Pagi hari ini Khamis
19 Mei 2016 penulis berada di sebuah bandar. Sedang melangkah ke sebuah pasaraya.
Penulis disapa oleh seseorang yang tidak dikenali. Belum pernah bertemu. Apatah
lagi bertegur sapa. Dia memberhentikan motorsikalnya. Memberi salam sambil
menghulurkan tangan. Terungkap sesuatu yang tidak terduga.
Smartnya!
Terima kasih.
Encik dulu tentera ke?
Tidak.
Pangkat kaptan ke?
Tidak.
Pilot ke?
Tidak.
Smartlah!
Berapa umur? 35?
70.
Ya ke!
Setakat itu sahaja
terluang masa. Lelaki separuh umur itu memandang penulis agak lama. Pertemuan yang jarang dipinta. Apatah
lagi bertegur sapa. Bukan rakan. Bukan taulan. Bukan sahabat. Bukan pula
saudara mara yang jauh atau dekat. Namun sekelumit kemesraan yang Allah datangkan
kepada penulis amat signifikan dalam menjalani kehidupan ini. Bahawa kita
sebagai manusia sentiasa menjadi perhatian orang di sekeliling kita. Sebagai manusia
biasa kita tidak begitu terasa pentingnya diri kita. Apabila kita menjadi
seseorang yang Allah beri amanah sama ada dengan jawatan atau sebaginya maka
perhatian orang lain terhadap kita lebih fokus. Kerana itu siapa diri kita yang
sebenarnya perlu diambil berat. Perlu diberi perhatian. Fizikal menjadi juzuk
yang pertama dilihat. Sihat atau sakit dapat dilihat pada pergerakan badan. Seorang
suami atau isteri perlu perihatin dalam hal sepert ini. Ingatkan pasangan
supaya sentiasa kemas, rapi, ranggi dan berpakaian yang selayaknya.
Usia bukan
segala-galanya. Bila muda kita ranggi. Bila tua kita menua. Itu persepsi yang
sukar diduga. Ini bukan zaman kita melupakan kesegaran hidup. Segar dalam erti
kata bahawa hidup perlu dinikmati. Direalisasikan dan di manifestasikan
keindahannya. Apatah lagi jika kita masih ada pasangan di samping kita. Masih ada
insan tersayang yang indah belaiannya. Memacu kahidupan yang semakin menuju
penamatnya. Mengira hari-hari yang semakin ke penghujungnya. Hanya beberapa
tahun lagi. Atau mungkin beberapa bulan sahaja. Atau beberapa hari lagi. Atau……atau…..atau
sudah terlalu dekat masa itu. Rugilah jika tidak memberi yang terbaik utuk
pasangan masing-masing. Bercinta hingga
ke akhir hayat. Untuk bertemu semula di syurga. Ungkapan “aku terima nikahnya”
bersemadi hingga ke syurga.
Sebenarnya siapa kita
jika bukan kerana Allah. Segala puji bagi Allah. Kita kembalikan kepadaNya apa
sahaja yang kesemuanya kita pinjam. Kesihatan milik Allah. Kekuatan dan tenaga
milik Allah. Stamina kita milik Allah. Keberadaan kita milik Allah. Begitu mereka
yang sudah berumahtangga, pasangan masing-masing menjadi pengawal diri. Apakah
sesudah tua kita menipiskan kasih sayang? Menjauhkan keintiman. Luput kemesraan.
Bayangkan bahawa sebuah perkahwinan adalah usia itu sendiri. Pelumba pecut
semakin pantas menghampiri garis penamat. Bukan memperlahankanya. Barangkali persaraan
adalah hujung menuju panamat. Malang jika pasangan hilang segala-galanya.
Siapa seseorang itu
tanpa pasangannya. Kita tidak boleh hilang sabar masing-masing. Semakin usia
meningkat pasangan kita jauh berubah berbanding masa mudanya. Terlalu banyak
perubahan yang kita lihat di hadapan mata. Betapa ruginya tidak melihat keindahan
pada perubahan-perubahan tersebut. Apakah kita sepi dari sifat seni yang
sensitif terhadap pasangan masing-masing. Perlukan kita menjadi hilang sabar
sedangkan pasangan kita itu adalah segala-galanya untuk kita. Untuk selama dengannya.
Untuk selama bersamanya. Ketika ini bukan masa untuk membuat penilaian. Bukan masa
untuk membuat pilihan. Itulah masa yang perlu mengujakan. Kita akan bersamanya
untuk suatu jangka masa yang terlalu singkat. Perpisahan yang pastinya tetap
menanti.
Masa bersama yang
banyak berlalu adalah gambaran berlalunya masa lampau. Masa yang bukan untuk
merasa hilang cinta dan kasih-sayang. Ianya wajar menjadi masa yang semakin
indah. Sesudah lama bersama banyak yang terlalu dirasa. Yang tiadanya dikenang.
Yang datangnya dinanti. Yang perginya ditunggu. Tetapi itu semua jika masih
bersama. Akan sampai waktunya yang hilang tiada lagi ditunggu. Yang pergi tidak
dinanti. Bagaimana harus hilang kemesraan dan kebahagiaan. Tanya hati kita sendiri.
Masih ada segala-galanya dalam sanubari. Andai dibelai rasa, masih hangat perasaan
kita terhadap pasangan kita. Masih rindu yang kuat menggamit. Inilah waktunya
kita membantu pasangan masing-masing. Anggaplah ianya kebahagian dan bukan
beban. Nyahkan rasa bosan. Buangkan rasa menyiksakan. Suburkan rasa rindu yang
bertahta di hati.
Walhal apa yang perlu
dilakukan adalah pecutan-pecutan
terakhir sebelum berpisah tanpa bicara. Sebelum hialang tanpa sua. Sebelum segala-galanya
hanya tinggal nama. Itupun jika mencipta nama di dunia ini. Jika tidak maka
hilang ghaiblah nama kita di mata dunia. Begitu juga di mata manusia yang
biasa. Kita bukan siapa-siapa. Seorang yang biasa-biasa sahaja. Kadang-kadang pasangan
lanjut usia sukar bersua muka sesama mereka. Ada helahnya. Ada dalihnya. Lanjut usia adalah persepsi. Ianya mungkin
masa yang banyak positifmya. Atau mungkin menjadi negatif hingga melumpuhkan
semangat berkasih sayang yang dibina sejak dari muda belia lagi.
Benarlah warga emas
sangat lumrah lusuhnya. Berkedut dan masai sahaja. Tetapi usia bukan alasan. Pada
fizikal yang lusuh itu jika dibalut dengan rapi masih elok dipandang. Manis ditentang
mata. Bagaimana kita perlu terus teurus diri.
1 Biasakan rasa bahagia yang
berpanjangan.
2 Berpakaian untuk dilihat
berpakaian. Bukan sekadar menutup aurat. Pakaian juga sesuatu yang menyenangkan
orang lain memandang kita.
3 Memilih warna yang melambangkan
diri kita. Sihat, periang, peramah, bertenaga, cergas, lincah.
4 Sentiasa
kemas dan peka dengan pakaian.
5 Terima padnangan orang lain dengan
berlapang dada.
6 Kadang-kadang kita perlu dilihat
berbeza tetapi masih sesuai dengan majlis dan tetamu yang hadir.
Lihatlah pasangan
masing-masing. Jadikan dia yang terbaik untuk diri kita. Jangan biarkan diri
kita terperangkap dengan usia sehingga kita lupa bahawa hidup kita mungkin
masih lama lagi. Nikmati segalanya sebelum segala-galanya meninggalkan kita. Anggaplah
tiada masa luang untuk kita bersantai-santai sahaja. Banyak yang perlu dilakukan. Banyak yang
perlukan sentuhan tangan dan hati kita. Jangan sia-sia peluang dan luang itu. Ianya
lebih manis dari madu. Lebih wangi dari bunga ros. Lebih indah dari pemandangan
yang saujana mata memandang.
No comments:
Post a Comment