Thursday, November 30, 2017

Melihat Dengan Mata



Allah menganugerahkan kita dengan mata. Tetapi walaupun mata kita hanya dua, hanya sepasang, kita masih boleh melihat dengan berbagai mata yang lain yang kadang-kadang tidak kita sedari dan tidak kita gunakan. Seluruh anatomi diri kita boleh menjadi mata kepada kita. Seluruh fisiologi diri kita adalah mata yang bukan berbentuk mata seperti mata yang sebenarnya. Malangnya tidak ramai antara kita yang  memiliki banyak mata dan bukan hanya sepasang mata sahaja.
1                     Ia perlukan latihan.
2                     Ia perlukan kesedaran dan kemahiran.

Seorang yang cacat penglihatan masih boleh mengenal warna sekuntum bunga walaupun tidak pernah melihat dengan pandangan mata yang sebenar. Seseorang boleh mengenal warna hanya dengan menghidu baunya. Seorang yang lain boleh mengenal warna dari bunyi atau lagu sesuatu. Jauhari juga yang mengenal ma’kiam. Sesungguhnya mereka yang kehilangan satu mata akan melihat dengan mata yang lain yang ada pada dirinya. Yang Allah installed dalam dirinya. Yang Allah lengkapkan dalam dirinya. Deria atau pancaindera manusia sangat besar potensinya. Kita sahaja yang tidak mengembangkannya menjadi sesuatu yang sangat bermanfaat kepada kesemua yang ada di sekeliling kita. Kita bebankan mata kita untuk segala-galanya. Kita tidak mengagihkan bebannya kepada pancaindera yang lain. Hampir kesemua kita tidak mengendahkan deria ke-enam (the sixthed sense) yang ada pada kita. Kerana itu:

1                     Kita kurang peka dengan hal orang lain. Tidak perihatin dengan senang atau susah orang lain. Baik atau tidak baik  kepada orang lain.
2                     Kita tidak melihat sesuatu dari sudut pandang  yang lain. Dari sisi yang lain. Dari aspek yang lain. Dari perspektif yang lain.
3                     Kita gagal melihat  yang tersirat. Yang terlindung dari kalimah atau kata-kata dan istilah.
4                     Kita gagal melihat double meaning yang cuba disampaikan.
5                     Kita gagal memahami andaian dan premis.
6                     Kita gagal membaca kontrak. Memahami perjanjian. Memahami tanggungjawab dalam sesuatu kontrak.

Sebenarnya mata hati kita lebih baik dan lebih besar manfaatnya. Mata kepala kita hanya melihat sedangkan mata hati kita memberikan perasaan. Memberikan nilaian secara halus. Bersama emosi. Mata lebih banyak melihat yang fizikal:
1                     Tinggi atau rendah.
2                     Berat atau ringan.
3                     Besar atau kecil.
4                     Keras atau lembut.
5                     Kuat atau lemah.
6                     Jauh atau dekat.
7                     Banyak atau sedikit.

Mata hati akan melihat apa yang di dalam:
1                     Sikap dan sifat.
2                     Seni atau keindahan.
3                     Perasaan.
4                     Motivasi.
5                     Positif dan negatif.
6                     Cita-cita dan harapan.
7                     Pemikiran aras tinggi dan perasaan aras tinggi.


Gabungan mata  dan mati hati ini melambangkan kekuatan fizikal dan mental serta perasaan. Mungkin kita perlu tambahkan dengan psikologi untuk memahami tingkah laku diri kita sendiri dengan tingkah laku orang lain. Melengkapkan diri kita dengan kekuatan fizikal, kekuatan mental dan kekuatan psikologi akan melahirkan sinergi berganda untuk melakukan dan menjayakan sesuatu yang perlu dalam kehidupan diri, berkeluarga, bermasyarakat, bernegara dan beragama. Ini bermakna kesihatan fizikal adalah sangat penting. Kesihatan mental juga sangat penting. Apatah lagi kesihatan psikologi. Kita mungkin gagal melahirkan the perfect man atau superman tetapi kita mungkin tidak gagal melahirkan the right man. Manusia yang layak ini perlu untuk melaksanakan sesuatu yang perlu selayaknya dalam kehidupan.

Cita-cita kita perlu tinggi. Ingin menggapai awan. Tetapi kita perlu melakukan yang terbaik untuk mencapainya. Walaupun kita perlukan bantuan org lain tetapi sepatutnya 99% usaha untuk mencapai citi-cita itu kita yang lakukan sendiri. Kita perlu nisbahkan perancangan, cita-cita dan kejayaannya kepada diri kita. Cita-cita tinggi pula perlu diperingkatkan. Perlu dicerakin supaya didahulukan yang utama dan kemudiankan yang menjadi pelengkap kesempurnaanya. Seperti membina bangunan, dahulukan asas dan tiangnya. Kemudiankan lekapan dan kelengkapannya. Paling akhir ialah hiasannya. Apabila kita memahami proses ini barulah mata yang ada di seluruh anggota dan pemikiran kita dipergunakan dengan sepenuhnya. Untuk menyempurnakan keperluannya bagi menjayakan sesuatu yang perlu dan diperlukan.

Kita perlu membiasakan diri kita mempergunakan mata kepala dan mata hati kita dengan sebaiknya supaya potensi sebenar diri kita dapat kita zahirkan. Mungkin tidak sempurna tetapi melebihi jangkaan keupayaan diri kita sendiri. Duduk diam tanpa berbuat sesuatu adalah merendahkan taraf kejayaan diri kita. Melihat dengan mata kasar tanpa berbuat sesuatu tidak menghasilkan sesuatu yang lebih besar atau lebih baik atau lebih banyak. Melihat dengan membuat penilaian yang wajar, merancangkan tindakan yang perlu, melakukan tindakan yang wajar, mengenalpasti masalahnya, mendapatkan makkum balas dan sebagainya akan menghasilkan natijah yang lebih baik dari hanya melihat  orang lain melakukannya sedangkan kita tidak berpuas hati kerana hanya mampu melihat sahaja.  

Hubaya! Hubaya! Mata kit a selalu tertipu dengan berbagai perkara yang tersurat tetapi tidak yang tersirat:
1                     Kecantikan.
2                     Senyuman.
3                     Tawa.
4                     Tangis.
5                     Kesedihan.
6                     Keriangan.
7                     Lain-lain hal yang fizikal bentuknya.


Nilailah sesuatu dengan mata hati. Bukan mata kepala sahaja. Banyak belajar dari hal-hal yang tersirat. Gali yang terssmbunyi. Ambil iktibar. Ambil teladan. Ambil pengajaran dari yang kita lihat. Ia mengajar kita dan menjadikan diri kita lebih besar dari yang kita sedar. Melihat dengan mata hati mengajar kita untuk lebih berhati-hati. Untuk lebih waspada. Untuk lebih berimpak tinggi. Menghasilkan sesuatu yang signifikan. Berkualiti tinggi di samping memperbanyak kuantitinya. 

No comments:

Post a Comment