Apabila disebut
kecerdasan kita selalu kaitkannya dengan keupayaan berfikir yang menjangkau
jauh. Lebih tajam pemikiran. Lebih dalam dan luas dasar berfikirnya. Mungkin
kreatif. Banyak yang dikaitkan dengan kecerdasan. Kecerdasan minda, kecerdasan
matematik, kecerdasan al-Quran, kecerdasan emosi dan banyak lagi. Terlalu
banyak. Bukan satu sahaja seperti yang kita ketahui sebagai intelligent
quotient. Namun begitu perlukah kesemua kecerdasan itu? Atau cukupkah kita
berbicara mengenai teori, proses dan situasi-situasi tertentu mengenai
kecerdasan? Atau bagaimana sewajarnya kita berinteraksi dengan kecerdasan. Teruja
dengannya. Kagum. Ta’ajub. Atau bagaimana lagi? Dalam zaman muthakhir ini
masing-masing ingin jauh di hadapan dari segi kecerdasan. Dunia perlukan mereka
yang kreatif. Yang proaktif. Namun dalam kesemuanya itu kita jangan lupa
mengenai kemanusiaan. Kecerdasan tanpa kemanusiaan hanya robot tanpa perasaan.
Walau apapun yang kita
bincangkan, akhirnya kita kembali kepada fitrah manusia. Kita berinteraksi
dengan manusia lain. Kita berinteraksi dengan Allah Yang Maha Pencipta. Kita
berinteraksi dengan persekitaran kita. Di sinilah ujian sebenar kecerdasan
manusia. Ia bukan sesuatu yang abstrak.
Yang dilihat awsome. Kecerdasan adalah sesuatu yang berpijak di bumi
nyata. Walaupun kecerdasan dikatakan sebagai bakat individu tetapi ianya
berkait rapat dengan pendidikan, amalan sosial, asuhan kedua ibu dan bapa.
Mereka yang yang paling awal mengenalpasti kecerdasan anak-anak adalah kedua
ibu dan bapa. Tidak orang lain. Bukan doktor yang menyambut kelahirannya dan
bukan jururawat yang merawatnya. Bukan juga guru yang bersemuka dengan pelajar
pada kali pertama di tadika. Bukan juga guru yang mengajar di sekolah
kebangsaan sewaktu kanak-kanak berumur tujuh tahun.
Ibu dan bapa bukan
kisah sangat kecerdasan anak-anak mereka. Anak yang cerdasnya melampaui
jangkaan sekalipun diperlukan untuk menjadi anak. Mengikut peraturan agama,
sosial dan adat. Mereka yang cerdas bukan diberi pengecualian khusus. Mereka
masih perlu mengemas katil. Makan di
meja. Menggunakan tangan. Menjaga kebersihan. Membuang sampah. Membasuh
pakaian. Mandi bersabun. Memberus gigi. Maksudnya anak yang cerdas masih perlu
untuk menjadi anak yang normal. Dilatih untuk menjadi manusia biasa. Malang sekali
jika ada ibu dan bapa yang menganggap kecerdasan adalah suatu keistimewaan
sehingga anak-anak dikecualikan untuk menjadi manusia biasa. Melalui zaman
kanak-kanak biasa. Kanak-kanak tetap kanak-kanak. Mereka perlu belajar untuk
menjadi anak. Menjadi bakal ahli masyarakat. Bakal warganegara.
Realiti ini sukar
diterjemahkan dalam alam realiti. Ramai ibu dan bapa yang terlalu sibuk. Anak-anak
dahagakan diri mereka sebagai anak. Maksudnya, anak-anak tidak mendapat
bimbingan untuk memasuki dunia remaja dan dewasa yang wajar. Di luar sana ibu
bapa keliru mengenai pilihan terbaik untuk anak-anak mereka.
1
Sistem pendidikan kita adakah yang terbaik? Laporan-laporan yang ada
menunjukkan prestasi pendidikan kita jauh tertinggal di belakang. Banyak negara
di sekeliling kita yang pendidikiannya lebih maju.
2
Pendidikan agama seperti terpilih. Menteri sendiri memberi isyarat
supaya anak-anak kita tidak dididik menjadi islamik. Anak-anak di bandar lebih
mahir mengaji al-Quran berbanding anak di kampung.
3
Orang Melayu masih lagi gemar majlis makan-makan berbanding majlis ilmu.
Majlis ilmu mungkin sejam sahaja. Tetapi aktiviti menyediakan jamuan mungkin
memakan masa dua hari. Kita selalu mengaudit siapa yang tidak dapat makan. Siapa
yang tidak kenyang. Tiada siapa yang mengaudit siapa yang tidak memahami
sesuatu topik ceramah atau tazkirah. Yang tidak mengambil tahu butiran ceramah
atau tazkirah. Berapa ramai yang mengamalkan apa yang didengar. Apa yang
dipelajari.
4
Kita sibuk untuk memandaikan anak tetapi kita selalu lupa untuk
menjadikan anak-anak kita pandai dalam amalan sivik. Menjadi mereka yang
perihatin. Yang sensitif dengan persekitaran mereka.
5
Banyak amalan anak-anak yang tidak selari dengan amalan yang dituntut
agama. Kerana itu ada anak yang bercacah (tatoo) tubuh badannya. Ada anak
lelaki yang panjang rambutnya. Itu belum yang menjadi perokok tegar sejak
remaja. Menyalahgunakan dadah sejak remaja. Memandu tanpa lesen. Berlumba haram.
Bergaul bebas.
6
Ramai orang Melayu yang melihat media dan dunia hiburan sebagai realiti
yang ingin dituruti. Pada hal apabila kita teliti terlalu banyak paradoks
antara realiti dengan ilusi. Malang sekali orang Melayu melihat yang negatif
tetapi tidak dinilai sewajarnya sehingga ianya diambil in total sebagai the
in thing. Kita tidak dididik untuk melihat sesuatu dengan akal budi. Dengan
kewarasan yang neraca akhirnya ialah agama.
7
Politik orang Melalu semakin melalut. Tidak ada fokus untuk menjaga
kepentingan Islam dan Melayu. Agenda pribadi politikus Melayu selalu menuju
kehancuran bangsanya. Walaupun politik Melayu yang memerdekaan tanah air ini
namun setelah sekian lama Melayu tidka semaju seperti yang direncanakan. Solusinya
belum ada.
8
Dunia hiburan menjadi sinonim kepada orang Melayu. Entahlah, anak-anak
sekolah tergila-gila untuk menjadi artis. Kejayaan belum tahu berkekalan. Ramai
yang kecundang. Andainya tahap akademik tidak tinggi maka mereka yang berada dalam
dunia fantasi ini kecundang dalam masyarakat. Kerjaya tidak ke mana. Bilangan yang
berjaya tidak ramai. Yang kecewa bertambah setiap masa. Ke mana akhirnya
anak-anak kita. Siapa yang perlu menjawab dilema ini?
Ke mana kecerdasan
yang ingin kita bina? Sekolah berasra penuh banyak dibina. Tetapi peratusannya
sangat kecil. Yang cerdas mungkin sekitar 5 hingg 10% sahaja dari seluruh warganegara.
Yang lain bagaimana? Banyak kisah-kisah duka mereka yang cerdas di tanahair
tercinta. Kisah Hang Nadim adalah sejarah. Anak pintar yang dikorbankan kerana kepintarannya. Adi Putera hingga sekarang masih terumbang-ambing. Kita belum lagi
menjadi negara mesra anak-anak pintar. Kita terikat dengan birokrasi. Laluan untuk
mereka tersekat sepanjang jalan. Adakah mereka yang mengurus negara bukan dari
kalangan mereka yang pintar. Bukan pemikir. Bukan berwawasan jauh.
Kita sepi menanti kemajuan
sebenar dengan kecerdasan yang sebenar. Memperkasakan agama dan bangsa ke mercu
setingginya. Akal budi yang menjulang-julang. Akhlak yang terbilang. Kesemuanya
bukan pada nama. Bukan pada kertas putih bertinta. Kesemuanya perlu
direalisasikan untuk generasai akan datang. Warisan yang berkesinambungan. Kita
yang akan ditanya apabila anak-cucu merana dalam kepok negaranya. Lapar dalam
negara yang subur. Miskin dalam negara yang kaya. Layu dalam negara yang ramai
Melayu. Fikirkan. Fikirkan. Sewaktu mereka
bertanya kita sudah tiada. Orang terkemudian taidak dapat menjawabnya. Mereka meletakkan
kesalahan itu pada bahu kita yang sudah tiada. Seolah-olah benar bahawa
generasi terdahulu terlalu banyak kesalahannya. Sejarah berulang-ulang kemabli.
No comments:
Post a Comment