Dalam minda anak-anak muda, apa yang ada di hadapan
mata mereka banyak yang salah. Apa sahaja yang tidak memudahkan mereka untuk
melakukan sesuatu dianggap perlu disanggah. Undang-undang menyulitkan.
Peraturan menyusahkan. Prosedur hanya halangan. Mereka mahukan semuanya
dilakukan sekehendak hati. Tanpa kekangan. Tanpa apa-apa peraturan walaupun
sedikit. Kepada mereka kesemuanya berada di sebalik hijab. Bila masanya mereka
merasa dewasa? Mencapai usia tua. Mengerti bahawa tanggungjawab adalah sesuatu
yang sangat perlu. Apapun yang kita lakukan, tanggungjawab adalah suatu
sandaran.
1
Berfikir sebelum melakukan sesuatu. Ditinjau
implikasinya. Impaknya. Kesannya dari segi ekonomi, sosial, agama, budaya dan
persekitaran.
2
Merancang apa yang hendak dilakukan. Dalam perancangan
itulah timbulnya isu-isu mengenai logistik. Begitu juga hal-hal yang berkaitan
dengan objektif, bajet, petugas, agenda dan berbagai lagi. Termasuk juga
tempat, masa, peralatan, siaraya dan audien.
3
Bajet yang perlu. Apa kegunaannya dan dari mana
sumbernya.
4
Protokol, perasmian, jemputan, jamuan dan media.
Orang-orang dewasa sudah lama menguruskan suasana.
Itupun kadang-kadang banyak yang terlepas pandang. Ada sahaja kekurangan yang
tidak dibincang. Tidak difikir. Malah tidak terlintas dalam minda. Kerana itu checklist
(senarai semak) sangat perlu. Sangat, sangat perlu. Jangan lupa, dalam
merancang sesuatu aktiviti perlu juga rehearsal (raptai). Ianya perlu
supaya semua petugas maklum akan apa tugasnya. Bila ia diperlukan. Di mana dia
perlu berada pada saat-saat tertentu. Berapa lama sesuatu aktiviti. Isyarat
yang perlu difahami dan dipatuhi. Apa yang perlu dilakukan pada ketika-ketika
tertentu yang ditugaskan kepadanya. Juga peralatan yang perlu ada di tangan
atau berhampiran dengannya. Perlu ada aliran proses dari awal hingga akhir.
Dalam mana-mana majlis sama ada besar atau kecil, penting atau tidak,
persediaan bertulis dan persediaan mental sangat penting. Jika perlu skrip
acara harus disediakan.
Kerap terjadi majlis yang hendak dimulakan tempatnya
belum disediakan sepenuhnya. Petugasnya belum bersedia. Peralatannya tidak
memadai atau mencukupi. Yang paling penting ialah technical personnel
yang selalunya tidak ada. Mereka perlu wujud untuk memenuhi keperluan dewan,
siaraya, kerusi dan meja, layar tayang, kabel elektrik, kabel LCD dan komputer
dan banyak lagi. Dalam dunia yang serba canggih seperti sekarang ini keperluan
teknologi dalam majlis adalah suatu kewajaran. Bukan lagi suatu yang boleh ada
dan boleh tidak ada. Perlu selalu dianggap ianya suatu keperluan mendesak atau
kritikal. Tidak boleh diambil ringan. Sekiranya peralatan yang perlu tidak
mencukupi maka buatlah kertaskerja. Hantar permohonan. Lengkapkan sesuatu dewan
dengan teknologi yang secanggihnya. Masjid-masjid di Mesir umpamanya memiliki
sistem siaraya yang high frequency. Suara imam jelas kedengaran. Kita di
Malaysia masih ketinggalan dari segi ini. Sistem siaraya di masjid kita tidak
sejelas seperti di negara-negara Arab. Selain dari itu siaraya yang wireless
atau cordless sewajarnya menjadi the state of the art. Ceramah
dan persembahan selalunya memerlukan pergerakan fizikal.
Protokol adalah sangat penting. Anak-anak muda yang
bakal berjawatan tinggi sama ada dalam sektor kerajaan atau sektor swasta perlu
belajar dengan sesungguhnya supaya benar-benar memahami keperluan sesuatu
majlis. Perlu difikirkan jangkamasa yang sesuai. Mesyuarat yang perlu diadakan.
Persiapan awal yang asas. Hiasan dan peralatan. Jemputan untuk perasmian dan
penutup. Cenderahati yang diperlukan. Tajaan yang perlu dicari. Pembelian
keperluan majlis. Hari majlis. Penyambut tetamu. Bilik menunggu untuk VIP. Jangan
lupa tempat parkir dan keselamatan keseluruhannya. Sama ada tetamu, petugas,
peralatan dan tempatnya. Apabila anak-anak muda
yang beraspirasi untuk menjadi pemimpin memahami keperluan sesuatu
majlis masa hadapannya akan lebih jelas. Apabila diberi tugas untuk mengendalikan
sesuatu majlis kesemuanya boleh dilaksanakan dengan lebih mudah. Perlukan fine
tuning sahaja. Mempelajari semua selok belok pengendalian dan pengurusan
majlis menjadi suatu keperluan tinggi. Melihat sahaja tidak mencukupi.
Beranggapan bahawa ianya mudah juga tidak memadai. Berlatih melakukannya adalah
cara belajar yang paling baik. Dariny belajar dari kesilapan. Belajar dari
kesalahan kerana menganggap ianya mudah. Belajar supaya tidak mengambil mudah. Never
take things for granted.
Lihatlah bagaimana orang dewasa dan penjawat-penjawat
awam melakukan tugas mereka dengan protokol. Kesemuanya untuk memudahkan semua
orang bukan untuk menyusahkan individu. Tempat parkir yang paling strategik
tentulah yang paling dekat dengan tempat majlis diadakan tetapi lebih elok
parkir itu dikhaskan untuk VIP. Itu protokol. Menghormati kedudukan dan
stastusnya. Walaupun menu jamuan sama untuk semua orang tetapi dif-dif kehormat
perlukan suasana yang tenang sewaktu menikmati hidangan. Mereka lebih banyak
berinteraksi, berbual dengan santai. Mereka bukan hendak makan tetapi mereka
menghadapi hidangan dengan adab dan adat. Sabar makannya. Lambat kunyahnya.
Anak-anak muda perlu belajar untuk mengerti keperluan sebegitu supaya majlis
dilihat teratur. Kemas dan santai tetapi menjaga protokol.
Mengapa orang dewasa berpakaian dengan kemas dan
penampilan mereka istimewa. Mereka sudah terlatih. Sudah biasa begitu. Sudah
menjadi darah daging. Berpakaian yang sewajarnya membantu memperkemas
pandangan. Dilihat menghormati tetamu kehormat. Menghormati majlis. Dilihat
bersesuaian. Penampilan diri perlukan latihan yang lama. Belajar dari mereka
yang arif. Sangat perlu untuk jangkamasa panjang. Belajarlah untuk berjalan
yang dilihat sopan. Berdiri dengan sopan dan santai. Duduk yang beradab.
Mengambil dan mengunjuk dengan tangan kanan. Bercakap dengan nada yang
sederhana kuat tetapi jelas butirannya. Senyum dan ketawa tanpa bunyi yang
kuat. Suasana yang amat melucukan sekalipun, tidak beradab jika kita ketawa
dengan kuat. Bercakap dengan orang besar lain caranya. Dengan orang dewasa lain
caranya. Dengan rakan-rakan lain caranya. Bercakap dengan orang lelaki berbeza apabila
dengan orang perempuan. Belajarlah untuk menguasai suasana sosial. Jika anda
dapat menguasainya anda menjadi sangat selesa walau majlis apa sekalipun yang
anda hadiri. Walau dengan siapa sekalipun anda berinteraksi.
Untuk anak muda, undang-undang, peraturan, prosedur
dan protokol sebenarnya untuk memudahkan. Pelajari dan fahami keperluannya yang
tersurat dan tersirat. Anda akan maklum bahawa ianya diperlukan untuk
menjadikan sesuatu suasana berjalan mengikut alirannya seperti dirancang. Suasana
menjadi santai. Apatah lagi apabila anda bercita-cita untuk berkerjaya aras tinggi dan menjadi
profesional yang hebat dan berwibawa. Dalam konteks orang Melayu, mereka yang
bijak membawa diri selalunya mendapat peluang untuk lebih berjaya, lebih maju
dan lebih beruntung dalam banyak hal. Semua orang senang dan menyukai mereka
yang menjaga dirinya dari berbagai aspek. Usahakanlah supaya anda mampu berada
dalam kategori mereka yang senang dilihat, senang didekati, senang untuk
berurusan. Biar ramai yang menyukai dari ramai yang membenci.
No comments:
Post a Comment