Thursday, June 2, 2016

Berada Pada Fikir Beraras Tinggi



Mungkin antara kita ramai yang berada antara aras tinggi dan aras rendah. Kata-kata dan tindakan kita adalah menifestasi siapa kita yang sebenarnya.  Malah juga pakaian kita, cara jalan kita, duduk kita, bahasa tubuh kita melambangkan siapa kita yang sebenarnya. Kesemua cara kita bertindak itu datangnya dari pemikiran kita. Kita tidak dapat lari dari berada pada aras rendah kerana kita berasal dari bawah. Lalu ramai antara kita yang terus-menerus berada di bawah. Terlalu sedikit yang naik ke aras tinggi. Berfikir pada aras tinggi. Bertindak pada aras tinggi. Berada pada aras rendah sememangnya membahagiakan kerana zonnya selesa. Mereka yang berada pada aras ini tidak perlu memerah minda untuk memikirkan hal-hal yang mungkin dapat memperbaiki diri dan kehidupan mereka. Pada kebiasaannya mereka lebih suka disuruharah. Suka dimanipulasi. Mereka tiada entiti. Jiwa raga mereka untuk orang lain. Mereka dikawal dan dipantau.

Berbezakah antara mereka yang berada pada aras tinggi dengan mereka yang berada pada aras rendah? Mereka yang berada pada aras yang sama tidak pernah merasakan apa-apa. Biasa-biasa sahaja. Mereka yang berada pada aras rendah memandang semua orang tidak ada bezanya. Mereka yang berada pada aras tinggi memandang sesama mereka tiada bezanya. Hanya apabila mereka memandang mereka yang pada aras tinggi atau yang berada pada aras rendah, barulah mereka melihat kelainan. Memandang perbezaannya. Banyak yang tidak sama. Mereka yang berada pada aras tinggi selalu melihat peluang. Melihat ruang. Melihat banyaknya harapan yang tidak tertunai.

1                     Peluang memperbaiki diri dari segi ilmu, kemahiran dan maklumat.
2                     Peluang memperbaiki ekonomi diri dan keluarga.
3                     Peluang mencapat kesempurnaan diri.
4                     Peluang memcapai yang terbaik dalam kehidupan.
5                     Peluang memperluaskan pemandangan.
6                     Peluang memperluaskan lingkungan sosialnya.
7                     Peluang memperluaskan rangkaian dan jaringan strategik untuk membina diri dan ummah.
8                     Peluang memberikan yang terbaik untuk insan yang berada di sekeliling.

Banyak lagi dan lagi. Senarai itu boleh panjang dan memanjang. Mereka yang berada pada aras tinggi melihat dengan meluas. Mereka nampak peluang-peluang yang terbentang luas.  Mereka membuat ketetapan sama ada mahu atau tidak merebut peluang itu. Lazimnya mereka melibatkan diri dalam banyak bidang. Mungkin cemerlang dalam satu atau dua bidang. Sementara itu mereka yang berada di aras rendah banyak memandang kosong apa sahaja yang terlihat di mata.  Tidak dapat melihat apa yang tersirat di sebalik segala-galanya. Kerana itu mereka menjadi pasif. Mereka hanya reaktif pada ketika-ketikanya. Tidak dapat mengembangkan sesuatu pengamatan menjadi besar, kompleks. Memperincinkannya menjadi sesuatu yang bertahap-tahap, berperingkat-peringkat. Sesuatu yang kompleks dapat dilaksanakan dengan prosedur dan proses yang teratur. Sequential.
Memajukan diri dianggap sukar kepada sesetengah orang.  Mereka takut berusaha. Takut mempergunakan masa yang bernilai. Takut melabor walaupun sedikit. Mereka lebih rela hanya cukup makan. Berserah kepada apa yang ada dalam milik mereka. Minda dan hati mereka sebenarnya menjerit. Mencukupkan nafkah kepada keluarga bukan sesuatu yang mudah. Memberi pendidkkan yang terbaik untuk anak-anak mereka bukan kerja senang. Menambahkan pendapatan keluaraga bukan calang-calang cabarannya. Mungkin terpaksa melakukan berbagai usaha tetapi pendapatannya bukan lumayan seperti diharapkan. Yang mereka perolehi hanyalah imbuhan-imbuhan sekadar melepaskan keperluan rutin.

Mereka yang lebih tinggi pendidikannya lebih banyak terlibat dengan gadget. Terlibat dalam bidang teknikal. Berurusan dengan mesin dan peralatan. Kepada teknoologi. Mereka lebih kepada kolar putih walaupun sekilas pandang mereka berada dalam kolar biru. Mereka terlibat juga dalam bidang pengurusan. Memberi idea, merancang dan memikir. Fikirannya diletakkan di hadapan. Menjangkau masa yang jauh dari jangkauan mereka yang biasa-biasa sahaja. Mereka yang di aras rendah pula banyak menggunakan kekuatan atau skill tangan mereka. Tidak banyak menggunakan minda. Tugas mereka rutin setiap hari. Sukar menemui kelainan seperti yang dialami mereka yang berada pada aras tinggi.

Cuba tanya anak-anak kita. Yang mereka lihat ialah motorsikal beroda dua. Dipandu bersama teman. Mudah ke hulu dan ke hilir. Anak-anak mereka yang berada pada aras tinggi tidak terlintas dalam pemikiran mereka untuk memiliki motorsikal. Semasa bersekolah sudah memandu kereta sendiri. Di universiti apatah lagi. Terhindar dari debu dan kotoran. Terhindar dari panas dan hujan. Mereka dalam kelompok yang tersendiri. Dari muda terlatih berdikari. Mindanya bebas meneroka alam luas. Sudah melihat peluang yang bakal menanti setelah tamat belajar. Pendidikan tinggi membawa ke arah pada aras tinggi sedangkan keadaan sebaliknya membawa ke arah biasa-biasa sahaja. Sukar sebenarnya untuk memotivasikan anak-anak ke arah realiti masa hadapan mereka. Ke mana arah mereka. Aras tinggi atau aras rendah. Siapa sebenarnya yang dapat membantu mereka secara fizikal. Membantu mereka keluar dari kepompong yang membelenggu kehidupan dan pemikiran mereka.

Berada pada aras tinggi memberi banyak harapan yang tinggi melangit. Walaupun tidak kesemuanya dapat dicapai. Tetapi kebanyakan harapan itu dicapai juga mengikut tahap usia dan jawatan. Kehidupan mereka lebih selesa.

1                     Menikmati makanan yang lebih berkhasiat dan seimbang.
2                     Berpakaian yang lebih berkualiti.
3                     Tinggal di kawasan yang lebih kondusif untuk membesar dan mendidik anak-anak.
4                     Mungkin memiliki rumah yang lebih besar.
5                     Memiliki kendaraan yang lebih selesa untuk anak-anak.
6                     Banyak melancong dalam negara atau luar negara.
7                     Terlibat dengan hal-hal yang ilmiah.
8                     Terus-menerus dahagakan ilmu dan input akademik.
9                     Boleh dirujuk dan diminta nasihat.


Banyak perkara perlu dipertimbangkan dalam kehidupan kita. Tidak ada satupun yang kita perlukan sebagai bekal kejayaan adalah terjamin bentuknya. Kita hanya perlu banyak berusaha. Keluar dari kebiasaan-kebiasaan yng tidak membantu. Banyak bersama Allah. Solat dan doa digandingkan setiap masa. Dari Alllah kita datang kepada Allah kita dikembalikan. Nikmat dari Allah. Banyaklah bersyukur kerana banyaknya nikmat itu. 

No comments:

Post a Comment