Suatu ketika seorang pelajar ditangkap kerana merokok di asrama. Bila dia menyedari ada pegawai HEP berhampiran dia membuang puntung rokok yang dihisapnya. Bila ditangkap dia menafikan yang dia merokok. Puntung rokok ada tetapi dia tidak mengaku merokok. Susah juga kan. Pegawai muda HEP hilang punca. Tidak boleh selesai. Dibawalah kes itu kepada saya. Pelajar ini pula berusaha mencari helah. Bila masuk ke bilik saya di memprotes gila. Kenapa dia dituduh merokok sedangkan dia tidak melakukannya. Puntung rokok itu tidak boleh dikaitkan dengan dia. Siapa sahaja boleh membuang puntung rokok di kawasan asrama itu. Kiranya ketika itu dijalankan ujian DNA dia mesti terhukum.
Saya layan marahnya hingga dia kepenatan sendiri. Bila dia reda, saya tanyalah tentang proses tuduhan, proses disiplin, proses perbicaraan, proses hukuman. Tidak sataupun yang dapat dijawabnya. Tadi kononnya dia telah menghubungi bapanya. Bapanya pula telah mengubungi peguam keluarga. Dila perlukan pembelaan kerana tuduhan tanpa bukti. Apabila saya huraikan satu persatu proses kesemuanya itu, terdiamlah dia. Dipanggil ke pejabat HEP bukan bermakna sudah dituduh. Bukan bermakna sudah hendak dibicarakan. Bukan bermakna sudah jatuh hukum. Belajar tinggi jika tidak berpijak di bumi nyata menjadi keliru semata. Saya tidak pula mahu mendesak. Akhirnya saya mengambil sehelai kelongsong plastik. Saya masukkan puntung rokok yang menjadi isu. Lalu saya katakan kepadanya, puntung ini akan saya simpan. Saya mengingatkan kepadanya supaya tidak melakukan apa-apa perlanggaran disiplin walau dalam bentuk apa sekalipun selepas insiden itu. Jika berlaku, saya akan keluarkan puntung rokok itu sebagai pertuduhan benar. Jika dia boleh melakukan kesalahan lain bermakna merokok itu bukan ilusi. Ia mesti benar. Tindakan saya itu saya kira usuatu gutan. Tapi terlalu subtle untuk difahami pelajar. Hingga tamat pengajian, saya tidak mendengar apa-apa khabar darinya.
Di IPT, tuduhan hanya berlaku setelah pegawai penyiasat (HEP) berpuas hati memang ada kes. Ada bukti. Ada saksi. Telah berlaku perlanggaran disiplin yang nyata. Pertuduhan mestilah bertulis dan memberi masa 14 hari sebelum tarikh perbicaraan. Pelajar boleh membawa peguamnya sendiri jika mahu. IPT tiada masalah. Perbicaraan dilaksanakan seperti public hearing. Tidaklah seperti mahkamah. Tetapi prinsipnya sama. Tidak ada sesiapa yang dihukum bersalah hinggalah mahkamah menjatuhkan hukuman. Yang dituduh mesti diberi peluang membela diri. Itulah hak asasi manusia. Keadilan.
Dulu, pengarah yang menjadi pengerusi. Pegawai HEP menjadi pegawai pendakwa. Adalah beberapa pegawai lain yang menjadi anggota. Pendakwa membacakan pertuduhan. Butirannya merangkumi nama pelajar, kad pengenalannya, no matriknya, tempat kejadian, tarikh kejadian, masa kejadian dan perlanggaran peruntukan AUKU yang berkenaan. Pendakwa bertanya adakah dia mengaku bersalah atau mengaku tidak bersalah. (Proses ini telah saya terangkan dalam entry yang terdahulu).
Jika mengaku bersalah, hukuman dijatuhkan selepas anggota membuat deliberation. Jika tidak mengaku maka perbicaraan ditentukan kemudian. Proses perlaksanaan disiplin ini tidak diketahui pelajar kerana mereka tidak membaca dan menghalusi AUKU yang dibekalkan kepada mereka. HEP facilitate semua maklumat perundangan dan peruntukannya. Saya telah mendapat latihan dan pengalaman yang mencukupi di Politeknik Ungku Omar dari tahun 1979 hingga tahun 1990. Di SMT Johor Bahru dan PLSP saya mengaplikasikan semua pengalaman yang saya ada. Lagipun kerana saya pernah belajar asas undang-undang di UM dulu, proses melaksanakan undang-undang itu menjadi lebih mudah. Bahasa undang-undang bukan mudah difahami. Hanya mereka yang pernah belajar dapat mentafsirkannya mengikut kemampuan inteleknya.
..............................................................................
Dalam kes yang lain terdapat pasangan Islam yang dilihat terlalu rapat dan kerap dicurigai. HEP menerima laporan. Mereka dipanggil. Kes itu dikendalikan oleh pegawai muda. Dalam berhujjah ada yang tidak kena. Pelajar perempuan itu meninggikan suara. Menangis dan tidak dapat menerima kenyataan bahawa perbuatan mereka berdua adalah salah. Coupling kepada kebanyakan orang khususnya pelajar adalah sesuatu yang lumrah. Tidak ada yang aneh. Mereka lupa bahawa bagi mereka yang belum bernikah itu banyak halangan untuk berlagak intim dan menyakitkan mata orang yang memandang.
Ramai juga pelajar beranggapan bahawa peraturan disiplin adalah peraturan universiti. Pandai-pandai orang yang mengendalikan universiti itu. Saya rasa masih terpakai peraturan berikut yang saya gubal dulu. Atau mungkin sudah diubahsuai. Pelajar bukan mahram tidak boleh berboncengan motorsikal di dalam kampus. Sebab itu pelajar perempuan turun di get UTHM sambil memegang helmet. Andaboleh melihatnya setiap hari hingga sekarang. wow! Sudah hampir 20 tahun peraturan itu. Pakaian pelajar tidak boleh singkat, ketat, berlubang-lubang, bertampal-tampal, jarang dan telus, berambu-rambu, berwarna warni, comot, plunging neckline, plunging backline, leher terlalu besar, lengan terlalu besar. Rambut pula pendek bagi lelaki dan tidak berwarna atau punk atau skinhead atau jenis apache. Mana boleh pelajar lelaki bertocang, bersanggul. Yang perempuan tidak boleh berwarna. Panjangnya tidak mengganggu atau membahayakan dirinya kerana mereka mengendalikan mesin dan alat di bengkel dan makmal.
Apabila dalam keadaan biasa, pelajar tidak dapat dikaunsel atau dikendalikan lagi maka saya guna pendekatan lain. Pendekatan agama. Saya hujjahkan bahawa memang coupling itu perkara biasa. Ramai orang melakukannya. Kami bukan buat apapun, kata mereka. Yes semuanya benar. Tetapi hujjah seperti itu terlalu naif. Terlalu dangkal. Mereka membuat undang-undang sendiri. Itulah pengaruh barat yang menggila masuk dalam budaya kita. Budaya yang mencemarkan. Senjata saya ialah bahawa coupling itu larangan dalam peraturan universiti. Peraturan sosial. Peraturan agama. Agama yang melarang coupling. Allah yang melarang. Undang-undang Allah. Bukan undang-undang Rasulullah. Rasulullah hanya menyampaikan seperti yang diterima dari malaikat Jibril. Rasulullah mengajar dan mendakwah umatnya supaya menerima dan mematuhi peraturan Allah. Bercinta tidak dilarang asalkan menjaga batas-batasnya. Coupling adalah sinonim dengan mendekati zina. Nanti terjadi zina mata, zina anggota seperti berpegang tangan, bergesel badan dan banyak lagi istilah mendekati zina.
Dengan hujjah itu barulah pelajar perempuan yang tidak boleh menerima kenyataan itu terdiam. Tiada sanggahan yang dapat dibuatnya. Tidak mungkin dia menidakkan Allah sebagai penentu segala hal kehidupan manusia. Itulah sebabnya untuk mengendalikan pelajar, tidak boleh orang muda dan yang tidak luas pengalamannya. Tugas HEP perlukan orang yang matang pengalaman. Ada pula kemahiran menggunakan bahasa. Ada teknik memintas fikiran dan mencantas bantahan. Ada ilmu psikologi. Guna reversed psichology. Mahir pula merasuah fikiran. InsyaAllah pelajar akan mati akal untuk berdalih. Yang nakal dan ada sedikit rasa berontak boleh ditawan dengan pengalaman.
'''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''
Sepasang pelajar dihadapkan kepada saya. Perempuanya Islam dan yang lelakinya bukan Islam. Kecoh juga. Sama juga. Alasan mereka itu adalah perkara biasa. Saya berhadapan dengan yang lelaki. Saya nasihat mana yang perlu. Cinta adalah hak mereka. Cuma saya menggariskan beberapa perkara supaya tidak dilanggari. Supaya tidak menjadi isu dan polimik di universiti. Isu agama dan isu kaum sukar didamaikan dalam banyak hal. Ia boleh jadi isu nasional. Boleh juga jadi isu antarabangsa. Ramai di luar sana yang bersedia mengambil isu ini untuk diperbesarkan.Ini kefahaman mudah. Yang lelaki menimbulkan isu demokrasi kepada saya. Bukankah individu dijamin dalam perlembagaan boleh bertindak bebas. Mereka dijamin hak asasi mereka. Saya kata itu benar dari segi interpretasi mudah. Malaysia mengamalkan demokrasi. Ya demokrasi. Tetapi kita ada acuan sendiri untuk merealisasikan maksud demokrasi itu. Saya kata, jangan berhujjah tentang demokrasi dengan saya jika tidak tahu apa maksud demokrasi. Jika hanya ikut-ikut menyebutnya. Saya bertanya kepadanya, adakah dia membenarkan saya memasuki rumahnya tanpa menaggalkan kasut. Jawabnya tidak boleh. Lalu saya kata bukankah negara ini negara demokrasi. Saya bebas berbuat apa sahaja. Di situ dia mati hujjah. Demokrasi bukan alasan untjuk membebaskan diri. Kebebebasan itu terlalu relatif. Tidak ada yang mutlak.
''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''
Tandanama di paras pinggang. Saya cukup tidak selesa dalam hal seperti itu. Tandanama adalah suatu keperluan undang-undang negara. Ada dalam AUKU. Semua penjawat awam diwajibkan memakai tandanama. Begitu juga pelajar. Tandanama mesti dipakai di paras dada. Apa falsafahnya? Ia bukan perkara main-main. Mengertilah gambar kita adalah sesuatu yang dekat pada diri kita. Nama kita adalah sesuatu yang dekat dengan seluruh jiwa raga kita. Pusat segala keintiman diri kita adalah jantung kita. Dada kira kita. Ia syahdu di situ. Ia kudus di situ. Dekat di hati kita sendiri. Jika gambar kita, jika nama kita diturunkan ke bawah maknanya kita sendiri, diri kita sendiri merendahkan martabat diri kita. Menghina diri kita sendiri. Meremehkan diri kita sendiri. Memperlekehkan diri kita sendiri.
Perbuatan itu seperti tiada apa-apa tetapi besar implikasinya. Meletakkan tandanama di paras pinggang sangat tidak menasabah. Maaflah mungkin bahasa saya agak terlebih sedikit. Terkasar sedikit. Kurang sopan sedikit. Kurang beradat sedikit. Saya harap anda semua berlapang dada. Tandanama itu separas dengan pungung kita. Separas dengan kemaluan kita. Kita hina gambar kita sendiri. Kita hina nama kita sendiri. Saya harap cukuplah apa yang telah kita lakukan sebelum ini. Masa hadapan tentu boleh diubah. Anda boleh mengubahnya.
.....................................
Seorang pelajar perempuan mengikut pelawaan seorang lelaki yang baru seminggu dikenalinya. Saya ingin maklumkan kepada pembaca, ketika itu Parit Raja benar-benar kampung yang ada rumah kedai dua baris di kiri dan kanan jalan. Jalanraya hanya dua lorong. Sempit. Kecil. Serba menghimpit. Saya dipindahkan ke Parit Raja pada akhir tahun 1990. Sudah 20 tahun saya di sini. Sejarahnya panjang bersama dengan sejarah Politeknik Batu Pahat. Pusat Latihan Staf Politeknik. Institut Teknologi Tun Hussein Onn. Kolej Universiti Tun Hussein Onn. Sekarang Universiti Tun Husseion Onn Malaysia, Johor. Satu bangunan. Satu tapak. Satu lokasi. Satu kampus. Suatu transisi masa. Membariskan ramai orang-orang yang berperanan untuk mengubah. Untuk mendatangkan perubahan. Untuk menangani perubahan.
Dalam keadaan Parit Raja yang serba terkebelakang itu seorang pelajar wanita dari utara berani menerima pelawaan seorang pemuda tempatan yang tidak dikenali untuk keluar malam. Saya yang bimbang bila menerim aduan itu. Ibu bapanya jauh di kampung. Di rumah. Mereka yakin anak mereka selamat. Mereka yakin PLSP melindungi anak mereka. Di sini anak mereka tidak tahu apa makna keselamatan diri. Terlalu naif tentang hal-hal yang sangat berbahaya itu. Dia langsung tidak merasa apa-apa tentang perbuantanya itu.
Saya katakan kepadanya, tak takut ke? Dia seperti tidak memahami maksud saya. Memanglah terlalu muda untuk memahami. Lepasan SPM. Mula-mula saya katakan sebagai pelajar IPT sepatutnya mahasiswa dan mahasiswinya berfikiran tinggi. Boleh menjangkau jauh ke hadapn. Peka. Perasa dan sensitif dan apa yang berlaku di sekelilingnya. Bayangkan malamnya gelap dahulu. Lampu jalan tidak sempurna. Sunyi dan sepi. Kerana geram dengan kebersahajaannya, saya katakan bagaimana jika dia dirogol, diperkosa atau dicederakan? Termangu dia sebentar.
Ini masalahnya. Anak-anak kita tinggi akademiknya tetapi ketandusan common sense. Di rumah dan di sekolah kita tidak bekalkan mereka dengan self respect. Semua dianggap boleh. Bebas dari cengkaman ibu bapa. Tidak ada siapa yang nak ambil tahu. Kewarasan belum menjelma lagi. Semua perkara dianggap as it is. Tidak perlu dibicarakan.
No comments:
Post a Comment