Friday, August 26, 2016

Reunion Banyak Hati



Kita bertemu dan berpisah. Berpisah dan bertemu semula. Kita pergi kerana dalam hidup ini kita banyak urusan hidup untuk diri kita masing-masing. Sesekali kita membuka lembaran kenangan lama. Melihat wajah-wajah luhur waktu kecil dan mudanya. Melihat semula imej-imej tingkah laku sahabat atau saudara mara yang suatu ketika dahulu selalu bersama. Masa menjarakkan hubungan. Menjarakkan komunikasi. Menjarakkan masa pertemuan. Lazimnya setiap pertemuan menjadi semakin singkat dan semakin singkat. Peluang dan ruang untuk bersembang sangat terhad. Sangat-sangat terhad. Maklumat penting sahaja yang mungkin dapagt dikongsi. Itu pun sangat sedikit. Dunia sudah bergerak sangat pantas. Tiada siapa antara kita yang dapat mengejarnya. Kita turut berlari bersamanya. Namun ada antara kita yang tertinggal di belakang. Usia menjadikan kita menempuh berbagai keuzuran.

Keuzuran waktu
Keuzuran kesihatan
Keuzuran harta-benda
Keuzuran semangat
Keuzuran peluang

Berbagai lagi yang tidak pernah kita jangkakan sewaktu kita masih muda.  Tidak ramai antara kita yang dapat melihat jauh ke hadapan. Melihat jangka masa 50 hingga 70 tahun di hadapan.

Teknologi berubah
Cara berfikir berubah
Gaya hidup berubah
Persekitaran berubah dengan pantasnya

Tidak banyak manfaatnya untuk nostalgik. Kesemua yang kita hadapi dalam masa terkini merupakan anjakan-anjakan paradigma masa. Anjakan pemikiran. Anjakan pemahaman. Anjakan amalan.  Masa dahulu hanya kenangan. Hal-hal semasa adalah apa yang kita hadapi. World view kita jauh berbeza dengan apa yang pernah kita alami. Masa seperti arus yang berlalu pergi. Mengalir ke laut. Laut itulah nisbahnya pengalaman yang terhimpun. Ia pasang dan surut. Ianya menggelora perasaan pada ketika-ketikanya. Teringat rakan-rakan lama yang pernah sama-sama dalam suka dan duka. Sama-sama melalui zaman remaja yang sangat nostalgik. Yang sangat meranum perasaan. Mungkin ada masanya mengguris rasa. Zaman kanak-kanak yang penuh peristiwa. Zaman remaja yang penuh pancaroba.

Bila agaknya kita dapat bertemu. Tidak mungkin bertemu sambil menonton wayang. Sambil makan jagung. Atau makan kacang. Atau kuaci. Kita mungkin bertemu di rumah saudara mara. Di rumah sahabat handai. Tetapi waktu pertemuan sangat singkat. Hanya sempat bertanya khabar. Bukan lagi kerja apa. Bukan bertanya tempat kerja. Bukan lagi berapa orang anak. Kemungkinannya bertanya berapa orang cucu. Menetap di mana. Kadang-kadang ada juga pertanyaan nakal. Dah berapa rumah? Bermaksud berapa orang rumah. Itu sahaja yang dapat dikongsi bersama. Sesuatu yang common antar asesama kita. Yang biasa-biasa. Tidak kelihatan yang tersirat. Yang tidak dilihat.

Tidak ramai antara kita yang concern dengan rakan-rakan lama. Dengan saudara-mara yang dahulunya bersama. Banyak cerita 50 tahun lalu umpamanya yang kita tidak tahu. Tidak maklum mengenainya. Berita yang kita terima hanya cebisan-cebisan. Ada pula antara berita sesebut yang tidak sahih. Kerananya kita selalu merancang untuk mengadakan majlis reunion. Bertemu semula dalam suasana santai. Kembali kepada zaman santai semasa kanak-kanak atau remaja. Bukan penuh protokol. Kita buang pangkat kita kerana kita sudah tidak ada pangkat. Sesama rakan lama pangkat tidak diambil kira. Nama dipanggil seperti dahulu. Nama yang biasa dipanggil semasa bersama. Kita kembali bertaut masa. Bertaut perasaan. Bertaut mengembalikan apa yang pernah kita lalui berssma.

Dalam majlis reunion kita ingin kembali seperti dahulu. Bertemu dalam iklim yang sangat santai.  Kita yakin bahawa suasana seperti itu dapat direalisasikan. Kita menjadi ceria. Barangkali panduan-panduan kebersamaan harus dipatuhi.

1                     Bersabar dengan rakan-rakan yang mungkin berubah karakternya. Dahulu pendiam sekarang becok. Dahulu becok sekarang pendiam. Dahulu peramah sekarang pendiam. Dahulu pendiam sekarang sangat peramah.
2                     Bersabar menggunakan masa bersama. Ada yang awal ketibaannya. Ada pula yang lewat. Bila sudah berusia banyak perkara yang perlu diurus. Paling banyak mengurus pelupa pada diri.
3                     Elakkan terlalu glamour terutama kepada isteri-isteri. Berpakaian santai yang bersesuaian. Biarlah berpada supaya keadaan santai yang ingin dicipta kekal santai.
4                     Makanan bukan faktor utama. Ala kadar sahaja. Tiada pembaziran. Tiada yang menyebabkan ada yang makan dan ada yang tidak. Maaf, bukan juga menjadi faktor teguran dan cemuhan.


Reunion? Ya reunion. Mohonlah rakan-rakan lama yang kita kenal memberi response. Kemungkinan besarnya reunion ini adalah kali yang terakhir. Usia kita sudah melebihi usia subsidi. Untuk reunion tahun berikutnya mungkin ada antara kita yang sudah tiada. Ada yang uzur. Ada yang berpergian. Just for once we present ourselves. Mungkin hanya kali itulah kita dapat hadir. Sesama kita sebenarnya rindu untuk bersama. Rindu untuk bertemu kembali. Rindu untuk menatap wajah-wajah luhur dahulu semasa kita pernah bersama. Tiada ungkapan yang mungkin dapat kita luahkan. Bertemu sudah cukup mengenyangkan jiwa kita. Biarlah rindu itu selalu menggamit kita untuk bertemu lagi dan lagi. Rugi rasanya andainya kita terlepas pandang peristiwa besar dalam hidup kita ini. Kenangannya biarlah semakin panjang. Kita yang memanjangkannya.

No comments:

Post a Comment