Friday, September 2, 2016

Signifikannya 30 Ogos



Sambutan kemerdekaan/Kebangsaan Malaysia telah berlalu. Saban tahun kita menyambutnya. Saban tahun juga semangat patriotisma kita tercabar dan teruja. Pada kesempatan ini penulis ingin bicarakan sesuatu yang biasa. Sangat lumrah. Ramai yang merasa peritnya. Ramai yang membicarakannya dengan penuh emosi tetapi tiada solusinya yang berupaya menyelesaikannya.  Kita seperti terpukau. Mungkin juga jadi lesu kerana banyak isu lain yang lebih utama. Atau sengaja tidak mahu untuk turut serta sementelahan sekarang ini terlalu banyak yang perlu difikirkan. Mengelakkan diri dari menyibuk walaupun ianya perlu juga difikirkan. Masalah yang perlu diselesaikan. Bukan dihadapi apa sahaja yang datang.

30 Ogos adalah hari yang penuh sengsara bagi mereka yang tinggal di ibu negara, ibu negeri dan bandar-bandar besar. Sehari menjelang sambutan hari kemerdekaan keadaan lalu lintas sangat menyeksakan.  Hari raptai untuk persembahan secantik dan sesempurnanya pada 31 Ogos. Banyak jalan ditutup. Laluan yang asing digunakan untuk melencongkan lalu lintas. Maka terjadilah kesesakan lalu lintas yang luar biasa. Dari pagi hingga ke tengah hari. Maka berlakulah hal-hal yang dijangka tetapi tidak diberi solusi.

1                    Laluan ke sekolah tersekat. Ramai guru dan murid lewat sampai di sekolah. Maka pengajaran dan pembelajaran terganggu. Ramai juga guru dan pelajar yang turut terlibat meyempurnakan sambutan hari Kebangsaan. Putrajaya mungkin terlepas dari gejala ini.
2                    Penjawat awam lewat ke pejabat. Pekererja swasta juga lewat. Maka produktiviti terjejas. Masa terbuang. Malah banyak pejabat kerajaan yang tidak berfungsi sepenuhnya. Sesetengahnya lumpuh kerana semua “boss” tiada di pejabat.
3                    Banyak urusan awam tergendala. Pejabat kehilangan tenaga. Kembali dari raptai mereka keletihan. Mereka perlu berehat. Esok perlukan tenaga yang lebih banyak.

Kenapa 30 Ogos tidak diisytiharkan sebagai cuti peristriwa? Cuti menjelang Hari Kebangsaan. Banyak yang dapat diselamatkan pada hari tersebut.

1                    Masa kualiti untuk ahli keluarga. Berkelah. Berhimpun bersama.
2                    Untuk mereka yang tidak dapat bersama pada 31 Ogos, masih boleh menyaksikan upacara raptai. Pakaian sahaja mungkin tidak seperti dibajetkan. Raptai tanpa regalia penuh. Tanpa pakaian tradisi yang gemerlapan. Tidak mengapa. Asalkan dapat juga menyaksikannya. Terubat juga rindukan kemerdekaan.
3                    Pejabat jadi pusat operasi aktiviti menjelang Hari Kebangsaan.
4                    Cuti membolehkan semua rakyat merancang memerdekakan diri, keluarga dan negara. Mengenal erti kemerdekaan.
5                    Tidak ada yang emosi dari pagi hingga tengah hari. Biar tenang, aman dan damai.

Hari Kebangsaan perlu dinikmati dengan keindahan nostalgianya.
Dilihat masa hadapanya.
Dimanfaatkan keberadaannya,
Santai menghadapinya.


Fikir-fikirkanlah. Bukan untuk siapa-siapa. Untuk kita semua.

No comments:

Post a Comment