Berapa tinggi perlu
kita melonjak untuk berada di tempat yang tinggi? Tiada hadnya. Tiada
halangannya. Ikut kehendak dan usaha sendiri. Namun demikian tinggi yang ingin
digapai wajarlah berperingkat-peringkat. Diukur tahap kemampuannya. Kita tiada upaya untuk berada
di tempat yang tinggi tanpa usaha. Tanpa berbuat apa-apa. Hanya beberapa orang
tertentu pilihan Allah sahaja yang begitu keadaan dan kedudukannya. Maka kita
sebagai insan yang sangat, sangat, sangat dan sangat lemah tidak boleh melonjak
tinggi kecuali dari peringkat yang rendah terlebih dahulu.
Allah menukilkan dalam
Al-Quran bahawa tidak sama mereka yang berilmu dengan mereka yang tidak
berilmu. Ilmu pula terdiri:
1 Yang asas
2 Yang sederhana tinggi
3 Aras tinggi
Kita melihat
kemalangan jalanraya. Reaksi kita menggambarkan siapa kita. Kita mungkin berada
di peringkat asas atau sederhana tinggi atau pada aras tinggi.
1
Mereka yang berada pada peringkat asas hanya banyak bertanya tentang apa
yang terjadi, siapa yang terlibat, bagaimana keadaan kenderaan. Mereka reaktif.
Tidak balas perasaan kebanyakannya. Dia berpuas hati kerana mengetahui fakta
kritikal. Sibuk dengan yang dilihat di hadapan mata. Hard fact.
2
Macam mana boleh berlaku? Adalah
antara soalan pada peringkat sederhana tinggi. Ianya sepatutnya boleh dielakkan
jika pemandu memiliki kecekapan pemanduan dan bertindak pantas. Pandangannya ke
hadapan sedikit. Cuba menyelesaikan keadaan. Mereka lebih kritikal. Lebih halus
jalan fikirnya.
3
Kajian perlu dilakukan untuk mengelakkan kejadian serupa pada masa
hadapan. Inilah pemikiran aras tinggi. Memandang ke hadapan untuk menambahbaik
sesuatu perkara atau sekurang-kurangnya mengurangkan permasalahan. Mereka proaktif. Mungkin positif. Ingin mencari
penyelesaian jangka panjang. Bagaimana kemalangan serupa boleh dielakkan pada
masa hadapan.
Ramai antara kita
berada pada aras rendah. Mungkin ramai juga yang berada pada aras sederhana.
Tetapi tidak ramai yang berada pada aras tinggi. Mereka yang berada pada aras
tinggi selalunya jauh melangkaui orang lain dari segi fikiran dan tindakannya.
1
Tindakannya difikirkan dari segi praktikaliti, ekonomi, jangkaan pada
masa hadapan dan kelestariannya.
2
Melibatkan perancangan jangka panjang. Apa yang akan berlaku. Kemungkinan-kemungkinan
permasalahan yang dijangka berlaku.
3
Membuat jangkaan-jangkaan masa hadapan untuk 10 atau 20 tahun di hadapan
dengan izin Allah.
Untuk meletakkan diri
kita pada aras tinggi, kita perlu mengusahakannya berperingkat-peringkat.
Perlahahan-lahan sebelum menderaskannya sesuai dengan kemahiran yang kita
miliki. Maksudanya kita wajar mahir dan selesa di aras bawah atau asas terlebih
dahulu. Menyedari bahawa apabila berada di bawah kita merasa banyak kekurangan
diri. Banyak yang tidak diketahui. Banyak yang tidak fahami. Banyak sangat yang
dhaif pengetahuan. Ilmu kita selalunya dhaif. Sangat lemah. Kerana itu kita
bergerak dari bawah. Memajukan diri dari satu tahap ke satu tahap yang lain.
Paling sukar ialah
hendak menceburkan diri ke tahap yang paling rendah. Ramai antara kita tidak
mengetahui banyak perkara. Terlalu banyak yang tidak diketahui. Kita pula tidak
dapat memperingkatkan keadaan. Kita tidak tahu yang mana perlu disegerakan dan
yang mana perlu dilewatkan. Lewat pula bukan bermakna melupakan dan
melengah-lengahkannya. Ia hanya ditunda untuk sementra waktu sebelum segala
persediaannya mustaid. Bersedia dari segi mental, fizikal, emosi dan psikologi.
Banyak keadaan yang memerlukan kita melakukan langkah awal. Langkah pertama
yang selalunya sukar. Ramai antara kita:
1
Malunya mengatasi segala-galanya.
2
Takut diketahui orang lain akan kelemahan diri.
3
Merasakan tiada masa.
4
Tiada pendorong dari kalangan mereka yang hampir.
5
Tiada pembimbing yang berpengaruh.
6
Persekitaran tidak kondusif untuk keluar dari zon selesa, zon naif, zon
kejahilan.
Barangkali kita kurang
mengamati keadaan sekeliling. Mereka yang daif tetapi berusaha memperbaiki diri
sekarang berada pada tahap yang lebih baik dari kita. Mereka yang sabar berada
pada tahap yang lebih bahagia. Mereka yang tekun lebih berjaya. Mereka yang
fokus dalam usaha mereka lebih selesa berbanding orang lain. Banyak kelemahan
kita apabila berhadapan dengan situasi yang berbeza dan berubah-ubah.
1
Tidak peka bahawa keadaan tidak selalunya statik.
2
Kita lambat berubah. Jika berubah sekalipun kita menyimpang dari arus
perdana yang selalu dimanfaatkan oleh orang lain.
3
Tidak mengamati faktor-faktor yang berubah. Masa terbuang begitu sahaja.
Peluang terlepas begitu sahaja. Kesempatan yang ada tersia-sia begitu sahaja.
4
Memerangkap diri dalam kejumudan berfikir. Tidak membuka minda
seluas-luasnya. Tidak berlapang dada untuk menerima perubahan.
5
Enggan membina rangkaian strategik. Tidak meluaskan kepelbagaian sumber ilmu.
Kadang-kadang kita
melihat sumber ilmu sebagai satu. Dilihat tunggal. Apabila disebut seseorang
yang dirujuk kita melihat pada dirinya hanya setereotaip. Maksudnya satu sahaja
ilmunya. Kita lupa bahawa seseorang itu:
1
Banyak ilmunya.
2
Berlapis-lapis ilmunya.
3
Luas bidangnya.
4
Rencam ilmu yang dimiliki, disampaikan dan dkongsikannya.
Pada sesuatu ketika
seorang pakar bercakap tentang sesuatu. Dia melihat siapa audiennya. Walaupun tajuk
persembahannya sama tetapi kedalaman dan keluasannya tidak akan sama selamanya.
1
Dalam suatu majlis seorang pakar menggariskan tentang hukum berpuasa
pada bulan Ramadhan. Dia memberikan sumber rujukannya dari segi nas al-Quran
dan hadith.
2
Dalam majlis yang lain dia memberikan fakta saintifik mengenai puasa. Juga
fakta sosial yang berkaitan.
3
Dalam majlis yang lain ia memberikan dapatan-dapatan dari beberapa
penyelidikan yang membezakan antara mereka yang berpuasa dengan mereka yang
tidak berpuasa.
Tajuk asalnya berpusat
kepada puasa dalam bulan Ramadahan. Tetapi olahan penyampaiannya berbeza dari
segi kompleksitinya. Dari segi jangkauan skopnya. Dari segi kedalamannya
tentang sesuatu yang ingin dikupas. Sebab itu ramai pengikut yang setia bersama
pakar dan guru mereka. Ke mana sahaja pakar itu berada langkahnya dijejaki. Ingin
bersama pakar itu kerana setiap kali pertemuan, ada sahaja yang baru. Yang unik.
Yang signifikan. Begitulah pemilik ilmu menyampaikan ilmunya berdasarkan siapa
audiennya. Di mana ilmu itu disampaikan.
Menjejak ilmu bukan
seperti menjejak harta karun. Bagi harta karun bila dijejaki maka kayalah yang
menjejakinya. Seperti P. Ramlee menjadi kaya dalam filem Ahmad Al-Bab. Ilmu bukan
dalam bentuk fizikal. Tidak dapat dipegang dengan tangan. Tidak boleh disimpan
dalam setor. Tidak kelihatan bentunya. Walau bagaimanapun ianya:
1
Boleh disenaraikan.
2
Boleh diperingkatkan.
3
Boleh disusun.
4
Terdapat berbagai data mengenainya yang boleh disimpan, disisih,
dikembangkan, dikaji semula dan berbagai lagi yang berkaitan.
5
Boleh dilihat dari berbagai sudut. Setiap satu banyak pula olahannya.
Pemilik ilmu pula
memiliki berbagai keistimewaan. Berbeza antara kepakaran masing-masing.
1
Boleh dirujuk.
2
Boleh diminta nasihat.
3
Pemikirannya berangkai-rangkai.
4
Banyak idea yang dapat disumbangkannya.
5
Hidupnya penuh berencana. Tidak duduk diam menghabiskan masa yang tiada
manfaatnya.
Untuk meningkatkan
diri kita perlu melihat sekeliling banyak kali. Berulang-ulang kali. Di mana
status kita?
1
Paling pandai?
2
Paling hebat?
3
Paling alim?
4
Paling banyak ilmu?
5
Paling banyak sumbangannya?
6
Paling banyak manfaatnya kepada orang lain?
Atau siapa kita sebenarnya?
1
Mencintai ilmu. Mencari dan mencarinya.
2
Gemar kepada mereka yang mencari ilmu. Gemar kepada mereka yang banyak
ilmu walau dirinya tidak berbuat apa-apa untuk menambah ilmu dirinya.
3
Atau kita menjadi orang paling tidak bermanfaat. Menghalang orang lain
mencari ilmu. Tempat belajar dikotorkan. Mereka yang datang belajar
dihalang-halang. Banyak karenahnya tidak menyukai ilmu dan tidak menyukai mereka
yang mencari ilmu.
Mari sama-sama kita fikirkan
sejenak.
1
Pentingkah tempat mencari ilmu? Atau ilmu itu yang lebih penting.
2
Pentingkah mereka yang menyampaikan ilmu? Atau ilmu itu yang lebih penting.
3
Pentingkah makan dan minum yang disediakan semasa mencari ilmu? Pentingkah
sedap dan tidaknya? Atau ilmu yang dicari itu yang lebih utama dan penting. Yang
lazatnya mengatasi makanan yang subjektif lazatnya.
4
Perlukan tempat ilmu itu banyak kemudahan? Di tingkat bawah umpamanya. Banyak
kemudahan disediakan. Atau bukankah bahawa kepayahan mencari ilmu itu diberi
ganjaran yang lebih tinggi. Setiap payahnya. Setiap sukarnya. Setiap kesusahannya.
Kesemuanya ada ganjaran di sisi Allah Yang Maha Memiliki Ilmu.
5
Bukankah setiap langkah mencari ilmu itu jihad? Pengorbanan masa,
tenaga, wang ringgit, perasaan, keselesaan, ketenangan dan keutamaan.
Jika orang lain boleh
pergi jauh, mengapa tidak kita jejaki rakan-rakan kita yang lain. Mereka yang
melangkah lebih awal tentu sahaja sudah jauh di hadapan. Kita yang tidak
berbuat apa-apa akan terus kekal di tahap lama. Berdiam diri sebenarnya sangat berbahaya.
1
Kita menyangka kita selamat tetapi kita terdedah kepada perubahan. Kita
menjadi tidak sesuai dengan keadaan baru. Tidak selesa dengan natijah
perubahan. Tidak sesuai dengan keadaan semasa. Kata orang putih, doesn’t fit
the present situation.
2
Dirinya menjadi ganjil, janggal, bosan dan yang paling tidak enak ialah
dirinya menjadi jumud. Lapuk. Ketinggalan zaman. Obselete. Tidak lagi
relevan dengan keadaan semasa.
3
Ilmu yang kita miliki akhirnya tidak banyak manfaatnya kerana kita tidak
mengembangkannya. Tidak menambah nilainya. Tidak menambahbaik keadaannya.
4
Mungkin kita tersisih dari arus perdana kerana kita sudah tidak lagi
relevan.
Sebenarnya bukan
susuah untuk berada di landasan ilmu. Buang prasangka. Buang penilaian yang
tidak bermanfaat. Buang kesibukan yang kurang bermanfaat dari segi pembangunan
diri. Kita perlu sedar dan bangkit dari tidur panjang yang tersangat lena. Tidak sedar dari segi kurangnya mencari ilmu
yang terlalu banyaknya di sekeliling kita. Ayuhlah. Semakin lama masa semakin
pendek. Semakin singkat. Semakin dekat dengan penghujung usia kita. Mudah-mudahan Allah memberi ganjaran kerana
jihad kita berusaha mencari dan menambah ilmu. In sya Allah. Allahuakbar.
No comments:
Post a Comment