Thursday, June 2, 2016

Bila Usia Menginjak Tua



Mengapa kita menjadi tua? Alalh mentaqdirkan yang kita banyak tahun usianya. Bertambah setiap tahun. Yang bertambah adalah angkanya. Semakin banyak dan semakin besar. Pada hakikatnya usia kita semakin berkurangan. Semakin susut.  Semakin lama semakin dekat dengan waktu terakhir kita. Masing-masing kita sudah ditentukan usianya. Ada yang banyak tahun. Ada yang kurang tahunnya. Walaupun begitu waktu terakhir kita tetap akhir usia kita. Mungkin sewaktu masih muda belia. Mungkin setelah sekian lama. Setelah banyak tahun menikmati kehidupan yang berbagai. Kita ingin sekali menjadi tua yang sejahtera. Sihat fizikal. Sihat mental. Sihat persekitara. Kekal bersama orang-orang yang tersayang. Semoga Allah meletakkan kita di tempat dan suasana yang bahagia selamanya.

Adakah hidup tua kita selesa? Atau biasa-biasa sahaja? Atau daif sehingga diabaikan anak-anak atau saudara-mara? Sebenarnya untuk menjadi tua sekurang-kurangnya kita perlu menyediakan tiga perkara.
1                     Memiliki harta sebagai bekal tua. Tanpa perlukan bantuan dari sesiapapun.
2                     Memiliki kemahiran berdikari. Sihat dan panjang akal menyelesaikan keperluan hidup tua.
3                     Memiliki ilmu yang kekal bermanfaat hingga ke akhir hayat.

Kita semua serupa. Melalui masa kanak-kanak. Menginjak masa muda remaja. Berkerjaya, berumahtangga dan mendewasakan diri. Akhirnya menjadi tua. Andainya kita memiliki tiga persiapan di atas maka menunggu saat akhir bukan menjemukan. Ramai orang di sekeliling kita yang saat akhirnya dalam husnul khotimah. Mati dalam bertugas. Mati dalam beribadat. Matinya dalam memberikan yang terbaik kepada orang-orang di sekliling dengan izin Allah. Mereka yang memiliki ilmu atau kemahiran jika istiqamah  mengamalkannya maka hingga ke akhir hayatnya ia masih kekal memberi manfaat. Memberi khidmat kemanusiaan.

Begitulah mereka yang sehingga hari tuanya berkemampuan menyara dirinya. Bukan sahaja nafkah dirinya atau pasangannya malah masih mampu membantu orang lain yang kedudukannya tidak dalam keadaan mampu dari segi ekonomi. Sedari muda pasangan suami dan isteri berusaha mencukupkan segala keperluan untuk anak-anaknya. Ketika anak-anak sudah berkeluarga maka pasangan yang tua itu bebas dari penat lelah yang berpanjangan. Berehat dari kesesakan penatnya mengurus anak-anak dahulu. Tua sewajarnya masa rehat. Masa santai. Masa untuk meneruskan hidup sendiri tanpa menyusahkan orang lain. Itulah harapan semua ibu dan bapa. Namun langit tidak selalunya cerah. Cahaya tidak selalunya terang benderang. Malap di sana sini. Rezeki yang Allah anugerahkan kepada kita bertahap-tahap.

Anak-anak muda mungkin perlu banyak belajar dari mereka yang tuanya berdikari. Mengambil iktibar dari mereka yang tuanya kakal bermanfaat. Yang kekal cergas dan cerdas. Banyak belajar dari mereka mengumpul harta tetapi tidak menjadi hamba harta. Sedekahnya melimpah. Infaqnya meluas. Zakatnya tidak pernah dilupa. Bertambah dan terus bertambah. Hidup selesa pada usia tua menjadi nikmat apabila dapat memanjangkan tangan menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan. Mungkin sedikit wang ringgit. Mungkin nasihat dan dorongan. Mungkin mendidik orang lain untuk menjadi lebih baik. Memberi apa sahaja walau apapun bentuknya tetap lebih baik dari menerima.

Paling indah ialah hari tua yang sihat. Masih kekal bersama orang lain di sekelilingnya. Masih boleh berjalan jauh. Masih boleh makan dan minum yang wajar. Masih boleh tidur nenyak. Masih boleh berulit mimpi. Siangnya membuat kerja amal. Malamnya beramal pula. Gelak dan tawa masih ringan di mulut. Senyum masih panjang meleret. Pada matanya tiada kesayuan yang mengundang banyak misteri. Tubuhnya masih cukup tegap tanpa menampakkan rasa letih hidup. Raut mukanya masih menampakkan selesa dengan keadaan di sekliling. Di bibirnya masih banyak keindahan berbicara. Senang dengan orang lain dan orang lain senang dengannya.  

Kesemuanya perlu disediakan dari muda. Menuntut ilmu sebanyak-banyaknya. Mungkin formal. Mungkin informal. Mungkin tak formal. Ilmu dan kemahiran yang kita miliki membawa kita jauh mengembara merentas masa, tempat dan situasi. Kita melihat di sekeliling kita ramai mereka yang berusia emas hidupnya masih kekal teratur. Masih berencana. Masih ligat beraktiviti. Pagi ini dia di sini. Petangnya di sana. Esoknya sudah dirancang di mana dan di mana. Dia tidak statik bermukim hanya di suatu tempat. Tidak statik hanya dengan satu aktiviti yang terlalu rutin. Terbangnya bak burung. Latanya bak pepohon rendang. Renangnya bak ikan. Di mana sahaja dia berada aura positif yang ingin dikembangkan. Yang ingin dikongsikan dengan orang lain.

Tua bukan bererti terhenti segala-galanya. Apabila tua kita statik di stesen yang sama maka tuanya menjadi mati sebelum mati secara hakikat. Tua menjadi indah apabila bebas dari berbagai chores yang bukan lagi sewajarnya. Berkebun mungkin santai tetapi banyak hal juga yang menjadikan ianya stressful. Diganggu haiwan. Banyak serangga. Buah tidak menjadi. Sayur tidak subur. Banyak lagi gangguan minda jika tidak bersedia. Sebenarnya bukan itu yang terbaik. Lebih baik terlibat dengan hal-hal yang ringan tanpa menggunakan tenaga tangan dan tubuh badan. Banyak alternatif yang boleh diceburi seperti NGO atau aktiviti yang dapat membantu masyarakat membangunkan diri mereka. Bidang motivasi umpamanya. Kerja-kerja amal yang sangat banyak dan luas. Bidang agama seperti al-Quran dan yang berkaitan. Belajar lagi sebagai pelajar warga emas. Terlalu banyak di universiti awam.

Kita bermula darI muda. Persiapkan diri dengan segalanya yang perlu untuk hari tua. Hidup selalu di bawah naungan Allah. Yang kita idamkan ialah hidup bermanfaat hingga ke akhir hayat. Tua tetap datang kepada kita. Tidak perlu menantinya. Ia datang dalam bentuknya yang selalu kita lihat.
1                     Kulit berkedut beribu.
2                     Kurus atau berisi tubuhnya.
3                     Bersamanya mungkin penyakit yang tidak dapat dihindar.
4                     Mata kurang awas.
5                     Gigi yang tinggal sedikit.
6                     Berjalan yang banyak lambat dari cepatnya.
7                     Pendengaran yang selalu dipertikai orang sekeliling. Sesekali mungkin dibentak baru mendengar.
8                     Pakaian yang tidak sekemas dahulu.
9                     Bau tubuh tidak sewangi selalu seperti waktu muda.
10                 Duduk di tengah yang sudah tidak sesuai lagi.
11                 Duduk di tepi tidak pula sesuai dengan suasana.
12                 Banyak dibantu dari membantu.


Namun demikian jika dapat berdikari amatlah baiknya. Tidak menyusahkan mereka yang dekat dengan kita. Yang berada di sekeliling kita. Yang kita maklumi sibuk dan terhadnya masa mereka. Hidup pada akhir zaman yang selalu sibuk. Berkerjaya untuk hidup. Mengurus diri kadang-kadang menjadi sesuatu yang sangat memerlukan persiapan rapi sejak dari muda lagi.  Jika tidak mungkin kita bakal menyusahkan orang-orang yang kita sayangi dan kasihi. Mudah-mudahan kita semua jauh dari situasi yang tidak enak begitu. In sya Allah hidup kita barakah  hendaknya. Amin.

No comments:

Post a Comment