Episod dalam hidup kita beralih dan berubah
mengikut masa dan situasi. Dari satu episod ke satu episod yang lain. Meninggi dan
menegak atau sekadar mendatar? Izin Allah yang menentukannya. Kita perlu pula
banyak usaha. Siapa kita bukan penentu. Allah yang menentukannya. Agi idup agi
ngelaban. Itu kata-kata rangsangan dari Kanang. Hero dari Borneo. Bagaimana kita
membina legacy adalah pilihan kita sendiri. Tentunya juga dengan izin
Allah. Dalam setiap aspek hidup kita Allah yang menentukannya. Kita makhluk,
Allah Khalik. Tugas kita menjadi hamba tetapi pada masa yang sama tanggungjawab
kita amat besar. Kita juga kahalifah. Pemimpin yang memimpin. Bukan hanya
melihat. Bukan meniru-niru. Bukan memandang dari jauh. Bukan dengan sifat iri
atau cemburu. Bukan berada di luar gelanggang, menonton dan menonton. Usaha yang
banyak bukan kesemuanya menandakan kejayaan. Tugas kita melaksanakannya. Kejayaan
adalah milik Allah. Dia yang menentukan segala-galanya.
SOP (Sandard Operation Procedure) kehidupan
kita bermula dengan susah atau bersusah-susah. Tidak ada yang senang. Rawatan adalah
penting. Olahan adalah penting. Ketelitian adalah penting. Perlu ada sifat
futuristik. Memandang jauh ke hadapan. Melepasi bulan dan bintang. Melaksanakan
sesuatu usaha bukan ke langit atau ke laut. Ianya berjejak di bumi nyata. Ramai
yang takut dengan berbagai entah apa-apa.
Apa kata orang nanti.
Tidak pernah dibuat orang.
Boleh ke?
Mana ada duit?
Ada ke yang berminat?
Senarai keraguan ini panjang dan panjang. Mengalirkan
peluh mengingat dan memikirkannya. Apa sebenarnya yang terbaik untuk diri kita?
1
Kesungguhan
2
Semangat ingin jaya
3
Mohon bantuan Allah
4
Kerana Allah
Benar kata orang yang berpengalaman. Tugas kita
adalah berbuat yang terbaik. Yang positif. Yang kita yakini akan dibantu Allah.
Kita tidak boleh memaksa orang lain untuk menjayakan perancangan kita. Kita hanya
wajar mengajak mereka. Menyeru mereka. Sesungguhnya orang-orang di sekeliling
kita sangat sedikit yang sama aspirasi dengan kita. Yang sama semangatnya
dengan kita. Yang menyokong secara moral dan material. Yang paling penting
ialah kita yang kena cekal. Yang penuh gigih menyelesaikan apa sahaja halangan
dan masalah yang mendatang dan menghalang. In sya Allah pertolonganNya akan
datang tanpa kita sangka-sangka. Sebenarnya tidak perlu ada sebarang keraguan
pada diri dan pemikiran kita. Allah sentiasa bersama kita.
Apalah usaha yang sedikit sebenarnya. Terlalu sedikit
untuk diingat. Melaksanakan apa yang dirancang itu lebih utama. Mencantikkan pelaksanaannya
lebih penting. Maksudnya buatlah yang terbaik. Yang tercanggih. Yang mencari
redha Allah. Banyak bercakap perlu dielakkan. Perlu dibuang dari sifat yang ada
pada diri kita. Orang lain lebih suka orang yang pendiam tetapi dalam diamnya banyak
menghasilkan sesuatu yang bermanfaat kepada orang lain. Allahu jangan sekali
mementingkan diri. Diri kita tiada pentingnya. Apalah hal dunia yang sedikit. Matlamat
kita jauh selepas mati. Hidup adalah perjuangan yang tidak pernah habisnya. Terus
berjuang, maju ke hadapan. Beri manfaat kepada orang lain. Ketepikan kepentingan
diri. Usah sekali-kali fikirkan diri kita sangat yang tidak penting. Memang tidak
penting pun berbanding orang lain.
Tiada yang lebih manis selain dari melihat
orang lain bahagia. Mereka gembira. Mereka senyum dan tawa. Kita bukan lucu. Kita
bukan melawak. Kita bukan badut. Kita tidak perlu senyum. Tidak mengapa banyak
menangis. Melihat sahabat dan orang lain bahagia sangat membahagiakan. Kebahagiaan
itu pastinya kembali Allah anugerahkan kepada kita. Itupun bukan pentingnya
sangat. Laksanakan yang terbaik memadai untuk melihat orang mendapat manfaatnya. Lebih ramai lebih baik
tentunya. Pesan seorang sahabat, buat sahaja apa yang kita fikir ianya baik. Jangan
terbanyak fikirkan kekangannya. Selesaikan satu persatu apabila ianya datang.
Banyak lagi tugas menanti. Untuk dilaksanakan. Untuk
dijayakan. Untuk dimanfaatkan kepada orang. Kita perlu jadi pokok yang berbuah
lebat. Jadilah kebun atau ladang yang melimpah hasilnya. Perlu jadi payung yang
melindungi dari susah dan mengawal senang yang datangnya sesekali. Membri lebih
enak dari menerima. Memberi selalunya tanpa apa-apa syarat. Menerima pula takut
termakan budi. Oleh itu banyaklah memberi. Tiada apa yang dibimbangi walau
banyak manapun memberi. Jangan berhenti walau pun berbuat salah yang mencari
yang terbaik. Pastinya semua yang berlalu kekal dirindui.
No comments:
Post a Comment