Kita bertemu dan
berpisah. Berpisah dan bertemu semula. Kita pergi kerana dalam hidup ini kita
banyak urusan hidup untuk diri kita masing-masing. Sesekali kita membuka
lembaran kenangan lama. Melihat wajah-wajah luhur waktu kecil dan mudanya. Melihat
semula imej-imej tingkah laku sahabat atau saudara mara yang suatu ketika
dahulu selalu bersama. Masa menjarakkan hubungan. Menjarakkan komunikasi. Menjarakkan
masa pertemuan. Lazimnya setiap pertemuan menjadi semakin singkat dan semakin
singkat. Peluang dan ruang untuk bersembang sangat terhad. Sangat-sangat
terhad. Maklumat penting sahaja yang mungkin dapagt dikongsi. Itu pun sangat
sedikit. Dunia sudah bergerak sangat pantas. Tiada siapa antara kita yang dapat
mengejarnya. Kita turut berlari bersamanya. Namun ada antara kita yang
tertinggal di belakang. Usia menjadikan kita menempuh berbagai keuzuran.
Keuzuran waktu
Keuzuran kesihatan
Keuzuran harta-benda
Keuzuran semangat
Keuzuran peluang
Berbagai lagi yang tidak
pernah kita jangkakan sewaktu kita masih muda. Tidak ramai antara kita yang dapat melihat
jauh ke hadapan. Melihat jangka masa 50 hingga 70 tahun di hadapan.
Teknologi berubah
Cara berfikir berubah
Gaya hidup berubah
Persekitaran berubah
dengan pantasnya
Tidak banyak
manfaatnya untuk nostalgik. Kesemua yang kita hadapi dalam masa terkini
merupakan anjakan-anjakan paradigma masa. Anjakan pemikiran. Anjakan pemahaman.
Anjakan amalan. Masa dahulu hanya
kenangan. Hal-hal semasa adalah apa yang kita hadapi. World view kita jauh
berbeza dengan apa yang pernah kita alami. Masa seperti arus yang berlalu
pergi. Mengalir ke laut. Laut itulah nisbahnya pengalaman yang terhimpun. Ia pasang
dan surut. Ianya menggelora perasaan pada ketika-ketikanya. Teringat rakan-rakan
lama yang pernah sama-sama dalam suka dan duka. Sama-sama melalui zaman remaja
yang sangat nostalgik. Yang sangat meranum perasaan. Mungkin ada masanya
mengguris rasa. Zaman kanak-kanak yang penuh peristiwa. Zaman remaja yang penuh
pancaroba.
Bila agaknya kita dapat
bertemu. Tidak mungkin bertemu sambil menonton wayang. Sambil makan jagung. Atau
makan kacang. Atau kuaci. Kita mungkin bertemu di rumah saudara mara. Di rumah
sahabat handai. Tetapi waktu pertemuan sangat singkat. Hanya sempat bertanya khabar.
Bukan lagi kerja apa. Bukan bertanya tempat kerja. Bukan lagi berapa orang
anak. Kemungkinannya bertanya berapa orang cucu. Menetap di mana. Kadang-kadang
ada juga pertanyaan nakal. Dah berapa rumah? Bermaksud berapa orang rumah. Itu sahaja
yang dapat dikongsi bersama. Sesuatu yang common antar asesama kita. Yang
biasa-biasa. Tidak kelihatan yang tersirat. Yang tidak dilihat.
Tidak ramai antara
kita yang concern dengan rakan-rakan lama. Dengan saudara-mara yang
dahulunya bersama. Banyak cerita 50 tahun lalu umpamanya yang kita tidak tahu. Tidak
maklum mengenainya. Berita yang kita terima hanya cebisan-cebisan. Ada pula
antara berita sesebut yang tidak sahih. Kerananya kita selalu merancang untuk
mengadakan majlis reunion. Bertemu semula dalam suasana santai. Kembali kepada
zaman santai semasa kanak-kanak atau remaja. Bukan penuh protokol. Kita buang pangkat
kita kerana kita sudah tidak ada pangkat. Sesama rakan lama pangkat tidak
diambil kira. Nama dipanggil seperti dahulu. Nama yang biasa dipanggil semasa
bersama. Kita kembali bertaut masa. Bertaut perasaan. Bertaut mengembalikan apa
yang pernah kita lalui berssma.
Dalam majlis reunion
kita ingin kembali seperti dahulu. Bertemu dalam iklim yang sangat santai. Kita yakin bahawa suasana seperti itu dapat
direalisasikan. Kita menjadi ceria. Barangkali panduan-panduan kebersamaan
harus dipatuhi.
1
Bersabar dengan rakan-rakan yang mungkin berubah karakternya. Dahulu
pendiam sekarang becok. Dahulu becok sekarang pendiam. Dahulu peramah sekarang
pendiam. Dahulu pendiam sekarang sangat peramah.
2
Bersabar menggunakan masa bersama. Ada yang awal ketibaannya. Ada pula
yang lewat. Bila sudah berusia banyak perkara yang perlu diurus. Paling banyak
mengurus pelupa pada diri.
3
Elakkan terlalu glamour terutama kepada isteri-isteri. Berpakaian
santai yang bersesuaian. Biarlah berpada supaya keadaan santai yang ingin
dicipta kekal santai.
4
Makanan bukan faktor utama. Ala kadar sahaja. Tiada pembaziran. Tiada yang
menyebabkan ada yang makan dan ada yang tidak. Maaf, bukan juga menjadi faktor
teguran dan cemuhan.
Reunion? Ya reunion. Mohonlah rakan-rakan lama
yang kita kenal memberi response. Kemungkinan besarnya reunion
ini adalah kali yang terakhir. Usia kita sudah melebihi usia subsidi. Untuk reunion
tahun berikutnya mungkin ada antara kita yang sudah tiada. Ada yang uzur. Ada yang
berpergian. Just for once we present ourselves. Mungkin hanya kali
itulah kita dapat hadir. Sesama kita sebenarnya rindu untuk bersama. Rindu untuk
bertemu kembali. Rindu untuk menatap wajah-wajah luhur dahulu semasa kita pernah
bersama. Tiada ungkapan yang mungkin dapat kita luahkan. Bertemu sudah cukup
mengenyangkan jiwa kita. Biarlah rindu itu selalu menggamit kita untuk bertemu lagi
dan lagi. Rugi rasanya andainya kita terlepas pandang peristiwa besar dalam
hidup kita ini. Kenangannya biarlah semakin panjang. Kita yang memanjangkannya.