Friday, May 6, 2011

Melatih Anak Supaya Mengerti


Sebagai ibu bapa tentu ada saat-saat yang membahagiakan. Mencium anak yang sentiasa wangi. Sewangi bayi. Dari tubuh badannya semerbak bau kasih yang indah gemilang. Menyentuh bayi menjadi suatu ketagihan. Suatu kerinduan. Menciumnya menjadi suatu kemestian. Mengulitnya sangat mendekatkan hati. Memegang dan menimang sesuatu yang sukar dimengerti rasa puas yang menyerap ke segenap urat saraf. Itulah tanda kasih bapa kepada ibunya. Itulah tanda kasih ibu kepada bapanya. Bagi si anak kasih ibu membawa ke syurga. Kasih bapa berkorban nyawa. Bait-bait lagu Allahyarhamah Saloma.

Anak yang dalam kandungan sudah lama diangan-angankan supaya lahirnyn meyerlahkan segala-galanya yang baik. Tanpa kecuali ibu bapa mahaukan anak-anaknya menjadi yang terbaik. Doa mereka berjela-jela supaya anaknya menjadi orang soleh. Anak yang solehah. Bijak bestari. Bijaksana. Memiliki kecerdasan minda yang tiada tolok bandingnya. Tinggi harapan supaya anak-anak menjadi seperti mereka yang terbilang. Yang namanya gah dari dahulu hingga sekarang. Yang namanya disebut-sebut sebagai cendekiawan.

Tidak ada ibu bapa yang terkecuali. Harapan selalu tinggi. Cuba mencipta masa hadapan anak yang gemilang. Yang berkeupayaan mencipta kejayaan. Yang membawa harapan agamanya. Bangsanya. Keluarganya. Dia menjadi obor yang menerangi. Bukan onak dan duri yang meranjaui masyarakat. Bukan lopak-lopak yang menyusahka bila hari hujan. Bukan batu-batu yang menghalang jalan. Bukan semak yang menyembunyikan bahaya-bahaya haiwan melata yan berbisa. Harapan ibu bapa sangat besar agar nanti anaknya menjadi manusia berguna. Berbakti.  Berjasa. Menjadi contoh tauladan. Ikutan.

Dalam usaha mengasuh inilah ibu bapa selalu kehilangan punca. Caranya? Jadualnya?  Modulnya? Penilaiannya? Ujian-ujian yang digubal dan dilaksanakan? Fasilitatornya? Pusat sumbernya? Perujuknya? Mendidik anak bukan seperti memasak. Rutin yang sama menghasilkan produk yang sama. Jika kesemuanya dipatuhi maka hasil masakannya akan sentiasa sama. Mendidik manusia sangat jauh berbeza. Anak-anak dari ibu bapa yang sama tidak dapat dihasilkan menjadi produk yang standard. Tidak boleh sama. Ada trait dan tingkah laku yang berlainan antara individu yang adik beradik. Memberikan layanan yang sama memudaratkan jalan fikir mereka. Menyekat perkembangan minda. Tiada kreativiti. Mindanya akan lemah kerana tidak dibenarkan berfikir. Membenarkan yang rasional. Menidakkan yang kontradik.

Sebenarnya ibu bapa perlu menjadi guru professional. Malangnya perkara itu tidka pernah diperbincangkan dalam kursus praperkahwinan. Mereka perlu belajar falsafah. Semua bidang falsafah. Menjadi pendakwah. Pakar motivasi. Bijak menggunakan psikologi. Kaunseling dan bimbingan. Tahu teknik mendidik anak. Ibu bapa yang secara profesionalnya adalah guru memiliki kelebihan tersebut. Malangnya tidak ramai saudara mara yang mengikut. Tidak ramai jiran tetanggan yang mencontohinya. Tidak rama rakan taulan yang mencubanya. Mereka hanya melihat anak-anak guru menjulang langit. Mereka senang tinggal di bawah. Tenang dan menjadi leka. Bukan untuk meniru dan mendapatkan limpahannya. Menjadi kaku beku.

Saya perturunkan di sini cara melatih anak-anak kecil supaya tidak melakukan perkara-perkara yang terlarang. Mungkin panas. Atau kotor. Atau apa sahaja yang pada pandangan kita tidak baik. Mulakan seberapa awal yang boleh. Maksud saya apabila mereka mula mengerti. Mungkin ketika berusia sembilan bulan atau lebih awal sudah boleh dimulakan. Kanak-kanak memang mengambil masa yang agak lama untuk belajar mengawal jadual membuang air besar dan air kecil. Bila ada masa latih mereka. Terutama ketika bercuti. Apabila sudah dimulakan dia akan terbiasa dengan sendirinya.

Sebelum tidur latih mereka untuk membuang air. Untuk membiasakan mereka supaya tidak kencing malam. Bangun sahaja dari tidur periksa sama ada sudah membuang air atau belum. Jika sudah cari waktu lain yang sesuai. Ketika dia bangun tidur dalam keadaan kering cepat-cepat buka diapernya. Bawa ke bilik air. Dudukkan supaya dia membuang air. Selepas sekali dua dai akan merasakan bahawa buang air hanya di bilik air. Bukan sewaktu memakai diaper. Bila sudah terbiasa dia tidak akan membuang air selagi belum dibuka diapernya dan sebelum dibawa ke bilik air.  Saya pernah melakukannya. Malangnya hanya anak ketiga sahaja yang sempat saya buat begitu. Yang lain tidak. Sudah agak sibuk ketika itu.

Semasa mendodoikannnya ikutlah seperti orang tua-tua dahulu. Yang dirimakan ialah syahadah. Selawat atau ayat-ayat al-Quran. Sejak dari kecil anak-anak itu dekat dengan Allahnya. Dengan Rasulnya. Dengan agamanya. Dengan fitrah kemanusiaannya.. Hatinya jadi lembut. Akur dengan kebaikan. Akhlaknya dibentuk cintakan agama. Pemikirannya Islamik. Bina kecintaannya kepada agama. Jika sekarang bunyinya seperti nasyid. Mungkin juga tetapi tiada iringan muziknya ketika itu. Jangalah menyanyi. Nyanyian hanya melampiaskan kemerduan suara. Anak-anak itu tidak diajar mencintai Allah. RasulNya. KitabNya. Jika dari kecil dia dijauhkan dari fitrah agamanya maka bila dewasa tentu mereka menjadi liar. Seliar makhluk lain yang tiada bertuan. Semuanya kerana kita tidak memperkenalkan Yang Maha Penciptanya sejak bayi lagi. Kita tidak memperingatkan mereka tentang tanggungjawab agama kepada mereka. Jalan mereka semakin menyimpang jauh.

Menjaga bayi dan anak-anak kecil penuh risiko. Banyak yang boleh mengakibatkan kemalangan. Semua yang di sekeliling bayi adalah membahayakan. Apabila mereka sudah mula mengesot pengwasan perlu ditingkatkan.  Bila mereka mula berdiri pengawasannya semakin meningkat. Bila mereka mula berjalan berganda lagi pengawasan yang diperlukan. Bagaimana hendak melarang mereka dari melakukan sesuatu yang mungkin mendatangkan mudarat. Tangan bayi cepat menggapai apa sahaja yang dapat dicapai dengan tangan. Akan dipegang. Akan ditarik. Akan direntap. Gelas umpamanya. Jika direntap dari meja pasti jatuh ke lantai. Pecah berderai. Luluh hancur. Hairankan, ada ibu bapa hanya ketawa. Anak itupun turut ketawa. Perbuatannya dianggap melucukan. Nanti persepsinya menjadi songsang. Melakukan keburukan adalah suka-suka. Sesuatu yang melucukan. Siapa mengajar mereka? Di sinilah ibu bapa perlu arif dengan peranan sebagai ahli keluarga. Mendidik bukan melatih mereka menjadi pemain-pemain tanpa matlamat.

Bagi saya melarang anak mudah sahaja. Pegang gelas yang hendak dicapai. Pegang tangannya dengan lembut. Jangan sampai menyakitkan. Pandang matanya dalam-dalam. Sebut perlahan-lahan. Lambat-lambat. Sedikit keras. Brdesir. Sebut ‘Jangan’. Panjangkan ekornya semasa menyebut. Mungkin beberapa harakat. Jangaaaaaaaan! Ulang banyak kali. Setiap kali semakin sedikit meninggi. Ubahsuai intonasinya. Dari jangaaaaan menjadi jaaaangaaaan. Atau ja….ngan. Gunakan jari telunjuk untuk memberi isyarat supaya jangan melakukan perbuatan yang kita larang itu.  Lazimnya untuk beberapa ketika dia akan memandang untuk mempastikan larangan yang didengarnya itu. Terus sebut lagi berulang-ulang. Kemungkinannya dia akan menangis. Ketika itu tenangkan dia. Peluk dan cium. Dokong dan kelek. Perbuatan itu memberi jaminan bahawa larangan itu adalah pernyataan kasih sayang. Bukan benci atau dendam. InsyaAllah dalam hal-hal yang lain latihan itu boleh dijalankan. Lihatlah nanti hasilnya. Mendidik anak menjadi lebih mudah. Silakan mencuba hari ini juga. Selamat mendidik.

No comments:

Post a Comment