Episod perkhidmatan saya berakhir di UTHM yang dulunya PLSP menjadi ITTHO hingga KUiTTHO. Saya telah mengajar dari sekolah menengah rendah, merentas sekolah menengah sains, politeknik, sekolah menengah teknik dan universiti. Satu spektrum pengalaman yang sukar saya lupakan. Sebelum itu saya pernah menjadi guru sementara di sekolah rendah. Pernah mengajar di sekolah swasta. Mengajar mereka yang tidak berpeluang ke sekolah menengah melalui laluan biasa.
1.10.1994 saya berhijrah lagi. Kali ini dari SMT Johor Bahru ke Pusat Latihan Staf Politeknik (PLSP). Hanya 11 bulan di SMT. Betul-betul transit. Di SMT saya menjadi penolong kanan HEM. Pangkatnya guru kanan ketika itu. Di PLSP saya ditawarkan Ketua bahagian HEP dengan memangku Superscale DG2. Saya terima tawaran ke PLSP kerana beberapa sebab. Setelah berada di peringkat pasca SPM sejak tahun 1979, saya tidak lagi merasa serasi di sekolah menengah. Banyak kebebasan intelek yang tidak dapat dilaksanakan. Sekolah penuh dengan birokrasi. Alamnya sesuai bagi mereka yang seluruh hidupnya di sekolah. Bagi orang seperti saya sekolah menjadi terlalu asing. Seperti terlalu banyak hijabnya.
Keduanya kerana jawatan yang disandang lebih tinggi. Sinonim dengan pendapatan yang lebih tinggi. Siapa yang tidak mahukan pendapatan yang lebih tinggi. Ketiganya pula adalah berkaitan dengan kelayakan dan pengalaman saya. Menjaga pelajar bukan perkara asing. Pelajar politeknik dan pelajar PLSP tidak banyak bezanya. Keempatnya kerana saya kembali ke Batu Pahat. Saya ingin membina rumah idaman saya di atas tanah yang telah saya beli pada tahun 1993. Rumah itu pun siap dibina pada tahun 1998. Saya namakan Taj Mahal. Untuk isteri kesayangan saya. Sebab yang terakhir, saya terlibat sejak dari hari pertama Politeknik Batu Pahat hendak dijadikan PLSP. PLSP sangat dekat di hati saya. Saya hadir pertemuan pertama dengan pegawai International Bank of Reconstruction and Rehabilitation (IBRR) di bahagian Pendidikan Teknik dan Vokaisonal, Kementerian Pendidikan Malaysia.. Selalunya dipanggil Bank Dunia sahaja. The World Bank. Saya juga hadir dalam mesyuarat-mesyuarat dengan staf dari UTM dan Kementarian Pendidikan sewaktu membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan penubuhan PLSP. saya juga hadir dalam pertemuan dengan pembida-pembida antarabangsa yang membekalkan pensyarah ke PLSP. Lagipun saya memangku pengetua Politeknik Batu Pahat ketika itu.
Mula-mula menjejak kaki ke PLSP terasa benar kekoknya. Al-maklumlah di keliling ramai mereka yang dipanggil Dr. dan Prof. Walau bagaimanapun pengarah dan beberapa pensyarah yang kanan telah saya kenali sejak sebelum penubuhan PLSP lagi. Kurang kebimbangan saya. Kejutan paling besar ialah dari segi kewangan. Jika di sekolah cerita wang ini sangat sporadic. Sekali-sekala sahaja. Jika ada, jumlah yang dibincangkan terlalu kecil. Mungkin beberapa ribu sahaja. Di PLSP jumlah yang paling rendah mungkin 1 hingga 2 juta. Seolah-olah wang turun dari langit. Atau dituai dari pokok. Atau memancut dari bumi. Sandarannya tentu kuncikata yang mesti dirunaikan. Kerajaan mesti menyempurnakannya. Tanpa kewangan yang nyata universiti lumpuh untuk mengungguli alam ini. Teknologi akan tercorot. Tidak boleh mendepani zaman. Maka kemewahan nampak di mana-mana.
Universiti dan sekolah kebangsaan seperti 7 petala langit dan 7 petala bumi terpisahnya. Untuk membeli sebuah mesin fotostat memakan masa yang lama di sekolah kebangsaan. Untuk menggunakannya terpaksa berbaris. Tempah pula in advance. Setengahnya dakwat atau katrij bawa sendiri. Kertas memanglah beli sendiri. Bila rosak tidak pula ada pengganti. Seolah-olah sekolah sudah mati. Di universiti keadaan sebaliknya. Jika lambat semasa membeli, pembekal sahaja yang tidak mendapat bekalan. Itulah cerita dua alam pendidikan yang berbeza.
Oklah. Di PLSP saya di HEP selama 5 tahun, hingga 31 Disember 1999. Mantan pengarah yang kedua mencadangkan supaya saya bertukar menjadi pensyarah. Saya pertimbangkan dan saya isilah borang yang berkenaan. Barangkali sifat saya yang 'slow' meragukan pula orang akademik. Ada yang menyatakan kebimbangannya bahawa saya mungkin menghadapi kesukaran menjadi pensyarah. Politeknik dan sekolah tidak serupa. Saya angguk kepala sahaja. Senyum semurah-murahnya. Mereka perlukan bukti dan testimoni.
Bertukarlah saya dari seorang petadbir sepenuh masa kepada seorang pensyarah. Tarikhnya 1.1.2000. Menjadi biasa saya diberikan tanggungjawab untuk mengendalikan kelas-kelas Falsafah, Psikologi, Sosilogi, pedagogi, Pengajaran Mikro dan sekali sekala subjek-subjek baru. Mengajar sudah menjadi darah daging saya. Saya telah meolak banyak tawaran untuk menjadi orang lain di luar sana. Namun cinta pertama saya ialah pendidikan. Menjadi guru yang baik. Alhamdulillah 41 tahun yang saya lalui ini tetap menjadikan saya seorang guru.
Kelas sosiologi pertama dahulau dihadiri oleh PM Haji Sapon dan Dr. Asri. Mereka berdua mengikuti kelas PhD mereka. Dalam kelas psikologi pernah dihadiri oleh Puan Noraisah Daud, kaunselor kanan UTHM. Waktu itu dia sedang mengikuti kursus sarjana. Mengajar tidak menjadi masalah kepada saya. Tua atau muda, sedikit atau ramai, lelaki atau perempuan tetap audien. InsyaAllah mereka dapat saya kendalikan. Masa terlalu pantas. Tarikh persaraan saya tiba juga pada 23.7.2001. Bersara wajib setelah berkhidmat selama 31 tahun. Usia 55 tahun. 3 bulan sebelum umur persaraan menjadi 56 tahun dan kemudiannya 58 tahun.
Saya hanya bersara selama satu hari. Pada hari keuda persaraan saya, 24.7.2001, saya kembali ke pejabat sebagai pensyarah kontrak dalam kategori semenrata. Kerja sepenuh masa, dibayar gaji bulanan dan bertugas seperti orang lain. Sejak tahun 2000 lagi saya banyak melakukan kerja menyelia pelajar yang menjalani praktikum mereka. Al-maklumlah, pelatih guru kenalah ada latihan supaya tidak menghadapi banyak masalah di sekolah nanti. Sudah biasa dengan suasana dan iklimnya. Banyak kali saya di Ipoh, Kuala Terengganu, Kuantan, Port Dickson, Kota Kinabalu, Selangor dan Alor Setar. Perantauan-peranatuan yang menguji pengalaman.
Dalam perjalanan yang jauh itulah saya menyedari bahawa lawatan sekali sekala itu bukanlah terlalu membebankan sangat. Meninggalkan ruma seminggu atau dua sahaja. Pelajar pula datang ke UTHM dari segala pelosok negara. Berkenderaan malam sampainya pagi. Sukar berjalan siang kecuali yang berkenderaan sendiri. Awal tahun 2010 saya ke Alor Setar. Sepanjang perjalanan pergi saya merakamkan banyak imej di tepi kanan dan kiri lebuhraya. Ramai pelajar seperti tidak pernah melihar imej-imej itu wujud di sepanjang perjalanan mereka saban semester. Tentu sekali tidak kerana mereka berjalan malam. Jika siangpun mereka tidur dalam kenderaan.
Bila berkenderaan, pemandu sahaja yang jaga. Yang lain nikmat dibuai dan dilambung tinggi rendah jalan. Dibuai putaran stereng yang membetul arah. Sebenarnya satu perjalanan itu perlu dirakam. Sekurang-kurangnya dalam minda. Banyak input-input alam yang di rassa. Untuk dikongsi. Untuk direnung. Untuk diambil iktibar. Masa meluncur malam itupun barangkali sesuai untuk muasabah diri. Merenung masa hadapn. Untuk merencanakan kehidupan. Untuk merealisasikan sesuatu yang bermanfaat.
Setelah 4 tahun menajdi pensyarah kontrak saya bersara penuh pada tahun 2005. Saya menjadi bebas. Adalah kelas-kelas al-Quran di sana sini. Melapangkan fikiran, santai dan bersama diri sendiri. Saya tidaklah berehat penuh. Saya masih lagi mengikuti kursus Diploma Eksekutif Pengajian Usuluddin di Universiti Malaya. Masa tidak senggang selamanya. Bukan makan dan tidur sahaja. Selain daripada itu aktiviti al-Quran di daerah Batu Pahat perlukan aktivis dan penggerak-penggeraknya. Saya masih hectic walaupun bersara namanya.
Tahun 2006 saya dipelawa menjadi pensyarah sambilan. Ok juga, bila ada kelas saya datang. Bila tiada saya balik. Begitu juga tahun 2007. Pada tahun 2008 dekan pula mempelawa saya menjadi pensyarah kontrak. Jenuh juga saya fikirkan pro dan contranya. Akhirnya saya terima juga kontrak selama setahun. Pada tahun 2009 kontrak saya disambung hingga tahun 2011. 15.2 2011 tahun hadapan nanti tamatlah kontrak saya.
Saya masih contemplating. To be or not to be. Masih ada kekuatan. Masih rakus mendidik. Masih ada ruang bersama pelajar. Masih boleh berkongsi rasa, cita-cita, harapan dan hasrat membina bangsa. Sudah hampir. Sudah ada gambarannya dalam minda. Ada perancangan yang dirangka. Nantilah sampai masanya akan saya maklumkan jua. Sesungguhnya perancangan Allah jua yang sentiasa lebih baik. Saya akan pasrah untuk menerima ketentuanNya.
No comments:
Post a Comment