Friday, August 26, 2016

Andai Masa Berputar Kembali



Kita selalu menyesali apa yang berlalu. Pada hal apa yang sudah berlalu kekal tiada pada kita. Kehadirannya tiada. Kebersamaannya tiada. Malah ingatan terhadapnya juga akan semakin pudar ditelan masa. Ia akan berganjak dari rindu yang amat sangat menjadi rindu yang suam-suam kuku. Akhirnya ia hanya kenangan. Teringat kembali itupun jika ada yang trigger mengenainya. Semua yang berlalu mungkin ada hikmahnya. Bergantung di sudut mana kita berada. Di aras mana kita berdiri. Yang pastinya apa sahaja yang berlalu membawa bersamanya sesuatu yang menyakitkan. Memberatkan. Menimpakan perasaan demi perasaan. Apapun alasan, yang berlalu itu tetap berlalu pergi. Meninggalkan kita yang tercegat kaku. Meninggalkan kita dengan pantas tanpa ada lagi alasan untuk berputarnya kembali masa yang berlalu itu. What is gone is gone forever. Kapas sudah menjadi benang.

Sesuatu itu bermula dengan harapan yang gilang-gemilang. Harapan yang menjulang tinggi mengawan. Cahaya-cahaya indah yang dihasratkan untuk digapai tangan. Digarap menjadi impian nyata untuk dikongsi bersama selama-lamanya. Diadabikan dalam diri dan perasaan. Suatu harapan perlukan premis. Perlukan variabel-variabel subjektif yang perlu pula direalisasikan. Proses itulah yang selalunya gagal digarap. Kita hanya melihat ke hadapan tanpa sedar ada blind spot yang tidak diambilkira kehadirannya. Kita hanya melihat jalan tanpa menyedari bahawa di sepanjangnya banyak onak dan duri, kekangan dan halangan, kekurangan yang sukar dipenuhi. Siapapun tidak pernah 100% siaga berhadapan dengan segala kemungkinan. Kebarangkalian yang mungkin tinggi akan terjadi sesuatu yang berat. Atau mungkin kebarangkalian yang rendah bahawa ianya tidak akan berlaku.

Kadang-kadang kita terlalu bergantung kepada satu atau dua variabel sahaja untuk merealisasikan harapan kita. Kita memalingkan diri dari ancaman-ancaman yang hadirnya telah diduga semenjak dari awal lagi. Kerana itu harapan sahaja tidak pernah mencukupi. Bukan resepi tunggal ke arah untuk mencapainya. Harapan sewajarnya proses akhir untuk apa sahaja. Ramuan kejayaan perlu disediakan lebih awal. Prasarananya telah diwujudkan. Pemain-pemain yang terlibat memahami peraturan dan prosesnya. Sama ada kita pada pihak bersama atau pihak bertentangan, masing-masing memahami the rule of the game. Itulah panduan kita. Hukum-hakam dijadikan panduan.

Andai masa boleh diputar kembali kita pasti lebih bersedia untuk berhadapan dengan apa sahaja. Itulah sesuatu yang mustahil. Masa lalu tidak mungkin kembali memberi peluang dan ruang untuk kita. Lazimnya kita melihat pengalaman orang lain. Kita membuat pengamatan tetapi kita tidak pernah empati kerana ianya bukan penglaman kita.Tidak perlu pula semua pengalaman perlu dilalui untuk memahami sesuatu situasi. Cukuplah kita ada deria untuk memahami. Kita ada perasaan untuk turut serta. Kita ada kecerdasan untuk berada di tempat mereka yang mengalaminya.

Orang tua selalunya dirujuk dalam banyak perkara. Tetapi anak-anak dan mereka yang muda selalu pula mengelak untuk bertembung bicara. Ijazah dan sijil dijadikan alasan untuk berada di pihak yang benar. Usia tidak dijadikan ukuran bahawa yang lebih dewasa sudah masak pertimbangan di dada. Natijahnya mungkin bukan begitu. Pengalaman yang terhimpun bersama pengamatan dan keberadaan masa selalu mengajar manusia supaya lebih bijaksana. Tanda dan symtom masa hadapan mungkin sudah tergambar di hadapan mata. Ramalan dan jangkaan sewajarnya dijadikan wadah untuk merancang masa hadapan. Merawat tentu lebih pedih. Lebih jerih. Lebih sakit. Luka dan parut yang banyak kali berdarah. Itu belum masa yang terbuang. Penyiksaan diri yang entah berapa banyaknya. Tentu sahaja airmata tumpah sebanyak-banyaknya. Penyesalan hanya suatu korban masa dan pembaziran.

Apabila kit asudah terlajak lalu ke hadapan, kita tiada upaya lagi memutar masa. Segalanya sudah ditinggalkan di belakang. Yang kita rasa siksa dan pahitnya. Yang kita lihat berkaca hanya derainya. Air mata juga berkaca di mata. Yang remuk tentu hati. Yang patah sayapnya. Kita meninggalkan kesemuanya sebagai kenangan yang sukar dilupakan. Yang selalu menghambat duka lara. Andainya manusia bisa mengatur segalanya. Andainya manusia bisa membuat keputusan yang wajar dan sesuai. Andainya kita sebagai yang terlibat peka bahawa khilaf sangat besar bencananya. Yang retak akan belah. Yang riuk akan patah. Yang condong akan rebah. Yang bertongkat akan rebah juga. Akal kita kadang-kadang tumpul untuk berfikir jauh. Berfikir lebih jitu. Lebih matang. Lebih menjangkau jauh ke hadapan. Banyak hal kecil yang terlepas pandang. Terabai kerana dianggap tidak signifikan. Kerananya banyak kegagalan di tengah jalan.


Siapapun akan mempertahankan apa yang dirasa telah bermula. Mengagahkan diri dan perasaan untuk meneruskan perjuangan. Cuba menepis apa yang mendatang. Namun demikian banyak yang tidak dapat ditentang. Badai yang datang mengalih arah ketahanan diri. Jiwa jadi kacau semakin jauh perjalanan. Semakin lama diperjuangkan. Sesuatu yang rapuh pasti tiada ketahanannya lagi. Itulah manusia yang perjuangannya antara menang dan tewas. Antara ria dan duka. Antara jaya dan kecewa. Selagi manusia bernama manusia, itulah perjuangan yang tidak pernah habisnya. Binalah ketahanan diri. Ketahanan perasaan. Ketahanan psikologi. Ketahanan beragama. Cintailah Allah sehabis tenaga. Sehabis upaya. Sesungguhnya hanya kepadaNya kita bergantung harap yang terbaik. Hidup dan matilah keranaNya.  

No comments:

Post a Comment