Saturday, July 9, 2016

Memberikan Kewajaran Di Rumah Allah


Apabila tuan ke masjid atau surau, tentu tuan perasaan akan hal yang biasa-biasa. Seperti rutin sahaja. Saban waktu itulah yang kita lihat. Ianya diwajarkan menjadi sesuatu yang lumrah biasa walaupun ianya sesuatu yang sewajarnya tidak dilihat. Tidak berlaku. Tidak menjadi kebiasaan. Tingkah laku devian apabila berada di masjid ini tidak selari dengan peranannya sebagai rumah Allah. Tempat orang berjamaah ialah jami’. Di Malaysia dinamakan masjid jami’. Dua istilah yang sama maknanya. Masjid pula dari kalimah    ﺳﺠﺪ  (dia sujud) menjadi ﻣﺴﺠﺪ (tempat orang sujud). Masjid termasuk surau adalah tempat orang sujud. Maksudnya solat, berdoa dan berwirid. Namun begitu ianya tidak berlaku seperti yang dijangka.

1                     Bersembang di luar masjid atau surau.

Kenapa kita ke masjid? Benarkah untuk solat? Tetapi kenapa kita selalu banyak bersembang di luar masjid. Bercerita dari satu topik ke topik yang lain. Ini bukan mengenai kanak-kanak tetapi melibatkan juga orang dewasa. Perjalanan dari rumah yang jauh dipersia-siakan dengan hanya banyak bersembang sebelum memasuki masjid. Kita seperti tidak fokus bahawa masjid adalah rumah Allah. Tempat untuk mendekatkan diri dan seluruh jiwa raga kita kepada Allah. Bangunan yang tersergama besar itu seperti tidak menggamit kita untuk segera berada di dalamnya. Berlegar di luar seolah-olah lebih selesa. Kenapa tidak beri’tikaf di dalam masjid. Solat sunat tahiyyatul masjid, solat sunat yang lain, membaca al-Quran, berwirid dan berdoa. Di situlah tampat bertahlil ( ﺇﻟﻪ ﺇ ﺁﻟﻠﻪ), bertahmid (ﺁﻟﺤﻤﺩ ﻟﻠﻪ), bertasbih (ﺳﺒﺤﺎﻥ ﺁﻟﻠﻪ) serta beristigfar (ﺃﺳﺘﻐﻔﺮ ﺁﻟﻠﻪ).

2                     Bercakap ketika azan dikumandangkan.

Kita selalu diperingatkan supaya berhenti serta merta apabila azan dikumandangkan. Azan adalah sesuatu yang syahdu. Suara Bilal bin Rabah yang menjadi muazzin Rasulallah s.a.w. didengar hingga ke langit. Didengar oleh malaikat. Menerobos ke angkasa lepas. Bagaimana pula kita masih tega beresmbang, bercakap, bertanya-soal sedangkan azan sedang dialunkan hingga ke langit? Nampak seperti kecil. Seperti lumrah. Macam tiada apa-apa. Ada ulama’ yang menyatakan bahawa sekiranya kita asyik bersembang ketika azan dikumandangkan akibat negatifnya bukan sekarang. Bukan segera. Tetapi dikatakan ketika kita nazak nanti kita sukar untuk bersyahadah. Tidak dapat bersyahadah ketika menghadapi sakaratul maut. Na’uzubillahi min zalik.

3                     Bersembang di dalam masjid.

Masjid adalah tempat berkecuali. Memang lazimnya di situ tempat pertemuan sahabat karib. Saudara dekat. Tetapi bukan untuk bersembang sakan hingga lupa kita berada di masjid. Di tempat yang keutamaannya untuk sujud sebanyak mungkin. Untuk berwirid sebanyak mungkin. Untuk berdoa sebanyak mungkin. Untuk membaca al-Quran sebanyak mungkin. Jika ingin bersembang bukan masjid tempatnya. Ziarahilah rumah saudara mara kita. Rumah sahabat handai kita. Sembanglah panjang-panjang asalkan bukan di masjid. Yang pastinya setiap sembang kita didengar oleh jemaah lain. Mengganggu mereka. Mengganggu konsentrasi mereka yang bermunajat. Untuk dekat dengan Allah. Izinkanlah jemaah lain menghampirkan diri kepada Allah tanpa kita mengganggu mereka. Ibu dan bapa didiklah anak-anak supaya menghormati masjid. Menghormati jamaah lain. Didik mereka untuk beribadat, mendengar, banyak memerhati yang baik dan belajar untuk beribadat.

4                     Merokok.

Terlalu banyak kali diperkatakan. Pakar perubatan membicarakannya. Umala’ juga membicarakannya. Dari segi perubatan dibuktikan mudaratnya kepada paru-paru, jantung dan organ tubuh yang lain. Hukumnya juga diperkatakan dengan luas. Difatwakan sebagai haram. Walaupun ada yang mengambil jalan makruh tetapi diberati sebagai haram. Bukti-bukti terbaru mengesahkan bahawa filter rokok mengandungi bahan dari babi. Tanpa unsur babi rokok sudah mudarat. Tambah babi bagaimana kedudukannya? Masihkah lagi kita perlu berdalih mencari alasan-asalan yang hanya menambah dosa dan masalah. Ada pula memilih alternatif dengan menghisap vape. Alternatif apa sekalipun premisnya tetap sama. Pembaziran, mengundang mudarat dan anti-sosial.

5                     Bermain dengan telefon bimbit.

Telefon bimbit alat yang harus membantu memudahkan kehidupan. Walau bagaimanapun ianya tidak sewenang-wenangnya digunakan di masjid untuk melayari internet, untuk berwhatsapp, bertelegram, menghantar mesej atau lain-lain kegunaan selain dari membaca teks al-Quran atau hadits atau maklumat keagamaan. Maksudnya gunakanlah telefon bimbit itu untuk menambah pahala dan bukan dosa. Menambah kebaikan dan bukan keburukan. Menambahkan manfaat dan bukan mudarat. Menambahkan ilmu dan bukan kejahilan. Suaranya pula perlu diperlahankan. Bukan untuk didengar tetapi untuk dirasa getaran isyarat jika ada panggilan. Mungkin dimatikan lebih baik. Buka semula selepas solat. Jika kita boleh bermain dengan telefon selama 24 jam sehari semalam, apa salahnya dimatikan beberapa ketika sewaktu kita solat, sedang bermunajat sedang berhadapan dengan Allah secara khusus.

6                     Tidak berpakaian merayakan hari Jumaat.

Jumaat adalah penghulu segala hari dalam seminggu. Satu hari penghulunya. Enam hari yang lain hari-hari biasa. Namun hari Isnin dan Khamis dianggap ada kelebihannya. Kita selalu tidak berpakaian indah sewaktu berjamaah di masjid atau surau. Kita seperti berada di rumah sahaja. Masjid seperti tiada keistimewasanya yang tersendiri. Ada antara kita berpakaian lusuh, lama tidak berbasuh dan mungkin terpalit kotoran di bahagian-bahagiannya. Andainya kita menganggap Jumaat adalah penghulu hari mengapa kita tidak berpakaian sesuai dengan status keistimewaanya. Berpakaian paling bersih umapamanya. Paling anggun. Paling kemas. Paling dilihat cantik. Penghormatan untuk hari Jumaat, penghulu segala hari. Ditambah pula dengan wangi-wangian untuk menarik malaikat dan menghalau syaiton

7                     Melengah-lengahkan untuk memasuki masjid.k melangkah ke dalamnya.

Kebanyakan kita tinggal jauh dari masjid. Maksudnya dalam lingkungan lebih dari 100 meter dari masjid. Kita perlu datang dengan kenderaan sama ada beroda empat atau dua. Malangnya apabila sampai di kawasan masjid kita melengah-lengahkan masa untuk memasukinya. Untuk solat tahiyyatul masjid dan melaksanakan ibadat yang lain sesuai dengan tempat itu yang namanya masjid. Tempat sujud. Maka selagi kita tidak melangkah masuk, tidak pula solat sunat dua rakaat tahiyyatul masjid maka kita menjadi asing kepada masjid. Kita berada dekat tetapi masih jauh.  Kita yang berasa jauh dari masjid atau masjid tidak mahu menerima kita?

8                     Melengah-melengahkan untuk berjamaah.

Kadang-kadang lebih malang lagi situasinya. Ada jemaah yang mengelak untuk berada di saf pertama. Mengelak untuk berada hampir dengan imam. Bertambah malang apabila jemaah yang sudah sejak awal berada di dalam masjid melengah-lengahkan diri dari mengangkat takbiratul ihram sesegera selapas imam. Malah ada makmum yang mengangkat takbiratul ihramnya ketika imam hampir tamat membaca surah al-fatihah. Ruginya, kerana konsep berimam dan bermakmum tidak dimaksimumkan walaupun masing-masing sudah sekian lama berada di masjid. Di dalam masjid. Hampir antara satu sama lain. Seharusnya apabila imam tamat menyebut allahuakbar disambut dengan takbiratul ihram makmum. Barulah konsep berjamaah itu bersinergi. Berintegrasi.

9                     Mempercepatkan proses untuk lari dari masjid.

Solat dikira tamat setelah memberi salam yang pertama  (wajib) atau jika tidak sempurna selepas salam kedua (sunat). Adabnya ya adabnya kerana kita berhadapan dengan Allah maka kita tidak seharusnya meninggalkan masjid secepat kilat. Tadinya kita masuk ke masjid dengan niat i’tiqaf, mengapa meninggalkan i’tiqaf itu  dengan pantas. Berzikirlah dahulu. Berwiridlah dahulu. Berdoalah dahulu. Sekurang-kurangnya mengaminkan doa imam. Solat sunat selepas solat fardhu atau solat Jumaat. Ambil kesempatan untuk menambah pahala. Menambah redha Allah.

10                 Ke masjid hanya untuk solat Jumaat dan solat dua hari raya.

Kadang-kadang menjadi mistri kepada kebanyakan kita. Masjid hanya untuk solat Jumaat dan solah kedua hari raya. Pada waktu-waktu yang lain kita lebih senang di surau sahaja. Malah kadang-kadang kita menganggap surau seperti lebih utama. Malah ada antara kita berasa asing apabila ke masjid. Mesra di surau tetapi asing di masjid. Pada hakikatnya jamaah di masjid lebih ramai. Tentunya lebih ramai lebih besar  ganjarannya. Di masjid social scope kita lebih luas. Di rurau pula bersifat local. Mereka yang di sekeliling kita sahaja. Kita perlu menngimbangkan antara keduanya. Ada masanya di masjid dan ada masanya di surau.

11                 Berada di saf belakang

Apa masalahnya orang kita suka duduk di saf belakang. Jika boleh mereka ingin duduk di saf paling belakang. Saf selepas kanak-kanak. Alasannya senang dan cepat boleh keluar meninggalkan masjid. Sayangnya, datang lewat kemudian cepat meninggalkan masjid. Cuba kembali kepada objektif ke masjid. Bukankah untuk berjamaah dengan orang lain di rumah Allah. Lebih lama ruku’nya lebih baik. Lebih lama sujudnya lebih baik. Lebih lama i’tiqafnya tentulah lebih baik. Kenapa di rumah kekasih jika boleh ingin tidur. Di rumah tunang sukar untuk meminta diri. Di masjid sepantas kilat mahu beredar. Kita lupa masjid adalah rumah Allah. Sewajarnya kita berlama-lama di dalamnya.

12                 Lewat tetapi ke hadapan

Penulis banyak kali ke mereta tempat. Dari selatan ke utara atau ke Pantai Timur. Walaupun kadang-kadang lewat ke masjid untuk solat Jumaat umpamanya, ruang kosong tetap ada di saf hadapan. Ironis. Datang lambat boleh duduk di saf hadapan. Apa sebenarnya yang menakutkan jamaah untuk duduk di saf hadapan.  Bukankah pahalanya lebih besar berbanding duduk di saf belakang. Sukar diuraikan. Sukar dimengerti. Sukar untuk diberi penjelasan secara saintifik. Barangkali kita semua perlu belajar lagi dan terus banyak belajar  lagi. Belajar untuk mengerti erti masjid. Erti ibadat.


Barangkali juga banyak lagi aspek yang terlepas pandang dalam usaha kita untuk dekat dengan Allah. Setiap itu pula banyak aspek yang menggagalkan kita untuk memaksimumkan ganjaran berada di masjid. Mungkin juga ilmu untuk ke masjid belum maksimum. Ilmu untuk berjamaah belum sempurna. Ilmu untuk mendapat ganjaran sebanyak-banyaknya belum cukup dipelajari. Atau belum cuckup disampaikan oleh mereka yang mahir. Kita hanya mempelajari dasar hukumnya. Dasar prosedurnya. Namun kita masih belum lagi mendalami falsafahnya. Yang tersirat di sebaliknya. Oleh yang demikian marilah sama-sama kita dalami agama  untuk memaksimumkan redha Allah ke atas kita. Ingatlah juga bahawa di masjid itu terdapat imam yang akan mensolatkan jenazah kita. Di masjid itulah yang nojanya mengkapankan kita. Mungkin paradigma kita perlu diubah banyak dasarnya untuk memudahkan urusan ibadat kita.  

No comments:

Post a Comment