Sunday, November 1, 2015

Cinta Ke Akhir Hayat



Benarkah cinta itu abadi sifatnya? Manis hingga ke akhir hayat. Rindu sepanjang nafas dihela. Imbauan kenangan manis semasa masa sama-sama muda. Sewaktu sama-sama rindunya memuncak. Sama-sama tidak mahu berjauhan. Maunya didakap kejap. Dipandang tidak puas. Kelibat masing-masing dinanti hinggap di hati. Lalu berlalulah waktu tanpa hentinya. Pergilah usia meninggalkan yang dahulunya gebu menjadi kedut dan lemah lutut. Hilanglah semangat juang untuk keluarga. Luntur bak dihakis air, angin dan sejuk cuaca. Pandanglah ke arah manapun. Yang tinggal hanya sosok tubuh yang hadir. Hanya pada mata terpancar masa lalu. Siangnya dipandang. Malamnya diigau. Kasih sama-sama lanjut usia yang tiada tahu bila sudahnya. Bakal meninggalkan suatu kerinduan yang tiada hujungnya. Masa dan usia merubah banyak hal yang dahulunya tidak pernah dirancang jadinya. Jarang antara kita merancang jangkauan masa hadapan yang tidak tentu kepastiannya. Kita terpedaya dengan kerdipan cahaya yang bakal pudar nantinya. Segala-galanya menjadi pudar jika tidka digilap. Jika tidak diusap mesra dan manja. Jika tidak dibuka dan dilihat hijab lama yang sangat indahnya.

Cinta dan sayang seindahnya tahan diuji masa. Diuji badai rumahtangga. Tahan dengan karenah sakit dan pening diri. Tahan dengan perubahan fizikal dan emosi yang sukar ditelah. Namun kasih dan sayang panjang zamannya. Lama masanya. Panjang ingatannya. Mendalam rindunya. Dalam menginjak usia tua. Bukan lama atau banyak usia. Tetapi memang lama dan tua. Mungkin melampaui satu kurun. 100 tahun yang sangat lama bagi orang seperti kita. Apalah yang tersisa dalam usia sebegitu. Mungkin itulah ujian segala ujian.
1                    Ujian kasih dan sayang yang dibawa arus usia.
2                    Ujian untuk mereka yang tua usianya.
3                    Ujian untuk suami dan lelaki.
4                    Ujian untuk isteri dan wanita.

Pernah juga selalu diceritakan bahawa apabila usia semakin lanjut maka kasih dan sayang semakin menjauh. Ada masanya lelaki dan suami yang berasa biasa berdikari. Ia dapat hidup tanpa bantuan isteri atau anak-anak. Boleh makan dengan memasak. Pakaian berbasuh sendiri. Rumah dibersihkan sewajarnya. Pada ketika yang sama isteri pula tentu lega kerana suami yang tua itu berdikari. Kurang ganggu dan gugatnya. Benarkah begitu? Pengamatan penulis banyak sebaliknya yang berlaku. Ramai juga isteri tua yang terus semakin bergantung harap kepada suami. Mati dirinya apabila suaminya meninggal. Mati psikologinya. Mati harapannya. Mati semangatnya. Luluh dan hancur tempat berharap. Hilang pudar dunianya. Segalanya sudah tamat. Dunianya hanya pada suami. Tanpanya tiada lagi makna hidupnya. Baki usia merumitkan pula anak dan cucu. Hari dan minggu sudah tiada pentingnya. Masa yang berlalu tiada lagi nilainya. Hanya berserah menunggau masanya tiba.

Ramai juga suami yang terus-terusan rindu kepada isterinya. Ia sangat perlukan kehadirannya. Masih ingin berbakti seadanya. Mengikut fitrah dirinya. Fitrah fizikalnya. Ingin melihat kehadiran isterinya di hadapan matanya. Hilangnya dicari. Puas dicari ditanya kepada siapa yang ada. Melihat isterinya suatu fitrah. Bukan lagi kerana rindu. Bukan lagi kerana sayang. Bukan lagi kerana sesuatu yang fizikal. Kehadiran isteri adalah tanggungjawabnya. Masih merasa itu keselamatan yang perlu dipenuhi. Keperluan yang wajar disempurnakan. Makan dan minumnya dipastikan ada. Bukan banyak atau sedikitnya tetapi dihidang dan disedia seperlunya. Tidurnya dilihat bertempat. Mungkin selimut dan bantal yang juga perlu ada. Dijengah siang dan malam. Hendak duduk atau tidur bersama mungkin bukan lagi waktunya. Sudah berlalu berzaman-zaman. Hendak bersembang juga sudah tiada bicara. Telinga sudah tiada didengar suara. Gerak bibir jika boleh dibaca.

Tetapi bagaimana dengan isteri. Kadang-kadang fitrah wanita berbeza dengan lelaki. Masa muda yang berlalu banyak ceritanya. Kenangan manis dan pahit yang mungkin ketika tua sahaja dapat diputar semula. Diimbau kembali. Sesungguhnya ilmu dan iman berganding sama. Selari membawa usia kita hingga ke tahap terlalu tua. Dalam diri kita perlu dididik dengan kemahiran menjejak masa. Kemahiran mengubah paradigma. Membuang semua paradoks yang kita percayai. Menyesuaikan diri dengan segala perubahan yang berlaku di sekeliling kita. Pada masa hadapan kita. Memahami perubahan itu sendiri menjadikan kita akur dengan datangnya perubahan. Bahawa kita perlu sejajar dengan perubahan yang mendatang. Dapat memahami apa sahaja yang dilihat berlainan. Dirasa banyak kelainannya. Tanpa ilmu dan pengamatan yang tinggi kita menjadi terlalu jumud. Statik. Akhirnya kita menyulitkan orang lain di sekeliling kita.

Bagi mereka yang berumahtangga, hayatilah erti cinta. Erti sayang. Erti kasih dan sayang. Ianya bukan dongeng semasa muda. Ianya bekal hidup mengharungi usia yang semakin tua. Mengekalkan sentuhan abadi antara pasangan. Kesyahduan yang tiada sudahnya. Kerinduan yang mengimbau dan menjelang dinanti. Cumanya malang bagi lelaki Melayu. Rindunya disimpan. Kasihnya dipendam. Sayangnya hanya di lubuk hati. Tidak dinyatakan. Tidak diluahkan. Tidak dilafazkan. Perlakuannya sahaja kelihatan perihatin. Itu sahaja yang ada pada lelaki Melayu. Tidak memperlihatkan keghairahan. Tidak juga keterujaan. Melihat dari jauh tanpa jeling dan lirik mata. Seperti kosong belaka. Namun dalam hati dan sanubarinya penuh dengan kasih sayang seorang suami. Cuma tidak tergambar dalam senyum atau tawa. Tidak juga dalam suara. Barangkali mereka yang muda perlu mengambil iktibar. Bahawa kasih dan sayang itu perlu disuburkan hingga ke akhir hayat. Lebih lanjut usia lebih banyak olah kasihnya. Pasangan masing-masing menanti usap dan belai. Bisik dan kata cinta. Perlukah malu membisikkan, “I love you”? Sesekali mungkin ungkapan itu mengejutkan pasangan. Mengujakan. Apabila selalu diucapkan, ianya dinanti-nantikan. Rindu dengan bisikan itu sendiri. Hembus nafas lembut di telinga. Merdu dan menggetarkan perasaan.


Usia bukan penghalang cinta. Bukan penghalang sayang. Bukan penghalang rindu. Ianya perlu dibiasakan. Jadikan amalan. Biarlah dekat di hati dan dekat secara fizikal. Kita bukan orang dahulu kala yang terlalu malu dengan anak dan cucu. Mendekatpun dikira mengada-ngada. Menepis dan lari menjauh. Zaman itu sudah berubah. Masa menuntut perubahan. Dunia sekarang yang banyak cabarannya menuntut pasangan lebih intim. Lebih dekat antara satu sama lain. Cinta itu indah selamanya. Sayang itu merindukan semaunya. I love you yang manis diulang-ulang.

No comments:

Post a Comment