Wednesday, April 27, 2011

Selamatkah Anak Kita Di Sekolah?


Sudah 42 tahun saya menjadi guru. Telah sembilan orang anak saya bebas dari alam persekolahan. Telah 10 orang cucu saya bersekolah. Selama ini saya tidak pernah memikirkan tentang hidup mereka di sekolah. Yang saya faham saya menjadi custodian kepada pelajar-pelajar saya. Yang saya tahu anak-anak saya dijaga oleh guru-guru mereka di sekolah. Siapa lagi jika bukan mereka. Cuba kita berhenti sejenak. Cuba kembali ke sekolah. Bayangkan kita masuk melalui get yang dikawal  oleh pengawal yang setia. Melepasi get itu pasti membawa kita ke suatu alam luas yang seolah-olahnya tiada sempadan. Tiada tepi. Tiada batas ruang. Tiada batas masa. Dari Pengetua/Guru Besar hinggalah pelajar yang paling kecil dan paling rendah tahapnya hadirnya umum dan bebas. Sekolah adalah suatu ruang besar yang terapung di awang-awangan. Bagi orang di luar sekolah ianya suatu entity yang terasing. Dunia istimewa yang kadang-kadang tidak dimengerti. Semua orang berhubung dengan sekolah. Andaiannya ialah sekolah adalah sesuatau yang dianggap biasa. Things taken for gtanted.

Dalam keadaan yang umum kita melihat suatu panorama tanpa kerangka yang jelas. Jalan dan berdirinya mereka. Duduk dan bangunnya mereka. Berlari dan mendiamnya mereka. Suara dan gurau. Tawa dan tangis. Pekik dan laung.  Siapa mereka? Apa yang mereka lakukan sebenarnya? Sekilas pandang keadaan seolah-olahnya sangat teratur. Ada sistem yang membawa arus. Arahnya seperti hanya satu. Sukar melihat sesuatu yang menyongsong arus. Nampak damai dan aman. Tenang dan selesa. Cuba lihat kembali visual yang tertera di mata. Kanak-kanak yang kecil dan besar itu siapa yang memerhati? Siapa yang menjaga mereka? Siapa yang menjamin keselamatan mereka? Yang menentukan kesejahteraan mereka. Yang mengotakan bahawa datang dan kembalinya mereka dalam keadaan selamat. Sihat walafiat. Exactly in one piece. Datang dan perginya lengkap tiada yang kurang. Tiada apa yang berbeza.

Saya tanya diri saya sendiri berulang kali. Siapa yang telah menjaga anak-anak saya dahulu? Siapa pula yang menjaga pelajar-pelajar di sekolah sekarang ini? Tiada jawapan. Carilah. Kita tidak boleh menipu diri kita sendiri. Apabila masuk ke dalam get anak kita berjalan menuju ke mana sahaja mengikut hati. Mengikut kakinya yang melangkah. Mengikut mata yang arahnya ke hadapan. Mengikut tarikan-tarikan yang mungkin tidak terkawal. Mungkin ia ke kantin. Mungkin ke kelas. Mungkin ke makmal. Mungkin ke bengkel. Mungkin ke pusat sumber. Mungkin ke padang. Mungkin ke gelanggang. Mungkin ke bilik air. Mungkin ke mana sahaja yang tidak terfikirkan oleh pihak sekolah. Kembali semula kepada soalan asas. Siapa yang menjamin keselamatan mereka? Kesejahteraan mereka? Siapa yang memata-matai mereka? Siapa? Siapa? Apa yang saya rasa ialah sesuatu yang menakutkan. Menggusarkan. Menyerahkan diri saya kepada sesuatu yang tidak ada ketentuan. Tidak ada kepastian. Kepada suatu kekosongan. Lompang kosong. Yang menyerap segala keyakinan. Ibu bapa melemparkan anak-anak to the unknown. Agak kasar jika saya kata kita masukkan anak-anak ke dalam suasana terbuang.

Apa tugas pengawal? Yang kita tahu dia tidak menjaga anak-anak kita. Dia menjaga get. Dia menjaga keselamatan suasana bangunan. Menjaga kawasan sekolah. Dia tidak menjaga keselamatan orang-orang yang berada di sekolah pada dasarnya. Hanya anggapan bahawa dia mejaga keselamaan insan di dalamnya. Jika itu tugasnya sekalipun dia tidak sepenuhnya melaksanakan tanggungjawab itu. Sebahagian kecilnya benar. Di get dia mempastikan mereka yang berhak sahaja boleh masuk dan keluar. Ada kesopanan. Ada kesantunan untuk melalui get itu. Tentulah dengan keizinan bagi yang lazimnya tidak memiliki hak. Ramai yang berminat untuk masuk ke dalam sekolah. Akhirnya anak kita bukan dipantau oleh pengawal. Keselamatannya bukan tanggungjawab pengawal.

Pengetua/Guru Besar? Mereka dikatakan the ultimate authority. Benarkah begitu? Legally yes. Practically maybe not. Mereka tiada peluang khusus untuk menjaga keselamatan pelajar. Mereka mengupayakan guru-guru lain untuk menjalankan tugasnya menjaga pelajar. Diturunkan kuasanya kepada guru lain. Mereka banyak di biliknya sahaja. Jika meronda hanya sekali sekala sahaja. Itupun untuk hal-hal yang spesifik sahaja. Banyak masanya untuk hal-hal lain. Belum lagi tugasnya di luar sekolah. Untuk daerah. Untuk negeri. Untuk negara. Bila dan bila Pengetua/Guru Besar memata-matai anak-anak kita? Menjaga keselamatan anak-anak kita?

Guru disiplin yang kebanyakannya untuk ditakuti. Untuk melaksanakan tindakan menghukum.  Untuk mengenakan tindakan-tindakan keras. Konotasinya bukan untuk bermesra dengan pelajar. Bukan mesra pelajar. Bak sang algojo yang memegang pedang untuk memancung. Untuk mencantas mereka yang bersalah. Semuanya pesalah bukan yang melakukan salahlaku. Bukan pesalah laku yang belum mengerti kesalahannya. Yang dianggap salah oleh orang dewasa. Standard orang dewasa. Standard guru.  Bukan standard pelajar yang belum matang. Yang belum mengerti. Yang belum dapat menyeimbangkan  antara hak dan batil. Benar dan salah. Apakah guru disiplim menjaga keselamatan anak-anak kita sebenarnya?

Guru Bertugas? Di mana guru ini bertugas? Jawabnya senang. Di sekolah. Tetapi di mana secara spesifik? Guru bertugas hanya seorang. Dia hanya ada di suatu tempat pada suatu detik masa. Dia tidak mungkin mengklon dirinya supaya pada suatu masa dia berada di mana-mana. Langsung tidak mungkin. Mustahil kata orang. Jadi apa tugasnya? Bagaimanakah dia menjaga keselamatan anak-anak didiknya? Suatu kepastian yang tidak ada jaminan. Ketidakpastian yang sangat samar. Too many grey areas. Sekolah mengandaikan guru bertugas menjaga anak-anak murid di sekolah. Ibu bapa mengandaikan anak-anak mereka dijaga di sekolah. Masyarakat menganggap sekolah adalah tempat yanh selamat kerana diawasi oleh petugas-petugas profesional. Yang sangat terlatih. Hakikatnya tidak. Tidak benar. Hanya andaian. Hanya anggapan. Fallacy. The unsung truth.

Guru kelas? Maaflah. Guru kelas mungkin sekali dalam sehari. Hanya untuk tahu siapa hadir dan tidak hadir. Siapa sakit dan siapa bermasalah. Memungut yuran atau apa-apa lain yang berkaitan dengan pengurusan kelasanya. Autoritinya terhad. Tanggungjawabnya yang besar. Tetapi dia tidak berada di kelas itu. Dia tidak mengadap muridnya setiap waktu. Ruang masa untuk bertemu dengan mereka sangat terhad. Jika dikatakan guru kelas menjaga keselamatan murid-muridnya tentu tidak menepati hasrat keselamatan yang dimaksudkan. Selamatkah anak-anak kita di sekolah?

Guru matapelajaran? Guru ini ada masanya tidak masuk ke semua kelas. Jadualnya tertentu. Ada hari dia masuk. Pada hari yang lain tiada jadual untuknya. Maknanya urusan keselamatan pelajar hanya semasa guru itu berada dalam kelas itu. Pada waktu yang lain tidak diketahui siapa yang bertanggungjawab atas keselamatan anak-anak kita itu. Guru mata pelajaran jadualnya terhad. Sumbangannya untuk mempastikan keselamatan anak-anak kita tiada kepastiannya. Lagipun guru mata pelajaran berpindah-pindah dari satu kelas ke kelas yang lain. Dia lebih menumpukan pemikirannya untuk kesejahteraan pelajarnya. Untuk  mata pelajarannya sahaja. Itulah tugas terasnya.

Kerani?  Mereka hanyalah supporting personnel.  Membantu dari segi pentadbiran. Protokolnya. Proses dan prosedurnya. Mereka duduk di pejabatnya. Mengadap komputer masing-masing. Menyelesaikan kekalutan pentadbiran. Membantu pihak sekolah melicinkan urusan sekolah. Keselamatan anak-anak kita bukan tanggungjawab mereka. Mereka muncul pada masa-masa tertentu. Bantuan yang dihulur dari masa ke semasa. Namun kita tidak dapat terlalu mengharapkan mereka untuk menjaga keselamatan anak-anak kita. Waktu mereka bekerja sangat terikat dengan antara 8.00 pagi hingga 5.00 petang. Guru juga yang diharap walaupun harapan itu pada kebanyakan masa adalah palsu. Hanya satu ilusi.


Pengawas? Saya kasihan kepada mereka. Mereka datang ke sekolah untuk belajar. Tetapi semua orang seolah-olahnhya merestui bahawa mereka tidak perlu belajar sangat. Mereka masuk ke kelas  setelah pelajaran bermula. Mereka keluar kelas sebelum orang lain habis belajar. Pada waktu petang mereka balik lewat. Ada mesyuarat tindakan yang mesti dihadiri. Mereka kehilangan jatidiri sebagai pelajar biasa di sekolah. Sekolah dan guru-guru mengharap mereka menyelesaikan masalah disiplin di sekolah. Tidak hairan mereka didendami oleh pelajar-pelajar lain di sekolah. Di kelas yang sama. Saya tidak arif. Keadilan diberikan kepada mereka atau tidak?


Rakan sebaya juga yang banyak membantu. Tanpa rakan sebaya kebanyakan pelajar tiada siapa yang melihat-lihat mereka. Yang mengawasi mereka. Yang memata-matai mereka. Cuma suatu hal yang anak-anak kita tidak mahir ialah kemahiran memilih rakan taulan yang sesuai. Yang positif. Yang membantu. Yang simpati. Yang empati. Ramai yang gagal memilih rakan. Jadilah mereka kacang hantu di sekolah. Ramai yang ponteng. Menghisap rokok. Tidak membuat kerja rumah. Enggan mengikut arahan. Dan banyak lagi tingkah laku devian yang mereka lakukan. Anak yang sangat baik di rumah bertukar menjadi anak-anak yang kehilangan arah apabila sampai di sekolah. Allahu Akbar. Di mana silapnya?

Diri mereka sendiri yang akhirnya dibawa ke mana-mana. Mesti memiliki IQ (intelligent quotient – kecerdasan minda) yang menasabah. EQ (emotional quotient – kecerdasan emosi) yang sesuai. AQ (adversary quotient – kecerdasan menghadapi cabaran) yang sepadan. SQ (social quotient – kecerdasan sosial) yang melestarikan dirinya dengan alam sekelilingnya.  SpQ (spirituan quotient – kecerdasan rohani) yang menenangkan sifat amarah. Ganas.  Buas. Jika anak-anak kita tidak mampu berdikari kita sebagai orang dewasa sebenarnya menganiaya mereka. Jangan terlalu mengharapkan guru kerana guru bukan untuk anak kita seorang. Diri guru yang tidak seberapa itu milik semua murid yang beribu-ribu jumlahnya. Guru pula banyak beban tugasnya di sekolah. Mengajar hanya sebahagian kecil sebagai tugas tunggak. Teras kepada jawatannya. Yang lain tugas yang datang dan pergi. Tugas bukan mengajar terlalu banyak untuk diselesaikan. Perlu sempurna pula. Itu arahan Pengetua/Guru Besar. Itu arahan PPD. Itu arahan Pengarah dari jabatan. Itu arahan menteri. Akhirnya ibu bapa bertanya. Siapa yang jaga anak-anak mereka? Selamatkah?



Thursday, April 21, 2011

Catatan Dari Syarahan Sheikh As-Sudais Bertajuk Masa Depan Tamadun ISLAM

Satu syarahan umum yang disampaikan oleh Sheikh Dr `Abdur Rahman Ibn `Abdul Aziz as-Sudais telah diadakan pada 20/4/2011.  Ia telah dianjurkan oleh International Insititute of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia dan diadakan di dewan IAIS.

Imam Masjid al-Haram

Syarahan umum tersebut telah bermula pada jam 12.30 tengahari dengan disampaikan oleh Sheikh as-Sudais dalam bahasa Arab, dan diterjemahkan oleh Profesor Ibrahim Zein sebagai moderator majlis tersebut. Tajuk syarahan yang diberi oleh pihak penganjur ialah: “The Future of Islamic Civilisation (al-Hadarah al-Islamiyyah) in the 21st Century”.





1.     Tamadun Islami mestilah didasarkan oleh aqidah yang betul sebagaimana yang disampaikan oleh Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam dan golongan terdahulu selepas Baginda, iaitu golongan salaf. Tanpa aqidah yang betul, tamadun Islami yang ingin dibangunkan tidak akan berjaya.
2.     Ia mestilah dibangunkan di atas prinsip-prinsip moral dan etika yang betul berlandaskan apa yang telah ISLAM gariskan.
3.     Cara membangunkan Tamadun Islami mestilah merujuk kepada cara Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam membangunkan masyarakat dan negara Islam. Tiada rujukan yang lebih baik, kerana pada Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam itu adalah ikutan yang terbaik.
4.     Ia didasarkan kepada menjaga maruah manusia.
5.     Tidak boleh lari dari melindungi 5 kepentingan seperti yang dinyatakan di dalam maqasid syariah yang biasa kita dengar, iaitu:
5.1.     Melindungi agama
5.2.     Melindungi nyawa dan diri manusia
5.3.     Melindungi akal
5.4.     Melindungi kehormatan dan maruah diri
5.5.     Melindungi harta
6.     Maqasid Syariah di atas bukan sahaja melindungi kepentingan si Muslim, tetapi juga melindungi si non-Muslim. Ia melindungi kepentingan semua.
7.     Tidak seperti tamadun lain yang biasanya hanya menumpukan salah satu, iaitu samada aspek rohani atau material. Tamadun Islami menumpukan kepada kedua-dua aspek iaitu rohani dan juga material. Adalah anggapan yang salah sekiranya seseorang menganggap ISLAM hanya menumpukan aspek rohani sahaja.
8.     Setiap lelaki dan perempuan diberikan taklif yang sama iaitu menanggung amanah dan bertanggungjawab terhadapnya. Namun, lelaki dan perempuan mempunyai peranan masing-masing dan mesti memainkan peranan itu dengan sedaya mungkin.
9.     Walaupun di dunia ini mempunyai bangsa yang berbeza, namun tumpuan hendaklah ditumpukan kepada nilai kemanusiaan dan tidak boleh dilayan manusia itu berdasarkan kaum dan bangsa yang berbeza. Pada zaman Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam, walaupun para sahabah berbeza bangsa dan keturunan, hatta ada yang datang dari negara yang lain pun diberi layanan yang sama rata, malah memegang peranan yang penting mengikut kepakaran masing-masing.
10.  Tamadun Islami yang hendak dibina mestilah berdasarkan kepada ilmu.
11.  Tamadun tersebut mestilah membawa kebaikan kepada seluruh manusia dan penghuni dunia.
12.  Tamadun yang berjaya adalah tamadun yang menghargai nilai keintelektualan.
13.  Semua kebaikan itu bukan sahaja untuk Muslim sahaja, malah juga kepada yang bukan Muslim.
14.  Prinsip keadilan mesti dijadikan asas kepada Tamadun Islami.
15.  Kebebasan juga merupakan unsur yang penting di dalam Tamadun Islami. Kebebasan yang dimaksudkan adalah kebebasan yang masih di dalam lingkungan syara`. Kebebasan tidak sama dengan anarki. Sistem Anarki bermaksud sistem kebebasan tanpa peraturan, tanpa undang-undang dan tanpa pemerintahan. Bukan itu maksud kebebasan di dalam ISLAM. Anarkisme tidak diterima di dalam ISLAM.
16.  Sheikh Sudais juga telah menekankan prinsip washatiyyah iaitu kesederhanaan. Sifat melampau samada terlalu ketat atau terlalu longgar dalam mengamalkan ISLAM tidak patut dibiarkan berlaku. Kerana ia boleh membawa kesan yang buruk dan boleh memberikan maksud yang tidak baik kepada agama ISLAM dan keseluruhan manusia.
17.  Hendaklah Tamadun Islami yang dibina itu mempunyai sifat tasamuh iaitu toleransi sesama manusia. Lihat sahaja bagaimana kisah pembukaan Mekkah oleh Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam, pembukaan beberapa negara oleh Umar ra, pembukaan Palestin oleh Salahuddin al-Ayubi dan pembukaan Istanbul oleh Muhammad al-Fateh. Mereka tidak berdendam, malah bertoleransi dan memberi maaf kepada musuh-musuh ummat ISLAM.
18.  Tamadun Islami juga mestilah didasarkan dengan nilai-nilai keamanan dan kesejahteraan manusia. ALLAH subhanahu wa Ta`ala tidak suka orang-orang yang berbuat kerosakan!
19.  Semua nilai-nilai di atas hanya boleh dibina dengan mempunyai kekuatan dalaman yang tinggi iaitu Iman. Tanpa Iman, sukar untuk ia dicapai.
Cabaran Ummat ISLAM

Ada 2 cabaran besar yang dihadapi oleh ummat ISLAM dalam usaha untuk merealisasikan Tamadun Islami. Pertama ialah cabaran dalaman, iaitu cabaran yang ditimbulkan oleh ummat ISLAM sendiri. Dan yang kedua ialah cabaran luaran, iaitu cabaran yang ditimbulkan oleh pihak yang bukan dari kalangan ummat ISLAM dan suasana persekitaran. Berikut adalah beberapa senarai cabaran yang disebut beliau:

Cabaran dalaman:
1.     Ummat ISLAM tidak mengambil Islam sebagai sistem hidup.
2.     Ramai ummat ISLAM mempunyai salah faham terhadap ajaran ISLAM itu sendiri.
3.     Ramai salah aplikasi ajaran ISLAM.
4.     Hasil daripada salah faham dan salah aplikasi ini maka wujudlah fitnah terhadap ISLAM. Ummat ISLAM mesti ambil peranan untuk memberikan penjelasan kepada ummat ISLAM sendiri dan juga kepada yang bukan ISLAM.
5.     Tidak bersatu.
6.     Hendak bersatu mestilah masing-masing merujuk kepada al-Quran dan as-Sunnah dan fahami betul-betul ajaran dan maksud ajaran di dalamnya.
7.     Jangan mudah melabel orang lain. Jangan menuduh orang lain kafir, sesat, fasiq dan lain-lain gelaran tanpa haq.
8.     Jika ada perbezaan pendapat dan pegangan, jangan bergaduh. Utamakanlah kesatuan ummah. Kesatuan ummah itu mesti menjadi agenda penting. Perbezaan di antara muslim dengan muslim tidak sepatutnya menjadi punca perpecahan.
9.     Sikap suka menyalahkan orang lain. Jangan mudah menyalahkan unsur luar seperti negara barat atau pihak-pihak tertentu. Ummat ISLAM mestilah melihat kepada kesilapan dan kelemahan diri sendiri. Dan berusaha ke arah memperbetulkannya.
Cabaran luaran:
1.     Syahwat dan syubuhat.
2.     Manipulasi orang lain, terutama Barat dan lain-lain tamadun.
3.     Globalisasi adalah ancaman yang sangat merisaukan.
4.     Internet dan media
Walaupun Sheikh as-Sudais menyenaraikan beberapa cabaran dan unsur luaran yang boleh menggugat ummat ISLAM, namun beliau tetap menegaskan bahawa kita sebagai ummat ISLAM jangan terlalu tumpukan sangat kepada unsur luaran dan menyalahkannya. Kerana apa yang lebih penting ialah melihat ke dalam diri kita sendiri. Dan cuba untuk memperbaiki kesemua kelemahan itu…

Di akhir syarahan, Sheikh as-Sudais menekankan bahawa masa depan dunia adalah dengan ISLAM. Dan ini pasti berlaku kerana ia telah difirman ALLAH & disabdakan oleh Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam. Beliau memetik ayat al-Quran dan hadith yang menjanjikan hal ini, namun atas kedhaifan saya, saya tidak dapat memetik ayat al-Quran dan hadith yang beliau nyatakan.

Itulah antara perkara penting yang disentuh oleh as-Sheikh. Sebenarnya mungkin banyak lagi yang disentuh oleh beliau, tetapi saya tidak mampu menyalinnya dengan sempurna. La haula wa la quwwata illa biLLAH.

Bahasa yang digunakan oleh Sheikh as-Sudais memang sedap didengar. Disebut satu-satu perkataannya dan penuh makna, juga sarat dengan ayat-ayat dari al-Quran dan al-Hadith. Penuh dengan mesej. Profesor Ibrahim Zein yang menterjemahkan syarahan beliau, dengan merendah diri mengakui beliau tidak mampu menterjemahkan semua bahasa Arab yang digunakan oleh Sheikh as-Sudais ke dalam bahasa Inggeris kerana bahasa yang digunakan oleh Sheikh penuh dengan retorik dan makna yang mendalam.

Apa yang saya perhati, yang menariknya tentang Sheikh as-Sudais ini, beliau kadang-kadang bergurau dan berjenaka dengan moderator majlis. Dan selang beberapa sesi, beliau akan berhenti untuk bertanya dengan para hadirin. Beliau mengajukan beberapa soalan untuk dijawab oleh hadirin untuk menguji kefahaman hadirin. Dalam sesi syarahan yang berlangsung 1 jam 30 minit itu, beliau telah berhenti sebanyak 3 kali untuk berinteraksi dengan hadirin. Dan alhamdulillah, hadirin juga dengan sangat teruja menjawab soalan-soalan beliau. Sesi soal-jawab tidak dapat dilakukan dengan sempurna disebabkan oleh kesuntukan masa.

Mudah-mudahan catitan ini ada manfaatnya buat diri saya dan buat kalian yang mungkin terbacanya. Semoga kita semua berupaya untuk mengambil iktibar dan berubah berdasarkan beberapa mesej yang tercatit di atas.
La haula wa la quwwata illa biLLAH…

WAllahu Ta`ala A`lam.
Ciri-ciri Tamadun Islami

Dalam menghuraikan tajuk yang diberi, Sheikh as-Sudais telah menyenaraikan dan menghuraikan beberapa ciri yang mesti dipenuhi untuk memastikan masa depan Tamadun Islami berjaya. Berikut adalah beberapa mesej yang sempat saya salin dari ucapan beliau:

Cabaran Guru Muda


Setelah reda dari kesibukan berakademik mulalah bertugas menjadi guru. Hajat dihati hendak menjadi guru yang berwibawa. Kadang-kadang percaturan tidak menjadi. Set pelajar yang ada tidak kesemuanya memenuhi keinginan untuk memberi bakti. Mereka bukan jenis yang diimajinasikan. Khayalan dulu menjadi ilusi semata-mata. Sekarang baru diketahui bahawa apa sahaja tindakan ada tindak balasnya. Positif yang diharapkan negatif yang dibalas.

Dulu-dulu saya tulis mengenai ucapan saya mengiringi guru-guru baru untuk bertugas membina bangsa. Memberikan pengorbanan yang tidak terkira. Meninggalkan kampung halaman dan semua yang disayangi. Yang tercinta. Perginya dengan satu tekad untuk berbakti. Melestarikan bangsa mulia yang ternama. Setelah bertugas kira-kira enam bulan barulah tersentak dengan kesedaran hakiki. Menjadi guru bukan semudah yang disangka. Orang yang bukan guru sinis semacam seolah-olah menjadi guru adalah suatu profesion yang remeh. Tidak perlu dipandang sebelah mata. Senangnya mulut berkata sekadar hanya mengatupkan bibir atas dan bibir bawah. Kulum lama dan ludah merata-rata.

Anak-anak muda yang dilepaskan untuk menyambung warisan dan legasi bangsanya, agamanya, keturunannya terasa ditampar-tampar. Terasa disepak terajang. Terasa dilempang-lempang. Begitulah kuatnya badai terkaman dan tikaman profesion yang namanya guru. Sesungguhnya manusia kecil yang bernama murid bukan calang-calang manusia. Dalam darah mereka mengalir sesuatu yang merah tetapi tidak dapat difahami kenapa merahnya menyala-nyala. Terlalu banyak sifat amarahnya. Aliran darahnya mengandungi bauan busuk yang me nikam-nikam hidung yang menghidu. Melambak-lambak mazmumahnya. Sangat sukar mencari mardhiah atau kebaikan yang lain yang boleh menyejukkan mata dan hati. Yang boleh mendamaikan perasaan. Yang boleh melegakan. Yang boleh memberikan kebahagiaan.

Dalam diri mereka ada ketulan-ketulan daging yang entah baik entah busuk. Entah halal entah haram. Entah sihat entah sakit. Lalu badan-badan yang nampak sasa itu sebenarnya perlukan rawatan untuk menjadi manusia yang bernama insan. Yang akhlaknya mulia. Yang mematuhi rukun iman. Yang melaksanakan rukun Islam. Yang menggalakkan amr maaruf dan nahi mungkar. Yang hati budinya mengandungi sifat-sifat kemanusiaan. Keperihatinannya kepada orang lain. Tidak melebihkan dirinya sahaja. Yang tidak pentingkan dirinya sahaja. Tidak menafikan hak orang lain. Tidak mengnyahkan orang lain kerana bukan kelompoknya.

Hati mereka selalu dibakar untuk melakukan yang anti-establishment. Semua orang tua perlu dimusuhi. Ibu bapa menjadi dinding yang menghalang kebebasan. Guru-guru menjadi proxy ibu bapa yang perlu disingkirkan. Mereka menuntut kebebasan walaupun tidak mengerti erti bebas. Mereka ingin merdeka walaupun kemerdekaan tidak membebaskan mereka. Mereka menuntut keadilan walaupun mereka tidak tahu bahawa keadilan yang mereka terima sekarang ini melebihi dari sukatan dan had yang seperlunya. Mereka menuntut keperluan mereka dituruti walaupun sudah terlalu banyak diberi. Terlebih-lebih disajikan melebihi keperluan. Menjadilah mereka orang-orang yang tidak bersyukur.

Siapa sebenarnya anak-anak kita yang bersekolah itu? Apa yang berlaku di sekolah? Ke mana mereka akan pergi? Apa jadinya nanti? Kita ingin bertanya di mana guru sebenarnya? Bagaimana dilema ini harus dapat mengangkat martabat guru? Akan kembalikah zaman gemilang keguruan seperti Za’ba, Aminudian Baki, Awang Had Salleh dan mereka yang menempa kejayaan sebelumnya? Jalan di hadapan banyak benar likunya.  Banyak simpangnya. Tinggi rendah hingga sukar hendak menari. Untuk mencari rentak. Iramanya selalu tidak menjadi. Ada rima tetapi tiada melodi. Kaku. Kejang. Menghampakan. Itulah dunia realiti menjadi guru.  Usah digusarkan sangat tercalar kereta. Usah bimbang terkemik kereta. Sekarang masa untuk mengundur ke belakang. Surut dari kebiasaan. Kendur dari kegahairahan selalu. Atur balik langkah untuk lebih bersedia. Ada cara lain yang lebih selamat. Cuma fikirkan win-win situation. Guru senang, pelajar belajar.

Di mana ibu bapa? Adakah tanggungjawab mereka hanya memberi makan dan pakai? Tidak ada tanggungjawabkah ibu bapa untuk mendidik? Untuk memanusiakan anak-anak? Untuk menyemai nilai-nilai insani? Banyakkah urusan yang menghalang ibu bapa membesarkan anak-anak dari dekat. Dengan hati. Di bibir mata. Antara dua bibir. Sesentuh kulit di badan. Sehalus budi. Semengerti rasa. Seharusnya tanggungjawab ibu bapa adalah untuk memandaikan. Memanusiakan. Memberi pengisian cita-cita, hasrat dan azam. Kesedaran untuk menjadi ahli masyarakat. Ahli warganegara. Saudara seagama. Penuh dengan sifat-sifat kemanusiaan.

Pada hari ini saya percaya guru-guru baru terasa bahangnya. Terasa panasnya. Terasa ranjaunya. Itulah realitinya cikgu. Alammu penuh dengan onak dan duri. Segaramu penuh dengan ombak besar dan bukan lagi oleng di tepi pantai. Perahumu kecil untuk membelah lautan jika kail hanya panjang sejengkal. IPT hanya memberimu pasport. Lesen untk menjadi professional. Realitinya jauh panggang dari  api. Apa yang dipelajari tidak sama dengan realiti yang sebenarnya. Hakikinya terlebih dari ramuan yang selalu disediakan. Ada rempah ratus lain yang perlu ditambah. Yang perlukan adunan yang namanya pengamalan. Kesedaran bahawa ijazah bukan segala-galanya. Konvo dan jubah bukan pengukur kenikmatan berkerjaya. Hati dan budi perlu dicari di sudut qalbu. Di mana serpihan-serpihan yanag harus dicantum dan dimetrai.

Please do not despair. Masa masih sangat panjang untuk membina kehebatan. Membina kekuatan. Membina kesantunan menjadi guru. Jarak waktu nantinya akan memberikan asuhan dan bimbingan. Menaikkan semangat. Membrikan kepuasan yang selalu elusif. Calar hati yang sedikit hanya cubaan. Calar persaan yang sedikit hanya cabaran. Luka dan cedera pada harta benda hanya suatu anjalan dan anjakan untuk ke hadapan dengan tekad yang lebih kukuh. Mengatur  langkah-langkah waspada.  Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Hendak seribu daya tidak hendak seribu dalih.

Menjadi guru sangat banyak cabarannya. Seperti saya pesan sebelum ini, kau sukar mencari bantuan. Saya tidak pasti sama ada rakan-rakanmu di sekolah boleh membantu meringankan bebanmu. Sama ada guru disiplin boleh membantu menyelesaikan masalahmu. Sama ada Pengetua dan GPK dapat membantu menguraikan kekusutan masalahmu. Dalam banyak hal kau adalah sendirian. Kesunyian menghadapai tekanan perasaan ini. Yang menindih dan menghambat geram. Yang mengasak sakit menghimpit amarah yang payah hendak padam. Terhampar dengan kekecewaan yang amat mencengkam dalam mencalar. Gusar dan gundah gelana.

Itulah hakikat bahawa menjadi guru bukan seenteng yang dilihat. Semudah yang nampak di mata. Sesenang pandangan mata selintas lalu. Banyak kepayahannya yang mesti ditangani. Teori apapun perlu disesuaikan. Psikologi hanya jika sesuai. Variabelnya terlalu banyak untuk digabunglan. Untuk diharmonikan. Akhirnya kau kenalah kembali kepada dasarnya. Asasnya sahaja.
1                    Didiklah dengan seikhlasnya.
2                    Nasihat kepada yang memerlukan. Atau yang bersedia mendengarnya.
3                    Elakkan marah kerana itu bukan mode guru masa kini. Perbuatan itu hanya membina dendam di hati pelajar.
4                    Ambil tindakan yang perlu sahaja. Jangan suka mengadu kepada guru kelas atau guru disiplin atau GPK atau Pengetua.
5                    Jangan membebel. Bebelan ibu di rumah sudah cukup melemaskan.
6                    Jangan emosi kerana emosi menjangkit kepada amarah.
7                    Belajar membina kemahiran memenangi hati pelajar. Beri maklumat seerapa banyak. Tetapi jangan diberi peluang untuk memijak kepala.
8                    Jangan garang tetapi tegas.
9                    Pamerkan kekuatan semangat. Jangan mudah patah.
10                Pelajar yang nakal layan seperlunya sahaja. Jika perlu diabaikan, silakan. Takut jika diambil tindakan ibu bapanya mengamuk. Latah. Melenting tidak tentu pasal. Tetapi ajar tetap ajar.
11                Jika terssa hendak marah, gagahkan untuk senyum. Mudah-mudahan terbina kekuatan dalaman.
12                Bincang dan mintalah nasihat daripada guru-guru yang berpengalaman.
13                Banyakkan solat malam. Mohn dipermudahkan menjadai guru. Mohon supaya pelajar-pelajar mematuhi, akur dan tunduk kepada asuhan.
14                Banyak mengadu kepada Allah. Luahkan segalanya kepadaNya. Mohon bantuanNya. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui. InsyaAllah.

Sunday, April 17, 2011

Kecintaan Kepada Negara

Har ini Ahad 17 April saya menonton kemenangan Lewis Hamilton di litar F1 Shanghai, Cina. Sewaktu di podium Hamilton tentu terharu apabila lagu God Save The Queen diperdengarkan. Seluruh kawasan litar mendengarnya. Nanti dulu. Bukan. Seluruh dunia mendengarnya. Tentu rakyat Britain bangga mendengar lagu itu. Tentu mereka bangga kerana anak watan mereka mencetuskan fenomena di gelanggang F1.  Lagu kebangsaan mereka diperdengarkan. Penghormatan kepada negara mereka. Siapa yang tidak merasa tusukan nikmat bernegara. Nikmat mencetus rasa ria. Rasa gembira. Mendepangi dunia. Kejayaan menakluk hati dan sanubari warga dunia.

 Ada dua perkara yang selalu dilupai. Pertama bendera negara. Kedua lagu kebangsaan. Lagu negara. Bagi kita tentu Jalur Gemilang bukan calang-calang. Kibarannya mencacak di Kutup Utara. Jatuh ke bawah mencacak pula di Kutub Selatan. Menjulang ia tinggi lalu terbang mengawan dan menancap di Puncak Everest. Tolehlah ke manapun kibarannya menyejuk mata. Ia ada di Timur. Ia ada di Barat. Ia abadi dalam hati. Di mata dan di sanubari. Sebati selalu menggamit rasa cinta yang menyebak dada. Setiap kali nadanya didengar lagu Negaraku meremangkan bulu roma. Bait-baitnya yang mengusik rasa segar kerana banyaknya nostalgia. Sejarah bangsa yang panjang berantai dan berangkai.

31 Ogos 1957. Detik 12.00 tengahmalam yang gemilang. Yang terang benderang di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur. Di dataran Merdeka sekarang. Pasangan mata yang ribuan banyaknya. Sesak menyesak ribuan tubuh manusia yang sudah lama tekad untuk berkongsi saat itu. Naiklah Jalur Gemilang. Naiknya semakin tinggi. Remangan bulu roma yang seperti tidak lagi berdiri. Tegak mencacak semangat tinggi. Mengalir bersamanya semangat merdeka. Semangat bebas bak merpati putih yang terbang melayang meninjau jauh mengangkasa biru membelah buana nusa tercinta yang ketika itu namanya Persekutuan tanah Melayu. Kerana kecintaan kepada kebebasan kita panjangkan kepada saudara mara kita si Sarawak dan Sabah. Begitu juga kita undang Singapura dan Brunei. Hakikat yang kita ada ialah bahawa 13 negeri yang bersatu bernaungkan DYMM Sri Paduka BagindaYang DiPertuan Agung. Di bawah Jalur Gemilang juga pada 16 September 1963  kita realisasikan Malaysia. Itulah negara tercinta. Watan yang memberi rasa bangga. Yang kemerdekaannya selalu kita jaga. Kita pertahankan.

Cukupkah hanya dengan kata-kata? Cukupkah hanya dengan mengibarnya? Cukupkan hanya dengan melambaikannya? Cukupkah hanya dengan melarikannya pada kenderaan? Cukupkah hanya dengan mencacak di hadapan rumah? Cukupkah hanya dinaikkan setiap minggu di sekolah? Cukupkah? Cukupkah? Kadang-kadang saya terasa merintih kerana bendera negara itu tidak diberi erti yang besar. Makna yang segar. Dipandang dengan debar. Dilipat dengan sabar. Dibawa dengan gegaran hati dan goncangan rasa besar. Benarkah kita telah memberi erti yang sebenar? Betulkan kita telah memberi nafas segar untuk membesarkannya? Apa tandanya? Apa tandanya?  Cakap, takut tidak serupa untuk dikota. Di dengar, takut tidak menyusup hingga ke lubuk hati. Dilihat, takut tidak nampak besarnya yang tersirat erti dan makna yang dilambangkan pada warnanya. Pada bintangnya. Pada bulan sabitnya. Pada jalur dan kotaknya. Pada kibarannya yang menggoncang arah angin. Bangganya di tempat tinggi yang selalu didongak.

Sinonim benar bendera itu dengan lagu Negaraku. Lagu seriosa yang selalu gemersik meninggi mengumandang suara. Irama yang menggetar perasaan. Yang nadanya menggoncang semangat. Dulunya bak waja kerana perjuangan yang tidak pernah henti. Di belakang semua itu ada nama-nama yang pahit diingat sejarah. Yang kadang-kadang dilupa kerana terlalu lama meninggalkan sejarah. Kembalilah kepada perjuangan hidup mati Datuk Maharaja Lela. Yang jasadnya digantung kepala di bawah. Berhari-hari di Taiping. Ditonton. Dilihat. Dipandang. Hukuman penjajah yang memukul geram. Yang menyindir tajam. Yang menempelak. Yang mengunjam. Hilang upaya bangsa kita ketika itu. Kuatnya orang putih yang entah berapa kerat memperkuda kuasa. Ratusan tahun baru dapat dinyah. Malam 31 Ogos 1957 itulah Union Jack yang mereka kibarkan selalu di turunkan. Dilihat laju menderas menyembah bumi. Turunlah engkau dan kembalilah ke lubukmu yang jauh di utara. Tinggalkan kami membina puing-puing sejarah yang telah engkau injak-injak hingga tiada lagi harganya.

Dalam kumandang Negaraku itu tentu ada nafas Datuk Bahaman. Ada kelibat Mat Kilau. Ada saf Abdul Rahman Limbung. Ada wajah Mat Salleh. Ada sorak di Naning. Ada tangisan di Melaka. Ada teriakan di Sungai Johor dan Riau. Sungai Perak tidak selamanya putih kerana di dalam alirannya ada darah J.W.W. Birch yang tumpah di Pasir Salak. Yang bercampur menjadi penjana semangat. Walaupun si Putung kecundang kerana khianat bangsanya sendiri. Namun gahnya kekal hingga kini. Semangat itu yang sentiasa berkibar pada Jalur Gemilang. Yang selalu senada dengan Negaraku. Kibarannya semakin deras. Iramanya semakin jelas. Kita yang ditinggal dan diwariskan dengan sejarah itu mampukah mewarnainya lagi? Mampukah kita memberikan warna sejarah masa hadapan kita? Apa nanti yang dapat kita tinggalkan untuk anak cucu kita? Benarkah kita tidak bimbang bahawa Jalur Gemilang itu hanya berkibar tanpa semangat? Adakah nanti Negaraku berkumandang tanpa dimergerti bait-baitnya yang cukup sukar dibakar didada pejuang?

Lewis Hamilton mencetuskan kibaran Union Jack di litar-litar antara benua-benua. Selalu didengar dan ditonton oleh jutaan manusia. Lagu God Save The Queen berkumandang. Mahu tidak mahu telinga kita mendengarnya. Terkesan juga memberi hormat kepada anak watan negara orang. Apalah daya kerana kita masih terlalu jauh mencipta nama. Anak-anak watan kita disibukkan dengan gejala yang mengundurkan sejarah. Yang memuramkan kegemilangan semangat Jalur Gemilang dan Negaraku. Dunia sukan kita belum lagi menjadi industri besar. Yang dieksport ke dunia luar. Yang selalu boleh mengumandangkan Negaraku. Yang selalu dilihat mengibarkan Jalur Gemilang. Dunia sukan kita belum lagi menjadi penjana ekonomi kelas pertama. Yang mampu memberi makan kepada pencintanya. Yang memberi kenyang kepada pengikutnya. Yang menjadi industri besar menjamin keutuhan kewangan negara.  Yang boleh dicemburui. Yang dapat diikuti. Yang dicontohi. Yang akhirnya menjamin kesejahteraan jasmani, emosi, rohani dan intelek warganegaranya.

Kecintaan kepada Jalur Gemilang dan Negaraku mestilah diterjemahkan dalam bentuk kehidupan realiti. Ditafsir menjadi sesuatu yang hakiki. Kita menjadikannya sebagai sumber hidup sehari-hari. Bersamanya kita bernafas. Bersamanya kita hidup. Bersamanya kita mencipta kebanggan hidup bernegara. Telah dimerdekakan tanah air tercinta ini. Telah mengalir darah pejuang-pejuang. Telah bersemadi semangat-semangat besar yang memercu tanda perjuangan. Anak cucu yang ada semestinya terus menggembling tenaga memperkasakannya.

Entahlah jeritan rasa diri masih mencengkam. Yang dilihat ialah kesibukan mencari nama bukan memberi sumbangan. Terlalu individualistik yang kadang-kadang  menenggelamkan perjuangan sebenar yang perlu ditonjolkan. Semangat cintakan negara tenggelam kerana perjuangan diri yang tidak pernah selesai-selesai. Maslahah umum yang selalu terpinggir. Maslalah negara yang selalu terpencil. Kita mengejar yang kecil-kecil. Yang terlalu lama dikutip tetapi banyak yang tercicir. Fikirkanlah masa hadapan anak cucu kita. Nanti bila kita tiada ada tinggalan yang boleh dipesakai. Bahawa watan ini kekal kemerdekaannya. Bahawa Jalur Gemilang bukan lagi berkibar sendirian. Ia berkibar bersama hati-hati yang segar dan bukan walang. Negaraku berkumandang dengan semangat juang yang tak kunjung padam. Usahlah dimalapkan kegemilangannya. Kita yang dewasa berilah suluhan terang. Yang muda jalanlah ke hadapan mengejar terang cahaya itu.

Saturday, April 16, 2011

Hall Of Famer

Sistem pendidikan kita telah melalui beberapa fasa yang banyak. Panjang sejarahnya. Mengikut sejarahnya sudah ada sejak zaman kerajaan Sri Vijaya lagi. Atau mungkin sebelum itu. Mungkin zaman Demang Lebar Daun. Raja Suran. Daun-daun lontar yang akhirnya me njadi lambang Dewan Bahasa dan Pustaka itu menjadi saksi dan bukti bahawa orang Melayu sudah ada tulisannya sendiri ribuan tahun dahulu. Batu bersurat yang dijumpai di Kuala Berang, Terengganu pula membuktikan bahawa Islam dan tulisan Arab (Jawi?) telah sampai  ke Semenanjung pada kurun yang ke-13. Sebelum dikatakan sampai di Melaka. Islam sahaja sudah lebih tujuh ratu stahun. Jika dilihat artifak di Lembah Bujang, maka sejarah orang Melayu jauh lebih lama dari yang disangkakan.

Dalam menelusuri sejarah gemilang masa lampau itu kita kehilangan arah. Kita tidak mengembangkan apa yang ada. Apa yang kita warisi. Apa yang kita sayangi. Apa yang menjadi pesaka kita. Apa yang dalam tangan itu tercicir entah di mana. Larut dan bocor di sepanjang jalan menuju kejayaan. Sebaliknya kita ambil budaya lain. Yang Islam sepatutnya menjadi keutamaan. Itupun kita lepaskan. Kita abaikan. Kita pinggirkan. Kita kesampingkan. Kita nyahkan dari halaman kita. Dari hadapan kita. Dari jangkauan dan garapan kita. Kita mencari yang lain walaupun yang lain itu tidaklah superior berbanding dengan yang Islam. Satu contoh yang unik dalam hal ini ialah penggunaan nombor Arab. Ramai orang menyangka bahawa nombor Arab ialah Û±Û²Û³ dan sebagainya. Walhal hakikatnya ialah nombor 1, 2, 3 dan seterusnya. Itulah nombor Arab yang sudah disempurnakan. Sarjana Islam yang memberi erti akan nombor 0 (nihil). Begitu juga konsep infiniti.

Ramai orang yang melihat bahawa sistem pendidikan di Amerika Syarikat sebagai yang terunggul. Jika kita buat sedikit kajian, sistem pendidikan kebanyakannya sama. Yang berbeza ialah falsafahnya. Yang lain ialah prasarananya. Yang mencipta kelainan ialah professionalism guru-gurunya. Yang membezakan ialah pelaksanaannya. Russia banyak kali meninggalkan Amerika. Jepun dibimbangi. Cina dicurigai. Eropah selalu menjadi saingan. Kita pula banyak bercerita tentang acuan sendiri. Kita bercakap tentang world class.  Maaflah. Kadang-kadang kita lebih bercakap. Nampaknya yang hendak dilihat  kurang pula. Pada tahun 1957 Russia melancarkan Sputniknya yang pertama. Itulah kapal angkasa yang pertama di dunia. Russia mendahuluai Amerika Syarikat. Bagai nak gila orang Amerika. Siang malam mereka merealisasikan impian mengungguli Russia. Hasilnya pada tahun 1960 Neil Young mendarat di bulan. Menanglah soraknya. Persaingan itu kekal hingga kini.  Setelah tamat perang dingin – The Cold War- perlumbaan antara mereka masih sengit. Semuanya kerana prestij. Imej. Di hujung perlumbaan itu ada konotasi politik. Mahu menguasai dunia. Pada cabang yang lain mereka menghambat kejayaan ekonomi. Menguasai pasaran dunia.

Saya melihat pendidikan di Amerika sama juga dengan di negara kita. Silibusnya sama. Kurikulumnya sama. Apa yang membezakannya sebenarnya? Kenapa lulusannya lebih unggul? Anak-anak mereka difalsafahkan. Mereka adalah yang terbaik. The best there was. The best there is. The best they will be.  Slogan “Malaysia Boleh” masih banyak sebagai slogan. Amerika sudah ratusan tahun merealisasikan impian mereka. Hastrat mereka. Imaginasi mereka. Bukan igauan lagi. Penambahbaikan sentiasa dilakukan. Yang terbaik disediakan. Anak-anak mereka menerima yang terbaik. Kerajaannya menyedikan yang terunggul di dunia. You name it you get it. You ask for it you get it. Maka excellence itu bukan lagi lip service. Ia adalah rempah ratus kehidupan mereka. Asam garam yang mesti ada. Perencah yang memang termaklum wujud.

Waktu di sana, kali pertama saya mendengar istilah hall of fame saya jadi keliru. Apa sebenarnya istilah itu? Sekarang ini sudah menjadi biasa pula saya mendengarnya. Apa sahaja yang mencipta sejarah akhirnya diabadikan sebagai hall of famer. Tercatat dalam senarai hall of fame. Selama setahun anak saya top the class dalam ujian matematik. Namanya tercatat dalam hall of fame di sekolahnya. Frick Middle School Itulah kali pertama saya mendengar istilah yang begitu gamat di sana. Mereka berlumba-lumba meletakkan nama mereka sebagai hall of famer. Satu kejayaan. Kata Maslow, self actualisation. Saya tercari-cari juga  implikasinya yang menjadi motivasi. Alanglkah jika hal yang serupa itu ada di sini. Dalam sistem pendidikan kita. Dalam sistem yang sedang kita kembang luas dan lebarkan. Nampaknya masih belum tercipta secara sedar. Untuk memotivasikan pelajar. Ibu bapa mereka. Untuk masyarakat.

Di Amerika Sarikat kebanyakan guru besar memiliki PhD. Guru-gurunya sangat biasa yang memiliki MEd. Malah di tadika gurunya memiliki MEd. Bukan itu sahaja mereka terus dibangun dan dikembangkan menjadi profesional pendidikan yang berwibawa. Pakar dalam bidang-bidang yang utama. Setiap bulan mereka berkursus. Sekali setiap bulan  sekolah ditamatkan awal supaya pada waktu seterusnya pada hari itu guru-guru menjalani proses professional development. Academic development. Setiap  masa mereka bukan mengikut arus. Tetapi mungkin menyongsong arus. Atau mungkin membina arus. Falsafah pragmatism direalisasikan secara positif untuk mencabar kebiasaan. Dengan premis dan andaian dan hipotesis yang sentiasa dibuktikan benar Mereka mencipta pembaharuan. Kesemuanya disesuaikan. Disegerakkan. Diasimilasikan. Diakamodasikan.  Kerangka pendidikan tetap kekal sama. Pengisiannya yang berbeza. Proses updatenya sentiasa berlaku. Maka ana-anak mereka sentiasa dalam keadaan advanced. Mereka tidak ada yang namanya national examination. Jika adapun bukan untuk  mencipta kejayaan seperti UPSR, PMR, SPM, STPM. Mereka hanya ingin national norm. Di mana letaknya seseorang pelajar itu dalam konteks seluruh pelajar yang sebayanya di seluruh negara mereka.  Mungkin top 5% atau the other extreme. bottom 5%.  Yang lain berada antara kedunya. Atau mungkin sekadar menjadi pelajar-pelajar average sahaja. Penilaian kebangsaan tidak ada. Yang ada penilaian sekolah seperti yang sedang kita usahakan sekarang. Sedar atau tidak kita 30 tahun tertinggal jauh di belakang berbanding Amerika Syarikat. Renungkanlah. Wawasan 2020 tinggal sembilan tahun lagi.

Di mana pelajar kita berbanding rakan sebayanya di seluruh dunia? Kita dalam dunia global. Semakin kecil dan mengecil daerahnya. Di sebalik benuapun seperti di sebelah dinding sahaja. Maklumat di hujung jari. Kamera maya ada di mana-mana. Satelit sentiasa beredar. Google sentiasa melihat. GPS atau GPRS sangat biasa. Maknanya kita sentiasa dimata-matai. Apa yang kita buat mereka lihat. Malangnya apa yang mereka buat tidak kita ketahui. Lalu kita mabuk sendiri. Kita rasa kita mencipta yang terbaik.  Meneroka yang terbaru. Mungkin jika kita buka mata sedikit kita dapat melihat bahawa kita di belakang. Jauh di belakang. Di seberang lebuhraya kejayaan dan kehebatan.  Hanya Nampak berbalam. Entahkan ya entahkan tidak.