Sunday, June 28, 2015

Luka Lama Berdarah Kembali



Kadang-kadang peribahasa mungkin hanya berbahasa. Lunak dibaca. Lunak didengar. Menyejukkan hati. Bahasa orang Melayu penuh syahdu. Ada nakal dan ada nostalgiknya. Jika kita menafikan hakikat itu kita hilang ciri-ciri Melayu yang ada pada warisan kita. Pada diri kita. Kita bukan orang dari kalangan mereka yang kasar dan keras. Pada diri kita banyak yang mendasar. Yang dilahirkan kepada umum hanya sipi-sipinya sahaja. Tidak kelihatan yang banyak disembunyikan. Namun begitu jika kita mahir berbicara dan mahir berbahasa, dalam bahasa itulah kita mengenal hati budi. Apabila usia kita berada dalam kalangan mereka yang berpengalaman barulah pengalaman itu sendiri mengungkapkan segala-galanya. Kemahiran yang ditimbun serta kecerdasan minda menggarap lintasan pada pancaindera menjadikan seseroang itu berada pada paras yang tersendiri.

Anak-anak selalunya diingatkan supaya sangat berhati-hati dalam semua hal sewaktu menjadi anak-anak. Sewaktu masih muda. Ibu bapa yang perihatin melihat segala-galanya dengan mata hati mereka. Bukan sahaja dengan mata kepala. Ada firasat. Ada harapan. Ada doa untuk anak-anak. Kepada mereka yang baru mendapat cahayamata, belajarlah untuk melihat ke hadapan dengan penuh keterujaan. Namun begitu banyak yang perlu dipelajari untuk melestarikan generasi keluarga pada masa hadapan. Kita bukan sahaja perihatin tentang keberadaan mereka di kemudian hari. Bukan sahaja faktor ekonomi. Bukan sahaja sosial. Malah ada masanya kesihatan dan kesejahteraan anggota tubuh badan menentukan masa tua yang sejahtera juga. Segala-galanya bermula darai zaman anak-anak. Dari zaman kanak-kanak. Dari zaman remaja. Dari zaman muda-muda dahulu. Perkara-perkara kesihatan yang terlepas pandang pada masa lampau memberi impak besar kepada kesihatan pada masa tua.

Pernahkah anda jatuh? Terhantuk kepala. Terseliuh kaki dan tangan. Terpatah kaki dan tangan. Retak tulang di sana sini. Ibu dan bapa perihatinlah tentang semua itu. Setiap anggota anak mesti diperiksa setiap ada kesempatan khususnya pada waktu malam. Pada waktu siangnya setiap tingkah laku anak-anak diperhatikan dengan pandangan kritikal. Mengenalpasti apa-apa kelainan daripada biasa yang kelihatan pada anak. Tangisnya diberi perhatian. Jeritnya diberi perhatian. Apabila anak-anak tidur mungkin ia mengerang. Bunyi dan kelainan tingkah laku adalah tanda-tanda masalah pada fizikal mereka. Terdapat mungkin anak-anak yang tahan fizikalnya. Tangannya patah tetapi dia tidak menunjukkan rasa sakit. Bermain sahaja sepanjang masa. Kisah benar di premis tabib Cina. Bayangkan seorang anak berusia tiga tahun tangannya patah tidak disedari oleh ibu dan bapanya. Setelah empat bulan baru mereka sedar. Itupun apabila dilihat anaknya mengaminkan doa bapanya selepas solat. Telapak angan kanannya mengadap ke atas sementara telapak tangan kirinya mengadap ke bawah. Kedudukan siku dalam keadaan normal. Tentulah gawat. Tangan kiri anaknya telah terpusing. Maksudnya telah patah dan bercantum semula tetapi tidak pada kedudukan asalnya. Untuk memperbetulkan kedudukannya perlu bertemu pakar tulang. Pembedahan yang besar. Tangan itu perlu dipatahkan semula dan diperbetulkan kedudukannya seperti asal. Berat, sakit, mahal dan penuh emosi. Pengalaman tidak terduga. Mungkin boleh mendapatkan rawatan alternatif melalui pakar urut tradisional. Yang penting usaha yang wajar.

Kita mungkin pernah jatuh sewaktu kanak-kanak. Bukan sekali. Barangkali berkali-kali. Ketika itu kita tidak terasa apa-apa. Ibu bapa tidak pula memberikan perhatian. Apabila tua kesan jatuh itu menghantui semula. Apabila kita jatuh terhentak terjadilah kesannya kepada tulang belakang. Kepada tulang selangka. Kepada tulang dada. Kepada tulang punggung. Kepada tangan. Kepada paha dan kaki. Mungkin banyak lagi. Penulis berjumpa dengan seorang tabib Cina kerana kaki selalu berasa lenguh. Diagnosisnya membenarkan apa yang penulis alami selama ini. Ada bahagian tulang yang terherot. Kesannya kepada bahagian kaki. Kerap lengoh walaupun tanpa membuat kerja berat. Kata tabib ianya kesan lama. Imbangan badan sudah lari. Pastinya kasut dan sandal atau selipar yang penulis gunakan senget di sebelah tepi. Penulis hanya mengangguk membenarkan kata-katanya. Rawatan pada kali pertama bisa-bisa juga di bahagian belakang pinggang. Alhamdulillah lengoh pada kaki terasa berkurangan. Tidak lesu dan malas bila bangkit dari tidur.

Pembaca yang membaca entry penulis pada peringkat awal-awal dahulu tentu masih ingat yang penulis pernah terjatuh dari pokok rambai sewaktu berusia kira-kira 10 tahun. Serangan lengoh kaki, penulis alami sejak muda lagi. Biasanya diurut sahaja. Lega sekejap. Kemudian datang lagi. Persistent kata orang putih. In sya Allah rawatan kali ini melegakan apa yang penulis alami selama ini. Mohon doanya.


Moral ceritanya, jagalah anak-anak seperti menatang minyak yang sangat penuh. Bukan hanya penuh tetapi yang benar-benar penuh. Sebarang kecacatan yang terlepas pandang akan menjadikan anak-anak cacat seumur hidup. Peka selalu. Perihatin selalu. Terjemahkan kasih sayang dengan tanggungjawab dan keperihatinan yang tinggi setingginya. Merekalah permata hati dan pengarang jantung. Belajarlah dari kesilapan orang lain. Moga-moga anak-anak nanti segar bugar fizikal dan akhlaknya. Kesemuanya di bahu ibu dan bapa. Tidak di bahu orang lain. 

Saturday, June 6, 2015

Melestarikan Sifat-Sifat Pemimpin



Pemimpin adalah ketua. Dia juga imam. Dia di hadapan. Dialah yang tanggungjawabnya ditagih. Autoritinya diletak di atas junjungan. Benarkah segala urusan tertanggung di atas bahu pemimpin? Benar. Yang pasti pemimpin akan ditanya di akhirat nanti akan kepimpinannya. Allah yang akan bertanya dan bukan manusia. Apa bidang kuasanya. Apa tanggungjawabnya. Apa kebaikan yang diberikan kepada mereka yang dipimpinnya. Keadilan yang sewajarnya. Keikhlasan yang dipamerkan. Kebajikan yang diberikan. Kepekaan yang selalu diutamakan. Walaupun pemimpin duduknya di hadapan, mereka yang di belakang berhak menegur dan memperingatkannya. Imam yang kadang-kadang wajib ditegur oleh makmumnya. Khususnya apabila terdapat kesalahan yang besar. Begitulah pemimpin yang perlu ditegur apabila tindakannya mengakibatkan mudarat. Menyusahkan mereka yang dipimpin. Menimbulkan rasa benci. Rasa meluat. Rasa mual. Rasa geram. Bertambah pula dengan timbulnya keresahan di hati mereka yang dipimpin. Kekeliruan kerana arahan yang bersilih ganti. Arahan yang bercanggah-canggah. Arahan yang tidak menenangkan hati mereka yang dipimpin.

Pemimpin berada di tempat tinggi kerana:
1                    Dilihat berkersesuaian. Ada ciri-ciri pemimpin yang dilihat orang.
2                    Berdasarkan situasi. Tiada orang lain yang dilihat layak kecuali dirinya.
3                    Semula jadi. Menonjol, berkarisma dan diikuti orang lain.
4                    Ditentukan Allah seperti suami dan bapa.

Apabila seorang pemimpin dipilih atau dilantik ia hilang hak dirinya. Maksudnya ia tidak boleh memikirkan dirinya lebih berhak berbanding dengan mereka yang dipimpinnya. Apa-apa yang dipertimbangkan utamakan mereka dahulu dan bukan dirinya. Seorang pemimpin mendahulukan kepimpinannya dan bukan dirinya. Seorang bapa berkorban apa sahaja untuk anak-anaknya. Seorang bapa mungkin rela tidak makan asalkan anak-anaknya kenyang di hadapan matanya. Seorang bapa tidak berganti baju asalkan anak-anaknya berbaju baru. Seorang bapa tidak tidur asalkan anak-anaknya nyenyak setiap malam. Begitulah seorang ketua, dalam hatinya adalah mereka yang dipimpinnya. Rasulallah memikirkan umatnya. Kebaikan umatnya. Kesejahteraan umatnya. Dididik  supaya mereka ke syurga kesemuanya. Kerana itu seorang pemimpin hendaklah mencontohi Rasulallah. Tiada kepentingan untuk dirinya. Mati seorang pemimpin sewajarnya bukan meninggalkan kekayaan tetapi rakyat yang hidup bercukupan. Sihat dan bertenaga. Berakhlak mulia. Kemuliaan hatinya sentiasa dipupuk. Keikhlasannya diwajarkan. Sentiasa kurang dari orang-orang yang dipimpinnya.

Dalam dunia serba mencabar ini terlalu ramai pemimpin yang hanya nampak ringgit dan sen. Mereka yang dipimpin pula beranggapan wajar selalu memberi ringgit dan sen untuk memuliakan pemimpin. Sebenarnya ringgit dan sen menjadi punca hati berkaca dengan keghairahan untuk mendapat lebih dan lebih banyak. Banyak dan bertambah banyak. Tidak lagi ingin berpada. Tidak lagi memiliki sifat qanaah. Yang dilihat dan diimpikan ialah ringgit dan sen. Dalam hal seperti itu pemimpin merancangkan bagaimana ringgit dan sen dapat dilonggok. Dapat dihimpun sebanyak-banyaknya. Dapat bermewah dan berkelebihan. Dapat dipamerkan sebagai lambang kejayaan. Adakah ianya sebagai hak? Sebagai jalan yang benar dan bukan yang batil. Kadang-kadang pemimpin lupa adanya istidraj. Khayal dan lunak dalam sesuatu yang bukan hak sehinggalah Allah mencabut kemewahan yang ada di sekelilingnya. Mungkin musibah menimpa dirinya sehingga banyak wangnya yang perlu dibelanjakan. Sakit berat yang berpanjangan. Kesusahan yang bertimpa-timpa tanpa disangka. Tanpa diduga. Dirinya yang dahulunya disanjung orang merudum menjadi kebencian orang lain. Khususnya mereka yang dipimpinnya.

Seorang pemimpin perlu selalu ingatkan Allah. Mohon panduan dan petunjuk dari Allah. Apa-apa yang hendak dilakukan sandarannya ialah redha Allah. Mereka yang dipimpin juga perlu bertanggungjawab. Tidak boleh hanya redha dengan kesilapan yang dilakukan pemimpin. Tidak boleh hanya berdiam diri apabila pemimpin berbuat apa-apa yang menyalahi hukum. Yang menyalahi kebiasaan. Yang menyalahi adat. Seorang pemimpin namanya di atas tetapi dirinya sentiasa berada di bawah. Di bumi nyata. Tidak boleh berada di awang-wangan. Tidak boleh melihat orang lain dari atas sahaja tanpa turun ke bawah. Tidak boleh melihat dari jauh tanpa melihat sendiri dengan jelas kenyataan dan fakta. Sangat malang apabila pemimpin mendengar sebelah pihak sahaja. Tidak mendengar hujjah dari pihak yang sebelah lagi. Setiap perkara ada dua sisinya. Bukan satu sahaja. Setiap teguran lihat rasionalnya. Setiap nasehat dilihat dari benarnya. Setiap aduan dilihat butiran dan faktanya. Seorang pemimpin tidak boleh sekali-kali cenderung untuk menyebelahi pihak-pihak tertentu sahaja. Tidak dan tidak boleh mendengar dari orang tertentu sahaja. Sangat tidak wajar. Hilang harga dirinya jika berbuat begitu.

Mereka yang dipimpin berharap sangat bahawa pemimpinnya memberikan yang terbaik untuk mereka. Jika tidak berkesampaian hajat itu, wajarlah seorang pemimpin meletakkan dirinya jauh paling bawah berbanding dari orang-orang yang dipimpinnya. Mereka inginkan keadilan walaupun sedikit tetapi hak. Tidak wajar sangat apabila pemimpin mengugut mereka dengan berbagai-bagai ugutan. Membuat cabaran yang bukan hak. Umpamanya jika tidak setuju dengan racangannya dan keputsannya maka mereka yang dipimpinnya dicabar supaya meletak jawatan. Itu bukan sifat pemimpin. Bukan sifat orang yang bertanggungjawab. Bukan sifat pemimpin yang wajar dipatuhi. Kepada seorang pemimpin memberikan yang terbaik kepada orang-orang yang dipimpinnya adalah suatu kewajaran. Suatu tanggungjawab. Perihatin dengan apa yang diperlukan mereka. Memberikan yang terbaik mengikut kemampuan dan keupayaannya. Seorang pemimpin tidak boleh berlepas tangan dalam apa-apa perkara yang menjadi kontroversil. Yang mengakibatkan kemelut di persekitarannya. Di kalangan orang-orang di sekelilingnya.


Seorang pemimpin tidak boleh mengambil apa-apa kepentingan untuk dirinya sedangkan orang lain dinafikan apa-apa hak yang sewajarnya. Fikirkan kembali, bahawa mereka yang dipimpin hendaklah diberi seberapa banyak yang terbaik untuk mereka. Pemimpin seharusnya berasa puas apabila mereka yang dipimpin berada dalam keadaan terbaik. Jauh dari masalah. Jauh dari ketidakselesaan. Kebahagiaana kepada pemimpin ialah apabila dirinya dapat menyumbang sebanyak mungkin. Bukan mengaut sebanyak mungkin. Marilah kita tingkatkan diri kita untuk banyak memberi dan bukan banyak meminta. Pemimpin tidak boleh menagih yang bukan-bukan. Katakan tidak kepada ketidakadilan.

Tuesday, June 2, 2015

Tidur Anak Jaga Emak



Anugerah yang sangat indah ialah anak. Tanyalah ibu baru. Ibu muda. Gembira ria mereka melekakan suasana. Ia menyempurnakan seorang wanita. Seorang isteri. Menjadi ibu yang melahirkan anak dari darah dagingnya sendiri. Pengikat kasih sayang suami. Penyeri rumahtangga. Selain dari bersyukur, tiada ungkapan lain yang selayaknya disuarakan. Terlalu indah seindah-indahnya. Saat-saat yang berlalu tiada ruang kosong dalam hati. Kembang berbunga dipenuhi rasa kasih yang menyerap dan mengindah dalam taman hati. Saat lahir anak, maka kehidupan seorang isteri berubah banyak darjahnya. Bukan sedikit tetapi terlalu banyak. Pada suatu ketika yang sama seorang wanita menjadi ibu, menjadi isteri, menjadi anak, menjadi menantu, menjadi pekerja dan menjadi ahli masyarakat. Maksudnya seorang ibu tidak berhenti hanya menjadi ibu. Bukan hanya menyusukan anaknya. Bukan hanya menyediakan makan dan minumnya. Bukan hanya mendodoi dan menidurkannya. Bukan hanya merawat sakit dan uzurnya. Tugas sebagai isteri dan wanita masih perlu diteruskan. Masih perlu digandakan. Masih perlu diberi keutamaan.

Keakraban antara ibu dan anak tiada siapapun yang dapat memisahkan. Namun begitu ibu yang juga isteri perlu lebih bertenaga. Perlu lebih ligat. Perlu lebih lincah. Tidak mungkin seorang ibu muda menjadi terlalu keletihan kerana melayan seorang atau dua anak. Take stock, kata orang putih. Tugasmu bukan hanya untuk seorang atau dua anak. Rumah perlu dikemas. Anak perlu dimandi. Perlu dipakaikan. Perlu disusu dan disuapkan. Perlu didokong dan didodoi. Pakaian perlu dibasuh. Perlu disidai. Perlu dilipat. Perlu digosok. Itu belum muntah dan najis di mana-nama. Ibu sekarang beruntung sebab ada lampin pakai-buang. Tetapi, tetapi perlu pula selalu diintai najis yang mungkin mendatang. Keraplah diurus. Kasihan anak jika lambat basuh dan bersihnya. Merah kulit paha anak. Mungkin kerana ruam banyak tangis anak. Merisaukan juga ibu dan bapa muda yang tidak biasa. Tiada kursus seumpamanya dalam kursus pra-perkahwinan sebalum bernikah kahwin dahulu.

Menjadi kebiasaan apabila anak tidur maka ibu juga turut tidur. Sangat kondusif situasinya. Anak mengantuk. Ibu juga keletihan. Mengantuk sangat natural kepada ibu. Namun begitu tahukah anda bahawa perbuatan itu menghakis peranan ibu dan isteri. Sebenarnya, sebenarnya ketika anak tidur inilah, ibu perlu memainkan peranan yang lebih besar.

1.     Ketika inilah masa yang sesuai untuk memasak, mengemas dapur, menyusun pinggan-mangkuk.
2.     Mengemas bilik tidur, pakaian dan almari.
3.     Membasuh pakaian, menyidai, mengangkat, melipatnya.
4.     Menggosok pakaian.
5.     Memvakum rumah.
6.     Mengemop lantai.
7.     Memantau lanskap di laman rumah.
8.     Menyusunatur hiasan luar dan dalaman rumah.
9.     Membaca dan menulis.
10.  Berinteraksi dengan suami. Mungkin bermanja dan bermesra.
11.  Menghubungi ibu dan bapa yang jauh.

Alangkah malangnya apabila anak tidur ibu juga tidur. Banyak peluang terbuang kerana tidak melakukan apa-apa. Apapbila anak terjaga maka ibu sibuk semula melayan anak. Tidak semestinya anak itu menjadi centre of everything kerana akhirnya ibu tidak berbuat anything. Maknanya apabila seorang isteri menjadi seorang ibu, ia perlu lebih pintar mengurus diri dan mengurus segala-gala di sekelilingnya. Menjadi ibu adalah ujian penting hebatnya seorang wanita. Mengurus anak di satu sudut penting dalam hidupnya. Seorang bayi yang luhur. Mulus kulitnya. Wangi baunya. Aroma seorang anak yang tiada tandingnya. Lebih ramai anak maka lebih banyak suasana sebegitu yang berulang-ulang dalam hidup. Kelestarian yang memanjang dan meriangkan hati dan sanubari. Suasana yang selalu indah. Fikirkan sejenak. Bukankah kehadiran anak menjana tenaga kepada seorang ibu. Walaupun seorang lelaki atauy suami kuat fizikalnya tetapi stamina seorang ibu jauh lebih gagah darai seorang ayah.

1                    Seorang ibu sangat sedikit tidurnya.
2                    Sangat sedikit rehatnya.
3                    Sangat kurang masanya.
4                    Sangat betah dari sakit dan lelah.
5                    Makannya sedikit.
6                    Hatinya banyak pada anak dan suami.

Seorang ibu muda berganda tenaganya. Gerak dan aktifnya luarbiasa. Tidurnya lewat. Jaganya sangat awal. Makannya sedikit. Khidmatnya terlalu banyak. Membantu dan membantu anak dan suami. Kata orang tidak terbayar upahnya. Tiada anak yang mampu untuk membayarnya. Hingga ke akhir hayat sekalipun tiada siapa yang mampu untuk membayarnya. Hutang hayat selama-lamanya. Hutang anak kepada ibunya. Tetapi bagi ibu, segala-galanya adalah percuma. Dengan rela hati. Dengan ikhlas hati. Dengan berlapang dada. Segala-galanya untuk anak. Zuriat dari suaminya. Hati ibu terlalu besar untuk memberi yang terbaik untuk mereka. Kerana itu ibu muda perlu banyak belajar. Banyak memgambil iktibar. Menerapkan berbagai pegajaran dari pengalaman orang terdahulu. Semuanya sebagai kitaran. Orang dahulu ramai anaknya. Berbelas-belas kebanyakannya. Segalanya beres. Tiada anak yang terbiar begitu sahaja. Sewaktu anak tidurlah ibu menunaikan tanggungjawab rumahtangganya.


Tidur anak bukan waktu tidur ibu. Tidur anak adalah waktu berharga untu ibu meluaskan segala yang perlu. Rehatnya apabila semua yang dikasihinya melelapkan mata. Apabila rumah dalam keadaaan sunyi sepi. Mungkin diselangi antara dengkur dan tangis si kecil yang keletihan kerana siangnya puas bermain. Puas berjalan. Puas berlari. Puas melompat-lompat. Melelapkan mata bukan tidur mati hingga di luar sedar. Minda ibu perlu sensitif dengan  gerak dan bunyi anak-anak. Gelisahnya di tempat tidur. Tangisnya kerana lapar susu. Nyamuk perlu ditampar. Letih anak dipicit kakinya. Didodoi resahnya. Mungkin tidur ibu sejam atau dua sudah memadai. Subuh menjelang untuk memulakan hari baru. Seawal pagi banyak yang perlu dikelola. Ianya cabaran. Ianya tanggungjawab. Seorang ibu adalah tunggak kekuatan keluarga. Pembantu kepada beratnya tanggungjawab suami dan ketua keluarga.