Thursday, May 5, 2011

Didikan Dengan Hikmah


Suatu hari saya ke rumah seorang kenalan isteri saya. Ramai penghuni rumah itu. Si nenek bekerja menjahit langsir. Dibantu suami dan anak-anak. Cucu beberapa orang. Masih kecil-kecil belaka. Ada sesuatu yang sukar hendak diceritakan. Lazimnya bila ada orang membuat kerja komersil di rumah keadaan rumah itu tentu tidak terurus. Tentu dilihat longgokan kain merata-rata. Bayangkan proses menerima tempahan tidak mengira waktu. Perlu direntang dan dibentang. Diukur dan disukat. Dipotong dan dijahit. Jika kain tidak bersepah tentu sekali benang dan cebisan kain bersepah-sepah. Rumah? Aduhai! Lazimnya tidak teratur. Lanskap hanya cerita. Dekorasi dalaman hanya impian. Tetamu rasa lemas dengan keadaan.

Namun di rumah itu berlainan sekali keadaannya. Ruang tempat bekerja sangat teratur.  Masih senang melangkah. Senang berjalan. Senang duduk. Senang berurusan. Senang membuat kerja. Ruang tamu rumah itu seperti tidak pernah disentuh orang. Barang-barang hiasan melekap dan melekat di dinding. Di lantai dan di penjuru. Di setiap ruang ada hiasannya sendiri. Bukan plastik. Bukan kayu. Bukan kertas. Kristal, kaca dan tembikar. Di sepanjang tangga hendak ke tingkat atas berderet-deret barangan tembikar. Tiada siapa yang mengusik. Tiada siapa yang hairan. Cucu-cucu? Langsung tidak mengambil kisah. Seolah-olah barang-barang itu sudah diketahui bukan mainan. Bukan untuk diusik dan dibuat main. Mereka maklum yang mana mainan dan yang mana hiasan. Bila ditanya, kenalan itu hanya senyum. Tidak katanya. Cucunya tidak langsung berminat dengan kesemuanya itu. Rahsianya? Mari sama-sama kita renungi.

Bagaimana kita mendidik anak sebenarnya. Ada teknik tertentu ke? Di mana boleh belajar? Banyak sudah saya tulis mengenai pasangan hidup. Ada sedikit panduan-panduan yang boleh digunakan sebagai kayu pengukur. Berkongsi dengan pengalaman orang lain. Mendidik anak bukan bermula dari waktu mereka mengerti suara dan kata. Mendidik mereka bermula dari proses memilih pasangan. Bermula sewaktu kita mula jeling dan perasan dijeling. Sewaktu mula melemparkan senyum. Ketika senyum berbalas. Lalu mata bertentang mata. Ada makna dalam lerek dan lentok kepala. Bahasa tubuh yang mengena. Siapa yang tuan pandang. Siapa yang puan lihat. Pernah menjangkau ke hadapan bahawa itulah proses pertama mendidik anak. Panduan agama sangat jelas jika diamati dan dimengerti maknanya.

Pilih yang cantik supaya mata sentiasa sejuk memandangnya. Ada ketenangan supaya tidak memandang yang lain. Yang bukan hak. Yang di depan mata mengatasi segala-galanya. Cari pula yang kaya supaya nanti tidak menyusahkan hidup. Ada tempat bersandar. Berupaya untuk menjalani hidup dengan lebih yakin dan berjaya. Cari mereka yanag datang dari keluarga baik-baik. Akhlaknyabaik. Mendengar kata. Menurut arahan. Memiliki kebestarian berfikir. Bebas dari penyakit berbahaya. Jika ketiga-tiganya sukar dicari. Atau mungkin tidak mampu mencarinya maka alternatif yang ada ialah memilih yang kuat beragama. Rajin solat dan berpuasa. Pandai agama dan mengaji al-Quran. Hatinya baik kerana selalu bermurah hati. Pentingkan orang kain sebelum membela diri. Semuanya ala kadar. Gembira dan ceria. Damai dan bahagia. Mukanya manis walaupun tidak cantik. Mukanya jernih walaupun tidak berharta. Redup pandangan matanya walaupun tiada apa yang boleh dibanggakan. Akhirmya pilihan yang terbaik mungkin sekadar cantik di hati, kaya akhlak mulia, memberi yang terbaik dan agamanya selalu dipertahankan. Itulah kecantikan, kekayaan, kebaikan dan nilai-nilai agama yang sebenarnya. Yang lain-lain hanya sementara sahaja. Kebaikan akan berkekalan juga yang lebih lama dari kekayaan wang ringgit.

Seperti kenalan saya itu dia mendidk cucunya sewaktu janinnya masih dalam perut anaknya. Dia berpesan sangat-sangat supaya cucunya menjadi orang baik-baik. Tolong menjaga rumah neneknya. Tidak mengganggu barang-barang dalam rumah neneknya. Sama-sama menjaganya. Menyanyanginya. Banyaklah dia berdoa untuk dianugerahkan dengan cucu-cucu yang mendengar kata. Benarlah doanya dimakbulkan Allah. Cucu-cucunya dilahirkan memberikan yang terbaik untuk neneknya. Mereka memberi ketenangan. Menjadi hiburan keluarga. Boleh dibentuk dan dididik. Diasuh dan dibimbing. Mungkin apabila matanya melihat alam, ingatannya kembali kepada pesan neneknya sewaktu di alam rahim dahulu. Neneknya telah menyatakan kasih sayangnya. Dia diberi panduan cara terbaik untuk membalas ingatan neneknya. Natijahnya cucu-cucu itu memberikan sumber kebahagiaan.

Cucu saya yang kesebelas adalah lelaki. Biasalah budak lelaki. Sifat kelelakiannya suka bermain dan bersepah. Tetapi dalam  hal-hal tententu dia melihat, belajar dan melaksanakan apa yang dipelajari. Kerana selalu melihat ibunya memvakum sampah, maka dia pandai menggayakan cara ibunya. Keluarga datunya yang sebelah bapa hingga kagum dengan keletahnya. Tahu membuang sampah ke tong sampah di dapur.Apabila hendak keluar rumah, dia yang mematikan TV. Dia keluar pintu dengan membawa seliparnya sendiri. Nanti bila balik dia sendiri yang menyusun seliparnya di tempat letak seliparnya. Bila ibunya mula mengangkat kain, dia sibuk mengangkat pakaiannya sendiri. Saya kata kepada isteri saya, jika semua cucu sepertinya, seberapa ramaipun tidak mengapa. Yang masih kecilpun sudah mula mengurus dirinya sendiri. Ibunya hanya bercakap sepatah dua.

Di luar sana terlalu ramai orang yang berkata bahawa mereka tidak dapat mengawal anak-anak mereka. Kawan-kawan mereka yang menentukan kehidupan mereka. Tidak lekat di rumah. Malas belajar. Tiada cita-cita. Semangatnya lemah. Pandangan hidupnya sempit. Wawasannya terhijab. Pandangannya kabur.  Lalu kita mungkin ingin bertanya. Dari mana anak-anak itu datang? Dari benih siapa anak-anak itu? Bagi yang sudah berkahwin jangan sesali keadaan. Berusaha untuk ke hadapan. Bagi yang belum berkahwin, pelajarilah panduan-panduan mencari pasangan. Kasih sayang kedua suami isteri itu akan melahirkan anak-anak. Yang bagaimana agaknya? Ia  bergantung kepada dari mana ibu dan bapanya datang? Jika dari tempat yang baik maka baiklah anak itu. Jika ada keraguan dari mana datangnya maka anak itu juga mempamerkan keraguan dalam pembawaan dirinya. Menjadi anak-anak yang kacau kelakuan dan kacau fikiran.

Pesan saya ialah ibu bapa tidak boleh mengasingkan diri. Ingat bagaimana ibu bapa mereka mendidik dahulu. Aplikasikan kepada anak-anak mereka. Itu bukan caranya. Masa sudah berubah. Waktu kita kecil dahulu memang benar begitu. Suasananya begitu. Sekarang persekitaran sudah berubah. Jalan berfikir sudah berubah. Mereka ke hadapan dan tidak menoleh ke belakang. Banyak yang prlu dihambat. Dikejar. Kembalilah ke dasar pendidikan. Keibubapaan bukan sekadar memberi makan dan minum. Membelikan pakaian dan menyediakan tempat tinggal. Banyak ilmu dari segi agama dan sosial yang boleh dijadikan iktibar. Belajarlah dari orang-orang yang lebih dulu makan garam. Pilih-pilih orang. Pastikan garam yang mereka makan bukan yang memberi penyakit. Garam itu masin. Masin itu penyakit. Ibu bapa yang bijak mereka tahu menyukat banyak mana garam yang diperlukan.

Tolong jangan hilang kawalan ke atas anak. Dia anak tuan. Dia anak puan. Puan yang mengandungkannya. Puan yang menysusukannya. Puan yang menyuapkannya. Puan yang membimbingnya dari bertatih hingga berlari.  Belajar bermain layang-layang dengan anak. Bila terbangnya terlalu tinggi. Tarik perlahan-lahan supaya turun. Tidak boleh direntap takut nanti putus dan hilang arah. Jika dilepaskan juga hilang arah. InsyaAllah banyakkan solat malam dan banyak berdoa. Mudah-mudahan Allah memberi ruang-ruang untuk menuju kebahagiaaan membesarkan anak-anak.

No comments:

Post a Comment