Sunday, November 1, 2015

Wangi Durian Semanis Tebu Di Mana Nilainya



Wanginya durian hanya untuk hidung kita yang biasa dengannya. Walaupun gugurnya bukan di perdu dicari baunya di celah daun dan rerumput. Apabila dibelah terserlah isinya. Semerbak dihidu. Namun begitu mengapa lalat yang menghurungnya? Suatu soalan yang naïve barangkali. Atau mungkin tiada siapa yang memikirkannya. Durian tetap durian. Wangi dan enak seperti persepsi yang kita rasa. Malah ada yang mengatakannya lazat. Di mana pula nilainya tebu? Wanginya tentu tiada. Warnanya hanya hijau kusam. Atau kuning-kekuningan. Tiada gugur dan tiada jatuh. Pohon palma yang dipenuhi air. Manis menggamit rasa haus. Daunnya melambai tetapi berbulu halus yang boleh menghiris kulit di tubuh. Disiat kulitnya. Dimesin isinya. Meluncur airnya. Diminum semanis-manisnya. Menyegarkan kehausan yang mencengkam. Namun begitu, mengapa lalat dan langau yang menhghurung durian? Apakah wangi durian hakiki sifatnya? Atau hanya ilusi. Kerana hanya yang busuk sahaja menarik minat lalat dan langau. Tentu lain berbanding tebu. Tiada wangi untuk menarik makhluk lain. Tetapi lebah yang suci menghurungnya. Lebah yang hanya berminat dengan madu. Apakah nilai durian yang wangi sebenarnya tidak begitu sehingga untuk lalat dan langau layaknya? Ataukah manis tebu lebih dari wangi yang hanya ilusi?

Suatu analogi untuk renungan manusia. Dicelah gah nama tiada nilainya yang hakiki. Hanya nama. Nama itu dikelilingi oleh mereka yang mewangikan sesuatu yang bukan hakiki. Wangi yang berlatar ilusi sahaja. Manusia mati meninggalkan nama. Orang yang bagaimana diingat namanya. Dikenang baiknya. Hakikat yang selalu mengusap perasaan. Dalam ingatan yang bertapak lama. Ramai mereka yang namanya wangi di sekeliling kita. Realiti wanginya tidak semerbak wajar. Terhalang kerana olah diri yang entah kenapa. Kedudukan selalunya mendongakkan muka orang yang memandang. Pangkat dikira tinggi jika disandang di bahu. Itupun jika bijak menilai diri.  Jika tidak arif menjaga harga pada diri sendiri maka kedudukan yang tinggi bukan dihargai orang lain. Bersamanya turun sedikit demi sedikit. Kita selalunya takut kapada suatu pengakhiran  yang membimbangkan.

Menjaga nama bukan semudah membasuh pakaian. Dalam diri manusiawi terlalu banyak yang perlu dijaga. Bentuk fizikal hanya sesuatu yang lumrah. Besar, tinggi, kacak dan sebagainya hanya luaran yang kadang-kadang tiada nilainya yang abadi. Fizikal banyak berubah mengikut arus usia. Yang pastinya tiada antara kita yang kekal kacaknya. Tidak kekal comelnya. Apabila tua mungkin kurus dengan kulit berkedut. Mungkin berbau hapak kerana tua bukan indah selayak sewaktu muda dan cantik. Ketika tua itulah segala-galanya realiti yang hakiki. Fizikal menjadi luntur selunturnya. Senyum hanya menampakkan mungkin gigi yang tinggal hanya beberapa batang. Makan tidak lagi terkunyah yang keras. Berjalan berpapah dan berpimpin. Duduk tidak betah lama. Tidur malah entah bila lenanya. Teringat-ingat masa muda yang sudah lama berlalu. Keuzuran akan menjelang. Ajal dan maut hanya diambang masa. Bersemadi akhirnya di alam barzah. Menunggu saat untuk abadi di alam baqa’. Apabila kita tiada hanya nama yang tinggal. Untuk diingat. Untuk disebut. Kepada anak-anak dan keluarga diharap-harap panjang doanya. Doa anak-anak soleh dan solehah. Bagaimana dengan orang lain yang dahulunya di sekeliling kita?

Apa yang orang ingat tentunya dua sisi yang bertentangan. Pertamanya kebaikan dan keduanya keburukan. Na’uzubillah. Semoga dijauhkan kita dari keburukan yang mencemar nama sewaktu kita sudah tiada. Kita tinggalkan yang baik-baik belaka. Yang benar. Yang hakiki kebaikannya. Ketika kita tiada itulah orang akan mengetahui siapa kita sebenarnya. Terserlah segala-galanya yang hak. Andainya yang diingat ialah kebaikan, maka indahlah kita di alam sana. Diingat kebaikan yang berpanjangan. Mudah-mudahan ramai yang mendoakan kebaikan di alam barzah. Saham kebaikan kita berpanjangan untuk jangka waktu yang sangat lama. Selagi mereka yang di sekeliling kita masih hidup. Selagi amal jariah kita masih bermanfaat. Sebab itu kebaikan tiada hadnya. Tiada sempadannya. Tiada halangannya jika kita bijak menggunakan ruang, masa dan peluang. Menjadi sesuatu yang tidak disukai oleh orang lain jika kita berbuat sesuatu kerana hendakkan nama. Kerana hendak dipuji. Kerana hendakkan sanjungan. Kemuncak kebaikan seindahnya diredhai Allah. Didoakan oleh malaikat. Disukai manusia lain. Malah haiwan juga hormat kepada kita. Nama baik bukan diminta. Bukan dicari. Ia datang sendiri kerana kebaikan yang diikhlaskan kepada Allah.

Malangnya kita apabila hidupnya tidak digemari orang lain. Kita rasa berbuat baik tetapi tidak di mata orang lain. Kita rasa kita melakukan yang terbilang tetapi rupanya hanya mendapat benci orang lain di sekeliling kita. Kita mungkin memiliki sedikit kuasa tetapi tindakan kita menyalahkan kuasa itu. Terlalu banyak yang kita lakukan hanya untuk kepentingan diri sahaja. Maslahah umum kita abaikan. Kuasa untuk kebajikan orang lain kita jadikan hak kita sendiri. Hanya untuk sahabat handai kita. Mungkin untuk saudara mara kita sahaja. Maknanya semasa kita hidup kita sudah menghimpun kebencian. Kita telah cemarkan nama kita semasa kita masih hidup lagi. Terlalai pula dari bertaubat. Terlalai dari berusaha untuk memperbaiki diri. Malang yang bertimpa-timpa. Kita menzalimi diri kita sendiri. Menimpakan diri dengan keburukan-keburukan yang bertambah besar skalanya.

Semakin tua sewajarnya semakin berakhlak mulia. Memperlihatkan kebestarian yang dinikmati oleh orang lain. Memberikan idea-idea yang besar. Yang kata orang berfikir pada aras tinggi. Maju ke hadapan dan bukan nostalgik dengan masa lalu yang sudah berlalu. Tidak berundur ke belakang dari segi berfikir. Tidka kembali ke zaman yang sudah dilupakan orang. Kita boleh mengulang sejarah tetapi lebih elok membina sejarah baru yang lebih besar manfaatnya. Lebih besar impaknya. Lebih signifikan luas kuasanya. Begitu semakin besar dan tinggi pangkat kita, cara kita berfikir seharusnya lebih rasional. Lebih profesional sesuai dengan kedudukan dan pengalaman yang kita himpun selama ini. Orang di sekeliling kita sentiasa memerhatikan kita. Siapa kita. Apa yang kita lakukan. Mereka menilai kita. Walaupun kita tidak perlu akur dengan setiap pendapat mereka tetapi sekurang-kurangnya kita banyak muasabah diri untuk memperbaiki kelemahan diri kita. Kita mungkin hebat dalam sesuatu bidang tetapi banyak bidang lain yang kita tidak tahu. Tidak mahir. Tidak arif. Kadang-kadang kita buta dalam banyak hal.


Biarlah kita jadi tebu. Walaupun sepahnya dibuang, tetap manis airnya. Tetap dihurung lebah yang sukakan kebaikan. Makanlah durian tetapi terimalah hakikat bahawa bau durian hanya layak untuk lalat dan langau. Yang sinonim dengan penyakit dan kemudaratan kesihatan. Bukankah lebih baik menjadi lebah yang memberi kebaikan. Sinonim pula dengan madu yang manis yang menyembuhkan. Biarlah tidak wangi asalkan memberi kebaikan. Himpunkanlah kebaikan supaya ditinggalkan dan memberi kebaikan di dunia dan di akhirat. In sya Allah mendapat redha Allah jua.

1 comment:

  1. Seinda pepatah kata semanis madu tetesan. Demekian insan berjaga kata bergaya insan pemurah lagi penyang. Berbudi dan berjasa bakti tak mengira bulu. Itulah namanya biar sepah d buang madunya d kenang dan d simpan.

    ReplyDelete