Thursday, May 26, 2016

Menambah Manfaat Diri



Berapa tinggi perlu kita melonjak untuk berada di tempat yang tinggi? Tiada hadnya. Tiada halangannya. Ikut kehendak dan usaha sendiri. Namun demikian tinggi yang ingin digapai wajarlah berperingkat-peringkat. Diukur  tahap kemampuannya. Kita tiada upaya untuk berada di tempat yang tinggi tanpa usaha. Tanpa berbuat apa-apa. Hanya beberapa orang tertentu pilihan Allah sahaja yang begitu keadaan dan kedudukannya. Maka kita sebagai insan yang sangat, sangat, sangat dan sangat lemah tidak boleh melonjak tinggi kecuali dari peringkat yang rendah terlebih dahulu.

Allah menukilkan dalam Al-Quran bahawa tidak sama mereka yang berilmu dengan mereka yang tidak berilmu. Ilmu pula terdiri:
1              Yang asas
2              Yang sederhana tinggi
3              Aras tinggi

Kita melihat kemalangan jalanraya. Reaksi kita menggambarkan siapa kita. Kita mungkin berada di peringkat asas atau sederhana tinggi atau pada aras tinggi.
1                     Mereka yang berada pada peringkat asas hanya banyak bertanya tentang apa yang terjadi, siapa yang terlibat, bagaimana keadaan kenderaan. Mereka reaktif. Tidak balas perasaan kebanyakannya. Dia berpuas hati kerana mengetahui fakta kritikal. Sibuk dengan yang dilihat di hadapan mata. Hard fact.
2                      Macam mana boleh berlaku? Adalah antara soalan pada peringkat sederhana tinggi. Ianya sepatutnya boleh dielakkan jika pemandu memiliki kecekapan pemanduan dan bertindak pantas. Pandangannya ke hadapan sedikit. Cuba menyelesaikan keadaan. Mereka lebih kritikal. Lebih halus jalan fikirnya.
3                     Kajian perlu dilakukan untuk mengelakkan kejadian serupa pada masa hadapan. Inilah pemikiran aras tinggi. Memandang ke hadapan untuk menambahbaik sesuatu perkara atau sekurang-kurangnya mengurangkan permasalahan.  Mereka proaktif. Mungkin positif. Ingin mencari penyelesaian jangka panjang. Bagaimana kemalangan serupa boleh dielakkan pada masa hadapan.

Ramai antara kita berada pada aras rendah. Mungkin ramai juga yang berada pada aras sederhana. Tetapi tidak ramai yang berada pada aras tinggi. Mereka yang berada pada aras tinggi selalunya jauh melangkaui orang lain dari segi fikiran dan tindakannya.
1                     Tindakannya difikirkan dari segi praktikaliti, ekonomi, jangkaan pada masa hadapan dan kelestariannya.
2                     Melibatkan perancangan jangka panjang. Apa yang akan berlaku. Kemungkinan-kemungkinan permasalahan yang dijangka berlaku.
3                     Membuat jangkaan-jangkaan masa hadapan untuk 10 atau 20 tahun di hadapan dengan izin Allah.

Untuk meletakkan diri kita pada aras tinggi, kita perlu mengusahakannya berperingkat-peringkat. Perlahahan-lahan sebelum menderaskannya sesuai dengan kemahiran yang kita miliki. Maksudanya kita wajar mahir dan selesa di aras bawah atau asas terlebih dahulu. Menyedari bahawa apabila berada di bawah kita merasa banyak kekurangan diri. Banyak yang tidak diketahui. Banyak yang tidak fahami. Banyak sangat yang dhaif pengetahuan. Ilmu kita selalunya dhaif. Sangat lemah. Kerana itu kita bergerak dari bawah. Memajukan diri dari satu tahap ke satu tahap yang lain.

Paling sukar ialah hendak menceburkan diri ke tahap yang paling rendah. Ramai antara kita tidak mengetahui banyak perkara. Terlalu banyak yang tidak diketahui. Kita pula tidak dapat memperingkatkan keadaan. Kita tidak tahu yang mana perlu disegerakan dan yang mana perlu dilewatkan. Lewat pula bukan bermakna melupakan dan melengah-lengahkannya. Ia hanya ditunda untuk sementra waktu sebelum segala persediaannya mustaid. Bersedia dari segi mental, fizikal, emosi dan psikologi. Banyak keadaan yang memerlukan kita melakukan langkah awal. Langkah pertama yang selalunya sukar. Ramai antara kita:
1                     Malunya mengatasi segala-galanya.
2                     Takut diketahui orang lain akan kelemahan diri.
3                     Merasakan tiada masa.
4                     Tiada pendorong dari kalangan mereka yang hampir.
5                     Tiada pembimbing yang berpengaruh.
6                     Persekitaran tidak kondusif untuk keluar dari zon selesa, zon naif, zon kejahilan.

Barangkali kita kurang mengamati keadaan sekeliling. Mereka yang daif tetapi berusaha memperbaiki diri sekarang berada pada tahap yang lebih baik dari kita. Mereka yang sabar berada pada tahap yang lebih bahagia. Mereka yang tekun lebih berjaya. Mereka yang fokus dalam usaha mereka lebih selesa berbanding orang lain. Banyak kelemahan kita apabila berhadapan dengan situasi yang berbeza dan berubah-ubah.
1                     Tidak peka bahawa keadaan tidak selalunya statik.
2                     Kita lambat berubah. Jika berubah sekalipun kita menyimpang dari arus perdana yang selalu dimanfaatkan oleh orang lain.
3                     Tidak mengamati faktor-faktor yang berubah. Masa terbuang begitu sahaja. Peluang terlepas begitu sahaja. Kesempatan yang ada tersia-sia begitu sahaja.
4                     Memerangkap diri dalam kejumudan berfikir. Tidak membuka minda seluas-luasnya. Tidak berlapang dada untuk menerima perubahan.
5                     Enggan membina rangkaian strategik. Tidak meluaskan kepelbagaian sumber ilmu.

Kadang-kadang kita melihat sumber ilmu sebagai satu. Dilihat tunggal. Apabila disebut seseorang yang dirujuk kita melihat pada dirinya hanya setereotaip. Maksudnya satu sahaja ilmunya. Kita lupa bahawa seseorang itu:
1                     Banyak ilmunya.
2                     Berlapis-lapis ilmunya.
3                     Luas bidangnya.
4                     Rencam ilmu yang dimiliki, disampaikan dan dkongsikannya.

Pada sesuatu ketika seorang pakar bercakap tentang sesuatu. Dia melihat siapa audiennya. Walaupun tajuk persembahannya sama tetapi kedalaman dan keluasannya tidak akan sama selamanya.
1                     Dalam suatu majlis seorang pakar menggariskan tentang hukum berpuasa pada bulan Ramadhan. Dia memberikan sumber rujukannya dari segi nas al-Quran dan hadith.
2                     Dalam majlis yang lain dia memberikan fakta saintifik mengenai puasa. Juga fakta sosial yang berkaitan.
3                     Dalam majlis yang lain ia memberikan dapatan-dapatan dari beberapa penyelidikan yang membezakan antara mereka yang berpuasa dengan mereka yang tidak berpuasa.

Tajuk asalnya berpusat kepada puasa dalam bulan Ramadahan. Tetapi olahan penyampaiannya berbeza dari segi kompleksitinya. Dari segi jangkauan skopnya. Dari segi kedalamannya tentang sesuatu yang ingin dikupas. Sebab itu ramai pengikut yang setia bersama pakar dan guru mereka. Ke mana sahaja pakar itu berada langkahnya dijejaki. Ingin bersama pakar itu kerana setiap kali pertemuan, ada sahaja yang baru. Yang unik. Yang signifikan. Begitulah pemilik ilmu menyampaikan ilmunya berdasarkan siapa audiennya.  Di mana ilmu itu disampaikan.

Menjejak ilmu bukan seperti menjejak harta karun. Bagi harta karun bila dijejaki maka kayalah yang menjejakinya. Seperti P. Ramlee menjadi kaya dalam filem Ahmad Al-Bab. Ilmu bukan dalam bentuk fizikal. Tidak dapat dipegang dengan tangan. Tidak boleh disimpan dalam setor. Tidak kelihatan bentunya. Walau bagaimanapun ianya:
1                     Boleh disenaraikan.
2                     Boleh diperingkatkan.
3                     Boleh disusun.
4                     Terdapat berbagai data mengenainya yang boleh disimpan, disisih, dikembangkan, dikaji semula dan berbagai lagi yang berkaitan.
5                     Boleh dilihat dari berbagai sudut. Setiap satu banyak pula olahannya.

Pemilik ilmu pula memiliki berbagai keistimewaan. Berbeza antara kepakaran masing-masing.
1                     Boleh dirujuk.
2                     Boleh diminta nasihat.
3                     Pemikirannya berangkai-rangkai.
4                     Banyak idea yang dapat disumbangkannya.
5                     Hidupnya penuh berencana. Tidak duduk diam menghabiskan masa yang tiada manfaatnya.

Untuk meningkatkan diri kita perlu melihat sekeliling banyak kali. Berulang-ulang kali. Di mana status kita?
1                     Paling pandai?
2                     Paling hebat?
3                     Paling alim?
4                     Paling banyak ilmu?
5                     Paling banyak sumbangannya?
6                     Paling banyak manfaatnya kepada orang lain?

Atau siapa kita sebenarnya?
1                     Mencintai ilmu. Mencari dan mencarinya.
2                     Gemar kepada mereka yang mencari ilmu. Gemar kepada mereka yang banyak ilmu walau dirinya tidak berbuat apa-apa untuk menambah ilmu dirinya.
3                     Atau kita menjadi orang paling tidak bermanfaat. Menghalang orang lain mencari ilmu. Tempat belajar dikotorkan. Mereka yang datang belajar dihalang-halang. Banyak karenahnya tidak menyukai ilmu dan tidak menyukai mereka yang mencari ilmu.

Mari sama-sama kita fikirkan sejenak.
1                     Pentingkah tempat mencari ilmu? Atau ilmu itu yang lebih penting.
2                     Pentingkah mereka yang menyampaikan ilmu? Atau ilmu itu yang lebih penting.
3                     Pentingkah makan dan minum yang disediakan semasa mencari ilmu? Pentingkah sedap dan tidaknya? Atau ilmu yang dicari itu yang lebih utama dan penting. Yang lazatnya mengatasi makanan yang subjektif lazatnya.
4                     Perlukan tempat ilmu itu banyak kemudahan? Di tingkat bawah umpamanya. Banyak kemudahan disediakan. Atau bukankah bahawa kepayahan mencari ilmu itu diberi ganjaran yang lebih tinggi. Setiap payahnya. Setiap sukarnya. Setiap kesusahannya. Kesemuanya ada ganjaran di sisi Allah Yang Maha Memiliki Ilmu.
5                     Bukankah setiap langkah mencari ilmu itu jihad? Pengorbanan masa, tenaga, wang ringgit, perasaan, keselesaan, ketenangan dan keutamaan.

Jika orang lain boleh pergi jauh, mengapa tidak kita jejaki rakan-rakan kita yang lain. Mereka yang melangkah lebih awal tentu sahaja sudah jauh di hadapan. Kita yang tidak berbuat apa-apa akan terus kekal di tahap lama.  Berdiam diri sebenarnya sangat berbahaya.
1                     Kita menyangka kita selamat tetapi kita terdedah kepada perubahan. Kita menjadi tidak sesuai dengan keadaan baru. Tidak selesa dengan natijah perubahan. Tidak sesuai dengan keadaan semasa. Kata orang putih, doesn’t fit the present situation
2                     Dirinya menjadi ganjil, janggal, bosan dan yang paling tidak enak ialah dirinya menjadi jumud. Lapuk. Ketinggalan zaman. Obselete. Tidak lagi relevan dengan keadaan semasa.
3                     Ilmu yang kita miliki akhirnya tidak banyak manfaatnya kerana kita tidak mengembangkannya. Tidak menambah nilainya. Tidak menambahbaik keadaannya.
4                     Mungkin kita tersisih dari arus perdana kerana kita sudah tidak lagi relevan.


Sebenarnya bukan susuah untuk berada di landasan ilmu. Buang prasangka. Buang penilaian yang tidak bermanfaat. Buang kesibukan yang kurang bermanfaat dari segi pembangunan diri. Kita perlu sedar dan bangkit dari tidur panjang  yang tersangat lena.  Tidak sedar dari segi kurangnya mencari ilmu yang terlalu banyaknya di sekeliling kita. Ayuhlah. Semakin lama masa semakin pendek. Semakin singkat. Semakin dekat dengan penghujung usia kita.  Mudah-mudahan Allah memberi ganjaran kerana jihad kita berusaha mencari dan menambah ilmu. In sya Allah. Allahuakbar.

Thursday, May 19, 2016

Segala Puji Bagi Allah



Pagi hari ini Khamis 19 Mei 2016 penulis berada di sebuah bandar. Sedang melangkah ke sebuah pasaraya. Penulis disapa oleh seseorang yang tidak dikenali. Belum pernah bertemu. Apatah lagi bertegur sapa. Dia memberhentikan motorsikalnya. Memberi salam sambil menghulurkan tangan. Terungkap sesuatu yang tidak terduga.

Smartnya!
Terima kasih.
Encik dulu tentera ke?
Tidak.
Pangkat kaptan ke?
Tidak.
Pilot ke?
Tidak.
Smartlah!
Berapa umur? 35?
70.
Ya ke!

Setakat itu sahaja terluang masa. Lelaki separuh umur itu memandang penulis  agak lama. Pertemuan yang jarang dipinta. Apatah lagi bertegur sapa. Bukan rakan. Bukan taulan. Bukan sahabat. Bukan pula saudara mara yang jauh atau dekat. Namun sekelumit kemesraan yang Allah datangkan kepada penulis amat signifikan dalam menjalani kehidupan ini. Bahawa kita sebagai manusia sentiasa menjadi perhatian orang di sekeliling kita. Sebagai manusia biasa kita tidak begitu terasa pentingnya diri kita. Apabila kita menjadi seseorang yang Allah beri amanah sama ada dengan jawatan atau sebaginya maka perhatian orang lain terhadap kita lebih fokus. Kerana itu siapa diri kita yang sebenarnya perlu diambil berat. Perlu diberi perhatian. Fizikal menjadi juzuk yang pertama dilihat. Sihat atau sakit dapat dilihat pada pergerakan badan. Seorang suami atau isteri perlu perihatin dalam hal sepert ini. Ingatkan pasangan supaya sentiasa kemas, rapi, ranggi dan berpakaian yang selayaknya.

Usia bukan segala-galanya. Bila muda kita ranggi. Bila tua kita menua. Itu persepsi yang sukar diduga. Ini bukan zaman kita melupakan kesegaran hidup. Segar dalam erti kata bahawa hidup perlu dinikmati. Direalisasikan dan di manifestasikan keindahannya. Apatah lagi jika kita masih ada pasangan di samping kita. Masih ada insan tersayang yang indah belaiannya. Memacu kahidupan yang semakin menuju penamatnya. Mengira hari-hari yang semakin ke penghujungnya. Hanya beberapa tahun lagi. Atau mungkin beberapa bulan sahaja. Atau beberapa hari lagi. Atau……atau…..atau sudah terlalu dekat masa itu. Rugilah jika tidak memberi yang terbaik utuk pasangan masing-masing.  Bercinta hingga ke akhir hayat. Untuk bertemu semula di syurga. Ungkapan “aku terima nikahnya” bersemadi hingga ke syurga.

Sebenarnya siapa kita jika bukan kerana Allah. Segala puji bagi Allah. Kita kembalikan kepadaNya apa sahaja yang kesemuanya kita pinjam. Kesihatan milik Allah. Kekuatan dan tenaga milik Allah. Stamina kita milik Allah. Keberadaan kita milik Allah. Begitu mereka yang sudah berumahtangga, pasangan masing-masing menjadi pengawal diri. Apakah sesudah tua kita menipiskan kasih sayang? Menjauhkan keintiman. Luput kemesraan. Bayangkan bahawa sebuah perkahwinan adalah usia itu sendiri. Pelumba pecut semakin pantas menghampiri garis penamat. Bukan memperlahankanya. Barangkali persaraan adalah hujung menuju panamat. Malang jika pasangan hilang segala-galanya.

Siapa seseorang itu tanpa pasangannya. Kita tidak boleh hilang sabar masing-masing. Semakin usia meningkat pasangan kita jauh berubah berbanding masa mudanya. Terlalu banyak perubahan yang kita lihat di hadapan mata. Betapa ruginya tidak melihat keindahan pada perubahan-perubahan tersebut. Apakah kita sepi dari sifat seni yang sensitif terhadap pasangan masing-masing. Perlukan kita menjadi hilang sabar sedangkan pasangan kita itu adalah segala-galanya untuk kita. Untuk selama dengannya. Untuk selama bersamanya. Ketika ini bukan masa untuk membuat penilaian. Bukan masa untuk membuat pilihan. Itulah masa yang perlu mengujakan. Kita akan bersamanya untuk suatu jangka masa yang terlalu singkat. Perpisahan yang pastinya tetap menanti.    

Masa bersama yang banyak berlalu adalah gambaran berlalunya masa lampau. Masa yang bukan untuk merasa hilang cinta dan kasih-sayang. Ianya wajar menjadi masa yang semakin indah. Sesudah lama bersama banyak yang terlalu dirasa. Yang tiadanya dikenang. Yang datangnya dinanti. Yang perginya ditunggu. Tetapi itu semua jika masih bersama. Akan sampai waktunya yang hilang tiada lagi ditunggu. Yang pergi tidak dinanti. Bagaimana harus hilang kemesraan dan kebahagiaan. Tanya hati kita sendiri. Masih ada segala-galanya dalam sanubari. Andai dibelai rasa, masih hangat perasaan kita terhadap pasangan kita. Masih rindu yang kuat menggamit. Inilah waktunya kita membantu pasangan masing-masing. Anggaplah ianya kebahagian dan bukan beban. Nyahkan rasa bosan. Buangkan rasa menyiksakan. Suburkan rasa rindu yang bertahta di hati.

Walhal apa yang perlu dilakukan  adalah pecutan-pecutan terakhir sebelum berpisah tanpa bicara. Sebelum hialang tanpa sua. Sebelum segala-galanya hanya tinggal nama. Itupun jika mencipta nama di dunia ini. Jika tidak maka hilang ghaiblah nama kita di mata dunia. Begitu juga di mata manusia yang biasa. Kita bukan siapa-siapa. Seorang yang biasa-biasa sahaja. Kadang-kadang pasangan lanjut usia sukar bersua muka sesama mereka. Ada helahnya. Ada dalihnya.  Lanjut usia adalah persepsi. Ianya mungkin masa yang banyak positifmya. Atau mungkin menjadi negatif hingga melumpuhkan semangat berkasih sayang yang dibina sejak dari muda belia lagi.

Benarlah warga emas sangat lumrah lusuhnya. Berkedut dan masai sahaja. Tetapi usia bukan alasan. Pada fizikal yang lusuh itu jika dibalut dengan rapi masih elok dipandang. Manis ditentang mata. Bagaimana kita perlu terus teurus diri.
1              Biasakan rasa bahagia yang berpanjangan.
2              Berpakaian untuk dilihat berpakaian. Bukan sekadar menutup aurat. Pakaian juga sesuatu   yang menyenangkan orang lain memandang kita.
3              Memilih warna yang melambangkan diri kita. Sihat, periang, peramah, bertenaga, cergas,     lincah.
 4             Sentiasa kemas dan peka dengan pakaian.
5              Terima padnangan orang lain dengan berlapang dada.
6              Kadang-kadang kita perlu dilihat berbeza tetapi masih sesuai dengan majlis dan tetamu        yang hadir.


Lihatlah pasangan masing-masing. Jadikan dia yang terbaik untuk diri kita. Jangan biarkan diri kita terperangkap dengan usia sehingga kita lupa bahawa hidup kita mungkin masih lama lagi. Nikmati segalanya sebelum segala-galanya meninggalkan kita. Anggaplah tiada masa luang untuk kita bersantai-santai sahaja.  Banyak yang perlu dilakukan. Banyak yang perlukan sentuhan tangan dan hati kita. Jangan sia-sia peluang dan luang itu. Ianya lebih manis dari madu. Lebih wangi dari bunga ros. Lebih indah dari pemandangan yang saujana mata memandang.  

Thursday, May 12, 2016

Merunduknya Padi Kerana Isi


Pernah pergi ke sawah padi ketika pokok-pokoknya masih muda? Daunnya meliuk-liuk seperti lalang. Hijau melaut. Saujana mata memandang. Tanahnya landai. Hanya di kejauhan terlihat bukit dan bukau. Indah dan menyegarkan. Padi bukannya lalang. Semakin menua semakin penuh berisi. Bagi kita padi sangat besar manfaatnya. Sumber makanan ruji. Sumber kehidupan. Dengannya manusia berfalsafah. Turun temurun manusia hidup dan menghidupkan. Dari  Asia ke Afrika dan ke Amerika. Padi hidup dan terus menghidupkan. Namun resmi padi tiada pada lalang. Lalang tidak pernah berisi.  Hanya tegak ketika tiada angin. Mengikut tiupan angin ke situlah liuknya. Tunduknya kerana kuatnya angin. Kemudian tegak kembali. Menanti angin dari arah lain. Sampai bilapun tiada isinya.

Sampai ketikanya padi pasti berisi. Dari hijau hingga akhirnya menguning. Bak emas di atas hamparan. Menguning emas. Lalu setiap tangkainya memberat kerana bertambahnya isi. Tangkai-tangkai itu merundukkan pepohonnya. Merunduk berisi. Menanti untuk dituai. Menjadi makanan enak dan kekal menghidupkan. Runduklah padi dengan isinya. Runduklah ia umpama malu dengan berat isinya. Menyimpan nilai diri yang berharga. Menjaga kemuliaan dirinya. Harga diri yang yang tentunya tiada tukar ganti. Kerana itu kita lebih sukakan padi dari lalang. Semakin berisi semakin merunduknya. Memegang berat isi yang pastinya berguna. Berguna untuk manusia. Berguna untuk beburung. Berguna untuk tanah dan kesuburannya.

Begitulah ibarat insan yang banyak ilmunya. Penuh dadanya. Luas mindanya. Usianya yang semakin meningkat diisi dengan kebaikan ilmu. Maka tunduknya semakin tunduk. Tawaduknya semakin terserlah. Rupanya seperti padi yang merunduk. Semakin tinggi dan luas ilmunya semakin rendah runduknya. Lebih banyak memandang ke bawah dari menandang selari atau memandang ke atas. Kerana ia sedar semakin tinggi dan banyak ilmunya semakin berat tanggaungjawabnya. Semakin banyak yang perlu dilakukan untuk menyampaikan dan berkongsi apa yang dimilikinya. Kesemua yang dimiliki bukan untuk dirinya tetapi untuk semua orang yang berada di sekelilingnya. Tiada untuk kebangaan diri. Tiada untuk kepentingan diri.

Orang yang berisi dirinya selalu melihat ke dalam. Bahawa yang dilihat berisi itu sebenarnya kosong. Dirinya yang dilihat penuh masih terasa terlalu banyak kosongnya. Ilmu yang dimiliki tiada apa jika dibandingkan dengan orang lain. Ia terlalu fakir berbanding dengan orang lain. Terlalu seni di hadapan Allah. Terlalu kerdil. Mereka yang bijak pandai selalu merasa serba kekurangan. Merasa tiada cukcup ilmu untuk menyampaikannya kepada orang lain. Terlalu hina dina. Kerana itu dia banyak menundukkan kepala. Menundukkan pandangan. Kerana padanya sangat malu kepada yang lebih mengetahui. Mereka yang lebih pandai. Ramai lagi mereka yang lebih bijaksana berbanding dirinya.

Berilmu bukan untuk dipraga. Bukan untuk jadi dambaan. Bukan juga untuk mencari kemewahan dengannya. Sebenarnya ilmu itu menjadi neraca untuk menimbang diri sendiri. Melihat cacat cela diri sendiri. Melihat kekurangan syang sangat banyak. Semakin banyak ilmu maka semakin kita melihat  banyaknya kecacatan diri. Banyaknya salah silap. Ketika kita melihat diri sendiri kita tidak mampu lagi melihat kekurangan diri orang lain. Kita tidak mampu mencari-cari cacat cela orang lain. Bukan juga merasa banyak kelebihan. Itulah resmi padi yang terus merunduk kerana isinya semakin berat. Insan berilmu begitu juga resminya. Semakin banyak menunduk. Memandang kelemahan diri. sedikit kesilapan yang hanya akan menghinakan diri, maruah dan harga dirinya sendiri.
  
Lazimnya mereka yang tinggi ilmunya selalu kembali kepada dirinya. Kekurangan yang ada pada dirinya dimanifestasikan dengan cara berakhlak mulia. Berlemah lembut. Beralas apabila memberi nasihat. Berhemah apabila membuat teguran. Ia tidak melihat bahawa orang lain banyak salahnya. Ia melihat dirinyalah yang banyak salahnya. Dirinyalah yang banyak kekurangan dalam serba serbi. Kurang ilmu. Lemah pula ilmunya. Tidak berani memperakui kelebihannya. Maka ia melihat dirinyalah yang lemah. Dirinyalah yang banyak berbuat kesilapan dan kesalahan. Dirinyalah yang perlu banyak belajar. Perlu menambah pengalaman. Perlu mendapat bimbingan dari orang lain. Bak padi ia terus-menerus merunduk. Yang menuainya sahaja yang mengerti bahawa runduknya padi penuh dengan isi.

Kelebihan diri bukan dilihat oleh yang empunya diri. Orang di sekeliling yang melihatnya. Cuma mata kita selalu terpana dengan yang gah. Yang mempamer keghairahan. Yang kelihatan memancarkan kilauan-kilauan untuk dilihat. Pada hakikatnya intan tidak selalu berkilau tanpa diasah. Tanpa dicanai. Tanpa dimanfaatkan. Intan itu banyak di sekeliling kita. Hanya kita yang selalu melihat ianya kusam dan tidak berharga. Dalam salutan debu dan kekusaman itulah terpendamnya kilauan intan. Pancaran cahaya yang mangasyikkan. Yang menjadi idaman orang lain.

Andai padi menjadi idaman. Kuningnya memberi harapan kepada umat sejagat. Padi sebagai padi hanya untuk beburung dan serangga lainnya. Tetapi padi yang membenih menjadi warisan berzaman. Beras yang terhasil megenyangkan. Generasi demi generasi hidup yang lestari mengikut zaman. Begitulah mereka yang berilmu merealisasikan suatu pancaran harapan yang tinggi. Menerangi yang gelap dan suram. Menunjuk jalan yang samar. Menghasilkan sinergi yang luar dari biasa. Ia berusaha memanfaatkan apa yang ada. Menyampaikan walau sedikit. Walau sedikit, kata Rasulallah. Maka dalam menyampaikan yang sedikit itu, hanya kebaikan yang dituntut. Hanya ingin memberikan yang terbaik untuk orang lain. Bahawa mereka yang terbaik ialah mereka yang memberi manfaat kepada orang lain tanpa berkilas pada kebaikan diri. Bukan untuk kepentingan diri. 

Dalam keadaan sekarang ini banyak cabaran hidup. Ilmu semakin mahal untuk dicari. Semakin payah dapatnya. Untuk itu banyak pula kita digalakkan untuk menginfaqkan ilmu. Buat amal jariah. Sesuatu yang bakal ditinggalkan apabila kita tiada nanti. Menjadi warisan kepada generasi akan datang. Sebagai yang hidup itulah sahaja yang kebanyakan dari kita mampu menyumbangnya. Mampu untuk menyampaikan kepda orang lain walau sedikit. Semampunya dan seadanya. Walau bagaimanapun untuk menambah sumbangan maka perlulah kita banyak berkorban untuk menambah ilmu. Belajar menghadapi cabaran dan kekangan. Mengunjurkan diri dengan jadual pencarian yang terlalu banyak dan semakin banyak apabila dicari.


Berjinak-jinak dengan ilmu tiada menjadikan kita cacat dan cela. Sesungguhnya Allah telah membezakan antara merek ayang berilmu dengan mereka yang tidak berilmu. Tanpa ilmu kita menjdai orang yang biasa-biasa sahaja. Dengan ilmu, Allah meningkatkan darjat kita. Apabila kita menambahkan ilmu maka darjat kita diangkat Allah semakin tinggi dan semakin tinggi. Namun demikian tanggungjawab kita juga bertambah. Semakin berat untuk berkongsi ilmu tersebut. Objektifnya ialah untuk memanfaatkan peluang. Pada masa yang sama untuk menyumbang manfaat kepada orang lain. Pada hakikatnya menyedari kekurangan diri adalah suatu keberuntungan kerana dengannya kita akan terus mencari dan mencari untuk menambahkan kepada nilai diri yang selalu rendah. Merasa fakir berbanding dengan orang lain.

Sunday, May 8, 2016

Mahal dan Murahnya Ilmu



Dalam satu wacana ilmu, seorang peserta mengatakan bahawa bayarannya mahal. Berapa yang dikatakan mahal itu? Sekadar RM30 untuk berkursus sepanjang sehari. Dari pukul 8.00 pagi hingga pukul 5.00 petang. Dalam wacana yang lain bayarannya RM130. Dianggap pula biasa dan menasabah. Malah ada yang mengatakannya murah. Di mana sebenarnya nilai ilmu? Di mana pula nilai mereka yang berilmu dan berkongsi ilmu?

Mereka yang mengatakan murah sebab mereka memahami bahawa ilmu itu sememangnya mahal.
1                    Perlukan masa yang panjang.
2                    Banyak susah dan payahnya.
3                    Banyak pahit dan maungnya.
4                    Banyak pedih dan raungan hati.
5                    Banyak memendam rasa.
6                    Perlukan istiqamah.
7                    Perlukan motivasi diri yang tinggi.
8                    Memaklumi bahawa hanya usaha yang gigih sahaja memungkin setiap diri dapat menguasai ilmi.

Kita tidak lupa bahawa tidak ada jalan pintas untuk menguasai sesuatu ilmu. Ia tidak datang bergolek. Tidak pipih melayang. Kebanyakan ilmu jauh letaknya. Perlu berpergian berjam-jam lamanya. Atau berhari-hari. Atau berminggu-minggu. Malah berbulan dan bertahun-tahun. Bukan lagi berkenderaan darat tetapi terbang melintasi gunung dan lautan. Dari sebuah negara ke negara yang lain. Perlu pula merentas budaya dan kebiasaan setempat untuk memahami sesuatu jalur ilmu. Sebelum dapat memahami sistemnya. Kerana itu ilmu adalah mahal sifatnya. Tinggi nilainya. Hanya mereka yang mengerti sahaja dapat memberi nilai itu. Bahawa di sebalik ilmu itu banyak mengalir air mata, banyak mengalir keringat, lenguh lutut dan kaki memanjat tangga dan berjalan jauh. Belum ongkos kewangan untuk tambang, makan, sewa rumah dan lain-lain tinggal di negara luar. Kesemua itu menambah nilai ilmu. Menambah mahal kosnya.

Maka harga itu perlu setimpal dengan kehendak hati. Selari dengan sikap posotif. Sesuai dengan stamina yang kita bina. Apabila kita berkongsi pengalaman maka ilmu itulah yang membezakan kita dengan orang lain. Tidak dapat dihindarkan perspekt if diri kita bersandarkan kepada pengalaman kerja. Pengalaman mengembara. Pengalaman menyelesaikan berbagai masalah. Dalam banyak hal yang sukar dilihat mudah. Yang rumit mudah usainya. Yang kusut mudah lerainya. Yang berserabut mudah susunnya.

Banyak perkara tidak dapat dilihat secara fizikal. Tidak dapat dipegang. Mata kita tidak dapat melihatnya wujud secara bungkah keras. Yang dilihat ialah kepelbagaian idea, penyelesaian masalah yang lebih mudah dan keputusan yang lebih relevan.  Mereka yang berpengalaman dilihat:
1                    Lebih santai hidupnya.
2                    Bijak mengawal emosi.
3                    Memberikan yang terbaik kepada orang lain.
4                    Memotivasi orang di sekelilingnya.
5                    Bersifat dinamik dan tidak jumud.
6                    Tetap terbuka untuk menerima input baru walaupun yang menyampaikannya berusia lebih muda dan kurang berpengalaman.
7                    Kekal meneroka bidang-bidang baru.

Mahalnya ilmu adalah relatif. Ilmu lama diperbaharui. Ilmu baru dicari. Yang lama dikongsi. Yang baru menyelimuti yang lama sehingga kelihatan tetap segar dan relevan. Dalam alam yang serba berubah, insan seperti kita dituntut supaya sentiasa berubah. Bukan reaktif tetapi proaktif. Setiap petunjuk dijangkakan natijahnya. Mungkin musibah dan mungkin juga keuntungan melimpah.  Tetapi yang pastinya semua ilmu memberi impak positif andainya digunakan sewajarnya. Tiada maksiat berkait. Tiada salahguna di mana-mana.

Adakah ilmu untuk mereka yang berusia muda sahaja? Atau perlu untuk yang sudah dewasa. Masih relevankah untuk mereka yang lanjut usia? Ilmu dalam bentuknya yang tersendiri adalah suatu entiti yang diperlukan setiap masa. Dalam lingkungan kehidupan kita, ada mereka yang memiliki ilmu yang diperlukan. Namun banyak lagi ilmu yang tidak dimiliki. Kerana itu banyak ketikanya kita tidak tahu apa yang perlu dilakukan apabila sesuatu terjadi. Khususnya musibah. Malah dalam keadadan santai banyak perkara yang perlu diketahui supaya hidup kita benar-benar bahagia. Sejahtera.


Maka dalam hidup ini kita tidak boleh diam-diam tetapi tidak berisi seperti ubi. Khuatir pula diamnya seperti besi. Berkarat dan akhirnya hancur begitu sahaja tanpa memberi apa-apa manfaat. Hanya besi yang disepuh sahaja banyak manfaatnya. Bukan sahaja berkilat tetapi tajam diasah dan bermanfaat setiap masa. Ada sahaja ketikanya berguna untuk tugasnya sebagai besi. Mungkin menjadi peralatan yang berbagai kegunaan. Begitulah minda yang diasah, tajam merentas banyak situasi. Mudah berfikir. Jalan fikirnya pula tajam. Alert and sharp. Luas dan merentas berbagai bidang.  Yang pastinya ilmu membariskan diri seseorang pada tahapnya yang sepadan dengan tahap ilmu itu sendiri.