Saturday, September 24, 2016

Perginya Seorang Pejuang


Yang tinggal hanya pusara. Bagi yang kakinya meziarahi pusara ini maka kenangan dalam minda sangat dekat. Masih kelihatan wajah tua yang tidak meminta apa-apa lagi. Hanya yang dirindui ialah kasih sayang anak dan cucu-cucu. Itulah yang selalu hilang apabila kita menjadi tua. Mudah-mudah jauh dari kecelaan mereka.






Hanya perjuangan yang perlu diteruskan. Pejuangnya silih berganti dari satu generasi ke generasi berikutnya. Mungkin anak. Mungkin cucu. Mungkin sahaja sanak saudara yang di hati mereka tersemagt semangat perjuangan itu. Bagi pengasasnya usia membatasi perjuangan. Perginya menamatkan sisa-sisa perjuangan yang berbaki. Ada yang terus berjuang kerana penyakitnya. Kerana lupanya. Kerana ketidakupayaannya. Ada yang terus berjuang dalam senyap kerana ketiadaan pendengaran. Pada akhir usia berjuang sendirian kerana isteri berpergian terlebih dahulu. Dalam dunia sepi itulah seorang pejuang  seperti Haji Abas meninggalkan kesemua yang disayanginya. Dalam usianya hampir 102 tahun ia pergi selang lapan bulan setelah isterinya, Hajah Aminah,  meninggalkannya.



Tuan masih ada ayah? Masih ada ibu? Pandanglah mereka sekerap mungkin. Pada wajah mereka bak kaabah. Ada ketenangan berzaman yang disembunyikan. Ada kegelisahan yang telah lama terpendam. Banyak diam kerana butiran bunyi bibir dan mulut sudah tiada siapa yang mahu mendengarnya. Percayalah, saat-saat akhir bersama pasti sukar dilupakan. Ada sesuatu isyarat yang diperlihatkan kepada kita. Lazimnya kita mengabaikan isyarat itu. Kita tidak menerimanya sebagai isyarat terakhir.
1                     Kebiasaan gemarkan roti canai hilang dari seleranya.
2                     Kebiasaan meminum the bersusu manis juga hilang dari kebiasaan.
3                     Makan sudah tidak lagi mencari sendiri pada ketika-ketikanya.
4                     Makanan kegemarannya hilang dari senarai seleraya,
5                     Tidurnya tidak banyak diselang-seli dengan banyak terjaga di tengah malam.
6                     Makannya sekadar sesudu dua. Kenyang katanya.
7                     Banyak bemimpikan arwah yang rapat dengannya. Mungkin isteri/suami. Saudara mara, sahabat-sahabat dan yang lain-lain.
8                     Mengingat hal-hal yang terlalu lama.
9                     Banyak pesanan yang mungkin wasiat tentang sesuatu perkara.
10                 Kadang-kadang kesabarannya hilang dengan tiba-tiba.
11                 Tabiaatnya semasa muda terlihat kembali. Mungkin garangnya. Mungkin malasnya.
12                 Sesekali memaklumkan yang ia ingin balik. Tidak dijelaskan bali ke mana. Tidak ditanya balik ke mana.
13                 Ada orang nak datang, katanya. Tiada yang bertanya siapa yang hendak datang.
14                 Tubuh badannya semakin lemah.
15                 Buang air besar dan kecil yang mungkin di luar kawalan diri lagi.
16                 Belum lagi tanda-tanda lumran seperti lidah sudah memendek hingga menyukarkan memahami apa yang diucapkan.  

Kesemuanya terpapar semula setelah ketiadaannya. Mereka yang rapat dan kerap bersama sekalipun tidak perasan dengan isyarat-isyarat yang diberikan. Teringat kembali setelah ianya pergi meninggalkanya.  kita.  Sebenarnya kegagalan memenuhi permintaan-permintaan terakhir dari mereka yang dikasihi jarang diambil peduli. Kita terlupa untuk menangkap situasi bahawa ajal itu sudah tersangat hampir sebenarnya. Persoalannya kenapa tidak kita yang mentap wajah terakhirnya. Mungkin senyumnya. Mungkin melihat ombak dadanya. Mungkin lirik matanya. Mungkin dengus angin dari hidungnya. Kenapa bukan kita yang memangku kepalanya. Yang mengusap ubun-ubunnya. Yang membisikkan kalimah Allah untuk bekal menemani ajalnya.

Adakah seorang pejuang hanya digagahi mengihinya semasa hayatnya? Semasa gagahnya? Semasa mudanya? Itulah kesilapan kita. Melihat fizikal dan melihat yang selalu serta banyak yang tersurat. Yang pandangan mata. Yang terhimpun beratnya. Yang kadang-kadang tidak tergalas bahu. Kita lupa bahawa mereka yang tua itu sumber dari mana kita datang. Kita selalu melihat celanya. Melihat kesalahannya. Kesalahan itupun kerana sifat naifnya. Bukan disengajakan. Bukan direncanakan. Kit asebagai anak dan  segi yang negatif. Membuang segala yang positif dari perjuang seorang ketua keluarga. Kita tidak bertanya kepayahannya. Tidak mengkaji jerih dan perihnya. Sakit dan peningnya. Kita tidak pernah tahu bagaimana ia merealisasikan sesuatu kejayaan kecil dalam keluarga. Kejayaan yang selalunya tidak signifikan kepada orang lain tetapi sangat besar impaknya kepada keluarganya pada ketika itu. begitulah hero yang jarang didendangkan oleh anak dan cucunya sendiri sekalipun.

Kadang-kadang ada yang lebih malang. Setelah ketiadaannya anak-cucu masih mempertikai kehidupannya. Mempertikai sakitnya. Mempertikai matinya. Mempertikai anak-anak yang perihatin. Cucu-cucu yang perhatin. Mempertikai jiran dan sahabat yang perihatin. Barangkali banyak pengajaran   dari mereka yang masih hidup. Tentunya dari mereka yang sudah tiada.
1                     Perjuangannya menjaga kebajikan keluarga. Bukan kepalang menyediakan makan dan minum, perubatan, pakaian, pendidikan dan kebajikan yang lain.
2                     Bukan kepalang perjuangan membesarkan anak-anak.
3                     Perjuangan memandaikan anak-anak.
4                     Perjuagan memerdekakan anak-anak dari kemiskinan tegar.
5                     Perjuangan menentang fitnah, gangguan sosial dan gangguan-gangguan lain dalam kehidupan seperti buruk sangka, kebiadapan, parsangka, cercaan dan banyak lagi.

Perjuangan seperti itu kadang-kadang diluakan oleh anak-anak. Sekiranya anak-anak tidak bercerita tentu sekali cucu-cucu banyak yang tidak diketahui dari  datuk dan moyangnya. Mungkin kerana itu anak-anak kita lemah sejarah. Kita tidak memberi unjuran sejarah kepada anak-anak kita. Kita hanya melihat yang signifikan kepada survival kita tetapi bukan yang holistik. Yang melengkapi susur-galur sejarah itu sendiri. Kerana itu kepada orang kita, sejarah keluarga dibawa bersama datuk mereka ke liang lahad. Yang baik dan manis kesemuanya hilang. Yang tinggal yang tidak enak belaka.
1                     Berapa ramai cucu kesemuanya? Berapa peratus yang untuk kali terakhir menatap wajah yang dahulunya memungkin ibu dan bapa kita seperti sekarang?
2                     Berapa ramai cucu-cucu yang membaca al-Quran dan disedekahkan pahalanya arwah datuk dan neneknya?

Dalam masyarakat kita kehidupan anak memutuskan antara ibu dan bapanya dengan datuk dan neneknya. Datuk dan nenek hanya manis semasa kita kecil sahaja. Apabila kita menganjak dewasa dan tua kita meluapakan datuk dan nenek. Dalam kamus pemikiran kita, mereka berdua hilang dari kamus diri.
1                     Kita lupa nenek yang mendodoikan kita. Yang memandikan kita. Yang membuai kita. Yang mendukung kita. Yang merawat ketika kita sakit. Yang merawat ibu kita semasa ia dalam pantang.
2                     Kita lupa pada datuk dan nenek yang berusaha menyediakan juadah enak setiap hari raya.


Kesemua kenangan itu hilang signifikannya walaupun kita sudah mendewasa dalam serba kecukupan.
1                     Kita semua mendapat pendidikan yang jauh lebih baik dari datuk dan nenek kita.
2                     Jawatan kita jauh lebih gah dari datuk dan nenek kita.
3                     Makan pakai kita jauh lebih berkualiti dari datuk dan nenek kita.
4                     Kehidupan sosial kita jauh lebih baik dari mereka.
5                     Jelajah kita keliling dunia sedangkan mereka sekadar mampu ke Makkah dan Madinah sahaja.

Namun kita hilang seri. Pendidikan dan pengalaman tidak menjadikan kita:
1                     Lebih rasionale.
2                     Lebih berfikiran jauh.
3                     Lebih menjangkau hal-hal yang dekat dengan keluarga dan pertalian darah.
4                     Lebih untuk mengkoreksi situasi dan bukan untuk melebarkan jurang perbezaan berfikir.


Suatu hal yang menakutkan bahawa the vicious circle (kitaran ganas) yang buruk dalam diri kita akan diwarisi oleh anak-anak dan cucu-cucu kita. Pandanglah keliling. Rasanya tanda-tanda itu sudah kelihatan. Anak-anak ada yang menjauh. Cucu-cucu ada yang tidak pedulikan kita. Kita kita tidak dianggap penting. Buatlah sesuatu untuk membetulkan keadaan. Walaupun ibu dan ayah kita sudah tiada, betulkanlah keadaan anak-anak dan cucu-cucu kita. Mereka warisan kita. Pada merekalah kita tumpahkan kuah warisan keluarga. Cela mereka maka celalah kita. 

2 comments:

  1. Salam Tn Haji,

    Saya sebelum ini pernah menghantar email berkenaan belajar B.Arab di Mesir. Ribuan maaf kerana pelbagai komitmen menyebabkan hasrat ke sana terbantut.

    Sekarang Tn Haji di sana ke?

    ReplyDelete
  2. Alaikumsalam. Maaf lambat balas. Saya sudah berada di tanahair sejak akhir Mac 2015. Sila hubungi saya 018-7612322 jika ada apa-apa yang boleh saya bantu.Terima kasih.

    ReplyDelete