Thursday, April 21, 2011

Cabaran Guru Muda


Setelah reda dari kesibukan berakademik mulalah bertugas menjadi guru. Hajat dihati hendak menjadi guru yang berwibawa. Kadang-kadang percaturan tidak menjadi. Set pelajar yang ada tidak kesemuanya memenuhi keinginan untuk memberi bakti. Mereka bukan jenis yang diimajinasikan. Khayalan dulu menjadi ilusi semata-mata. Sekarang baru diketahui bahawa apa sahaja tindakan ada tindak balasnya. Positif yang diharapkan negatif yang dibalas.

Dulu-dulu saya tulis mengenai ucapan saya mengiringi guru-guru baru untuk bertugas membina bangsa. Memberikan pengorbanan yang tidak terkira. Meninggalkan kampung halaman dan semua yang disayangi. Yang tercinta. Perginya dengan satu tekad untuk berbakti. Melestarikan bangsa mulia yang ternama. Setelah bertugas kira-kira enam bulan barulah tersentak dengan kesedaran hakiki. Menjadi guru bukan semudah yang disangka. Orang yang bukan guru sinis semacam seolah-olah menjadi guru adalah suatu profesion yang remeh. Tidak perlu dipandang sebelah mata. Senangnya mulut berkata sekadar hanya mengatupkan bibir atas dan bibir bawah. Kulum lama dan ludah merata-rata.

Anak-anak muda yang dilepaskan untuk menyambung warisan dan legasi bangsanya, agamanya, keturunannya terasa ditampar-tampar. Terasa disepak terajang. Terasa dilempang-lempang. Begitulah kuatnya badai terkaman dan tikaman profesion yang namanya guru. Sesungguhnya manusia kecil yang bernama murid bukan calang-calang manusia. Dalam darah mereka mengalir sesuatu yang merah tetapi tidak dapat difahami kenapa merahnya menyala-nyala. Terlalu banyak sifat amarahnya. Aliran darahnya mengandungi bauan busuk yang me nikam-nikam hidung yang menghidu. Melambak-lambak mazmumahnya. Sangat sukar mencari mardhiah atau kebaikan yang lain yang boleh menyejukkan mata dan hati. Yang boleh mendamaikan perasaan. Yang boleh melegakan. Yang boleh memberikan kebahagiaan.

Dalam diri mereka ada ketulan-ketulan daging yang entah baik entah busuk. Entah halal entah haram. Entah sihat entah sakit. Lalu badan-badan yang nampak sasa itu sebenarnya perlukan rawatan untuk menjadi manusia yang bernama insan. Yang akhlaknya mulia. Yang mematuhi rukun iman. Yang melaksanakan rukun Islam. Yang menggalakkan amr maaruf dan nahi mungkar. Yang hati budinya mengandungi sifat-sifat kemanusiaan. Keperihatinannya kepada orang lain. Tidak melebihkan dirinya sahaja. Yang tidak pentingkan dirinya sahaja. Tidak menafikan hak orang lain. Tidak mengnyahkan orang lain kerana bukan kelompoknya.

Hati mereka selalu dibakar untuk melakukan yang anti-establishment. Semua orang tua perlu dimusuhi. Ibu bapa menjadi dinding yang menghalang kebebasan. Guru-guru menjadi proxy ibu bapa yang perlu disingkirkan. Mereka menuntut kebebasan walaupun tidak mengerti erti bebas. Mereka ingin merdeka walaupun kemerdekaan tidak membebaskan mereka. Mereka menuntut keadilan walaupun mereka tidak tahu bahawa keadilan yang mereka terima sekarang ini melebihi dari sukatan dan had yang seperlunya. Mereka menuntut keperluan mereka dituruti walaupun sudah terlalu banyak diberi. Terlebih-lebih disajikan melebihi keperluan. Menjadilah mereka orang-orang yang tidak bersyukur.

Siapa sebenarnya anak-anak kita yang bersekolah itu? Apa yang berlaku di sekolah? Ke mana mereka akan pergi? Apa jadinya nanti? Kita ingin bertanya di mana guru sebenarnya? Bagaimana dilema ini harus dapat mengangkat martabat guru? Akan kembalikah zaman gemilang keguruan seperti Za’ba, Aminudian Baki, Awang Had Salleh dan mereka yang menempa kejayaan sebelumnya? Jalan di hadapan banyak benar likunya.  Banyak simpangnya. Tinggi rendah hingga sukar hendak menari. Untuk mencari rentak. Iramanya selalu tidak menjadi. Ada rima tetapi tiada melodi. Kaku. Kejang. Menghampakan. Itulah dunia realiti menjadi guru.  Usah digusarkan sangat tercalar kereta. Usah bimbang terkemik kereta. Sekarang masa untuk mengundur ke belakang. Surut dari kebiasaan. Kendur dari kegahairahan selalu. Atur balik langkah untuk lebih bersedia. Ada cara lain yang lebih selamat. Cuma fikirkan win-win situation. Guru senang, pelajar belajar.

Di mana ibu bapa? Adakah tanggungjawab mereka hanya memberi makan dan pakai? Tidak ada tanggungjawabkah ibu bapa untuk mendidik? Untuk memanusiakan anak-anak? Untuk menyemai nilai-nilai insani? Banyakkah urusan yang menghalang ibu bapa membesarkan anak-anak dari dekat. Dengan hati. Di bibir mata. Antara dua bibir. Sesentuh kulit di badan. Sehalus budi. Semengerti rasa. Seharusnya tanggungjawab ibu bapa adalah untuk memandaikan. Memanusiakan. Memberi pengisian cita-cita, hasrat dan azam. Kesedaran untuk menjadi ahli masyarakat. Ahli warganegara. Saudara seagama. Penuh dengan sifat-sifat kemanusiaan.

Pada hari ini saya percaya guru-guru baru terasa bahangnya. Terasa panasnya. Terasa ranjaunya. Itulah realitinya cikgu. Alammu penuh dengan onak dan duri. Segaramu penuh dengan ombak besar dan bukan lagi oleng di tepi pantai. Perahumu kecil untuk membelah lautan jika kail hanya panjang sejengkal. IPT hanya memberimu pasport. Lesen untk menjadi professional. Realitinya jauh panggang dari  api. Apa yang dipelajari tidak sama dengan realiti yang sebenarnya. Hakikinya terlebih dari ramuan yang selalu disediakan. Ada rempah ratus lain yang perlu ditambah. Yang perlukan adunan yang namanya pengamalan. Kesedaran bahawa ijazah bukan segala-galanya. Konvo dan jubah bukan pengukur kenikmatan berkerjaya. Hati dan budi perlu dicari di sudut qalbu. Di mana serpihan-serpihan yanag harus dicantum dan dimetrai.

Please do not despair. Masa masih sangat panjang untuk membina kehebatan. Membina kekuatan. Membina kesantunan menjadi guru. Jarak waktu nantinya akan memberikan asuhan dan bimbingan. Menaikkan semangat. Membrikan kepuasan yang selalu elusif. Calar hati yang sedikit hanya cubaan. Calar persaan yang sedikit hanya cabaran. Luka dan cedera pada harta benda hanya suatu anjalan dan anjakan untuk ke hadapan dengan tekad yang lebih kukuh. Mengatur  langkah-langkah waspada.  Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Hendak seribu daya tidak hendak seribu dalih.

Menjadi guru sangat banyak cabarannya. Seperti saya pesan sebelum ini, kau sukar mencari bantuan. Saya tidak pasti sama ada rakan-rakanmu di sekolah boleh membantu meringankan bebanmu. Sama ada guru disiplin boleh membantu menyelesaikan masalahmu. Sama ada Pengetua dan GPK dapat membantu menguraikan kekusutan masalahmu. Dalam banyak hal kau adalah sendirian. Kesunyian menghadapai tekanan perasaan ini. Yang menindih dan menghambat geram. Yang mengasak sakit menghimpit amarah yang payah hendak padam. Terhampar dengan kekecewaan yang amat mencengkam dalam mencalar. Gusar dan gundah gelana.

Itulah hakikat bahawa menjadi guru bukan seenteng yang dilihat. Semudah yang nampak di mata. Sesenang pandangan mata selintas lalu. Banyak kepayahannya yang mesti ditangani. Teori apapun perlu disesuaikan. Psikologi hanya jika sesuai. Variabelnya terlalu banyak untuk digabunglan. Untuk diharmonikan. Akhirnya kau kenalah kembali kepada dasarnya. Asasnya sahaja.
1                    Didiklah dengan seikhlasnya.
2                    Nasihat kepada yang memerlukan. Atau yang bersedia mendengarnya.
3                    Elakkan marah kerana itu bukan mode guru masa kini. Perbuatan itu hanya membina dendam di hati pelajar.
4                    Ambil tindakan yang perlu sahaja. Jangan suka mengadu kepada guru kelas atau guru disiplin atau GPK atau Pengetua.
5                    Jangan membebel. Bebelan ibu di rumah sudah cukup melemaskan.
6                    Jangan emosi kerana emosi menjangkit kepada amarah.
7                    Belajar membina kemahiran memenangi hati pelajar. Beri maklumat seerapa banyak. Tetapi jangan diberi peluang untuk memijak kepala.
8                    Jangan garang tetapi tegas.
9                    Pamerkan kekuatan semangat. Jangan mudah patah.
10                Pelajar yang nakal layan seperlunya sahaja. Jika perlu diabaikan, silakan. Takut jika diambil tindakan ibu bapanya mengamuk. Latah. Melenting tidak tentu pasal. Tetapi ajar tetap ajar.
11                Jika terssa hendak marah, gagahkan untuk senyum. Mudah-mudahan terbina kekuatan dalaman.
12                Bincang dan mintalah nasihat daripada guru-guru yang berpengalaman.
13                Banyakkan solat malam. Mohn dipermudahkan menjadai guru. Mohon supaya pelajar-pelajar mematuhi, akur dan tunduk kepada asuhan.
14                Banyak mengadu kepada Allah. Luahkan segalanya kepadaNya. Mohon bantuanNya. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui. InsyaAllah.

No comments:

Post a Comment