Sunday, October 24, 2010

Agenda dan Sengketa Yang Selalu Berhambat

Dua negara boleh berperang kerana berbeza ideologi. Kerana berebut sempadan. Kerana mengganggu hal-hal negara yang lain. Kerana hal-hal yang disebabkan public sentiment. Sentimen yang selalu skewed kepada mereka yang berkepentingan diri. Peperangan boleh berlaku kerana ada agenda yang tidak tersurat. Yang tidak dihasratkan dengan nyata. Yang tidak dihebahkan. Yang tidak dimaklumkan. Begitulah dua keluarga boleh bersengketa atas alasan yang sama. Begitulah dua orang manusia boleh bersengketa kerana hal-hal yang sama. Kita selalu berhadapan dengan situasi yang tidak dirancang. Situasi yang tidak kita gemari. Dalam keadaan tertentu kita tidak mahu ada orang lain masuk campur dalam urusan hidup kita. Tetapi itulah yang berlaku selalu. Masuk campur itu sangat senang. Mencampuri urusan orang lain itu sesuatu yang selalu berlaku. Sebab itu berlaku sengketa.

Bayangkan dua buah negara berperang kerana sebab yang remeh temeh. Ada yang berperang kerana negara itu takut diserang. Ada yang melancarkan perang hanya kerana kalah bermain bola sepak. Ada yang berperang kerana syak wasangka. Takut negara jirannya mengancam keselamatannya. Apabila manusia sampai kepada kemuncak tidak waras maka berlakulah hal-hal yang sukar difahami.

Akibatnya terlalu banyak. Terlalu mendukakan. Terlalu sulit untuk dirungkai. Antara dua negara boleh terpisah. Bukan kerana sempadan tetapi kerana belahan hati yang robek kerana tidak serasi. Antara dua buah keluarga boleh dingin. Antara besan, antara kekasih, antara suami isteri, antara adik beradik, antara jiran walhal ia boleh berlaku antara siapa sahaja. Boleh berlaku di pejabat, di pasar, di jalanan dan entah di mana-mana sahaja. Sebabnya sangat mudah. Seperti api dengan minyak yang mudah menyambar terbakar. Ada hal yang seepatutnya dijauhi tetapi dihampiri. Ada yang dengan sengaja menyalakan sengketa. Ada yang tidak sengaja menyebabkannya begitu. Ada pula kerana kejahilan-kejahilan yang sukar diperhalusi.

Ramai orang yang selalu sangat suka menjaga tepi kain orang. Ini yang berat. Memang ada orang yang kena jaga kainnya kerana dia tidak pandai menjaga kain. Tetapi yang lain tidak boleh dijaga kainnya kerana dia tahu menjaga kainnya sendiri. Mengambil sikap mudah bahawa semua kain orang perlu dijaga rasanya terlalu naif. Mengambil jalan mudah. Berapa ramai sebenarnya orang yang tidak mahu kainnya dilihat orangpun. Apatah lagi untuk dijaga kainnya.

Beginilah, setiap orang itu berbeza antara satu sama lain. Fizikalnya berbeza walaupun adik beradik ada iras-irasnya. Tingkah lakunya berbeza. Perasaannya berbeza. Emosinya berbeza. Psikologinya berbeza. Falsafah hidupnya berbeza. Gaya hidupnya berbeza. Kehendaknya berbeza. Keperluannya berbeza. Hatta agenda diri dan peribadinya berbeza. Kadang-kadang dia ingin menyendiri kerana akal perasaannya berbeza dengan orang lain.

Orang Islam hanya boleh masuk campur hal orang lain dari segi dua perkara. Menggalakkan dan memotivasi orang lain ke arah kebaikan. Keduanya mencegah kemungkaran dalam apa bentuk sekalipun. Hal-hal lain yang tidak melanggar syara’ tidak perlu diganggu. Yang bukan maksiat tidak boleh diganggu. Yang tidak mengganggu orang lain tidak boleh diganggu. Yang tidak merosakkan orang lain tidak boleh diganggu.

Sikap kita selalunya menjurus kepada dua perkara. Pertama bersandarkan agama. Keduanya bersandarkan adat. Ada pula yang memilih yang ketiga iatu mengikut kebiasaan. Ini sangat menyulitkan.

Dalam banyak hal mulut kita yang selalu menjadi angkara. Mulut yang kecil ini selalu menggoncang perasaan. Menggoncang keperibadian. Mengguggat kedamaian. Merosakkan hubungan. Membataskan kemesraan. Menyekat silaturrahim. Memusnahkan ikatan. Bentuk mulut bukan ukuran. Perkataan, kata-kata yang keluar dari mulut dinilai baik atau sebaliknya. Malangnya kita selalu terlajak cakap. Terburai kata. Lepas bicara. Terlajak di sana dan di sini. Liar tidak menentu. Laser membelah hati-hati yang terlalu luka. Perasaaan yang tertimpa. Hati yang hiba.

Kita lupa bahawa kata-kata manusia jauh lebih tajam dari mata pedang. Ia menggores bagi yang kebal. Ia menusuk bagi yang lembut hatinya. Ia menikam bagi yang alpa. Datangnya dari hadapan dan belakang. Dari depan ia berupa perli, caci maki, cercaan, sindiran, tempelakan dan sindiran. Dari belakang biasalah umpatan dan kejian, syak wasangka, tohmatan, spekulasi. Kedua-duanya sama menghiris luka yang bisa. Mengalirkan darah kesakitan. Melukakan dalam dan luar. Meleburkan ikatan dan harapan.

Sukar bagi kita ada mata, lihat. Ada telinga, dengar. Ada tangan, belenggu. Ada lidah kelukan. Ada bibir, katup. Ada hidung, hidu. Tidak sesusah manapun. Cuma itulah, mulut kita jarang ditutup. Tidak pernah berfikir. Tidak pernah menyentuh rasa. Tidak pernah menghidu bahaya. Tida pernah mendengar derita. Bak peluru, kata-kata selalu dilepaskan. Sasarannya belum tentu atas atau bawah. Depan atau belakang. Kanan atau kiri. Mulut tidak pernah berunding dnega anggota yang lain. Barangkali adil bila kiamat nanti mulut dikunci. Anggota lain yang melaporkan kepada Allah apa sahaja.

Lidah pula selalu tidak bercabang. Setiap masa lain bicara. Dulu lain sekarang lain. Licin menuturkan kata-kata tanpa ada sekatan. Memanglah penutur tidak mendengar apa yang ditutur. Dia tidak tahu ke mana sampainya kata-katanya itu. Terlajak tidak boleh ditarik balik. Yang mendengar tidak tahu maksud penutur. Telinganya sahaja mendengar. Perasaannya sahaja yang tersentuh. Nuraininya luka. Muka dan telinganya memerah menahan gelora. Amarah juga yang merosak suasana.

Bukankah setiap individu itu berbeza? Bukankah setiap orang ada agenda sendiri. Dia selesa dengan agendanya sendiri. Dia ingin berada dalam dunianya yang disenanginya. Yang mengujakannya. Yang mendamaikannya. Yang membahagiakan dirinya. Individu berhak menentukan tarikh dan waktu. Tempat dan masa. Acara dan prosesnya. Menu dan santapnya. Minum dan pelepas dahaganya. Hiasan dan keraiannya. Tentulah sukar difahami jika ada orang yang mengubah selera kita. Mengubah agenda kita. Mengubah acara kita. Mengubah kehendak kita. Mengubah keperluan kita. Mengubah proses kita. Mengubah prosedur kita. Mengubah hal-hal yang mengganggu dalam kita. Hati kita. Perasaan kita. Minda kita. Psikologi kita. Hati dan nurani kita.

Kita yang berada di luar kotak seseorang seharusnya membantu dengan hadir undangannya. Melihat apa yang dipaparkannya. Mendengar apa yang diungkapkannya. Bertanya pada yang kurang jelas tetapi bukan cuba mengubah apa yang sudah direncanakannya. Memberi cadangan mungkin sebagai keperluan untuk didengar. Minta maaflah, bukan untuk dituruti. Setiap orang ada agendanya sendiri. Semuanya telah difikirkan. Yang penting tentunya hatinya. Damainya. Tenangnya. Bahagianya.

Tidak bolehkah orang lain turut gembira dengan apa yang disukainya? Akur dengan keputusannya? Hormati akan rencananya? Apatah lagi jika kita saudara tua. Atau pangkatnya lebih tinggi. Yang lebih senior. Yang lebih dihormati. Belajarlah menghormati orang lain yang lebih muda. Lebih rendah tarafnya. Lebih kecil kedudukannya. Lebih hina strata kelasnya.

Orang mungkin akur dengan cadangan kita tetapi hatinya di dalam sangat bengkak kerana tidak dapat meluahkan rasa. Memendam hujjah yang tidak terungkap. Membelenggu perasaaan kerana banyak hal yang perlu ditimbang. Ini diri kita. Ini rumahtangga kita. Ini keluarga kita. Ini negara kita. Ini kita punya. Ini bukan untuk siapa-siapa. Ini hal kita. Ya kita.

Kita harus belajar untuk mendengar. Belajar melihat. Belajar mengunci mulut. Belajar menyimpan pendapat. Belajarlah melepaskan orang lain dengan kehendaknya. Kita bukan rugi. Kita bukan untung. Kita tidak ada apa-apa. Dulu dan sekarang setara juga keadaannya. Lapangkan dada. Luaskan fikiran. Senangkan hati. Nikmatilah kehidupan orang lain. Itu hak mereka. Diri mereka adalah hal mereka. Ada mata, pandang. Ada telinga, dengar. Ada mulut, tutup. Agenda orang bukan agenda kita.

Elok kita menjaga tepi kain sendiri. Mungkin ada cacat celanya. Menjaga tepi kain orang lain dengan haknya. Berpeganglah kepada amar ma’ruf nahi mungkar. Namun sentiasalah berhemah. Tidak ramai, malah terlalu sedikit orang yang mahu akur dengan nasihat. Mengganggu agendanya lagilah menjauhkan hatinya. Hanya merenggangkan hubungan yang santai dan damai.

Marilah kita sama-sama belajar untuk menghormati hak orang lain.

Sunday, October 17, 2010

Masa Dulu-Dulu - Bahagian Kedua Puluh Enam: Bab Keduabelas

Episod perkhidmatan saya berakhir di UTHM yang dulunya PLSP menjadi ITTHO hingga KUiTTHO. Saya telah mengajar dari sekolah menengah rendah, merentas sekolah menengah sains, politeknik, sekolah menengah teknik dan universiti. Satu spektrum pengalaman yang sukar saya lupakan. Sebelum itu saya pernah menjadi guru sementara di sekolah rendah. Pernah mengajar di sekolah swasta. Mengajar mereka yang tidak berpeluang ke sekolah menengah melalui laluan biasa.



1.10.1994 saya berhijrah lagi. Kali ini dari SMT Johor Bahru ke Pusat Latihan Staf Politeknik (PLSP). Hanya 11 bulan di SMT. Betul-betul transit. Di SMT saya menjadi penolong kanan HEM. Pangkatnya guru kanan ketika itu. Di PLSP saya ditawarkan Ketua bahagian HEP dengan memangku Superscale DG2. Saya terima tawaran ke PLSP kerana beberapa sebab. Setelah berada di peringkat pasca SPM sejak tahun 1979, saya tidak lagi merasa serasi di sekolah menengah. Banyak kebebasan intelek yang tidak dapat dilaksanakan. Sekolah penuh dengan birokrasi. Alamnya sesuai bagi mereka yang seluruh hidupnya di sekolah. Bagi orang seperti saya sekolah menjadi terlalu asing. Seperti terlalu banyak hijabnya.



Keduanya kerana jawatan yang disandang lebih tinggi. Sinonim dengan pendapatan yang lebih tinggi. Siapa yang tidak mahukan pendapatan yang lebih tinggi. Ketiganya pula adalah berkaitan dengan kelayakan dan pengalaman saya. Menjaga pelajar bukan perkara asing. Pelajar politeknik dan pelajar PLSP tidak banyak bezanya. Keempatnya kerana saya kembali ke Batu Pahat. Saya ingin membina rumah idaman saya di atas tanah yang telah saya beli pada tahun 1993. Rumah itu pun siap dibina pada tahun 1998. Saya namakan Taj Mahal. Untuk isteri kesayangan saya. Sebab yang terakhir, saya terlibat sejak dari hari pertama Politeknik Batu Pahat hendak dijadikan PLSP. PLSP sangat dekat di hati saya. Saya hadir pertemuan pertama dengan pegawai International Bank of Reconstruction and Rehabilitation (IBRR) di bahagian Pendidikan Teknik dan Vokaisonal, Kementerian Pendidikan Malaysia.. Selalunya dipanggil Bank Dunia sahaja. The World Bank. Saya juga hadir dalam mesyuarat-mesyuarat dengan staf dari UTM dan Kementarian Pendidikan sewaktu membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan penubuhan PLSP. saya juga hadir dalam pertemuan dengan pembida-pembida antarabangsa yang membekalkan pensyarah ke PLSP. Lagipun saya memangku pengetua Politeknik Batu Pahat ketika itu.



Mula-mula menjejak kaki ke PLSP terasa benar kekoknya. Al-maklumlah di keliling ramai mereka yang dipanggil Dr. dan Prof. Walau bagaimanapun pengarah dan beberapa pensyarah yang kanan telah saya kenali sejak sebelum penubuhan PLSP lagi. Kurang kebimbangan saya. Kejutan paling besar ialah dari segi kewangan. Jika di sekolah cerita wang ini sangat sporadic. Sekali-sekala sahaja. Jika ada, jumlah yang dibincangkan terlalu kecil. Mungkin beberapa ribu sahaja. Di PLSP jumlah yang paling rendah mungkin 1 hingga 2 juta. Seolah-olah wang turun dari langit. Atau dituai dari pokok. Atau memancut dari bumi. Sandarannya tentu kuncikata yang mesti dirunaikan. Kerajaan mesti menyempurnakannya. Tanpa kewangan yang nyata universiti lumpuh untuk mengungguli alam ini. Teknologi akan tercorot. Tidak boleh mendepani zaman. Maka kemewahan nampak di mana-mana.

Universiti dan sekolah kebangsaan seperti 7 petala langit dan 7 petala bumi terpisahnya. Untuk membeli sebuah mesin fotostat memakan masa yang lama di sekolah kebangsaan. Untuk menggunakannya terpaksa berbaris. Tempah pula in advance. Setengahnya dakwat atau katrij bawa sendiri. Kertas memanglah beli sendiri. Bila rosak tidak pula ada pengganti. Seolah-olah sekolah sudah mati. Di universiti keadaan sebaliknya. Jika lambat semasa membeli, pembekal sahaja yang tidak mendapat bekalan. Itulah cerita dua alam pendidikan yang berbeza.

Oklah. Di PLSP saya di HEP selama 5 tahun, hingga 31 Disember 1999. Mantan pengarah yang kedua mencadangkan supaya saya bertukar menjadi pensyarah. Saya pertimbangkan dan saya isilah borang yang berkenaan. Barangkali sifat saya yang 'slow' meragukan pula orang akademik. Ada yang menyatakan kebimbangannya bahawa saya mungkin menghadapi kesukaran menjadi pensyarah. Politeknik dan sekolah tidak serupa. Saya angguk kepala sahaja. Senyum semurah-murahnya. Mereka perlukan bukti dan testimoni.

Bertukarlah saya dari seorang petadbir sepenuh masa kepada seorang pensyarah. Tarikhnya 1.1.2000. Menjadi biasa saya diberikan tanggungjawab untuk mengendalikan kelas-kelas Falsafah, Psikologi, Sosilogi, pedagogi, Pengajaran Mikro dan sekali sekala subjek-subjek baru. Mengajar sudah menjadi darah daging saya. Saya telah meolak banyak tawaran untuk menjadi orang lain di luar sana. Namun cinta pertama saya ialah pendidikan. Menjadi guru yang baik. Alhamdulillah 41 tahun yang saya lalui ini tetap menjadikan saya seorang guru.

Kelas sosiologi pertama dahulau dihadiri oleh PM Haji Sapon dan Dr. Asri. Mereka berdua mengikuti kelas PhD mereka. Dalam kelas psikologi pernah dihadiri oleh Puan Noraisah Daud, kaunselor kanan UTHM. Waktu itu dia sedang mengikuti kursus sarjana. Mengajar tidak menjadi masalah kepada saya. Tua atau muda, sedikit atau ramai, lelaki atau perempuan tetap audien. InsyaAllah mereka dapat saya kendalikan. Masa terlalu pantas. Tarikh persaraan saya tiba juga pada 23.7.2001. Bersara wajib setelah berkhidmat selama 31 tahun. Usia 55 tahun. 3 bulan sebelum umur persaraan menjadi 56 tahun dan kemudiannya 58 tahun.

Saya hanya bersara selama satu hari. Pada hari keuda persaraan saya, 24.7.2001, saya kembali ke pejabat sebagai pensyarah kontrak dalam kategori semenrata. Kerja sepenuh masa, dibayar gaji bulanan dan bertugas seperti orang lain. Sejak tahun 2000 lagi saya banyak melakukan kerja menyelia pelajar yang menjalani praktikum mereka. Al-maklumlah, pelatih guru kenalah ada latihan supaya tidak menghadapi banyak masalah di sekolah nanti. Sudah biasa dengan suasana dan iklimnya. Banyak kali saya di Ipoh, Kuala Terengganu, Kuantan, Port Dickson, Kota Kinabalu, Selangor dan Alor Setar. Perantauan-peranatuan yang menguji pengalaman.

Dalam perjalanan yang jauh itulah saya menyedari bahawa lawatan sekali sekala itu bukanlah terlalu membebankan sangat. Meninggalkan ruma seminggu atau dua sahaja. Pelajar pula datang ke UTHM dari segala pelosok negara. Berkenderaan malam sampainya pagi. Sukar berjalan siang kecuali yang berkenderaan sendiri. Awal tahun 2010 saya ke Alor Setar. Sepanjang perjalanan pergi saya merakamkan banyak imej di tepi kanan dan kiri lebuhraya. Ramai pelajar seperti tidak pernah melihar imej-imej itu wujud di sepanjang perjalanan mereka saban semester. Tentu sekali tidak kerana mereka berjalan malam. Jika siangpun mereka tidur dalam kenderaan.

Bila berkenderaan, pemandu sahaja yang jaga. Yang lain nikmat dibuai dan dilambung tinggi rendah jalan. Dibuai putaran stereng yang membetul arah. Sebenarnya satu perjalanan itu perlu dirakam. Sekurang-kurangnya dalam minda. Banyak input-input alam yang di rassa. Untuk dikongsi. Untuk direnung. Untuk diambil iktibar. Masa meluncur malam itupun barangkali sesuai untuk muasabah diri. Merenung masa hadapn. Untuk merencanakan kehidupan. Untuk merealisasikan sesuatu yang bermanfaat.

Setelah 4 tahun menajdi pensyarah kontrak saya bersara penuh pada tahun 2005. Saya menjadi bebas. Adalah kelas-kelas al-Quran di sana sini. Melapangkan fikiran, santai dan bersama diri sendiri. Saya tidaklah berehat penuh. Saya masih lagi mengikuti kursus Diploma Eksekutif Pengajian Usuluddin di Universiti Malaya. Masa tidak senggang selamanya. Bukan makan dan tidur sahaja. Selain daripada itu aktiviti al-Quran di daerah Batu Pahat perlukan aktivis dan penggerak-penggeraknya. Saya masih hectic walaupun bersara namanya.

Tahun 2006 saya dipelawa menjadi pensyarah sambilan. Ok juga, bila ada kelas saya datang. Bila tiada saya balik. Begitu juga tahun 2007. Pada tahun 2008 dekan pula mempelawa saya menjadi pensyarah kontrak. Jenuh juga saya fikirkan pro dan contranya. Akhirnya saya terima juga kontrak selama setahun. Pada tahun 2009 kontrak saya disambung hingga tahun 2011. 15.2 2011 tahun hadapan nanti tamatlah kontrak saya.

Saya masih contemplating. To be or not to be. Masih ada kekuatan. Masih rakus mendidik. Masih ada ruang bersama pelajar. Masih boleh berkongsi rasa, cita-cita, harapan dan hasrat membina bangsa. Sudah hampir. Sudah ada gambarannya dalam minda. Ada perancangan yang dirangka. Nantilah sampai masanya akan saya maklumkan jua. Sesungguhnya perancangan Allah jua yang sentiasa lebih baik. Saya akan pasrah untuk menerima ketentuanNya.

Friday, October 15, 2010

Pengalaman Mengurus Pelajar PLSP - Bahagian Keempat

Ada beberapa kes pelajar yang unik. Boleh diambil iktibar. Biasalah anak muda. Banyak perkara terlarang yang hedak dilakukan. Ada yang terlarang agama. Ada yang terlarang sosial. Ada yang terlarang adat. Pelajar pula bijak-bijak memberi alasan. Calang-calang orang tumbang di HEP. Lumrahlah. Pelajar ingin membuat sesuatu yang pada mereka betul. Mereka tidak pernah bersandarkan agama. Tidak juga perundangan. Apatah lagi sosial. Mencuba dan mencuba.



Suatu ketika seorang pelajar ditangkap kerana merokok di asrama. Bila dia menyedari ada pegawai HEP berhampiran dia membuang puntung rokok yang dihisapnya. Bila ditangkap dia menafikan yang dia merokok. Puntung rokok ada tetapi dia tidak mengaku merokok. Susah juga kan. Pegawai muda HEP hilang punca. Tidak boleh selesai. Dibawalah kes itu kepada saya. Pelajar ini pula berusaha mencari helah. Bila masuk ke bilik saya di memprotes gila. Kenapa dia dituduh merokok sedangkan dia tidak melakukannya. Puntung rokok itu tidak boleh dikaitkan dengan dia. Siapa sahaja boleh membuang puntung rokok di kawasan asrama itu. Kiranya ketika itu dijalankan ujian DNA dia mesti terhukum.



Saya layan marahnya hingga dia kepenatan sendiri. Bila dia reda, saya tanyalah tentang proses tuduhan, proses disiplin, proses perbicaraan, proses hukuman. Tidak sataupun yang dapat dijawabnya. Tadi kononnya dia telah menghubungi bapanya. Bapanya pula telah mengubungi peguam keluarga. Dila perlukan pembelaan kerana tuduhan tanpa bukti. Apabila saya huraikan satu persatu proses kesemuanya itu, terdiamlah dia. Dipanggil ke pejabat HEP bukan bermakna sudah dituduh. Bukan bermakna sudah hendak dibicarakan. Bukan bermakna sudah jatuh hukum. Belajar tinggi jika tidak berpijak di bumi nyata menjadi keliru semata. Saya tidak pula mahu mendesak. Akhirnya saya mengambil sehelai kelongsong plastik. Saya masukkan puntung rokok yang menjadi isu. Lalu saya katakan kepadanya, puntung ini akan saya simpan. Saya mengingatkan kepadanya supaya tidak melakukan apa-apa perlanggaran disiplin walau dalam bentuk apa sekalipun selepas insiden itu. Jika berlaku, saya akan keluarkan puntung rokok itu sebagai pertuduhan benar. Jika dia boleh melakukan kesalahan lain bermakna merokok itu bukan ilusi. Ia mesti benar. Tindakan saya itu saya kira usuatu gutan. Tapi terlalu subtle untuk difahami pelajar. Hingga tamat pengajian, saya tidak mendengar apa-apa khabar darinya.



Di IPT, tuduhan hanya berlaku setelah pegawai penyiasat (HEP) berpuas hati memang ada kes. Ada bukti. Ada saksi. Telah berlaku perlanggaran disiplin yang nyata. Pertuduhan mestilah bertulis dan memberi masa 14 hari sebelum tarikh perbicaraan. Pelajar boleh membawa peguamnya sendiri jika mahu. IPT tiada masalah. Perbicaraan dilaksanakan seperti public hearing. Tidaklah seperti mahkamah. Tetapi prinsipnya sama. Tidak ada sesiapa yang dihukum bersalah hinggalah mahkamah menjatuhkan hukuman. Yang dituduh mesti diberi peluang membela diri. Itulah hak asasi manusia. Keadilan.

Dulu, pengarah yang menjadi pengerusi. Pegawai HEP menjadi pegawai pendakwa. Adalah beberapa pegawai lain yang menjadi anggota. Pendakwa membacakan pertuduhan. Butirannya merangkumi nama pelajar, kad pengenalannya, no matriknya, tempat kejadian, tarikh kejadian, masa kejadian dan perlanggaran peruntukan AUKU yang berkenaan. Pendakwa bertanya adakah dia mengaku bersalah atau mengaku tidak bersalah. (Proses ini telah saya terangkan dalam entry yang terdahulu).

Jika mengaku bersalah, hukuman dijatuhkan selepas anggota membuat deliberation. Jika tidak mengaku maka perbicaraan ditentukan kemudian. Proses perlaksanaan disiplin ini tidak diketahui pelajar kerana mereka tidak membaca dan menghalusi AUKU yang dibekalkan kepada mereka. HEP facilitate semua maklumat perundangan dan peruntukannya. Saya telah mendapat latihan dan pengalaman yang mencukupi di Politeknik Ungku Omar dari tahun 1979 hingga tahun 1990. Di SMT Johor Bahru dan PLSP saya mengaplikasikan semua pengalaman yang saya ada. Lagipun kerana saya pernah belajar asas undang-undang di UM dulu, proses melaksanakan undang-undang itu menjadi lebih mudah. Bahasa undang-undang bukan mudah difahami. Hanya mereka yang pernah belajar dapat mentafsirkannya mengikut kemampuan inteleknya.

..............................................................................

Dalam kes yang lain terdapat pasangan Islam yang dilihat terlalu rapat dan kerap dicurigai. HEP menerima laporan. Mereka dipanggil. Kes itu dikendalikan oleh pegawai muda. Dalam berhujjah ada yang tidak kena. Pelajar perempuan itu meninggikan suara. Menangis dan tidak dapat menerima kenyataan bahawa perbuatan mereka berdua adalah salah. Coupling kepada kebanyakan orang khususnya pelajar adalah sesuatu yang lumrah. Tidak ada yang aneh. Mereka lupa bahawa bagi mereka yang belum bernikah itu banyak halangan untuk berlagak intim dan menyakitkan mata orang yang memandang.

Ramai juga pelajar beranggapan bahawa peraturan disiplin adalah peraturan universiti. Pandai-pandai orang yang mengendalikan universiti itu. Saya rasa masih terpakai peraturan berikut yang saya gubal dulu. Atau mungkin sudah diubahsuai. Pelajar bukan mahram tidak boleh berboncengan motorsikal di dalam kampus. Sebab itu pelajar perempuan turun di get UTHM sambil memegang helmet. Andaboleh melihatnya setiap hari hingga sekarang. wow! Sudah hampir 20 tahun peraturan itu. Pakaian pelajar tidak boleh singkat, ketat, berlubang-lubang, bertampal-tampal, jarang dan telus, berambu-rambu, berwarna warni, comot, plunging neckline, plunging backline, leher terlalu besar, lengan terlalu besar. Rambut pula pendek bagi lelaki dan tidak berwarna atau punk atau skinhead atau jenis apache. Mana boleh pelajar lelaki bertocang, bersanggul. Yang perempuan tidak boleh berwarna. Panjangnya tidak mengganggu atau membahayakan dirinya kerana mereka mengendalikan mesin dan alat di bengkel dan makmal.

Apabila dalam keadaan biasa, pelajar tidak dapat dikaunsel atau dikendalikan lagi maka saya guna pendekatan lain. Pendekatan agama. Saya hujjahkan bahawa memang coupling itu perkara biasa. Ramai orang melakukannya. Kami bukan buat apapun, kata mereka. Yes semuanya benar. Tetapi hujjah seperti itu terlalu naif. Terlalu dangkal. Mereka membuat undang-undang sendiri. Itulah pengaruh barat yang menggila masuk dalam budaya kita. Budaya yang mencemarkan. Senjata saya ialah bahawa coupling itu larangan dalam peraturan universiti. Peraturan sosial. Peraturan agama. Agama yang melarang coupling. Allah yang melarang. Undang-undang Allah. Bukan undang-undang Rasulullah. Rasulullah hanya menyampaikan seperti yang diterima dari malaikat Jibril. Rasulullah mengajar dan mendakwah umatnya supaya menerima dan mematuhi peraturan Allah. Bercinta tidak dilarang asalkan menjaga batas-batasnya. Coupling adalah sinonim dengan mendekati zina. Nanti terjadi zina mata, zina anggota seperti berpegang tangan, bergesel badan dan banyak lagi istilah mendekati zina.

Dengan hujjah itu barulah pelajar perempuan yang tidak boleh menerima kenyataan itu terdiam. Tiada sanggahan yang dapat dibuatnya. Tidak mungkin dia menidakkan Allah sebagai penentu segala hal kehidupan manusia. Itulah sebabnya untuk mengendalikan pelajar, tidak boleh orang muda dan yang tidak luas pengalamannya. Tugas HEP perlukan orang yang matang pengalaman. Ada pula kemahiran menggunakan bahasa. Ada teknik memintas fikiran dan mencantas bantahan. Ada ilmu psikologi. Guna reversed psichology. Mahir pula merasuah fikiran. InsyaAllah pelajar akan mati akal untuk berdalih. Yang nakal dan ada sedikit rasa berontak boleh ditawan dengan pengalaman.

'''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''

Sepasang pelajar dihadapkan kepada saya. Perempuanya Islam dan yang lelakinya bukan Islam. Kecoh juga. Sama juga. Alasan mereka itu adalah perkara biasa. Saya berhadapan dengan yang lelaki. Saya nasihat mana yang perlu. Cinta adalah hak mereka. Cuma saya menggariskan beberapa perkara supaya tidak dilanggari. Supaya tidak menjadi isu dan polimik di universiti. Isu agama dan isu kaum sukar didamaikan dalam banyak hal. Ia boleh jadi isu nasional. Boleh juga jadi isu antarabangsa. Ramai di luar sana yang bersedia mengambil isu ini untuk diperbesarkan.

Ini kefahaman mudah. Yang lelaki menimbulkan isu demokrasi kepada saya. Bukankah individu dijamin dalam perlembagaan boleh bertindak bebas. Mereka dijamin hak asasi mereka. Saya kata itu benar dari segi interpretasi mudah. Malaysia mengamalkan demokrasi. Ya demokrasi. Tetapi kita ada acuan sendiri untuk merealisasikan maksud demokrasi itu. Saya kata, jangan berhujjah tentang demokrasi dengan saya jika tidak tahu apa maksud demokrasi. Jika hanya ikut-ikut menyebutnya. Saya bertanya kepadanya, adakah dia membenarkan saya memasuki rumahnya tanpa menaggalkan kasut. Jawabnya tidak boleh. Lalu saya kata bukankah negara ini negara demokrasi. Saya bebas berbuat apa sahaja. Di situ dia mati hujjah. Demokrasi bukan alasan untjuk membebaskan diri. Kebebebasan itu terlalu relatif. Tidak ada yang mutlak.


''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''

Tandanama di paras pinggang. Saya cukup tidak selesa dalam hal seperti itu. Tandanama adalah suatu keperluan undang-undang negara. Ada dalam AUKU. Semua penjawat awam diwajibkan memakai tandanama. Begitu juga pelajar. Tandanama mesti dipakai di paras dada. Apa falsafahnya? Ia bukan perkara main-main. Mengertilah gambar kita adalah sesuatu yang dekat pada diri kita. Nama kita adalah sesuatu yang dekat dengan seluruh jiwa raga kita. Pusat segala keintiman diri kita adalah jantung kita. Dada kira kita. Ia syahdu di situ. Ia kudus di situ. Dekat di hati kita sendiri. Jika gambar kita, jika nama kita diturunkan ke bawah maknanya kita sendiri, diri kita sendiri merendahkan martabat diri kita. Menghina diri kita sendiri. Meremehkan diri kita sendiri. Memperlekehkan diri kita sendiri.

Perbuatan itu seperti tiada apa-apa tetapi besar implikasinya. Meletakkan tandanama di paras pinggang sangat tidak menasabah. Maaflah mungkin bahasa saya agak terlebih sedikit. Terkasar sedikit. Kurang sopan sedikit. Kurang beradat sedikit. Saya harap anda semua berlapang dada. Tandanama itu separas dengan pungung kita. Separas dengan kemaluan kita. Kita hina gambar kita sendiri. Kita hina nama kita sendiri. Saya harap cukuplah apa yang telah kita lakukan sebelum ini. Masa hadapan tentu boleh diubah. Anda boleh mengubahnya.

.....................................

Seorang pelajar perempuan mengikut pelawaan seorang lelaki yang baru seminggu dikenalinya. Saya ingin maklumkan kepada pembaca, ketika itu Parit Raja benar-benar kampung yang ada rumah kedai dua baris di kiri dan kanan jalan. Jalanraya hanya dua lorong. Sempit. Kecil. Serba menghimpit. Saya dipindahkan ke Parit Raja pada akhir tahun 1990. Sudah 20 tahun saya di sini. Sejarahnya panjang bersama dengan sejarah Politeknik Batu Pahat. Pusat Latihan Staf Politeknik. Institut Teknologi Tun Hussein Onn. Kolej Universiti Tun Hussein Onn. Sekarang Universiti Tun Husseion Onn Malaysia, Johor. Satu bangunan. Satu tapak. Satu lokasi. Satu kampus. Suatu transisi masa. Membariskan ramai orang-orang yang berperanan untuk mengubah. Untuk mendatangkan perubahan. Untuk menangani perubahan.

Dalam keadaan Parit Raja yang serba terkebelakang itu seorang pelajar wanita dari utara berani menerima pelawaan seorang pemuda tempatan yang tidak dikenali untuk keluar malam. Saya yang bimbang bila menerim aduan itu. Ibu bapanya jauh di kampung. Di rumah. Mereka yakin anak mereka selamat. Mereka yakin PLSP melindungi anak mereka. Di sini anak mereka tidak tahu apa makna keselamatan diri. Terlalu naif tentang hal-hal yang sangat berbahaya itu. Dia langsung tidak merasa apa-apa tentang perbuantanya itu.

Saya katakan kepadanya, tak takut ke? Dia seperti tidak memahami maksud saya. Memanglah terlalu muda untuk memahami. Lepasan SPM. Mula-mula saya katakan sebagai pelajar IPT sepatutnya mahasiswa dan mahasiswinya berfikiran tinggi. Boleh menjangkau jauh ke hadapn. Peka. Perasa dan sensitif dan apa yang berlaku di sekelilingnya. Bayangkan malamnya gelap dahulu. Lampu jalan tidak sempurna. Sunyi dan sepi. Kerana geram dengan kebersahajaannya, saya katakan bagaimana jika dia dirogol, diperkosa atau dicederakan? Termangu dia sebentar.
Ini masalahnya. Anak-anak kita tinggi akademiknya tetapi ketandusan common sense. Di rumah dan di sekolah kita tidak bekalkan mereka dengan self respect. Semua dianggap boleh. Bebas dari cengkaman ibu bapa. Tidak ada siapa yang nak ambil tahu. Kewarasan belum menjelma lagi. Semua perkara dianggap as it is. Tidak perlu dibicarakan.

Thursday, October 14, 2010

Pengalaman Mengurus Pelajar PLSP: Episod Ketiga

Mengurus pelajar banyak ragamnya. Pelajar banyak karenahnya. Tetapi pensyarah yang melihat saya mengurus pelajar lagi banyak kerenahnya. Pada dasarnya HEP adalah pusat tanggungjawab mengurus pelajar. namun pelajar-pelajar tidak berada di bawah bumbung bangunan yang memenempatkan HEP itu sendiri. Mereka berada di dewan kuliah, bilik seminar, bengkel dan makmal. Maknanya pensyarah yang mengawasi dan melapor kepada HEP. HEP menguatkuasakan segala tindakan yang perlu berdasarkan peruntukan-peruntukan yang ada dalam AUKU. Akta Universiti dan Kolej Universiti.

Ada pensyarah yang peka. Mereka menghantar laporan yang perlu. Ada borang-borang yang disediakan untuk tujuan itu. Selain daripada itu, pegawai-pegawai HEP yang langka jumlahnya memainkan peranan kepolisian. Dulu pegawai keselamatan hanya menjaga get sahaja. Atau keselamatan umum seluruh kampus. Disiplin tidak diupayakan kepada mereka. Pada peringkat awal dulu, PLSP menghadapi berbagai cabaran disiplin ini. Bila saya imbau kembali banyak rupanya peraturan yang saya gubal dahulu masih terpakai.

Suatu ketika saya memasang cermin besar di luar pejabat HEP. Ramai sungguh orang yang memberi ulasan tidak berkaitan. Sukar memberi faham bagi yang tidak bersedia mendengar. Tujuannya ialah supaya setiap pelajar yang ingin masuk ke pejabat HEP mestilah bercermin dahulu. Melihat diri mereka sendiri. Menilai diri sendiri dulu. Temui dirinya. Jika penampilan dan pakaian mereka presentable dan compatible dengan peraturan yang sedia ada, silalah masuk berurusan dengan HEP. Jika tidak, balik dulu untuk menukar pakaian. Cermin itu besar manfaatnya. Sekarang ini cermin seperti itu ada di mana-mana. Bukan di HEP sahaja.

Maknannya orang lain mula melihat cermin itu sebagai sesuatu yang akrab. Dekat. Ia tidak bersuara. Tidak berbicara. Tidak berkata. Tidak juga membantah dan menidak. Tetapi cerminannya mengatakan segalanya. Itulah imej diri kita yang sebenarnya. Cermin itu tidak menyembunyikan yang luaran. Tidaklah pula hingga ia meneroka yang dalaman kerana terselindung dengan pakaian dan mungkin lakonan.

Bila kita berurusan dengan orang, kita hendaklah berpakaian. Maksudnya berpakaian yang selayaknya. Pakaian yang mempamer diri kita yang sebenar. Mana mungkin seorang guru umpamanya ditemui pelajarnya dalam keadaan compang camping jika di sekolah ia selalu presentable. Kainnya yang tidak serupa kain. Tudungnya hilang entah ke mana. Mukanya comot tidak menentu. Rambutnya kusut masai tidak terurus. Baju ketat atau singkat. Jarang atau koyak. Berselipar buruk yang sudah tidak berupa. Seluruh imej guru itu runtuh menyembah bumi. Mungkin ada orang bertanya, takkan guru tidak boleh seperti orang lain? Maaf. Kadang-kadang kerani sekolah lebih presentable dari guru. Guru hilang sense of self awareness. Segala-galanya mesti bermula dari diri sendiri. Discover yourself before you discover others.

Boleh atau tidak boleh bergantung kepada jawatan kita. Jika guru itu ditemui di bengkel, pakaian yang kotor itu boleh dimaafkan. Tapi jika di awal pagi sudah kotor tentu akan timbul tandatanya. Masakan guru itu tidak pernah membasuh apronnya atau apparelnya. Di luar kawasan kerja kita tidak boleh berpakaian sebarangan. Imej kita ada di mana-mana. Cermin kita bukan sahaja pelajar, malah juga ibu bapa, rakan sejawat dan ahli masyarakat. Sebab itu bila berurusan dengan orang lain, pastikan pakaian kita mengena. Sesuai dengan keadaan dan suasana. Santai tetapi enak dipandang. Senang dilihat. Manis menawan. Indah elegan. Lelaki atau wanita bukan soal dan isunya. Berpakaian tetap berpakaian. Itu imej dan cermin diri. Kadang-kadang ia menggambarkan yang tersirat di dalam. Kita kenalah concern dengan hal itu. Tidak boleh langsung diremehkan.

Satu lagi hal yang selalu terlepas pandang ialah siapa yang perlu memulakan. Kita menghormati orang lain atau tunggu orang lain menghormati kita? Which is which. Dulu saya selalu mendengar orang bersungut, kenapa pengawal keselamatan tidak tabik kepada pensyarah. Kenapa tabik kepada NC atau TNC sahaja (dulu Pengarah dan Timbalan Pengarah). Saya ketawa sendirian. Pegawai keselamatan tabik kepada pangkat orang itu bukan kepada orangnya. Maaf. Ini benar dalam banyak keadaan. Bila jawatan itu terlucut tidak ada siapa akan tabik lagi. Pegawai keselamatan itu tabik sebab dia berjawatan itu. Tugasnya begitu. Bila dia tanggalkan pakaian, dia tidak ada selera lagi untuk tabik-tabik. Ia birokrasi semata-mata.

Yang biasa saya amalkan ialah mengangkat tangan setiap kali melintasi pintu pagar UTHM atau di mana sahaja. Bila kita telah memulakannya susulannya sangat cantik. Pada waktu-waktu yang lain, walaupun kita tidak angkat tangan, kita tidak memandang kepada mereka, tindakan positif mereka ialah mengangkat tangan menghormati kita. Hormat tidak pernah diminta. Tidak pernah dipaksa. Tidak pernah diperaturankan. Tidak pernah untuk dibuat-buat. Hormat hendaklah diberikan. Disedekahkan. Dipanjangkan. Dihamburkan. Ibaratnya seperti pelaboran. Investment. Tanam modal. Cuma yang ini modal tanpa bayaran kewangan. Hanya sedikit tenaga dan inisiatif sahaja. Kita mulakan yang sedikit. Nanti pulangannya, labanya, dividennya, bonusnya, sahamnya datang berganda-ganda. Senyum bukan perlu dibayar. Angkat tangan tidak mungkin mencederakan. Memaniskan muka bukan mengganggu kesihatan. Tetapi kesan dan impaknya akan positif selalu. Orang lain akan kembalikan hormat kita itu dalam gandaan yang tidak dapat disukat.

.............................................................

Satu lagi pendekatan berbeza yang saya buat menimbulkan kurang senang orang lain. Susunan meja dan kerusi dalam pejabat HEM dibuat mengiring sisi kaunter. Tidak mengadap kaunter. Pandapat umum mengatakan bahawa pegawai-pegawai HEP tidak mesra pelanggan kerana tidak mengadap mereka bila mereka ingin berurusan di kaunter. Realitinya sangat jauh berbeza. Sebenarnya, ekor mata menjadi galak dengan pergerakan-pergerakan di kaunter HEP. Jika kita mengadap kaunter, kecenderungan kita ialah tunduk membuat kerja. Oleh kerana mata kita memandang ke bawah maka kita tidak dapat melihat apa yang berlaku di kaunter. Ekor mata kita menyisi kaunter. Dengan duduk mengiring, ekor mata dapat mengesan semua pergerakan. Melayani pelanggan menjadi lebih mudah dan bukan menyusahkan. Fokusnya bukan sombong tetapi untuk lebih peka.

Begitu juga dengan pendaftaran pelajar baru. Saya suka mereka datang terus tinggal di asrama. (Ketika itu semua pelajar wajib tinggal di asrama). Ada juga staf yang membantah pendekatan mudah tersebut. Ditakuti ada pelajar yang lari tanpa membayar yuran minggu haluansiswa. Mungkin juga. Tetapi bilangan pelajar jenis itu tidak ramai. Adalah seorang dua. Positifnya ialah, ibu bapa senang. Anak mereka ditinggalkan di asrama masing-masing. Sudah tidak ada kebimbangan lagi. Mereka boleh pulang tanpa ada rasa yang menggangu perasaan atau pemikiran. Segala urusan pendaftaran boleh dibuat ketika pelajar tidak lagi terikat dengan kehadiran ibu bapa mereka. Tidak lagi dalam keadaaan kalut kerana jadual pulang ibu bapa yang datangnya dari jauh. Mereka ingin anak-anak mereka semua settled down. Mereka pulang dengan perasaan tenang bahawa anak-anak mereka semua sudah bertempat. Extending a little gesture means alot to other people. They need it. We have nothing to lose. Indeed we have alot to gain.

Dalam keadaan seperti itu, proses mendaftar pelajar menjadi sangat mudah. Ibu bapa yang jauh tidak terbeban dengan masa. Tidak terkejar ke sana dan terkejar ke sini. Datang serah anak. Mereka boleh balik. Bayangkan mereka datang dari jauh. Letih memandu. Letih dalam perjalanan. Kurang tidur. Parkir kereta jauh pula. Beg besar-besar perlu digalas. Petugas-petugas pula semua ikut buku. Ikut carta alir. Ikut peraturan. Ikut birokrasi. Budi bicara hilang bila keadaan mulai kalut. Layanan kebijaksanaan tidak dapat ditayang. Keadaan menjadi kering, kaku dan melemaskan. Harapan yang asalnya menggunung boleh mencair. Promosi yang dicanang tidak menjadi. Nama baik institusi menjadi lekang dari bibir ibu bapa. Bukan lagi mainan bibir. Yang sedikit itu selalu menjadi sebutan negatif jika tidak dijaga.

Kreativiti dan inovasi diperlukan dalam semua keadaan. Tidak hanya terikat dengan hal-hal teknikal dan kejuruteran. Perubahan teknologi berlaku kepada sistem. Cara bekerja. Mana-mana yang perlu diubah hendaklah diubah. Sepatutnya semua kerja dilakukan dengan cepat, murah kosnya dan tidak banyak menimbulkan masalah. Sepatutnya sistem menjadi lebih mudah kerana pendekatan mestilah dipermudahkan. Itulah gunanya teknologi. Untuk memudahkan.

Dalam keadaan lain banyak hal yang sukar digambarkan. Teori pengurusan khususnya tentang kepimpinan menggariskan bahawa setiap orang mengurus orang-orang yang di bawah tanggungjawabnya. Tetapi jangan lupa pula bahawa orang-orang di atas juga perlu diurus. Kerenah mereka mungkin melebihi mereka yang ramai di bawah kita. Kita banyak tersepit dalam hal ini. Ketua kita tahu beres. Macam mana kita melakukannya bukan urusan mereka. Orang di bawah mahu semuanya beres juga. Jika orang di atas banyak mahunya, orang di bawah banyak tuntutannya.

Sebagai pegawai kita tidak boleh memihak. Kita menjalankan tugas. Amanah. Yang di atas dipenuhi karenahnya. Yang di bawah dipenuhi tuntutannya berdasarkan polisi dan peraturan yang sedia ada. Dalam keadaan seperti inilah kadang-kadang saya melindungi orang di atas dan mendamaikan orang di bawah. Mungkin ini terpaksa saya simpan untuk suatu jangkamasa yang lama. Ada hal-hal yang tidak dapat disurat. Biarlah ia tersirat.

Cuma bila menjadi ketua jangan sampai anak buah di bawah merasa teraniaya. Tersisih. Teripingggir. Tidak terbela. Tidak dihargai. Prestasi mereka di hujung tahun hendaklah dinilai dengan saksama. Memberi penilaian terlalu tinggi perlu disokong dengan bukti yang konsisten. Jika tidak penilaian itu menjadi cemuhan belaka. Semuanya menjadi tidak gemar. Hanya make-up. Wajah yang sebenar tidak secantik yang disolek cantik. Penilaian yang terlalu rendah pula mencerminkan kelemahan kita sendiri. Sebagai ketua kita perlu membantu anggota yang berpretasi rendah. Menghukumnya adalah seperti menghukum diri kita sendiri. Yang lemah itu diri kita sendiri. Anggota kita adalah cerminan diri kita. Kita tidak boleh mengelak sebaliknya. Keadilan harus diberikan kepada diri kita sendiri.

Mengurus bukan hanya mendengar laporan sahaja. Kita kena tahu hal sebenar. Keluar ke lapangan. Ke tapak. Ke lokasi. Lihat dengan live. Unplugged lagi. Barulah buat susulan atau hukuman yang adil. Mendengar pun jangan dari satu pihak sahaja. Pengalaman saya sehingga menjadi setua ini menunjukkan bahawa maklumat tidak bolah datang dari satu pihak yang berkepentingan sahaja. Maklumat itu perlu datang dari berbagai sumber. Baru nanti kita tahu kedudukan perkara yang sebenar. Yang benar akan tetap benar. Yang salah akan tetap salah. Dalam jangkapanjang ia akan terserlah sendiri.

Sesuatu yang tidak wujud jika diperkatakan tentulah tidak wajar. There is no legal sense. Sesuatu yang dibeli tanpa produknya tentulah bukan common sense. Membeli tanpa prosedur juga bukan yang hak. Semua itu perlu dihadapi oleh seorang ketua. Oleh itu dia mestilah orang yang sepatutnya "mengetahui".

Wednesday, October 13, 2010

Pengalaman Mengurus Plajar di PLSP: Episod Kedua

Saya jenis orang yang tidak tergopoh gapah. Saya merasakan diri saya a calculated person. Tetapi bukan untuk mengambil kesempatan atau untuk mencari keuntungan atau untuk mencari kepentingan diri. Saya selesa dengan kehidupan saya. Apa lagi yang saya hendak. Pangkat sudah terkeluar dari kamus kerjaya saya. Tak taulah jika Allah memberi rezeki lain, dari jalan yang lain seperti dinyatakan dalam wahyuNya dalam surah at-Tolaq. Selalu orang gantung sebagai ayat seribu dinar. Baca jangan tak baca. Gantung, siapa yang baca. Kita tahu dia ada. Jika tidak dibaca takut ayat itu melaknat kita pula. Al-Quran itu dimaksudkan sebagai 'bacaan'. Maka yang afdalnya ialah dibaca.

Di PLSP ramai orang yang salah sangka tentang saya. Tentang slow saya. Tak apalah, saya ada cara saya sendiri. Yang penting saya dapat laksanakan tanggungjawab yang tertanggung. Bila dikenang banyak insiden yang seronok, cemas, merimaskan dan mungkin lemas. Walaupun saya dari sekolah dan politeknik, saya tidaklah naif tentang pentadbiran atau pelajar. Kebetulan latar belakang saya dulu ialah Bachelor of Economics (Business Administration). Antara subjek yang saya ambil termasuklah human resource, management, company law, politics selain dari core subjects seperti marketing, macro economics, micro economics, taxation, production managemat, management science, management accounting, finance, industrial relation and industrial law dan Malaysian economics. Kebetulan saya ke Canada untuk mengikuti kursus public relation and industrial liaison. Di Institut Bahasa saya dibekalkan dengan Bahasa Melayu dan Geografi. Masters saya pula Business Education - Vocational Education. Antara subjeknya ialah mainstreaming, philosophy of education, curiculum development, psychology, pedagody.

Dengan spektrum disiplin tersebut saya terlibat pula dengan HEP di Politeknik Ungku Omar dan HEM SMT Johor Bahru. Apabila saya datang ke PLSP, saya ada latar belakang itu. Pada saya urusan pelajar bukanlah asing. Saya sendiri membuat pendekatan yang berbeza bila berhadapan dengan pelajar. Ramai orang secara lumrahnya memisahkan antara disiplin dan kaunseling. Guru disiplin hilang terus sifat keguruannya. Menghukum sepanjang tugasnya. Prinsipnya, tidak mahu pelajar pijak kepala guru. Guru kaunseling pula terlalu lembut. Tugasnya memulihkan palajar yang telah cedera mental dan fizikalnya kerana dihukum oleh guru disiplin. Pelajar yang sudah luluh jiwanya. Telah lebur semangatnya. Guru kaunseling menjadi pakar magic untuk membina semula pelajar yang telah hancur.

Kadang-kadang saya jadi keliru bagaimana guru menjalankan dwi-fungsi yang bertentangan. Kontradik antara satu sama lain. Suatu paradox. Mendidik tetapi menghukum. Menghukum itu pula tanpa kasih sayang. Hilang sifat guru. Hilang sifat pendidik. Hilang sifat bapa. Hilang sifat ibu. Benteng terakhir kasih sayang telah runtuh atas namanya hukuman. Disiplin. Di rumah pelajar kehilangan kasih sayang. Ibu bapa sibuk dengan kerjaya. Masa kualiti dengan anak-anak hanya suatu ilusi semata-mata. Harapan terakhir mereka ialah sekolah. Jika itupun hilang maka anak-anak kita akan sentiasa tercari-cari fantasi. Realiti tidak mudah menjengah rasa. Selalu hilang, mencari dan menjadi mistri.

Entahlah cikgu. Saya seorang bapa. Juga seorang datuk. Cucu-cucu saya sudah empat orang di sekolah menengah. Saya risaukan mereka dan rakan-rakan mereka yang berada di sekolah. Apakah jaminan masa hadapan mereka? Benar kata DYMM Sultan Pahang. Guru mestilah kembali melaksanakan Falsafah Pendidikan yang kita semua tahu. Selalu dilaungkan untuk membangun JERI: Jasmani, emosi, rohani dan intelek.

Pelajar mestilah dibangunkan secara integrated and synchronised. JERI itu berkait antara satu sama lain. Setiap satunya tidak berdiri sendiri. Kesejahteraan pelajar perlu dibangunkan melalui keempat-empat elemen itu. Tiada satupun yang boleh terpinggir. Jasmani adalah fizikal yang perlu dibangun. Kekuatan fizikal itu menjadi kerangka atau vehicle yang mengangkut kesejahteraan emosi, rohani dan intelek. Maka kesihatan adalah kunci fizikal yang sempurna. Kesihatan itu menjana emosi, rohani dan intelek.

Mungkin intelek itu sudah ada pada pelajar. Malangnya emosi dan rohani yang halus dan yang tersirat sukar dibangunkan. Di sinilah peranan guru. Mereka yang dibekalkan dengan falsafah, psikologi, sosiologi dan pedagogi selain dari agama tentulah dapat mengadun segala rempah ratus pendidikan. Semua ramuan profesionalism masing-masing. Malang sekali lagi, ramai guru yang lupa semua ramuan itu. Tugas dan tuntutan profesionalism melupakan mereka tentang perlunya membangun emosi dan rohani. Jalan pintas yang diambil membantutkan usaha membangun fizikal dan intelek.



Barangkali kita tidak terkejut ramai orang Malaysia yang tidak boleh menggunakan common sense dalam keadaan biasa. Ramai antara kita yang terdidik secara akademik tetapi tidak dapat membuat linkage dengan realiti yang berbagai. Aplikasi selalu tiada variasi sedangkan semua yang ada di sekeliling kita banyak variasinya. Banyak ragamnya. Banyah karenah dan tingkahnya. Satu senjata tidak boleh mengamankan kesemuanya. Yang elok kembalilah ke dasar. Guru adalah pendidik. Seorang pendidik mempunyai pembawaan yang berbeza. Pendekatannya berza. Keperihatinannya berbeza. Sifat dan sikapnya berbeza. Itulah guru dengan identitinya. Dengan jati dirinya.



Sewaktu saya di UM dahulu, saya dan rakan dapat mengenal siapa pensyarah yang guru dan bukan guru. Mereka yang asalnya guru, sikap dan sifatnya ialah untuk memandaikan pelajar. Untuk mematangkan pelajar. Untuk mendewasakan pelajar. Perihatin tentang kepayahan, kesusahan, kesukaran dan kedaifan pelajar menghambat semua yang dihidangkan untuk santapan minda. Berat, beban, menghimpit perasaan. Tetapi pensyarah yang sifatnya guru, merubah sikap pelajar. Meringankan beban perasaan itu. Memudahkan. Banyak jalan dan liku yang menjadi terang. Jelas. Nampak cahaya di hadapan.



Bagi pensyarah yang bukan guru, sikap dan sifatnya berbeza. Mereka berminat menyampaikan. Mereka tidak ramai yang peka tentang azab dan sengsara pelajar untuk menerapkan ilmu. Yang banyak teori dan sukar dihubungkan dengan realiti. Banyak konsep yang sukar ditukar menjadi amali. Banyak rumus yang akhirnya sepatutnya memudahkan teknologis. Jika guru agak lembut orangnya, maka pensyarah lebih agresif, kasar dan menidakkan harapan pelajar untuk bermanja dan bergantung harap. Kesian kan?

Monday, October 11, 2010

Yang Hilang dan Pergi

Tarikh 10.10.10 mungkin bersejarah kepada graduan saya dari UTHM. Dalam famili saya kehilangan seorang ibu saudara. Sepupu arwah ibu saya. Usianya sudah lanjut. Melebihi 80 tahun. Ia pergi menyusul suaminya. Menyusul mereka yang telah pergi sebelumnya. Saya masih kembali ke kampung halaman saya. Saya masih ada urusan di sana. Kuburan di belakang masjidnya disemadikan jasad-jasad yang dulunya dekat dengan saya. Di situlah datuk dan nenek saya. Di situlah bapa saya. Di situlah bapa dan ibu saudara saya. Di situlah sepupu-sepupu saya. Di situlah anak-anak saudara saya.

Setiap ada yang pergi saya berusaha untuk menatap wajah mereka. Cium dahi mereka mana yang mungkin. Itulah tatapan terakhir. Itulah kucupan terakhir. Saya tatap puas-puas. Saya amati setiap garis dan tompok. Setiap rekah dan bintik. Tatapan itu yang terakhir. Penamat segala pertemuan. Perpisahan yang dijangka tetapi tidak selalu dapat dipastikan bila. Tika sampai saatnya, tidak lewat dan tidak pula diawalkan. Tepat setepatnya seperti perancangan Allah. Sudah ditentukan harinya. Sudah ditentukan waktunya. Sudah ditentukan tempatnya. Sudah ditentukan jamnya. Sudah ditentukan minitnya. Sudah ditentulkan saatnya. Sudah ditentukan detiknya yang sebenar. Sudah ditentukan siapa yang hadir. Siapa yang menemani ajalnya. Sudah ditentukan siapa yang melihat. Siapa yang melepaskannya.

Wajah yang pergi itu pernah bersama suatu waktu dulu. Pernah bersamanya. Pernah senyum dan tawa bersamanya. Pernah bertegur sapa. Pernah senang dan susah. Pernah akrab dan bersama. Pernah berkelana bersama di alam maya ini. Banyak kali dipertemukan. Himpunan saudara mara yang selalu tidak putus. Himpunan sahabat handai dan taulan. Himpunan semua kenalan yang berpapasan dalam kehidupan. Lintasan waktu yang berjajaran.Saban minggu dan bulan. Saban tahun yang berganti. Kenduri kendara yang dihadiri. Pastinya saudara mara itu hadir bersama. Bertanya khabar berita. Melihat sihat dan sakitnya. Kebersamaan yang panjang.

Sampai masanya berpisah jua. Orang-orang yang dekat dengan kita. Orang-orang yang kita sayangi. Yang dirindui. Yang dinanti. Yang ditandang dan ditandangi. Ikatan darah dan keluarga. Ikatan sahabat dan handai taulan. Ikatan kebersamaan yang silih berganti. Bertemu dan berpisah adat manusia biasa. Itulah dengangan perpisahan. Lagu pilu bagi yang sukar bertemu lagi. Untuk kesekian kalinya saya berada dalam situasai itu. Sukar melepaskan hati yang selalu pilu. Teringat masa dulu-dulu.

Bila seseorang pergi dari khalayak kita. Bila dia hilang dari pandangan. Bila dia luput dari renungan. Bila dia jauh dari hadapan. Bila dia entah di mana. Bila dia sudah terbang menyelinap jauh, kita hanya mampu termangu sendirian. Saya sendiri hanya mampu mengingat. Mampu mengenang. Mampu menerawang masa silam yang berlalu. Masa yang telah menemukan diri dengan seseorang. Yang kemudiannya hilang. Sekadar menancap dalam ingatan. Dalam benak minda yang entah boleh bertahan. Satu demi satu ditindih dalam lipatan. Satu demi satu mungkin puput dari ingatan itu.

Bila seseorang dalam hidup kita telah hilang. Tiada lagi penghubung yang dapat mengembalikannya. Hilanganya abadi. Kekal abadan abada. Tidak mungkin kembali lagi. Dia pergi jauh dalam alamnya yang tersendiri. Dalam alam yang berbeza. Yang tidak mungkin ditembusi kecuali kita menjejaknya. Dan masa-masa yang berlalu ini mendekatkan saya ke situ. Apa lagi yang mahu dikenang kerana ia memang hilang. Apa lagi yang perlu diingat kerana ia sudah tiada. Apa lagi mahu dihambat kerana ia sudah pergi jauh.

Hargailah setiap pertemuan. Peliharalah setiap kebersamaan. Sejahteralah bagi yang masih ada ibu dan bapa. Sejahteralah bagi mereka yang bersaudara mara. Sejahteralah kerana masih bersama. Bahagialah bagi mereka yang ada segala. Sementara masih ada waktu dan ruang inilah ambil peluang yang terluang. Tataplah mereka sepuas hati. Dakaplah mereka sekehendak hati. Ciumlah mereka seseleranya. Renunglah mata mereka. Kecapilah senyuman mereka. Sambutlah tawa mereka. Sapukanlah air mata mereka yang jatuh berguguran. Suka dukanya adalah untukmu. Doa dan restunya adalah untukmu.

...................................

Saya tidak berkesempatan lama di kampung. Ada urusan hidup. Konvokesyen UTHM pada 10.10.10. Dalam sesingkat waktu itu bertemu juga dengan orang-orang lama yang masih hidup. Masih mesra dengan tegur sapa. Masa ada daya untuk tanya bertanya. Untuk khabar berita.

Kampung ini besar impaknya. Parit Mohamad, Parit Sulong, Batu Pahat ini banyak sejarahnya pada saya. Sesekali saya ziarahinya. Ingin kembali ke zaman itu. Zaman dulu-dulu yang sangat nostalgik. Mungkinkah segala hubungan itu akan terputus jua. Saya hanya mampu menukilkannya untuk anak cucu saya. Mereka akan tahu nanti bahawa induknya dari sini. Sejarahnya bermula di sini.

Kebersamaan hanya sementara. Pertemuan hanya sementara. Ingatan mungkin lama. Tetapi perpisahan juga yang abadi. Saya berdoa semoga saya akan bertemu semua orang yang dekat di hati saya ini di akhirat nanti. InsyaAllah.

Sunday, October 10, 2010

Pendidik Dan Yang Dididik

Hari ini bukan sebarang hari. Hari Ahad yang tarikhnya menjajarkan tiga angka 10. Sejarah besar bagi yang kali pertama menggenggam ijajah. Skrol yang dinanti sejak mula melangkah kaki ke universiti ini. Lalu tarikhnya terakam 10.10.10. Hanya sekali dalam satu abad. Setiap 100 tahun. Maknanya hanya segelintir manusia sahaja yang bertuah melaluinya. Itupun tidak semua orang mengerti maksudnya angka itu. Mungkin sekadar angka yang tiada apa-apa erti. Sejarah yang berlalu. Esok lusa sejarah lain yang akan datang. Sejaran hari ini akan menjadi sejarah semalam. Ianya mungkin akan dijengah lagi. Mungkin juga akan berlalu dan dilupakan begitu sahaja. Warisan zaman. Apa lagi jika tidak terakam. Jika tanpa apa-apa rakaman.

Masa itu relatif. Anda berada di Alma Meter ini selama empat tahun sahaja. Ada antara anda yang jalannya pintas sedikit. Dua tahun setengah sahaja. Waktu mula menjejak kaki di UTHM dahulu tentulah destinasi masa itu dirasakan sangat lama. Entahkan sampai entahkan tidak. Apatah lagi UTHM bukan IPT yang ternama. Tidak terpahat tinta seperti IPT lain. Maka masa-masa itu dilalui alah bisa tegal biasa. Terbius dengan karenah kuliah, bengkel, makmal dan aktiviti luar yang datang bertimpa-timpa. Masa seperti tidak mencukupi. Tersangat perlu diperpanjangkan. Semuanya kerana tugas akademik, tugas sosial, tugas kokurikulum dan tugas peribadi yang perlu disempurnakan. Semuanya perlu. Tidak ada suatupun yang perlu diurungkan. Semua permasalahan perlu dirungkai. Perlu selesai. Dateline sentiasa berbaris setiap masa. Setiap apa yang perlu. Ada-ada sahaja yang datang bertimpa-timpa.

Ada mata yang tidak mahu lelap. Ada mata yang tidak boleh dilelapkan. Ada tenaga yang perlu disimpan. Ada tenaga yang perlu digembling. Ada tenaga yang perlu diperah. Letih dan lesu bukan alasan. Penat dan lelah bukan sebab untuk tidak melaksanakan tugas. Malas itu selalu datang. Selalu menduga. Selalu mencengkam bisu. Sakit dan kaku mengenang tanggungjawab. Selalu mencari ruang untuk mengelak. Untuk tidak mencapai sempurna. Untuk selalu melambat-lambatkan. Untuk selalu melengah-lengahkan.

Nun di depan mata wajah-wajah itu menjelma. Wajah-wajah yang diberi amanah. Amanah besar untuk mendidik. Itulah wajah-wajah pendidik yang mendidik. Yang memberi tidak meminta. Yang menambah dan tidak mengurang. Yang memanjang dan tidak memendek. Yang meninggi dan tidak merendah. Yang membesar dan tidak mengecil. Yang mendekat dan tidak menjauh. Yang menyelam dan tidak mahu timbul. Yang merencah dan tidak mahu tawar-tawar.

Wajah-wajah itu menjelma setiap masa. Padanya diberikan harapan. Akan dibangun tekad untuk membuang malas. Untuk membuang culas. Untuk membuang sifat dan sikap menangguh masa. Wajah-wajah itu menggesa kekuatan dalaman. Cabaran demi cabaran yang perlu dirempuh. Diasak. Diterobos. Di sebalik wajah-wajah itu menggamit harapan, kejayaan dan kebahagiaan masa depan.

Wajah-wajah damai yang tenang itu membimbing, mengasuh, mendidik, memimpin, menunjuk jalan, membangun minda dan akal, meluas minda dan pandangan tersirat yang dalam dan luas. Yang merentas minda biasa untuk mencari yang indah dan syumul. Yang selalu banyak doanya agar anak didiknya menjadi manusia. Menjadi pewaris yang menjamin kelangsungan profesionnya. Yang nanti diperpanjangkan amal jariahnya. Yang sahamnya nanti dititip ke akhirat. Dikutip bak mutiara indah.

Kerananya masa-masa yang terluang mesti diguna. Mana ada waktu santai yang manis-manis belaka. Semuanya perlu diambil kesempatan. Diisi untuk memberi erti kepada ruang dan silangan masa. Kesempatan yang tidak mungkin datang semula. Tidak ada kemungkinan kitaran masa itu berulang untuk mengembalikan apa yang telah terlepas pandang. Yang telah terbuang kerana banyaknya ragam watku ianya datang. Alangkah! Aduhai! Indahnya masa yang berlalu itu. Kiranya dapat aku kembali membaiki keadaan. Memperbetul laluan.

Masa terlalu relatif. Lama dan sekejap hanya mainan minda. Mainan perasaan. Lama bagi yang terlalu memikirkannya. Yang mengusutkan diri kerananya. Yang terlalu menanti tanpa mendekat. Yang tercegat tanpa kreativiti dan inovasi. Yang hanya mengira tetapi tidak menjumlah. Yang tidak mengambil iktibar masa-masa yang pasti berlalu. Guna atau tidak ia tetap mengalir pergi kerana padanya tiada siapa yang perlu ditunggu. Ia berjalan mengikut fitrahnya. Berlalu pergi tanpa pamit dan izin.

Empat tahun mungkin lama. Penatnya mengguna masa. Dengan tenaga dan perasaan. Dengan tenaga dan wang ringgit. Dengan tangis dan tawa. Dengan keringat dan air mata. That toil dan soil. Sweat and blood. Semuanya bergabung. Berbaur. Bercampur. Menjadi rencah pengadun kejayaan yang dicita. Yang dari mula diazamkan untuk mencipta keindahan. Nikmat penat dan malas yang telah diganti dengan usaha dan harapan tinggi.

Hari itu yang tarikhnya 10.10.10 semuanya berputar kembali bermain di minda. Segala-galanya yang telah berlalu itu hanya menghasilkan sekeping kertas yang bernama ijazah. Kertas biasa yang tiada bezanya dengan kertas-kertas biasa. Kepingan kertas itu telah memampatkan segala yang diusahakan. Yang telah direncahkan. Yang mengandungi adunan-adunan kejayaan. Padanya kertas yang datar untuk melancarkan harapan alam. Harapan agama. Harapan zaman berzaman. Masa depan yang diidamkan.

Lintasan waktu hanya beberapa saat di atas pentas. Di dewan yang gemerlapan itu. Yang ditonton ribuan mata yang terasa syhdunya. Mata mencari-cari orang tersayang yang bernama ibu dan bapa. Mungkin isteri atau suami. Mungkin tunang atau kekasih. Mencari-cari senyuman indah. Senyum bangga. Senyum puas kerana perjalanan masa yang tamat sudah. Suatu perhentian yang pasti akan bersambung lagi. Destinasi masih banyak di hadapan. Banyak tempat yang perlu disinggahi. Untuk sampai banyak usaha lain yang lebih gigih lagi.

Sebagai pendidik saya sempat melihat kesemuanya. Dari mula anda berada di sini hingga hari ini. Jika dulu datangmu dengan muka mencuka. Masam. Kusai. Penat dari jauh yang banyak kilometernya. Yang merasa penat mendengar dan melihat. Entah apa si tua ini berkata. Entah apa bicaranya. Entah apa celotehnya. Entah apa omelnya. Sesekali ada lawaknya. Ada kecindannya. Ada jenakanya. Ada pula cerita panjang dan pendek yang dikutip entah dari mana.

Diprovokasi pula minda yang selalunya malas untuk menganalisis dan mengolah bicara. Dipaksa pula berhujjah dangkal tanpa makna. Naive yang kerana lama tidak diguna. Hari demi hari yang dilaluinya tidak mengubah fizikal. Tinggi dan besarmu tidak mungkin berubah lagi selepas zaman remajamu berlalu. Besarmu sahaja mungkin berubah kerana makanan yang tidak dijaga piramidnya. Namun dalamanmu berubah. Akalmu semakin panjang. Tajamnya semakin menghiris. Pandanganmu semakin menusuk tajam. Apa yang dilihat bukan sekadar luarannya yang difaham. Kemahiran sintesis dan analisis itu semakin jauh meninggi, mengangkasa. Kepetahan bicara, hujjah dan mengulas terserlah. Akhirnya pasti dinobat graduan berjaya. Sampai saat kita berpisah. Antara yang mendidik dan yang dididik tiba sudah di persimpangan. Aku dengan perjalananku. Kau dengan perjalananmu. Jalanku mungkin sudah terlalu hampir tamatnya. Jalanmu secara fitrahnya masih terlalu ya terlalu panjang. Nanti ada kesempatan akan tetap ku titipkan pesanan satu atau dua. Ini mungkin kali terakhir kita bertemu. Maya ini sahaja jika boleh menghubung lagi. Selamat jalan. Selamat terus ke hadapan dengan penuh harapan. Aku kembalikan kamu kepada orang-orang yang berhak atas dirimu. Kembalilah kepada mereka.

Ungkapkanlah kepada mereka. Azam yang kuat untuk kesejahteraan mereka:

"Untuk ini sumbangsih ku untukmu ibu. Ini untukmu ayah. Ini untuk penat lelahmu. Ini untuk harapanmu yang menggunung. Ini untuk doamu yang tidak pernah putus. Ini aku, ankmu yang kau titipkan di universiti ini bebrapa tahun yang lalu. Hari ini aku kembali kepadamu dengan jaya. Ke dalam dakapanmu. Hanya untuk sementara singgah sebentar. Nanti ada panggilan agama dan nusa. Nanti aku akan pergi lagi dengan bekal yang lebih berani. Di luar sana baktiku dipinta. Jasaku diharap. Juangku digarap. Langkah beraniku ditunggu. "

Katakanlah:

"Doamu masih tetap ku harap. Semangatmu yang mengalir dalam diriku akan ku gilap. Warisan ilmu yang tersemat akan ku sebar luas. InsyaAllah masa tuamu akan ku bela. Akan nanti ku jaga. Akan nanti ku jamin bahagia. Akan nanti tiada cacat cela yang mengganggumu. Akan nanti ibu dan ayah akan menjadi warga emas tempauan. Aku janjikan itu untukmu. Mudah-mudahan harapanmu akan ku balas. Moga-moga Allah memberikanku kekuatan untuk membalas."

"Doalah ibu. Doalah ayah. Aku masih rindukan doamu itu. Aku doakan jua bahawa ibu dan ayah akan bahagia. Akan damai. Akan tenang menghadapi harapan hari tua. Nantinya akan ku sambung warisan ini kepada anak cucumu. Kepada anak-anakku. Kepada keturunan kita. Aku ingin jadikan mereka pewaris hebat yang membina agama. Yang membina bangsanya. Yang membina keturunannya. Yang membina ketamadunan dan kemanusiaannya. Yang nanti dikenang sepanjang zaman. "

Selamat menapak dan nanti berlari. Selamat menghapus segala rintangan yang menghalang. Mudah-mudahan beroleh kesenagan yang membahagaiakan. Mendamaikan. Salam sejahtera selalu. Aku akan setia di sini menunggu waktu. Pasti berlalu seperti masa dulu-dulu.