Sunday, September 6, 2015

Memimpin Untuk Memberi Kebaikan




Pemimpin diberi kuasa (power) untuk menjadi orang yang terkehadapan. Menjadi ketua kepada kumpulannya. Berhak melaksanakan apa-apa arahan sebagai tugasnya. Lebih banyak memberi dari meminta. Di samping itu ia diberi tanggungjawab (responsibility) untuk melakasanakan apa-apa yang terbaik untuk mereka yang dipimpinnya. Pada akhirnya pemimpin diperlukan untuk menjawab (accountable). Pertama, ia perlu menjawab kepada ketuanya. Kedua, perlu menjawab kepada mereka yang dipimpinnya. Ketiga, menjawab kepada Allah di akhirat kelak. Maknanya pemimpin bukan mendapat cek kosong. Mereka tidak boleh berbuat apa sahaja yang menyenangkan dirinya sendiri. Seolah-olah tidak perlu memikirkan kemaslahatan mereka yang dipimpinnya. Maslahah orang-orang di bawahnya. Seolah-olah ia tidak akan dikembalikan kepada Allah. Anggapan itu selalu salah. Pemimpin seharusnya berasa perlu untuk memberikan yang terbaik kepada ahlinya. Berkorban apa sahaja secara professional. Hal-hal yang dimaklumi hendaklah dilaksanakan dengan adil dan saksama. Keadilan inilah yang nanti selalu dipersoal oleh manusia lain. Akan dipersoal di akhirat kelak. Hal-hal yang tidak dimaklumi hendaklah banyak mengambil inisiatif untuk mendapat pencerahannya. Dapatkan perinciannya. Cari kesahihannya. Pastikan benar atau salah. Hak atau batil.

Terdapat perbezaan besar antara penjawat awam atau swasta berbanding dengan orang biasa. Mereka yang tidak pernah menjawat jawatan rasmi tentu tidak maklum mengenai peraturan-peraturan yang mengawal seseorang penjawat awam. Tidak kira sama ada jawatannya tetap dan kekal atau kontrak atau sementara atau sambilan. Penjawat awam dikawal oleh Printah-Perintah Am Kerajaan iaitu suatu peraturan lengkap mengenai segala yang berkaitan dengan penjawat awam dari segi perlantikan, perlaksanaan tugas, disiplin, kenaikan pangkat dan sebagainya. Mereka yang bukan penjawat awam tentu tidak ramai yang maklum mengenai perkara ini. Ada sesuatu yang perlu dijauhi oleh penjawat awam iaitu berkaitan dengan larangan yang terkandung dalam Akta Rahsia Rasmi Kerajaan. Apa-apa sahaja maklumat dalam sesebuah pejabat adalah maklumat rahsia kepada kerajaan kerana ianya boleh disalahguna oleh pihak-pihak yang hendak mengkhianati perkhidmatan kerajaan. Apa sahaja maklumat yang diperlukan di mana-mana pejabat kerajaan perlu diperolehi melalui pegawai yang berautoriti. Tidak ada sesiapa yang boleh membuka mana-mana fail di pejabat dengan alasan untuk mendapatkan maklumat atau untuk mengemaskini maklumat atau untuk apa-apa yang lain tanpa urusan rasmi pejabat. Malah tidak juga untuk tolong menyusunnya kerana itu adalah tugas mereka yang berada di pejabat itu sebagai penjawat awam. Menyentuhnya sahaja sudah dikira melakukan kesalahan. Di sekolah umpamanya hanya pengetua, penolong pengetua dan kerani yang berkaitan sahaja berhak untuk membuka fail mana-mana staf di sekolah. Guru lain tidak boleh membuka fail guru lain. Suatu larangan keras. Semua maklumat mengenai individu lain adalah rahsia. Kerahsiaan itu perlu dipelihara dan dipertahankan. Amanah yang berat.

Apa-apa isi dalam sesuatu fail peribadi adalah rahsia individu. Rahsia itu hanya ketua-ketua yang berkenaan sahaja yang boleh melihatnya. Apabila seorang guru hendak dinaikkan pangkat maka failnya akan dibuka dan disemak. Guru lain tidak perlu tahu. Tidak wajar untuk mengambil tahu. Apabila ada aduan ke atas seseorang guru, maka failnya akan dibuka. Surat aduan ke atasnya akan dimasukkan ke dalam fail guru itu. Hasil siasatan akan juga difailkan. Begitu juga tindakan yang diambil ke atasnya. Maknanya fail itu sangat rahsia. Markah prestasi tahunannya hanya perlu diketahui oleh pengetua dan penolongnya. Guru lain tidak berhak mengetahuinya. Begitulah besarnya kerahsiaan sesebuah fail. Kerana itu fail seseorang tidak boleh sewenang-wenangnya dibuka dan diperiksa oleh mereka yang bukan penjawat awam. Hatta dengan niat untuk membantu sekalipun ianya tidak boleh. Tanpa jawatan rasmi sesiapapun tiada hak untuk berbuat demikian. Jika ada keizinan pegawai yang berkenaan sekalipun perbuatan itu tetap salah. Andainya berlaku perkara berbangkit maka pegawai yang memberi izin itu boleh dikenakan disiplin dan dikenakan tindakan kerana melanggar Akta Rahsia Rasmi Kerajaan. Pegawai itu boleh digantung kerja. Boleh diturunkan pangkat.  Boleh ditamatkan kontrak. Boleh dibuang kerja. Kesalahannya kerana membocorkan maklumat seseorang individu sedangkan individu yang failnya dibuka tidak suka hal itu berlaku ke atasnya.

Sebagai orang awam kita perlu juga mengetahui batas-batas kita untuk menolong pegawai yang kita kenal. Kerja di pejabat adalah tanggungjawab seseorang pegawai yang dilantik untuk menjalankan tugas tersebut. Tugas itu perlu dilaksanakan di pejabat dan dilaksanakan oleh pegawai itu sahaja. Sangat malang apabila tugas itu dibuat di luar pejabat. Fail seseorang individu terdedah kepada ramai orang awam. Maklumatnya mungkin pula digunakan untuk menganiaya individu lain yang tidak disukai. Apatah lagi jika ada orang awam yang menjadi sumber untuk mendapatkan maklumat mengenai seseorang individu sedangkan maklumat itu rahsia. Hanya penjawat awam sahaja yang berhak ke atas maklumat tersebut. Ia mungkin tidak dianggap rahsia tetapi tidak ada individu yang suka fail peribadinya dibuka dan dibaca oleh orang lain yang sama taraf dengannya. Hanya ketua yang diberi kuasa sahaja berhak melakukannya.

Ada masanya orang di bawah ketua suka memberi arahan bagi pihak ketua. Ini juga tidak sewajarnya berlaku. Hanya ketua sahaja yang berhak memberi arahan. Dalam sebuah rumah, adik tidak suka abang atau kakak memberi arahan. Arahan yang wajar adalah dari ayah dan ibu sahaja. Tetapi sekiranya pembantu ketua mengedarkan surat arahan atau memo atau pekeliling kepada rakan sejawatnya maka itu dikira hanya mengedar. Bukan memberi arahan. Paling tidak disukai oleh orang lain ialah arahan lisan yang diberikan oleh seseorang kerana katanya mewakili ketua atau orang yang lain. Suara ketua masih lebih lunak didengar walaupun kadang-kadang kita tidak suka mendengar suaranya. Suara mereka yang setaraf dengan kita mungkin boleh menyakitkan telinga dan menggusarkan hati kita sesama sendiri. Kita rimas mendengar suaranya.

Dalam pengalaman kita, kita diajar supaya tidak banyak bercakap. Bercakap pula berulang-ulang mengenai isi yang sama. Kita dilarang oleh agama supaya tidak banyak bercakap. Pastinya apabila kita bercakap, banyak yang tersasar. Hari ini kita bercakap penuh fakta. Minggu hadapan kita bercakap mengenai perkara yang sama dengan cerita yang bertambah. Bukan faktanya yang bertambah. Minggu yang lain percakapan kita sudah lari dari tajuk. Kita lupa konteks siapa kita. Siapa audien kita. Ramai yang mendengar sudah lama menutup telinga. Lama-kelamaan orang yang suka banyak bercakap menjadi tidak relevan. Banyak sudu dari kuah. Orang semakin tidak peduli. Bercakap bukan haknya. Menyampaikan maklumat bukan tugasnya. Timbul pula rasa riak. Menghina orang lain. Menimbulkan lebih banyak masalah.

Begitulah episod pemimpin-pemimpin kecil yang sibuk mencari nama. Minta menjadi wira yang dinobat. Sesungguhnya pemimpin bukan sepatutnya begitu dan tidak sepatutnya begitu. Kita perlu belajar untuk memimpin bagi membantu orang lain. Bukan untuk menyusahkan. Bukan menjadikan kita dibenci oleh orang lain. Mungkin malang bagi orang Melayu kerana kita lebih banyak mendiamkan diri apabila hati kita tersentuh. Kita malas untuk membetulkan keadaan sehingga keadaan semakin lama semakin parah. Menanti retak menjadi belah. Menjadikan ramai yang malu dengan diri sendiri. Akhirnya menjauhkan diri dari masalah. Maka yang mencipta masalah semakin menjadi-jadi masalah yang diciptanyanya. Semakin dibiarkan maka semakin keadaan tidak terkawal lagi. Ramai yang emosinya berbaur tetapi sekadar mendiamkan diri. Menunduk. Herot mulut ke kanan dan ke kiri. Hati sahaja berbuku. Membengkak semakin lama semakin besar. Siapa yang perlu bertindak tiada siapa yang tahu.


Kembalilah kepada haknya. Memimpin untuk kebaikan. Untuk keadilan. Untuk kesaksamaan. Untuk memberikan yang terbaik kepada orang lain tanpa mengurangkan hak orang yang lain. Pemimpin perlu banyak memberi bukan meminta. Contohilah Khadijah yang mengorbankan segala harta miliknya untuk Islam. Contohilah Abu Bakar yang menghabiskan semua hartanya untuk Islam. Dia hanya perlukan Allah dan RasulNya. Apabila pemimpin banyak meminta, banyak menghimpun kesenangan dunia maka miskinlah ia dengan hal yang lain-lain. Hormat orang ke atasnya semakin hilang. Kasih orang semakin tipis. Rindu orang semakin tiada. Berdoalah sesama kita supaya diri kita yang Allah beri kesempatan untuk menjadi pemimpin kecil ini memberi manfaat kepada orang lain demi Allah yang menghidup dan mematikan kita semua. In sya Allah.

No comments:

Post a Comment