kalimah itu supaya hatinya kepada kebenaran. Sanubarinya kepada yang hak. Mindanya untuk Allah. Terhindar dia dari hiburan dan hedonism. Dari lagha yang mengganggu imannya nanti. Dari ikut-ikutan. Bukan bertaqlid semata-mata. Biar nanti dai memiliki ilmu berguna untuk memandunya ke syurga. Yang menghidarnya dari neraka. Yang mendekatkan dia kepada Allah.

Bacalah. Mudah-mudahan ayat-ayat al-Quran itu membimbingnya ke arah kecemerlangan di dunia dan di akhirat sejak dia dari janin lagi. Sejak dia di dalam rahimmu lagi. Sejak dia menjadi anugerah Allah kepadamu berdua. Kata ulamak surah Muhammad itu baik. Surah Mariam itu baik. Surah Yusof itu baik. Bacalah keseluruhan al-Quran supaya mendapat nikmat kesemuanya. Ulang dan ulang. Dodoikan dia dengan al-Quran. Tidurkan dia dengan al-Quran. Pakaikan dia dengan al-Quran. Rawat dia dengan al-Quran. Hanya al-Quran yang mendindingnya dari segala kealpaan dunia. Al-Quran yang dapat memandunya menjadi zuhud dunia. Harta benda adalah untuk memberi jalan menuju zuhud. Infak bukan kedekut. Sedekah bukan bakhil. Derma bukan menerima.  Solat dan doa jangan sekali diabaikan. Doakan bakal anakmu supaya menjadai seperti yang dihajat. Semurna fizikalnya. Kasih sayangnya. Kekayaannya. Kejayaannya. Kehidupannya. Dan segala-galanya menjayakannya di dunia dan di akhirat.

Suami. Kehamilan isterimu adalah suatu ujian. Inilah masanya kecintaanmu terhadapnya teruji. Wanita pujaanmu itu melalui fasa-fasa untuk melestarikan perananmu sebagai suami. Isterimu sedang memberkanmu hadiah cinta untuk ditatap dengan mata sayu penuh ria. Inilah ketikanya pengertian seorang suami sepertimu sangat-sangat didambakan.  Isterimu bukan lagi sicantik manis yang kau gilai suatu waktu dahulu. Segala keindahan pada seluruh wajahnya sudah lama tidak ada. Yang kau pandang adalah sekujur tubuh yang menyempurnakan maumu sebagai suami. Dia hanya pasrah pada Allah bahawa dirinya sihat. Ada kudrat selama sembilan bulan 10 hari yang selalu dikira. Dia belum tahu lagi derita setengah mati yang tidak akan pernah kau rasa. Tidak akan mungkin kau rasa. Tidak mungkin sama sekali akan kau alami. Ingatlah isterimu sedang bertarung dengan nyawanya demi kasih sayangnya kepadamu.

Dia sedang menuju syahid. Bahawa melahirkan adalah pertarungan antara hidup dan mati. Kau sebagai suami hanya mampu melihat. Hanya mampu simpati. Tidak mungkin empati. Hanya mampu menaburkan air mata. Hanya dapat berada dalam kesedihan. Betapa isterimu nanti berperang dengan sakit yang mengazabkan. Berjuang dengan kepayahan yang amat sangat. Bahawa melahirkan seorang zuriat itu bak kiamat rasanya. Tetapi ketabahannya sukar dicari ganti. Berkali-kali nanti dia rela berjuang untukmu suami. Rela syadid untukmu suami. Kepayahan menjadi sinonim kepada seorang isteri. Lihatlah dia dengan mata hati. Parasnya yang kusut masai adalah gambaran-gambaran cintanya kepadamu. Bukan dirinya yang lagi penting dan utama. Janin yang dikandungnya itu yang menjadi keutamaan. Untukmu suami. Hatinya bukan fiziknya yang perlu kau jaga. Kebahagiannya bukan kebahagianmu. Ingat, kebahagiannya adalah untuk anak yang bakal menjadi zuriatmu.

Menjadi ibu memanglah proses ketentuan Allah. Menjadi ayah juga ketentuan Allah. Semua anugerah dariNya. Namun yang penting diingat ialah kau berdua perlu banyak belajar dari pengalaman orang lain. Menimba panduan dalam Al-Quran seperti yang diperintahkan Allah. Ajaran dan didikan Rasulullah. Pada ribamu nanti adalah anak yang menjadi amanah Allah kepadamu berdua. Jagalah dia kerana itu tanggungjawabmu berdua. Tugasmu mencemerlangkan dia dengan kecemerlangan al-Quran. Kecemerlangan agama dan beragama. Menjadi manusia yang tinggi kemanusiaannya. Mudah-mudahan hidupnya menuju syurga. InsyaAllah. Amin.

Monday, June 6, 2011

Lambungan Kos Hidup

Semalam terkejut besar saya. Kejutan paling besar pernah saya hadapi dalam hidup yang mencecah 65 tahun. Bil elektrik saya RM356.00. Bilnya panjang berjela. Selalunya antara 130 hingga 170 sahaja. Kali ini dua kali ganda. Walaupun kadarnya dikatakan bertambah hanya beberapa peratus sahaja tetapi itu dari segi formula. Realitinya saya rasa ramai orang yang terkejut. Selepas ini barang-barang pasti menancap naik dengan gilanya. Giler kata orang sekarang. Sudahlah minyak naik, elektrik pula naik. Hati kecil saya membentak. Cukuplah setakat ini. Enough is enough. Kita bukan perlukan kegilaan. Kita perlukan kehidupan yang lebih selesa. Itupun matlamat kita sewaktu hendak merdeka dahulu. Membebaskan diri dari banyak belenggu. Bukan semakin dibelenggu. Nikmat hidup yang semakin mahal.

Gaji saya yang dikira ribu masih terasa bebannya. Bagaimana dengan mereka yang berpendapatan rendah. Entahlah. Jika masih mendongak ke langit juga buntulah saya memikirkannya. Sampai bila kita terus dilambung dengan gundah gelana. Benarlah firmah Allah yang mafhumnya, jika tidak kita usahakan apa yang kita hendak tentu kita tidak mendapat apa-apa faedahnya. 55 tahun orang Melayu masih tidak mendepani ekonomi. Sekarang beratnya bebanan hidup semakin menghimpit. Terasa ditekan-tekan. Untuk melepaskan diri tentu ada cara lain yang lebih mudah.  Namun, mana mungkin kita tidak menggunakan elektrik. Jika seterika dikatakan paling kuat memakan elektrik, kita tidak berupaya menghentikan kegunaannya. Bagi yang ramai anaknya masih bersekolah tidak mungkin pakaian mereka tidak berseterika. Markah penampilan anak bakal menjunam kerana keterampilan dari segi berpakaian jatuh merudum. Mana mungkin seorang pegawai pakaiannya tidak berseterika. Musnah imej kepegawaiannya. Imej jabatannya. Imej syarikatnya. Imej profesionnya.

Kita memasak menggunakan elektrik. Peti ais. Kipas. Lampu. Mesin basuh. TV. Mengecas telefon. Radio. Pemanas air. Mandian panas di bilik air. Banyak lagi penggunaan elektrik. Kita selalu lupa tentang the game of numbers. Semakin banyak semakin menirus. Semakin kecil. Discounted. Keuntungan diperolehi dengan more numbers. The more the merrier. Di tanah air tercinta  ini keadaan sebaliknya berlaku. Kita didenda kerana menggunakan banyak. Hakikatnya elektrik menjadi suatu kemestian. Keperluan keutamaan. Bukan mainan. Bukan suka-suka. Bukan kemewahan. Taraf hidup yang semakin tinggi memerlukan alat kemudahan yang semakin canggih. Kita sepatutnya berusaha untuk mengurangkan kos. Lagi sekali kita mesti bermain dengan nombor. Semakin banyak semakin murah. Economic of scale. Specialization. Jika semakin banyak semakin mahal tentu kita akan mengundur ke belakang. Less to be consumed means slowing down the economy. It will be the game of balance. Satu naik satu turun. Elektrik naik, ekonomi turun.

Kos hidup bukan lambang kemajuan. Bukan lambang tamadun sudah berkembang. Dari segi ekonomi ianya suatu kegagalan. Mengurangkan kos merupakan usaha paling baik. Di sini penyelidikan diperlukan. Penemuan-penemuan baru yang mesti dihasilkan. Pokoknya penjimatan kos pengeluaran. Kos pentadbiran. Maka teknologi perlu dilihat semula. Dasar digubal semula. Pentadbirannya dilihat semula. Pentadbirnya dilihat semila. Complete overhaul. Change and improvement has to be done. Watching is just too painful. Feeling greatly wretched. Dalam mengurus hal yang besar tentu sahaja kita tidak bermain dengan simple calculation.  Tidak hanya mencampur 2 dengan 2 sahaja. Segala aspek yang perlu being improved mesti dilaksanakan. Upgrading mesti dilakukan. Tetapi bukan untuk menambah kos dengan alasan production bertambah. Jika itu alasannya, usahawan itu akan gagal. Usahanya nanti gagal.

Kadang-kadang saya rindu kembali sewaktu di US dahulu. Suatu ketika telur ayam hendak dinaikkan sebanyak 1 sen sebiji. Mind you one single cent per egg. Syarikat mengiklankan hasratnya itu melalui dua muka surat akhbar tempatan. Center fold. Kanan dan kiri. Berbagai alasan diberikan kepada pengguna. Mereka memohon supaya pengguna merestui tindakan mereka. Jika alasannya menasabah, pengguna memberi restu. Jika tidak pengguna menyatakan bantahan mereka dalam bentuk tindakan. Bukan dengan demontrasi atau piket. Mudah sangat tindakannya. Mereka tidak membeli. Syarikat pasti menanggung kerugian yang berganda-ganda. Telur akan melambak di pasaran. Banyak yang busuk dan dibuang begitu sahaja. Di sana pengguna adalah raja. Bukan pengeluar yang menjadi raja. Usahawan  hanya memberi perkhidmatan. Perniagaan itu pekhidmatan.  Bukan pemerasan. Pemerasan berdosa dari segi Islam. (Sila baca artikel saya sebelum ini mengenai cara orang Amerika berniaga besar – Mengapa Ada Jualan Gudang ).

Mulai sekarang kita kena menstruktur semula kehidupan kita. Kita sudah semakin tidak mampu untuk menikmati affluent living. Baliklah hidup seperti orang kampung zaman saya pada tahun-tahun 60an dahulu. 50 tahun dahulu. Mungkin lebih senang menggunakan pelita minyak tanah. Bilnya sangat minimum. Kos minyak tanah sahaja. Alat perkakas rumah tidak perlu digunakan. Makan makanan segar. Peti ais gunakan untuk menyimpan baju. Pakaian kotor basuh gunakan tangan. Pakaian tidak perlu diseterika. Ikut cara P Ramlee. Letak bawah tilam eloklah dia. Are we backtracking? Sama-sama kita renungkan. The ball is in your feet. It is for you to kick. Saya hanya mampu memandang dari jauh. Dengan hiba yang tersangat-sangat.


Sunday, June 5, 2011

Di Mana Taraf Orang Melayu

Sudah empat kali saya ke hospital swasta ini. Empat kali membawa bapa mertua saya memeriksa telinganya. Al-maklumlah sudah lanjut benar usianya. Pendengarannya sudah terganggu. Banyak peralatan tubuh yang sudah luput usia. Sukar hendak berbicara kecuali seperti orang bertengkar. Terpaksa bercakap kuat sedikit. Itu sahaja yang mampu untuk berkomunikasi. Diusahakan juga supaya bertambah baik pendengarannya. Namun seperti minyak di tangki, sudah hampir kering. Ditambahpun tidak memberi bekas. Namun begitu usaha tetap usaha. Kuasa Allah yang diharapdoakan.

Cuma hari ini Isnin 6 Jun 2011, bapa mertua saya agak kritikal pertanyaannya kepada saya. Dia memerhati keliling. Kenapa hanya ada beberapa orang Melayu yang dilihat. Hampir 99% adalah orang lain. Khususnya orang Cina. Saya hanya mampu memberi isyarat jari bahawa semuanya kerana wang.  Geselan jari saya menunjukkan bahawa semuanya kerana orang Melayu tidak berkemampuan untuk mendapatkan rawatan yang lebih berkualiti tinggi. Yang lebih memberikan perhatian sewajarnya. Tidak pula saya mengatakan bahawa di hospital kerajaan atau di klinik-klinik seluruh negara tidak memberi perhatian. Layanan yang diberi sepadan dengan wang RM1.00 yang dibayar. Ruang hospital dikongsi pula dengan seramai-ramai rakyat jelata. Masa perlu dibahagi-bahagikan seupaya supaya setiap orang mendapat layanan seadanya. Tidak lebih dan tidak kurang. Ramai lagi yang menanti. Bukan seorang pesakit sahaja yang perlukan layanan paling mesra. Doktor sudah  tidak mampu lagi menjadi terlalu personal. Kudratnya sudah sampai ke dasar.  Habis terhakis. Doktor seperti tidak boleh untuk selesa bernafas. Hidupnya hilang seri. Kadang-kadang kemanusiaannya terlempar juga ke lantai tempatnya bekerja.

Senerio di hospital swasta jauh berbeza. Itupun saya kira ramai juga. Terpaksa juga menunggu sejam dua. Bukan seperti laluan ekspress. Penduduk semakin ramai. Yang sakit juga nisbahnya mengikut penduduk. Semakin ramai orang semakin ramai pesakit. Maka di hospital swasta juga ramai. Walau bagaimanapun bilangannya tolerable. Menasabahlah sejam dua. Bukan sehari atau dua hari. Datang tidak dijemput dan perginya tidak dipeduli. Bagi yang memiliki kemampuan elok benar melarikan diri dari institusi kesihatan milik kerajaan. Bukan benci. Kita harus melihatnya dari sudut lain. Sudut yang lebih positif. Bebanan kerajaan dapat dikurangkan. Tekanan kepada kewangan kerajaan dapat diampu sedikit. Sumber kewangan yang selalu berkurangan itu dapat diagihkan kepada keperluan lain.  Memang menasabapun yang kaya membayar. Yang miskin mendapat subsidi atau diberi kebajikan. Jika membayar sekalipun jumlahnya boleh difikirkan menasabah.

Cuma yang mengganggu pemikiran saya ialah ketidakmampuan orang Melayu membiayai kos perubatannya sendiri. Bukan tidak ada orang Melayu yang mampu tetapi bilangannya mengikut statistik tidak signifikan. Tidak dilihat sebagai penting. Tidak lucrative dari segi ekonomi pada keseluruhannya. Mungkin paling tinggi sekadar 10% atau kurang. Soalnya kenapa. Kenapa selepas 55 tahun merdeka orangMelayu masih tidak mampu? Dulu semasa hendak merdeka ada yang menyanggah bahawa orang Melayu belum pandai membuat sebatang jarum, bagaimana nanti untuk mampu memerintah sebuah negara. Persekutuan Tanah Melayu ketika sebelum jadi Malaysia. Hakikatnya pernyataan itu kekal begitu. Memang belum ada orang Melayu yang membuat sebatang jarumpun. Kita kekal menjadi pengguna. Kembali kepada persoalan kita tadi. Kita sudah 55 tahun merdeka. Kehidupan kita bertambah baik tetapi tidak cukup baik untuk menyaingi taraf hidup orang lain yang tinggal di Malaysia juga. Di bumi bertuah ini juga. Di tanah merdeka ini juga.

Berbagai rancangan telah dilaksanakan. Mungkin ada dasar yang tidak mencapai realiti. Siapa orang Melayu sebenarnya. Siapa hakikat yang namanya Melayu. Yang bahasanya Melayu. Yang adat resamnya Melayu. Yang jiwanya Melayu. Saya selalu terusik bila dikatakan bahawa orang Melayu suka mengamuk. Kamus bahasa Inggeris satu dunia memuatkan makna dan erti amock (amuk)  yang dimaktubkan dilakukan oleh orang Melayu. Penjajah British pula melabel orang Melayu sebagai ‘pemalas’. Bila kita baca Hikayat Pelayaran Abdullah Munshi lagilah diserlahkan kelemahan orang Melayu. Sudah hampir 200 tahun buku itu. Sudah dua abad lamanya. Kata-kata Abdullah itu memang menghiris. Namun hakikatnya itulah seperti dikata. Hingga sekarang saki baki sifat dan sikap Melayu seperti yang diamati Abdullah itu masih ada. masa 200 tahun tidak cukup untuk mengubah orang Melayu. 200 tahun bagi orang Amerika sudah mencipta tamadun dunia. Menjadi ikutan semua orang. Duni ini mereka yang punya. Kita pula hampir kehilangan kesemuanya. Yang dikejar keciciran.

Saya membesar sebagai anak merdeka. Sementelahan pula saya menjadi guru. Hati saya bagaikan remuk mendengar ungkapan bapa mertua saya pagi tadi. Sukar melihat orang Melayu yang berkemampuan untuk mendapat rawatan di hospital swasta. Longlai anggota tubuh badan saya bila mengenangkan semua itu. Kita telah lama tidur. Kita telah didodoi terlalu lama. Sejak tahun 1511 orang Melayu menjadi rakyat yang diperintah. Yang dijajah. Yang selalu dibelai. Yang selalu digula-gulakan. Hidupnya dilunakkan. Semangat juang yang wujud sebelum 1511 ditekan dan dipendam oleh penjajah. Portugis meninggalkan bekasnya kepada orang Melayu. Belanda juga meninggalkan bekasnya. Datang Inggeris dengan psikologi santunnya mencairkan semua yang ada berbaki di hati sanubari orang Melayu. Jepun menegakkan semula bulu roma yang tinggal. Tergerak semangat merdeka. Datang British semangat itu tidak padam bahkan mengandakan momentum hingga merdeka pada tahun 1957.

Berbagai raancangan dilaksanakan untuk membangunkan orang Melayu dari segenap segi. Dari fizikal ke material. Dari pemikiran dan psikologi. Pasti ada sesuatu yang tidak kena. Yang selalu elusif. Tidak dilihat oleh pemimpin yang di atas. Siapa sebenarnya orang Melayu. Tanpa mengetahui subjek ini kita banyak mencurah air ke daun keladi. Yang melekat terlalu sedikit. Mungkin, mungkin sahaja banyak pembaziran telah berlaku. Banyak yang dicurahkan tetapi mungkin ada kesilapan dari segi cara mencurahnya. The delivery system need to be overhauled. Reengineered. Sikap lackadaisical yang membarah pada orang Melayu dihakis. Disingkir jauh-jauh. Mereka banyak diberi tetapi tidak diminta komitmen bila diberi segala bantuan yang perlu. Dilepaskan begitu sahaja. Balasan kepda usaha itu tidak dihasilkan. Tidak diusahakanpun. Meminta tanpa berusaha membalas kembali. Selalunya orang yang menerima menyangka bahawa pemberian itu kontan begitu sahaja. Percuma. Tidak. Tidak ada lagi yang percuma sekarang ini. Setiap pemberian mesti ada cara lain untuk dibalaskan. Setiap pemberian adalah hasil pungutan dari orang yang lebih mampu.  Sepatutnya ia seperti rantai. Ia berkait-kait antara satu sama lain. Apapun bantuan tidak sepatutnya berhenti pada seorang penerima sahaja. Ia harus menyampaikannya kepada orang lain. Jika boleh semua orang akan berada dalam kitaran bantuan yang perlu. Bersambung dan bertali arus.

Saya hanya ingin memohon beberapa perkara. Nanti sama-sama kita fikirkan:
1                    Kurangkan pesta-pestaan. Mati jiwa kerananya.
2                    Kurang atau hapuskan hiburan melampau. Menyesatkan kita dari landasan menuju wawasan.
3                    Gandakan ilmu keibubapaan. Banyak belajar lagi. Anak-anak tanggungan kita. Untuk Allah. Untuk negara. Untuk umat. Untuk agama. Untuk saham akhirat kita.
4                    Orang dewasa menjadi model bukan menjadi perosak. Makhluk perosak mesti disekolahkan semula.
5                    Mohon jasa baik pemimpin untuk memimpin rakyat di bawah untuk mendepani realiti. Rakyat hanya memandang kepada pemimpim. Mereka perlukan pimpinan. Bukan gula-gula. Kita inginkan manis yang abadi. Bukan yang sementara.
6                    Pendidikan agama dimartabatkan. Dipandang tinggi. Diberi nilai ekonomi. Nilai sosial.
7                    Motivasi dan psikologi yang lestari dengan kehendak semasa. Ingatlah masa hadapan yang perlukan suluhan cahaya. Bukan usaha memadamkan terang yang ada.

Doa dan harapan saya. Semoga Allah mengkabulkannya.

Thursday, June 2, 2011

Summer Yang Mendebarkan


Apalah ertinya empat musim yang kita tahu. Hanya di negara berhawa sederhana yang mengalaminya. Kitaran musim yang beralih dari winter, spring, summer dan fall/autumn. Tiga bulan setiap satunya. Secara teori begitulah. Namun realitinya tidak begitu. Lebih ke utara winternya lebih awal. Lebih lewat perginya. Summer semakin pendek. Di Kutub Utara enam bulan summer dan enam bulan winter. Summernya juga kekal sejuk. Seorang teman berseloroh apabila ditanya tentang musim di Malaysia. Kita ada empat musim juga. Hot, hotter, wet dan wetter. Gelak rakan di Toronto, Canada mendengarnya. Mereka yang tidak pernah menjejak ke Khatulistiwa tentu tidak memahami iklim dan cuaca di sini. Seperti juga kita yang tidak pernah samapai di negara mereka. Itulah kata peribahasa, jauh berjalan luas peandangan.  Jika berkemampuan untyk melancong, pergilah. Lihatlah alam yang terbentang luas ini. Maklumlah akan tanda-tanda kebesaran Allah.

Summer tentu sinonim dengan panas. Benar panas itu dinanti. Orang di sana menunggu summer seperti menunggu kekasih yang lama menghilang. Dinanti dan dinanti. Tuan hendak tahu? Orang di sana shopping setahun lebih awal dari musim yang dijadualkan tiba. Apabila tamat summer tahun ini, mereka sudah merancang untuk berbelanja bagi summer tahun hadapan. Paling kurang enam bulan dari jangkaan. Waktu winter mereka sudah membeli untuk summer. Begitu juga sebaliknya. Dalam summer mereka menyediakan diri untuk winter. Bila sampai musim yang sebenar orang tidak berbelanja untuk musim itu. Yang mereka beli ialah keperluan untuk musim-musim yang berikutnya. Mendahului waktu. Sebab itu kekalutan kurang berlaku. Persediaan awal sangat penting. Jika ada perubahan, perubahan itu juga terancang lebih awal. Cantik kan? Kematangan kita masih belum sampai ke situ. Kita masih lagi reaktif. Menunggu apa yang akan jadi. Lambat. Menyusahkan. melemaskan. Kekalutan yang bertimpa-timpa.

Bila summer dunia baru menjadi terbuka seluas-luasnya. Pakaian juga selalu dibuka di tempat-tempat awam. Yang ditinggalkan yang secalit dua yang dikira penting. Wanita menjadi dagangan mata dan perasaan lelaki. Murah dan terlalu murah harga maruahnya. Di mana sahaja orang perempuan basking – bermandi cahaya matahari. Mereka berminat untuk getting tanned.  Membakar kulit supaya kelihatan hitam. Buka sahaja tingkap tersidai di bumbung, di laman dan di kawasan-kawasan lapang. Jika terlentang mungkin hanya bertutup tuala tanpa ada apa di dalamnya. Memakai kacamata hitam untuk mengelak silau matahari. Bila tiarap mereka tidak ambil pusing tentang punggung yang terdedah. Yang hadapan sahaja yang ditutup. Bukan malu. Malu dan aib sudah tidak ada. Malu kepada kanak-kanak. Itu sahaja. Sedikit moral yang melucukan.

Di lorong-lorong tepi rumah penuh dengan mereka yang bersidai. Yang menghairankan ialah kebanyakan mereka ialah wanita. Tua atau muda sama sahaja. Yang lelaki tidaklah galak sangat. Entahlah. Budaya agaknya. Sama juga bila ada hal rasmi. Yang lelaki berpakaian menutup penuh aurat mereka. Yang wanita pula memakai night gown. Mendedahkan dada, bahu dan lengan. Yang ditutup hanya bahagian bawah sahaja. Fesyen dan budaya yang tentu sahaja songsang. Yang menghairankan ialah yang songsang itu banyak ditiru orang kita. Kononnya itulah the in thing. Up-to-date. Kekalutan berfikir. Sudah tidak dapat memberi penilaian yang benar. Yang hak. Yang batil dianggap baik. Yang haram dicari alasan untuk menghalalkannya walaupun sememangnya tidak halal. Tidak benar. Pakaian adalah antara racun berbisa yang ditanam Yahudi untuk menghancurkan wanita Islam. Bila wanitanya hancur maka lelakinya turut luluh hancur kerana lelaki sepatutnya menjadi guardian kepada wanita. Tugas itu gagal dilaksanakan lelaki. Siapa yang hendak disalahkan? Pandanglah cermin. Tanya diri sendiri. Itulah kita yang ada dalam cermin itu.

Memang bila summer semuanya menghijau. Dari rerumput hingga setinggi dan sebesar-besar pepokok semuanya berdaun lebat. Hijau dan menghijau. Sumber oksigen yang melimpah-limpah. Fotosintesis pada kemuncaknya. Itulah kehidupan. Perlunya panas dan air. Kesuburan tanah yang meluas terbentang. Namun demikian panasnya tidak seperti di negara kita. Di sini. Di tempat kita. Yang kita rasa selalu. Lekit dan melekat. Rimas dan berpeluh.  Bau peluh menjadi hangit, hamis, memualkan. Di sana semuanya berbeza. Panas tetapi tidak merimaskan. Udara di sana tidak seperti di sini. Udara kita lembab. Di sana udaranya kering. Jarang berpeluh kecuali kita benar-benar exercise. Jia tidak pakaian tidak bermandi peluh. Tidak berbau. Dirasa selesa pakaian yang sama diulang pakai. Hendak mandi juga merasa malas kerana terasa tidak ada apa yang hendak dibersihkan kecuali yang wajib-wajib sahaja. Jangan hairan orang di Timur Tengah yang kurang mandi. Bukan sahaja kerana kurang air tetapi juga kerana udara di sana kering. Pakaian tidak berapa berbau. Minyak wangi pula menjadi penyelamat keadaan. Daki tetap berselupat juga.

Summer adalah  kemuncak segala musim. Semua institusi pengajian ditutup. Semuanya. Sekolah rendah hinggalah ke IPT. Pekerja ramai mengambil cuti. Rehat yang panjang. See the world. Outdoor life. Enriching life.  Maka penuhlah Bandar. Penuhlah tempat-tempat hiburan luar seperti taman tema, zoo, park (kawasan bersantai). Kenderaan di jalanraya seolah-olah bergerak sepanjang hari. Sepanjang malam. Berbulan-bulan. Warganya bergerak. Persekitarannya berubah. Ekonominya terjana. Summer adalah bulan berbelanja dan bulan berniaga. You name it, they do it. If you ask for it, you get it. Pesta-pestaan tidak mengenal waktu. Ada di sana dan ada di sini. Semuanya seperti baru terjaga dari tidur. Ada sahaja keributan yang erlaku. Keributan untuk enjoy dan menghibur diri. Tiada batasan tempat. Tiada batasan waktu.

Bagi warga Malaysia, summer adalah musim pertemuan santai di padang. Di park. Di pusat rekreasi. Atau berjalan-jalan. Summer pertama tahun 1985 saya ke Canada. Tentu lain ceritanya. Perjalanan penuh pengalaman. Di Bukit Seri Cahaya, Shah Alam ada tempat untuk mengalami empat musim. Pergilah untuk mendapat pengalaman simulasi. bukan realiti. tentu realitinya lebih besar impaknya. yang simulasi sekadar mendapat gambaran awal. yang akhirnya tidak akan diperolehi tanpa berada di lokasi yang sebenar. Sebahagian rakaman waktu untuk diulang ingatan.





Bila berkumpul agenda utama ialah makan beramai-ramai. Menambah selera. 


 Macam-macam gaya makan.

Sambil posing untuk ingatan. 


 Ini anak sulung saya, Diana sedang membantu.

Sambil bersembang-sembang.

Ada berita baru.

 Panas. Sebab itu ada yang berkaca hitam.

 Menyeringai anak bongsu saya.

 Emaknya buat apa tu.

 Anak-anak bergambar. Entah di mana mereka sekarang.

 Yang kedua, Dahlia dan yang ketiga, Nurul Najwa.

Gambar lagi.

 Bakar dan bakar. Ayam dan daging.

Banyaknya hidangan.

 Rakan sekelas. Sharifah lebih awal.
Sama-sama merakan kenangan.

 Banyak cerita dikongsi bersama. Santai. Enam bulan sebekumnya kesejukan kerana tiba di Pittsburgh semasa winter.

 Ramai juga orang Malaysia.

 Sudah tiba ke penghujung pertemuan.


Mereka yang bujang-bujang belaka. Yang memakai kep tu Virat. Di belakang membongkok ialah Juliza Adzlizan.

Ini sahaja kenangan lama.

 Orang bujang santai belaka.

 Datin Zabedah. Isteri mantan NC UPSI yang pertama.
Sharifah Fatmah bergaya sakan. Silap-silap macam orang putih. Saya terkena kali pertama bertemu. 

Isteri pelajar tua.