Wednesday, April 27, 2011

Selamatkah Anak Kita Di Sekolah?


Sudah 42 tahun saya menjadi guru. Telah sembilan orang anak saya bebas dari alam persekolahan. Telah 10 orang cucu saya bersekolah. Selama ini saya tidak pernah memikirkan tentang hidup mereka di sekolah. Yang saya faham saya menjadi custodian kepada pelajar-pelajar saya. Yang saya tahu anak-anak saya dijaga oleh guru-guru mereka di sekolah. Siapa lagi jika bukan mereka. Cuba kita berhenti sejenak. Cuba kembali ke sekolah. Bayangkan kita masuk melalui get yang dikawal  oleh pengawal yang setia. Melepasi get itu pasti membawa kita ke suatu alam luas yang seolah-olahnya tiada sempadan. Tiada tepi. Tiada batas ruang. Tiada batas masa. Dari Pengetua/Guru Besar hinggalah pelajar yang paling kecil dan paling rendah tahapnya hadirnya umum dan bebas. Sekolah adalah suatu ruang besar yang terapung di awang-awangan. Bagi orang di luar sekolah ianya suatu entity yang terasing. Dunia istimewa yang kadang-kadang tidak dimengerti. Semua orang berhubung dengan sekolah. Andaiannya ialah sekolah adalah sesuatau yang dianggap biasa. Things taken for gtanted.

Dalam keadaan yang umum kita melihat suatu panorama tanpa kerangka yang jelas. Jalan dan berdirinya mereka. Duduk dan bangunnya mereka. Berlari dan mendiamnya mereka. Suara dan gurau. Tawa dan tangis. Pekik dan laung.  Siapa mereka? Apa yang mereka lakukan sebenarnya? Sekilas pandang keadaan seolah-olahnya sangat teratur. Ada sistem yang membawa arus. Arahnya seperti hanya satu. Sukar melihat sesuatu yang menyongsong arus. Nampak damai dan aman. Tenang dan selesa. Cuba lihat kembali visual yang tertera di mata. Kanak-kanak yang kecil dan besar itu siapa yang memerhati? Siapa yang menjaga mereka? Siapa yang menjamin keselamatan mereka? Yang menentukan kesejahteraan mereka. Yang mengotakan bahawa datang dan kembalinya mereka dalam keadaan selamat. Sihat walafiat. Exactly in one piece. Datang dan perginya lengkap tiada yang kurang. Tiada apa yang berbeza.

Saya tanya diri saya sendiri berulang kali. Siapa yang telah menjaga anak-anak saya dahulu? Siapa pula yang menjaga pelajar-pelajar di sekolah sekarang ini? Tiada jawapan. Carilah. Kita tidak boleh menipu diri kita sendiri. Apabila masuk ke dalam get anak kita berjalan menuju ke mana sahaja mengikut hati. Mengikut kakinya yang melangkah. Mengikut mata yang arahnya ke hadapan. Mengikut tarikan-tarikan yang mungkin tidak terkawal. Mungkin ia ke kantin. Mungkin ke kelas. Mungkin ke makmal. Mungkin ke bengkel. Mungkin ke pusat sumber. Mungkin ke padang. Mungkin ke gelanggang. Mungkin ke bilik air. Mungkin ke mana sahaja yang tidak terfikirkan oleh pihak sekolah. Kembali semula kepada soalan asas. Siapa yang menjamin keselamatan mereka? Kesejahteraan mereka? Siapa yang memata-matai mereka? Siapa? Siapa? Apa yang saya rasa ialah sesuatu yang menakutkan. Menggusarkan. Menyerahkan diri saya kepada sesuatu yang tidak ada ketentuan. Tidak ada kepastian. Kepada suatu kekosongan. Lompang kosong. Yang menyerap segala keyakinan. Ibu bapa melemparkan anak-anak to the unknown. Agak kasar jika saya kata kita masukkan anak-anak ke dalam suasana terbuang.

Apa tugas pengawal? Yang kita tahu dia tidak menjaga anak-anak kita. Dia menjaga get. Dia menjaga keselamatan suasana bangunan. Menjaga kawasan sekolah. Dia tidak menjaga keselamatan orang-orang yang berada di sekolah pada dasarnya. Hanya anggapan bahawa dia mejaga keselamaan insan di dalamnya. Jika itu tugasnya sekalipun dia tidak sepenuhnya melaksanakan tanggungjawab itu. Sebahagian kecilnya benar. Di get dia mempastikan mereka yang berhak sahaja boleh masuk dan keluar. Ada kesopanan. Ada kesantunan untuk melalui get itu. Tentulah dengan keizinan bagi yang lazimnya tidak memiliki hak. Ramai yang berminat untuk masuk ke dalam sekolah. Akhirnya anak kita bukan dipantau oleh pengawal. Keselamatannya bukan tanggungjawab pengawal.

Pengetua/Guru Besar? Mereka dikatakan the ultimate authority. Benarkah begitu? Legally yes. Practically maybe not. Mereka tiada peluang khusus untuk menjaga keselamatan pelajar. Mereka mengupayakan guru-guru lain untuk menjalankan tugasnya menjaga pelajar. Diturunkan kuasanya kepada guru lain. Mereka banyak di biliknya sahaja. Jika meronda hanya sekali sekala sahaja. Itupun untuk hal-hal yang spesifik sahaja. Banyak masanya untuk hal-hal lain. Belum lagi tugasnya di luar sekolah. Untuk daerah. Untuk negeri. Untuk negara. Bila dan bila Pengetua/Guru Besar memata-matai anak-anak kita? Menjaga keselamatan anak-anak kita?

Guru disiplin yang kebanyakannya untuk ditakuti. Untuk melaksanakan tindakan menghukum.  Untuk mengenakan tindakan-tindakan keras. Konotasinya bukan untuk bermesra dengan pelajar. Bukan mesra pelajar. Bak sang algojo yang memegang pedang untuk memancung. Untuk mencantas mereka yang bersalah. Semuanya pesalah bukan yang melakukan salahlaku. Bukan pesalah laku yang belum mengerti kesalahannya. Yang dianggap salah oleh orang dewasa. Standard orang dewasa. Standard guru.  Bukan standard pelajar yang belum matang. Yang belum mengerti. Yang belum dapat menyeimbangkan  antara hak dan batil. Benar dan salah. Apakah guru disiplim menjaga keselamatan anak-anak kita sebenarnya?

Guru Bertugas? Di mana guru ini bertugas? Jawabnya senang. Di sekolah. Tetapi di mana secara spesifik? Guru bertugas hanya seorang. Dia hanya ada di suatu tempat pada suatu detik masa. Dia tidak mungkin mengklon dirinya supaya pada suatu masa dia berada di mana-mana. Langsung tidak mungkin. Mustahil kata orang. Jadi apa tugasnya? Bagaimanakah dia menjaga keselamatan anak-anak didiknya? Suatu kepastian yang tidak ada jaminan. Ketidakpastian yang sangat samar. Too many grey areas. Sekolah mengandaikan guru bertugas menjaga anak-anak murid di sekolah. Ibu bapa mengandaikan anak-anak mereka dijaga di sekolah. Masyarakat menganggap sekolah adalah tempat yanh selamat kerana diawasi oleh petugas-petugas profesional. Yang sangat terlatih. Hakikatnya tidak. Tidak benar. Hanya andaian. Hanya anggapan. Fallacy. The unsung truth.

Guru kelas? Maaflah. Guru kelas mungkin sekali dalam sehari. Hanya untuk tahu siapa hadir dan tidak hadir. Siapa sakit dan siapa bermasalah. Memungut yuran atau apa-apa lain yang berkaitan dengan pengurusan kelasanya. Autoritinya terhad. Tanggungjawabnya yang besar. Tetapi dia tidak berada di kelas itu. Dia tidak mengadap muridnya setiap waktu. Ruang masa untuk bertemu dengan mereka sangat terhad. Jika dikatakan guru kelas menjaga keselamatan murid-muridnya tentu tidak menepati hasrat keselamatan yang dimaksudkan. Selamatkah anak-anak kita di sekolah?

Guru matapelajaran? Guru ini ada masanya tidak masuk ke semua kelas. Jadualnya tertentu. Ada hari dia masuk. Pada hari yang lain tiada jadual untuknya. Maknanya urusan keselamatan pelajar hanya semasa guru itu berada dalam kelas itu. Pada waktu yang lain tidak diketahui siapa yang bertanggungjawab atas keselamatan anak-anak kita itu. Guru mata pelajaran jadualnya terhad. Sumbangannya untuk mempastikan keselamatan anak-anak kita tiada kepastiannya. Lagipun guru mata pelajaran berpindah-pindah dari satu kelas ke kelas yang lain. Dia lebih menumpukan pemikirannya untuk kesejahteraan pelajarnya. Untuk  mata pelajarannya sahaja. Itulah tugas terasnya.

Kerani?  Mereka hanyalah supporting personnel.  Membantu dari segi pentadbiran. Protokolnya. Proses dan prosedurnya. Mereka duduk di pejabatnya. Mengadap komputer masing-masing. Menyelesaikan kekalutan pentadbiran. Membantu pihak sekolah melicinkan urusan sekolah. Keselamatan anak-anak kita bukan tanggungjawab mereka. Mereka muncul pada masa-masa tertentu. Bantuan yang dihulur dari masa ke semasa. Namun kita tidak dapat terlalu mengharapkan mereka untuk menjaga keselamatan anak-anak kita. Waktu mereka bekerja sangat terikat dengan antara 8.00 pagi hingga 5.00 petang. Guru juga yang diharap walaupun harapan itu pada kebanyakan masa adalah palsu. Hanya satu ilusi.


Pengawas? Saya kasihan kepada mereka. Mereka datang ke sekolah untuk belajar. Tetapi semua orang seolah-olahnhya merestui bahawa mereka tidak perlu belajar sangat. Mereka masuk ke kelas  setelah pelajaran bermula. Mereka keluar kelas sebelum orang lain habis belajar. Pada waktu petang mereka balik lewat. Ada mesyuarat tindakan yang mesti dihadiri. Mereka kehilangan jatidiri sebagai pelajar biasa di sekolah. Sekolah dan guru-guru mengharap mereka menyelesaikan masalah disiplin di sekolah. Tidak hairan mereka didendami oleh pelajar-pelajar lain di sekolah. Di kelas yang sama. Saya tidak arif. Keadilan diberikan kepada mereka atau tidak?


Rakan sebaya juga yang banyak membantu. Tanpa rakan sebaya kebanyakan pelajar tiada siapa yang melihat-lihat mereka. Yang mengawasi mereka. Yang memata-matai mereka. Cuma suatu hal yang anak-anak kita tidak mahir ialah kemahiran memilih rakan taulan yang sesuai. Yang positif. Yang membantu. Yang simpati. Yang empati. Ramai yang gagal memilih rakan. Jadilah mereka kacang hantu di sekolah. Ramai yang ponteng. Menghisap rokok. Tidak membuat kerja rumah. Enggan mengikut arahan. Dan banyak lagi tingkah laku devian yang mereka lakukan. Anak yang sangat baik di rumah bertukar menjadi anak-anak yang kehilangan arah apabila sampai di sekolah. Allahu Akbar. Di mana silapnya?

Diri mereka sendiri yang akhirnya dibawa ke mana-mana. Mesti memiliki IQ (intelligent quotient – kecerdasan minda) yang menasabah. EQ (emotional quotient – kecerdasan emosi) yang sesuai. AQ (adversary quotient – kecerdasan menghadapi cabaran) yang sepadan. SQ (social quotient – kecerdasan sosial) yang melestarikan dirinya dengan alam sekelilingnya.  SpQ (spirituan quotient – kecerdasan rohani) yang menenangkan sifat amarah. Ganas.  Buas. Jika anak-anak kita tidak mampu berdikari kita sebagai orang dewasa sebenarnya menganiaya mereka. Jangan terlalu mengharapkan guru kerana guru bukan untuk anak kita seorang. Diri guru yang tidak seberapa itu milik semua murid yang beribu-ribu jumlahnya. Guru pula banyak beban tugasnya di sekolah. Mengajar hanya sebahagian kecil sebagai tugas tunggak. Teras kepada jawatannya. Yang lain tugas yang datang dan pergi. Tugas bukan mengajar terlalu banyak untuk diselesaikan. Perlu sempurna pula. Itu arahan Pengetua/Guru Besar. Itu arahan PPD. Itu arahan Pengarah dari jabatan. Itu arahan menteri. Akhirnya ibu bapa bertanya. Siapa yang jaga anak-anak mereka? Selamatkah?



No comments:

Post a Comment