Thursday, November 30, 2017

Langkah Pertama Yang Terasa Beratnya



Dalam kehidupan kita, terlalu banyak situasi yang kita hadapi. Namun yang paling getir barangkali ialah berhadapan dengan sesuatu yang biasa tetapi dilihat seperti luar biasa. Yang lumrah tetapi mengganggu kebiasaan. Yang rasanya mudah tetapi menjadi sukar. Yang sewajarnya indah tetapi menjadikan kegundahan yang tidak menentu. Begitulah apabila kita berhadapan dengan sesuatu yang baru. Yang kelihatan mudah menjadi sedikit serabut. Kenapa?

1                     Kita sangat terlalu biasa dengan yang biasa-biasa.
2                     Sukar menerima perubahan walaupun sedikit.
3                     Sukar untuk menerapkan sesuatu yang baru.
4                     Sukar berhadapan dengan situasi yang sedikit berlainan.
5                     Tidak redha dianggap berlainan dari sesuatu situasi atau seorang yang lain.
6                     Terasa rendah diri berbanding dengan orang lain akibat kelainan yang kita hadapi.
7                     Selalunya kita memiliki persepsi yang kita rasa betul tetapi tidak betul pada pandangan atau kebiasaan orang lain.
8                     Kita tergugat dengan kelebihan orang lain.
9                     Kita rasa tertinggal berbanding dengan orang lain.
10                 Kita sudah mengetahui sesuatu perkara tetapi kita tidak tahu di mana hendak meletakkan diri kita dalam banyak hal.
11                 Kita selalu tersasar dari memahami bahawa proses belajar itu banyak. Pelbagai. Masanya panjang. Ragamnya banyak. Kompleksitinya rencam.
12                 Apabila tidak ditangani dengan betul maka kita terasa janggal, keliru dan mungkin bosan dengan keadaan yang kurang kita fahami.

Al-Quran menggariskan tiga peringkat proses ini, iaitu:
1                     Mendengar dengan yakin berdasarkan ilmu yang kita pelajari dan miliki .
2                     Melihat dengan yakin berdasarkan bukti-bukti nyata yang kita lihat dengan mata kasar atau bukti empirik melalui kajian dan penyelidikan.
3                     Berfikir dengan yakin berdasarkan yang kita dengar dan yang kita lihat tanpa mengganggu keimanan kita kepada perkara-perkara yang ghaib.
وَجَعَلَ لَكُمُ السَّمْعَ وَالأَبْصَارَ وَالأَفْئِدَةَ
Maksudnya: Dan Dia (Allah) menjadikan pendengaran, penglihatan dan hati (untuk berfikir)
Al-Sajadah 32:9

Proses belajar dilihat dari berbagai persepsi:
1                     Sukar bagi yang tiada asas dalam hal yang hendak dipelajari. Tetapi andainya dibuka minda dan persepsi baru maka yang sukar itu lama-kelamaan akan menjadi mudah. Malah menggembira dan membahagiakan. Mungkin gagal jika tidak ditangani persepsi yang negatif.
2                     Biasa-biasa sahaja bagi mereka yang sudah memiliki asas mengenai perkara yang hendak dipelajari. Walau bagaimanapun kejayaan cemerlang akan dikecapi jika fokus untuk menguasainya. Jika hilang fokus keadaan semakin membebankan.
3                     Mengujakan bagi yang memiliki harapan tinggi (high expectation). Terdapat objektif nyata yang ingin dicapai. Berstrategi jangka pendek dan strategi jangka panjang. Membina rangkaian strategik untuk membantu melestarikan harapan masa hadapan.

Maka kita perlu memilih situasi yang sesuai. Semasa membuat pilihan:
1                     Jangan terlalu memilih kerana apapun pilihan kita tiada pilihan yang sempurna.
2                     Pilihan kita yang kita rasa paling baik sebenarnya bukan yang terbaik apabila kita bandingkan dengan pilihan orang lain. Contoh: Kita rasa kita tahu tetapi yang kita ketahui itu kadarnya berbeza dengan yang orang lain ketahui.
3                     Tidak memilih juga suatu permasalahan yang tidak menentukan apa-apa. Pilihan yang banyak perlu diperingkatkan mengikut keperluan dan kesesuainya. Mengikut premisnya yang bersesuaian.
4                     Semasa membuat pilihan kita tidak boleh terlalu memberikan ulasan dan hujjah yang tidak menepati sasaran. Lebih baik banyak mendengar, melihat dan berfikir mengenai premis yang ada. Matlamat kita adalah jangka panjang.

Sebagai orang baru dalam sesuatu keadaaan, banyak yang perlu kita lakukan:
1                     Banyak mendengar dengan teliti, dengan hati terbuka, dengan senang hati, dengan berlapang dada. Dengar, serap dan cuba fahami butirannya secara terperinci. Bina rantaian kefahaman untuk memahami keseluruhan perkara yang kita dengar dan dengar. Mendengar pula hendaklah dengan telinga dan dengan hati. Hadirkan perasaan supaya yang kita dengar sampai ke dalam dan kekal di situ untuk kemudian hari dipergunakan selayaknya apabila diperlukan dalam situasi-situasi yang memerlukannya.  
2                     Banyak membaca, melihat dan menilai fakta-fakta yang dihadirkan di hadapan kita.  Bukti boleh dilihat dengan pembacaan, dengan pengamatan, dengan kaji selidik (survey) atau bukti penyelidikan – empirik (empirical evidence). Pengalaman orang lain sebagai pengalaman primer (prime) sangat penting kerana lain orang lain pengalamannya. Sesuatu pengalaman mungkin mewakili pengalaman beberapa orang lain. Tetapi jangan lupa ada orang-orang tertentu yang mengalami hal-hal yang tidak dialami oleh orang lain.
3                     Banyak bertanya hal-hal yang berkaitan supaya kita dapat  mencantumkan jigsaw puzzle yang kita simpan dalam minda kita tetapi tidak dapat diselesaikan tanpa input-input baru dari orang lain atau dari sumber lain sama ada sumber primer atau sekunder.

Dalam proses belajar jangan tutup pendengaran, penglihatan atau input lain dari menerjah pemikiran kita. Kita perlu memberi ruang dan luang serta peluang supaya input-input baru menambah nilai-nilai baik yang sudah ada dalam diri kita. Atau membuang nilai-nilai buruk yang kita anuti selama ini. Begitulah proses belajar supaya kita berada dalam landasan yang lurus. Istiqamah dalam mencari redha Allah. Namun begitu kita tidak lari dari dua sifat kita sebagai insan yang nisyan (pelupa):
1                     Menyedari kelemahan diri kita sebagai insan.
2                     Kita melakukan kesilapan dari masa ke semasa kerana kelamahan diri kita itu.
3                     Walaupun kita sudah menemui jalan lurus, kita perlu selalu menoleh ke kanan dan ke kiri untuk mempastikan yang diri kita berada di landaasan yang betul setiap masa. Kita perlu belajar memperlahankan diri atau berhenti untuk muasabah diri kerana dikhuatiri berkemungkinan melakukan kesilapan dan kemudaratan kepada orang lain tanpa niat atau tanpa sedar sesedarnya.


Maka yang penting bagi kita ialah belajar dan terus belajar kerana ilmu Allah tiada terkira banyaknya. Hatta lautan sebagai tinta tidak cukup untuk menulis ilmu Allah. Lautan tinta berganti lautan tinta masih tidak cukup untuk menulis luasnya ilmu Allah. Kesemua yang kita pelajari terlalu sedikit. Potensi diri kita terlalu sedikit yang kita bangunkan. Diri kita yang sedia ada hanya sedikit daripada diri kita yang sebenarnya. Hanya Allah Yang Maha Agung dan Maha Sempurna. 

No comments:

Post a Comment