Sunday, May 15, 2011

Hari Guru Untuk Siapa?


Hari ini 16 Mei. Ia datang lagi. Setiap tahun ia datang. Selepas itu ia pergi. Setahun yang akan datang tiada siapa peduli. Hari apa ini? Minggu apa ini? Tahun apa ini? Selama ini hari apa? Sudah 42 kali rasanya saya bersua dengan hari ini. Tidak ada kelainan yang saya rasa. Tiada impak besar yang saya terima. Saya kekal menjadi guru. Darah daging saya. Saya rasa begitu juga rakan-rakan guru yang lain. Yang dalam dirinya hanya ada sifat itu. Walaupun ada  yang terpilih untuk menjadi guru. Walaupun ada yang memang memilih untuk menjadi guru. Ada pula yang terpaksa untuk menjadi guru. Saya kira akhirnya kita semua jatuh cinta dengan profesion ini. Dengan kerjaya ini.

Kita sudah difitrahkan untuk menjadi guru. Banyak yang telah dilalui. Tidak pula minta balasan. Tidak pula mengemis imbuhan. Tidak juga mahukan sanjungan. Kita hanya pelakon-pelakon hidup. Melaksanakan suatu fitrah Allah. Menjalankan sunnatullah. Mengajar adalah tugas mulia. Dituntut sepanjang masa. Suatu lintasan dalam hidup yang ingin terus dimanfaatkan. Di sini hidup dan mati. Untuk Allah. Demi Allah. Kepada Allah diserahkan. Moga-moga redha Allah sahaja yang dipohon.

Pagi-pagi lagi hari ini  sudah berdering sms. Masih ada yang ingat. Saya sendiri tidak pernah beria-ia untuk mengingat. Apalah sangat. Tugas biasa.Di facebook juga begitu. Ramai yang ingat. Seperti dalam lain-lain hal tentu ramai yang tidak perlu ingat. Guru telah bertugas menjadi guru. Itu tanggungjawabnya. Itu kewibawaannya. Tidak perlu dikenang. Tidak perlu diingat. Tidak perlu nostalgia. Tidak perlu diingat sangat. Banyak lagi keutamaan lain. Lagipun guru telah dibayar.  Bukan percuma. Mana ada yang percuma. Masyarakat telah membayar guru kerana tugasnya. Ia profesional yang hidup kerana dibayar tugasnya. Meminta balasan adalah sesuatu yang tidak profesional. Tidak beretika. D luar perjanjian sosial sewaktu menerima watikah sebagai guru. Di institusi tempat latihan juga tidak pernah di sebut pentingnya hari guru. Ia adalah hari-hari biasa bagi seorang guru.

Pagi tadi sewaktu bangkit dari tidur hari yang saya tatap tetap sama. Matahari masih kekal setia patuh kepada perintah Allah. Tetap terbitnya dari timur. Cuma kecondongannya berkisar kerana perubahan antara the soltices ke utara atau ke selatan. Waktu ini bumi berganjak ke utara. Di utara mula panas. Barangkali tahun 2011 ini summernya akan lebih panas. Di Khatulistiwa seperti Malaysia sudah terasa bahangnya. Pencairan di Kutub Utara akan menjadi-jadi. Pemanasan global yang semaki panas. Petang nanti matahari kekal terbenam ke arah barat. Qiblat solat kita kekal antara 80º dan 85º. Bergantung di mana kita berpijak. Di bumi Malaysia juga. Tempat kita menjunjung kasih. Tempat menabur bakti. Tempat membina bangsa. Tempat membina negara. Tempat memartabatkan profesion keguruan.

Apa yang  lainnya? Sekadar memberi ucap selamat sangat biasa bagi saya. Tetapi ada sedikit tinge in my heart. Menerima ucapan bukan untuk sebarang guru. Yang memberi kerana telah menerima sesuatu yang ada nilainya. Format sambutan hari guru tetap sama. Entahlah. Sesuatu yang ironis kerana sambutan hari guru diuruskan oleh guru. Dihadiri oleh guru-guru. Itupun kadang-kadang bukan dengan kerelaannya. Guru lebih senang dan santai berada di kelas. Berhadapan dengan anak-anak didik yang ingin dijadikan manusia. Yang ingin nanti mampu menggantikan guru itu bila tiba masanya.  Guru tidak selesa melakukan yang bukan-bukan. Bukan core business mereka. Apatah lagi yang tiada kaitan dengan tugasnya. Jangan terkejut sambutan hari guru kadang-kadang bukan untuk meraikan guru. Bebrapa tahun yang lalu saya menghadiri sambutan hari guru di sebuah daerah. Perasmi yang datang seorang pemimpin kerajaan.  Saya kira ramai guru yang terkilan. Tersentuh. Terguris lebih tepat.

Ucapannya yang berjela panjang. Pentas itu dijadikan wadah untuk mengecam guru. Harapan untuk diraikan dengan penghargaan berkecai. Punah berderai. Hancur luluh bak kaca ditumbuk lumat. Kerana segelintir perbezaan pendapat seluruh profesion guru dikecam oleh pemimpin itu. Guru-guru dikatakan mereka yang tidak berterima kasih. Yang tidak memahami nikmat hidup. Yang tidak berjiwa kenegaraan. Yang pentingkan diri sendiri. Bayangkan apa yang gurn rasa. Dalamnya tentu menggelegak. Tentu parah. Jiwanya diratah dan dihentak.  Psikologinya direntap-rentap. Perasaannya dicarik-carik. Guru bukan harapkan sesuatu yang muluk-muluk. Cukuplah sekadar tidak mencaci cela. Cukuplah tidak berkata apa-apa. Cukuplan sekadar memberi isenyum dan tawa. Mungkin sedikit angguk kepala. Yang tidak sukakan guru itu bukan guru. Mereka yang profesionnya bukan guru. Yang tidak mahu tahu tugas guru.

Saya sayangkan guru saya. Seingat saya sudah tidak ada lagi guru saya yang di seklah rendah dahulu. Kesemua mereka telah lama meninggalkan saya. Saya tetap bangga menjadi anak didik mereka . Alfatihah untuk mereka. Seperti ajaran agama kita, ilmu yang baik yang mereka tinggalkan saya lestarikan. Saya panjangkan kepada beberapa generasai yang lalu di bawah asuhan saya. Telah memberi banyak manfaat kepada saya. Telah saya manfaatkan masa yang berlalu. Telah memberi manfaat kepada usia saya. Telah memberi manfaat kepada anak-anak saya. Kepada cucu-cucu saya. Apatah lagi telah memberi manfaat kepada anak didik saya yang jumlahnya ribuan di serata tanah air. Dari Sk Permatang Rengas, Batu Pahat. SMK Munshi Ibrahim, Labis, Johor. SMK Ibrahim Fikri, Kuala Terengganu. SMK Chung Hwa Wei Sin, Kuala Terengganu. Politeknik Ungku Omar, Ipoh. USM, Ipoh.  SMT Johor Bahru. UTHM, Batu Pahat. Ada yang masih ingat. Ramai yang lupa. Itu bukan isunya. Saya telah menyempurnakan tanggungjawab itu.

Saya jadi megerti kerana guru saya. Mereka mengajar saya erti sesuatu. Melihat dengan mata kasar. Melihat ke dalam dengan mata hati. Memahami yang tersurat. Memahami yang tersirat.  Menjadikan saya orang yang perasa. Yang tahu erti budi. Allah yang memungkinkan kesemuanya. Lantaran bantuan guru saya menjadi seperti saya. Tanpa guru saya bukan saya. Tidak ada orang seperti saya. Saya berguru. Saya mendapat sentuhan ajaib dari guru-guru saya. Saya mendapat suntikan dari mereka. Saya mendapat input-input akademik dan kemanusiaan. Saya mendapat input agama dan beragama. Tanpa guru saya bukan saya. Islam melarang belajar tanpa berguru. Pasti syaitan mengambil peranan itu. Sukar nanti untuk mencari jalan pulang. Sukar menentukan yang mana hak dan yang mana batil. Yang mana benar yang mana salah.

Dari guru saya belajar bertatih. Saya dibimbing tulis baca. Diajar mengira. Saya masih ingat saya cukup berjaya dalam congak. Ujian secara lisan. Mengeja dan mengira. Kecekapan mendengar dan menganalisis menggunakan minda. Ejaan bukan masalah. Mengira bukan susah. Kecekapan itu saya dapat dari guru-guru saya.  Pendidik sekarang memberi kuiz. Soalan pendek. Ujian ringkas. Semuanya bertulis. Banyak variabel yang dinyatakan. Waktu saya dahulu congaklah yang banyak membantu menjadi cekatan untuk berfikir. Semuanya dengan lisan. Dengan perkataan. Dengan ungkapan-ungkapan. Masa yang diberi singkat sahaja. Namun bagi yang terkehadapan congak itu mengukur kemampuannya menggunakan minda. Menangkap apa yang diajar. Yang disampaikan guru. Itulah zaman saya. Zaman yang telah lama berlalu. Tetapi zaman itulah yang membina saya seperti sekarang.  Seperti saya.

Saya ingin bertanya. Siapa yang seharusnya menyambut hari guru? Guru ke? Atau orang lain? Kenapa tidak murid yang menyambut hari guru untuk guru-guru mereka? Bebaskan mereka untuk menyatakan isi hati mereka? Tentulah dengan sedikit kawalan. Ada garis panduan. Ada peraturan. Hadkan masa. Hadkan acara. Hadkan majlis. Hadkan jadual. Hadkan apa yang boleh. Hadkan suasana. Hanya untuk mereka yang ingin merayakan guru-guru mereka. Tidak perlu hadiah. Barangkali ucapan terima kasih sudah cukup menyesakkan dada seorang guru. Sebak. Menggenangkan air mata. Menjadikannya syahdu.

Kenapa tidak ibu bapa yang merayakan guru? Bukankah guru telah mengambil alih tugas mereka? Mereka menyerahkan anak-anak mereka untuk dididik oleh guru. Kenapa tidak luangkan sedikit waktu untuk memandang mata guru. Kunci pandangan empat mata. Mata ibu dan mata guru. Mata bapa dan mata guru. Hulur tangan. Terima kasih cikgu. Jika saya sekalipun saya kira air mata saya ingin menderas turun. Meruntun kasih. (Ketika menulis ayat inpun air mata saya ingin membasahi pipi). Ada sesuatu yang ibu bapa telah hilang.  Kepekaan yang sedikit untuk menghargai guru.

Kenapa tidak pemimpin merayakan guru? Bukankah guru telah menjalankan amanah negara? Memandaikan warganegara yang menjadi harapan? Melahirkan pemimpin-pemimpin yang sedia ada dan yang akan datang? Jengahlah guru. Ucapakan terima kasih kepada mereka. Tidak mungkin dilupakan suatu ketika dahulu gurulah yang membasuhkan kencing dan beraknya? Yang menyeka lelehan hingusnya? Yang membelai tangisnya ketika ditingalkan ibu pada hari pertama? Pada minggu pertama? Yang belum tahu eja baca. Yang belum tahu kira. Yang tidak tahu berbelanja dengan wang yang ada. Proses menjadikan pandai dilakukan oleh guru-guru biasa. Yang sangat biasa-biasa. Yang kelayakannya tidak seberapa. Yang hidupnya sangat sederhana. Persaraannya memberi suka dan bahagia. Matinya dalam hening pusara. Dengan mata terkatup rapat. Puas menjadikan ramai munsia.

Persepsi kita tentang hari guru perlu berubah. Guru tidak perlu hari-hari untuk mengenang mereka. Guru banyak perlukan sokongan daripada mereka di luar sana untuk kesempurnaan pendidikan anak-anak yang bakal menggalas tugas-tugas negara. Jika memimpin, mereka menjadi pemimpin berjiwa besar. Jika menjadi rakyat mereka menyumbang untuk membantu pemimpin. Yang memimpin dan yang dipimpin mestilah segerak. Bak aur dengan tebing. Bak isi dengan kuku. Pasangan yang mesti seiring.

Untukmu guru. Tugasmu adalah tanggungjawabmu. Kau telah pilih profesion ini. Ia mulia. Sungguh mulia. Ia menjanjika syurga. Ada nikmat besar yang Allah janjikan. Teruskanlah usaha menabur bakti. Guru tetap guru. Saya tahu dan kau juga tahu. Jiwa kita sebati. Guru tetap guru. Kembalikan kesemuanya kepada Allah. Moga-moga Allah redha dengan apa yang kita lakukan. InsyaAllah.

Makan Malam Di Kolej Dar Al-Hikmah

Sejarah itu pergi. Nanti berulang jika ingin diulang. Jika tidak ia menjadi satu titik masa dalam hidup. Bagi yang mengetahui, titik dan sejarah itu ingin selalu diulang-ulang. Ada keindahannya yang tersendiri.

Bagi sebuah kolej swasta, yang paling sukar adalah sumber dananya. Sejak sedari asal tertegaknya sebuah cita-cita unggul untuk membangun ummah dengan dana ikhlas dari mereka yang dermawan. Tidak ada sumber dari penguasa. Tidak ada keterikatan kepada siasah. Tidak ada sumber kapitalis yang nanti menagih untung. Laba yang menjerut segala kudrat dan keupayaan untuk bergerak bebas. Maka dengan kemampuan yang sedikit itulah kolej ini bergerak. Bernadi. Bernafas. Suatu keikhlasan yang tiada tolok bandingnya. Berdiri sendiri lebih gah dari dibantu oleh orang lain. Ketakutan sentiasa ada. Gergasi yang membantu ditakuti akhirnya membaham yang dibantu. Situasai malang yang selalu berlaku. Berulang-ulang. Dan berulang. Memanjang tanpa hilang. Manusia mencipta sejarahnya sendiri. Itulah yang diulang-ulang.

Siswanya bersilih ganti. Tidak juga dari mereka yang datangnya setempat sahaja. Ada yang dari Brunei. Ada yang dari seluruh tanah air. Ramai juga yang dari Indonesia. Mereka yang bekerja di sekitar Lembah Klang datang saban minggu untuk mengangkat diri mereka ke persada ilmu. Anak-anak muda dari berbagai pesantren di Indonesia itu tekad datang ke Malaysia untuk mencari rezeki. Bukan untuk perut semata-mata.  Bukan untuk keluarga di kampung sahaja. Nilai tambah pada diri difikirkan untuk masa depan yang mencerahkan. Sedikit-sedikit mereka mengumpul wang. Berdikit-dikit menggunakan wang. Jerit perih yang mesti dialami. Ditanggung secara peribadi untuk membaiki diri.

Saya teringat sewaktu di US dahulu bilangan pelajar Malaysia dikatakan seramai melebihi 16,000 orang. Yang ditaja oleh kerajaan hanya segelintir kecil sahaja. Yang lainnya tentulah dengan tajaan FAMA – father and mother. Kebanyakan mereka orang Cina. Orang Melayu ada juga yang ditaja FAMA. Namun begitu tidak ramai bilangannya berbandaing dengan anak orang Cina. Lagi-lagi kita kembali kepada keupayaan ekonomi masing-masing. Orang Cina memiliki kekuatan ekonomi. Orang Melayu pula terpilih-pilih.  Ada di sana sini. Sukar mencarinya. Adakah ini disengajakan? Orang Melayu perlu ditolong supaya mereka terikat dengan tongkat. Supaya mereka terikat dengan budi. Dengan sejumlah wang jaminan – guarantee –anak-anak Cina berduyun-duyun ke luar negara. Wang itu dimasukkan ke dalam bank. Digunakan yang seperlunya sahaja. Anak-anak itu pula mencari kerja sambilan.

Bagi yang rajin kerja ada di mana-mana. Mencuci pinggan mangkuk di restoran cukup untuk membayar rumah sewa dan belanja makan. Lumayan. Sehari mungkin sekitar tiga jam sahaja. Ini bermakna wang yang dibawa dari Malaysia tidak perlu digunakan. Cukup masa pulang ke Malaysia, wang itu dibawa balik. Jika dipinjam dari bank, boleh dibayar kembali sekaligus. Masih berbaki lagi kerana pihak bank di US membayar faedah. Jika empat tahun wang itu tidak dikeluarkan, bayangkan jumlahnya. Bawa balik lebihan yang banyak. Bagi orang Islam tentulah tidak boleh. Bukan cara Islam. Mungkin ada alternatif yang boleh difikirkan. Mengharapkan biasiswa sahaja tentulah tidak mungkin. Bajet untuk itu semakin berkurangan.

Bagi kolej kecil seperti Dar Al-Hikmah, yang terletak di tapak seluas lebih sedikit dua hektar tentu tidak  banyak yang termampu. Ala kadar yang dapat dipersembahkan. Prasarana yang sehabis dasar. Tetapi seperti kata Dato’ Dr. Siddiq Fadhil, presiden kolej, darinya dilahirkan mereka yang luhur baik. Yang digiring keluar untuk menabur bakti. Yang memberi manfaat kepada manusia sejagat. Yang mendakwah kepada semangat Islami yang tinggi. Dalam kezuhudannya itu ditapak perjalanan masa lalu merentas segala kepayahan untuk membangun insan-insan gemilang dengan ilmu yang bersarang di dada kuat untuk menerjahkan kehebatan umat. Yang menyumbang kepada keutuhan agama, iman, amal dan kesejahteraan beragama. Sempena majlis konvokesyennya yang ke29 pada hari Sabtu 30 April 2011, majlis makan malam diadakan. Mudah-mudahan ada lebihan yang menyumbang untuk menambah dana. Banyak lagi yang perlu diusahakan untuk menegakkan cita-cita murni bagi melahirkan umat bestari. Umat ulul al-bab. Cendekiawan yng tersohor membelah alam raya dengan ilmu-ilmu yang menunjang jauh ke dasar. Yang menancap jauh memuncak tinggi.

Datuk Dr Siddiq Fadhil tidak pernah lekang dari mengisi minda. Orangnya bersahaja. Cakapnya banyak memanifestasikan leluhur seorang pemikir. Dalam santai banyak ceritanya. I’tibar yang mesti diambil. Pengajaran yang memberi keinsafan. Dalam belajar manusia belajar. Tentu ada yang belajar tetapi tidak belajar. Ramai orang mengimpikan segala keindahan untuk masa hadapan yang indah-indah belaka. Dalam pada itu ada orang yang tidak bermimpi. Untuk bermimpi sangat menakutkan. Takut mimpi ngeri menjadi realiti. Lain yang dihajat lain pula yang diterima. Walau bagaimanapun bagi mereka yang boleh belajar, mereka mendapat sesuatu yang besar manfaatnya. Sebagai kiasan benarkah setiap murid harus memuntahkan kembali apa yang diperolehi dari gurunya?  Serba serbinya sama? Atau dikitar dahulu semua yang diterima? Diolah menjadi sesuatu yang berbeza? Akhirnya diperlihatkan kepada khalayak sesuatu yang memperkasa minda. Menambahkan ilmu. Meningkatkan tahap kompeten yang diwajarkan.

Mereka yang bijak bestari tidak inginkan sesuatu yang sama atau serupa dengan apa yang dilihat dan didengar. Dibaca dan dipelajari. Dia harus melahirkan sesuatu yang berbeza dengan yang sedia ada. Melihat sesuatu dengan pandangan yang berbeza. Memberi erti yang berbeza. Mengaplikasikan untuk sesuatu yang berbeza. Wataknya menjadi berbeza. Perawakannya berbeza. Cara berfikirnya berbeza. Mereka bukan melawan arus.  Bukan menyongsang. Mereka telah benar-benar belajar. Mengolah yang diterima untuk menjadikan sesuatu yang berbeza dari norm.  Jika  input dan output adalah sama tentulah dilihat pembelajarna tidak berlaku. Walaupun menghafal adalah satu kaedah pembelajaran tetapi jika tidak ada nilai tambah kepada apa yang dipelajari tentu tidak banyak belajar namanya.

Kita belajar  bukan sahaja untuk mengetahui bahkan juga untuk pandai. Pandai sahaja tidak signifikan jika tidak menampakkan keistimewaan. Menjadi orang biasa kadang-kadang susah juga. Menjadi orang yang luar biasa tentulah lebih susah lagi. Selalunya yang menonjol ialah orang yang luar  biasa. Orang yang bertubuh kecil tetapi gah namanya. Kelihatan lebih besar berbanding dengan orang yang paling besar di sekelilingnya. Tidak pernah dilihat tetapi namanya dikenal orang. Dilihat normal tetapi bila bercakap menusuk jiwa raga. Kulitna bukan putih kuning tetapi kehadirannya menyilaukan mata. Semua orang belajar. Yang paling baik ialah akhirnya dapat mengajar. Memindahkan apa yang ada kepada orang lain. Memandaikan orang lain. Menghebatkan orang lain. Meramaikan lagi orang-orang yang hebat-hebat di sekelilingnya. Penyampaiannya pula bukan cara biasa-biasa. Ada falsafah dan kebijaksanaan.

Begitulah kata Dato’ Siddiq Fadhil. Sekadar mengungkapkan, “Banyaklah berbuat baik dan jangan pula berbuat jahat” tidak mencukupi. Ungkapan begitu terlalu lumrah. Terlalu biasa. Terlalu murah. Tetapi jika dikatakan, “Buat baik jangan sekali, berbuat jahat baik sekali” memberikan impak yang kuat. Tidak boleh dibaca secara tersurat sahaja. Perlu diteliti apa yang tersirat. Read between the lines. Perlu keluar untuk menjangkau pemikiran peringkat tinggi. Sekilas  pandang tulisan begitu nampak negatif.  Di luar kebiasaan. Tetapi jika diperhalusi tentulah maksudnya sangat cantik. Bukankah yang baik itu budi, yang indah itu bahasa? Oleh itu mereka yang benar-benar belajar dapat memberi erti yang lebih meninggi nilainya. Lebih besar impaknya. Lebih bermanfaat kepada lebih ramai khalayak.

 Bila makan, sayur mesti ada. Banyak  faktor kesihatan menyangkut padanya.

 Ini sebahagian dari menunya.

 Dalam pinggan semuany adicampur. Itu belum dalam perut. Nasi ini jika di Parit Raja dinamakan Nasi Pelangi. Warna warni.

 Bila nak mula ni?

 Baru nak mula, sayur dah licin.

 Duduk dulu. Santaikan diri.

 Sedang mendengar ucapan. Mudah-mudahan jangan panjang sangat. Perut dah berkeroncong.

 Jaga sudu dan garpu. Jangan berlaga. Bising satu dewan nanti.

 Sambil makan bertegur sapa dengan mereka yang duduk semeja.

 Arka dari ais. Kena cahaya. Merah jambu jadinya.

 Anak bongsu turut meraikan ibynya. Nur Zahin Rifhan. Baru tamat matrikulasi UIA di Nilai.

 Bersama kakaknya. Anak keenam. Rahumatul Lubna. Eksekutif Human Resource TV Al-Hijrah.

 Menatap hidangan sebelum dibuka tudungnya.

 Bersama teman semeja.

 Belum lagi. Sabar dulu.

 Alu-aluan pengacara.

 Wajah tetamu.

 Antara yang hadir.

 Ucapan Ketua Eksekutif Kolej Dar Al-Hikmah.

 Suasana dalam dewan.

 Masih menanti.

 Ucapan Presiden Kolej. Dato' Dr Sidiq Fadhil.

 Selalu segar dan mengusik hati.

 Ada sahaja yang baru.

 Seorang pemikir.

 Hiburan santai.

 Penuh perasaan.

 Bertuah pula anak seorang ni. Dapat hadiah bertuah. Cemburu juga kakaknya.

 Orang lain dapat juga.

 Ayahnya yang tolong angkat. Berat.

 Kumpulan lain.

 Bersama pensyarahnya.

 Pensyarah yang lain pula.



Tuesday, May 10, 2011

Guru Pelatih

Saban tahun pelatih-pelatih guru keluar ke merata pelosok negara. Hampir kesemua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pelajaran atau Kementerian Pengajian Tinggi dijengah dan dijelajah. Dihuni dan diterjah. Pelatih-pelatih datang dan pergi saban waktu saban tahun silih berganti. Itulah proses-proses awal untuk menjadikan pelatih bakal pendidik berwibawa yang melestarikan kesinambungan warisan bangsanya. Agamanya. Budayanya. Perilakunya. Guru bakal menjadi pewaris ketamadunan bangsanya. Penghubung masa lampau dan masa hadapan. Agen yang melakukan perubahan-perubahan sama ada  ianya dogma. Mungkin indoktrinasi. Atau propaganda. Entah ideologi. Kesemuanya dihimpun untuk menjadikan individu guru itu manusia serba boleh. Yang ketahanan mentalnya mengatasi ketahanan fizikalnya. Yang ketahanan emosinya mengatasi ketahanan spiritualnya. Yang berjaya mengatasi segala paradox. Berjaya mengharmonikan segala yang tidak kongruen. Segala yang devian. Yang kontradik.

Sebagai perintang waktu, ada dua peristiwa yang saya alami dalam dua minggu yang lalu. Pertamanya di sebuah institusi pendidikan saya disanggah. Ungkapan-ungkapan awalnya seolah-olah dia tidak mengetahui program yang sudah dihubungkan dengan institusi jagaannya. Lalu di mempersoalkan kemampuan pelatih-pelatih yang terdahulu. Ada rasa ketidakpuasan di hatinya. Tersentap saya. Kali pertama bertemu sudah ada cabaran. Saya perasan ketua eksekutif institut itu melihat saya seperti seorang pensyarah muda. Tanpa title Prof. atau Dr. Mulalah dia berkata sesuatu yang agak menggamit rasa hati saya. Tersentuh seketika. Ada raas-rasa bisa mencengkam di dalam. Di lubuk hati terasa ada tikaman. Walaupun tidak dalam, terkesan juga. Mungkin berparut antara nampak dengan tidak. Bagaimana harus saya katakan. Jika boleh dalam bahasa yang selembut mungkin. Seseni mungkin. Dalam bahasa yang menghalalkan bicara. Apabila ada orang memandang negatif saya amat perasan. Amat maklum. Kata orang tua-tua dahulu bahawa mereka telah terlebih dahulu makan garam. Tidak bermakna mereka makan berkapal-kapal garam. Falsafahnya tentulah mendalam. Mendasar. Mungkin menusuk. Garam itu bermaksud pengalaman dalam bidang yang begitu relevan dengan topik yang dalam lingkungan perbicaraan. Bahasa tubuhnya memperlihatkan kurangnya minat. Butir-butir  bahasa yang dilontarkan memberi gambaran seolah-olah saya junior dari segi usia. Ada terasa bahawa pangkatnya lebih tinggi. Mungkin kerana dia merasa lebih tua.

Sekilas ikan di air, kata orang, dapat dikenal jantan dan betinanya. Kita datang dari pengalaman lama. Yang sudah bertimbun-timbun lamanya. Barangkali kesilapan kita ialah memperkecilkan orang lain. Memandang rendah orang lain. Memperkatakan sesuatu yang orang selalu dipaksa untuk akur. Mencadangkan sesuatu yang tidak kena konteks masa dan tempat. Di luar tajuk. Out of the box. Apa lagi jika kita bertemu pada kali pertama. Pilihan kita ialah sama ada untuk mencipta suasana cinta pandang pertama atau benci pandang pertama. Ramai orang sebenarnya memilih yang kedua. Fitrahnya begitu kerana ia ingin menonjolkan diri. Tentu menyalahi prinsip kaunseling. Yang sebaiknya ialah banyak bertanya. Banyak mendengar. Banyak meminta maklumat. Bila data-data itu sudah ada, barulah mula membuat analisis. Selepas itu buatlah komen yang membina.  Bukan menidakkan apa yang ada. Buat kesimpulan awal. Buat konsep yang salah. Memberi pendapat yang di luar konteks. Apatah lagi jika kita menjadi “boss”. Kepekaan terhadap kehadiran orang lain lebih diperlukan lagi. Berganda-ganda perlunya.

Begitulah. Berdasarkan pengalaman yang ada pendapatnya saya sanggah kembali. Saya tanyakan kembali apa maksud lontaran komennya. Saya mohon butir-butirnya yang lebih sempurna. Setelah kesemuanya berada sebagai input, saya tembak kembali bertalu-talu. Saya betulkan konsep yang cuba diketengahkannya. Saya betulkan salah maklumat yang dikemukakannya. Benarlah kadang-kadang untuk berurusan dengan orang di luar sana, diperlukan bukan sahaja orang yang punya kedudukan tinggi bahkan juga yang pengalamannya mengatasi sesuatu situasai. Jika tidak, orang memandang remeh. Sebab itu jangan pandang usia dan kedudukan. Hormati mereka kesemuanya dengan adil. Mungkin banyak yang perlu kita pelajari dari orang lain. Proses belajar itu tidak pernah surut. Ia sentiasa pasang. Memberikan kita peluang mengapungkan diri dalam samudera agama. Akademik atau pengurusan atau kesejahteraan sosial.

Peristiwa kedua berlaku juga dalam institusi pendidikan.  Bila saya duduk untuk mendaftar mata pelajaran kerani yang bertugas terlalu lama merenung borang saya. Hati saya berkata-kata. Dia susah membaca butiran yang saya tulis atau ada maklumat yang tidak sempurna. Atau ada sebab lain. Berdetik juga hati saya kerana saya kira borang saya telah saya lengkapkan. Akhirnya dia memandang saya dan bertanya sama ada saya membayar minimum. Saya katakan bahawa maklumat yang ada saya membayar penuh. Banyak soal pula dia. Lazimnya dalam beberapa minit sudah selesai. Kali ini lebih panjang lagi. lama juga duduk. Rupanya dia banyak melihat muka dan perawakan saya. Dia tidak dapat menghubungkan diri saya dengan borang pendaftaran yang ada di tangannya. Dia tidak membaca  butiran-butiran yang ada. Saya tidak pernah mendaftar sebegitu lama. Lazimnya pada semester yang lalu pendaftaran saya mengambil masa yang sangat singkat. Tiada soal jawab. Tiada pertanyaan. Tiada keraguan.

Kerana agak lama sayapun bertanya tentang masalahnya. Dia masih lagi teragak-agak dengan borang  saya yang ada ditangannya. Dia masih lagi kurang yakin. Lalu saya katakan kepadanya bahawa saya warga emas. Lama dia pandang muka saya. Mencari kepastian. Baru dia melihat butiran yang mudah untuk mengesahkan pernyataan saya. Yang paling mudah tentulah kad pengenalan. Dua nombor di pangkal kad pengenalan saya ialah 46. Yang bijak matematik terus dapat mencari angka jawapanya. Umur saya 65 tahun. Pada mulanya mungkin dia ragu. Saya kelihatan tidak setua itu. Itu rezeki saya. Wajah tidak setua umur. Bila dia faham umur saya, dia bertanya pula kepada rakan kerani di sebelahnya. Berapa diskaun untuk warga emas. Dalam hati saya berkata, dia tidak maklum rupanya. Spontan saya jawab, “75 %”. Senyum dia. Sama ada dia akur dengan jawapan saya atau senyum kerana ketidakarifanya. Wallahu ‘alam. Bertugas dalam keadaan tidak bersedia menyukarkan. Bertugas dengan tidak  maklum melambat-lambatkan proses kerja.

Kembali kepada guru pelatih. Sebahagian daripada anda sudah berada di lapangan. Sudah merasa gelanggang itu tinggi dan rendahnya. Luas dan sempitnya. Tinggi dan rendahnya lantai yang ada. Ada dua keadaan yang mesti diperhati dan difahami. Di mana anda berada pandangan orang lain tentulah berbagai terhadap diri anda. Namun begitu dapat saya kategorikan kepada dua. Pertama yang menerima anda seadanya. Berasa bertanggungjawab untuk membantu. Bersedia untuk membimbing. Mengasuh. Memberi tunjuk ajar. Coaching. Sifat empati yang tinggi. Segar memberi layanan. Ada kehangatan yang terasa di hati. Anda nampak seri itu pada tutur kata dan bahasa tubuh yang diperlihatkan kepada anda. Lihat mata mereka. Sejuk dan mendamaikan. Terasa ringan dan menggembirakan dalam suasana itu. Anda bertuah kerana berada dalam iklim institusi yang positif dan progresif. Banyak membantu untuk menghayati reality kehidupan dalam lingkungan pendidikan.

Anda banyak belajar. Yang hendak memberi tunjuk ajar silih berganti. Berkongsi pengalaman indah dalam dunia pendidikan yang dicintai mereka. Tugas pelatih seperti anda dipermudahkan kerana mereka yang ada di sekeliling anda bersedia membantu. Anda datang sebagai pelatih yang baru bertatih. Belum boleh berjalan sendiri. Belum boleh berlari. Bangunnya masih banyak duduknya. Terjatuh bila-bila masa sahaja. Yang menghulur tangan terlalu ramai. Anda tenang. Anda diberi keyakinan untuk mencuba dan terus mencuba. Jatuh dan bangun itu membantu mematangkan pengamalan bari guru muda seperti anda. Yang datang ke lapangan memang untuk belajar. Untuk memperbaiki diri. Untuk menyempurnakan latihan yang pasti penuh makna besar untuk menjadi asas kehidupan profesional. Tahniah kerana anda berada dalam situasai yang memberangsangkan.

Di suatu sudut yang lain ada antara anda yang berada dalam situasai yang sedikit berbeza. Di pintu masuk ke institusi lagi anda sudah mengesan sesuatu yang keras. Mugknin kaku. Udara terasa bernafas. Sesak nafas semasa meneruskan langkah. Angin terasa keras. Suhu sedikit tinggi. Tembok dan dinding membahang. Bukan kerana api. Bukan kerana elektrik. Bukan kerana panasnya matahari. Mungkin ada kepanasan hati dalam kalangan warga institusi. Melangkah sahaja anda ke tempat itu bahang panas itu rasa menampar-nampar perasaan. Bertemu mereka yang lebih senior seperti tidak mendapat layanan yang diharap oleh orang yang datang seperti anda. Seperti tidak diperlukan. Mereka sudah cukup dengan bilangan yang ada. Anda datang untuk menambah cerita yang semakin berpanjangan. Mata yang sukar diangkat. Menunduk enggan berbicara. Lerek mata mereka tiada damai yang menyejukkan. Dalam keadaan seperti itu sarang tebuan tentulah jangan dijolok.

Pesan saya banyak. Datang bertandang ke lubuk orang berpijaklah di bumi nyata. Datang sebagai orang belajar yang membuka hati dan perasaan untuk banyak mendengar. Untuk banyak memandang. Untuk banyak menyimpan perasaan. Jangan dan jangan sekali mendongak bila berjalan. Jangan hidung ditinggi-tinggikan. Memandang yang hak sahaja. Ketawa jangan berbunyi. Senyum diperbanyakkan. Keletah hendaklah dijaga. Berbicara dengan isi dan maklumat yang banyak. Berkenalan dengan setulusnya. Berkawan dengan seikhlasnya. Anda sedang berusaha untuk hidup bersama dengan orang lain yang berlainan latar belakang. Berlainan usia. Berlainan pengalaman. Belajarlah semampunya. Memang itupun kenapa anda berada di  lapangan. Untuk menimba ilmu dan kemahiran dari mereka yang lebih arif.

Setiap tindakanmu jangan diputuskan sendiri. Bertanyalah setiap perincian kepada pembimbing. Minta pendapatnya. Pohon petunjuknya. Dapatkan padangannya. Rayu ilmunya. Perhati kemahirannya. Setiap langkahnya mestilah mengandungi makna-makna besar sebagai pendidik yang pernah melalui zaman naik dan turunnya. Pengalamannya memberikan suatu kewibawaan yang boleh dipelajari. Dituruti dan dihayati. Pergerakanmu diintai dan diperhati. Tindakanmu diberi nilai. Ada angka-angka yang terakam bermakan untuk anda. Belajarlah. Di luar sana ramai yag ragu tentang kemampuanmu. Tentang keupayaanmu. Tentang apa yang bakal anda serlahkan. Mereka menanti bahawa anda datang dengan ukuran pelatih-pelatih sebelum anda dahulu. Penanda arasnya sudah ada. Adakah anda memenuhi kriteria penanda aras itu? Adakah nanti anda berada di atas aras itu? Malanglah jika anda berada di bawah aras itu. Malang bagi anda. Malang bagi institusi yang melatih anda. Malang bagi profesion yang anda ceburi.

Menjadi guru banyak cabarannya. Kita mengharapkan bantuan yang tidak terkira dari guru-guru berpengalaman di manapun institusi anda ditempatkan. Diharapkan kesinambungan latihan itu berkekalan kitarannya. Mereka yang berpengalaman pernah melalui zaman yang anda lalui sekarang. Barangkal sedikit pengertian memberikan makna yang besar dalam langkah-langkah anda menuju destinasi latihan anda. Belajar dari mereka yang sudi memberi. Yang memahami dilema pelatih.  Peluang anda menyerlahkan diri. Membina keyakinan bahawa anda mampu menjadi pendidik berwibawa. Yang profesionalismnya sangat mengawan tinggi. Sangat mengujakan untuk dijawat jawatan pendidik yang banyak manfaatnya.

Pada akhirnya nanti anda berusahalah untuk memberikan tanggapan yang positif. Yang memberikan erti baik kepada diri dan institusi. Bahawa nanti anda adalah pelatih yang bukan calang-calang. Ada keseriusan menjalani latihan. Seolah-olah antara hidup atau mati. Galaslah beban latihan itu supaya membuahkan hasil terbaik sebagai bekal masa hadapan anda nanti.  Sewaktu di institusi tempat anda belajar suasanya terkawal. Seperti dalam makmal lagaknya. Sekarang anda di alam yang terbentang luas. Semua mata memandang anda. Semua telinga mengendar cerita anda. Semua hati membuat penilaian-penilaian.

Alam maya inilah penghubung saya. Ada kesempatan boleh berbicara. InsyaAllah kesemuanya biasa-biasa sahaja. Sekadar pesan orang tua.

Friday, May 6, 2011

Melatih Anak Supaya Mengerti


Sebagai ibu bapa tentu ada saat-saat yang membahagiakan. Mencium anak yang sentiasa wangi. Sewangi bayi. Dari tubuh badannya semerbak bau kasih yang indah gemilang. Menyentuh bayi menjadi suatu ketagihan. Suatu kerinduan. Menciumnya menjadi suatu kemestian. Mengulitnya sangat mendekatkan hati. Memegang dan menimang sesuatu yang sukar dimengerti rasa puas yang menyerap ke segenap urat saraf. Itulah tanda kasih bapa kepada ibunya. Itulah tanda kasih ibu kepada bapanya. Bagi si anak kasih ibu membawa ke syurga. Kasih bapa berkorban nyawa. Bait-bait lagu Allahyarhamah Saloma.

Anak yang dalam kandungan sudah lama diangan-angankan supaya lahirnyn meyerlahkan segala-galanya yang baik. Tanpa kecuali ibu bapa mahaukan anak-anaknya menjadi yang terbaik. Doa mereka berjela-jela supaya anaknya menjadi orang soleh. Anak yang solehah. Bijak bestari. Bijaksana. Memiliki kecerdasan minda yang tiada tolok bandingnya. Tinggi harapan supaya anak-anak menjadi seperti mereka yang terbilang. Yang namanya gah dari dahulu hingga sekarang. Yang namanya disebut-sebut sebagai cendekiawan.

Tidak ada ibu bapa yang terkecuali. Harapan selalu tinggi. Cuba mencipta masa hadapan anak yang gemilang. Yang berkeupayaan mencipta kejayaan. Yang membawa harapan agamanya. Bangsanya. Keluarganya. Dia menjadi obor yang menerangi. Bukan onak dan duri yang meranjaui masyarakat. Bukan lopak-lopak yang menyusahka bila hari hujan. Bukan batu-batu yang menghalang jalan. Bukan semak yang menyembunyikan bahaya-bahaya haiwan melata yan berbisa. Harapan ibu bapa sangat besar agar nanti anaknya menjadi manusia berguna. Berbakti.  Berjasa. Menjadi contoh tauladan. Ikutan.

Dalam usaha mengasuh inilah ibu bapa selalu kehilangan punca. Caranya? Jadualnya?  Modulnya? Penilaiannya? Ujian-ujian yang digubal dan dilaksanakan? Fasilitatornya? Pusat sumbernya? Perujuknya? Mendidik anak bukan seperti memasak. Rutin yang sama menghasilkan produk yang sama. Jika kesemuanya dipatuhi maka hasil masakannya akan sentiasa sama. Mendidik manusia sangat jauh berbeza. Anak-anak dari ibu bapa yang sama tidak dapat dihasilkan menjadi produk yang standard. Tidak boleh sama. Ada trait dan tingkah laku yang berlainan antara individu yang adik beradik. Memberikan layanan yang sama memudaratkan jalan fikir mereka. Menyekat perkembangan minda. Tiada kreativiti. Mindanya akan lemah kerana tidak dibenarkan berfikir. Membenarkan yang rasional. Menidakkan yang kontradik.

Sebenarnya ibu bapa perlu menjadi guru professional. Malangnya perkara itu tidka pernah diperbincangkan dalam kursus praperkahwinan. Mereka perlu belajar falsafah. Semua bidang falsafah. Menjadi pendakwah. Pakar motivasi. Bijak menggunakan psikologi. Kaunseling dan bimbingan. Tahu teknik mendidik anak. Ibu bapa yang secara profesionalnya adalah guru memiliki kelebihan tersebut. Malangnya tidak ramai saudara mara yang mengikut. Tidak ramai jiran tetanggan yang mencontohinya. Tidak rama rakan taulan yang mencubanya. Mereka hanya melihat anak-anak guru menjulang langit. Mereka senang tinggal di bawah. Tenang dan menjadi leka. Bukan untuk meniru dan mendapatkan limpahannya. Menjadi kaku beku.

Saya perturunkan di sini cara melatih anak-anak kecil supaya tidak melakukan perkara-perkara yang terlarang. Mungkin panas. Atau kotor. Atau apa sahaja yang pada pandangan kita tidak baik. Mulakan seberapa awal yang boleh. Maksud saya apabila mereka mula mengerti. Mungkin ketika berusia sembilan bulan atau lebih awal sudah boleh dimulakan. Kanak-kanak memang mengambil masa yang agak lama untuk belajar mengawal jadual membuang air besar dan air kecil. Bila ada masa latih mereka. Terutama ketika bercuti. Apabila sudah dimulakan dia akan terbiasa dengan sendirinya.

Sebelum tidur latih mereka untuk membuang air. Untuk membiasakan mereka supaya tidak kencing malam. Bangun sahaja dari tidur periksa sama ada sudah membuang air atau belum. Jika sudah cari waktu lain yang sesuai. Ketika dia bangun tidur dalam keadaan kering cepat-cepat buka diapernya. Bawa ke bilik air. Dudukkan supaya dia membuang air. Selepas sekali dua dai akan merasakan bahawa buang air hanya di bilik air. Bukan sewaktu memakai diaper. Bila sudah terbiasa dia tidak akan membuang air selagi belum dibuka diapernya dan sebelum dibawa ke bilik air.  Saya pernah melakukannya. Malangnya hanya anak ketiga sahaja yang sempat saya buat begitu. Yang lain tidak. Sudah agak sibuk ketika itu.

Semasa mendodoikannnya ikutlah seperti orang tua-tua dahulu. Yang dirimakan ialah syahadah. Selawat atau ayat-ayat al-Quran. Sejak dari kecil anak-anak itu dekat dengan Allahnya. Dengan Rasulnya. Dengan agamanya. Dengan fitrah kemanusiaannya.. Hatinya jadi lembut. Akur dengan kebaikan. Akhlaknya dibentuk cintakan agama. Pemikirannya Islamik. Bina kecintaannya kepada agama. Jika sekarang bunyinya seperti nasyid. Mungkin juga tetapi tiada iringan muziknya ketika itu. Jangalah menyanyi. Nyanyian hanya melampiaskan kemerduan suara. Anak-anak itu tidak diajar mencintai Allah. RasulNya. KitabNya. Jika dari kecil dia dijauhkan dari fitrah agamanya maka bila dewasa tentu mereka menjadi liar. Seliar makhluk lain yang tiada bertuan. Semuanya kerana kita tidak memperkenalkan Yang Maha Penciptanya sejak bayi lagi. Kita tidak memperingatkan mereka tentang tanggungjawab agama kepada mereka. Jalan mereka semakin menyimpang jauh.

Menjaga bayi dan anak-anak kecil penuh risiko. Banyak yang boleh mengakibatkan kemalangan. Semua yang di sekeliling bayi adalah membahayakan. Apabila mereka sudah mula mengesot pengwasan perlu ditingkatkan.  Bila mereka mula berdiri pengawasannya semakin meningkat. Bila mereka mula berjalan berganda lagi pengawasan yang diperlukan. Bagaimana hendak melarang mereka dari melakukan sesuatu yang mungkin mendatangkan mudarat. Tangan bayi cepat menggapai apa sahaja yang dapat dicapai dengan tangan. Akan dipegang. Akan ditarik. Akan direntap. Gelas umpamanya. Jika direntap dari meja pasti jatuh ke lantai. Pecah berderai. Luluh hancur. Hairankan, ada ibu bapa hanya ketawa. Anak itupun turut ketawa. Perbuatannya dianggap melucukan. Nanti persepsinya menjadi songsang. Melakukan keburukan adalah suka-suka. Sesuatu yang melucukan. Siapa mengajar mereka? Di sinilah ibu bapa perlu arif dengan peranan sebagai ahli keluarga. Mendidik bukan melatih mereka menjadi pemain-pemain tanpa matlamat.

Bagi saya melarang anak mudah sahaja. Pegang gelas yang hendak dicapai. Pegang tangannya dengan lembut. Jangan sampai menyakitkan. Pandang matanya dalam-dalam. Sebut perlahan-lahan. Lambat-lambat. Sedikit keras. Brdesir. Sebut ‘Jangan’. Panjangkan ekornya semasa menyebut. Mungkin beberapa harakat. Jangaaaaaaaan! Ulang banyak kali. Setiap kali semakin sedikit meninggi. Ubahsuai intonasinya. Dari jangaaaaan menjadi jaaaangaaaan. Atau ja….ngan. Gunakan jari telunjuk untuk memberi isyarat supaya jangan melakukan perbuatan yang kita larang itu.  Lazimnya untuk beberapa ketika dia akan memandang untuk mempastikan larangan yang didengarnya itu. Terus sebut lagi berulang-ulang. Kemungkinannya dia akan menangis. Ketika itu tenangkan dia. Peluk dan cium. Dokong dan kelek. Perbuatan itu memberi jaminan bahawa larangan itu adalah pernyataan kasih sayang. Bukan benci atau dendam. InsyaAllah dalam hal-hal yang lain latihan itu boleh dijalankan. Lihatlah nanti hasilnya. Mendidik anak menjadi lebih mudah. Silakan mencuba hari ini juga. Selamat mendidik.

Thursday, May 5, 2011

Didikan Dengan Hikmah


Suatu hari saya ke rumah seorang kenalan isteri saya. Ramai penghuni rumah itu. Si nenek bekerja menjahit langsir. Dibantu suami dan anak-anak. Cucu beberapa orang. Masih kecil-kecil belaka. Ada sesuatu yang sukar hendak diceritakan. Lazimnya bila ada orang membuat kerja komersil di rumah keadaan rumah itu tentu tidak terurus. Tentu dilihat longgokan kain merata-rata. Bayangkan proses menerima tempahan tidak mengira waktu. Perlu direntang dan dibentang. Diukur dan disukat. Dipotong dan dijahit. Jika kain tidak bersepah tentu sekali benang dan cebisan kain bersepah-sepah. Rumah? Aduhai! Lazimnya tidak teratur. Lanskap hanya cerita. Dekorasi dalaman hanya impian. Tetamu rasa lemas dengan keadaan.

Namun di rumah itu berlainan sekali keadaannya. Ruang tempat bekerja sangat teratur.  Masih senang melangkah. Senang berjalan. Senang duduk. Senang berurusan. Senang membuat kerja. Ruang tamu rumah itu seperti tidak pernah disentuh orang. Barang-barang hiasan melekap dan melekat di dinding. Di lantai dan di penjuru. Di setiap ruang ada hiasannya sendiri. Bukan plastik. Bukan kayu. Bukan kertas. Kristal, kaca dan tembikar. Di sepanjang tangga hendak ke tingkat atas berderet-deret barangan tembikar. Tiada siapa yang mengusik. Tiada siapa yang hairan. Cucu-cucu? Langsung tidak mengambil kisah. Seolah-olah barang-barang itu sudah diketahui bukan mainan. Bukan untuk diusik dan dibuat main. Mereka maklum yang mana mainan dan yang mana hiasan. Bila ditanya, kenalan itu hanya senyum. Tidak katanya. Cucunya tidak langsung berminat dengan kesemuanya itu. Rahsianya? Mari sama-sama kita renungi.

Bagaimana kita mendidik anak sebenarnya. Ada teknik tertentu ke? Di mana boleh belajar? Banyak sudah saya tulis mengenai pasangan hidup. Ada sedikit panduan-panduan yang boleh digunakan sebagai kayu pengukur. Berkongsi dengan pengalaman orang lain. Mendidik anak bukan bermula dari waktu mereka mengerti suara dan kata. Mendidik mereka bermula dari proses memilih pasangan. Bermula sewaktu kita mula jeling dan perasan dijeling. Sewaktu mula melemparkan senyum. Ketika senyum berbalas. Lalu mata bertentang mata. Ada makna dalam lerek dan lentok kepala. Bahasa tubuh yang mengena. Siapa yang tuan pandang. Siapa yang puan lihat. Pernah menjangkau ke hadapan bahawa itulah proses pertama mendidik anak. Panduan agama sangat jelas jika diamati dan dimengerti maknanya.

Pilih yang cantik supaya mata sentiasa sejuk memandangnya. Ada ketenangan supaya tidak memandang yang lain. Yang bukan hak. Yang di depan mata mengatasi segala-galanya. Cari pula yang kaya supaya nanti tidak menyusahkan hidup. Ada tempat bersandar. Berupaya untuk menjalani hidup dengan lebih yakin dan berjaya. Cari mereka yanag datang dari keluarga baik-baik. Akhlaknyabaik. Mendengar kata. Menurut arahan. Memiliki kebestarian berfikir. Bebas dari penyakit berbahaya. Jika ketiga-tiganya sukar dicari. Atau mungkin tidak mampu mencarinya maka alternatif yang ada ialah memilih yang kuat beragama. Rajin solat dan berpuasa. Pandai agama dan mengaji al-Quran. Hatinya baik kerana selalu bermurah hati. Pentingkan orang kain sebelum membela diri. Semuanya ala kadar. Gembira dan ceria. Damai dan bahagia. Mukanya manis walaupun tidak cantik. Mukanya jernih walaupun tidak berharta. Redup pandangan matanya walaupun tiada apa yang boleh dibanggakan. Akhirmya pilihan yang terbaik mungkin sekadar cantik di hati, kaya akhlak mulia, memberi yang terbaik dan agamanya selalu dipertahankan. Itulah kecantikan, kekayaan, kebaikan dan nilai-nilai agama yang sebenarnya. Yang lain-lain hanya sementara sahaja. Kebaikan akan berkekalan juga yang lebih lama dari kekayaan wang ringgit.

Seperti kenalan saya itu dia mendidk cucunya sewaktu janinnya masih dalam perut anaknya. Dia berpesan sangat-sangat supaya cucunya menjadi orang baik-baik. Tolong menjaga rumah neneknya. Tidak mengganggu barang-barang dalam rumah neneknya. Sama-sama menjaganya. Menyanyanginya. Banyaklah dia berdoa untuk dianugerahkan dengan cucu-cucu yang mendengar kata. Benarlah doanya dimakbulkan Allah. Cucu-cucunya dilahirkan memberikan yang terbaik untuk neneknya. Mereka memberi ketenangan. Menjadi hiburan keluarga. Boleh dibentuk dan dididik. Diasuh dan dibimbing. Mungkin apabila matanya melihat alam, ingatannya kembali kepada pesan neneknya sewaktu di alam rahim dahulu. Neneknya telah menyatakan kasih sayangnya. Dia diberi panduan cara terbaik untuk membalas ingatan neneknya. Natijahnya cucu-cucu itu memberikan sumber kebahagiaan.

Cucu saya yang kesebelas adalah lelaki. Biasalah budak lelaki. Sifat kelelakiannya suka bermain dan bersepah. Tetapi dalam  hal-hal tententu dia melihat, belajar dan melaksanakan apa yang dipelajari. Kerana selalu melihat ibunya memvakum sampah, maka dia pandai menggayakan cara ibunya. Keluarga datunya yang sebelah bapa hingga kagum dengan keletahnya. Tahu membuang sampah ke tong sampah di dapur.Apabila hendak keluar rumah, dia yang mematikan TV. Dia keluar pintu dengan membawa seliparnya sendiri. Nanti bila balik dia sendiri yang menyusun seliparnya di tempat letak seliparnya. Bila ibunya mula mengangkat kain, dia sibuk mengangkat pakaiannya sendiri. Saya kata kepada isteri saya, jika semua cucu sepertinya, seberapa ramaipun tidak mengapa. Yang masih kecilpun sudah mula mengurus dirinya sendiri. Ibunya hanya bercakap sepatah dua.

Di luar sana terlalu ramai orang yang berkata bahawa mereka tidak dapat mengawal anak-anak mereka. Kawan-kawan mereka yang menentukan kehidupan mereka. Tidak lekat di rumah. Malas belajar. Tiada cita-cita. Semangatnya lemah. Pandangan hidupnya sempit. Wawasannya terhijab. Pandangannya kabur.  Lalu kita mungkin ingin bertanya. Dari mana anak-anak itu datang? Dari benih siapa anak-anak itu? Bagi yang sudah berkahwin jangan sesali keadaan. Berusaha untuk ke hadapan. Bagi yang belum berkahwin, pelajarilah panduan-panduan mencari pasangan. Kasih sayang kedua suami isteri itu akan melahirkan anak-anak. Yang bagaimana agaknya? Ia  bergantung kepada dari mana ibu dan bapanya datang? Jika dari tempat yang baik maka baiklah anak itu. Jika ada keraguan dari mana datangnya maka anak itu juga mempamerkan keraguan dalam pembawaan dirinya. Menjadi anak-anak yang kacau kelakuan dan kacau fikiran.

Pesan saya ialah ibu bapa tidak boleh mengasingkan diri. Ingat bagaimana ibu bapa mereka mendidik dahulu. Aplikasikan kepada anak-anak mereka. Itu bukan caranya. Masa sudah berubah. Waktu kita kecil dahulu memang benar begitu. Suasananya begitu. Sekarang persekitaran sudah berubah. Jalan berfikir sudah berubah. Mereka ke hadapan dan tidak menoleh ke belakang. Banyak yang prlu dihambat. Dikejar. Kembalilah ke dasar pendidikan. Keibubapaan bukan sekadar memberi makan dan minum. Membelikan pakaian dan menyediakan tempat tinggal. Banyak ilmu dari segi agama dan sosial yang boleh dijadikan iktibar. Belajarlah dari orang-orang yang lebih dulu makan garam. Pilih-pilih orang. Pastikan garam yang mereka makan bukan yang memberi penyakit. Garam itu masin. Masin itu penyakit. Ibu bapa yang bijak mereka tahu menyukat banyak mana garam yang diperlukan.

Tolong jangan hilang kawalan ke atas anak. Dia anak tuan. Dia anak puan. Puan yang mengandungkannya. Puan yang menysusukannya. Puan yang menyuapkannya. Puan yang membimbingnya dari bertatih hingga berlari.  Belajar bermain layang-layang dengan anak. Bila terbangnya terlalu tinggi. Tarik perlahan-lahan supaya turun. Tidak boleh direntap takut nanti putus dan hilang arah. Jika dilepaskan juga hilang arah. InsyaAllah banyakkan solat malam dan banyak berdoa. Mudah-mudahan Allah memberi ruang-ruang untuk menuju kebahagiaaan membesarkan anak-anak.

Tuesday, May 3, 2011

Ziarah Ke Sekolah

Bila anak-anak bersekolah ibu bapa beranggapan anak-anak mereka dalam jagaan guru dengan sempurna. Tidak ramai ibu bapa yang memahami bahawa anak mereka tidak ada siapa yang menjaganya secara khusus. Sila baca kembali Selamatkah Anak Kita Di Sekolah? Secara umumnya pihak berkuasa sekolah yang bertanggungjawab. Tetapi bukan setiap detik dan saat. Hanya ketika pelajar memerlukan khidmat pihak sekolah barulah mereka bertindak secara khusus. Jika tidak anak-anak hidup bebas tetapi terkawal dengan undang-undang dan peraturan. Namun begitu biasa kita dengar bahawa anak-anak berada di luar kawalan guru. Mereka melakukan hal-hal yang tidak sepatutnya mereka lakukan. Malah yang ganas sering kita dengar. Sering kita baca di dada media cetak. Sering kita dengar dalam media elektronik.

Kita merasakan guru-guru adalah pengganti ibu bapa sewaktu di sekolah. Barangkali itu nostalgia masa lalu. Zaman saya di sekolah dahulu. Zaman sekolah adalah untuk belajar. Mungkin bermain. Cukup masa mengambil peperiksaan. Lulus atau tida bukan masalahnya. Kerja banyak. Pilih mengikut kelayakan. Ramai kawan-kawan saya yang hanya melalui tingkatan dua  boleh menjadi tentera atau polis. Hidup mereka santai. Bahagia nampaknya walaupun bukan gaji empat angka atau lima angka. Semuanya seperti sangat murah ketika itu. Kos hidup rendah. Kuasa beli Nampak tinggi. Taraf hidup belum difikirkan lagi.  Hidup lebih santai. Tidak kepoh seperti sekarang. Hidup sekarang dalam zaman siber ini terlalu pantas. Tiada ruang untuk muasabah diri kadang-kadang. Malah ramai yang lupa dirinya siapa sebenarnya. Ramai yang kehilangan peranan.

Anak-anak dahulu seperti saya jarang bermimpi. Jika adapun mimpi yang biasa-biasa. Sesuai dengan pengalaman yang terlalu sedikit. Jauh di hujung kampung. Terpencil di luar bandar.  Saya nampak kapalterbang yang lalu di angkasa kampung saya. Yang saya minat lampunya berkelip-kelip dilihat dari bawah. Zaman itu tidak sekelumitpun timbul keinginan untuk satu hari nanti berada di dalamnya. Terbang merentas angkasaraya yang terbuka terbentang. Waktu  di sekolah saya dan rakan-rakan sesekolah saya bukan seperti anak-anak sekolah seperti sekarang. Masa berlalu. Zaman beralih. Waktu sudah menjelmakan hal-hal yang dahulunya tidak pernah difikirkan. Kadang-kadang kita kehilangan upaya menangani anak-anak yang jauh berubah. Jarak masa puluhan tahun merubah lanskap anak-anak. Yang namanya anak itu fizikalnya sama. Tetapi perangai dan dalaman mereka berbeza. Ramai ibu bapa tidak dapat membaca apa yang tersirat dalam diri anak-anak mereka.

Apa sebenarnya yang berlaku sukar dianalisis. Sebagai guru saya hanya boleh mengumpul sedikit ingatan. Menyimpul apa yang saya lihat. Mengurai apa yang saya dengar. Pengamatan saya selama 42 tahun mungkin boleh saya kongsi. Mungkin hanya benar mengikut persepsi saya. Orang lain ada persepsinya sendiri. Walau bagaimanapun mungkin ada perbezaan pendapat yang boleh diharmonikan. Yang boleh diraikan. Mungkin juga boleh dimanfaatkan. Sebagai individu kita tidak boleh menafikan pendapat orang lain. Bagi orang Barat bila mereka berdebat dan tidak ada rumusannya maka mereka buat kesimpulan mudah. Anda berhak dengan pendapat anda. Saya pula berhak dengan pendapat saya. Boleh kita bersetuju bahawa kita tidak bersetuju pendapat? Mari kita raikan perbezaan itu. Lalu mereka makan dan minum bersama. Berbual mengenai topik-topik lain yang lebih santai. Begitulah orang yang sudah tinggi tamadunnya dalam aspek itu.

Seingat saya ibu bapa dahulu bekerja juga. Sekarang juga bekerja. Apa bezanya? Di sini ada masalah besar. Ramai yang maklum. Ramai yang tahu. Soalanya, bagaimana boleh jadi begitu? Pertamanya jadual kerja. Ibu bapa dahulu kerja kampung. Menoreh getah. Mebas kebun. Menggali parit sempadan atau untuk saliran. Mengait kelapa. Mengupasnya. Menyalai. Atau menyucuk atap rembia. Atau menebang sagu. Atau mencari kopi. Atau berkebun. Pisang dan jagung. Keladi dan peria. Kacang panjang dan bendi. Bersawah. Menjadi nelayan. Tengahari mereka kembali dan berada di rumah. Makan bersama anak-anak. Selepas Zohor mereka mungkin ke kebun lagi. Buat kerja lain. Sebelum waktu ‘Asar mereka sudah juga berada di rumah. Waktu malam ibu bapa tidak keluar rumah. Jika ada kenduri kendarapun mereka balik juga pada waktunya.

Ini bermakna setiap pergerakan anak adalah dalam pengawasan rapi ibu bapa. Waktunya tidak pernah berselang. Tiada waktu senggang yang ibu bapa tidak memberi pengawasan. Jadual harian ibu bapa tidak memungkinkan mereka mengabaikan anak-anak walaupun sedikit. Semuanya terjamin begitu. Tetap. Kekal. Malar. Maka anak-anak selamat dalam fitrahnya sebagai anak. Jika mereka bersekolah mereka menjadi anak-anak yang aman damai. Bahagia. Tenang dan selamat. Yakin diri. Berdikari pula. Tidak ada gangguan rohani dan perasaan. Mereka adalah anak-anak yang apabila cukup tahun tercatat kelakuannya sebagai baik. Itu pengakuan guru kelas. Itu juga pengakuan Guru Besar atau Pengetua.

Siapa ibu bapa sekarang? Benar mereka bekerja. Bukan. Mereka berkerjaya. Profesional lagi. Apa yang kita lihat. Hidup mereka bergerak pantas. 24 jam tidak cukup. Banyak tugas di luar rumah. Di luar kawasan. Berhari-hari tiada di rumah. Berminggu atau mungkin berbulan-bulan berada di luar rumah. Tugas rasmi. Jika mereka di rumahpun hanya beberapa jam lekat di rumah. Kerja ikut syif. Ada masanya siang. Kebanyakan masa malam pula. Untuk mengumpul duit yang lebih banyak. Keperluan rumahtangga. Perkakas dapur. Perkakas rumah. Aksesori lain. Cuti. Pakaian. Makan sedap. Kerana itu banyak masa mereka di luar rumah. Balik tidak tentu masa. Tidak tentu hari. Tidak tentu minggu atau bulan. Bila mereka memantau anak-anak? Bila boleh makan bersama? Bila boleh menyediakan masa kualiti? Santai bersama? Rempah ratus yang menjadi ramuan mendidik anak sudah lama hilang. Anak-anak menjadi produk yang tidak memiliki rasa sedap untuk dilihat. Untuk dipandang. Untuk dibawa hadir bersama.

Apa yang kita lihat ialah anak-anak yang kehilangan sentuhan ibu bapa. Hilang lingkungan ibu bapa itu. Jarang anak-anak yang mengerti perasaan mereka sendiri. Di luar, diri mereka nampak normal. Santai.  Dalaman diri mereka bergejolak. Mereka meronta-ronta. Mereka memberontak. Geram dan marah. Jiwa mereka kosong. Malangnya ibu bapa mengandaikan bahawa anak-anak mereka adalah dewa-dewa yang turun dari kayangan. Kesemuanya dilihat sebagai anak-anak yang terbaik. Persepsi ibu bapa selalunya bersalahan dengan apa yang hakiki dilihat oleh guru sehari-hari. Jauh panggang dari api.

Semua berpunca dari rumah. Mereka berbuat apa sahaja kerana tiada siapa yang memberi nilai. Tiada siapa yang memberikan erti estetika. Tiada yang membimbing untuk mengerti yang mana hak dan yang mana batil. Yang mana benar dan yang mana lebih benar bila berhadapan dengan pilihan. Yang mana benar dan yang mana salah menjadikan mereka keliru. Minda mereka tersekat kerana jalan fikir itu tidak dibimbing oleh ibu bapa. Bila sampai di sekolah mereka bertembung dengan budaya ilmuan. Mereka kaku dan kejang berhadapan dengan peraturan dan undang-undang. Apatah lagi protokol dan etiket.  Sila kembali kepada entri saya Bekal Hidup Dari Rumah. Peranan ibu bapa melebihi peranan guru-guru. Bila guru ingin membetulkan keadaan, ibu bapa sepatutnya memberi sokongan. Maaf. Ibu bapa bukan pakar dalam pendidikan. Bila mereka menghantar anak ke sekolah bermakna mereka tidak ada keupayaan untuk mendidik anak-anak mereka dari segala aspek. Apa salahnya memberi sedikit kepercayaan kepada guru. Memberi sedikit ruang untuk membetulkan mana-mana yang tidak betul.

Ada sesuatu yang ibu bapa tidak tahu. Meerka selalu membuat andaian-andaian liar. Kepada mereka guru lebih rendah tarafnya berbanding kejayaan ibu bapa. Kerjaya ibu bapa mungkin terlalu jauh  berjayanya berbanding guru. Tetapi kembalilah kepada dasar. Anak-anak tuan perlukan guru. Perlu bimbingan. Perlu didikan. Perlu asuhan. Perlu pimpinan. Perlu dilatih untuk menggunakan minda sebagai orang bestari. Bijaksana. Geliga. Pandai fikir itu yang kadang-kadang terabai. Pandai yang lain mungkin tidak perlu diajar. Pandai sendiri kerana persekitarannya yang mengajarnya. Pandai fikir adalah aspek lain yang perlu diteliti oleh ibu bapa. Tidak ramai ibu bapa yang memiliki kemahiran untuk menurunkan ilmu pandai fikir kepada anak-anak mereka. Maka gurulah tempat bergantung. Tolong jangan cantas dahan tempat bergantung itu. Tolong jangan tebang pohon rendang tempat berteduh itu. Tolong jangan diracun pohon itu kerana dia setia mengeluarkan bunga dan buah. Buahnya walaupun masam masih boleh mengenyangkan. Memberi tenaga kepada generasi yang yang akan datang.

Ibu bapa kenalah ada kepekaan yang tinggi. Perhatikan apa yang mereka makan dan minum?  Atas nama kerjaya. Atas nama professional berapa ramai antara ibu bapa yang membawa balik ke rumah makanan yang belum tentu halal haramnya? Makanan itu halal secara fitrahnya. Adakah diperolehi cecara halal? Dibeli secara halal? Menggunakan wang yang halal? Pendapatan yang halal? Zaman dahulu ibu bapa tidak tinggi sekolahnya. Ada roh dalam pendidikan mereka. Cakap mereka didengar. Jelingan mata mereka dimengerti. Dehem mereka ada isyarat dan makna-makna yang dimaklumi. Anak-anak sekarang tidak mengerti semua itu. Keibubapaan tidak lagi mementingkan kependidikan sebegitu. Yang difikirkan ialah wang dan harta. Hidup senang. Hakikatnya tidak begitu. Kebahagian keluarga selalu elusif.

Kita kehilangan sentuhan untuk mendidik anak-anak. Ibu bapa dahulu hidupnya tidak senang. Mereka berkecukupan dalam banyak hal. Yang pentinganya ketenangan dalam keluarga itu memberikan pengajaran yang besar ertinya kepada anak-anak. Mereka pergi ke sekolah dalam ketenangan itu. Guru-guru pula tidak sesibuk sekarang. Sentiasa huru hara. Kehabisan masa. Kehabisan tenaga. Kehabisan cara. Darjah kemanusiaannya menurun. Sifat-sifat keguruannya mencair. Mereka manusia biasa yang kehilangan diri kerana dikepung dengan asakan dan suasana keliling. Banyak tangan-tangan yang mengganggunya. Mereka kehilangan autonomi sebagai guru. Sebagai pendidik. Mereka menjadi orang-orang biasa yang profesionnya dicabar. Dianggap ringan. Dianggap mudah. Kadang-kadang diperlekehkan.

Dalam keadaan sekarang, guru juga perlukan bahu untuk melentokkan kepala. Untuk meredakan gegaran perasaan di dalam. Mereka perlukan sokongan. Tempat bersandar.  Lihatlah di sekeliling berapa ramai guru yang kehilangan jalan fikir. Yang kehilangan fikiran bestari mereka. Banyak faktor yang kadang-kadang sukar dimengerti. Kehidupan mereka tidak menjanjikan kerjaya yang damai dan bahagia. Mereka jadi keliru dan bertambah keliru. Tugas mereka mengajar dan mendidik atau memuaskan tuntutan-tuntutan yang bukan akademik. Terlalu banyak pula. Akhirnya guru menjadi robot atau bagi yang lain menjadi guru yang longlai. Tepu. Merudum. Runtuh kemanusiaannya sebagai guru.

Sejak anak pertama saya selalu jengok guru di kelas. Berkenalan dan rapat dengan mereka. Di Sekolah Rendah Raja Perempuan Ipoh dahulu hampir semua guru yang saya kenal. Dari Guru Besar hingga guru-guru biasa yang lain. Kebetulan saya aktif dengan PIBG sekolah. Pernah jadi Yang DiPertua. Maka apabila saya datang ke sekolah tiada masalah saya berinteraksi dengan guru-guru anak-anak saya. Banyak maklumat mengenai anak-anak saya yang mereka berikan. Sikap mereka. Kerjasama mereka. Kepekaan mereka. Cita-cita mereka. Dan banyak lagi. Sebenarnya guru sangat mengalu-alukan ibubapa ke sekolah. Banyak cerita anak-anak kita yang ingin disampaikan. Yang ingin mereka maklumkan. Yang ingin mereka ceritakan. Di rumah anak-anak berwatak lain. Di sekolah watak mereka mungkin berubah. Apa yag berlaku di sekolah tidak dalam kawalan kita. Guru-guru yang memiliki maklumat tentang anak-anak kita. Bila kita datang guru-guru tentulah suka.  Mereka mencari pendengar. Kerana itu bila kita datang guru melonggokkan kesemuanya kepada kita.  Banyak yang hendak diceritakan tentang anak kita. Tentang kebaikan-kebaikan yang anak kita lakukan di sekolah. Dalam pada itu ada kekurangan-kekurangan yang perlu diambil perhatian. Kesemuanya menjurus untuk menjadikan anak kita menjadi manusia lebih berguna bila sampai waktunya mereka memainkan peranan dalam hidup mereka nanti.

Impaknya besar apabila ibu bapa menghadirkan diri di sekolah. Ikatan bertaut antara guru dan ibu bapa. Anak-anak kita melihat hubungan itu. Sejahat-jahat anak kita mereka masih hormatkan kita. Bila kita ada hubungan dengan guru mereka akan teragak-agak untuk tidak menghormati guru. Pada masa yang sama guru juga teragak-agak untuk tidak memberikan yang terbaik untuk anak-anak kita. Kita sudah menjadi rakannya. Guru itu sudah menjadi guru anak kita. Hubungan itu menjadi peribadi. Faedah bersilang ini besar manfaatnya untuk megawal tingkah laku anak-anak kita. Mereka menjadi lebih terurus emosinya. Begitu juga sikapnya. Penampilan dan urus diri mereka.

Ziarahlah selalu ke sekolah. Anak-anak kita yang di sekolah itu. Guru terlalu kecil peranannya. Secara kolektif mungkin kesemuannya tugas guru. Seorang guru secara individu terlalu kecil peranannya terhadap anak kita. Ada beribu-ribu lagi anak orang lain yang perlukan perhatian. Mungkin lebih memerlukan guru. Apa salahnya ibu bapa yang berkemampuan dari segi masa jengahlah sekolah. Intailah sekolah. Pergilah. Ziarahlah. Anak-anak kita buat apa di sekolah. Guru-guru mereka yang tahu. Cebisan-cebisan jigsaw puzzle tentang anak-anak kita hanya guru yang tahu. Ibu bapa tidak boleh perasaan bahawa mereka tahu kesemuanya kerana pada kebanyakan masa kita tidak bersama anak-anak kita. Mulai hari ini silakan buat jadual berkala untuk bertemu dan bertanya khabar dengan guru-guru anak-anak. Banyak manfaatnya dalam usaha bersama untuk mendidik anak-anak. InsyaAllah.