Sunday, June 12, 2011

Melahirkan Anak Gemilang


Sekarang ini tentu ramai ibu-ibu yang mengandung. Ada yang pertama kali. Baru mula mengalami sesuatu yang baru. Tidak pernah dibayangkan sebelum berumahtangga dahulu. Walaupun bisa dilihat. Mengalami sendiri tentu memberikan berbagai-bagai persepsi. Antara realiti dan fantasi. Harapan dan doa. Sinar dan cahaya. Anugerah dan kurnia. Nikmat berumahtangga rupaya berperingkat-peringkat. Ada fasa-fasa yang mengujakan. Ada yang menyulitkan. Inilah masanya mengenal suami sejati. Suami yang ada jati diri. Suami yang janjinya dahulu untuk susah dan senang bersama. Duduk dan bangunnya bersama. Sukar mencari suami yang berjanji sehidup dan semati. Jarang berlakupun. Jika kita ke Pantai Timur ungkapan itu tidak ada kelainannya. Se hidup se mati. Jarang orang mati bersama. Kecualilah kemalangan di jalanraya, kebakaran dan wabak penyakit. Memang benar seorang hidup seorang lagi mati. Siapa yang mati dahulu hanya ajal menentukannya. Ajal itu hak Allah. Yang ajalnya sampai, teruslah ke alam barzah. Menunggu alam akhirat yang juga berperingkat-peringkat. Senang bagi yang banyak bekalnya. Sukar bagi yang engkar di dunia. Derhaka kepada Allah. Na’uzubillahi min zalik. Namun begitu alam janin adalah sesuatu yang menjadi antara fasa melahirkan anak cemerlang.

Mencemerlangkan anak tentulah dengan didikan yang terbaik. Dengan asuhan yang diperakui benar. Bimbingan tanpa henti. Belajar sepanjang hayat. Namun begitu kecemerlangan bukan semestinya sesudah anak itu lahir. Ada sesuatu yang lebih subtle perlu difikirkan. Bagi orang Barat baka keturunan menentukan kebijaksanaan anak. Persekitaran melengkapkan kesempurnaannya. Nature and nurture. Itu kata mereka. Mengikut kajian yang mereka lakukan. Namun hakikatnya tidak ada sesuatu yang konklusif. Never 100% foolproof. Pada kebanyakan masa ianya benar. Tetapi tidak dalam semua keadaan. Pada keadaan yang dikaji. Itu sahaja. Jika sampelnya besar menggunung mungkin lebih benar. Namun yang Maha Benar hanya Allah. Haq itu milik Allah. Membenarkan selain dari Allah tentulah bukan selari dengan akidah Islamiyyah. Boleh pula dihukumkan syirik. Percaya kepada sesuatu yang bukan hak Allah. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui segala sesuatu. Dan kepadaNya kita akan dikembalikan.

Bagi orang Islam ilmu adalah penting. Of paramount importance. Ilmu ibarat pelita di dunia untuk menyuluh jalan ke akhirat. Ada kepentingannya di dunia. Namun jangan sekali-kali mengenepikannya sebagai jalan lurus ke akhirat. Tetapi yang lebih penting ialah Allah. Mengatasi segala penting yang lain. Anak adalah anugerah Allah. Allah yang menganugerahkan zuriat. Maka semasa bercinta itulah bibit anak yang bakal dilahirkan direncanakan. Ingat tak dahulu semasa bercinta dahulu kadang-kadang terlepas waktu solat? Sudah Qada’? Bagaimanakah perangai pasangan masing-masing? Mantap? Alhamdulillah. Itulah yang dicari. Yang diidam. Yang dicita-cita. Bagi setiap pasangan yang dicari ialah keunggulan masing-masing. Ingin mencari isteri yang memiliki kesempurnaan. Ingin mencari suami yang soleh. Padanya adalah segala-galanya. Keindahan. Kedamaian. Kebahagiaan. Kasih sayang yang tiada batasannya. Mawaddah.

Atas dasar mawaddah inilah dirancang zuriat yang melestarikan keturunan terbaik. Terunggul. Kesinambungan citra kasih dan sayang yang terungkap dan tidak terungkap. Tetapi yang dirasakan wujud mengikat dan memikat hati dan perasaan. Bagi yang menerima anugerah  limpahan rezeki dari Allah maka bakal lahirlah putera dan puteri. Yang lahirnya nanti sebesar telapak tangan. Lalu membesar menjadi kanak-kanak yang banyak karenah dan lincahnya. Terus  membesar menjadi remaja yang perlu dikawal dari sentuhan pancaroba yang mengganggugugat kedamaiannya untuk besedia menjadi dewasa yang sempurna akal budinya.  Menjadilah mereka warga Islam yang tebal imanya. Yang penuh jatidiri bangsanya. Yang patriotik kepada watannya. Yang biasa menabur segala kebaikan kepada orang-orang yang ada di sekelilingnya. Menyumbang untuk umat sejagat.

Janin-janin yang dihamilkan tentu didoakan sejahtera. Diharap sempurna akalnya. Memiliki segala kebaikan dengan izin Allah. Fasa-fasa bagi isteri yang mengandung memberikan ruang-ruang erti yang berbagai. Membezakan antara minggu dan bulan. Sembilan  bulan 10 hari hanya kiraan lazim. Lahirya hanya ditentukan Allah saat dan waktunya. Hanya Allah  yang menentukannya. Cuma dari fasa ke fasa itu sang suami memainkan peranan yang sangat besar. Peranan isteri tidak pula tidak penting. Ada beza dan samanya. Peranan itu mengikut fasa-fasa dari masa bercinta, bertunang, berumahtangga. Alam rumahtangga lebih besar cabarannya. Itulah ujian berumahtangga. Mengukuhkan persamaan. Pada masa yang sama mengakui perbezaan. Mengiktirap wujudnya. Mengerti dalam faham. Setuju dalam akur. Persamaan adalah suatu anugerah. Tetapi perbezaan itu adalah cabaran yang manis jika dimaklumi. Sangat indah bila dapat berdamai dengan hati. Menerima yang lain dari diri sendiri. Suatu gandingan yang tidak selamanya sama.

Indahnya saat kehamilan diterima sebagai berita ria. Ikatan kasih sayang yang lama terbina. Bertahun-tahun yang tersangat lama. Membina dari tahap ke tahap. Dari santaian dan ulitan cinta. Ulaman sayang yang dianyam masa dan usia. Nantian yang beribu tahun lamanya di rasa. Gelora dan badai yang sama-sama dijejak. Terbina suatu tembok kasih yang tegak kukuh. Yang berdiri sebagai tugu cinta yang memberi tanda. Ingatan lama yang tersemat selalu. Bahawa ada seseorang yang rindunya selalu didambakan. Yang selalu dekat di hati dan sanubari. Yang selalu membelai kecintaan di  laut luas tanpa tepi. Atas cinta itu terbina sebuah rumahtangga yang syahdu bentuknya. Yang indah bak masjid. Yang damai bak masjid. Yang tersergam bak masjid. Itulah masjid cinta yang kuat terpacak di bumi rumahtangga.

Dari hari ke hari kehamilan membawa bersamanya rasa cinta yang abadi. Nanti akan lahir seorang cahaya mata. Insyaalah. Akan ditatang. Akan ditimang setinggi langit. Biar dilambung awan yang putih bak salju. Biar anak itu terbang. Biar dia melihat ke bawah bahawa realiti hidupnya di sini. Antara ayah dan ibunya. Antara agama anutannya. Di bahunya tanggungjawab terhadap Allahnya. Rasulnya. Ibu bapanya. Agamanya. Watannya. Pada matanya ada iras ibu dan bapanya. Pada hidungnya. Pada mulutnya. Pada bibirnya. Pada telinganya. Pada raut wajahnya. Itulah padanan ibu dan ayahnya. Itulah anugerah untuk kau berdua. Telah direalisasikan suatu impian bersama. Antara fana dan realiti. Sekarang realiti itu benar. Dialah pengikat kasih. Dialah cahaya di mata. Dialah segala-galanya yang namanya anak. Biarlah dia membesar. Iringilah dia dengan adik-adik yang lain. Biar makmur rumahtanggamu. Deraian bunyi anak-anak yang membesar dengan keanak-anakannya. Hiburan bagimu. Iburan yang bakal kekal sepanjang zaman hidupmu.

Kehamilan bukan masa yang dibiarkan berlalu. Waktu makanmu tentulah dengan mengisi segala yang halalan toyyibah. Biarlah yang bersih dan suci. Anak dalam rahimmu perlukan semuanya yang baik-baik di sisi Allah. Standardnya hanya Allah. Rezeki yang halal. Makanan yang halal. Segala perlakuan yang halal. Susu, buah dan sayur. Segala yang membina fizikal dan minda anak. Nyanyikan dia dengan lagu syurga. Ayat-ayat suci al-Quran yang telah lama diwahyukan. Yang pada huruf dan kalimahnya terpancar segala azimat nikmat dari Allah. Perdengarkan kepadanya kalimah-kalimah itu supaya hatinya kepada kebenaran. Sanubarinya kepada yang hak. Mindanya untuk Allah. Terhindar dia dari hiburan dan hedonism. Dari lagha yang mengganggu imannya nanti. Dari ikut-ikutan. Bukan bertaqlid semata-mata. Biar nanti dai memiliki ilmu berguna untuk memandunya ke syurga. Yang menghidarnya dari neraka. Yang mendekatkan dia kepada Allah.

Bacalah. Mudah-mudahan ayat-ayat al-Quran itu membimbingnya ke arah kecemerlangan di dunia dan di akhirat sejak dia dari janin lagi. Sejak dia di dalam rahimmu lagi. Sejak dia menjadi anugerah Allah kepadamu berdua. Kata ulamak surah Muhammad itu baik. Surah Mariam itu baik. Surah Yusof itu baik. Bacalah keseluruhan al-Quran supaya mendapat nikmat kesemuanya. Ulang dan ulang. Dodoikan dia dengan al-Quran. Tidurkan dia dengan al-Quran. Pakaikan dia dengan al-Quran. Rawat dia dengan al-Quran. Hanya al-Quran yang mendindingnya dari segala kealpaan dunia. Al-Quran yang dapat memandunya menjadi zuhud dunia. Harta benda adalah untuk memberi jalan menuju zuhud. Infak bukan kedekut. Sedekah bukan bakhil. Derma bukan menerima.  Solat dan doa jangan sekali diabaikan. Doakan bakal anakmu supaya menjadai seperti yang dihajat. Semurna fizikalnya. Kasih sayangnya. Kekayaannya. Kejayaannya. Kehidupannya. Dan segala-galanya menjayakannya di dunia dan di akhirat.

Suami. Kehamilan isterimu adalah suatu ujian. Inilah masanya kecintaanmu terhadapnya teruji. Wanita pujaanmu itu melalui fasa-fasa untuk melestarikan perananmu sebagai suami. Isterimu sedang memberkanmu hadiah cinta untuk ditatap dengan mata sayu penuh ria. Inilah ketikanya pengertian seorang suami sepertimu sangat-sangat didambakan.  Isterimu bukan lagi sicantik manis yang kau gilai suatu waktu dahulu. Segala keindahan pada seluruh wajahnya sudah lama tidak ada. Yang kau pandang adalah sekujur tubuh yang menyempurnakan maumu sebagai suami. Dia hanya pasrah pada Allah bahawa dirinya sihat. Ada kudrat selama sembilan bulan 10 hari yang selalu dikira. Dia belum tahu lagi derita setengah mati yang tidak akan pernah kau rasa. Tidak akan mungkin kau rasa. Tidak mungkin sama sekali akan kau alami. Ingatlah isterimu sedang bertarung dengan nyawanya demi kasih sayangnya kepadamu.

Dia sedang menuju syahid. Bahawa melahirkan adalah pertarungan antara hidup dan mati. Kau sebagai suami hanya mampu melihat. Hanya mampu simpati. Tidak mungkin empati. Hanya mampu menaburkan air mata. Hanya dapat berada dalam kesedihan. Betapa isterimu nanti berperang dengan sakit yang mengazabkan. Berjuang dengan kepayahan yang amat sangat. Bahawa melahirkan seorang zuriat itu bak kiamat rasanya. Tetapi ketabahannya sukar dicari ganti. Berkali-kali nanti dia rela berjuang untukmu suami. Rela syadid untukmu suami. Kepayahan menjadi sinonim kepada seorang isteri. Lihatlah dia dengan mata hati. Parasnya yang kusut masai adalah gambaran-gambaran cintanya kepadamu. Bukan dirinya yang lagi penting dan utama. Janin yang dikandungnya itu yang menjadi keutamaan. Untukmu suami. Hatinya bukan fiziknya yang perlu kau jaga. Kebahagiannya bukan kebahagianmu. Ingat, kebahagiannya adalah untuk anak yang bakal menjadi zuriatmu.

Menjadi ibu memanglah proses ketentuan Allah. Menjadi ayah juga ketentuan Allah. Semua anugerah dariNya. Namun yang penting diingat ialah kau berdua perlu banyak belajar dari pengalaman orang lain. Menimba panduan dalam Al-Quran seperti yang diperintahkan Allah. Ajaran dan didikan Rasulullah. Pada ribamu nanti adalah anak yang menjadi amanah Allah kepadamu berdua. Jagalah dia kerana itu tanggungjawabmu berdua. Tugasmu mencemerlangkan dia dengan kecemerlangan al-Quran. Kecemerlangan agama dan beragama. Menjadi manusia yang tinggi kemanusiaannya. Mudah-mudahan hidupnya menuju syurga. InsyaAllah. Amin.

No comments:

Post a Comment